You are on page 1of 6

UCAPAN

DARI IBUBAPA
KEPADA
PASANGAN PENGANTIN

Disediakan Oleh :
Tuan Haji Abdul Aziz Mohd Niza
Bismillahir rahman nil rahim

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakahtuh dan salam sejahtera

Yang berusaha , pengacara majlis,


Yang Berbahagia .....................................
Yang dikasihi.......................................

Tuan-tuan dan puan-puan yang menjadi tetamu kehormat kami pada hari ini.

Awal Bismillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah


swt kerana dengan izinNya jua maka rancangan majlis ini menjadi kenyataan yang
sah. Pada masa yang sama, marilah kita semua mengangkatkan salam ke atas
Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad saw bagi mendapatkan shafaat Baginda
siang dan malam.

Tuan-tuan & Puan-puan,

Sesunguhnya saat paling bahagia bagi ibu bapa semasa hidup ialah ketika
berlangsungnya pernikahan anak mereka. Sanak saudara, kaum keluarga, jiran
tetangga dan sahabat handai diundang dan, jika berkesempatan, mereka akan turut
memeriahkan dan sama-sama bergembira pada hari bahagia itu, seperti di majlis
seperti pada hari yang bertuah ini.

Saya sedar ada beberapa majlis yang bertembung pada hari ini, seperti majlis
Mesra Hari Raya & Rumah Terbuka. Namun Tuan-tuan & Puan-puan telah
memilih untuk menghormati undangan kami. Lantaran itu, kehadiran semua
tetamu undangan kami amatlah kami hargai.

Pada masa yang sama, saya menyanjung tinggi kunjungan tuan-tuan & puan-puan
ke Hotel Seri Malaysia pada hari ini.

Dengan rendah diri, kami hargai semua penghormatan yang telah diberikan
kepada kami itu.
Tuan-tuan & Puan-puan,

Dari Bentung pergi ke Rengit


Tanjung Rusa airnya tenang
Langit tergantung bumi tersenget
Budi dan jasa tetap dikenang.

Seiring madah pantun bersambut


Halua telinga tanpa nan jemu
Mesra berdakap kasih terpaut
Semadi di kalbu bertandangnya tamu.

Merahnya delima manisnya nona


Buat santapan si tuan puteri
Majlis meriah penuh bermakna,
Kehadhiran semua menambah seri.

Dalam kami memohon kasih pada yang datang, kami ingin pula memohon maaf
pada semua sanak saudara dan sahabat handai yang tak upaya kami undang kerana
kesuntukan ruang. InsyaAllah, pada masa mendatang kan kami undang.

Untuk makluman para hadirin, dua mempelai ini telah pun diijabkabulkan pada 2
Oktober yang lepas, selaras dengan pendapat ahli-ahli agama bahawa perkahwinan
itu wajib dan ianya satu amalan suci.

Hanya pada hari ini semua pihak yang berkaitan telah dapat mencapai kata sepakat
untuk mempersanding dan memasyhorkan raja sehari ini.

Tuan-tuan & Puan-puan,

Imam Syafi'e telah menasihatkan kita bahawa “Bila anakmu telah dewasa,
carikanlah jodohnya” tapi dunia sekarang, termasuklah kita-kita ni, belum sempat
mak bapak nak carikan jodoh, dah pandai cari sendiri. Jodohnya anak ....
bernama ......., orang Kedah; kami orang Perak. Tak ada pertalian keluarga. Maka
secara kebetulan, jodoh mereka sesuai dengan sabda Rasullullah saw yang
bermaksud “Pilihlah yang jauh, nescaya kamu tiada melemahkan”

Mengenai perkahwinan ini, saya sendiri pun tak berapa tahu susur galur jalan
cerita mereka bercinta; khabarnya mereka berkenalan di ...., di tempat kerja. Maka
saya pendekkanlah jalan cerita yang berjela-jela dalam rangkuman sebuah pantun
orang tua-tua:
Rama-rama terbang ke dusun
Anak ketam bermain kaca
Bukan Amir termakan racun
Hati tertikam kerlingan mata.

Kalau pukat sudah direntang


Jangan dikira kering dan basah
Kalau kasih sudah dipasang
Janganlah suka berpaling tadah

Buah seletup berongga-rongga


Kalau bertangkai, tangkai selidi
Bertuah hidup berumah tangga
Kalau berpisah, bercerai mati.

Amir dan isteri, hendaklah ingat bahawa rumahtangga umpama sebuah kerajaan,
suami menjadi raja dan isteri adalah ratu yang mempunyai kuasa yang cukup di
dalamnya

Dan ingatlah, perselihan itu sebahagian daripada asam garam hidup; bak kata
Seniman Agong P. Ramlee “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami
isteri.”

Hujan lebat jauh di hulu


Hujan menimpa pohon belimbing
Bila marah berundur dulu
Bila sejuk baru berunding.

Jangan menjaring di tengah laut


Banyak gelombang datang menerpa
Jangan berunding muka berkerut
Banyaklah datang silang sengketa
Amir, Wahai anakanda kesayangan ayahanda

Banyak sudah ayah bermadah


Mendengarkan nasihat jangan menyalah
Semak olehmu petua amanah
Supaya hidup mu berkat lah

Wahai anakanda kekasih ibu


Mendengar nasihat janganlah jemu
Di dalamnya banyak terkandung ilmu
Untuk menjadi bekal hidupmu.

Berguna hidup kerana beradat


Adat lembaga jadi pedoman
Sempurna hidup kerana Syahadat
Syahadat dijaga mengukuhkan iman.

Tuan-tuan & puan-puan,

Saya dan bapa pihak perempuan, telah menjadi keluarga melalui perkahwinan di
mana kedua-dua kami telah menyerahkan anak dan menerima menantu dan telah
sepakat untuk mengadakan majlis ini secara sederhana “Sebaik-baik perbuatan
ialah yang sederhana”.

Menyedari hakikat bahawa bumi mana yang tak ditimpa hujan, laut mana yang tak
bergelora maka, dalam majlis sesederhana ini, biasanya adalah pinggan yang retak,
cawan yang pecah; ada yang termasin dan pula yang termanis; ada yang kurang
dan ada pula yang terlebih.
Lantaran:

Kapal api dari seberang


Sarat dengan barang-barangan
Jika ada terlebih terkurang
Diumpat tidak dicaci pun jangan.

Namun kami perlu memohon maaf atas segala kekurangan itu:

Kunang-kunang terbang ke lembah


Hinggap bersarang dipohon buluh
Pinang mengadap sirih menyembah
Kami menyusun jari sepuluh.

Akhirnya, tuan-tuan & puan-puan, kami mohon berkat doa saudara mara dan
para sahabat semua agar sama-samalah mendoakan kebahagian rumah tangga dua
mempelai ini supaya berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Sayang Cik Mamat menjual cermin


Cermin dijual di Kg. Hulu
Ucap selamat pengantin di pelamin
Selamat sampai ke anak cucu.

Punya satu isteri mahu dakap sampai mati


Hilang semua gigi hanya tinggal dua gusi
Namun mereka tetap kasih, sayang dan saling mencintai
Sepanjang hayat kekal abadi ,h anya pemisah cangkul penggali.

Itulah doa kami…Rabbana atinah fitdunia hasanah, wafil akhirati hasanah,


waqinnah 'azabannar

Wassabihi wasallam.

Sekian, Assalamu'alaikum wbt. Terima kasih.

You might also like