You are on page 1of 11

KITAB BIMBINGAN MUKMIN - Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki


Marah itu sebenarnya ialah secebis api yang bersumber dari api Allah yang bernyala-nyala,
yang panasnya naik ke pangkal hati, dan api itu bersemadi pula di dalam lubuk hati hingga
berbara, kemudian diselaputi oleh abunya. Daripadanya terpancar sifat congkak yang
terpendam di dalam hati setiap orang yang sombong dan bongkak, seperti terpancarnya api
dari batu yang bergesek dengan besi.

Orang yang melihat dengan nurul-yaqin (cahaya keyakinan) dapat menyingkap, bahawa dari
manusia itu telah ditarik sepotong urat, berkontek dengan syaitan yang terkutuk, apabila
api kemarahannya mula berkobar-kobar, maka kontek itu menjadi kukuh, sebagaimana
pernah diucapkan oleh syaitan sendiri dan diceritakan oleh al-Quran:

“Engkau (tuhan) telah menciptakan aku dari api, dan engkau ciptakan ia (manusia)
dari tanah.” (al-A’raf: 12)

Bukankah sifat tanah itu sentiasa bertenang dan tetap manakala sifat api pula bernyala-
nyala, menyerang, berkobar-kobar dan bergejolak.

Kemudian timbul dari sifat marah itu perasaan-perasaan yang lain; iaitu dendam, hasad dan
dengki, dan menerusi sifat-sifat inilah telah banyak orang yang binasa dan banyak juga
orang yang rosak. Pokok segala kebinasaan dan kerosakan itu, bersebab dari segumpal
daging (hati), jika daging itu dijaga dengan baik, baik pulalah seluruh tubuh.

Jika sekiranya kita telah mengetahui, bahawa sifat-sifat dendam, dengki dan marah itu di
antara sifat-sifat yang menarik manusia kepada sebab-sebab kemusnahan dan kecelakaan,
maka alangkah perlunya manusia itu untuk mengetahui sebab-sebab pendorongnya atau
punca-punca perosaknya, agar ia dapat menghindarkan diri daripada bahaya-bahaya itu,
dan agar ia dapat berhati-hati dan menjauhkannya dari hati dengan seberapa yang boleh.

Kecelaan sifat marah

Allah s.w.t berfirman:

“Perhatikanlah ketika Allah menimbulkan dalam hati orang-orang yang tidak


beriman kepadaNya itu, perasaan sombong; iaitu sifat sombong zaman jahiliah,
lalu Allah menurunkan pula ketenananganNya ke atasa RasulNya dan ke atas kaum
Mu’minin.” (al-Fath: 26)

Ayat ini telah mencela kaum Musyrikin atau orang-orang yang tidak beriman dengan Allah
Ta’ala, disebabkan mereka telah melahirkan perasaan sombong yang timbul dari sebab
marah terhadap yang hak dan membela yang batil. Begitu pula ia telah memuji juga kaum
Mu’minin, atau orang-orang yang beriman dengan Allah s.w.t., disebabkan sikap mereka
yang menerima yang hak, lalu diturunkan ke atas mereka perasaan tenang.

Diriwayatkan ada seorang telah mendatangi Rasulullah s.a.w. sambil memohon supaya
baginda mewasiatkan sesuatu wasiat yang pendek dan sedikit saja. Maka baginda bersabda
kepadanya: Jangan marah! Diulangi permintaannya lagi maka bagina sekali lagi: Jangan
marah!

Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat: Apakah yang kamu dapat fahamkan
tentang maksud bergelut? Kata para sahabat: Penggusti yang tidak dapat ditumbangkan
dalam pergelutannya.

Sabda baginda; Bukan itu yang aku maksudkan. Tetapi orang yang bergelut itu ialah orang
yang dapat menahan dirinya, ketika dalam kemuncak kemarahannya.
Berkata Ja’far r.a.: Kemarahan itu kunci segala kecelakaan.

Setengah para sahabat berkata; Pokok dan pangkal sifat bodoh itu, ialah degil dan
pemimpinnya ialah marah.

Barangsiapa yang meredhakan dirinya dengan kejahilan, tidaklah perlu lagi baginya sifat
toleransi. Toleransi adalah sifat yang baik dan banyak mendatangkan manfaat. Sedang
kejahilan pula adalah sifat yang buruk dan mendatangkan banyak mudharat. Berdiam diri
atau tidak melayani pertanyaan seorang yang bodoh adalah jawabnya.

Berkata al-Hasan pula: Di antara tanda-tanda seorang Muslim yang sejati, ialah teguh
agama, lemah-lembut kelakuan, penuh iman dan yakin, berilmu pengetahuan dan
bertoleransi, pandai menjaga kepentingan dan berbelas kasihan, selalu memberi dengan
hak, tidak boros meskipun kaya, murah hati meskipun miskin, berbuat baik walaupun
berkuasa, menanggung jerih-perih bersama kawan-kawan, bersabar walaupun susah, tiada
dikuasai oleh kemarahan, tiada selalu menurutkan perasaan, tiada dipengaruhi oleh
syahwat dan nafsu, tiada dimalukan oleh kebatinan, tiada mementingkan keinginan, tiada
terhad niat baik, sering menolong orang yang teraniaya, mengasihani orang yang lemah,
tidak kikir dan tidak boros, tidak berbelanja berlebihan-lebihan dan tidak mengenggam
tangan, bersedia mengamuni orang yang menganiayai, suka memaafkan oarng bodoh,
biarlah dirinya berada di dalam kepayahan asalkan semua orang berada di dalam
kesenangan.

