You are on page 1of 31

BENTUK

Bentuk merangkumi jumlah rangkap, baris dan nama baris dalam setiap rangkap sajak,
jumlah sukukata, rima dan bentuk sama ada bebas atau terikat.

i.RANGKAP

Ada beberapa istilah lain yang digunakan selain daripada rangkap. Rangkap disebut juga
sebagai bait dan stanza. Sesebuah sajak boleh mempunyai rangkap paling minimum satu
rangkap dan boleh mencapai rangkap yang banyak terpulang kepada kreativiti penulis.
Contohnya sajak Pusara karya Surra ada tiga (3) rangkap. Lihat contoh sajak Pusara karya
Surra seperti berikut:-

Di kaca jernih
seorang tua bertafakur
atas tikar di sisi batu nisan yang reput
dedaun bertaburan menutup lantai tanah

Anak-anak turut menatapi Yasin


jejarinya rancak mengutip dedaun
tanah kering disimbah air
bunga-bunga segar bertaburan di atasnya
semua bersalaman bertemu tapak tangan

Pusara yang gelap diterangi bulan


perginya menghadap Illahi
dengan reda keluarga melepaskannya
pusara kian using tak sedetik hilang dari
ingatan
kunjungan tak pernah berhenti
walau hujan menenggelami bumi
Surra

*Dari sumber majalah Bahana Disember 2005 .

ii.BARIS.

Sesebuah sajak akan dapat kita fahami bentuknya daripada baris-baris dalam sesebuah
sajak. Baris-baris itu adalah seperti berikut:-

 Monoton - 1 baris serangkap.


Contohnya dalam sajak Ramadan karya Effy, iaitu:-

Rangkap 7
Alhamdullilah
*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 21hb Ogos, 2010.
 Distikon - 2 baris serangkap.
Contohnya dalam sajak Azamku karya Lelawati Binti Yusof, iaitu:-

Rangkap 2
Bangun! Bangun! Bangunlah segera
ingat pesan bonda.

*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 9hb Oktober, 2010.

 Terzina - 3 baris serangkap.


Contohnya dalam sajak Bapak karya Buhari, iaitu:-

Rangkap 5
Semoga kau beroleh ketenangan
menjadi insane kesayangan
Tuhan Yang Maha Esa

*Dari sumber majalah Bahana Disember, 2005.

 Quatrain - 4 baris serangkap.


Contohnya dalam sajak Rintihan Sepi karya AZ, iaitu:-

Rangkap 3
Kuhembuskan nafasku
untuk menenangkan fikiran
untuk meredakan tangisan
berlalu dalam kesepian

*Dari sumber majalah Bahana Disember, 2005.

 Quint - 5 baris serangkap.


Contohnya dalam sajak Alhamdulillah karya Masra, iaitu:-

Rangkap 2
Jikalah alif itu syahadatku
Lam itu sembahyangku
Haa itu puasaku
Mim itu zakatku
Dall itu hajiku.
*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 25hb September, 2010.

 Sekstet - 6 baris serangkap.


Contohnya dalam sajak Akan Kau Ampunkan Dosaku? karya Masra, iaitu:-
Rangkap 2
Alhamdulillah
andainya sudah sampailah seru-Mu
seperti suratan takdir yang ditentukan
di situ tiada lagi soal jawab
di situ tiada lagi tawar-menawar
melainkan reda.

*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 25hb September, 2010.

 Septaim - 7 baris serangkap.


Contohnya dalam sajak Bunga-bunga yang Tenggelam karya Sosonjan A. Khan,
iaitu:-

Rangkap 3
Kau…
kembang-kembang pagi
luruh dari tangkainya
terbang bukan burung
berenang bukan ikan
tenggelam
sebelum sampai ke tebing impian!

*Dari sumber majalah Bahana Disember 2005.

 Oktaf - 8 baris serangkap.


Contohnya dalam sajak Berakhir Di Pintu Zaman karya Sabaruddin SD, iaitu:-

Rangkap 5
Carilah diriku kekasih hati
berhijrah ke negeri cintaku
jelajahilah ke negeri cintaku
usah biarkan kecewa terbujur kaku
menderita dan hilang maya
mengusung dingin rindu-rindu kelmarin
berakhir di hujung gelap titian
gerbang pintu zaman.

*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 9hb Oktober, 2010.

 Sonata – Bebas (12 dan seterusnya dalam serangkap).


Contohnya dalam sajak Masa Dipersiakan karya Haji Mat Noor Matussin, iaitu:-

Rangkap 2
Sibuk bersama tuala
meluru ke bilik mandi
solat hanya sekadar boleh
memandu terus ke opis
pura-pura banyak kerja, kakas sini dan sana
dari pagi hingga ke malam
hanya pembohongan
kebiasaan di hari esok yang berterusan
curi tulang menjadi amalan
bukan untung tapi ruginya diri
kerja-kerja yang tanpa bismillah kerana Allah
rezeki yang halal menjadi haram

*Dari sumber majalah Bahana Disember 2005.

iii.SUKUKATA.

Bagi menentukan bentuk sesebuah sajak, kajian juga perlu dibuat pada jumlah sukukatanya.
Ini dikaitkan dengan jumlah sukukata yang terdapat pada pantun dan syair. Dalam pantun
dan syair terdapat lapan hingga dua belas sukukata. Dalam sajak tidak terikat kepada jumlah
sukukata tetapi ada juga terpengaruh dengan jumlah sukukata pantun dan syair. Jumlah
sukukata juga dilihat pada jumlah sukukata yang peling panjang dan pendek. Contohnya
dapat dilihat dalam sajak Surat karya Lelawati Binti Yusof, iaitu:-

Da/lam ku ber/sa/jak – 6 sukukata.


a/ku me/nya/pu wa/jah i/bu/ku – 10 sukukata.
ki/ni da/ku per/gi ja/uh – 8 sukukata.
ke/ra/na me/nun/tut il/mu yang a/da – 11 sukukata.
di ga/ri/san la/ut yang me/man/car – 10 sukukata.
i/tu/lah ga/ri/san ha/ti/ku jua – 10 sukukata.
ke/ra/na ha/ti/ku me/nge/nang i/bu yang ja/uh. – 14 sukukata.

Be/ta/pa si/al/nya ha/ti/ku - 9 sukukata.


ha/nya sa/jak yang ku/tu/lis i/ni – 10 sukukata.
em/pat su/rat ker/tas bi/ru – 8 sukukata.
te/ri/ma/lah su/rat/ku i/ni – 9 sukukata.
da/ri a/nak/mu wa/hai i/bu – 9 sukukata.
ki/ni a/pa da/ya ku a/ku ja/uh – 11 sukukata.
ja/uh di se/be/rang la/ut/an – 9 sukukata.
ha/nya ku/i/ring/i de/ngan do/a a/gar i/bu – 14 sukukata.
ba/ha/gi/a se/la/lu. -7 sukukata.

*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 9hb Oktober, 2010.

