You are on page 1of 4

Penyakit Kelamin 

Pengenalan

Penyakit kelamin disebarkan oleh hubungan seks di antara pasangan yang telah dijangkiti
kuman, seperti chlamydia, sifilis, dan gonorrhoea. Ia boleh dijangkiti semasa hubungan seks
melalui faraj, dubur atau oral (mulut). Di Malaysia, kes penyakit kelamin bertambah dari
setahun ke setahun, lebih-lebih lagi di kalangan remaja yang berumur antara 16 hingga 24
tahun. Di antara sebab bertambahnya kes-kes adalah pendedahan awal kepada seks dan
melakukan seks bebas pada umur yang muda.

Apakah jenis-jenis penyakit kelamin?

Berikut adalah jenis-jenis dan organisma yang terlibat:

STD Organisma
Gonorea bacteria Neisseria gonorrhoeae
Sifilis bacteria Treponema pallidum
Non-gonococcal urethritis (NGU) Chlamydia trachomatis
Vaginal candidiasis Candida albicans (fungus)
Genital herpes Herpes simplex virus type 1 & 2
Genital warts (Ketuat kemaluan) Human papilloma virus
HIV/AIDS Human immunodeficiency virus
Hepatitis B Hepatitis B virus
Trichomoniasis Trichomonas vaginalis

Bagaimanakah penyakit kelamin merebak?

Penyakit kelamin merebak melalui:

• Perhubungan seks
• Berdampingan secara fizikal dengan individu yang telah dijangkiti

Beberapa jenis penyakit kelamin boleh merebak melalui pemindahan cecair badan (air mani
dan cecair dari faraj) daripada individu yang telah dijangkiti contohnya HIV, Hepatitis B,
NGU dan gonorea.

Sementara itu, jangkitan penyakit kelamin seperti sifilis, herpes dan warts boleh merebak
melalui sentuhan kulit. Penyakit sifilis, hepatitis B dan HIV juga boleh merebak melalui ibu
yang telah dijangkiti virus tersebut kepada bayinya ketika dalam rahim atau sewaktu
dilahirkan, penagih berkongsi jarum atau pemindahan darah yang dijangkiti.
Tanda dan Gejala

Anda perlu berjumpa doktor jikalau anda mengalami gejala seperti: gatal, bengkak, keluaran
lendir, sakit dan kemerahan di bahagian faraj atau zakar.

Chlamydia
Infeksi chlamydia selalunya tidak memberi apa-apa tanda bagi pesakit wanita, tetapi pesakit
mungkin mengalami gejala yang tidak spesifik seperti radang pundi kencing, keluar lendir
dari faraj atau sakit dibahagian ari-ari. Lelaki pula selalunya mengadu sakit, bengkak, keluar
lendir dari salur kencing dan bengkak salur epididymis (salur dari buah zakar ke batang
zakar). Penyakit ini masih boleh berjangkit walaupun gejala hilang selepas beberapa hari.

Ketuat di bahagian kemaluan (Genital warts)


Terdapat ketuat yang berwarna putih atau bintik-bintik putih di kawasan faraj dan kemaluan
atau di lubang dubur. Tetapi majoriti pesakit tidak mengadu apa-apa gejala. Ini menyukarkan
doktor untuk membuat diagnosa yang tepat bagi penyakit tersebut.

Herpes di bahagian kemaluan (Genital herpes)


Seperti ketuat, herpes selalunya tidak menunjukkan gejala. Mereka yang menunjukkan tanda-
tanda penyakit akan mengadu demam, gatal, 'panas' dan bengkak di bahagian kemaluan.
Kadang kala kulit boleh melepuh dan membentuk ulser menyebabkan sakit semasa
membuang air kecil.

Gonorrhoea
Gonorrhoea ialah jangkitan yang melibatkan lelaki dan perempuan. Ia boleh menjangkiti
kawasan kemaluan, dubur, usus atau tekak. Lebih kurang 90% pesakit akan mengadu
keluaran lendir bernanah dari kemaluan dan sakit semasa membuang air kecil.