Tingkatkan manusia ketika marah

Ketahuilah bahawasanya keganasan marah itu berpunca dari hati. Maknanya darah yang
berada di dalam hati sedang menggelegak, lalu darah itu pun mengalir ke dalam urat-urat
badan, dan terus memuncak tinggi ke anggota badan yang teratas sekali, sebagaimana api
dan air memuncak tinggi ketika makanan mendidih di dalam periuk. Oleh kerana itu bila
marah mula memuncak kelihatanlah darah manusia itu menyerap ke muka, sehingga wajah
dan mata menjadi merah padam, dan kulit pula kerana kejernihannya, dapat menampakkan
warna air yang di dalamnya.

Manusia dalam menghadapi keganasan marah terbahagi kepada tiga bahagian:

1. ketiadaan sifat marah


2. keterlampauan sifat marah
3. pertengahan antara marah dan tidak marah

Ketiadaan sifat marah

Orang yang tiada bersifat pemarah, ataupun yang lemah sifat kemarahannya itu tercela.
Itulah orang yang dikatakan tidak mempunyai sifat cemburu pada diri Allah s.w.t. telah
mensifatkan para sahabat Nabi s.a.w. dengan terkadang-kadang bersifat keras dan
berperasaan cemburu atas diri seperti firman Allah ta’ala:

“Mereka itu bersikap keras terhadap orang-orang kafir.”

Allah telah berfirman ke atas NabiNya s.a.w.:

“Perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, dan bersikap keraslah
terhadap mereka.” (at-Tahrim:9)

Yang dikatakan bersikap keras dan tegas itu adalah bersumber dari adanya tanda-tanda
kekuatan cemburu dalam diri, iaitu yang menyebabkan sifat marah.
Keterlampauan sifat marah

Yang dikatakan keterlampauan dalam marah itu, ialah bila sifat marah itu tidak dapat
dikuasai lagi, sehingga ia terkeluar dari batas pertimbangan akal dan agama dan
kepatuhannya. Orang yang bersikap seperti itu, tentulah tidak lagi mempunyai bashirah
atau matahati yang dipandang dengannya, atau pemikiran untuk menimbang dengan
akalnya dan ia tidak pilihan lagi, melainkan seperti seorang yang terpaksa saja.

Di antara tanda-tanda marah pada lahirnya ialah berubah warna kulit, menggeletar kaki
tangan, kelakuan tidak menurut ketertiban dan ketentuan yang biasa, gerak-geri tidak
menentu arah lagi, percakapan bercampur suara marah keluar dari rahangnya, mata merah
padam, lubang hidung kembang kuncup, batang tubuh berupah rupa. Andaikata si pemarah
ketika sedang marah dapat mengesan betapa buruk sifatnya pada masa itu, nescaya ia akan
melenyapkan kemarahannya serta-merta, kerana sangat malu melihat keburukan sifatnya
dan perubahan bentuk dan rupanya pada ketika itu. Ini hanya pada sifat lahiriahnya saja,
dan sifat batinya tentulah lebih buruk lagi dari sifat lahirnya, kerana sifat lahir
menunjukkan kepada sifat batin. Yang lazimnya bila rosak, rosak dululah sifat batin, lalu
kerosakan itu berjangkit pada sifat lahir pula. Oleh itu dikatakan kerosakan pada lahir
adalah pertanda adanya kerosakan pada batin. Bandingkanlah pohon dengan buahnya.
Beginilah kesan-kesan atau tanda-tanda sifat terlampau marah itu pada tubuh badan.

Adapun kesan-kesan atau tanda-tanda kemarahan yang terdapat pada lidah, umpamanya
kelancangan lidah ketika menyebutkan caci-maki, dan kata-kata yang terkeji dalam
percakapan, yang apabila didengar oleh orang yang waras fikiran, nescaya ia akan merasa
malu dan segan, dan kalau diceritakan semula kepada orang yang mengucapkannya setelah
hilang marahnya, tentu sekali ia juga akan merasa malu dan menyesal atas kelakuannya itu.
Sebab ketika ia marah tadi, percakapannya kelam-kabut dan tidak teratur, sehingga semua
perkataan-perkataan yang keluar dari mulutnya itu tidak menerima pertimbangan akal
fikiran yang waras dan wajar.

Tentang kesan-kesan marah dan alamat-alamatya pada anggota, ialah suka memukul,
menyerang, menghancurkan harta benda, melukai bahkan membunuh sekalipun, jika
berkuasa melakukan seperti itu. Malah ada kalanya ia sampai menganiaya diri sendiri,
mengoyak-ngoyakkan pakaiannya, memukul-mukul dirinya, atau terkadang-kadang ia
memukul-mukul tanah. Biasa juga orang yang berkelakuan begini diserang oleh perasaan
tidak sedarkan diri, sehingga semua tindakanya itu seperti tidakan orang tak siuman atau
hilang akal. Orang yang dalam keadaan begini, tidak mustahil akan merosakkan harta
benda, menganiaya binatang, memecahkan pinggan-mangkuk, ataupun sampai memaki-
maki binatang. Tidaklah hairan pula, jika binatang itu menendangnya, ia akan menendang
balik binatang itu. Jelaslah ketika itu, ia akan bersikap seperti orang gila.