Jumlah sukukata yang paling panjang ialah empat belas (14) sukukata yang terdapat pada
rangkap 1 baris 7 (Ke/ra/na ha/ti/ku me/nge/nang i/bu yang ja/uh) dan rangkap 2 baris 8
(Ha/nya ku/i/ring/i de/ngan do/a a/gar i/bu). Manakala jumlah sukukata yang peling pendek
ialah enam (6) sukukata yang terdapat pada rangkap 1 baris 1 (Da/lam ku ber/sa/jak).

iv.RIMA.
Rima merujuk kepada rentak bunyi sama ada secara pengulangan atau bertentangan yang
terdapat pada baris-baris sajak atau puisi bagi rangkap atau bait-bait tertentu.

 Rima akhir atau hujung.


Rima akhir ialah hujung baris setiap rangkap itu mempunyai bunyi yang sama atau
tidak. Lihat contoh di bawah yang dipetik dari sajak Mengenangmu Dalam
Kerinduan karya Sabaruddin SD, antara rangkapnya ialah:-

Resah lamunanku – a.
memapah kerinduan – b.
mengubati kelukaan – b.
yang amat berat di hati ini – c.
kisah aku dan dirinya –d.
cinta insan dua dunia. – d.

Aduhai malang – a.
betapa aku menyedari hari dan masa yang berlari –b.
bukan lagi seindah – c.
atau semanis senyuman dulu – d.
bahkan kini pudar warna hidupku – d.
dibasahi air mata bayangan kecewa. – e.

*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 9hb Oktober, 2010.

Sajak di atas mempunyai rima akhir iaitu:-

Rangkap 1 – a/b/b/c/d/d.
Rangkap 2 – a/b/c/d/d/e.

v.BENTUK TERIKAT ATAU BEBAS.


Terikat merujuk kepada sajak yang terpengaruh dengan cirri-ciri yang ada pada puisi lama
iaitu pantun dan syair dari segi rima, baris, sukukata dan sebagainya.
 Terikat kepada pantun.
Terikat kepada pantun dikatakan sajak yang dipengaruhi oleh semua atau
sebahagian daripada ciri-ciri yang terdapat dalam pantun. Dalam pantun terdapat
empat baris serangkap dengan rima akhir a/b/a/b. Ia juga disebut pantun empat
kerat dan pantun enam baris disebut pantun enam kerat dengan rima akhir
a/b/c/a/b/c.
Setiap baris pantun mengandungi kira-kira empat hingga dua belas sukukata.
Contohnya dapat dilihat dalam sajak Senja Di Desa karya Masman, antara
rangkapnya, iaitu:-

Wajah senja berkilau-kilauan – a.


sungai Jengal beralun tenang – b.
lumba-berlumba bergalah sampan – a.
riang petani berdayung pulang – b.

*Sajak ini terpengaruh dengan pantun kerana rima akhirnya a/b/a/b.


*Dari sumber buku Memahami Sajak dan Novel karya Nurazmi Kuntum.

 Terikat kepada syair.


Merujuk kepada sajak yang dipengaruhi sebahagian atau sepenuhnya ciri-ciri syair.
Syair juga mengandungi empat baris setiap rangkap dengan rima akhirnya sama
iaitu a/a/a/a. setiap baris mengandungin empat hingga dua belas sukukata. Lihat
contoh yang dipetik iaitu sajak Bersujud karya Surra, antara rangkapnya:-

Sejadah itu milik ku – a.


Sejadah itu teman ku – a.
Sejadah itu saksi ku – a.
Sejadah itu pengubat rindu ku – a.

*Sajak ini terpengaruh dengan syair kerana rima akhirnya sama iaitu a/a/a/a.
*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 21hb Ogos, 2010.

 Bebas.
Merujuk kepada sajak yang berbentuk bebas iaitu bentuk ini tidak terikat dengan
puisi lama seperti pantun dan syair. Contohnya dalam sajak Ibuku karya Effy, antara
rangkapnya:-

Pengorbanan ibu bermula sejak awal lagi – a.


sejak kelahiranku – b.
hidup Ibu setiap malam – c.
menjagaku tanpa penat lelah – d.

Semasa ku di bangku di sekolah – a.


Ibu menasihatiku – b.
menegur kesalahanku – b.
memberi tunjuk ajar kepadaku – b.
*Bentuk sajak ini bebas kerana tidak terikat dengan puisi lama dan rima akhirnya
tidak sama iaitu rangkap 1 (a/b/c/d) dan rangkap 2(a/b/b/b).
*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 21hb Ogos, 2010.

 Sajak eksperimen.
Merujuk kepada sajak yang bentuknya tidak menentu. Sajak ini mempunyai susunan
kata dan baris yang tidak menentu. Contohnya dalam sajak Kesucian karya Julaihi
Haji Abdullah, antara rangkapnya:-

Maruah kental
kukuh

Martabat mulia
agung

Cinta sejati
abadi

*Dari sumber majalah Bahana Disember 2005.

ALIRAN
Aliran merujuk kepada seluruh idea yang disampaikan dalam sesebuah sajak secara
keseluruhan. Aliran dapat dikesan setelah memahami maksud sajak. Antara aliran itu ialah:-

i.Realisme- Aliran ini mengungkapkan kehidupan secara real atau benar seperti yang dapat
dilihat dalam kehidupan sebenar atau seharian.
Contohnya dalam sajak Ramadan karya Y. H. Mizan, iaitu:-

Bulan Ramadan,
bulan yang lebih baik
daripada seribu bulan,
bulan penuh
keberkatan,
bulan yang mulia,
mempunyai kelebihan
yang tersendiri,
mempunyai
kepentingan dalamnya,
mempunyai
keistimewaan,

Di malam yang gelap


gelita,
di cahayakan bulan,
di cahayakan bintang,
sungguh menawan,
sungguh indah,
hanya di bulan
ramadan,
hanya dalam bulan ini
hanya sekali setahun.

*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 21hb Ogos, 2010.

Sajak ini beraliran realisme kerana ia menceritakan tentang sesuatu yang benar-benar
terjadi dalam kehidupan sebenar iaitu tentang bulan Ramadhan. Sajak ini juga menceritakan
tentang keindahan dan keberkatan yang diperolehi dalam bulan Ramadhan.

ii.Didaktisme- Aliran ini merujuk kepada maksud mengajar, membimbing, menasihati,

mengajak kepada kebaikan dan menjadi perbandingan untuk ikutan pembaca.

Contohnya dalam sajak Pusara karya Surra, iaitu:-

Di kaca jernih
seorang tua bertafakur
atas tikar di sisi batu nisan yang reput
dedaun bertaburan menutup lantai tanah

Anak-anak turut menatapi Yasin


jejarinya rancak mengutip dedaun
tanah kering disimbah air
bunga-bunga segar bertaburan di atasnya
semua bersalaman bertemu tapak tangan

Pusara yang gelap diterangi bulan


perginya menghadap Illahi
dengan reda keluarga melepaskannya
pusara kian using tak sedetik hilang dari
ingatan
kunjungan tak pernah berhenti
walau hujan menenggelami bumi

*Dari sumber majalah Bahana Disember 2005.