Sifilis
Gejala awal adalah pesakit akan mengadu terdapat kudis di bahagian zakar atau faraj. Kudis
ini mungkin tidak sakit dan akan hilang sendiri walaupun tanpa rawatan. Kemudian, pesakit
mungkin mengalami demam, menggigil dan sakit otot.

HIV
Pesakit mungkin mengadu demam dan sakit otot beberapa bulan selepas dijangkiti virus HIV
ini, tetapi majoriti tidak mempunyai apa-apa simptom. Hanya ujian darah dapat memastikan
samada anda dijangkiti HIV atau tidak. Ujian darah tersebut mungkin terpaksa diulang jika
didapati negatif. Lama-kelamaan, sistem imuniti pesakit akan berkurangan dan beliau akan
sukar melawan penyakit.

Radang salur air kencing tidak spesifik (Non-specific urethritis)


Penyakit ini menjangkiti lelaki. Antara gejala penyakit ini adalah terasa sakit semasa
membuang air kecil dan pengeluaran lendir dari pangkal saluran air kencing.

Trichomoniasis
Organisma yang menyebabkan penyakit ini diberi nama Trichomonas vaginalis (TV).
Kebanyakkan pesakit tidak mengadu apa-apa simptom tetapi segelintir akan mengalami
keluar lendir kuning atau kehijauan, gatal dan bengkak di bahagian kemaluan. Pesakit lelaki
tidak menunjukkan simptom tetapi selalu menjadi pembawa penyakit ini.
Kutu di bahagian kemaluan (Pubic lice)
Gejala termasuk gatal di bahagian kulit kemaluan. Anda mungkin juga mendapati serbuk-
serbuk hitam (najis kutu) atau serbuk putih (telur kutu) di bahagian kemaluan atau seluar
dalam.

Kudis buta (Scabies)


Kudis buta boleh berlaku di mana-mana bahagian badan dan juga kawasan lipatan badan.
Gejala termasuk gatal (lebih lagi waktu malam), ruam dan bintik-bintik hitam.

Kulat(Thrush)
Gejala termasuk gatal di bahagian kemaluan, keluar lendir putih (seperti dadih) dan bintik-
bintik keputihan di bahagian faraj atau zakar.

Penyakit kelamin boleh berjangkit melalui hubungan seks. Anda boleh mendapat penyakit ini
jika anda mengamalkan atau melakukan:

• Hubungan seks melalui faraj tanpa kondom,


• Hubungan seks melalui dubur
• Hubungan seks melalui oral (mulut ) atau,
• Bersentuh dengan kemaluan mereka yang berpenyakit.

Diagnosa
Kebanyakan penyakit kelamin didiagnosa melalui aduan dan sejarah pesakit. Ini diikuti
dengan ujian darah, air kencing dan ujian-ujian yang lain. Keputusan ujian adalah rahsia
antara pesakit dan doktor. Doktor akan mengambil ujian sapuan di bahagian faraj atau batang
zakar (selalunya menggunakan putik kapas) dan akan dihantar ke makmal. Kementerian
merangka untuk mewujudkan satu ujian yang mudah bagi pesakit melakukannya di rumah,
menggunakan air kencing atau sapuan dari pangkal faraj sahaja. Pesakit boleh mengambilnya
sendiri dan ini boleh mengurangkan rasa malu pesakit ketika mendapat rawatan bagi penyakit
ini. Dalam sesetengah keadaan, seperti kutu kemaluan, ujian yang lebih rapi tidak perlu
dilakukan. Penyakit kelamin memang sukar untuk dikesan memandangkan kebanyakan
pesakit tidak menunjukkan apa-apa simptom (seperti chlamydia, trichomonas, dlll).
Komplikasi
Penyakit radang pelvis (Pelvic inflammatory disesase), mengandung luar rahim atau
kemandulan.
Rawatan

Penyakit kelamin boleh dirawat dengan antibiotik sementara ubat antiviral boleh digunakan
untuk herpes di bahagian kemaluan. Ketuat di bahagian kemaluan selalunya sembuh sendiri
tanpa rawatan. Kebanyakan pesakit akan meminta doktor membuang ketuat tersebut untuk
sebab-sebab kosmetik. Di antara agen-agen untuk rawatan ini termasuklah cecair nitrogen
yang akan membekukan ketuat tersebut.

