You are on page 1of 15

JURNAL 1 : TUJUH KRITERIA PERSEKITARAN BILIK DARJAH

YANG LEBIH EFEKTIF

ABSTRAK

Pengurusan bilik darjah merupakan teknik yang perlu dipelajari dan dimasteri oleh semua
guru. Guru sebagai pengelola bilik darjah merupakan ikon utama dalam mengurus dan mentadbir
segala urusan yang berkaitan bilik darjah etika menyampaikan kurikulumnya. Pengurusan bilik
darjah yang berkesan akan mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif.
Bilik darjah dengan suasana kondusif ialah rutin bilik darjah yang yang berjalan dengan lancar
meliputi kebersihan dan keceriaan bilik darjah, perabot berada dalam keadaan tang teratur dan
kemas, disiplin kelas berada dalam keadaan yang terkawal, penggunaan bahan dan sumber
pengajaran secara baik dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan teratur dan
lancar. Selain menjadi ikon yang utama, guru turut memainkan peranan sebagai pengurus bilik
darjah, perancang bagi menghidupkan dan menggerakkan suasana bilik darjah, pengelola
aktiviti-aktiviti bilik darjah, pengarah dan pengawal bilik darjah.

PENGENALAN

Pengurusan secara umumnya didefinisikan sebagai proses perancangan, pengelolaan,


pengarahan dan kawalan terhadap usaha yang dijalankan ahli organisasi dan melibatkan
penggunaan sumber-sumber organisasi dalam usaha mencapai matlamat yang telah digariskan
oleh organisasi terbabit. Daripada perspektif islam pula, pengurusan ditakrifkan sebagai proses
melakukan kerja dan menyempurnakan kerja melalui fungsi- fungsi pengurusan secara fitrah
melalui dan bersama orang lain dalam usaha mencapai objektif kerja secara berkesan dan
menggunakan sumber- sumber organisasi dengan cekap dalam persekitaran yang dinamik dan
sentiasa berubah-ubah bagi mencapai objektif organisasi demi mencapai kebaikan di dunia dan
di akhirat. Selain itu, pengurusan juga boleh ditakrifkan sebagai satu proses mendapatkan
penyertaan, kerjasama dan campur tangan ahli bagi mencapai objektif- objektif organisasi atau
kumpulan yang melibatkan gerak kerja termasuk merancang mengelola, memimpin, mengarah
dan mengawal.

Bilik darjah ialah satu tempat di mana proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.
Secara amnya, bilik darjah ialah bilik- bilik yang ada di sekolah di mana sekumpulan pelajar
mengikuti pelajaran atau belajar sesuatu mata pelajaran dan diajar oleh guru. Bagi konsep yang
lebih umum, bilik darjah tidak hanya merupakan ruang bagi proses pengajaran dan pembelajaran,
tetapi turut merangkumi para pelajar dan guru yang belajar dan mengajar serta berinteraksi
antara satu sama lain didalamnya.

Pengurusan bilik darjah pula didefinisikan sebagai set tingkahlaku yang kompleks,
digunakan oleh guru bagi menetapkan dan memastikan keadaan- keadaan bilik darjah menjurus
kepada pencapaian kepada objektif pengajaran yang berkesan. Ia juga merupakan satu proses
yang memerlukan guru mengurus bilik darjah dengan baik agar aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan dapat dijalankan. Tugas mengurus bilik darjah ini termasuklah
susun atur peralatan bilik darjah dan mewujudkan komunikasi serta interaksi antara para pelajar
dan guru. Pemantauan guru terhadap tingkah laku pelajar dan penglibatan pelajar secara
maksimum dalam aktiviti pembelajaran, meminimumkan tingkah laku pelajar yang mengganggu
aktivi pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung dan penggunaan masa pengajaran
dan pembelajaran yang efisyen.

