You are on page 1of 27

Kertas Kerja yang dibentangkan pada 

Konvensyen Tulisan Jawi 


anjuran Pusat Islam Malaysia, 
Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, 
di Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur, 
pada 6-8 November 1991.

Pedoman Ejaan Jawi 


yang Disempurnakan (1986)

Oleh

ISMAIL BIN DAHAMAN 


Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa 
Dewan Bahasa dan Pustaka

1- Tujuan:

Tujuan kertas ini ialah:

i) Untuk menyampaikan maklumat terakhir tentang perkembangan sistem


ejaan Jawi yang rasmi, iaitu Pedoman Ejaan Jawi yang
Disempurnakan (PEJYD) tahun 1986, yang dirumuskan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka berdasarkan keputusan Konvensyen Tulisan Jawi
tahun 1984.

2- Pengenalan: Latar Belakang Sejarah Penyempurnaan Tulisan dan Sistem Ejaan Jawi:

2.1- Tujuan Penyempurnaan Ejaan Jawi:

Penyempurnaan sistem ejaan Jawi bertujuan yang berikut:

i) Untuk mewujudkan satu sistem tulisan dan ejaan Jawi yang


kemaskini yang sekaligus menyelaraskan pelbagai kaedah ejaan
Jawi yang tidak seragam dalam penggunaan (sebelum tahun 1986).
ii) Untuk membaiki atau membetulkan beberapa kelemahan atau
kekurangan yang terdapat dalam sistem ejaan Jawi lama yang
sedang digunakan, iaitu Sistem Ejaan Jawi Za'ba.

iii) Untuk memodenkan sistem ejaan Jawi (selaras dengan


perkembangan ejaan Rumi) supaya dapat diperluas dan
dipertingkatkan penggunaannya menjadi wahana penulisan bahasa
Melayu moden, tanpa menghapuskan ciri-ciri khusus sejarah dan
budayanya, bagi menghadapi perkembangan bahasa, bangsa dan
negara dalam merealisasikan wawasan tahun 2020 dan seterusnya.

2.2- Langkah-langkah Penyempurnaan Ejaan Jawi (1981-1989).

Dua usaha penting pada peringkat awal penyempurnaan sistem tulisan


dan ejaan Jawi ialah usaha yang dibuat oleh Pakatan Bahasa Melayu
Persuratan Diraja Johor (P.Bm.P.B) yang menerbitkan sistem ejaan
Jawi pada tahun 1937 (1), dan usaha yang dibuat oleh Allahyarham
Zainal Abidin bin Ahmad (seterusnya disebut Za'ba) pada tahun 1939.
Tulisan Jawi yang terpakai di sektor pendidikan dan dalam pelbagai
urusan sejak awal abad ini hingga tahun 1986 ialah Sistem Ejaan Jawi
Za'ba (seterusnya disebut Jawi Za'ba) yang diasaskan pada tahun
1939 (2) itu.

Selepas itu, usaha untuk meneliti dan menyempurnakan ejaan Jawi


tidak berlaku sehingga akhir tahun 1970-an, kecuali oleh pihak swasta
seperti Penerbit Majalah Dian. Dalam dekad 1980-an, antara usaha
yang diambil untuk menyempurnakan sistem ejaan Jawi diperturunkan
di bawah.

i) Pada tahun 1981, Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa


Malaysia (yang dilantik oleh Y.B. Menteri Pendidikan) telah
memperakukan supaya "Sistem Ejaan Jawi yang ada sekarang
hendaklah dikaji semula dan diperkemas. Sebuah buku Daftar Ejaan
Rumi-Jawi yang lengkap hendaklah diusaha dan diterbitkan dengan
segera". (3)

ii) Untuk melaksanakan perakuan tersebut, Dewan Bahasa dan


Pustaka telah melantik sebuah Jawatankuasa Mengkaji Semula
Sistem Ejaan Jawi pada bulan Februari tahun 1983 (seterusnya
disebut Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP). Jawatankuasa tersebut
dianggotai oleh pakar-pakar sistem ejaan Jawi yang mewakili Pusat
Perkembangan Kurikulum, Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia,
dan Pusat-pusat Pengajian Tinggi Tempatan (4) . Bidang Tugas
Jawatankuasa ini ialah membuat kajian semula terhadap Sistem
Ejaan Jawi Za'ba ( Pelita Bahasa Melayu Penggal I [Permulaan
Nahu Melayu] tahun 1941, danDaftar Ejaan Melayu [Jawi-
Rumi] tahun 1949), Sistem Ejaan Jawi Dian (Majalah Dian)  (5) dan
sistem ejaan Jawi yang digunakan dalam penerbitan-penerbitan
Syarikat Utusan Melayu Sdn. Berhad (6) , serta beberapa penerbitan
Jawi yang lain.

iii) Hasil kajian Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP (1983) itu


dibentangkan dalam Konvensyen Tulisan Jawi (Anjuran Yayasan
Islam Terengganu, dan Dewan Bahasa dan Pustaka) yang diadakan
pada 9-11 April 1984 di Terengganu. Konvensyen ini dihadiri oleh
150 orang pakar tentang ejaan Jawi, termasuk mereka yang fasih
dalam bahasa Arab dan ahli agama Islam, yang terdiri daripada
wakil-wakil jabatan kerajaan, pusat pengajian tinggi, institusi dan
badan sukarela di seluruh negara, serta beberapa perwakilan rasmi
dari negara Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, dan
Thailand (7) .

iv) Cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP


telah diterima dengan baik oleh peserta Konvensyen di Terengganu
itu. Hasilnya telah dirumuskan dan disusun oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka dalam tahun 1985, dan diterbitkan pada tahun 1986 dalam
bentuk buku berjudul Pedoman Ejaan Jawi yang
Disempurnakan  (8) (seterusnya disebut PEJYD).

v) Dalam tahun 1987, Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP telah


mengadakan pertemuan dan menerima pandangan daripada
beberapa orang pakar serta bersetuju membuat sedikit pembaikan ke
atas rumusan yang terkandung dalam PEJYD tahun 1986 itu.
Kemudian, naskhah pedoman tersebut diperkemas dan diterbitkan
sebagai edisi kedua dengan judul PEJYD  (9) yang sama pada tahun
1987.

vi) Dengan berdasarkan PEJYD (1987) itu, Dewan Bahasa dan


Pustaka telah menyusun Daftar Ejaan Rumi-Jawi (10) yang pertama
kali diterbitkan pada tahun 1988. Senarai kata masukan adalah
berdasarkan senarai kata masukan dalam buku Daftar Ejaan Rumi
Bahasa Malaysia  (11) (1998).
vii) Daftar Ejaan Rumi-Jawi (1988) ini telah diterima dengan
pelbagai reaksi oleh pengguna kerana terdapat beberapa banyak
kesalahan pengejaan kata. Berdasarkan pandangan beberapa orang
pakar, daftar ini telah disemak semula dan diterbitkan cetakan
kedua pada tahun 1989 (12) . Dalam cetakan kedua ini, terdapat
pembetulan terhadap beberapa perkataan yang dicetak salah atau
kurang tepat pengejaannya dalam cetakan pertama, terutama
perkataan pinjaman dan serapan daripada bahasa Arab. Buku
cetakan kedua tahun 1989 ini memansuhkan penggunaan buku
cetakan pertama tahun 1988. Beberapa kesalahan pengejaan kata
yang masih terdapat di dalamnya akan dibetulkan supaya sesuai
dengan PEJYD .

viii) Kini, Dewan Bahasa dan Pustaka sedang menyusun edisi


kedua Daftar Ejaan Rumi-Jawi . Daftar ini akan mengandungi
semua kata dasar dan kata terbitan yang terdapat dalam
perbendaharaan kata bahasa Melayu umum dewasa ini. Dengan
terbitnya daftar ini kelak, maka cara pengejaan kata dalam tulisan
Jawi bagi semua bentuk kata dasar dan kata terbitan umum dapat
diselesaikan dan disebarkan.