Sajak ini beraliran didaktisme kerana sajak ini member bimbingan atau nasihat agar reda
dengan takdir Allah seperti reda dengan kepergian orang yang disayangi buat selama-
lamanya. Sajak ini juga memberi nasihat agar selalu melawat atau menziarahi pusara atau
kubur ahli keluarga yang telah meninggal dunia dan mendoakan agar rohnya dicucuri
rahmat.
iii.Humanisme- Memberi perhatian langsung tentang kehidupan manusia sejagat. Ia
menekankan sikap manusia seperti budaya, politik, pemikiran kehidupan,
perang, kemiskinan dan sebagainya. Aliran ini biasanya memberi tempat
kepada gejala manusia yang tertindas atau kelas bawahan.
Contohnya dalam sajak Kemanusiaan karya Usman Awang, iaitu:-

Segala daun dan angin menyapa menoleh hanya


bersama kain-kain yang berkibar di tengah-tengah tiang
kerana mereka tidak bergetar oleh berita-berita besar
atas kehendak yang telah berlaku dan manusia segala yang
telah terpaku.

Telah mereka saksikan sejak pertama cair merah tumpah


putera Adam membunuh – terbunuh dalam pertarungan
menang kalah
dan kematian demi kematian dinyanyikan di mana-mana
dan dilanjutkan sehingga segala
tanah jadi pusara.

Berapa titiskah air mata untuk seorang yang pergi


sebelum keranda bertolak untuk nanti ditambah lagi
dibandingkan dengan hebatnya air terjun di Niagara
air mata putera-putera tercinta dan gadis-gadis menunggu
di muka jendela.

Bersama kerutan pahit para ibu yang pernah menyusui


mendengar berita kematian ngeri dari daerah peperangan?

Jika kita menyesali kematian atas seseorang


dan hati tidak berdenyut untuk kematian yang lain
maka kemanusiaan tidak wujud di mahkota kebenaran
sebab bukanlah kemanusiaan bila ia ada perbatasan.

Dan sekarang tiap kota menangis dan mengucap kata


kerana sewajarnya kemanusiaan itu berdenyut dan terasa
tapi tak seorang pun akan menangis
untuk pembunuhan yang bakal tiba
atau akan berkata: mari kita padamkan segala api
sengketa.

siapa yang merasa dan kehilangan kesayangannya,


menangislah
dunia telah didadankan; kehidupan adalah kematian yang
berdarah.

*Dari sumber buku Memahami Sajak dan Novel karya Nurazmi Kuntum.
Dari sajak di atas ia digolongkan aliran humanisme kerana ia cuba mempertahankan orang
yang ditindas dan merasa sedih kerana nasib mereka tiada yang membela.

iv.Simbolisme – Simbol ialah sesuatu yang berdiri sendiri tetapi membentuk makna dan
realiti yang lain secara objektif. Bendera misalnya adalah sehelai kain
berwarna yang mewakili atau menjadi simbol sesebuah Negara. Hakikatnya
semua bahasa ialah suatu lambang bagi mencerminkan perkara sebenar.
Objek-objek yang ada di sekeliling manusia itu juga menjadi lambang
kehidupan. Dalam penulisan sajak aliran ini cuba mengungkapkan kata-kata
biasa tetapi memberi makna yang berbeza. Makna itu mungkin selapis atau
lebih sehingga memerlukan pemikiran yang serius untuk mencari makna
sebenar sajak tersebut. Contohnya dalam sajak Jalan Ke Taman karya Ali
Ahmad, iaitu:-

Jalan ini terlalu lengang


selaku malam yang tua.

Lurus dan tegak


berbatu pedoman
dan pengingat yang tepat.

Jalan ini ikut cita hati


paling halus dan kudus
dalam lagu damai dan senang
Alun-alun pujaan
dengan makna yang memastikan
antara jasad yang sementara
dan kehidupan yang abadi.

Jalan ini tiada simpang masuk


pintunya dari maknawi tertinggi
atas makrifat.

Di hujung taman-taman menanti


sekeliling sepi dan puji
hembus –hembus deru kedus
desir dan Firdausi.

Jalan ini telah sunyi


kembara teguh membenarkan
keredaan wujud –Nya.

*Dari sumber buku Memahami Sajak dan Novel karya Nurazmi Kuntum.
Dari sajak di atas ia tergolong dalam aliran simbolisme kerana ia sukar difahami dan
menggunakan perlambangan perkataan ‘jalan’ yang boleh membawa maksud yang
berbagai-bagai dan sebagainya.

NADA
Nada kuat hubungannya dengan dengan sesuatu mesej yang ingin disampaikan dalam sajak.
Ia dikaitkan dengan sikap atau semangat penyajak ketika mengungkapkan isi dalam
sajaknya. Antara nada yang terdapat dalam sajak ialah:-

i.PROTES
Protes merupakan satu nada yang keras terdapat dalam isi sajak dan menampilkan
penentangan terhadap sesuatu yang berlaku sama ada secara terang atau berselindung. Ia
memperlihatkan bagaimana ungkapan-ungkapan yang tidak bersetuju dengan sesuatu
peristiwa yang berlaku sama ada yang terdapat dalam diri, pengalaman atau pemerhatian
penyajak. Contoh dapat dilihat dalam sajak Keranda 152 karya Usman Awang, iaitu:-

Panas dadaku membakar baju


kita arak keranda 152
ke tanah perkuburan parlimen

Sepuluh tahun nafas ini terhenti


hari ini jangan lagi menyanyi
sebentar lagi malam akan tiba
tiap pintu dan jendela sudah dijaga
bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak melayu
namamu telah diseru
jawablah sebelum lidah jadi bisu.

*Dari sumber buku Memahami Sajak dan Novel karya Nurazmi Kuntum.

Dari sajak di atas jelas menunjukan bahawa penyajak memprotes terhadap sesuatu perkara
yang tidak lagi boleh diperdiamkan. Kesabaran anak Melayu telah dicabar oleh orang asing
dan ia menyeru agar orang Melayu mempertahankan martabatnya.

ii.KECEWA DAN HAMPA


Nada kecewa biasanya terdapat dalam sajak-sajak yang memperlihatkan perasaan putus
asa, hilang harapan, kehilangan seseoramg atau gagal dalam mencapai cita-cita. Contohnya
dapat dilihat dalam sajak Melirik Mimpi karya Masni HA, iaitu:-

Semalam begitu indah


buat jiwa yang lara
kabarmu jua kunantikan
bagai semalam ku kejar
dan semalam tetap berlalu

Sejenak fikiranku terganggu


hadirmu tidak kuharapkan
sekuntum senyuman tidak kuendahkan
sebagai ruang kepiluan
dari kejauhan aku kelukaan
tiada daya untuk menembus kembali
saat-saat yang memilukan

Aku cuba menyendiri


namun aku hanya sebagai sandaran
tiada yang menghargai
aku tetap kehilangan
mendengar ketika sepi
melihat ketika hilang
umpama kasih satu bayangan.

*Dari sumber majalah Bahana Dismeber 2005.