Pengurusan bilik darjah secara efektif bergantung sepenuhnya kepada guru iaitu sejauh
mana guru mempunyai kemahiran komunikasi, kemahiran merancang dan mengurus, kemahiran
mengajar dan keupayaan guru menggunakan motivasi dan pengukuhan. Oleh itu guru
memainkan peranan penting bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran apat berjalan dengan
berkesan dengan adanya kemahiran pengurusan bilik darjah. Pengurusan ini adalah sama bagi
pendidikan kurikulum biasa dan pendidikan kurikulum bercorak teknik dan vokasional. Apa
yang penting ialah bagaimana guru menguruskan bilik darjah bagi memastikan proses
pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.
PERBINCANGAN

Terdapat tujuh kriteria yang boleh digunakan oleh guru bagi mewujudkan persekitaran bilik
darjah yang efektif. Antaranya ialah:

1. Kerja Berkumpulan VS Kerja Individu


Pembentukan pengajaran dan pembelajaran secara berkumpulan adalah lebih
efektif adalah lebih efektif dan efisien berbanding pengajaran secara kerja individu.
Konsep ini boleh didefinisikan sebagai pembelajaran secara koperatif dan kolaboratif.
Koperatif bermaksud bekerja bersama-sama bagi mencapai sesuatu objektif yang telah
ditetapkan secara bersama. Melalui pembelajaran secara koperatif setiap individu yang
terlibat akan cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama dengan ahli kumpulan.
Strategi pengajaran ini memusatkan pelajar. Melalui konsep ini pelajar akan menjalankan
aktiviti kumpulan mengikut kebolehan, keupayaan menguasai kemahiran tertentu
mengikut kadar pembelajaran yang sepadan dengan kebolehan mereka tidak kiralah
samada kurikulum yang diajar adalah kurikulum teknik dan vokasional.
Melalui kaedah pembelajaran secara koperatif, guru akan memulakan pengajaran
secara kelas dan memberikan penerangan awal aktiviti yang akan mereka lakukan pada
hari tersebut samada melibatkan teori atau amali. Sekiranya pembelajaran bersifat teori,
kemungkinan aktiviti yang akan diadakan adalah membina ‘mind map’, sekiranya
pembelajaran adalah berkonsepkan amali, penggunaan alatan akan digunakan secara
berkumpulan. Segala maklumat penting berkaitan aktiviti pembelajaran seperti objektif
dan langkah-langkah akan diterangkan oleh guru sebelum pelajar memulakan aktiviti
mereka. Seterusnya guru akan membahagikan kelas kepada beberapa kumpulan-
kumpulan kecil dengan tugasan tertentu.
Melalui kaedah ini, pelajar akan dapat belajar untuk mengenalpasti peranan
mereka di dalam kumpulan, tanggungjawab yang dipikul dan semangat kerjasama dan
toleransi antara ahli kumpulan. Pemahaman berkenaan item ini, akan menentukan
kejayaan kumpulan. Kejayaan setiap ahli kumpulan secara langsung akan menentukan
kejayaan kumpulan, begitu juga sebaliknya, jika seorang ahli gagal memainkan
peranannya dengan baik, maka seluruh ahli kumpulan juga akan gagal.
Kaedah ini menjamin setiap pelajar belajar pembelajaran kendiri secara tidak langsung
berkaitan semangat :

 Saling bergantung antara satu sama lain dalam kumpulan. Kejayaan


kumpulan bergantung sepenuhnya kepada usaha keras kesemua ahli
kumpulan dan kebolehan unik yang ada dalam diri setiap ahli. Sikap
komited setiap ahli akan membawa kepada sifat keazaman untuk berjaya
dan membuat yang terbaik bagi kumpulan.
 Pelajar akan menjalankan pembelajaran secara bersemuka dan dapat
berbincangg tentang aktiviti yang diberikan oleh guru. Perbincangan
berkaitan penyelesaian masalah, menunjuk ajar ahli yang masih samar
dengan aktiviti, menyemak perkara yang telah diputuskan bersama
kumpulan, membincangkan konsep yang terlibat dan mengaitkan
pengetahuan baru akan membina keyakinan diri, kebolehan memberi
arahan, sikap toleransi dan kerjasama, kebolehan menyelesaikan masalah
dan pembangunan konsep baru dalam diri pelajar. Pembangunan
interpersonal dalam diri pelajar akan berkembang dengan pesat dan
teratur.
 Setiap pelajar akan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi kepada
kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan akan bertanggungjawab untuk
memastikan kejayaan setiap ahli kumpulan.