Adapun kesan-kesan dan tanda-tandanya pada hati pula, ialah lahirnya sifat-sifat dendam
dan dengki, memendamkan niat jahat terhadap orang lain, suka bersifat dengan segala
sifat-sifat yang dicela dan dikeji. Ia tidak senang apabila melihat orang bergembira. Ia tidak
segan untuk membocorkan rahsia orang. Ia suka melanggar penghormatan orang dan
mengejek-ejeknya. Pendek kata semua sifat-sifat yang buruk itu akan dilengkapinya di
dalam dirinya.

Demikianlah hasil sifat marah yang berlebih-lebihan atau yang melampaui batas.

Manakala hasil sifat marah yang lemah, ialah ketiadaan harga diri sama sekali untuk
menentang sesuatu yang menggangu kehormatan peribadi dan kehormatan isteri. Ia bersifat
acuh tak acuh saja, ketika peribadinya dihinakankan oleh orang-orang yang rendah budinya.
Ia merasakan dirinya terlalu kecil dan rendah untuk mempertahankan peribadinya dari
kecaman orang lain. Ini juga termasuk sifat yang tercela, sebab ia menelurkan sikap tidak
cemburu ke atas kehormatan diri dan keluarga, padahal melindunginya dari pencabulan
adalah wajib.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:


“Sesungguhnya Sa’ad orang yang cemburu, dan saya lebih cemburu dari Sa’ad,
manakala Allah pula lebih cemburu dari saya.”

Sifat cemburu itu dijadikan semata-mata kerana memelihara keturunan. Andaikata manusia
amat bersenang-senang dalam soal cemburu ini, nescaya keturunannya akan bercampur
aduk dan tidak terpelihara. Sebab itu ada pepatah mengatakan: Setiap ummat yang
menentukan sifat cemburu pada kaum lelakinya, nescaya terpeliharalah kaum wanitanya.
Dari sebab lemahnya sifat marah, akan timbul pula sifat suka menganiaya diri, serta
mendiamkan diri apabila menyaksikan berbagai-bagai kemungkaran yang dilakukan. Allah
s.w.t. telah berfirman:

“Dan jangan kamu semua merasa belas kasihan terhadap kedua penzina itu dalam
menjalankan agama (hukuman) Allah.”

Tegasnya, ketiadaan sifat marah dalam diri adalah tercela. Tetapi yang baiknya adalah sifat
marah yang terpimpin oleh pertimbangan akal dan perintak agama. Adakalanya marah itu
perlu dan adakala penyantun pula yang perlu, tetapi sebaik-baiknya mengendalikan kedua-
dua sifat marah dan penyantun itu menurut batas pertengahan, kalau marah jangan
berlebih-lebihan, dan kalau penyantun pun jangan sampai melampaui batas. Biarlah yang
dilakukan itu pertengahan, seperti yang dianjurkan oleh Allah s.w.t. ke atas sekalian
hamba-hambaNya; iaitu cara tengah yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam salah
sebuah sabdanya:

“Sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan.”

Melenyapkan marah dengan latihan diri

Ketahuilah selagi manusia tetap bersifat suka dan benci sesuatu, maka ia tidak terlepas dari
sifat jengkel dan marah, sebab kedua-dua sifat itu menjadi sebahagian dari tabiat semula
jadi manusia. Akan tetapi latihan diri itu perlu juga dijaga untuk menghapuskan keganasan
marah itu; iaitu dengan jalan perjuangan dan memaksa diri dengan sifat penyantuan dan
penanggungan seketika waktu, sehingga semua sifat-sifat itu menjadi kebiasaan dan
kelakuan yang kekal dalam diri.

Dengan latihan-latihan di atas itu saja tidak boleh sama sekali menghapuskan kemarahan
hati, kerana yang demikian itu memang tidak mungkin. Tetapi tujuannya ialah untuk
memimpinnya ke batas yang dianjurkan oleh syara’ dan dipandang baik oleh akal fikiran.
Caranya ialah dengan mematahkan gejolaknya dan melemahkannya, sehingga api
kemarahan itu tidak menyala-nyala di dalam batinnya. Perbuatan itu diteruskan sehingga
kesan-kesannya tiada lagi kelihatan di wajah.

Adakalanya kemarahan seseorang itu dapat dilenyapkan dengan mengalihkan pemikirannya


kepada pentauhidan Zat Allah Ta’ala, ataupun mengingatkan dirinya bahawa Allah s.w.t.
menginginkannya supaya ia tidak marah. Mungkin pengaruh cintanya kepada Allah Ta’ala itu
dapat menolong memadamkan api kemarahannya, ataupun mengalihkan perhatian hati
kepada perkara yang lebih penting daripada kemarahan itu. Ketika itu hatinya tidak ada
tempat lagi untuk menyimpan marah, sebab ia telah dikuasi oleh urusan lain yang lebih
penting. Apabila hati sedang sibuk dengan perkara-perkara yang penting, tentulah ia akan
menyisihkan ke samping perkara-perkara yang kurang penting.

