You are on page 1of 4

PUNCA BERLAKUNYA RASUAH DAN KESAN BURUK PERBUATAN

TERSEBUT

Rasuah didefinisikan sebagai pemberian hadiah atau wang untuk mempengaruhi seseorang supaya
memenuhi keinginannya. Menurut sejarah Jepun, rasuah mula diperkatakan pada era Edo (1603-1868)
yang diistilahkan sebagai “sidepno-shito” yang bermaksud ‘wang dari bawah meja’. Apabila disebut
sahaja rasuah, terbayanglah kepada kita ada dua pihak iaitu yang memberi dan yang menerima.
Menyedari betapa seriusnya keadaan ini, Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah bin Haji
Ahmad Badawi, berikrar untuk membanteras perbuatan rasuah hingga ke akar umbi. Hal ini kerana
rasuah adalah umpama barah yang akan meruntuhkan negara jika tidak dibendung dengan segera.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang individu mudah terlibat dengan rasuah.

Antara faktor berlakunya gejala rasuah ialah kepimpinan seseorang individu yang lemah. Individu
yang mempunyai kepimpinan yang lemah, tidak yakin pada diri sendiri dan mudah dipengaruhi oleh
orang lain untuk melakukan rasuah. Mereka mudah disogok dengan pelbagai kemewahan seperti harta
benda, wang ringgit, kedudukan dan pangkat. Malah sejarah juga telah membuktikan bahawa bekas
Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon tumbang ekoran perbuatan rasuahnya dalam skandal
‘Water Gate’. Ada kalanya penerima rasuah dianggap sebagai kerbau dicucuk hidungnya dan mudah
patuh dengan kehendak pemberi rasuah. Akibatnya, amalan rasuah menyebabkan masyarakat hilang
kepercayaan terhadap individu dan kepimpinan organisasi berkenaan.

Pada masa yang sama, kurangnya didikan agama dan didikan moral mendorong berlakunya
perbuatan rasuah dalam masyarakat kita. Individu yang tidak mempunyai iman yang kukuh dan
mantap akan mudah terpesong. Golongan seperti ini akan menggunakan kedudukan dan peluang yang
ada pada dirinya untuk menerima habuan tanpa berasa bersalah. Dengan tidak memikirkan akibatnya,
rasuah menjadi rutin dalam tugas mereka. Malah individu yang terlibat dengan rasuah tidak berasa
malu atau takut kepada Allah serta balasannya sama ada di dunia ataupun pada hari akhirat.
Rasuah juga berlaku kerana wujudnya birokrasi dalam sistem pemerintahan yang secara
tidak langsung memberi peluang kepada pegawai-pegawai kerajaan daripada berbagai-bagai
peringkat mengambil kesempatan. Hal ini berlaku kerana proses pengurusan pentadbiran
terpaksa melalui banyak saluran. Apabila keadaan ini berlaku, sudah tentulah pemprosesan
sesuatu permohonan memerlukan masa yang lama atau panjang. Bagi individu yang terdesak
atau mahu segera menyelesaikan masalah, mereka akan mudah memberikan imbuhan dengan
harapan pemprosesan permohonan didahulukan oleh penerima rasuah. Oleh hal yang
demikian, sudah tentu situasi ini akan menimbulkan perasaan tidak puas hati terhadap
golongan yang tidak terlibat dengan rasuah.

Di samping itu, amalan rasuah turut meninggalkan pelbagai kesan. Malah, amalan rasuah jika
tidak dicegah akan terus merebak dan membawa banyak kesan negatif kepada individu,
masyarakat ataupun negara. Individu yang terlibat dengan rasuah akan dipandang hina
oleh masyarakat. Keluarga mereka juga akan dicemuh dan dipulaukan oleh jiran-jiran.
Apabila seseorang menjadikan rasuah sebagai amalan biasa, sudah tentulah amalan ini akan
merebak dan mempengaruhi orang lain. Oleh itu, rasuah perlu dibanteras segera supaya tidak
memberi kesan buruk terhadap sistem pentadbiran dan sosial negara. Masyarakat perlu
mengambil sikap berwaspada agar perbuatan rasuah tidak menjadi ‘barah’ dalam masyarakat.

Sebenarnya, jika perbuatan rasuah tidak dibendung, kehidupan masyarakat dan birokrasi
sistem pemerintahan akan terganggu dan sekali gus menyebabkan imej negara pada mata
dunia tercalar. Seluruh masyarakat, bangsa dan negara akan menjadi kucar-kacir dan hancur
seperti yang pernah berlaku dalam sejarah tamadun besar dunia seperti di Mesir dan
Mesopotamia. Natijahnya, negara tersebut bukan sahaja akan dipandang serong oleh negara
lain. Malahan, hubungan dagangan yang sedia ada juga akan terputus dan ekonomi negara
akan terjejas teruk lalu agenda pembangunan negara akan terbantut. Oleh itu, perbuatan
rasuah yang bagaikan duri dalam daging hendaklah dibanteras sejak awal lagi.
Kesimpulannya, rasuah merupakan musuh negara yang berbahaya dan perlu dibanteras melalui
kerjasama anggota masyarakat dan pihak berkuasa.Adakah kita rela melihat tabiat buruk ini terus
menular? Tegasnya, adalah penting bagi semua pihak untuk melaporkan gejala rasuah kepada Biro
Pencegah Rasuah (BPR). Islam mengharamkan umatnya memberi dan menerima rasuah. Jika kita
sayang akan negara kita, cegahlah rasuah sebelum parah. Sesungguhnya, amalan rasuah hanya
menjual prinsip, maruah dan harga diri!

You might also like