3. Ciri-ciri Utama Dalam Sistem Ejaan Jawi yang Disempurnakan (1986).

3.1- Dasar penyempurnaan ejaan jawi: Dasar penyempurnaan ejaan Jawi


tahun 1986 cukup jelas, iaitu mewujudkan sistem ejaan Jawi untuk
keperluan masa kini dan keperluan masa depan dengan berlandaskan
sistem ejaan Jawi yang sedang digunakan. Dengan itu, landasan yang
digunakan bagi usaha penyempurnaan ejaan Jawi ialah Jawi Za'ba
(1941, 1949). Proses penyempurnaan terhadap Jawi Za'ba itu
dilakukan dengan lima kegiatan atau perkara (13) , iaitu (i)
mengekalkan yang sudah kemas, (ii) melengkapkan yang kurang, (iii)
mengadakan yang tiada, (iv) menjelaskan yang kabur, dan (v)
mengemaskan yang longgar.

3.2- Dengan landasan yang demikian, rumusan yang dibuat oleh


Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP sebagaimana yang diterima oleh
Konvensyen Tulisan Jawi (1984) itu "bukanlah menghasilkan sesuatu
sistem ejaan Jawi yang baru yang sama sekali menyimpang daripada
sistem ejaan sekarang, yakni yang disusun oleh Almarhum Zainal
Abidin bin Ahmad (Za'ba). Sebaliknya yang dihasilkan hanyalah
Sistem Ejaan Jawi Za'ba yang diperkemas dan dinyatakan semula
dengan perkataan baru". (Kertas Kerja 1984, hlm. 1).

3.3- Sebagai kesimpulannya, apabila diteliti PEJYD dengan saksama,


ternyatalah kepada kita dua kumpulan maklumat yang baru di
dalamnya, iaitu maklumat yang tidak terdapat dalam Jawi Za'ba.
Maklumat yang dimaksudkan itu ialah kaedah atau aturan yang berupa
"pembaikan" dan kaedah atau aturan yang berupa "tambahan" kepada
Jawi Za'ba. Kedua-dua aspek "pembaikan" dan "tambahan" ini
disifatkan sebagai kebaikan-kebaikan PEJYD yang disimpulkan
sebagai melebihi sistem ejaan lama.

3.4- Dalam kertas kerja ini, kami akan menampilkan kaedah atau aturan
yang berupa "pembaikan" dan "tambahan" yang menjadikan Jawi
Za'ba itu lebih sempurna sebagaimana yang termaktub dalam PEJYD .
Perkara ini dilihat dari sudut sistem huruf sebagai sistem bagi lambang
bunyi atau lambang fonem, dan bukan huruf sebagai ejaan atau tulisan
semata-mata. Contoh-contoh ejaan lama yang disenaraikan di sini
boleh berupa ejaan Jawi Za'ba atau ejaan yang tidak disenaraikan
dalam Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi) Za'ba tahun 1949 tetapi
digunakan sebagai ejaan Jawi Lama.

4. Pelambangan Bunyi atau Fonem.

Dalam PEJYD , huruf Jawi lebih lengkap untuk melambangkan semua


fonem atau bunyi Melayu jati dan bunyi atau fonem pinjaman yang ada
dalam bahasa Melayu moden kini. Kesemuanya terdapat 37 huruf; iaitu,
semua 30 huruf daripada tulisan Arab klasik dan tujuh yang disesuaikan
bentuknya daripada huruf Arab. Ini lebih lengkap daripada Jawi Za'ba;
malah, lebih kaya daripada huruf Arab sendiri.

4.1- Pelambangan Konsonan.

Kesemua fonem konsonan jati dan fonem pinjaman yang terdapat


dalam bahasa Melayu moden kini dapat dilambangkan oleh huruf-
huruf Jawi dalam PEJYD , iaitu hampir kesemuanya dengan
pelambangan satu lawan satu antara huruf dengan fonem atau bunyi.

Perinciannya:
i) Tiga belas konsonan jati Melayu dilambangkan dengan 13 huruf
daripada bahasa Arab, iaitu [b] ba, [t] ta dan ta marbutah, [d] da, [k]
kaf, [s] sin, [h] ha (simpul), [j] jim, [l] lam, [r] ra, [m] mim, [n] nun,
[w] wau dan [y] ya. Ini sama dengan Jawi Za'ba.

ii) Lima bunyi konsonan jati dilambangkan dengan huruf Arab yang
diubahsuai tanda titiknya, iaitu [p] pa, [g] ga, [c] ca, [ny] nya dan
[ng] nga. Ini sama dengan Jawi Za'ba.

iii) Bunyi konsonan jati Melayu hentian glotis [?] dilambangkan


dengan huruf hamzah (di awal) atau huruf qaf (di akhir). Ini
pembaikan kepada Jawi Za'ba / Lama.

Perinciannya:

a) Menggunakan huruf ( ‫ق‬ ) sahaja sebagai lambang bagi bunyi


hentian glotis di akhir kata jati bahasa Melayu. Dalam Jawi
Za'ba / Lama, terdapat tiga huruf yang biasa digunakan sebagai
lambang hentian glotis penutup suku kata atau di akhir kata, iaitu
huruf qaf, kaf dan hamzah yang ketiga-tiganya digunakan tanpa
aturan yang tertentu -- seolah-olah konsonan hentian glotis itu
mempunyai tiga nilai bunyi yang berbeza. Huruf qaf dipilih
kerana sudah banyak penggunaannya dalam Jawi Lama. Tidak
ada kekecualian dalam aturan ini.

Contohnya:
Rumi Za'ba PEJYD

Budak F‫بودق‬ F‫بودق‬


Baik ‫بأيك‬ ‫باءيق‬
Pokok F‫ڤوكوء‬ ‫ڤوكوق‬

Berikutan aturan itu, huruf kaf digunakan sebagai lambang bagi


konsonan [k] (bukan hentian glotis, tetapi plosif lelangit lembut
tak bersuara) di akhir kata bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa
Eropah yang lain. Manakala huruf hamzah (yang melambangkan
hentian glotis) hanya terdapat di akhir kata pinjaman daripada
bahasa Arab, di samping penggunaan huruf kaf dan qaf bagi kata-
kata tertentu.
Dengan aturan baru dalam PEJYD ini, dapat dikenal dengan
mudah asal sesuatu kata (etimologi) dalam bahasa Melayu
dengan cuma melihat kepada huruf akhir kata tersebut sama ada
kaf atau qaf atau hamzah. Ini suatu kebaikan bagi kaedah
mengajar dan belajar Jawi baru.

b) Menggunakan huruf hamzah sebagai lambang hentian glotis


Melayu yang membuka suku kata kedua yang bermula dengan
vokal (yakni, khusus bagi hamzah di antara kata sendi [di dan ke]
atau awalan [di-, ke- dan se-] dengan kata dasar yang bermula
dengan vokal). Contoh:
Rumi Za'ba/Lama PEJYD

Di atas ‫دأتس‬ ‫داءتس‬


Ke atas ‫كأتس‬ ‫كاءتس‬
Diatasi ‫دأتسي‬ ‫داءتسي‬
Keagamaan ‫كأگمأن‬ ‫كاءگاماءن‬
Seagama ‫سأگام‬ ‫ساءگام‬

Hamzah diletakkan di tengah baris, dan bukan di atas alif atau di


bawah alif atau di atas garis dasar. Ini pembaikan terhadap Jawi
Za'ba/Lama.

iv) Empat belas fonem atau bunyi konsonan Arab yang diterima
menjadi bunyi pinjaman dalam bahasa Melayu ialah yang
dilambangkan dengan huruf tha, ha, kha, zal, zai, syin, sod, dod, to,
zo, ain, ghain, fa, dan qaf. Huruf zai, syin dan fa digunakan juga
untuk melambangkan bunyi daripada bahasa Inggeris dan Eropah
[z], [sy] dan [f] satu per satu. Semua kata daripada bahasa Arab yang
mengandungi huruf-huruf ini diterima dan dikekalkan huruf dan
bentuk ejaan katanya dalam bahasa Melayu, kecuali beberapa kata
yang disesuaikan ejaannya (hurufnya) dan bentuknya dengan kaedah
sebutan Melayu jati. Ini sama dengan Jawi Za'ba/Lama.