Sebab-sebab kemarahan

Anda telah mengetahui, bahawa ubat segala penyakit mestilah dengan memotong
pangkalnya dan melenyapkan sebab-sebabbya. Dengan hal yang demikian, maka anda
mestilah mengetahui sebab dan punca timbulnya kemarahan itu terlebih dulu. Sebab-sebab
yang membangkitkan kemarahan itu, ialah meninggi diri, ujub dan bangga, senda gurau,
omong kosong, mengejek-ejek, mencela, berbantah-bantah, berlawan-lawan, berkhianat,
kemahuan yang tak terbatas pada mencari wang dan menuntut kedudukan; semua sifat-
sifat ini merupakan perilaku-perilaku yang tercela di dalam syariat Islam. Seseorang itu
tidak mungkin terlepas dari sifat marah, selagi semua sifat-sifat ini masih kekal di dalam
dirinya. Maka sayugialah, ia bersungguh-sungguh untuk menghapuskan segala sifat-sifat ini
dengan sifat-sifat lawannya.

Hendaklah menyirnakan sifat membesar diri dengan merendah diri, menyirnakan sifat ujub
dan bangga diri dengan mengenal diri sendiri, menyimpan sifat memuji diri dengan
mengingati diri bahawa ia adalah dari jenis makhluk yang sangat rendah, yang bersatu
keturunan dengan bapa yang satu, iaitu Adam a.s. Seterusnya untuk menyirnakan sifat
megah diri pula, ialah dengan mengerjakan seberapa banyak kebajikan dan kebaikan dan
hendaklah ia menyakini bahawa sifat megah diri atau bangga diri itu, adalah termasuk sifat-
sifat yang amat tercela.

Adalah sifat senda gurauan itu, dapat disirnakan dengan menyibukkan diri dengan urusan-
urusan agama yang penting, sehingga mengambil masa yang lanjut dari umur, ataypun lebih
dari itu. Sifat suka beromong kosong dapat disirnakan dengan melakukan pekerjaan-
pekerjaan yang berguna yang mendatangkan feadah, seperti mencari kelebihan-kelebihan
hidup, mendidik diri dengan akhlak dan budi pekerti yang terpuji, dan menlengkapkan diri
dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan agama yang boleh menyampaikan kepada
kebahagiaan akhirat.

Seterusnya untuk menyirnakan sifat mengejek-ejek itu, dengan mengekang diri dari berbuat
sesuatu yang boleh menyakiti orang lain, dan memeliharanya dari apa saja yang boleh
menyebabkan orang lain mengejek balik. Sifat suka mencela orang lain dapat disirnakan
dengan sentiasa menahan diri dari segala kaata-kaata yang tidak senonoh, dan
memeliharanya juga dari menjawab orang lain dengan kata-kata pedas.

Adapun sifat suka mementingkan diri sendiri, dapat disirnakan dengan banyak-banyak sabar
ke atas kepahitan hidup, dan selalu bersyukur terhadap apa yang telah ditakdirkan oleh
Allah sekadar yang termampu, untuk menjaga kemulian diri dari suka meminta-minta dan
mengangkatnya dari kehinaan keperluan yang tidak ada batasnya.

Setiap perilaku dari perilaku-perilaku ini, dan setiap sifat dari sifat-sifat ini, memerlukan
pengikisan dan pengubatan melalui jalan latihan dan penanggungan terhadap semua
percubaannya. Tujuan menjalankan latihan seumpama ini, ialah untuk mengetahui
kebencanaan sifat-sifatnya, agar jiwa merasa tidak senang kepadanya, dan melarikan diri
dari segala keburukan-keburukan sifat-sifat tersebut. Kemudian membiasakan diri bersifat
dengan sifat-sifat lawannya setakat jangka masa yang panjang pula, sehingga dengan
kebiasaan itu dapat diterapkan kepada jiwa sifat-sifat yanfg baru itu, manakala jiwa pun
tidak merasa berat untuk menerimanya setelah sifat-sifat itu menjadi kebiasaannya.

Apabila sifat buruk dan tercela itu telah disirnakan dari jiwa dan dihapuskan sama sekali,
maka ketika itu jiwa akan suci murni, bersih dari segala sifat-sifat keji, dan barulah ia akan
terselamat dari angkara sifat marah yang mencetuskan segala sifat-sifat yang tak baik itu.

Sementara itu punca utama yang menimbulkan sifat marah pada golongan orang yang bodoh
dan jahil itu, ialah anggapan mereka bahawa sifat marah itu adalah semacam keberanian,
ketangkasan dan kemuliaan diri. Sebab itulah, maka jiwa orang-orang ini tertarik kepada
sifat marah, dan menganggapnya suatu sifat yang baik, Anggapan ini adalah suatu
kebodohan dan kejahilan dala diri, maka suatu penyakit dalam hati dan kurang
pentimbangan dalam akal fikiran.