Dari sjak di atas jelas memperlihatkan nada kecewa kerana kehilangan orang yang disayangi.
Dia menunggu orang yang disayanginya tetapi hampa kerana orang yang ditunggu tidak juga
muncul sehingga dia putus harapan kepada orang yang disayanginya.

iii.SEMANGAT DAN HARAPAN


Sajak yang bersemangat merupakan sajak yang menggambarkan cita-cita yang kuat untuk
mempertahankan fenomena atau situasi social yang berlaku. Contoh dapat dilihat dalam
sajak Hasratku karya Lelawati Binti Yusof, iaitu:-

Malam gelap pekat membisu


tiada bintang berkerdipan
tiada bulan menyinari namun...
dengan kecekalan hati waja
aku tetap merangkak dan berjalan.

Jalan yang kulalui


bukan kepalang rintangannya
sana sini penuh ranjau dan duri
menembusi dan merebek isi
tersungkur aku dibuatnya
menahan kesakitan mencekek jiwa.

Biar duri menembusi kulit


biar terjatuh seribu kali
demi cita dan hasrat hati
aku rela bertarung nyawa
menempuh segala rintangan
asalkan...
istana kejayaan dan kertas segulung
dapat ku menang.

*Dari sumber pelita Brunei Sabtu, 9hb Oktober, 2010.

Dari sajak di atas mempunyai nada semangat dan harapan kerana megisahkan seseorang
yang mengejar cita-cita dengan penuh semangat dan gigih. Walaupun menghadapi pelbagai
rintangan dia tidak berputus asa malah sanggup menempuhi rintanagan tersebut sehingga
cita-citanya tercapai.

iv.SIMPATI
Sajak yang bernada simpati ialah sikap penyajak dan seolah-olah mengajak pembaca sama-
sama prihatin terhadap kejadian menimpa orang lain seperti hal kemiskinan, putus asa, hal
yang menyedihkan, melarat dan sebagainya. contohnya dapat dilihat dalam sajak Miskin II
karya Seribadi, iaitu:-

MISKIN
itu adalah kehidupan sempit
terhempit
tersepit
kekosongan wang di poket
berlantai di bumi beratap di langit.

Si miskin tersingkir di tepi hutan


tiada handai taulan
berpuasa setiap bulan
sedih menyentuh rasa kehidupan
teraba-raba dipeluk kegelapan
sabar menempuh ujian Tuhan.

Tersirat disurat pusaka


hatinya menadah rela
reda terima janji setia
dari Yang Maha Esa
keluhan si miskin hina
terlukis ukiran warna suasana
tenang mengembara di padang terlentang
di hari besok menunggu siang
apresiasimu adalah harapan.

*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 25hb September, 2010.

Dari sajak di atas mempunyia nada simpati kerana penyajak turut meras simpati atas nasib
orang yang hidup dalam kemiskinan, merempat atau tinggal ditepi jalan, tidak ada wang
untuk berbelanja membeli makanan dan sebagainya. walaupun, dia miskin tetapi dia tetap
sabar menempuhi dugaan hidup dari Allah S. W. T. dan redha dengan takdir itu.
v.SINIS
Sinis ialah sajak yang mengandungi nada yang berunsur sindiran terhadap sesuatu kejadian
yang berlaku. Ditujukan kepada sesuatu pihak dan ini menggambarkan ketidapuasan hati
penyajak teradap sesuatu itu. Contoh dapat dilihat dalam sajak Orang Kita karya Surda,
iaitu:-

Orang kita bila kaya


senang dan berkedudukan
merasa bangga akan dirinya
hingga lupa asal usulnya
hingga sekerat tanah dari bumi.

Orang kita bila miskin


susah dan tak punya apa-apa
merasa dirinya tak berguna
bernasib malang dan pembawa bala
tapi kekadang juga ia lupa
semua itu perit kehidupan
cubaan menguji keimanan

Orang kita
semuanya sama
bila kaya dan miskin
bila susah dan senang
bila berharta dan tak punya apa-apa
tetap selalu ada kebiasaan
lupa akan dirinya
juga asal usulnya
kekadang mereka khilaf.

*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 27hb Mac, 2010.

Dari sajak di atas ia bernada sinis kerana penyajak ingin menyindir bahawa sesuatu
masyarakat itu bila dia kaya akan lupa segala-galanya dan merasa bangga dengan
kehiduapannya yang kaya itu. Golongan kaya ini juga akan lupa asal usulnya kerana dia
sudah dilimpahi dengan kekayaan. Begitu juga golongan miskin, mereka tidak dapat
menerima dan lupa itu semua adalah dugaan dari Tuhan. Seseorang itu bila susah dan
senang sama saja lupa aka nasal usul mereka.

CORAK

i.SATIRA
Satira bermaksud sajak yang mengandungi unsur menyindir, mengejek, mencemuh dan
menghina terhadap sesuatu perkara dan sebagainya. Contohnya dapat dilihat dalam sajak
Adat Orang Melayu karya Yatim Budiman, iaitu:-
Kita orang Melayu
orang Melayu Brunei
jangan dicampur adukkan
adat Brunei dengan adat
orang Barat.

Adat orang Brunei


adat seni adat halus
adat lembut adat berdisiplin
adat menegenang orang yang tiada
adat melagau indung bapa
adat bertuturan dengan orang tua
dan orang ramai.

Walaupun kata lisan berbunyi


“Biar mati anak jangan mati adat”
ada adat mandi belawat
ada adat menyiram batis
ada adat makan di gangsa
ada adat besuruh
ada adat ambil-ambilan
banyak lagi adat orang Melayu
di Brunei.

Jangan diadatkan
kasut, stoking dan pakaian dalam
naik ke atas gangsa
itu merosakkan adat namanya.

*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 26hb Jun, 2010.

Dari sajak di atas menunjukkan contoh sajak yang mempunyai corak satira kerana ia
menyindir orang Melayu ada yang tidak tahu tentang adat Melayu Brunei dan tidak
mempertahankan adat Melayu Brunei. Malah orang Melayu Brunei yang terikut-ikut dengan
adat Barat sehingga ada yang merosakkan adat Melayu Brunei itu sendiri.

ii.ODE
Ode bermaksud sajak yang memuja, menghormati, mengangkat sesuatu yang dibanggakan
seperti pahlawan, bangsa, negara, seni, kehidupan, alam dan tokoh-tokoh tertentu. Antara
contoh sajak dapat dilihat dalam sajak Perwira karya Kurnia Putri, iaitu:-

Perwiraku
bukan mudah kerjayamu
beban terpikul dibahumu
barisan depan tempatmu
pertahankan negara bumi kelahiranmu.
31 Mei setiap tahun
diisytihar bagai ulang tahun
tanda memperingati perjuangan
menghormati pahlawan negara
jasa-jasa dan keringatmu
juga pada yang telah tiada
menabur bakti setia
berkorban pada nusa bangsa.

Hijau warna kebanggaan


lambang keamananan sejagat
segaknya seragam tentera
berjaya menjunjung kedaulatan
keamanan diperjuang sesama
menawan musuh negara
maju bergerak pantas
hujan panas rebut Katrina
mundur jangan sekali
pencerobohan dibantrasi
bersatu teguh membela pertiwi
jadi hero negeri
itulah dia perwira kitani.

*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 9hb Jun, 2010.