v) Fonem [v] pinjaman daripada bahasa Inggeris dilambangkan dengan


huruf baru va, iaitu wau bertitik di atas ( ‫ژ‬ ). Ini tambahan kepada
Jawi Za'ba. Huruf baru va ini dicipta sebagai padanan bagi huruf
rumi [v] untuk menulis atau mengeja kata daripada bahasa Inggeris
dan bahasa-bahasa Eropah lain yang menggunakan aksara Latin
yang mengandungi huruf tersebut. Jawi Za'ba/Lama menggunakan
sama ada huruf ba atau wau atau fa tanpa aturan yang jelas. Contoh:
Rumi Za'ba/Lama PEJYD

Visa ‫ويسا‬ ‫ژيسا‬


Universiti ‫يونيبرسيتي‬ ‫اونيژرسيتي‬
Subversif ‫سبرسيف‬ ‫سوبژرسيف‬

vi) Semua huruf Jawi yang berasal daripada tulisan bahasa Arab
digunakan dalam PEJYD . Ini menjadikan tulisan Jawi memiliki
sistem abjad dan sistem huruf yang lebih lengkap daripada abjad dan
sistem huruf Rumi. Sehinggakan, apabila semua huruf Jawi tersebut
diperlukan padanannya dalam ejaan Rumi, maka terpaksalah
disediakan huruf-huruf Rumi yang sesuai yang dapat melambangkan
kesemua bunyi Arab yang disusun menurut kaedah transliterasi yang
berbeza daripada huruf Rumi biasa, seperti [s] bagi sod, bagi
menuliskan atau mengeja istilah agama Islam. Kaedah huruf Rumi
transliterasi ini dapat juga dilihat dalam buku Pedoman
Transliterasi Huruf Arab Ke Huruf Rumi  (14) tahun 1984.

4.2- Pelambangan Vokal:

i) Enam fonem vokal Melayu dalam PEJYD dilambangkan dengan


tiga huruf Jawi seperti dalam Jawi Za'ba, iaitu alif, wau, dan ya.
Dalam sistem Jawi, tidak dibezakan nilai panjang atau pendek bunyi
vokal seperti yang terdapat dalam sistem bunyi vokal bahasa Arab.
Ini memperkemaskan Jawi Za'ba/Lama. Perincian:

a) Vokal [a] dilambangkan dengan alif jika di awal kata dasar atau
pada suku kata terbuka.

b) Alif yang melambangkan vokal pepet (iaitu sama ada sebagai


satu suku kata atau sebagai permulaan suku kata) hanya hadir di
kedudukan awal kata dasar.

c) Vokal [i] dan [e] dilambangkan dengan huruf ya pada semua suku
kata terbuka atau suku kata tertutup, tetapi dilambangkan dengan
alif-ya apabila di awal kata dasar.
d) Vokal [u] dan [o] dilambangkan dengan huruf wau pada semua
suku kata terbuka atau suku kata tertutup, tetapi dilambangkan
dengan alif-wau apabila di awal kata dasar.

e) Vokal [a] dan pepet tidak dilambangkan dengan alif jika terletak
dalam suku kata tertutup (pola KVK).

ii) Huruf ya tanpa titik (alif maqsurah), iaitu ‫ى‬ , diterima


dalam PEJYD menjadi huruf yang berbeza fungsinya daripada huruf
ya biasa ‫ي‬ (ya bertitik). Ya tanpa titik ini diberi satu fungsi
tambahan, iaitu sebagai padanan bagi huruf [e] yang melambangkan
bunyi pepet pada akhir perkataan, khususnya yang terdapat pada
akhiran -isme dan -ase dalam kata pinjaman daripada bahasa
Inggeris. Ini tambahan kepada Jawi Za'ba/Lama.

Contoh:
Rumi Za'ba/Lama PEJYD

Rasionalisme ‫راسيونليزم‬ F‫راسيوناليسمى‬


Idealisme ‫ايدياليزم‬ F‫ايدياليسمى‬
Amilase ‫اميليس‬ ‫اميالسى‬
Lipase ‫ليڤيس‬ ‫ليڤاسى‬

Fungsi tambahan ya tanpa titik dalam PEJYD ini sama sekali tidak


menjejaskan fungsinya yang sedia sebagai alif maqsurah yang
diterima dalam kata pinjaman daripada bahasa Arab seperti  ‫هللا‬
‫تعالى‬ (Allah Taala) dan F‫موسى‬ (Musa).

Dengan ini, huruf ya tanpa titik dalam PEJYD melambangkan dua


fonem vokal: (i) Sebagai lambang vokal [a] panjang di akhir kata
pinjaman daripada bahasa Arab dan (ii) sebagai lambang vokal
pepet di akhir kata pinjaman daripada bahasa Inggeris.

4.3- Pelambangan Diftong:

i) Dua daripada tiga bunyi diftong dalam bahasa Melayu


dilambangkan dengan huruf baru dalam PEJYD , Diftong [ai]
dilambangkan dengan alif-ya; diftong [au] dilambangkan dengan
alif-wau. Ini memperkemas aturan dalam Jawi Za'ba/Lama. Diftong
[oi] ditulis dengan huruf wau-ya. Perincian:
a) Dalam Jawi Lama, diftong [ai] menggunakan huruf ya yang
digunakan juga bagi vokal [i] dan [e]. Ini menyebabkan huruf ya
boleh dibaca sebagai vokal atau diftong dalam kata yang
homografik sifatnya. Dengan menggunakan alif-ya sebagai
lambang diftong [ai], kita mengurangkan fungsi huruf ya, iaitu
daripada empat bunyi -- konsonan [y], vokal [i], vokal [e], dan
diftong [ai] -- kepada tiga sahaja, iaitu cuma bagi lambang vokal
dan konsonan. Dengan ini juga, dibezakan dengan jelas homograf
yang mengandungi diftong [ai] daripada yang mengandungi vokal
[i] atau [e]. Contoh:
Rumi Za'ba/Lama PEJYD

Petai ‫ڤتي‬ ‫ڤتاي‬


Peti ‫ڤتي‬ ‫ڤتي‬
Kulai ‫كولي‬ ‫كوالي‬
Kuli, kole ‫كولي‬ ‫كولي‬

b) Begitu juga, dalam Jawi Lama, diftong [au] menggunakan huruf


wau yang digunakan juga bagi vokal [u] dan [o]. Ini menyebabkan
huruf wau boleh dibaca sebagai vokal atau diftong dalam kata
yang homografik bentuknya. Dengan menggunakan alif-wau
sebagai lambang diftong [au], kita juga mengurangkan fungsi
huruf wau, iaitu daripada empat bunyi -- konsonan [w], vokal [u],
vokal [o], dan diftong [au] -- kepada tiga sahaja, iaitu cuma
sebagai lambang bagi vokal dan konsonan. Dengan ini juga,
dapatlah kita bezakan homograf yang mengandungi diftong [au]
daripada yang mengandungi vokal [u] atau [o] dengan jelas.
Contoh:
Rumi Za'ba/Lama PEJYD

Lampau ‫لمڤو‬ ‫لمڤاو‬


Lampu ‫لمڤو‬ ‫لمڤو‬
Kilau ‫كيلو‬ ‫كيالو‬
Kilo ‫كيلو‬ ‫كيلو‬

Menggunakan bentuk ejaan yang berlainan bagi dua kata yang


sebutan dan maknanya berbeza tentulah lebih mudah daripada
hendak menentukan sebutan dan makna bagi kata homograf
dengan semata-mata berdasarkan penggunaan dalam konteks ayat.