Aktiviti pembelajaran secara aktiviti individu memandu pelajar untuk membuat


latihan dan ulangkaji secara individu dan pelajar biasanya mempunyai akses kepada
bahan pembelajaran yang disediakan oleh guru. Aktiviti secara individu memungkinkan
pelajar belajar mengikut kebolehan mereka sendiri. Kebaikan pembelajaran secara
aktiviti individu membolehkan pelajar menguasai kesemua elemen dalam kurikulum
tersebut dengan lebih mendalam. Selain itu pembelajaran secara ini membolehkan pelajar
meningkatkan tahap keyakinan diri, kebolehan mengolah dan menganalisis segala
maklumat, pembangunan sifat berdikasi yang tinggi. Walaupun pembelajaran secara
aktiviti individu mempunyai kelebihan yang besar dan dapat membantu kemandirian diri
pelajar, namun masih terdapat kelemahan pembelajaran menggunakan keadah ini
antaranya ialah:

 Komitmen yang tinggi diperlukan bagi memastikan pelajar tidak lali


daripada tugas yang telah digalaskan kepada mereka. Kaedah ini juga
kurang sesuai digunakan untuk pelajar peringkat rendah dan masih kurang
pengalaman. Sesetengah pelajar tidak dapat menyesuaikan diri dengan
konsep pembelajaran sebegini.
 Guru hanyalah sebagai penyokong bagi aktiviti pelajar bukan lagi sebagai
penyampai maklumat. Fungsi ini mungkin tidak dapat diterima oleh
sesetengah guru jika ada pelajar yangtidak bertanggungjawab sepenuhnya.
 Tidak banyak kurikulum dapat diaplikasikan dalam kaaedah ini dan
kemungkinan pelajar tidak dapat memahami sepenuhnya aktiviti yang
dirancang oleh guru adalah berskala besar.

2. Penggunaan Psikologi dalam Pembelajaran

Psikologi pendidikan merupakan disiplin psikologi yang khusus dalam mempelajari,


meneliti, dan membahas tingkah laku individu yang sedang berada dalam proses pendidikan
yang meliputi tingkah laku belajar, tingkah laku mengajar dan tingkah laku belajar mengajar.
Psikologi boleh digunakan ketika proses pengajaran dan pembelajaran kerana guru dapat
menggunakan psikologi bagi mengawal ketika kelas.
Bidang psikologi membina dan menghasilkan teori-teori serta prinsip-prinsip yang
menjadi asas bagi guru memahami tingkah laku pelajar. Teori dan prinsip ini meliputi teori
pembelajaran, motivasi, kecerdasan dan peneguhan. Dengan menggunakan psikologi, guru
dapat membuat keputusan tentang sesuatu masalah pelajar secara lebih objektif dan
sistematik. Guru juga boleh mendefinisikan masalah, mencari alternatif kepada penyelesaian
masalah dan menguji sesuatu alternative. Walaupun guru tersebut merupakan guru bidang
teknik dan vokasional, pendekatan pengajaran dan pembelajaran adalah berkonsepkan teras
yang sama. Perlaksanaan psikologi dalam pendidikan dapat memberikan kebaikan kepada
guru dari segi:
 Meningkatkan pengajaran dan pembelajaran pelajar-pelajar dengan
mengaplikasikan psikologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi
memotivasikan pelajar tersebut.
 Dapat menentukan kesesuaian strategi pengajaran bergantung kepada tingkah
laku yang ditunjukkan oleh pelajar
 Memberikan layanan yang sewajarnya kepada pelajar
 Guru dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran beliau
dan pelajar.
 Meramal serta mengawal tingkah laku pelajar yang mana bidang psikologi
adalah meliputi teori pembelajaran, motivasi, peneguhan dan kecerdasan.
 Bidang psikologi dapat membekalkan pengetahuan mengenai perbezaan setiap
individu samada dari segi mental, emosi, kognitif dan social pelajar.
 Membantu guru memahami strategi penyelesaian masalah, gaya pembelajaran
serta cara memproses bahan pembelajaran samada menggunakan bahan atau
alatan.
 Guru boleh menggunakan dan teknik pengajaran sejajar dengan peringkat
kognitif pelajar tersebut.

3. Pengurusan Disiplin Pelajar dan Peraturan Bilik Darjah

Disiplin pelajar merupakan aspek penting apabila ianya dikaitkan dengan falsafah
pengurusan bilik darjah. Mewujudkan dan mengurus disiplin dalam bilik darjah merupakan
satu unsur utama bagi mencapai kejayaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Masalah disiplin merupakan masalah yang paling mencabar dalam aspek pengajaran. Guru
yang baru bertugas ditempat yang baru sentiasa merasa khuatir mengenai masalah disiplin
pelajar. Ini kerana kejayaan dan kegagalan sepanjang pengajaran dan pembelajaran
bergantung kepada kebolehan guru mengawal persekitaran bilik darjah. Disiplin merupakan
cara seseorang berfikir dengan teratur dan dapat melahirkan sifat yang rasional,
meningkatkan keyakinan diri dan kecekalan hati seseorang untuk mengikut peraturan-
peraturan yang telah diterima umum.
Guru perlu sedar dan peka, dalam proses pelajar berkembang dan membentuk
kebolehan yang akan mengarahkan diri sendiri di mana pelbagai pengaruh akan menjuruskan
dirinya dalam masalah disiplin. Terdapat beberapa pengaruh yang menyebabkan
pembentukan masalah disiplin dikalangan pelajar iaitu:

 Guru kurang berfungsi.