Untuk mengubati penyakit orang-orang bodoh ini, ialah dengan mendengarkan kepada
mereka cerita-cerita para ahli penyantun dan pemaaf, dan menunjukkan kepada mereka
bagaimana orang-orang itu memilih cara menahan diri dari marah. Cara beginilah yang
merupakan sebaik-baik cara, sebab telah dipraktikkan oleh para Nabi dan para ulama yang
terdahulu.
Bagaimana mengubati kemarahan yang sedang bergejolak

Apa yang dihuraikan pada lembaran-lembaran yang lalu, ialah bagaimana caranya hendak
melenyapkan pangkal kemarahan dan menghapuskan sebab-sebabnya, supaya ia tiada terus
bergejolak. Tetapi jika ini tiada berjaya, malah sebab-sebab kemarahan itu hidup juga,
maka ketika itu hendakkah menetapkan diri supaya orang yang dihinggapi penyakit ini,
tiada sampai terpaksa melakukan sesuatu menurut wajah yang tercela. Sayugialah ia
menyegerakan pengubatan kemarahannya itu, dalam seketika bernyala-nyalanya, dengan
pati dan inti ilmu pengetahuan dan amalan.

Untuk mengubati penyakit marah menerusi ilmu pengetahuan, ada beberapa caranya, iaitu:

Pertama: Hendaklah anda cuba mengingatkan kembali segala anjuran-anjuran yang ditunjuk
oleh syariat dalam keutamaan dan kelebihan sifat-sifat menahan marah, pemaaf,
penyantun dan menanggung perilaku buruk. Dengan jalan itu jiwa anda akan inginkan
pahala yang dijanjikan kerana menolak kemarahan itu, lalu anda akan menentang keinginan
diri untuk membalas dendam, maka dengan itu perasaan marah anda akan terhapus dari
dalam diri.

Kedua: Hendaklah anda ingat tentang ancaman Allah Ta’ala dan siksaanNya, andaikata
diteruskan juga sifat marah anda itu. Anda harus merenung pula, apakah anda boleh
terselamat dari kemurkaan Allah Ta’ala pada Hari Kiamat kelak, meskipun ketika itu anda
sangat memerlukan kepada pengampunan dan kemaafan Allah Ta’ala.

Ketiga: Hendaklah anda ingat akan akibat permusuhan dan pembalasan dendam lawan
anda, kelak sudah barang tentu ia akan berusaha untuk menceroboh kehormatan diri anda.
Ia akan cuba menjaja segala keburukan anda. Ia akan merasa suka, bila anda tertimpa
sesuatu bencana, sedangkan anda sendiri tentu sekali tidak sunyi dari berbagai-bagai
keburukan dan kecelaan diri. Dengan yang demikian, anda akan merasakan keburukan
akibat marah itu di dunia, kiranya anda masih tidak mengendahkan akan akibat dosanya di
akhirat.

Keempat: Hendaklah anda gambarkan bertapa buruknya rupa anda kelak bila anda marah,
iaitu dengan mengingat rupa orang lain ketika dalam dalam kemarahan. Bayangkanlah rupa
anda yang buruk ketika itu, dengan rupa sahabat ada yang diumpamakan seperti anjing
galak yang hendak menerkam, atau seekor binatang buas yang mengganas. Kemudian
bayangkanlah pula seorang penyantun yang bertenang saja, yang tidak suka marah-marah,
yang menurut perilaku para Nabi, para wali, para alim ulama dan orang-orang yang
bijaksana. Pilihlah antara dua perilaku itu, mana yang lebih sesuai bagimu? Menyerupakan
dirimu dengan perilaku anjing-anjing, binatang-binatang buas dan orang-orang yang tercela
kelakuannya? Ataupun menyerupakan dengan perilaku para Nabi dan alim ulama dalam adat
kebiasaannya, supaya jiwa anda kelak tertarik kepada perjalanan hidup mereka itu, itu pun
jika ada lagi padamu sedikit otak yang boleh memikirkan baik buruknya kedua-dua perilaku
tadi.

Kelima: Hendaklah anda fikirkan apa sebabnya anda ingin membalas dendam? Dan apa pula
sebabnya anda tidak dapat menahan diri dari kemarahan itu? Mungkin juga syaitan
membisikkan di telinga anda, bahawa sikap itu akan menunjukkan kelemahan dan kehinaan
diri, dan anda akan kelihatan rendah di mata orang ramai. Ketika itu hendakkah anda
menjawabnya dengan berkata: Wahai nafsu! Anih sekali engkau ini. Engkau tak sanggup
menahan penghinaan sekarang. Apakah engkau lebih sanggup menahan penghinaan di Hari
Kiamat kelak? Apakah engkau tidak bimbang, kelak di sana engkau akan dihinadinakan di
hadapan Allah, para Malaikat dan pada NabiNya?

Apabila anda menahan kemarahan, maka hendaklah anda menahannya semata-mata kerana
Allah. Anda menahannya juga kerana ia seperkara yang dipandang berat di sisi Allah. Jangan
sampai anda terpengaruh dengan kata-kata orang, ataupun menahan kemarahan itu dengan
sesuatu sebab keduniaan
Adapun cara memadamkan api kemarahan menerusi amalan, iaitu hendaklah anda
mengucap Ta’awwudz dengan lidahmu begini: A’uudzu billaahi minash-shaithaanir-rajiim
(Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk). Apabila kemarahan itu muncul
ketika anda sedang berdiri, maka hendaklah anda segera duduk: jika sedang duduk, maka
hendaklah anda baring. Orang yang sedang dalam kemarahan, sunnat baginya mengambil
wudhu’ (air sembahyang) dengan air yang dingin, kerana kemarahan itu berpunca dari api,
manakala api itu pula tidak boleh dipadamkan melainkan dengan air.

