You are on page 1of 4

Kesan kemasukan pekerja asing ke Malaysia

Malaysia adalah antara 10 buah negara teratas yang tersenarai sebagai penggaji warga
asing tertinggi di dunia. Di mana-mana sahaja pada hari ini khususnya di bandar besar,
kita boleh berjumpa dengan pekerja asing dari Indonesia, Filipina, Bangladesh, Nepal,
India dan China yang bekerja dalam pelbagai sektor yang bergaji rendah seperti buruh,
pekerja kilang dan pembantu rumah. Jumlah pekerja asing di negara ini berjumlah 1.85
juta orang dengan pendatang Indonesia sahaja berjumlah 1.2 juta orang diikuti Nepal
seramai 200,000 orang. Semua mereka ini termasuk yang datang dari Mynmar, Pakistan,
Afghanistan, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan negara di benua Afrika.

Kedatangan pekerja asing ini tentulah untuk bekerja di negara yang mempunyai banyak
peluang pekerjaan ekonomi khususnya pembinaan, perladangan, perkhidmatan dan
perniagaan. Pekerja asing ini boleh dikelaskan kepada dua iaitu pekerja yang datang
secara sah dan pekerja yang datang melalui jalan belakang atau pendatang asing tanpa
izin (PATI).

Pekerja yang datang ke Malaysia secara sah umumnya telah ditentukan jenis pekerjaan,
majikan, tempat tinggal dan telah melalui pelbagai proses untuk memenuhi kelayakan
sebagai pekerja. Mereka kemudiannya diberikan permit kerja yang dinyatakan tempoh
kerja mereka di negara ini. Kategori pekerja jenis ini mempunyai dokumen perjalanan
yang sah, bebas daripada penyakit berjangkit, mempunyai kontrak pekerjaan yang sah
dan tidak membawa banyak masalah kepada masyarakat. Majikan mereka juga lebih
bertanggungjawab dengan menyediakan tempat kediaman, makanan dan perkhidmatan
perubatan.

Kategori kedua ialah PATI yang tidak pernah melalui proses seperti kategori pertama.
Mereka juga tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, risiko penyakit berjangkit
yang tinggi seperti tuberculosis (tibi) dan mudah dieksploitasi. PATI yang ditangkap
kerana pelbagai kesalahan imigresen dan jenayah hanya membebankan pihak kerajaan
kerana terpaksa menanggung kos penahanan dan penghantaran ke negara asal mereka.
Kes-kes yang lebih rumit seperti imej implikasi buruk terhadap negara asal pendatang
berkenaan.

Tarikan untuk mendapat pendapatan lumayan di Malaysia akan memberi rangsangan


dan dorongan kepada pekerja asing ini untuk menggunakan semua cara sama ada secara
sah ataupun tidak. Ada yang menggunakan “lorong semut” di sempadan untuk
membolosi kawalan keselamatan negara, menipu pas pengajian pendidikan,
menggunakan pas lawatan sementara dan berkahwin dengan warganegara tempatan.
Contoh kes berkaitan ialah penipuan pas pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi di
Kedah beberapa hari yang lalu. Mereka datang ke Malaysia semata-mata untuk berniaga
kain dan permaidani sedangkan dalam permohonan adalah untuk belajar. Tidak dapat
disangkal lagi bahawa kolej ini telah lari daripada matlamat sebenar penubuhannya dan
mementingkan keuntungan jangka pendek. Di sini peranan orang tempatan membawa
masuk pekerja asing sangat jelas dan tindakan sewajarnya perlu diambil bagi
membendung kegiatan yang tidak bertanggungjawab itu.

Kes ini adalah iktibar kepada pihak berkuasa Malaysia yang menunjukkan bahawa
pekerja asing dan PATI akan menggunakan apa sahaja ruang, peluang dan kelemahan
yang ada untuk bekerja di negara ini. Segelintir ahli masyarakat tempatan yang ingin
cepat kaya akan gelap mata melihat perniagaan ini dan membelakangkan
tanggungjawab mereka sebagai warganegara dan rakyat Malaysia. Walaupun
mengetahui wujudnya undang-undang berkaitan perkara ini, demi wang ringgit mereka
lebih mengutamakan kehendak diri sendiri daripada masyarakat dan negara.

Kehadiran PATI dan pekerja asing bagi memenuhi permintaan di sektor kritikal seperti
pembinaan dan perladangan adalah gambaran sifat bergantung yang keterlaluan dalam
pembangunan tenaga kerja. Jumlah PATI seramai 600,000 orang boleh sahaja memberi
maklum balas dan persepsi negatif masyarakat terhadap kerajaan Malaysia. Usaha
kerajaan seperti pengampunan, sebatan dan pembekuan pengambilan pekerja asing
yang baru tidak pernah menghalang lebih ramai PATI untuk mencari rezeki di negara ini.

Hakikatnya, semakin ramai pekerja asing khususnya PATI yang datang ke Malaysia
memperlihatkan wujudnya kegagalan pelaksanaan program pencegahan dan
pengawalan yang berkesan bagi membendung masalah ini. Kepintaran dan
kebijaksanaan agensi penguatkuasa yang terlibat belum mampu memberikan tindakan
penyelesaian yang mantap bagi mengurangkan kehadiran PATI ini. Apakah kita perlu
menunggu kebanjiran pekerja asing dan PATI yang menimbulkan huru-hara dan
menyebarkan penyakit barulah kita akan terburu-buru mencari penyelesaiannya?
Ataupun fenomena ini kesan sampingan untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun
2020?