Kegagalan guru untuk memberi tumpuan kepada bilik darjah akan


menghasilkan perubahan tingkahlaku yang negatif dalam diri para pelajar. Kesannya,
berlaku pengabaian terhadap pelajar yang sedia ada di dalam bilik darjah, dan
membawa kepada masalah disiplin.

 Wujud kumpulan tertentu.

Peningkatan bilangan pelajar yang ramai dalam sesebuah bilik darjah boleh
mengakibatkan wujudnya kumpulan-kumpulan kecil pelajar. Contohnya kumpulan
pelajar yang mempunyai sosio-ekonomi yang baik berbanding sebahagian pelajar lain
dalam bilik darjah tersebut. Kumpulan pelajar yang mempunyai sosio-ekonomi yang
rendah akan mengasingkan diri kerana wujudnya perasaan rendah diri. Ini boleh
mengakibatkan masalah disiplin di kalangan pelajar.

 Pengajaran dan pembelajaran yang kurang berkesan.

Proses pengajaran dan pembelajaran amat penting bagi memastikan bidang


pendidikan melahirkan modal insan yang berjaya didunia dan akhirat. Kegagalan guru
dalam menyusun corak pengajaran yang baik akan menyebabkan tumpuan pelajar-
pelajar juga gagal dicapai. Maka akan wujudlah sikap-sikap yang kurang
menyenangkan didalam bilik darjah seterusnya membawa kepada masalah disiplin.
Kewujudan masalah disiplin ini kan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran
samada dari segi guru atau pelajar yang lain.
 Halangan komunikasi

Komunikasi adalah aspek penting dalam pengurusan bilik darjah. Pelajar-


pelajar akan mengadu tentang tahap kefahaman mereka terhadap sesuatu topik.
Kegagalan guru mewujudkan komunikasi yang positif dalam hubungannya dengan
pelajar akan mendatangkan kesan malu dan rendah diri pelajar kerana menganggap
guru kurang memberi perhatian tentang pertanyaan mereka dan mengaggap soalan
yang ditanya adalah tidak sesuai. Pelajar yang menyimpan perasaan malu dan rendah
diri merupakan golongan yang akan bermasalah dalam bilik darjah.

Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan oleh guru bagi mengatasi masalah disiplin
yang wujud dalam bilik darjah. Antaranya ialah:

 Ganjaran

Guru boleh memotivasikan pelajar agar bersikap baik dengan menjanjikan


ganjaran bagi sikap baik yang ditunjukkan oleh pelajar. Pujian dan markah bagi sikap
yang baik merupakan satu ganjaran yang mudah dan berkesan.

 Bahasa Isyarat

Sekiranya terdapat masalah disiplin dalam bilik darjah semasa sesi pengajaran
dan pembelajaran berlaku guru tidak perlu memarahi pelajar dengan mengeluarkan
suara yang kuat tetapi cukuplah hanya dengan menggunakan bahasa isyarat. Bahasa
isyarat yang boleh digunakan bagi memberi amaran atau menghantikan perbuatan
pelajar yang membuat bising adalah dengan merenung, berdiri senyap disamping
pelajar atau menggeleng- geleng kepala kearah pelajar tersebut atau menggunakan
isyarat tangan agar pelajar memberi perhatian kepada guru.

 Mempelbagaikan kaedah pengajaran.

Salah satu punca pelajar merasa resah ketika proses pengajaran dan
pembelajaran adalah kerana mereka bosan dengan cara penyampaian. Pelajar akan
mudah merasa jemu sekiranya guru hanya menggunakan kaedah yang sama ketika
proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu mempelbagaikan kaedah dan teknik
pengajaran agar sesuai dengan keadaan dan isi kandungan pelajaran serta mampu
menarik minat pelajar untuk mengikuti proses pengajaran guru. Antara keadah
pengajaran yang boleh digunakan ialah melibatkan pelajar dalam amali yang
dilakukan samada dalam kelas, makmal dan bengkel.

