You are on page 1of 7

DEFINASI ETIKA

Tunjang kepada keharmonian sesebuah organisasi mahu pun komuniti adalah amalan

etika yang baik. Etika adalah satu set prinsip yang digunakan untuk menentukan betul

salah sesuatu tindakan. Etika juga menjadi cermin kepada kelakuan-kelakuan pelaku

yang boleh diterima atau tidak dari segi akhlak. Dewasa kini terlalu banyak isu-isu

berkaitan etika menjadi berita utama malah juga telah menjadi perbahasan di dewan

rakyat. Etika sentiasa mengikut individu-individu yang dari sekecil-kecil jawatan

sehinggalah ke jawatan tertinggi baik di sektor swasta mahu pun kerajaan. Tanpa etika,

maka terjadilah amalan-amalan tidak sihat seperti rasuah, penyelewengan, dan

sebagainya yang akhirnya membawa kepada keruntuhan sesebuah organisasi.

Etika profesional dalam sesebuah organisasi pula adalah satu sistem yang

digunakan untuk menilai prinsip moral sesuatu kumpulan yang dibentuk. Ini adalah

untuk mengawal prestasi setiap daripada mereka semasa menjalankan tugas dan

penggunaan sumber yang dimiliki. Dari sudut profesionalisme, kod etika memainkan

peranan yang penting untuk membentuk nilai tanggungjawab dan hubungan yang

harmoni dikalangan ahli-ahlinya, institusi, dan juga komuniti yang sedia ada.

PEMBENTUKAN ETIKA INDIVIDU

Terdapat lima faktor yang membentuk etika individu. Antaranya adalah pengaruh

keluarga, pengaruh rakan, pengalaman hidup, nilai peribadi dan prinsip moral, dan akhir

sekali faktor keadaan.


• Pengaruh keluarga

Kanak-kanak amat suka sekali mengikut atau mencontohi etika dari kelakuan ibu

bapa mereka. Sekiranya ibu bapa mereka mempunyai etika yang baik, maka akan

baiklah etika yang dimiliki oleh kanak-kanak itu. Sebaliknya terjadi apabila ibu

bapa mereka mempamerkan etika yang tidak baik, maka tingkah laku tersebut

akan ditiru oleh mereka.

• Pengaruh rakan

Dalam kehidupan seseorang, pengaruh rakan sangat kuat untuk mendorongnya

melakukan sesuatu perkara samada baik atau tidak. Sesetengah pendapat

mengatakan bahawa untuk melihat perwatakan dan peribadi seseorang, lihat saja

pada perwatakan rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu

berkawan dengan seorang ulama’, maka dengan izin tuhan baiklah etika dan

moralnya. Namun sekiranya seseorang itu berkawan dengan perompak, maka

menjadi perompaklah juga ia suatu hari nanti.

• Pengalaman hidup

Banyak peristiwa penting berlaku dalam hidup seseorang, tidak kira peristiwa itu

positif atau pun negatif bergantung kepada apa yang telah dialaminya. Jika

perbuatan mencuri yang pernah dilakukan tidak pernah mendapat tentangan atau

hukuman, maka seseorang itu akan beranggapan perbuatan itu tidak salah.

Sebaliknya, sekiranya ia dihukum atas kesalahan tersebut maka ia sedar itu satu

kesalahan dan berazam tidak mahu mengulanginya lagi pada masa akan datang.
• Nilai peribadi dan prinsip moral

Kedudukan seseorang di mata masyarakat kadang-kala boleh mencemarkan nilai

peribadi dan prinsip moral yang ada pada dirinya. Seseorang yang mementingkan

pangkat dan kekayaan sering kali bertindak berdasarkan keuntungan tanpa

mengira kesan perbuatannya terhadap orang lain. Berlainan pula sekiranya

seseorang itu mementingkan ikatan kekeluargaan, maka amalan etika yang ada

dalam dirinya adalah sangat baik.

• Faktor keadaan

Keadaan persekitaran kadang-kala boleh merubah etika seseorang daripada baik

menjadi tidak baik. Sebagai contoh, seorang ahli perniagaan boleh bertindak

mengubah keuntungan perniagaan untuk mengurangkan cukai yang akan

dikenakan. Begitu juga seorang pekerja bank boleh memalsukan akaun pelanggan

untuk mengaut keuntungan secara sembunyi.

ETIKA DALAM PENGAJARAN DAN LATIHAN

Amalan etika yang tidak baik sering berlaku apabila sesorang individu itu mula meneroka

dunia pekerjaan. Keadaan ini sepintas lalu membuat kita berfikir kembali pada peringkat

manakah sepatutnya elemen etika ini dibaja dan disemai agar keperibadian seseorang

individu itu kekal unggul dalam masyarakat. Pepatah orang-orang dahulu yang

mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya menyedarkan kita bahawa betapa

sistem pendidikan sebenarnya sangat menyumbang kepada pembentukan sahsiah

individu. Lima faktor yang membentuk etika individu yang dibincang di atas tadi belum
memadai kerana terdapat satu lagi faktor penting yang mungkin telah dipandang remeh

oleh masyarakat. Faktor tersebut adalah pendidikan yang diterima oleh pelajar dari

peringkat rendah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi.

