You are on page 1of 4

PEMBANGUNAN LESTARI ????

Mampukah Malaysia merealisasikan pembangunan mampan?


Sistem ekologi terjaga seiring pembangunan yang maju menjadi wadah baru kerajaan
dalam mengemudi Malaysia ke arah mencapai Wawasan 2020. Pembangunan mampan atau
pembangunan lestari merupakan gabungan antara pembangunan yang maju, pemuliharaan dan
pemeliharaan. Dimana pemuliharaan adalah membaik pulih sumber alam sekitar seperti air,
hutan, mineral yang telah digunakan supaya tidak kehabisan sumber di masa hadapan.
Manakala, pemeliharaan pula melibatkan aspek penjagaan serta pelindungan terhadap alam
semula jadi daripada diceroboh dan diteroka oleh manusia dengan rakus. Alam semula jadi
menjadi tonggak utama negara sebagai kawasan tadahan hujan, habitat flora fauna dan sumber
kayu-kayan. Hari Bumi yang disambut setiap 22 April bagaikan tiada kesan apabila sumber-
sumber alam ini masih lagi rakus diterokai untuk manusia menikmati pembangunan.

Berdasarkan pembentukan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dirangka oleh Majlis
Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) serta Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) yang
dibangunkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) menunjukkan kerajaan Malaysia yang
diterajui oleh Dato’ Sri Najib Tun Razak cuba merealisasikan pembangunan lestari di negara
ini. Namun begitu, persoalannya, adakah Malaysia mampu membina ekonomi negara dengan
mempertahankan pembangunan lestari yang menekankan pemuliharaan alam sekitar, setelah
mengambil kira faktor-faktor seperti kos, penguatkuasaan, partisipasi masyarakat dan lain-
lain?

Sebagai permulaan dalam menjadikan Malaysia sebagai negara “hijau” dan maju,
Malaysia mula menganjurkan konvensyen-konvensyen alam sekitar juga menandatangani
perjanjian alam sekitar peringkat serantau dan atarabangsa. Berdasarkan sumber daripada
United Nations Environment Programme (UNEP), perjanjian peringkat antarabangsa bermula
sejak tahun 1933, lebih 200 perjanjian telah ditandatangani. Malaysia telah menandatangani
lebih kurang 40 perjanjian alam sekitar dan 20 daripadanya berada di bawah bidang kuasa
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), manakala selebihnya berada di bawah
bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Pengangkutan.
Antara konvensyen yang disertai Malaysia ialah Konvensyen Stockholm mengenai
pencemaran, Konvensyen Ramsar mengenai tanah lembap dan lain-lain. Sempena sambutan
Hari Bumi 2010 pada April lalu, satu forum bertajuk Malaysia Hijau telah diadakan untuk
membincangkan landskap pembangunan Malaysia. Dimana kronologi masalah pembangunan
dan alam sekitar Malaysia seperti kes Highland Towers yang terjadi pada tahun 1993,
Tsunami pada tahun 2004, kejadian Bukit Antarabangsa dan banjir besar di Johor
dibentangkan. Pada masa kini, seakan menjadi trend apabila pemaju gemar menggondolkan
bukit untuk membina kawasan perumahan mewah. Trend ini menyebabkan berlaku beberapa
peristiwa hitam yang meragut banyak nyawa dalam sejarah pembangunan Malaysia.
Golongan cendiakawan juga tidak ketinggalan dalam menyumbangkan tenaga dan idea
mereka untuk merealisasikan pembangunan lestari di Malaysia, antara universiti tempatan
yang aktif dalam membicarakan pembangunan mampan ialah Universiti Kebangsaan
Malaysia di bawah seliaan Profesor Datuk Dr. Ibrahim Komoo merupakan Felo Utama
Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) merangkap ikon pembangunan mampan
di Malaysia. Malah, beliau antara yang bekerja keras dalam memastikan Langkawi Geopark
mendapat pengiktirafan daripada UNESCO sebagai Geopark global pertama di Asia
Tenggara dan ke-52 di dunia.

Kemudian Malaysia mengorak langkah dengan membentuk polisi baru yang mana
mampu mengekalkan alam sekitar di samping pembangunan yang pesat. Polisi seperti
Penilaian Impak Alam Sekitar atau EIA menuntut pemaju supaya membuat laporan
berdasarkan polisi EIA. Setelah membentangkan laporan berkenaan kepada Jabatan Alam
Sekitar (JAS) baharulah JAS akan memberi kelulusan atau tidak. Antara kriteria laporan yang
ditetapkan di dalam EIA ialah mengenai tebus guna tanah kawasan pantai, projek mega
seperti pembinaan lebuh raya, skim pengairan, pembinaan kawasan lapangan terbang, skim
pertanian, industri kimia dan sebagainya. Konsep laporan EIA membolehkan pihak berkuasa
memantau pemaju berdasarkan laporan yang dibentangkan sebelum sesuatu projek
dimulakan. Kawalan dan perancangan yang dilakukan secara konsisten mampu
meyeimbangkan kepentingan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar serta mampu
mengelakkan kemusnahan akibat daripada pembangunan mega. Pada tahun 2000 pula, satu
garis panduan iaitu Manual Saliran Mesra Alam (MaSMA) dikeluarkan oleh Jabatan
Pengaliran dan Saliran (JPS) untuk pemaju patuhi jika ingin meneruskan pembinaan. Garis
panduan ini menekankan mengenai pembangunan mampan dengan membina kolam takungan
atau kolam tahanan untuk menyimpan lebihan air ketika musim hujan. Strategi ini sesuai
untuk dipraktikkan di semua tempat kerana kolam takungan tersebut bertindak sebagai kolam
tadahan dan menjadi sumber air bersih apabila tiba musim kemarau.