 Kaedah kaunseling

Sekiranya masalah disiplin pelajar tidak dapat diselesaikan dengan cara diatas,
guru perlu merujuk masalah tersebut kepada guru kaunseling. Dengan kepakaran dan
kebolehan yang dimiliki oleh guru kaunseling akan dapat menyelesaikan masalah
disiplin pelajar dengan lebih efektif dan berkesan.

4. Persekitaran Bilik Darjah

Suasana bilik darjah yang harmonis dapat membantu peningkatan pengajaran dan
pembelajaran yang lebih bermakna. Bilik darjah ini boleh terdiri daripada kelas, makmal atau
bengkel. Menjadi tanggungjawab guru untuk membentuk persekitaran dan budaya bilik
darjah yang baik. Gaya kepimpinan yang berwibawa tanpa terlalu banyak memberi arahan
akan memberi masa bagi mendapatkan buah fikiran antara pelajar untuk menyelesai sesuatu
isu, dan pergaulan antara pelajar akan lebih mesra dan memupuk sikap saling bekerjasama.
Pendekatan yang hendak digunakan bagi mengawal persekitaran dalam bilik darjah perlu
berlandaskan tahap perkembangan pelajar-pelajar dan persekitaran yang digunakan
contohnya makmal atau bengkel. Persekitaran bilik darjah yang baik biasa dikaitkan dengan
kepatuhan dan keseronokan pelajar-pelajar bersama guru dalam bilik darjah tersebut.
Guru yang memiliki kepimpinan yang matang akan menerima dan menghormati
pendapat setiap pelajar dalam bilik darjah dan memperbaiki peraturan supaya boleh berubah
mengikut keadaan. Apabila berlaku keadaan ini guru sebagai pemimpin akan dapat
menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi dan pertumbuhan diri pelajar-pelajar serta
bersikap terbuka dalam perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan.
Pengurusan bilik darjah akan bertambah baik sekiranya sistem penyeliaan diurus
dengan berkesan. Pelajar-pelajar akan diberikan tugasan untuk mewujudkan pembelajaran
yang kondusif dan membantu dalam penyediaan bahan dan alatan. Tugasan-tugasan yang
diberikan kepada setiap pelajar akan dapat membantu mengembangkan budaya
tertanggungjawab, berkerjasama serta hubungan yang baik antara rakan sebaya, hubungan
antara guru dengan pelajar dan peranan guru dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi
oleh pelajar-pelajar.
Oleh itu guru berperanan sebagai penggerak dan pengubah persekitaran yang kurang
menyerlah kepada suasana yang lebih kondusif sebagai langkah utama bagi mewujudkan
susanan pembelajaran yang memberangsangkan ke arah pembentukan modal insan di
kalangan pelajar.