Keutamaan menahan diri dari kemarahan

Allah s.w.t. telah berfirman:

“Bersegeralah bermohon keampunan kepada Tuhan kamu, dan (memohon) syurga


yang luasnya meliputi langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertaqwa;
iaitu mereka yang membelanjakan hartanya dalam keadaan senang dan susah, dan
mereka yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang, dan Allah
amat mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (ali-Imran: 133-134)

Ayat tersebut di atas telah membuktikan kepada kita, bahawa orang yang menahan
kemarahannya termasuk dalam golongan muttaqin; iaitu orang-orang yang bertaqwa kepada
Allah Ta’ala. Tambahan pula, bahawasanya Allah Ta’ala akan memberikan
pengampuananNya kepada mereka, lalu menyediakan bagi mereka balasan syurga. Alangkah
besar dan hebatnya balasan itu!

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa menahan kemarahannya, nescaya Allah akan menahan siksaNya


terhadap orang itu. Barangsiapa mengemukakan keuzurannya kepada Allah,
nescaya Allah akan menerima keuzurannya itu, dan barangsiapa menyimpan
lisannya, nescaya Allah akan menutup segala keburukannya.”

Bersabda Rasulullah s.a.w. lagi:

“Orang yang paling gagah di antara kamu, ialah orang yang dapat mengalahkan
nafsunya semasa marah. Dan orang yang paling penyantun pula, ialah orang yang
memberikan maaf, sedangkan ia berkuasa untuk membalas.”

Sekali peristiwa Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a. telah didatangi oleh seorang dusun yang
berwatak kasar, lalu berkata kepadanya: Wahai Umar! Demi Allah, engkau tidak berlaku adil
dalam pemerintahanmu dan tidak memberikan secukupnya kepada kami. Mendengar itu,
maka menjadi marahlah Khalifah Umar, hingga kemarahan itu ketara pada wajahnya. Tiba-
tiba salah seorang para hadirin telah menyampuk dan berkata: Wahai Amirul Mu’minin!
Bersabarlah. Tidakkah tuan mendengar firman Allah Ta’ala:

“Ambillah sikap pemaaf san suruhlah orang berbuat yang baik-baik, dan jangan
mengendahkan orang-orang yang bodoh itu.” (al-A’raf:199)

Mendengar peringatan orang itu, Khalifah Umar pun bertenang semula, dan beliau
memaafkan si penuduh itu.

Keutamaan sifat penyantun

Ketahui bahawasanya sifat penyantun itu adalah lebih utama dari sifat menahan marah,
sebab menahan kemarahan itu diumpamakan sebagai perbuatan sementara dari sifat
penyantun, yakni memaksa diri untuk bersifat penyantun ketika sedang marah. Sedangkan
menahan kemarahan itu tidak perlu, melainkan bagi orang yang sedang berkobar-kobar
kemarahannya. Kemudian untuk melenyapkan kemarahan itu, perlu pula kepada perjuangan
yang sungguh-sungguh, tetapi tentulah tidak dikhuatiri lagi bahawa kemarahan ity
berkobar-kobar lagi, andaikata kemarahan itu berkobar-kobar juga tidaklah menjadi sukar
lagi untuk memadamkannya. Itulah yang dikatakan penyantun tab’I yang telah menjadi sifat
yang utama dan terpuji.

Tegasnya penyantun itu adalah tanda-tanda kesempurnaan akal fikiran dan penguasaanya
terhadap keinginan hawa nafsu yang dapat mematahkan segala kekuatan dan kegejolakan
sifat marah dalam diri, serta menundukkannya menurut pertimbangan akal fikiran. Tetapi
pada mulanya mestilah dicuba dengan menyantunkan diri dan menahankan kemarahan
secara paksaan, sehingga akhirnya perbuatan itu menjadi suatu kebiasaan.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Hanyasanya ilmu pengetahuan itu didapati dengan belajar, dan sifat penyantun
didapati dengan bersopan santun”

Hadis itu menunjukkan kepada kita, bahawasanya untuk melengkapkan diri dengan sifat
penyantun itu, mestilah mula-mula dibiasakan diri dengan sifat itu secara paksaan,
sebagaimana kalau hendak mendapatkan ilmu pengetahuan pula, mestilah dengan
memaksakan diri supaya tekun belajar.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya seseorang Muslim itu akan mencapai darjat orang yang berpuasa
(pada siand hari) dan beribadat (pada malam hari) menerusi sifat penyantun.”

Al-Hasan, ketika memberikan komennya terhadap ayat berikut berkata:

“Dan apabila orang-orang bodoh itu berkata kepada mereka, nescaya dijawabnya:
Selamat sejahtera.” (al-Furqan: 63)

Ia berkata: Maksudnya orang-orang itu bersifat penyantun, mereka tidak ingin membalas
orang-orang bodoh itu dengan cara yang setimpal, seperti yang diperlakukan kepada diri
mereka.

Dari Mujahid, ketika memberikan komennya terhadap ayat berikut pula:

“Dan apabila mereka melalui di hadapan orang-orang yang beromong kosong itu,
mereka berlalu secara hormat (tidak pedulikan mereka itu)” (al-Furqan: 72)

Kata Mujahid: Maksudnya apabila mereka disakiti dan dianiayai, nescaya mereka
memaafkan saja. Ini juga termasuk sifat penyantun.

