You are on page 1of 4

Perlembagaan Persekutuan

Perkara 8. Kesamarataan.
(1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat
perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

(2) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak
boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras,
keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam
pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa
awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan
pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan
atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.

(3) Tidak boleh ada diskriminasi yang memihak kepada mana-mana orang atas alasan
bahawa dia seorang rakyat Raja bagi mana-mana Negeri.

(4) Tiada pihak berkuasa awam boleh mendiskriminasikan mana-mana orang atas alasan
bahawa dia bermastautin atau menjalankan perniagaan di mana-mana bahagian
Persekutuan di luar bidang kuasa pihak berkuasa itu.

(5) Perkara ini tidak menidaksahkan atau melarang—

(a) apa-apa peruntukan yang mengawal selia undang-undang diri;

(b) apa-apa peruntukan atau amalan yang mengehadkan jawatan atau pekerjaan
yang berkaitan dengan hal ehwal mana-mana agama, atau sesuatu institusi yang
diuruskan oleh sekumpulan orang yang menganuti mana-mana agama, kepada
orang yang menganuti agama itu;

(c) apa-apa peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan atau pemajuan orang


asli Semenanjung Tanah Melayu (termasuk perizaban tanah) atau perizaban bagi
orang asli suatu perkadaran yang munasabah daripada jawatan-jawatan yang
sesuai dalam perkhidmatan awam;

(d) apa-apa peruntukan yang menetapkan kemastautinan di sesuatu Negeri atau


di sebahagian sesuatu Negeri sebagai suatu kelayakan bagi pemilihan atau
pelantikan kepada mana-mana pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa
hanya di Negeri atau di bahagian itu sahaja, atau bagi pengundian dalam
pemilihan itu;

(e) apa-apa peruntukan Perlembagaan sesuatu Negeri, yang adalah atau yang
bersamaan dengan suatu peruntukan yang berkuat kuasa sebaik sebelum Hari
Merdeka;
(f) apa-apa peruntukan yang mengehadkan pengambilan masuk tentera ke
dalam Rejimen Askar Melayu kepada orang Melayu.

Huraian:

Di dalam kes Datuk Haji Harun1 Mahkamah Persekutuan telah menggariskan beberapa
prinsip berkaitan dengan kesamarataan di bawah perkara 8 sebagaimana berikut:

(i) peruntukan tentang kesamarataan bukanlah mutlak yang bermaksud


bahawa ianya bukanlah bermakna bahawa kesemua undang-undang
mesti terpakai secara seragam kepada setiap orang dalam semua
keadaan di mana-mana sahaja;

(ii) peruntukan tentang kesamarataan adalah bersyarat atau terhad


sebagaimana contohnya di bawah perkara 8(5) dan 1532;

(iii) larangan terhadap layanan yang tidak sama terpakai tidak hanya kepada
badan yang membuat undang-undang (legislatif) tetapi juga terpakai
kepada badan pelaksanaan (eksekutif) sebagaimana yang boleh dilihat
daripada perkataan ‘pihak berkuasa awam’ dalam perkara 8(4) dan
perkataan ‘amalan’ dalam perkara 8(5)(b);

(iv) larangan tersebut terpakai bagi kedua-dua undang-undang substantif dan


undang-undang prosedur;

(v) perkara 8 membayangkan bahawa terdapatnya undang-undang yang


mungkin mendiskriminasikan sebagaimana yang dinyatakan dalam
perkara 8(5) seperti, orang-orang Islam, berlainan dengan orang-orang
bukan Islam, tinggal di negeri-negeri tertentu berlainan dengan orang-
orang lain, dan begitu juga dengan orang-orang melayu dan bumiputra
Borneo berlainan dengan yang lain-lain;

(vi) soalan pertama yang perlu ditanya adalah sama ada sesuatu undang-
undang itu mendiskriminasikan atau tidak, dan jika ianya tidak (seperti
undang-undang yang terpakai pada setiap orang) ianya adalah undang-

1
Datuk Haji Harun bin Haji Idris lwn. Public Prosecutor [1977] 2 MLJ 155, m/s. 165.
2
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah peruntukan tentang perizaban kuota berkenaan dengan
perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan
Sarawak.
undang yang baik, tetapi jika ianya mendiskriminasikan, seseorang itu
hendaklah melihat sama ada pendiskriminasian tersebut jatuh pada
mana-mana pengecualian yang dibenarkan oleh perlembagaan atau
kehakiman;

(vii) doktrin pengkelasan boleh diterima bergantung kepada prinsip ke enam


di atas dan mahkamah mempunyai kuasa untuk menilai kewajaran
pengkelasan oleh badan pembuat undang-undang (legislatif);

(viii) di dalam kes-kes yang mana undang-undang tidak menyatakan apa-apa,


prosedur yang lebih drastik adalah sah di sisi perlembagaan; dan

(ix) terdapat andaian bahawasanya undang-undang yang dicabar (impugned


law) adalah sah di sisi undang-undang.

