You are on page 1of 4

Sejarah perkembangan kurikulum di Malaysia

Pembentukan kurikulum negara telah berubah dari masa ke semasa mengikut peredaran

zaman dan keperluan antaranya, sejarah pendidikan negara telah mengalami perkembangan

sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara. Perkembangan dalam sistem pendidikan

di Malaysia telah melalui lima fasa iaitu pada zaman pramerdeka (sebelum 1957), zaman pasca

merdeka (1957-1970), zaman dasar ekonomi baru (1971-1990), zaman dasar pembangunan

negara (1991-2000) dan zaman dasar wawasan negara (2001-hingga sekarang). Pada zaman

pramerdeka iaitu pada zaman pemerintahan British, sekolah di Tanah Melayu telah dibahagikan

kepada empat aliran iaitu sekolah Inggeris, Cina, Tamil dan Melayu yang menggunakan bahasa

pengantar dan kurikulum yang berbeza. Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan terdapat

beberapa laporan telah dihasilkan, antaranya Laporan Barnes (1951) yang bertindak untuk

menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan kaum Melayu, Laporan Fenn-Wu (1951) yang

bertindak untuk menyemak pendidikan kaum Cina, Ordinan Pelajaran (1952) iaitu bertindak

untuk mengesyorkan sekolah kebangsaan sebagai corak sistem persekolahan kebangsaan dan

Laporan Razak (1956) yang bertindak untuk meletakkan asas bagi perkembangan sistem

pendidikan untuk memupuk perpaduan melalui Sistem Pelajaran Kebangsaan untuk semua,

bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta kurikulum kebangsaan, sukatan pelajaran

dan sistem peperiksaan yang sama bagi semua sekolah.

Pada zaman pasca merdeka pula, Ordinan Pelajaran (1957) telah digubal berdasarkan

Laporan Razak yang mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan

Kebangsaan. Perakuan Laporan Razak dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada
tahun 1960. Laporan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta Pelajaran 1961

yang menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum yang sama pada

semua peringkat. Dasar pendemokrasian pendidikan bermula pada tahun 1962 dengan memberi

penekanan kepada pendidikan percuma untuk semua pelajar. Dasar ini diperluas dengan

mengadakan pendidikan universal selama sembilan tahun apabila peperiksaan pemilihan masuk

ke sekolah menengah dihapuskan pada tahun 1964. Kadar ini terus meningkat apabila terdapat

perubahan dasar yang melanjutkan pendidikan universal kepada 11 tahun secara berperingkat

mulai tahun 1992.

Zaman Dasar Ekonomi Baru ialah zaman ketiga dalam sejarah perkembangan pendidikan

negara. Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah satu falsafah yang menekankan kesimbangan antara

pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi (Universiti Terbuka Malaysia, 2008). Dasar

Ekonomi Baru dilancarkan melalui Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) dengan sasaran

tempoh masa 20 tahun. Dalam tempoh ini, pendidikan telah diberikan keutamaan untuk

menangani masalah ketidakseimbangan dalam masyarakat dengan menyediakan peluang

pendidikan yang sama untuk semua kaum di Malaysia. DEB dilaksanakan menerusi strategi

serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula

masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut

fungsi-fungsi ekonomi.

Selain itu, terdapat banyak perubahan pendidikan yang berlaku dalam tempoh tersebut,

Antaranya ialah Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama di sekolah menengah dan

dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 1982 di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Manakala di

Sarawak pula ia dilaksanakan pada tahun 1990. Di samping itu, penggunaan Bahasa Inggeris di
sekolah menengah juga diberi tumpuan dan penekanan. Sementara itu, sekolah rendah kerajaan

dan bantuan kerajaan terus mengekalkan penggunaan bahasa ibunda masing-masing. Ini selaras

dengan Akta Pelajaran 1961 iaitu menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa

pengantar di sekolah. Antara perubahan lain yang berlaku ialah Kementerian Pelajaran telah

memperkenalkan mata pelajaran Sivik bagi menyemai semangat jati diri di kalangan pelajar.

Untuk menghasilkan teanaga pekerja yang berkemahiran tinggi, mata pelajaran Pendidikan Sains

dan Teknikal pula diberi penekanan di peringkat sekolah menengah. Perubahan terakhir yang

dilaksanakan pada zaman ini ialah meningkatkan peluang pemdidikan untuk warganegara

Malaysia di samping memperbanyakan lagi kemudahan fizikal dan infrastruktur terutamanya di

kawasan luar Bandar.

Zaman Dasar Pembangunan Negara pula adalah rentetan daripada Zaman Dasar Ekonomi

Baru. Pada zaman ini, bidang pendidikan mengalami lebih banyak perubahan berbanding dengan

zaman sebelumnya. Antaranya ialah penubuhan Sekolah Bestari pada tahun 1999, menaik taraf

kelayakan guru-guru iaitu daripada peringkat sijil kepada diploma, menaik taraf Makab Sultan

Idris kepada Unversiti Sutan Idris dan yang terakhirnya menaik taraf Sekolah Menengah

Vokasional kepada Sekolah Menengah Teknik. Kesemua perlaksanaan ini adalah berasaskan

dasar pendidikan yang diperkukuhkan lagi melalui penggubalan dan pindaan beberapa akta

seperti Akta Pendidikan 1996, Akta Insititut Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Majlis

Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan akta-akta lain yang berkaitan dengan pendidikan.

Zaman kelima dalam sejarah perkembangan kurikulum ialah Zaman Dasar Wawasan

Negara. Zaman ini juga dikenali dengan alaf ke-21, iaitu zaman teknologi maklumat.

Tempiasnya juga turut dirasai dalam sistem pendidikan di Malaysia. Oleh yang demikian, pihak
Kementerian Pelajaran telah membuat penambahbaikan dan pemantapan dalam sistem

pendidikan terutamanya dalam perundangan, dasar dan program utama agar ia selari dengan arus

pemodenan yang berlaku. Antara dasar yang dilaksanakan ialah pengajaran dan pembelajaran

Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pada tahun 2003. Manakala program yang

dijalankan pula ialah Program j-QAF iaitu diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan lagi

pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam Tahun 1 hingga Tahun 6 menguasai Jawi, Al-

Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain apabila tamat sekolah rendah. Di samping itu, perubahan

bermakna yang berlaku dalam sejarah perkembangan pendidikan negara ialah penubuhan

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) pada tahun 2004. Penubuhan tersebut telah

menyebabkan tanggungjawab Kementerian Pelajaran Malaysia hanyalah tertumpu kepada

pembangunan pendidikan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi dan

pendidikan guru.

You might also like