Dalam sistem pendidikan, selain daripada peranan pendidik yang mengajar,

subjek dan silibus yang disampaikan kepada pelajar juga sangat mempengaruhi

penghayatan pelajar terhadap amalan etika yang baik. Sejauh mana keberkesanan

kurikulum dan ko-kurikulum membentuk etika pelajar masih lagi dalam pemantauan

pihak yang bertanggungjawab. Ini kerana dalam dunia persekolahan dan kampus sendiri,

amalan etika yang tidak baik masih belum dapat dibendung. Di sekolah, perbuatan

membuli, memeras ugut, mencederakan, mahu pun vandaliseme masih lagi berlaku di

kalangan pelajar. Begitu juga di universiti, amalan plagiarisme masih subur di kalangan

mahasiswa/i walaupun tidak semuanya begitu. Amalan-amalan etika yang tidak baik ini

sebenarnya sama sekali tidak dibenarkan berlaku di tempat menimba ilmu. Namun itulah

yang terjadi apabila penghayatan mengenainya tidak sampai kepada pelajar.

Walaupun demikian, kementerian terbabit sebenarnya telah banyak merangka

pelbagai program untuk menerapkan prinsip etika dalam pengajaran dan pembelajaran.

Di sekolah, subjek pendidikan moral, pendidikan Islam, sivik dan kewarganegaraan

adalah antara beberapa subjek yang diajar untuk membentuk peribadi pelajar agar dapat

menjadi pelapis yang beretika pada masa akan datang. Walaupun subjek-subjek tersebut

tidak popular, namun ia mempunyai implikasi yang sangat besar untuk jangka masa

panjang. Pendidikan moral misalnya mendidik pelajar untuk mengetahui nilai-nilai murni
yang perlu ada dalam diri individu serta menilai buruk baik sesuatu tindakan. Pendidikan

Islam pula mengajak pelajar untuk menghayati nilai akhlak dari sudut agama. Manakala

sivik dan kewarganegaraan pula mendidik pelajar untuk menjadi individu yang

bertanggungjawab ke atas diri, keluarga, masyarakat, dan juga negara.

Dari aspek kokurikulum, pelbagai aktiviti telah diadakan agar semua pelajar

mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang diadakan sebagai suatu bentuk pengisian

masa yang berfaedah. Dalam masa yang sama, pelajar juga dapat mengasah bakat yang

sedia ada mahupun mencungkil bakat yang terpendam. Antara modul-modul

kokurikulum yang terdapat di sekolah-sekolah ialah pasukan pakaian seragam (kadet

remaja sekolah, pengakap, bomba, dan sebagainya), persatuan akademik (persatuan sains,

persatuan matematik, dan sebagainya), sukan dan olahraga, dan lain-lain lagi. Pasukan

pakaian seragam misalnya banyak membentuk disiplin dan etika yang murni dikalangan

pelajar. Pelajar diajar untuk menepati masa, menjaga kekemasan diri dan penampilan,

patuh kepada ketua, ketahanan fizikal dan emosi, dan juga kerjasama ahli kumpulan.

Begitu juga dengan persatuan akademik, pelajar dapat membentuk personaliti sebagai

seorang pemimpin sekiranya dilantik mengetuai persatuan. Sukan dan olahraga pula

melentur pelajar untuk menjadi seorang yang beriltizam, fokus pada sasaran, dan juga

daya saing yang sihat. Ini semua adalah asas kepada jati diri individu apabila menjadi ahli

masyarakat kelak.

Di samping itu, kerajaan juga telah mewajibkan program latihan khidmat negara

(PLKN) ke atas pelajar-pelajar yang telah selesai menduduki peperiksaan SPM. Tentu
saja tujuannya hanyalah untuk terus memperkasakan lagi nilai etika dalam diri pelajar.

Pelbagai modul telah diperkenalkan dan ditambahbaik setiap masa untuk menjadikan

program tersebut menarik dan memberikan input yang positif dalam diri setiap peserta.

Program ini bukan saja membawa faedah kepada peserta, malah juga kepada negara

kerana dari sinilah lahirnya modal insan yang berwibawa untuk memacu kepimpinan

negara. Masakan tidak, melalui program ini pelajar dari pelbagai kaum dibawa untuk

mendekati masyarakat setempat dengan melakukan aktiviti berbentuk khidmat sosial.

Nilai kemasyarakatan yang diperolehi peserta akan mematangkan mereka dari segala

sudut. Begitu juga dengan modul kenegaraan, peserta diajar untuk menghayati sejarah

pembentukan negara, rukun-rukun negara, dan sebagainya agar kelak kekal menjadi

warganegara yang tidak lupa asal usul walau di mana pun berada.

Di peringkat pengajian tinggi seperti di universiti atau kolej, pelbagai modul telah

dirangka oleh ahli akademik untuk terus membentuk akhlak yang tulus dikalangan

pelajarnya. Setiap jurusan yang diambil oleh pelajar pasti terkandung beberapa kursus

yang berkaitan dengan amalan dan etika profesionalisme dalam prospek kerjaya kelak.

Sama seperti di peringkat sekolah, pelajar universiti juga diwajibkan untuk menyertai

persatuan-persatuan yang sedia ada. Teori etika yang diperolehi dalam kuliah saja belum

cukup berkesan jika tidak diamalkan dalam kehidupan seharian. Jadi, melalui

persatuanlah pelajar dilatih untuk mengendalikan projek persatuan dan universiti, jalinan

kerjasama dengan pihak atasan, protokol, pengurusan kewangan dan sumber sedia ada,

dan sebagainya. Penyertaan pelajar dalam kem tatabina negara juga menjadi satu agenda
penting untuk membentuk sahsiah yang murni dikalangan mahasiswa/i agar kelak keluar

menjadi tenaga kerja yang berdisiplin dan cemerlang.

You might also like