5. Pengejaan Kata Dasar:

PEJYD menyelaraskan dan mengurangkan penggunaan aturan yang


berbagai-bagai atau yang banyak bagi mengeja kata-kata dalam sesuatu
kategori pola ejaan yang sama yang terdapat dalam Jawi Za'ba/Lama.

5.1- Ejaan Kata Ekasuku:

PEJYD memperkenalkan aturan ejaan kata ekasuku yang berpola


KVK yang mudah berbanding dengan ejaan Jawi Za'ba/Lama.

Perincian:

i) Semua kata ekasuku tertutup dengan vokal [a] dieja dengan huruf
alif, iaitu bagi semua kata Melayu Jati dan kata pinjaman daripada
bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain, kecuali daripada bahasa
Arab. Ini menyelaraskan aturan Jawi Za'ba/Lama. Dalam Ejaan
Jawi Lama, ada kata yang menggunakan alif, ada kata yang tanpa
alif. Contoh: Wang ‫واک‬ , dan ‫دان‬ , jam ‫جام‬ , dam ‫دام‬ (sejenis
permainan), kad ‫كاد‬ , plat ‫ڤالت‬ .

ii) Semua kata ekasuku yang berasal daripada bahasa Arab dikekalkan
bentuknya yang asal: Sama ada dengan huruf vokal atau tanpa huruf
vokal. Contoh: Sah ‫صح‬ , dam ‫دم‬ , mad ‫مد‬ , khas ‫خاص‬ , hal ‫حال‬ ,
bab ‫باب‬ .

Dengan ini, berertilah bahawa semua kata ekasuku tertutup ditulis


dengan huruf vokal, kecuali bagi beberapa kata tertentu daripada
bahasa Arab dan beberapa kata Melayu ejaan klasik sahaja (15) . Aturan
ini diperlukan kerana sudah banyak terdapat kata ekasuku daripada
bahasa asing, terutama daripada bahasa Inggeris, yang dipinjam ke
dalam bahasa Melayu (16) . Kata-kata tersebut perlu diperlihatkan
bentuk visualnya dalam ejaan Jawi yang seharusnya sejajar cara
pelambangan vokalnya dengan bentuk visual dalam ejaan rumi.

5.2- Ejaan Kata Dasar Dua Suku Kata:


Perkara pokok yang menarik perhatian kita dalam sistem ejaan Jawi
ialah tentang penggunaan huruf vokal alif, wau dan ya dalam kata
dasar dua suku kata, tertutup atau terbuka, yang pelbagai ragamnya
dalam ejaan Za'ba/Lama. Yang menjadi masalah pokok yang
memperlihatkan ketidakseragaman itu ialah kata yang mengandungi
vokal [a]; ada yang menggunakan huruf alif, ada yang tidak.
Walaupun, jika diteliti dengan saksama, Jawi Za'ba/Lama itu
bersistem atau berperaturan, tetapi sistem atau peraturan itu terlalu
banyak ragamnya dan banyak pula mengandungi kekecualian yang
berbagai-bagai. Ini semua menjadi beban bagi ingatan dalam proses
pembelajaran Jawi dan, akibatnya, pengguna yang tidak peka kerap
membuat kesalahan mengeja huruf vokal tersebut.

Sistem yang dirumuskan dalam PEJYD memperlihatkan aturan yang


lebih sederhana bentuknya, lebih seragam sifatnya, lebih mudah
dimengerti, dan lebih senang menulisnya atau menggunakannya. Kami
akan mempamerkan beberapa pembaikan atau penambahan yang
dilakukan terhadap ejaan Jawi Za'ba/Lama itu sekadarnya, iaitu
berdasarkan jenis vokal (keenam-enam vokal) di kedua-dua suku kata
yang terlibat, dan beberapa kriteria yang lain.

5.2.1- Ejaan Kata Dasar Berpola KV-KV

Dalam PEJYD dirumuskan lima aturan pengejaan kata dasar


yang berpola KV-KV ini. Perincian:

i) Apabila KV-KV itu [Ka-Ka], huruf alif digunakan di kedua-


dua suku kata sekiranya suku kata kedua bermula dengan
huruf dal, ra, lam, wau atau nga. Ini sama dengan Jawi Za'ba,
iaitu ejaan menurut kaedah dal-ra-lam-wau-nga.

ii) Apabila KV-KV itu [Ka-Ka] juga, huruf alif digunakan di


suku kata pertama sahaja sekiranya suku kata kedua tidak
bermula dengan huruf konsonan dal, ra, lam, wau atau nga. Ini
sama dengan Jawi Za'ba, iaitu lanjutan daripada kaedah dal-ra-
lam-wau-nga.

iii) Apabila KV-KV itu bukan [Ka-Ka] (iaitu gabungan vokal


berpola [a-i], [a-u], [i-a], [i-i], [i-u], [e-a], [e-o], [u-a], [u-i], [u-
u], [o-a], [o-e] atau [o-o]), maka huruf vokal (alif, wau atau
ya) digunakan dikedua-dua suku kata terbuka itu. Ini
menyelaraskan dan mempermudah pelbagai aturan yang
terdapat dalam Jawi Za'ba/Lama.

iv) Apabila KV-KV itu [KV-ka] atau [KV-ga], iaitu suku kata
kedua berupa konsonan kaf atau ga, maka huruf vokal (alif,
wau atau ya) digunakan di suku kata yang pertama sahaja. Ini
sama dengan ejaan Jawi Za'ba/Lama, iaitu ejaan menurut
kaedah ka-ga.

v) Apabila KV-KV itu terdiri daripada suku kata pertama dengan


vokal pepet, maka huruf vokal (alif, wau atau ya) digunakan di
suku kata kedua sahaja. Ini sama dengan ejaan Za'ba/Lama.

5.2.2- Ejaan Kata Dasar Berpola KVK-KV:

Dalam PEJYD dirumuskan lima aturan pengejaan kata dasar


yang berpola KVK-KV. Perincian:

i) Apabila KVK-KV itu mengandungi vokal pepet di suku kata


pertama, maka huruf vokal (alif, wau atau ya) digunakan di
suku kata kedua sahaja. Ini menyelaraskan atau
menyeragamkan aturan ejaan Jawi Za'ba/Lama.

ii) Apabila KVK-KV itu [KaK-ka] atau [KaK-ga] (iaitu suku


kata kedua mengandungi huruf konsonan kaf atau ga), maka
huruf vokal tidak digunakan di kedua-dua suku kata. Ini
menyeragamkan ejaan Jawi Lama.

iii) Apabila KVK-KV itu bukan [KaK-ka] atau [KaK-ga] (iaitu


gabungan vokal berpola [a-a], [a-i] atau [a-u] dengan
konsonan di suku kata kedua bukan kaf atau ga), maka huruf
vokal (alif, wau atau ya) digunakan di suku kata kedua sahaja.
Ini menyeragamkan ejaan Jawi Lama.

iv) Apabila KVK-KV itu [KVK-ka] atau [KVK-ga] (iaitu suku


kata kedua mengandungi konsonan kaf atau ga) dengan vokal
[i], [e], [u] atau [o] di suku kata pertama, maka huruf vokal
(wau atau ya) digunakan di suku kata pertama sahaja. Ini sama
dengan Jawi Za'ba/Lama.

v) Apabila KVK-KV itu bukan [KVK-ka] atau [KVK-ga] (iaitu


gabungan vokal berpola [i-a], [i-i], [i-u], [e-a], [e-o], [u-a], [u-
i], [u-u], [o-a], [o-e] atau [o-o]), maka huruf vokal (alif, wau
atau ya) digunakan di kedua-dua suku kata. Ini menyelaraskan
dan mempermudah pelbagai aturan yang terdapat dalam Jawi
Za'ba/Lama.