Setiap hari media akhbar dan elektronik melaporkan mengenai tingkah laku dan
kegiatan negatif pendatang ini yang melibatkan pergaduhan dan kematian. Pendedahan
demi pendedahan menjadikan kita tertanya-tanya apakah yang berlaku. Sehari ke sehari
terdapat sahaja pendatang yang ditemui mati di tepi jalan, mati kerana bergaduh di
rumah kongsi dan mati kerana membalas dendam.

Begitu juga dengan kes-kes jenayah yang kecil seperti ragut, rompakan, rogol, mencuri,
berkhalwat, berzina dan mengganggu anak gadis sudah biasa kita dengar. Aktiviti
sampingan ini telah mengganggu keharmonian masyarakat Malaysia dan memberi
motivasi kepada sebilangan kecil daripadanya untuk turut bersama-sama terlibat dengan
jenayah. Di Kedah umpamanya, sepasang suami isteri ditangkap kerana bersubahat
membantu sekumpulan pendatang asing dari Kuala Lumpur melakukan jenayah pecah
rumah dan rompakan. Hasil rompakan tersebut dibahagikan sama rata dan perbuatan
tersebut terus diulangi dari semasa ke semasa sehinggalah ditangkap.

Terdapat banyak sebab kenapa kes jenayah banyak melibatkan pekerja asing dan PATI.
Antaranya ialah kesempitan kewangan. Hidup di bandar besar dengan pendapatan yang
kecil adalah sesuatu yang membebankan. Tidak salah kalau kita beranggapan bahawa
PATI yang terlibat ialah mereka yang bernafsu besar dan mahu cepat menjadi kaya tanpa
memikirkan dosa dan kesulitan yang akan dialami oleh mangsa. Pergaduhan sesama
etnik dari negara yang sama turut berlaku disebabkan rasa tidak puas hati dan
membalas dendam. Kadangkala perkara yang kecil turut melibatkan kematian seperti
yang berlaku tidak lama dahulu iaitu mati kerana berebut tandas. Kejadian ini
melibatkan pekerja dari Mynmar.

Sesetengah daripada mereka yang telah lama bekerja di negara ini diketahui mengambil
peluang perniagaan rakyat tempatan dengan memajak lesen ataupun secara terang-
terangan berniaga bakso di tepi jalan. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati
masyarakat tempatan yang tidak sabar dengan siasatan pihak berkuasa mengambil
tindakan sendiri sama ada memberi amaran ataupun membelasah pendatang ini.
Tentulah mereka mempunyai sebabnya seperti tidak ada permit, mengganggu peniaga-
peniaga tempatan yang mempunyai lesen perniagaan dan tahap kebersihan makanan
yang disediakan tidak memuaskan.

Mengatasi masalah sosial yang ditimbulkan oleh PATI dan pekerja asing melibatkan
kerjasama tiga pihak iaitu kerajaan, swasta dan masyarakat umum. Kerajaan sebagai
agensi pembentuk, pengawal dan pelaksana dasar mempunyai peranan yang sangat
besar bagi mempastikan kemasukan PATI dihalang sepenuhnya. Keupayaan kerajaan
membentuk dan mengawal dasar memang sangat membanggakan tetapi lemah dalam
aspek pelaksanaan. Walaupun banyak program pencegahan dilaksanakan seperti
program pemutihan dan pengampunan, masih ramai PATI yang menyeludup masuk ke
negara ini.

Kesudahannya lebih ramai pekerja asing dan PATI membuka kampung sendiri,
menyekolahkan anak-anak di sekolah kerajaan, menggunakan perkhidmatan kesihatan
kerajaan dan mewujudkan kawasan setinggan baru.
Pihak swasta bertanggungjawab mempastikan pekerja mereka yang terlibat dalam
sektor pembinaan dan perladangan mempunyai permit kerja yang sah dan
mengutamakan pekerja tempatan. Sekiranya mereka mengabaikan kepentingan pekerja
yang sah ini, kejadian seorang majikan yang mendapat penyakit tibi akan dapat
dielakkan. Kejadian yang berlaku ini memberi iktibar kepada mereka yang ingin
mendapat tenaga buruh yang murah kerana tanpa pemeriksaan kesihatan, seseorang
PATI boleh menyebarkan penyakit secara diam-diam.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat dan memberi kerjasama kepada agensi
penguatkuasa untuk melicinkan operasi pembasmian dari semasa ke semasa. Mereka
tidak seharusnya memikirkan ganjaran yang akan diberi sekiranya memberi maklumat
kerana tanggungjawab membanteras pendatang asing tanpa izin ini turut menjadi
sebahagian tanggungjawab rakyat yang bermaruah.

Kemasukan pekerja asing ke sesebuah negara adalah fenomena sejagat dalam era dunia
tanpa sempadan hari ini. Kita tidak boleh menghalang kemasukan ini kerana tawaran
yang diberikan mereka adalah sangat menarik seperti kos buruh yang murah dan
kemahiran yang dimiliki. Namun membendung kemasukan pekerja asing yang tidak
mahu berdaftar adalah cabaran besar kepada kita kerana mereka ini boleh mencetuskan
masalah sosial yang lebih parah pada masa hadapan. Ketiga-tiga pihak iaitu kerajaan,
swasta dan masyarakat wajar melihat kerjasama pintar sebagai satu jalan penyelesaian
seperti memperkasa progam kesedaran di akar umbi dan pada masa yang sama
menambah baik peranan agensi penguatkuasa supaya Malaysia bebas daripada
pendatang asing tanpa izin.

You might also like