Dari sajak di atas menunjukkan antara contoh sajak yang mempunyai corak ode kerana
penyajak memuji, menghormati dan mengangkat pekerjaan tentera sebagai sesuatu yang
dibanggakan. Bagi penyajak pekerjaan sebagai tentera itu dihormati kerana mereka sanggup
berjuang mempertaurhkan nyawa mereka untuk nusa bangsa yang tercinta sehingga ulang
tahun tentera itu setiap tahun diraikan dengan meriah.

iii.EPIGRAM
Epigram bermaksud sajak yang mempunyai mesej yang berunsur nasihat, pengajaran dan
didaktik moral. Contoh dapat dilihat dalam sajak Ibuku karya Effy, iaitu:-

Pengorbanan ibu bermula sejak awal lagi


sejak kelahiranku
hidup Ibu setiap malam
menjagaku tanpa penat lelah
semasa ku di bangku sekolah
ibu menasihatiku
menegur kesalahanku
memberi tunjuk ajar kepadaku

Sudah dewasa
ibu mengingatiku
untuk bekerja jujur
amanah dan bertanggungjawab

Untuk Ibu
tidak akan ku lupa semua itu
terima kasih Ibu.

*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 21hb Ogos, 2010.

Dari sajak di atas ia mempunyai corak epigram kerana penyajak ingin memberi nasihat dan
pengajaran supaya menghargai dan mengenang jasa ibu yang telah berpenat lelah
membesarkan kita. Sebagai anak mesti ingat nasihat dan tunjn\uk ajar yang telah diberikan
oleh ibu sampai bila-bila.

iii.ELEGI
Elegi ialah sajak yang menekankan unsur meratap, hiba, pilu, duka, sedih, rindu, keluh-
kesah, kesal, hampa dan kecewa terhadap sesuatu peristiwa. Contoh dpat dilihat dalam
sajak Perempuan Tua Itu karya Surda, iaitu:-

Nun jauh di sudut bangku teman


ku terpandang
seorang perempuan tua
yang kelihatan tak berdaya
sedang duduk seorang diri
ketawa dan menangis tak ada sesiapa
di sisinya.

Entah mengapa
tiba-tiba
hatiku terasa pilu
sebak rasanya menahan air mataku
mungkinkah kerana
aku juga seorang perempuan
atau pun
seorang muda yang suatu saat
pasti akan merasai hari tua.

Tapi hari tua bagaimana


yang akan ku pilih
juga ku jalani
adakah hari tua yang gembira
dengan keluarga yang setia
menemani
atau
hari tua yang penuh dengan kesepian
juga keseorangan.
*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 27hb Mac, 2010.

Dari sajak di atas menunjukkan contoh yang mempunyai corak elegi kerana ia
menggembarkan perasaan penyajak sendiri atau seseorang yang merasa sedih dan pilu
melihat seorang perempuan tua yang duduk seorang diri tanpa ditemani oleh anak-anak
atau keluarganya. Di juga hampa kerana anak-anak atau ahli keluarga orang tua itu tidak
menemani dihari tuanya. Penyajak atau seseorang itu tidak mahu menerima nasib yang
sama tetapi dia tahu sama ada dihari tuanya nanti akan berasa kesunyian atau gembira
ditemani oelh ahli keluarganya.

iv.HIMNE
Himne ialah sajak yang mempunyai unsur puji-pujian kepada Allah S. W.T. Corak ini
memperlihatkan kecintaan dan keagungan yang bersungguh-sungguh kepada Allah S. W. T.
Contoh dpat dilihat dalam sajak Akan Kau Ampunkan Dosaku karya Masra, iaitu:-

Tuhanku
syukurku kepada-Mu
kerana melimpahkan rahmat-Mu yang
berpanjangan
sehingga sampainya aku ke perbatasan usia
di penghujung senja.

Alhamdulillah
andainya sudah sampailah seru-Mu
seperti suratan takdir yang ditentukan
di situ tiada lagi soal jawab
di situ tiada lagi tawar-menawar
melainkan reda.

Tetapi telahku tunaikan kewajipanku


ku taati perintah-Mu
apa yang Kau telah halal haramkan
ke atasku
jadi panduan perjalanan
demi menjaga kesucian-Mu
ku hindari lembah dosa
satu per satu ku kutip pahala
aku mencari nuur yang hamper padam
daripada yang tidak ada
kepada ada.

Tuhanku
memang berat bebannya
bila mengitung dosa-dosa semalam
akan Kau ampunkan aku ini?
semoga Kau sentiasa memberi laluan
jalan untuk bertaubat
supaya aku akan lebih dekat
mendekati pintu Akhirat.

*Dari sumber Pelita Brunei Sabtu, 25hb September, 2010.

Dari sajak di atas menunjukkan contoh yang mempunyai corak himne kerana penyajak
menunjukkan perasaannya yang memuji dan rasa kecintaannya kepada Allah S. W. T.
dengan mengerjakan segala suruhan dan perintah-Nya. Penyajak juga merasa takut sama
ada segala dosa-dosanya akan diampunkan oleh Allah S. W. T. atau tidak. Oleh sebab itu dia
bertaubat dan mengerjakan segala suruhan-Nya.

GAYA BAHASA

Pengenalan

Keindahan dan puitisnya sesebuah sajak terpancar pada pemilihan kata-kata (diksi).
aspek bahasa bagi sesebuah sajak sebenarnya bukanlah semudah yang selalu di lakukan
oleh semua orang. Gaya bahasa tersebut termasuklah gaya pengulangan (repitasi) yang
meliputi asonansi, aliterasi, anafora dan epifora. Gaya bahasa perbandingan pula
merangkumi simile, hiperbola, metafora, dan eufemisme. Selainnya merupakan kata-kata
simbolik, singkatan, personafikasi, paradoks, asing dan sebagainya.

Di sini, kami hanya membincangkan beberapa gaya bahasa yang popular digunakan oleh
pencipta sajak. Di antaranya ialah :-

1. Asonansi

Ia juga di sebut sebagai runtun vokal. Ia merupakan pengulangan bunyi atau huruf vokal
( a,e,i,o,u ) dalam sesuatu baris sajak sebanyak dua kali atau lebbih secara berterusan.
Pengulangan vokal yang sama dalam satu-satu baris sajak hingga beberapa kali
meninggalkan kesan yang indah. Misalnya dalam sajak Pak Tua iaitu hasil karya A.Rahim
Hamid (Antologi Sajak Cermin Diri) dalam rangkap 1 baris 6 :-

Pak tua
Wajahmu telah menghilang
Di titian musim yang panjang
Pada waktu yang menyepi begini
Wajahmu yang tua
Terbayang di persadaian masih
Pada perahumu yang hampir
reput
Di sana rindukan terpaut
2. Aliterasi
Ia juga dikenali sebagai perwakanti dan rumpun kosanan. Selain itu, aliterasi merupakan
pengulangan bunyi dan huruf konsanan dalam satu baris sajak sebanyak dua kali atau lebih.
Misalnya dalam sajak Daun iaitu hasil karya Aminah Haji Momin (Antologi Sajak Cermin Diri)
dalam rangkap 1 baris 3 :-