5.2.3- Ejaan Kata Dasar Berpola V-VK, V-KVK, KV-VK dan KV-
KVK:

Sejumlah enam aturan pengejaan kata dasar yang berpola KV-


KVK dirumuskan dalam PEJYD . Perincian:

i) Bagi pola V-KVK, huruf vokal (alif, alif-wau atau alif-ya)


digunakan di suku kata pertama sahaja sebagai pemula kata.
Ini sama dengan ejaan Jawi Za'ba.

ii) Apabila KV-KVK mengandungi vokal [a] di suku kata kedua,


huruf vokal digunakan di suku kata pertama sahaja sekiranya
vokal yang pertama bukan pepet. Ini sama dengan ejaan Jawi
Za'ba.

iii) Apabila KV-KVK itu [Ke-KaK], huruf vokal (alif) tidak


digunakan di kedua-dua suku kata. Ini sama dengan Jawi
Za'ba.

iv) Apabila KV-KVK mengandungi vokal pepet di suku kata


pertama, huruf vokal (wau atau ya) digunakan di suku kata
kedua sahaja sekiranya vokal di suku kata kedua ini bukan [a].
Ini sama dengan Jawi Za'ba.

v) Huruf vokal digunakan di kedua-dua suku kata KV-KVK bagi


pola yang berikut: [a-i], [a-u], [e-e], [e-o], [i-i], [i-u], [o-e], [o-
o], [u-i] dan [u-u]. Ini menyelaraskan beberapa pengejaan kata
dalam Jawi Za'ba/Lama.

vi) Huruf vokal digunakan di kedua-dua suku kata yang berpola


KV-VK (iaitu urutan dua vokal di tengah kata dasar).

5.2.4- Ejaan Kata Dasar Berpola VK-KVK dan KVK-KVK:

Dalam PEJYD dirumuskan sejumlah empat aturan pengejaan


kata dasar yang berpola VK-KVK dan KVK-KVK. Perincian:
i) Huruf vokal tidak digunakan di kedua-dua suku KVK-KVK
apabila kedua-duanya mengandungi sama ada vokal [a] atau
pepet. Ini sama dengan Jawi Za'ba.

ii) Apabila vokal [a] atau pepet terdapat di suku kata kedua
sahaja, huruf vokal (wau atau ya) hanya digunakan di suku
kata pertama (iaitu pola [i-a], [e-a], [u-a] dan [o-a]).

iii) Apabila vokal [a] atau pepet terdapat di suku kata pertama
sahaja, huruf vokal (wau atau ya) hanya digunakan di suku
kata kedua (iaitu pola [a-i], [a-e], [a-u], [a-o], [pepet-i] dan
[pepet-u]).

iv) Apabila kata yang berpola KVK-KVK tidak mengandungi


vokal [a] atau pepet, maka huruf vokal (wau atau ya)
digunakan di kedua-dua suku kata tertutup itu (iaitu pola [e-e],
[e-o], [o-e], [o-o], [i-i], [i-u], [u-i] dan [u-u]).

v) Bagi pola VK-KVK, huruf vokal (alif, alif-wau atau alif-ya)


digunakan di suku kata pertama sahaja sebagai pembuka kata
sekiranya suku kata kedua mengandungi vokal [a] atau pepet.
Ini menyelaraskan pengejaan beberapa kata dalam Jawi Za'ba.

vi) Huruf vokal digunakan di kedua-dua suku kata VK-KVK


sekiranya kata tersebut tidak mengandungi vokal [a] atau
pepet. Ini menyelaraskan pengejaan beberapa kata dalam Jawi
Za'ba.

5.3- Penghindaran Bentuk Homograf:

Pengejaan kata dasar dwisuku dalam PEJYD telah menampilkan dua


rumusan yang memberi manfaat kepada sistem ejaan Jawi ini dan
penggunanya dari segi mengurangkan bentuk homograf dengan tujuan
untuk menghindarkan kekeliruan bacaan dan pengenalan makna kata.
Dua rumusan tersebut ialah (i) penghapusan homograf yang
mempertentangkan vokal [a] dengan pepet; dan (ii) penghapusan
homograf yang mempertentangkan vokal [i] atau [e] dengan diftong
[ai], serta yang mempertentangkan vokal [u] atau [o] dengan diftong
[au].
i) Untuk penjelasan tentang diftong, lihat bahagian Pelambangan
Diftong. Homograf dihapuskan bagi membezakan bunyi diftong
[ai] dan [au] dengan bunyi vokal [i] atau [e] dan [u] atau [o].
Ditetapkan diftong dieja dengan alif-ya [ai] dan alif-wau [au] yang
dibezakan daripada vokal ya [i] atau [e] dan wau [u] atau [o].
Contohnya: Homograf yang dieja ‫گولي‬ bagi guli dangulai dieja
semula menjadi:

‫گولي‬ = guli

‫گوالي‬ = gulai

ii) Homograf dikurangkan dengan cara membezakan ejaan bagi kata


yang berlainan maknanya, iaitu khusus bagi kasus homograf yang
mempertentangkan vokal [a] dengan vokal pepet. Contohnya:
Homograf ‫لنتيق‬ bagi lantik dan lentik dieja semula menjadi:

‫النتيق‬ = lantik

‫لنتيق‬ = lentik

Pengemasan yang dibuat ialah dengan menggunakan huruf alif sebagai


lambang bagi vokal [a] di suku kata tertutup untuk membezakannya
daripada vokal pepet yang tidak dilambangkan dengan huruf (17) .

5.4- Rumusan Pengejaan Kata Dasar Dwisuku:

Daripada perincian tentang aturan penulisan huruf vokal dalam kata


dasar dua suku kata yang dipaparkan di atas itu dapatlah diringkaskan
sistem pelambangan vokal dan penggunaan huruf vokal Jawi pada
kata dasar dwisuku terbuka dan tertutup itu kepada kaedah yang
berikut:

i) Vokal [a] dilambangkan dengan alif di semua suku kata terbuka,


kecuali suku kata akhir dengan kaf atau ga, dan suku kata akhir
terbuka menurut kaedah dal-ra-lam-wau-nga. Vokal [a] tidak
dilambangkan dengan huruf di semua suku kata tertutup, kecuali
apabila membuka kata atau membuka suku kata, dan dilambangkan
dengan alif dalam suku kata tertutup untuk membezakannya
daripada pepet bagi kasus homograf dalam ejaan Jawi Za'ba.
ii) Vokal pepet tidak dilambangkan dengan huruf di semua posisi
tengah terbuka atau di suku kata tertutup. Vokal pepet hanya
dilambangkan dengan alif apabila membuka kata, dan
dilambangkan dengan ya tanpa titik apabila mengakhiri kata.

iii) Vokal [i], [e], [u] dan [o] perlu dilambangkan dengan huruf vokal
di semua suku kata terbuka atau tertutup. Huruf yang digunakan
ialah wau, ya, alif-wau, alif-ya atau alif-hamzah menurut
kedudukan dan fungsi masing-masing.

iv) Kaedah-kaedah yang disebut pada (i) hingga (iii) di atas


merupakan rumusan perkaedahan dalam PEJYD yang
menggantikan kepelbagaian aturan dan kaedah yang terdapat dalam
ejaan Jawi Za'ba. Rumusan ini dengan sendirinya melupuskan
aturan-aturan yang pelbagai dalam kaedah ejaan Jawi Lama itu.
Dengan ini, tidaklah terpakai lagi aturan-aturan yang terbukti telah
begitu banyak menjadikan sistem ejaan Jawi Lama lebih rumit dan
membebankan ingatan. Antara kaedah lama yang dikekalkan
dalam PEJYD ialah kaedah dal-lam-ra-wau-nga bagi pola [Ka-Ka]
dan kaedah ka-ga bagi semua pola suku kata. Antara kaedah yang
lupus itu termasuklah aturan-aturan (i) dal-ra-lam-wau-nga dengan
ba, ta; (ii) dal-ra-lam-wau-nga dengan ra, sim, ya; (iii) pola KVr-
KV dengan ta, ga, nun; dan KVm-KV dengan ba; (iv) pola Kur-KV
dengan ba, jim; (v) pola Ker-KV dengan ta, jim, ba, ca; dan (vi)
pola KuK-KuK menjadi [KK-KuK].