Dari Ali bin Abu Talib r.a., katanya: Bukanlah kebaikan itu bila harta kekayaamu bertimbun-
timbun dan anak pinakmu bersusun-susun, bahkan kebaikan itu ialah bila ilmu
pengetahuanmu bertambah, sifat penyantunmu sikenang orang, dan anda tidak menunjuk-
nunjuk kepada orang ramai mengenai ibadatmu kepada Allah, dan bila anda berbuat baik,
anda sentiasa bersyukur kepada Allah, tetapi bila anda berbuat jahat, segera anda
bertaubat dan meminta ampun kepadaNya.

Aktsam pula berkata: Tonggaknya akal ialah sifat penyantun, dan pokok segala perkara
ialah sabar.

Berkata Mu’awiyah: Seseorang manusia tidak akan mencapai puncak pemikiran, melainkan
sesudah penyantuannya mengalahkan kebodohannya, dan kesabarannya mengatasi
keinginan syahwatnya, dan tidak akan tercapai semua itu, melainkan dengan kekuatan dan
pengetahuan.

Bertanya Mu’awiyah kepada Amru Ibnul-Ahtam: Orang yang bagaimanakah yang dikata
pemberani? Amru menjawab: Sesiapa yang dapat mengalahkan kebodohannya dengan
penyantunannya. Kemudian Mu’awiyah bertanya lagi: Orang yang macam manakah yang
dikatakan paling pemurah? Jawabnya: Orang yang membelanjakan kekayaan dunianya untuk
maslahat akhiratnya.

Mu’awiyah pernah bertanya kepada Irabah: Dengan cara apakah engkau dapat mengetahui
kaummu itu? Jawabnya: Saya sering bersikap penyantun terhadap orang yang bodoh di
antara mereka dan memberi setiap permintaan mereka dan berusaha untuk menunaikan
segala hajat keperluan mereka. Barangsiapa yang melakukan seperti yang saya lakukan,
maka ia pun samalah seperti saya, malah barangsiapa dapat melebihi saya, tentulah ia
menjadi lebih utama dari saya. Tetapi jika ia melakukan kurang dari saya, maka saya lebih
baik daripadanya.

Berkata Anas bin Malik, ketika memberi keterangan terhadap firman Allah Ta’ala:

“Tolaklah kejahatan itu dengan cara sebaik-baiknya, sehingga orang yang


bermusuhan antaramu dengannya akan menjadi seorang kawan yang setia, dan
kelakuan seumpama itu tiada dikurniakanNya kepada sesiapa pun, melainkan
orang-orang yang bersabar, dan tidak diberikanNya melainkan kepada orang-orang
yang bersabar, dan tiada diberikanNya melainkan kepada orang yang mempunyai
keberuntungan yang besar.” (Fushshilat: 34-35)

Kata Anas: Itulah orang yang bila dicaci-maki oleh saudaranya, lalu ia berkata: Andaikata
anda telah berdusta dalam caci-makimu itu, maka mudah-mudahan Allah mengampuni
anda. Tetapi jika anda benar dalam ucapanmu itu, maka mudah-mudahan Allah
mengampuni saya.

Dari Saiyidina Ali bin al-Hussain radhiallahu-anhuma, pada suatu ketika beliau telah dimaki
oleh seorang, maka beliau pun menghadiahkan kepada orang itu sehelai pakaian, dan
memberikannya pula sebanyak seribu dirham. Setengah orang yang mendengar cerita itu
telah mebuat komen, kata mereka: Telah terkumpul pada peribadi Saiyidina Ali bin al-
Hussain itu lima sifat yang terpuji, iaitu:

1. Penyantun
2. Melenyapkan sakit hati.
3. Melepaskan orang itu dari sesuatu yang boleh menjauhkannya daripada Allah
azzawajalla.
4. Menyebabkannya merasa kesal terhadap perbuatannya lalu bertaubat.
5. Mengubah sikapnya yang mencela tadi kepada sikap memuji pula.

Beliau telah membeli kesemua sifat-sifat yang terpuji ini dengan sesuatu yang tidak
terpandang dari harta dunia.

Kadar yang dibolehkan untuk membalas umpatan

Ketahuilah bahawasanya setiap penganiayaan yang ditimbulkan oleh seseorang, tiadalah


dibolehkan membalas dengan penganiayaan yang sama. Tidak dibolehkan membalas umpat
dengan umpat, intip dengan intip, maki dengan maki, dan seterusnya terhadap semua
maksiat sibalas dengan maksiat yang sama pula.

Rasulullah s.a.w. telah melarang orang membalas orang yang mengata-nista kepada mu
dengan kata-nista dalam sabdanya:

“Jika seseorang mengata-nistamu dengan menyebut sesuatu keburukan yang ada


pada dirimu, maka janganlah anda membalas dengan menyebut keburukan-
keburukan yang ada pada dirinya pula.”

Setengah para ulama membolehkan membalas dengan mengatakan sesuatu yang tidak
mengandungi perkara dusta. Mereka berkata: Larangan yang bersabdakan oleh Rasulullah
s.a.w. untuk membalas kata-caci orang itu, bukanlah merupakan suatu larangan yang haram
atau dosa, hanya yang lebih baik lagi meninggalkannya, tetapi jika ia membalas juga, maka
tidaklah terkira berdosa.