Daunmu
Hijaumu menyegarkan
Kuningmu kemusnahan
Layumu kehancuran

3. Anafora
Anafora adalah pengulangan kata-kata pada pada setiap awal baris dalam satu-satu
rangkap sajak khususnya secara berikutan. Misalnya dalam sajak Menara Gading hasil karya
Adi Dharma (Antologi Sajak Cermin Diri) dalam rangkap 2 :-

Tiada teman
Tiada idaman
Tiada pedoman
Bukan dagang merempat
Tapi bertempat

4. Epifora

Ia merupakan pengulangan perkataan atau frasa di hujung baris dalam satu rangkap
sajak secara berturutan sebanyak dua kali atau lebih. Misalnya dalam sajak Sulung hasil
karya Adi Dharma dalam rangkap 3 :-

Kesulunganmu
Jadi pemimpin adik-adikmu
Yang kehausan ilmu
Dengan aliran baratnya
Kay tetap berdiri dengan aliranmu
Ketimuran yang tulen
5. Simile

Simile membawa maksud sebagai tamsil atau kiasan yang memprlihatkan perbandingan
dua objek yang mempunyai sifat dan nilai yang sama. Panduan yang mudah mengenai simile
dalam sesuatu baris sajak apabila wujudnya perkataan bagai, sebagai, serupa, sama,
laksana, macam, semacam, seperti, umpama, bak, ibarat dan sebagainya bagi menyambung
hubungan persamaan antara dua objek tersebut. Misalnya dalam sajak Tentang Cinta hasil
karya Adi Kelana (Antologi Sajak Cermin Diri) dalam rangkap 2 :-

Bagaikan bangau-bangau
Mencintai
Sungai kerana ikannya

6. Metafora

Metafora merupakan kiasan bagaimana frasa di atur dengan hasrat memberi makna
satu perkara lain. Ia semacam penggunaan simbol tetapi kedudukan simbol dalam sesebuah
sajak adalah lebih menunjukkan penampilan satu objek dan keadaan yang lebih luas
memberi makna yang lain juga. Misalnya dalam sajak Orang Tua Dengan Hujan hasil karya
Adi Kelana (Antologi Sajak Cermin Diri) dalam rangkap rangkap 5 baris 3 :-

Seorang tua
Yang kini
Setengah mati
Kedinginan
Meneruskan jalannya
Dalam hujan abadi

7. Personafikasi

Personafikasi juga dinamakan sebagai pengorangan dalam istilah sastera. Ia bermaksud


memberi kiasan kepada sifat-sifat manusia sama ada dari segi perasaan, perwatakan
mahupun tindak-tanduk kepada objek-objek mti atau kepada binatang, idea banda-benda
abstrak. Misalnya dalam sajak Tentera Pulang Dari Medan Perang hasil karya A.S. Isma
(Antologi Sajak Cermin Diri) dalam rangkap 1 :-
Derap sepatu tentera
Pulang dari medan perang

8. Paradoks

Paradoks merupakan frasa dalam baris-baris asajk yang menggambarkan ciri-ciri


berlawanan khususnya dari segi maksud. Ia juga terdapat unsur pertentangan dari aspek
keadaan atau situasi. Perlawanan dari segi maksud biasa wujud daripada dua patah
perkataan yang sengaja dipilih dalam satu baris sajak seperti malam siang, desa kota, ibu
bapa, rebah bangun dan sebagainya. Sebagai contoh dalam sajak Ayahku hasil karya
Abdullah Idris (Antologi Sajak Cermin Diri) dalam rangkap 3 :-

Kini waktu tua telah datang menyendiri


Dengan nadi dan sendi yang lesu ini
Selama perjalanan bertahun-tahun
Jerih payah yang dilalui
Siang membebani
Dan malam menuntuti

9. Simbolik

Simbol biasanya merujuk kepada kata-kata yang dipilih memberi erti sebaliknya dan
lambang. Simbol yang biasa atau universal amat mudah difahami berbanding degan simbol
yang dinamik atau yang sengaja di cipta baharu oleh penyajak. Sebagai contoh dalam sajak
Di Pasir Pantai hasil karya Bergelimpangan hasil karya Firdaus H.N (Antologi Sajak Cermin
Diri) dalam rangkap 2 :-

Sang suria kian benderang


Manusia, kenderaan lalu-lalang
Tiada hiraukannya
Mereka masih dengkur selesa
Beralasakan kertas suratkhabar cuma
Betis yang telanjang, melidi
Sehelai sepinggang yang sudah usang
Perutnya kempis
Kutang bajunya entah di mana
Persis bangkai bernyawa.
MEMPROSAKAN PUISI ATAU SAJAK

 Panduan Am

Teknik memprosakan puisi berbeza dengan mentafsirkan atau memberi maksud. Ganti
nama diri perlu dikekalkan (tidak boleh ditukar). Contohnya jika penyajak menggunakan
perkataan aku, kami dan kau maka perkataan tersebut perlu dikekalkan. Begitu juga dengan
ganti nama tempat. Tugas anda hanya mengubah bahasa puisi atau sajak kepada bahasa
prosa karangan biasa. Anda hanya perlu mengubahkan perkataan-perkataan yang kurang
sesuai. Harus diingat bahawa jikalau anda mengubahkan ganti nama bermakna anda bukan
memprosa tetapi mentafsir puisi tersebut.

 Cuba perhatikan petikan sajak yang diprosakan dan ditafsirkan di bawah ini.

Penjual Bunga

Orang tua yang berbaju layu dan kain pudar


dulu pernah berjalan di kaki lima ini
menjaja bunganya dengan suara tinggi
tetapi mengejek anak-anak dengan lebih lunak
bila ayahku tidak membeli
dia sering memberiku satu percuma,
katanya, “sedekah bunga nak,
nanti bagi kubur pak cik wangi.”

 Contoh memprosakan sajak

Orang tua yang berpakaian buruk pernah berjalan di kaki lima ini sambil menjaja bunga
dengan suaranya yang tinggi. Orang tua itu diejek oleh anak-anak dengan suara mereka
yang lebih lunak. Apabila ayahku tidak membeli bunganya, dia selalu memberi aku setangkai
sebagai hadiah. Orang tua itu berkata, “sedekah bunga nak, nanti bagi kubur pak cik wangi.”

 Contoh mentafsir sajak

Penyajak menyatakan orang tua yang berpakaian pudar itu pernah berjalan di kaki lima itu
menjaja bunga tetapi diejek oleh anak-anak yang ada di situ. Penyajak juga menyatakan
apabila ayahnya tidak membeli bunga, orang tua itu menghadiahkan penyajak setangkai
bunga dan orang tua itu mengharapkan supaya ia senang semasa di dalam kubur nanti.