Dalam keputusan kes yang sebelumnya iaitu di dalam kes Khong Teng Khen3, Suffian LP
menggariskan bahawa prinsip yang terpakai dalam perkara 8 adalah bahawa “a law
must operate alike on all persons under like circumstances, not only simply that it must
operate alike on all persons in any circumstance”. Beliau kemudiannya menyimpulkan
bahawa apa yang yang penting dalam perkara 8 ialah “a person in one class should be
treated the same as another person in the same class”.

Prinsip ini telah digunapakai dalam kes selepas itu seperti kes Johnson Tan Han Seng4
yang mana perkara 8 telah dibaca bersama perkara 145(3); peruntukan yang
membenarkan Peguam Negara mendiskriminasikan antara manusia.5

Di dalam kes Merdeka University Berhad6 , Abdoolcader J memutuskan antara lain,


bahawa plaintif adalah sebuah badan korporat tidak boleh mengguna pakai peruntukan
tentang kesamarataan kerana ia bukanlah seorang warganegara. Di dalam kes ini, satu
cabaran telah dibuat apabila kerajaan telah menolak satu permohonan bagi
menubuhkan sebuah universiti swasta yang menggunakan bahasa Cina.

Di dalam kes VR Menon7 , mahkamah telah memutuskan bahawa prinsip kesamarataan


hendaklah dibaca bergantung kepada tujuan undang-undang tersebut digubal oleh
parlimen. Di dalam kes ini, satu peruntukan undang-undang telah diluluskan oleh

3
Public Prosecutor lwn. Khong Teng Khen [1976] 2 MLJ 166, m/s. 170 F-G.
4
Johnson Tan Han Seng lwn. Public Prosecutor [1977] 2 MLJ 66, m/s. 70.
5
Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan berbunyi sebagaimana berikut: “Peguam Negara hendaklah
mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, menjalankan atau memberhentikan
apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri
atau mahkamah tentera.”
6
Merdeka University Berhad lwn. Government of Malaysia [1981] 2 MLJ 356, m/s. 363, dan [1982] 2 MLJ
243.
7
Government of Malaysia lwn. VR Menon [1990] 1 MLJ 277.
parlimen yang telah mewujudkan diskriminasi antara penerima pencen dalam negeri
dan penerima pencen dari luar negeri. Walau bagaimanapun, mahkamah telah
memutuskan bahawa undang-undang yang dicabar tersebut adalah satu peruntukan
yang boleh dijustifikasi oleh mahkamah sebagai “intelligible differentia”.

Di dalam kes Ahmad Tajudin bin Ishak8 , mahkamah telah memutuskan bahawa
diskriminasi semata-mata tidaklah membawa kepada sesuatu undang-undang itu
bercanggah dengan perkara 8. Bagi membolehkan plaintif berjaya menunjukkan sesuatu
undang-undang yang diskriminasi itu bercanggah dengan perkara 8, plaintif mestilah
membuktikan bahawa diskriminasi tersebut adalah tidak adil dan telah membawa
kerosakan.

Di dalam kes Beatrice Fernandez9 , isu yang dikemukakan adalah tentang sama ada
terma dan syarat yang termaktub dalam perjanjian antara majikan dan pekerja yang
menghendaki mana-mana pramugari yang mengandung berhenti bekerja bercanggah
dengan perkara 8(2) atau tidak. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa
perjanjian tersebut bukanlah satu “undang-undang” yang dimaksudkan dibawah skop
perkara 8. Perkara 8 hanya menjurus kepada mana-mana undang-undang yang
diluluskan oleh parlimen atau undang-undang yang dikuatkuasakan oleh badan
penguatkuasa sahaja. Mahkamah mengatakan bahawa hakim-hakim adalah terikat dan
perkara 8 memperakui bahawa semua manusia secara semulajadi, berdasarkan
pencapaian, situasi dan keperluan yang berbeza mengikut kelas manusia yang berbeza
sentiasa memerlukan layanan yang berbeza.

Disediakan oleh:

Ahmad Termizi Bin Abdullah


Pensyarah
Hak Asasi Dan Masyarakat
Jabatan Pengajian Malaysia
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Tanjong Malim, Perak.

Email: mizico@gmail.com

8
Ahmad Tajudin bin Ishak lwn. Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang [1997] 1 MLJ 241.
9
Beatrice Fernandez lwn. Sistem Penerbagan Malaysia & Satu Lagi [2005] 4 AMR 1 & [2005] 2 CLJ 713.

You might also like