5. Aktiviti Pembelajaran Berpusat Guru VS Pendekatan Berpusat Pelajar

Pembelajaran berpusat guru merupakan amalan pengajaran dan pembelajaran yang


paling lama diaplikasikan dalam sistem pendidikan Negara kita. Dalam konsep pengajaran
dan pembelajaran berpusatkan guru, guru merupakan peranan utama dalam menguasai dan
mengawal segala aktiviti dalam bilik darjah. Pelajar bertindak sebagai penonton dan
pendengar yang hanya mendengar pengajaran yang disampaikan oleh guru. Oleh itu hanya
komunikasi sehala sahaja yang berlaku dimana pelajar hanya mendengar dan guru hanya
memberikan pengajaran. Dalam konsep ini, guru akan bertindak sebagai autokratik dan
hanya memberi arahan kepada pelajar dan pelajar hanya akan menurut apa yang disuruh oleh
guru. Pelajar tidak digalakkan untuk menyumbang idea. Melalui konsep ini juga, guru amat
mementingkan pencapaian objektif pengajaran dan tidak mengambil berat perkembangan
emosi dan sahsiah pelajar. Pelajar akan sentiasa berada dalam keadaan tegang dan tiada
hubungan positif diantara guru dan pelajar dapat diwujudkan.
Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berpusat guru, memerlukan pelajar
banyak menggunakan teknik hafalan dan pelajar perlu banyak mengingat daripada membuat
interpretasi. Melalui kaedah ini, guru terlalu mementingkan pengajaran keseluruhan kelas
dan tidak mengambil kira ciri-ciri perbezaan pelajar seperti kebolehan dan minat yang wujud.
Kelemahan yang wujud daripada aplikasi penggunaan kaedah ini ialah, pelajar akan menjadi
kurang aktif, kreatif dan tidak berinisiatif untuk menguasai ilmu baru. Walaubagaimanapun
keadah pengajaran inisesuai bagi teknik penceritaan yang mana keseluruhan cerita adalah
dikawal oleh guru. Namun begitu, sekiranya penceritaan yang dilakukan oleh guru bertujuan
untuk membina pemikiran kreatif pelajar, maka pelajar perlu juga dilibatkan dalam sesi
penceritaan tersebut. Contohnya penggunaan bahan seperti alatan keluli atau pemasangan
computer. Kedua-dua aspek ini memerlukan pelajar turut sama mengambil bahagian seperti
memberikan contoh penggunaan setiap alatan yang digunakan secara am dari perspektif
pelajar.
Pendekatan berpusat murid merupakan ciri utama dalam KBSR dan KBSM yang
mana telah menekankan pelajar sebagai teraju utama dalam setiap sesi pengajaran dan
pembelajaran di sekolah. Kurikulum KBSR dan KBSM turut melibatkan kurikulum bagi
pendidikan teknik dan vokasional. Melalui kurikulum ini, pelajar digalakkan untuk
melibatkan diri secara aktif dalam setiap sesi pembelajaran samada pembelajaran melibatkan
teori atau amali yang dilakukan di kelas atau dimakmal dan bengkel. Melalui kaedah ini,
pelajar akan mempunyai lebih banyak masa untuk meneroka dan menyelesaikan masalah
pembelajaran dengan bantuan guru yang bertindak sebagai fasilitator atau pemudahcara.
Corak komunikasi yang berlaku juga adalah lebih aktif dengan wujudnya interaksi antara
pelajar - guru dan pelajar - pelajar.
Guru sebagai pemimpin dan pelajar bebas bertanya serta memberi pendapat. Guru
juga akan menggalakkan pelajar terlibat secara aktif dan melakukan aktiviti pembelajaran
secara lebih berkesan. Melalui kaedah ini juga, pencapaian objektif pembelajaran merupakan
konsep utama yang ditekankan. Teknik perbincangan yang berlaku melalui konsep
pengajaran dan pembelajaran ini akan memupuk sikap toleransi dan kerjasama antara rakan
sebaya dan pelajar dan guru. Selain itu, guru juga mempunyai lebih peluang berinteraksi
dengan pelajar dan boleh mengesan kelemahan mereka diperingkat awal. Langkah untuk
mengatasi kelemahan pelajar dapat diambil dengan cepat dan berkesan. Hasilnya pelajar akan
dapat berkembang mengikut kesediaan mereka.