 Di antara kedua-dua contoh jawapan di atas, contoh jawapan pertama menepati soalan
memprosakan puisi kerana anda hanya mengubahkan sajak ke dalam bentuk prosa dengan
mengekalkan kata-kata ganti nama diri. Manakala bagi contoh jawapan kedua pula
menepati kehendak soalan mentafsirkan sajak kerana anda memberi ulasan sajak tersebut
dengan mengubah kata ganti nama diri ‘aku’ kepada ‘penyajak’ dan ini bermakna anda
menjadi ‘orang pertama’ dan memperkatakan penyajak sebagai ‘orang kedua’. Kedua-dua
contoh jawapan tadi merupakan panduan menjawab yang amat penting kepada anda.
 Syarat (memprosakan sajak):

1. Mengarang seperti karangan bahasa Melayu biasa.


2. Jangan ubah ganti nama diri (jadi pengarang).
3. Jelaskan perkataan yang kabur dengan erti yang sama.
4. Gunakan sendi nama (oleh itu, maka, dan, tetapi) sebagai penyambung ayat.

MEMBERIKAN MAKSUD/HURAIAN SAJAK

1. Memberikan maksud/huraian sajak bermaksud pelajar dikehendaki memberikan


maksud sebenar sebuah puisi atau membuat tafsiran sebenar sajak dari tajuk
hinggalah baris akhirnya.

2. Jadi, sajak hendaklah dibaca beberapa kali sehingga benar-benar difahami.

3. Sering kali setiap patah perkataan penyajak mengandungi makna yang boleh
dihuraikan dengan panjang lebar.
Contoh: Ombak membawa maksud kehidupan yang penuh pancaroba.
Darah membawa maksud peperangan atau perjuangan.

4. Panduan menjawab:
a) Baca dan fahami keseluruhan sajak.
b) Baca dan fahami kehendak soalan.
c) Segala lambang dan symbol hendaklah diberi tafsiran
d) Satu rangkap hendaklah dihuraikan dalam satu perenggan dengan huraian yang
jelas dan terperinci.
e) Sebaik-baiknya mulakan huraian maksud kamu dengan
Penyajak menyatakan…….
Penyajak menegaskan…….
Pada rangkap ketiga, penyajak membicarakan…..
Rangkap keempat pula, penyajak memperlihatkan….
Peringatan: Berpandukan kehendak penyajak.
f) Tulisan hendaklah cermat dan mudah dibaca.
Contoh:

Jelaskan maksud sajak Nasi dan Darah.

NASI DAN DARAH

nasi dan darah


adalah sumber tangan dan hati patuh!
Kepadaku kauusah cemburu

hidup pada urat dan otot keras


digerak menggerak!
Sesuatu kan siap dan bernas

dengan jiwa keras mencungap


sekitar yang melahap!
Untuk dunia, kau perlu menghambat

keinginan sekadar wajar


merasa sambil berlari
dengan dada tidak mesti ditindih…

kerakusan dalam benak manusia


adalah tembok suatu batas cahaya!
Tuhan dan diri di satu pihak

ya, nasi dan darah hanya


sumber tangan dan hati patuh!
Kepadaku kauusah cemburu

-Adi Rumi-
Contoh Jawapan:

Rangkap Maksud
Pertama Penyajak menjelaskan bahawa untuk hidup memerlukan perjuangan dan
pengorbanan. Ini dilakukan dengan usaha dan keyakinan diri. Kejayaan yang
diperoleh dengan demikian tidak perlu dicemburui.
Kedua Penyajak juga menerangkan bahawa untuk hidup perlulah bergantung pada
tenaga empat kerat supaya usaha itu berhasil.
Ketiga Pada rangkap ketiga penyajak menyatakan bahawa ada juga yang berusaha
dengan keyakinan yang kuat tanpa bertolak ansur demi kepentingan hidup
mereka di dunia.
Keempat Rangkap keempat pula, penyajak menegaskan bahawa sesuatu yang diinginkan
itu hendaklah diusahakan mengikuti yang wajar sambil menikmati dunia
seperluannya tanpa menindas orang lain.
Kelima Rangkap kelima, penyajak menyatakan bahawa kerakusan manusia selalunya
mengatasi segalanya. Tetapi Tuhan mengetahui segalanya.
Keenam Pada rangkap terakhir iaitu rangkap keenam, penyajak tetap menegaskan
bahawa kehidupan dan perjuangan itu adalah dari dalam hati manusia yang
dilakukan dengan usaha dan keyakinan. Dan ini tidak perlu dicemburui.
PERSOALAN:

Bagi seseorang penyair, sebelum ia menciptakan sajak-sajaknya, ada sesuatu yang


difikirkannya yang dikirakan mengusik hati nuraninya. Sama ada apa yang dilihatnya ketika
itu, telah lalu dan akan datang, tentang masalah yang dikiranyanya perlu dikongsi bersama-
sama dengan pembaca atau penikmat sajaknya itu, supaya bertindak sesuatu demi
membuat sesuatu peleraian. Tanpa persoalan yang khusus, tidak mungkin sesebuah sajak
itu akan diciptakan oleh penyairnya.

Jika diamat-amati persamaannya dengan tema dan perutusan adalah tidak berapa jauh
perbezaannya. Tema bermakna pokok persoalan yang jadi teras untuk dibincangkan dan
pegangan atau teladan hidup. Manakala perutusan pula beerti amanat atau gagasan yang
mahu disampaikan kepada para pembaca. Justeru, persoalan itu mahu diketengahkan
kepada pembaca.

Penyair tidak akan menyatakan secara terus apa persoalan di dalam sajaknya itu,
terpulanglah kepada kebijaksanaan para pembacanya menukilkannya kembali banyak atau
sedikit persoalan yang terdapat dalam sajak itu.

Sesebuah sajak mungkin mempunyai satu atau beberapa persoalan yang diketengahkan
oleh penulisnya.Biasanya satu rangkap mengandungi satu persoalan. Jika sajak itu
mempunyai lima rangkap,tidak mustahil ia mengandungi lima persoalan. Dan kadang-kala
terdapat persoalan yang sama berulang. Untuk mendapatkan persoalan, kita perlu
memberikan maksud keseluruhan sajak dari rangkap ke rangkap.

(Lihat contoh) berdasarkan maksud dan persoalan yang diperolehi daripada setiap rangkap
akan menyimpulkan bahawa persoalan bagi sajak Nasi dan Darah adalah tentang
perjuangan, pergorbanan hidup, kegigihan, keyakinan diri dan kerakusan manusia.
Persoalan-persoalan tersebut ialah rumusan daripada keenam-enam rangkap sajak yang
telah dihuraikan maksudnya di atas.
TEMA:

Tema dalam sesebuah puisi adalah pokok persoalan yang menjadi teras atau hal sesebuah
sajak yang dibincangkan iaitu mesej utama yang hendak disampaikan untuk menjadi
pegangan atau teladan hidup pembacanya.

Setiap pembaca akan dapat merumuskan tema sajak yang dinikmatinya berpandu kepada
keseluruhan isi sajak itu. Dan tidak hairan, andainya terdapat tafsiran-tafsiran yang berbeza
antara seorang pembaca dengan pembaca yang lain.