Dalam semua kes penyakit kelamin, pasangan seks pesakit mesti juga dirawat walaupun tidak
menunjukkan apa-apa gejala. Ini untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain.

Di bawah adalah rawatan-rawatan ringkas tetapi spesifik bagi penyakit-penyakit kelamin:


• Chlamydia dirawat dengan antibiotik untuk beberapa hari hingga beberapa minggu.
• Trichomonas vaginalis (TV): mudah dirawat dengan antibiotik.
• Gonorrhea: biasanya antibiotik diberi untuk sekali sahaja.
• Radang salur air kencing tidak spesifik (Non-specific urethritis) mudah dirawat
dengan antibiotik tetapi boleh menyebabkan masalah kepada saluran air kencing
setelah pulih.
• Virus yang menyebabkan herpes di bahagian kemaluan boleh hidup dalam badan dan
tiada rawatan boleh menghilangkannya. Tetapi ubat antiviral boleh mengurangkan
simptomnya. Pesakit dinasihat mengamal beberapa amalan sihat yang boleh
mengurangkan kebarangkalian virus itu kembali seperti: menghindari dari stres,
banyak berehat, berhenti merokok, tidak mengambil alkohol dan tidak berjemur di
tempat panas.
• Kutu di bahagian kemaluan (Pubic lice) boleh dirawati dengan shampu khas, krim
atau losyen yang boleh membunuh kutu dan telur-telur kutu.
• Kudis buta (Scabies) boleh dirawati dengan losyen khas yang dilumur ke seluruh
badan dan dibasuh 24 jam kemudian.
• Setakat ini tiada rawatan untuk AIDS (hyperlink AIDS), tetapi ada ubat yang dapat
mengurangkan virus HIV dalam badan dan menolong mengekalkan sistem imuniti
seberapa lama yang boleh. Penyakit yang berkaitan dengan AIDS boleh juga dirawat.
• Sifilis boleh dirawat pada peringkat awal menggunakan antibiotik untuk 2 minggu. Ia
juga boleh dirawat semasa peringkat akhir penyakit. Tetapi komplikasi kepada
jantung dan sistem saraf tidak boleh dirawat.
• Kulat (Thrush) boleh dirawat dengan pesari (ubat yang dimasukkan ke dalam faraj),
krim atau ubat pil makan. Lelaki selalunya menggunakan krim yang disapu
dibahagian kemaluan.
• Ketuat di bahagian kemaluan (Genital warts) boleh dirawat dengan menyapu ubat
cecair khas atau membekukannya dengan ubat semburan. Rawatan perlu diulangi
beberapa kali untuk beberapa sesi.
Pencegahan
Hindari dari seks bebas dan setia kepada pasangan anda adalah rawatan yang paling efektif
dan praktikal. Penggunaan kondom juga efektif untuk menghindari penyakit kelamin. Anda
digalakkan kerap menjalani pemeriksaan doktor dan mengenali pasangan anda sebelum
berkahwin. Jikalau anda mempunyai simptom-simptom di atas, anda dan pasangan anda
digalakkan berjumpa dengan doktor. Pasangan anda juga digalakkan untuk mendapat rawatan
jika didapati mengidap penyakit kelamin.

Kumpulan Sokongan

Majlis AIDS Malaysia

Semakan Akhir : 22 April 2008

You might also like