6. Pengajaran/penjelasan VS Pemikiran Kritikal dan Kreatif

Pengajaran secara kelas merupakan pengajaran yang berpusat guru di mana guru
menyampaikan isi kandungan pengajaran yang meliputi isi pelajaran, masa dan latihan dalam
kelas. Pengajaran dalam kelas biasanya dimulakan dengan set induksi. Pada permulaan kelas
guru akan menerangkan objektif, konsep dan penerangan mengenai set induksi. Kebaikan
pendekatan pengajaran secara kelas adalah dapat menjimatkan masa dan tenaga guru dalam
menjelaskan konsep kepada pelajar. Guru juga dapat menggalakkan pelajar belajar bersama-
sama dan meningkat keyakinan sosial pelajar. Pelajar yang lemah dapat dimotivasikan kerana
mendapat sokongan daripada rakan sebaya. Selain itu, pembelajaran secara kelas dapat
melatih pelajar bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain ketika melalukan kerja
amali. Namun begitu, pembelajaran secara kelas juga mempunyai kelemahan di mana jika
kelas didominasi pelajar pandai, pelajar yang lemah akan mudah merasa rendah diri dan
kurang motivasi dalam pembelajaran. Keadaan ini akan menyebabkan pelajar lemah kurang
berminat untuk belajar. Selain itu, pendekatan ini biasanya didominasi oleh guru, jadi pelajar
mudah berasa bosan dan kurang berminat dengan pelajaran. Guru juga tidak dapat memberi
pemerhatian secara individu kepada pelajar. Ini akan menimbulkan rasa rendah diri, kecewa
dan putus asa bagi pelajar yang lemah kerana kurang diberi perhatian oleh guru.
Kemahiran berfikir secara kritikal merujuk kepada keberkesanan pelajar dalam
menggunakan minda untuk menilai kesahan atau kebaikan idea, buah fikiran, pandangan dan
boleh memberi tindak balas berdasarkan kepada bukti dan sebab musabab. Pemikiran kritikal
termasuklah membanding dan membeza, mengketegori, menerangkan sebab akibat, meneliti
bahagian dan hubungan bahagian yang kecil dengan keseluruhan, membuat andaian,
membuat ramalan dan inferensi. Sementara kemahiran berfikir secara kreatif pula
didefinisikan sebagai kebolehan menggunakan minda dalam menjana idea-idea yang baru,
kemungkinan baru, ciptaan baru berdasarkan keaslian dalam penghasilannya. Kebolehan
berfikir secara kreatif termasuklah mencipta idea yang baru, mencipta analogi dan
metaphora. Kemahiran berfikir secara kritikal dan kreatif ini dapat membantu dalam
membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
Melalui kemahiran berfikir secara kritikal dan kreatif, pelajar akan menggunakan
kesemua kebolehan dan keupayaan kognitif, emosi, bahasa dan sosial mereka ketika proses
pembelajaran berlaku. Pelajar yang pandai dan lemah mempunyai peluang pembelajaran
secara adil dan saksama. Ini kerana, dengan berlakunya perkembangan dalam kesemua item
tersebut pelajar pandai dan pelajar lemah akan dapat sama-sama belajar dalam persekitaran
yang seronok dan kondusif. Penjanaan idea dalam diri setiap pelajar akan mewujudkan sikap
kerjasama, toleransi dan muafakat secara tidak langsung dalam diri pelajar berkenan.
7. Susun Atur Secara Tradisional VS Susun Atur Bilik Fleksibel