Tetapi yang dibolehkan membalas dengan berkata: Siapa engkau ini sampai berkata seperti
ini? Ataupun: Wahai orang yang rendah budinya! Ataupun: Wahai manusia bodoh! Kerana
setiap orang mestilah ada padanya sifat rendah budi dan sifat bodoh.

Begitu juga, jika dia memanggil dengan berkata: Wahai orang yang buruk akhlaknya!
Ataupun: Wahai orang yang mencaci peribadi orang lain! Dan sebenarnya memanglah sifat
yang dicacinya itu ada pada orang itu, maka tidaklah ditegah. Ataupun ia berkata: Jika ada
sifat malu pada diri anda, tentulah anda tidak berkata seperti itu. Ataupun ia berkata:
Alangkah buruknya kelakuanmu pada pandangan mataku!

Para alim ulama membolehkan ucapan-ucapan membalas seumpama itu, berdalilkan sabda
rasulullah s.a.w.:

“Dua orang yang bermaki-makian itu, selagi masing-masing sama kata-mengata,


maka dosanya ke atas orang yang memulakan memaki dari keduanya, sehingga
orang yang dizalimi (dimaki) itu pula melampaui batas ke atas orang yang
memulakan.”

Hadis ini menentukan, bahawa bagi orang yang teraniaya itu boleh membuat pembalasan
sekadar yang sama dengan apa yang diperlakukan kepadanya, tetapi hendaklah is tidak
melampaui batas, jika ia melampaui batas, maka ketika itu dialah yang akan menerima
dosanya pula.

Itulah kadarnya yang diperbolehkan oleh para alim ulama dalam menuntut pembalasan,
yakni suatu keizinan untuk menentang penganiayaan yang ditujukan kepada dirinya, iaitu
kadar yang seimbang tanpa melampaui batas.

Berkata Iman Ghazali selanjutnya: Memang sudah jelaslah keizinan membalas itu
diperbolehan dalam kadar yang tersebut di atas, tetapi yang lebih utama meninggalkan saja
niat untuk membalas itu, sebab yang demikian akan menariknya kepada suatu akibat yang
lebih meruncing sesuatu itu. Bahkan mungkin nanti ia tidak dapat menguasai dirinya lagi
untuk menuntut pembalasan dalam kadar hak yang diperbolehkan saja, dan dikhuatiri kelak
ia akan melampaui batas. Dengan yang demikian, menahan diri dari membuat pembalasan
itu adalah lebih baik dan lebih senang daripada memulakan pembalasan dan berhenti dalam
kadar yang diperbolehkan oleh syara’.

Walau bagaimanapun, memanglah ada juga manusia yang tiada berkuasa untuk mengekang
hawa nafsu dalam masa marahnya sedang meluap-luap. Tetapi tidak kurang pula ada yang
insaf sesudah itu, lalu kembali tenang dan marahnya pun reda.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sebaik-baik anak Adam, ialah orang yang lambat marahnya dan segera pula reda
bila sudah marah, dan sejahat-jahat anak Adam yang lekas marahnya dan lambat
pula reda marah itu.”

Akibat dendam dan faedah belas kasihan

Ketahuilah bahawasanya sifat marah itu bila tidak dikekang dengan segera, nescaya
sukarlah ia disembuhkan dengan serta-merta, maka ketika itu ia akan terpendam di dalam
kebatinan, dan bersarang di situ, sehingga menjadi sifat dendam pula.

Pengetian dendam itu, ialah bila hati anda merasa sangat berat terhadap, seseorang,
seperti membencinya, menjauhi diri darinya dan sifat itu akan kekal bersemadi di dalam
hati anda dan sentiasa hidup di situ.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Orang Mu’min itu bukanlah seorang yang pendendam.”

Jadi nyatalah, bahawa sifat dendam itu bersumber dari sifat marah, dan ia akan
menimbulkan berbagai-bagai perkara mungkar iaitu:

1. Perasaan hasad dan dengki dalam diri, sehingga anda merasakan tidak senang bila
melihat seseorang berada di dalam kenikmatan, lalu anda mencita-citakan
terhapusnya nikmat itu daripadanya. Tegasnya anda tidak suka seseorang yang
hidupnya senang-lenang, sebaliknya anda merasa gembira bila ia ditimpa bahaya
atau kesusuhan. Perilaku ini adalah contoh dari perilaku orang-orang munafik.

2. Anda bukan saja menyimpan perasaan hasad dan dengki di dalam diri anda, malah
anda merasakan senang sekali, bila orang itu terkena sesuatu musibat atau bala
bencana.

3. (3) Anda akan menjauhinya dan memutuskan semua perhubungan dengannya. Tidak
mahu bergaul dengannya, meskipun ia cuba berbaik-baik denganmu dan
mendapatimu.

4. (4) Kiranya orang itu lebih rendah kedudukannya darimu, maka anda memalingkan
dirimu daripadanya, kerana menganggapnya kecil di hadapan matamu.
5. (5) Anda akan mengucapkan kata-kata yang tidak patut terhadap orang itu, tidak
kira sama ada dengan berbohong, mengumpat.

You might also like