Ada beberapa cara untuk mengetahui apakah temanya sesebuah sajak yang dibaca atau
dikaji itu, antaranya:

a. Dapatkanlah apa yang dikemukakan oleh penyair menerusi sajaknya itu.


b. Tema memang rapat sekali hubungannya dengan tujuan atau aspirasi
penyair, kerana pada setiap penyair apabila ia menghasilkan sajaknya,
tentulah tersimpan di dalam hatinya tujuan-tujuan penciptaan sajaknya itu. Ia
tidak hanya menulis kosong tanpa tujuan tertentu. Ada motif dan sikap
penyair yang terselit di dalam karya itu. Tujuan dan sikap penyair itu
sebenarnya mempengaruhi tema terutamanya dalam sudut pemilihan tema
itu sendiri. Tegasnya, kajian tentang motif dan sikap penyairnya juga dapat
membantu pemikirnya yang tersirat di dalam sesebuah sajak itu.
c. Cara si penyair menggubah sajaknya dari awal rangkap ke akhir rangkap
boleh menentukan pencarian tema di dalam sesebuah sajak itu.
d. Sesebuah sajak tercipta melalui beberapa pemilihan kata atau diksi bagi
tujuan memperjelas sifat dan kepentingan sesebuah tema. Dari itu, para
pelajar perlulah memberikan beberapa tumpuan tertentu terhadap diksi-diksi
itu.
e. Pada tajuk juga kadang-kadang boleh menyerlahkan tema sajak itu.

(Lihat contoh) Dalam sajak Nasi dan Darah temanya ialah perjuangan dan pengorbanan
hidup. Tema ini ditemui dalam rangkap pertama, kedua dan keenam. Oleh itu, proses
mendapatkan tema perlulah melalui tahap seperti berikut:

Rangkap 1 Maksud Persoalan


Rangkap 2 Maksud Persoalan
Tema
Rangkap 3 Maksud Persoalan

Contoh:

R Maksud Persoalan Tema


1 Penyajak menjelaskan bahawa Perjuangan dan
untuk hidup memerlukan pengorbanan hidup.
perjuangan dan pengorbanan. Ini
dilakukan dengan usaha dan
keyakinan diri. Kejayaan yang
diperoleh dengan demikian tidak
perlu dicemburui.
2 Penyajak juga menerangkan Kehidupan
bahawa untuk hidup perlulah
bergantung pada tenaga empat
kerat supaya usaha itu berhasil.
3 Pada rangkap ketiga penyajak Keyakinan diri
menyatakan bahawa ada juga yang
berusaha dengan keyakinan yang
kuat tanpa bertolak ansur demi
kepentingan hidup mereka di
dunia.
4 Rangkap keempat pula, penyajak Kegigihan Perjuangan dan
menegaskan bahawa sesuatu yang pengorbanan Hidup
diinginkan itu hendaklah
diusahakan mengikuti yang wajar
sambil menikmati dunia
seperluannya tanpa menindas
orang lain.
5 Rangkap kelima, penyajak Kerakusan manusia
menyatakan bahawa kerakusan
manusia selalunya mengatasi
segalanya. Tetapi Tuhan
mengetahui segalanya.
6 Pada rangkap terakhir iaitu Perjuangan hidup
rangkap keenam, penyajak tetap
menegaskan bahawa kehidupan
dan perjuangan itu adalah dari
dalam hati manusia yang dilakukan
dengan usaha dan keyakinan. Dan
ini tidak perlu dicemburui.
PERUTUSAN

 Setiap karya sastera tidak terkecuali sajak, pasti mempunyai amanat atau sesuatu
gagasan yang mahu disampaikan oleh pengarang atau penyairnya. Di dalamnya terdapat
sekurang-kurangnya satu atau lebih perutusan atau mesej agar para pembaca sajaknya
mengetahui kehendaknya menulis sajak itu, sekira-kira dapat ditangani bersama-sama, lalu
memperoleh penyelesaian atau tindak balas yang sewajarnya. Tanpa perutusan atau
amanat di dalam sesebuah sajak itu, maka ibarat perahu tanpa pengayuh, tentulah
terkatung-katung tidak tentu arah.

 Perutusan yang hendak disampaikan itu tergantung kepada keadaan pekerjaan, cita-cita,
pandangan hidup dan kepercayaan yang dipegang oleh penyair. Ada puisi-puisi yang
bertujuan hendak mengajar, menguatkan kepercayaan agama, mengajak berfikir atau
menaikkan semangat dan sebagainya lagi.

 Dalam sesebuah sajak selalunya terlihat beberapa perutusan yang juga dikenali sebagai
amanat, motif, pesanan atau tujuan sebenar penyajak menghasilkan sajak.

 Ia bersifat positif dan menuju kepada maksud kehidupan yang baik. Ia juga dianggap
semacam pesanan yang baik kepada pihak pembaca.

 Dalam sesebuah sajak itu boleh terdapat satu atau lebih perutusan yang mungkin
disampaikan secara nyata atau mungkin juga secara tersembunyi. Contohnya dalam sajak
‘Perahu Penambang Belayar Malam’ oleh Dino M.N misalnya menekankan perutusan:

1. Rajin dan gigih mencari rezeki hingga malam seperti hidup


penambang banyak mendatangkan pendapatan.

2. Seorang penambang yang berhati-hati dan bersopan ketika memandu


dapat memberikan gambaran yang baik kepada pelancong yang
menaiki perahu mereka.

 Para pelajar bolehlah mencatatkan lagi kalau ada perutusan lain yang boleh kamu dapati
sendiri.

 Ringkasnya, perutusan ialah apa yang hendak disampaikan kepada para pembaca melalui
sajaknya. Biasanya penyair mengharapkan sesuatu yang positif, amanat dan maksud yang
tersirat/tersurat.

PENGAJARAN

 Tidak jauh bezanya dengan pengertian perutusan atau mesej sebelum ini. Apabila ada
perutusan, maka dengan sendirinya di sebaliknya perutusan itulah terkandungnya
pengajaran.

 Terdapatnya nilai-nilai murni dan nilai-nilai moral yang di sampaikan oleh penyajak
kepada pembaca (pelajar).
 Pengajaran di dalam sesebuah sajak itu, tidak hanya tertumpu kepada satu sahaja. Malah
boleh lebih daripada itu. Terserahlah kepada pembacanya untuk menampilkan pengajaran
atau pengajaran-pengajaran di dalam sajak yang dinikmatinya.

 Tujuannya ialah membentuk peribadi mulia di kalangan masyarakat (pelajar).

 Dalam penyampaikan pengajaran kamu boleh memulakan ayat seperti:

“Kita hendaklah………”
“Kita seharusnya………”
“Kita jangan………”
“Kita tidak boleh………”
“ita janganlah………”
“kita elakkan……...”.

Contoh pengajaran dalam sajak ‘Tentera Pulang Dari Medan Perang’ karya A.S Isma:

1. Kita hendaklah mengelakkan daripada peperangan kerana ianya


membawa kepada penderitaan, kematian, pencemaran alam dan
kehilangan.

2. Kita janganlah menyelesaikan setiap masalah dengan peperangan


kerana ianya tidak akan membawa kepada keamanan negara.

3. Kita sentiasalah memaafkan orang lain sekalipun dia musuh kita


kerana dengan adanya maaf, kita akan hidup dengan tenang.

You might also like