5.5- Ejaan Kata Dasar Tiga Suku Kata atau Lebih:

i) Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam PEJYD , kaedah


pengejaan kata dasar tiga suku kata atau lebih tidak berbeza dengan
kaedah dalam ejaan Jawi Za'ba/Lama. Kaedah yang digunakan ialah
dengan menetapkan bahawa aturan penggunaan huruf vokal pada
dua suku kata yang terakhir perlulah selaras dengan aturan bagi kata
dasar dua suku kata. Penggunaan huruf pada suku kata yang lain
harus terikat kepada ejaan yang telah ada.

ii) Yang perlu diperkemas ialah pengejaan semula beberapa kata


tertentu supaya sesuai dengan keseluruhan sistem penggunaan huruf
vokal bagi kata dasar dua suku kata. Bagi kasus tiga suku kata, buka
semua mesti ditulis tanpa huruf vokal di suku kata pertama; pola
[Ki-Ka-Ka] atau [Ku-Ka-Ka], sekadar contoh, lebih baik dieja
semula dengan huruf ya atau wau di suku kata pertama (kecuali,
semestinya, kata pinjaman daripada bahasa Arab).

6. Ejaan Kata Terbitan:

Pada umumnya, rumusan yang dibuat dalam PEJYD tentang penulisan


kata berimbuhan atau kata terbitan adalah sama dengan yang terdapat
dalam ejaan Jawi Za'ba. Pembaikan atau pengemasan yang ketara
dalam PEJYD ialah tentang penulisan awalan di-, ke- danse- dan kata
depan di dan ke, serta akhiran -an dan -i yang sering menimbulkan
masalah dalam ejaan Jawi Lama.

i) Awalan di- (huruf dal), ke- (huruf kaf) dan se- (huruf sin) serta kata


depan di (huruf dal) dan ke (huruf kaf) perlu dirangkaikan dengan kata
dasar seperti merangkaikan awalan dengan kata dasar dalam ejaan
Rumi. Dalam hal ini, bagi kata dasar yang bermula dengan vokal,
penyebatian atau perangkaian antara awalan dengan kata dasar
diperlihatkan dalam bentuk sisipan huruf hamzah selepas huruf alif.
Tujuannya untuk mengelakkan kekeliruan pembacaan. Ini
memperkemas aturan ejaan Jawi Za'ba. Contoh:
Kata Dasar   Kata Berawalan  

‫اتس‬ (atas) ‫داءتس‬ (di atas)

‫اتس‬ (atas) ‫داءتسي‬ (diatasi)

F‫اوتارا‬ (utara) ‫كاءوتارا‬ (ke utara)

‫اينده‬ (indah) ‫ساءينده‬ (seindah)

‫اينده‬ (indah) ‫كاءيندهن‬ (keindahan)

ii) Ejaan kata terbitan dengan akhiran <-an> : Dikurangkan aturannya


daripada empat cara yang dalam ejaan Jawi Lama kepada tiga cara
sahaja, iaitu dengan menggunakan akhiran (a) hamzah-nun atau (b) alif-
nun, atau (c) nun, bergantung kepada jenis huruf akhir pada akhir kata
dasar yang ditetapkan. Dengan ini, ejaan kata dasar tidak berubah
apabila menjadi kata yang berimbuhan. Dalam ejaan lama, ejaan kata
dasar berubah apabila menerima akhiran sehingga menyebabkan wujud
dua bentuk ejaan bagi sesuatu kata dasar. Perincian:
a) Akhiran hamzah-nun ditambah selepas alif di akhir kata dasar.
Contoh: cela ‫چال‬ menjadi celaan ‫چألن‬ .

b) Akhiran alif-nun ditambah selepas wau di akhir kata dasar. Contoh:


Buru F‫بورو‬ menjadi buruan ‫بوروان‬ .

c) Akhiran nun ditambah selepas ya dan semua konsonan yang lain.


Contoh: tari ‫تاري‬ menjadi tarian ‫تارين‬ ; surat ‫سورت‬ menjadi
suratan ‫سورتن‬ .
7. Beberapa Pembaikan dan Penambahan Lagi:

Dalam PEJYD terdapat beberapa aturan mengeja yang lain lagi yang


bertujuan membaiki dan mengemaskan sistem ejaan Jawi Lama.

i) Dalam penulisan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris, aturan


pengejaan gugus konsonan diadakan yang bertujuan memudahkan
pembacaan dan penyebutan, terutama istilah pinjaman daripada bahasa
Inggeris. Gugus konsonan di akhir kata ditulis dengan memisahkan
huruf yang bergugus itu. Contohnya: Teks ‫تيك س‬ .

ii) Pengejaan kata ulang diselaraskan menjadi dua cara supaya tidak salah
baca, iaitu (i) menggunakan tanda angka dua bagi menulis ulangan
keseluruhan kata, dan (ii) menggunakan tanda sempang (-) apabila
mengulang sebahagian kata (18) .

iii) PEJYD memantapkan aturan ejaan kata pinjaman dan serapan


daripada bahasa Arab yang dikategorikan kepada penggunaannya dalam
konteks agama dan bukan agama. Ini sama dengan ejaan Jawi Za'ba.
Perincian:

a) Kata-kata istilah agama Islam dieja seperti bentuk asalnya (dalam


ejaan Arab).

b) Kata-kata serapan daripada bahasa Arab yang sudah lama digunakan


sebagai kata umum dalam bahasa Melayu dieja seperti ejaan bahasa
Melayu.

iv) Satu rumusan yang agak menarik perhatian kita dalam PEJYD ialah


tentang penulisan huruf singkatan. Pedoman ini menetapkan penulisan
singkatan dalam huruf Jawi yang didapati selaras dengan cara
menulisnya dalam ejaan Rumi dari segi penggunaan tanda titik, tetapi
singkatan yang digunakan ialah huruf-huruf dalam abjad Jawi, dan
bukan nama huruf-huruf tersebut.

v) Ciri khusus dalam PEJYD ialah pengekalan aturan-aturan ejaan lama


dan pengejaan beberapa kata yang sudah mantap penggunaannya. Kata-
kata tersebut ialah kata-kata yang asalnya dieja menurut kaedah
baris (19) .
8. Penyebaran Penggunaan Ejaan Jawi ( PEJYD ):

8.1- PEJYD sudah disebarkan kepada masyarakat umum sejak tahun 1986


lagi. Penjelasan tentang sistem ini dibuat melalui tulisan-tulisan di
dalam majalah-majalah keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka, dan
ceramah yang diadakan untuk tujuan penyebaran. Akhbar Utusan
Melayu juga turut menerbitkan tulisan yang
menjelaskan PEJYD secara bersiri walaupun akhbar tersebut belum
menggunakan sistem baru ini secara menyeluruh. Dewan Bahasa dan
Pustaka terus menyebarkan maklumat tentangPEJYD ini apabila
diperlukan oleh masyarakat.

8.2- Dewan Bahasa dan Pustaka tidak terlibat dengan perancangan dan
kawalan pelaksanaan penggunaan PEJYD di sektor pendidikan kerana
perkara ini terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan
Malaysia sendiri. Dewan Bahasa dan Pustaka juga bukanlah pihak
yang secara tidak langsung bertanggungjawab melaksanakan
penggunaan PEJYD dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah
atau maktab perguruan.