Bilik darjah merupakan tempat berlakunya pengajaran dan pembelajaran yang


melibatkan guru dan pelajar. Biasanya sebuah bilik darjah mempunyai perabot seperti kerusi,
meja, almari dan papan hitam. Bilik darjah tradisional merujuk kepada bilik darjah yang
digunakan sejak zaman awal persekolahan hingga KBSR dan KBSM diperkenalkan. Bilik
darjah seperti ini masih ada sehingga sekarang dan masih sesuai digunakan untuk aktiviti
pengajaran dan pembelajaran.
Ciri-ciri bilik darjah tradisi terbahagi kepada dua bahagian iaitu susunan perabot dan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Bagi susunan perabot, bilik darjah tradisi menyusun
kerusi dan meja pelajar mengikut baris samada berkembar atau tidak. Kerusi dan meja guru
berada di hadapan kelas samada disebelah kiri atau kanan kelas. Papan tulis diletakan
ditengah hadapan kelas dan diapit oleh papan kenyataan di kanan dan kiri papan tulis.
Terdapat sebuah almari bagi menyimpan barang kelas dibahagian belakang kelas. Manakala
dari segi aktiviti pengajaran dan pembelajaran pula, guru akan bergerak dihadapan kelas dan
sekali sekala bergerak ke belakang. Kaedah pengajaran guru adalah berdasarkan seluruh
kelas dan berpusatkan guru. Pelajar akan kekal ditempat masing-masing kecuali adanya
aktiviti di papan tulis. Konsep ini turut diaplikasikan kepada sekolah yang berteraskan teknik
dan vokasional.
Dengan susunan perabot yang sebegini mendorong pembelajaran secara sehala dan
berpusatkan guru. Guru hanya akan berada di hadapan kelas menyampaikan isi pelajaran dan
sesekali bergerak ke belakang. Interaksi antara pelajar dan guru serta antara rakan sekelas
adalah minimum dan memungkinkan potensi social individu pelajar terbantut. Aktiviti
perbincangan dan soal jawab berlaku secara kelas dan menyulitkan aktiviti penggayaan dan
pemulihan pelajar. Dalam bilik darjah tradisi penggunaan alat bantu mengajar amat kurang
digunakan dan ini secara langsung akan mengurangkan interaksi antara pelajar-pelajar,
pelajar-guru dan pelajar-bahan.
Seiring dengan pembangunan pesat Negara, sepatutnya susunan bilik darjah tradisi
diubah kepada susunan bilik darjah yang lebih fleksibel bagi manfaat guru dan pelajar.
Susunan bilik darjah fleksibel merupakan konsep baru yang diaplikasikan di Negara kita.
Konsep ini turut merangkumi bilik makmal dan bengkel di institusi pendidikan teknik dan
vokasional. Bilik darjah ini adalah berasaskan konsep pendidikan terbuka yang memberi
peluang kepada pelajar untuk menentukan dan merancang aktiviti pelajar sendiri. Bilik darjah
fleksibel atau bercirikan KBSR merujuk kepada susun atur kelas yang bercirikan KBSR.
Bilik darjah ini telah dilaksanakan disekolah-sekolah terpilih sahaja. Menerusi bilik darjah
ini, kerusi dan meja pelajar disusun dalam bentuk kumpulan iaitu seramai 6 hingga 8 orang.
Murid akan duduk dalm kumpulan masing-masingberdasarkan kebolehan setiap individu.
Terdapat ruang-ruang pembelajaran seperti ruang aktiviti dan ruang bacaan bagi kegunaan
pelajar. Selain itu, beberapa sudut diadakan sebagai sudut bahasa dan alat bantuan mengajar
serta hasil kerja pelajar dipaparkan disebahagian sudut.
Pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah berkonsepkan KBSR ini,
memfokuskan kepada pelajar-pelajar. Aktiviti yang dijalankan dalam bilik darjah ini banyak
berorientasikan aktiviti kumpulan. Interaksi tiga hala amat digalakkan antara guru-pelajar,
pelajar-guru dan pelajar-pelajar. Suasana dalam bilik darjah adalah agak bising kerana
wujudnya pergerakkan dan interaksi pelajar-pelajar secara tiga hala. Melalui bilik darjah ini
juga, pelajar-pelajar dilihat sangat aktif dan kondusif. Pendekatan pengajaran guru dalam
bilik darjah KBSR adalah berpusat kepada pelajar. Kerusi dan meja pelajar disusun atur
mengikut kumpulan akan memberikan penekanan kepada aktiviti bercorak kumpulan seperti
sumbang saran, perbincangan, pengayaan dan pemulihan. Interaksi dua hala guru-pelajar,
pelajar-guru dan pelajar-bahan pengajaran dimaksimumkan, menjadikan pelajar lebih aktif.
Bahan pengajaran perlu banyak dan dipamerkan. Hasil kerja pelajar dipamerkann bagi
menggalakkan persaingan yang sihat di kalangan pelajar. Susun atur perabot dan bahan
disertai dengan hiasan dalaman yang mudah dan menarik untuk menjadikan bilik darjah ini
kondusif bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Suasana bilik darjah menjadi bising
dengan kehadiran interaktiviti antara pelajar kerana pelajar lebih bebas untuk bergerak dan
berbincang sesama rakan-rakan. Situasi sebegini amat baik bagi perkembangan kognitif,
emosi, bahasa dan sosial pelajar di mana kesemua item yang tersebut akan berkembang
secara pesat dan maksimum.
KESIMPULAN

Pelajar yang berjaya dan nama sekolah yang mengharum adalah hasil usaha guru yang
telah berjaya membentuk pelajar menjadi pelajar yang berjaya melalui keberkesanan pengurusan
bilik darjah selama mana proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Keupayaan dan
kebolehan guru untuk merancang, mengurus, mengajar dan mengawal perlakuan pelajar dalam
bilik darjah adalah intipati utama kejayaan yang diperolehi oleh pelajar dan sekolah.
Kesungguhan guru dalam membantu dan menyokong pelajar agar melibatkan diri dalam proses
pengajaran dan pembelajaran, penguasaan pelajaran secara menyeluruh dan berkesan serta rasa
tanggungjawab pelajar untuk menyelesaikan tugasan yang diberi adalah hasil daripada motivasi
yang diberikan oleh guru.

Pengurusan bilik darjah yang berkesan juga dapat menggalakkan pemikiran kreatif yang
tinggi di kalangan para pelajar. Susunan dan aturan bilik darjah yang kemas dan teratur
memudahkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Keaktifan pelajar di dalam kelas
juga bergantung kepada susun atur perabot dalam bilik darjah. Keselesaan adalah penting bagi
membolehkan proses pembelajaran berlaku dengan efektif dan efisien.

Selain itu, kebolehan guru untuk mengawal dan mengurus persekitaran, komunikasi
dalam bilik darjah memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai kerana proses
pendidikan berlaku dalam suasana yang lancar.

You might also like