Melalui Program Transformasi Kerajaan atau GTP yang melibatkan Bidang


Keberhasilan Utama Negara atau NKRA yang mana menggariskan beberapa perkara penting
untuk pembangunan negara. Salah satunya, memperbaiki kemudahan pengangkutan awam
supaya rakyat mengurangkan penggunaan kereta. Ini selari dengan janji yang dibuat oleh
Perdana Menteri bahawa Malaysia akan turut serta dalam mengurangkan kadar karbon
dioksida bagi mengurangkan kesan pemanasan global di Persidangan Perubahan Iklim
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Copenhagen, Denmark. Malaysia juga perlu mematuhi
perjanjian yang ditandatangani di peringkat antarabangsa seperti Protokol Kyoto yang cuba
mengurangkan kesan rumah hijau terhadap iklim dunia. Antara akta lain yang terlibat dalam
mengawal pembangunan lestari di Malaysia ialah Akta Kualiti Alam Sekitar, Akta Perhutanan
Negara dan sebagainya. Semua akta ini diperlukan supaya dapat membendung alam sekitar
daripada kemusnahan disebabkan oleh sikap manusia yang tidak bertanggungjawab.

Dengan kerjasama sebuah syarikat dari Abu Dhabi (Masdar) dan 1Malaysia
Development Bhd. (1MDB) pembinaan sebuah bandar bebas karbon telah dicadangkan
menelan kos sebanyak AS$100 juta dan mengambil masa 8 tahun untuk disiapkan. Bandar
tersebut mampu menampung kapasiti penduduk seramai 45 000 ribu orang lengkap dengan
1500 buah premis perniagaan dan kilang perindustrian yang menggunakan teknologi mesra
alam. Pembinaan bandar hijau ini bertepatan dengan konsep pembangunan mampan yang
diuar-uarkan oleh pihak kerajaan. Namun begitu, kos perbelanjaan yang tinggi menyebabkan
pelbagai pihak sangsi dengan kemampuan Malaysia dalam membina bandar hijau sebaliknya
mencadangkan kerajaan supaya mencarri alternatif lain yang lebih menjimatkan.

Malaysia boleh menjadikan China sebagai model pembangunan lestari. Sejak tahun
2000, visi negara China ialah membangunkan kawasan luar bandar dengan menerapkan
konsep pembangunan lestari. Pada masa yang sama, pihak kerajaan cuba memelihara
bangunan warisan sedia ada di samping meningkatkan peluang ekonomi (dari sektor
pelancongan) komuniti tempatan. Pembangunan ini membuka peluang pekerjaan kepada
masyarakat luar bandar yang kebanyakan berada dalam kemiskinan, pembangunan hijau di
China menarik minat pelancong asing seperti di kawasan Hexingten dan Yandangshan
merupakan geopark global utama dunia. Partisipasi pegawai-pegawai kerajaan serta
masyarakat menjayakan pembangunan lestari China, hasilnya, China mempunyai 138 buah
geopark bertaraf kebangsaan. Kedua, menggunakan kaedah yang digunakan seperti Denmark
dan Jepun menanam semula tumbuhan akuatik dan mewujudkan tanah becah(wetland) di
kawasan landai. Ketiga, dalam usaha merealisasikan pembangunan lestari di Malaysia,
kerajaan perlu mengambil inisiatif memperbanyakkan pendidikan secara formal di sekolah
mengenai pembangunan lestari dan bagaimana untuk menyelamatkan alam sekitar, bagi
pendidikan tidak formal badan-badan bukan kerajaan perlu memainkan peranan untuk
meringankan beban kerajaan. Selain itu, penggunaan sumber tenaga daripada elektrik kepada
sumber alam yang lebih menjimatkan dan mesra alam seperti hidro, ombak dan matahari.
Contohnya, empangan hidro di Terangganu. Seharusnya kerajaan menggalakkan penyelidikan
mengenai alam sekitar dan alternatif yang boleh diguna pakai untuk mengurangkan
kemusnahan alam sekitar.

Pembangunan lestari mampu dilaksanakan jika semua pihak bekerjasama termasuk


badan bukan kerajaan dan masyarakat. Pemaju-pemaju perlu mempunyai kesedaran untuk
menyeimbangkan pembangunan yang mampan. Masyarakat juga perlu menitik beratkan
masalah alam sekitar supaya tidak merugikan negara pada masa hadapan kerana hutan adalah
sumber berharga negara dan pembangunan pula menjadi tunjang ekonomi negara.

You might also like