8.3- Pada umumnya, tugas dan tanggungjawab DBP dalam pembinaan dan
pengembangan ejaan Jawi adalah, antara lain, seperti yang berikut:

i)    DBP bertanggungjawab menyediakan pedoman PEJYD dan


menerbitkannya untuk kegunaan masyarakat.

ii) DBP bertanggungjawab memantapkan pedoman tersebut dari


semasa ke semasa supaya sesuai dengan perkembangan bahasa
Melayu, perkembangan Ilmu, dan perkembangan sistem
pendidikan yang maju.

iii) DBP menerbitkan buku-buku yang dalam tulisan Jawi dengan


menggunakan PEJYD . Buku-buku yang diterbitkan ialah buku
agama, dan akan menerbitkan beberapa buku umum dan buku
kanak-kanak.
iv) DBP mengadakan kegiatan penyebaran maklumat
tentang PEJYD untuk masyarakat, serta membantu pengguna
mempelajarinya dan menyebarkan penggunaannya.

8.4- Kerjasama DBP dengan pihak pelaksana PEJYD di sektor


pendidikan:

i) Semenjak PEJYD diterbit dan disebarkan pada tahun 1986, tidak


ada masalah besar yang dihadapi oleh DBP berkaitan dengan
pedoman tersebut. Hanya dalam tahun 1991 ini sahaja baru timbul
masalah yang agak besar apabila Maktab Perguruan Islam
membuat ulasan terhadap PEJYD itu.

ii) Usaha untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh


Maktab Perguruan Islam dibuat dengan mengadakan mesyuarat
khas di DBP pada 24 Julai 1991. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh
DBP dan hampir semua pihak di Kementerian Pendidikan
Malaysia yang bertanggungjawab melaksanakan penggunaan ejaan
Jawi di sekolah dan maktab perguruan, iaitu Bahagian Pendidikan
Guru, Bahagian Pendidikan Islam, Pusat Perkembangan
Kurikulum, dan Maktab Perguruan Islam. Setelah membahaskan
masalah yang dikemukakan oleh Maktab Perguruan Islam,
mesyuarat merumuskan empat perkara sebagai persetujuan
bersama (seperti di perenggan 8.5 di bawah).

8.5- Keputusan Mesyuarat pada 24 Julai 1991 di DBP tentang pelaksanaan


penggunaan PEJYD di sektor pendidikan (dipetik sepenuhnya
daripada Minit Mesyuarat yang berkenaan):

"5.1- Semua Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia yang


terlibat secara langsung dalam pelaksanaan penggunaan ejaan
Jawi bersetuju melaksanakan penggunaan Pedoman Ejaan Jawi
Yang Disempurnakan yang dirumuskan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka (Pedoman 1986, Daftar 1989). Bahagian-bahagian yang
terlibat itu ialah Bahagian Pendidikan Islam, Bahagian
Pendidikan Guru, dan Pusat Perkembangan Kurikulum. Oleh
sebab itu, Maktab Perguruan Islam juga bersetuju mematuhi dan
akan melaksanakan Pedoman Ejaan Jawi Yang
Disempurnakan ini dalam pengajaran dan pembelajaran di
maktab tersebut."
"5.2- Dipersetujui supaya kaedah mengajar di Maktab Perguruan
Islam, khususnya, diubahsuai supaya dapat menyampaikan
pedoman Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan ."

"5.3- Dipersetujui bahawa cadangan untuk meneliti semula beberapa


aturan tertentu dalam Pedoman Ejaan Jawi Yang
Disempurnakan dengan tujuan memantapkannya akan dibuat
secara berasingan. Dewan Bahasa dan Pustaka akan mengadakan
kegiatan ini setelah mendapat maklumat yang lengkap daripada
pihak-pihak yang ingin mencadangkan pemantapan pedoman
tersebut. Perkara ini tidak ada hubungannya dengan persetujuan
untuk melaksanakan Pedoman Ejaan Jawi Yang
Disempurnakan yang sudah dipersetujui."

"5.4- Dewan Bahasa dan Pustaka akan menulis satu kertas ringkas
tentang latar belakang, kaedah dan penjelasan tentangPedoman
Ejaan Jawi Yang Disempurnakan untuk diedarkan dalam
mesyuarat Jawatankuasa Pusat Kurikulum yang akan bersidang
pada 14 Ogos 1991 yang akan datang."
9. Kesimpulan:

Ringkasan daripada kertas kerja ini bermaksud yang berikut:

i) Masalah yang ditimbulkan tentang ejaan Jawi baru-baru ini ialah


masalah "pelaksanaan" di sektor pendidikan dan bukan masalah "isi"
pedoman PEJYD . Masalah tersebut timbul kerana pihak Maktab
Perguruan Islam menolak PEJYD sebagai pedoman Jawi yang sah untuk
digunakan di maktab tersebut, sedangkan pihak-pihak pelaksana yang
lain di Kementerian Pendidikan telah menerima, menggunakan dan
menyebarkan PEJYD itu.

ii) PEJYD dipersetujui sebagai pedoman yang lebih sempurna berbanding


dengan sistem ejaan Jawi yang lama. Kebenaran tentang perkara ini
akan diperoleh apabila falsafah dan matlamat penyempurnaan sistem
tersebut difahami sebenar-benarnya, dan apabila setiap aturan yang
terkandung di dalamnya difahami secara keseluruhannya, bukan secara
berpecah-pecah.

iii) DBP berpendapat, sesuatu sistem ejaan memerlukan masa yang lama
sebelum dapat digunakan dengan baik dan sebelum sistem itu sendiri
mantap. Pemantapan akan berlaku dalam proses penggunaannya.
Perkara ini telah dibuktikan dengan sistem ejaan Rumi. Pelaksana dan
pengguna harus bersikap terbuka dan mencari kaedah untuk memahami
dan menggunakan sesuatu yang baru yang dipersetujui sebagai kaedah
yang lebih baik daripada yang lama.

10. Usul:

1. Merujuk kepada persefahaman yang dibuat dalam mesyuarat di DBP


pada 24 Julai 1991, khususnya tentang perkara 5.3 petikan minit
mesyuarat tersebut, kami ingin mengemukakan beberapa perkara yang
bersabit dengan kaedah-kaedah dalam PEJYD yang telah dikenal pasti
sebagai kaedah-kaedah yang perlu diperkemas dan dipermantap.
Hujah-hujah tentang betapa perlunya kaedah-kaedah tersebut ditinjau
semula untuk tujuan pemantapan tidaklah hendak kami sebut di sini
secara khusus, tetapi kami suka mencadangkan supaya perkara tersebut
dibahaskan oleh sebuah Jawatankuasa Tetap Ejaan Jawi yang ditubuh
khusus dengan fungsi untuk berusaha memelihara, membina dan
mengembangkan penggunaan tulisan Jawi di Malaysia. Untuk tujuan
ini, diperturunkan kaedah-kaedah tersebut:

i) Memperkemas aturan penulisan huruf hamzah supaya huruf hamzah


menepati kedudukannya dan fungsinya sebagai lambang bunyi
hentian glotis. [Rujuk PEJYD , perenggan II, 4. a, b, c, d; III. 4. iii.
7. iii. v. vi. vii.].

ii) Mengkaji semula penggunaan huruf dan cara penulisan singkatan


dan akronim dalam Jawi. [Rujuk PEJYD , perenggan III. 9.].

iii) Memperkemas cara penulisan huruf gugus konsonan di akhir kata


atau akhir suku kata supaya lebih memantapkan bentuknya.

iv) Mengkaji semula kaedah yang boleh digunakan bagi meyakinkan


pengguna tulisan Jawi bahawa pemilihan huruf qaf adalah paling
sesuai sebagai lambang bagi bunyi hentian glotis di akhir kata-kata
Melayu jati.

v) Mengkaji semula pengejaan kata yang sudah disenaraikan dengan


tujuan untuk mensahihkannya dan mengurangkan kategori kata yang
dikecualikan daripada kaedah.
vi) Mengkaji dengan teliti untuk mengadakan peraturan penulisan kata
majmuk dalam sistem ejaan Jawi.

vii) Memantapkan beberapa aspek kaedah penulisan kata terbitan


dengan awalan.

2. Mengusulkan supaya pihak-pihak yang berkuasa kerajaan dan pihak-


pihak lain yang berkenaan atau berkepentingan mengambil langkah
melaksanakan Keputusan-keputusan dan Usul-usul Kongres Tulisan
Jawi tahun 1984 yang belum dilaksanakan.

Catatan:

1. Antara penerbitan tentang ejaan Jawi yang diusahakan oleh Major Dato'
Mohd. Said Sulaiman ialah buku Panduan Bagi Hejaan P.Bm.P.B.
Diraja, Singapura, 1937.

2. Sistem Ejaan Jawi Za'ba dapat dilihat dalam dua buah buku yang menjadi
asas pedoman yang digunakan begitu meluas: (i) Pelita Bahasa Melayu
Penggal I (Permulaan Nahu Melayu), tahun 1941. (Kami menggunakan
edisi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan keempat, 1958.) dan
(ii) Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi), Tanjong Malim: Pejabat Karang
Mengarang, Sultan Idris Training College, cetakan pertama, 1949.

3. Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia, 1982.


Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia, hlm. 131.

4. Jawatankuasa Ejaan Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka dipengerusikan oleh


Tuan Haji Hamdan bin Haji Abdul Rahman. Ahli-ahlinya ialah: Prof.
Madya Tuan Haji Amat Juhari bin Moain, Tuan Haji Muhammad Bukhari
bin Lubis, Tuan Haji Abdul Razak bin Abdul Hamid, Encik Arbak bin
Othman, Encik Awang Muhammad bin Amin, dan Puan Aminah binti Haji
Harun.

5. Majalah Dian (Digest) ialah majalah bulanan yang diterbitkan oleh


Syarikat Dian Sdn. Bhd. Kota Bharu Kelantan sejak tahun 1961. Edisi
Jawi menggunakan sistem ejaan yang memperkenalkan penggunaan huruf
vokal alif, ya dan wau pada pola-pola tertentu sebagai pembaikan dan
tambahan kepada sistem ejaan Jawi Za'ba.

6. Terutamanya akhbar Utusan Melayu dan majalah Utusan Qiblat .


7. Lihat: Keputusan-Keputusan dan Usul-Usul Konvensyen Tulisan Jawi, 9-
11 April 1984, Kuala Terengganu.

8. Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan, 1986. Kuala Lumpur: Dewan


Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama, 36 hlm.

9. Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan, 1987. Kuala Lumpur: Dewan


Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama edisi kedua, 35 hlm. Buku edisi
kedua ini memansuhkan buku edisi pertama tahun 1986.

10. Daftar Ejaan Rumi-Jawi, 1988. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan


Pustaka, cetakan pertama 198 hlm.

11. Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia, 1988. Kuala Lumpur: Dewan


Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama edisi kedua, 401 hlm.

12. Daftar Ejaan Rumi-Jawi, 1989. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan


Pustaka, cetakan kedua, 198 hlm.

13. Lihat: Kertas Kerja Jawatankuasa Ejaan Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka,
Konvensyen Tulisan Jawi, 9-11 April 1984, hlm. 1.

14. Pedoman Transliterasi Huruf Arab Ke Huruf Rumi, 1984. Kuala


Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama, 20 hlm.; cetakan
kedua, 1988.

15. Setakat ini, Daftar Ejaan Rumi-Jawi (1989) menyenaraikan satu kata


sahaja dengan ejaan klasik tanpa huruf alif, iaitu ‫يک‬ (yang). Kata
nyah ‫په‬ sepatutnya dieja dengan alif ( ‫ياه‬ ). Antara kata-kata lain yang dieja
semula dengan sisipan alif termasuklah bam, ban, cat, das, gam, rak, ram,
ran, rap, sang, tar dan tas. Kata-kata daripada bahasa Arab tanpa alif yang
dikekalkan termasuklah had, haj, hak, khat, saf, sah dan syak.

16. Daftar Ejaan Rumi-Jawi (1989) menyenaraikan hampir 80 kata ekasuku


tertutup yang memiliki vokal [a]. Daripadanya, terdapat sejumlah 26 kata
daripada bahasa Inggeris, termasuk kata ekasuku yang menggunakan
gugus konsonan. Ejaan Jawi bagi kata-kata daripada bahasa Inggeris ini
semuanya ditulis dengan huruf alif, termasuk kata yang sudah lama
terserap yang dieja tanpa alif dalam Jawi Za'ba/Lama.

17. Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia dan Daftar Ejaan Rumi-


Jawi menyenaraikan lebih kurang 40 pasangan kata yang berpola KVK-
KVK yang mempertentangkan vokal [a] dengan vokal pepet di suku kata
pertama. Dalam ejaan Rumi, tidak wujud homograf bagi kasus ini. Jumlah
sebesar ini akan memberikan semacam kekacauan dalam sistem Jawi
sekiranya homograf bagi kasus ini dibiarkan kekal.

18. Rumusan Konvensyen Tulisan Rumi 1984 menetapkan supaya tidak


menggunakan angka dua Arab ( ٢ ) bagi penulisan kata ulang, sebaliknya
menggunakan tanda sempang seperti dalam ejaan Rumi. Tetapi,
Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP, atas nasihat para pakar, menerima
penggunaan angka dua Arab ( ٢ ) bagi menulis kata ulang penuh, dan
menerima penggunaan tanda sempang bagi menulis kata ulang
berimbuhan. Rumusan ini dimaktubkan dalam PEJYD (1987).

19. Setakat ini, Daftar Ejaan Rumi-Jawi (1989) telah menyenaraikan kata-


kata yang berikut yang diterima sebagai bentuk ejaan tradisi yang
sahih: apa, ada, beta, pada, maka, jika, dia, lima, kita, itu, ini, dari, ketika,
daripada dan manusia .

‫اڤ‬   ‫اد‬   ‫بيت‬   ‫ڤد‬   ‫مك‬   ‫جك‬   ‫دي‬   ‫ليم‬   ‫كيت‬   ‫ايت‬   ‫اين‬   ‫دري‬   ‫كتيك‬   ‫درڤد‬   ‫ماءنسي‬

Beberapa kata yang lain telah dieja semula menurut peraturan yang tidak
dikecualikan.

Bibliografi,

Amat Juhari Moain, "Sistem Ejaan Jawi yang disempurnakan", Jurnal


Dewan Bahasa, Julai 1991, hlm. 608-624.

Amat Juhari Moain, 1991, Perancangan Bahasa: Sejarah Aksara


Jawi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (akan terbit).

Awang Mohamad Amin, 1983, "Satu Kajian terhadap Kaedah Ejaan Jawi
Za'ba", projek kajian Bahagian Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka
(tidak terbit).

Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia, 1988. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa


dan Pustaka, cetakan pertama edisi kedua.

Daftar Ejaan Rumi-Jawi, 1988. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,


cetakan pertama.
Daftar Ejaan Rumi-Jawi, 1989. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
cetakan kedua.

Jawatankuasa Ejaan Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka, "Sistem Baru Ejaan
Jawi Bahasa Melayu", kertas kerja Konvensyen Tulisan Jawi, 9-11 April
1984, Kuala Terengganu.

Kaedah Penyelarasan Ejaan Jawi, 1991, teks kajian Maktab Perguruan Islam
(tidak terbit).

Konvensyen Tulisan Jawi, 9-11 April 1984, Kuala Terengganu, kertas-kertas


kerja dan "Keputusan-keputusan dan Usul-usul".

Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan, 1986. Kuala Lumpur: Dewan


Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama.

Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan, 1987. Kuala Lumpur: Dewan


Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama edisi kedua.

Pedoman Trasliterasi Huruf Arab Ke Huruf Rumi, 1988. Kuala Lumpur:


Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan kedua.

Zainal-'Abidin bin Ahmad, 1949, Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi), Tanjong


Malim: Pejabat Karang Mengarang, Sultan Idris Training College, cetakan
pertama, Singapura.

Zainal-'Abidin bin Ahmad, 1958. Pelita Bahasa Melayu Penggal I


(Permulaan Nahu Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
cetakan keempat.

ID/- 
JAWI-09 
01 November 1991.

You might also like