You are on page 1of 2

Karangan laporan

Contoh soalan: Sekolah anda telah menganjurkan Kem Bimbingan Rakan Sebaya (BRS). Anda merupakan
salah seorang peserta kem tersebut. Sekembalinya anda ke sekolah, guru penasihat Persatuan Bahasa
Malaysia meminta anda menyediakan laporan tentang aktiviti kem tersebut. Tulis laporan itu selengkapnya.

Pendahuluan: tajuk laporan


Cadangan isi:
-menjelaskan tarikh aktiviti dan jumlah peserta
-memaklumkan tentative aktiviti kem dijalankan
-aktiviti yang telah dijalankan – rutin, ceramah, pertandingan dan lain-lain
-menjelaskan manfaat yang diperoleh daripada aktiviti kem
-aktiviti dapat meningkatkan keyakinan diri peserta
Penutup: karangan mengikut format laporan

Contoh karangan
Laporan Kem Bimbingan Rakan Sebaya
Sekolah Menengah Kebangsaan Tuan Hj. Sharuddin, Kuala Lumpur

Satu kem Bimbingan Rakan Sebaya (BRS) telah dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah
Menengah Kebangsaan Tuan Hj. Sharuddin di Kuala Lumpur, selama tiga hari bermula dari 1 Mei 2009
hingga 3 Mei 2009. Kem ini disertai oleh 40 orang pelajar yang terdiri daripada wakil anggota persatuan
yang terdapat di sekolah. Hanya terdapat empat orang peserta lain yang bukan merupakan ahli persatuan
sekolah. Rombongan kami diiringi oleh empat orang guru, dua daripadanya ialah guru wanita. Cikgu
Salmiah Jalil telah diamanahkan untuk mengetuai rombongan ini.

Kami bertolak ke Tangkak dengan menaiki bas yang disewa khas pada pukul 12.30 tengah hari.
Perjalanan yang mengambil masa selama tiga setengah jam itu dipenuhi dengan suasana gembira. Pada
pukul 3.30 petang, kami tiba di Sekolah Menengah Agama Tun Othman yang menjadi tempat penginapan
kami sepanjang kem itu berlangsung. Pada keesokan harinya, selepas bersarapan di kantin asrama dan
membersihkan diri, kami seterusnya dibawa ke dewan besar sekolah. Di situ kami dibahagikan kepada
lima buah kumpulan dengan diketuai oleh seorang ketua bagi setiap kumpulan. Taklimat awal untuk aktiviti
sepanjang perkhemahan di kem itu diterangkan oleh Encik Karomi Shamsuddin, iaitu Pengurus besar
syarikat motivasi tersebut.

Tepat pada pukul 9.00 pagi, taklimat tentang undang-undang dan peraturan telah disampaikan
oleh komanden kem, iaitu Encik shamsul Bahari bin Othman. Beliau telah menasihati semua pelajar agar
mematuhi segala peraturan ketika berada di kawasan kem. Jika tidak, tindakan disiplin yang sewajarnya
akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang ingkar atau didapati melanggar peraturan yang telah
ditetapkan.

Aktiviti perkhemahan dimulakan dengan pengisian ceramah tentang membina keyakinan diri,
pengurusan masa, dan pengurusan diri. Ketiga-tiga aspek ini amat penting dalam latihan kami sebagai
pembimbing rakan sebaya. Tanpa keyakinan diri serta kemahiran mengurus diri serta masa, sudah tentu
kami tidak mampu membimbing rakan-rakan yang lain pula. Ceramah-ceramah ini telah dapat
menyedarkan kami tentang kebolehan dan kemampuan kami sebagai insan yang mempunyai kekuatan diri
yang unggul.
Di samping itu, kami juga diajar tentang teknik berkomunikasi yang efektif ketika berhadapan
dengan orang lain. Selama ini, kami hanya menganggap bahawa komunikasi merupakan penyampaian
maklumat secara mudah antara manusia. Sebenarnya komunikasi yang efektif lebih dari itu. Untuk
mencapai tahap komunikasi yang berkesan, seseorang perlu menghormati pihak yang menjadi medan
bercakap serta menguasai kemahiran tertentu seperti gaya bertutur, kadar percakapan, kesabaran diri, dan
kejelasan sebutan. Penampilan diri seperti ini merupakan dapatan baru yang sukar ditemui di tempat-
tempat lain.

Pada hari berikutnya, aktiviti yang menjadi pengisian ialah aktiviti latihan dalam kelompok,
peneroka kendiri, dan asas kaunseling. Penekanan kepada asas-asas berkaunseling merupakan
komponen penting untuk menjadi seorang pembimbing yang berjaya dan disegani. Pada sebelah
petangnya pula, kami dibawa untuk menjalani aktiviti merempuh halangan yang bertujuan untuk menguji
ketahanan fizikal dan mental. Cabaran bermain dengan sungai dan pendakian bukit yang curam benar-
banr menguji semangat setia kawan dan kerjasama.

Kesan daripada aktiviti lasak itu, maka sedarlah kami bahawa kekuatan fizikal kami begitu
terbatas. Hal ini berpunca daripada kekurangan latihan jasmani dan senaman dalam kalangan anggota
kami sendiri. Kini, kami sedar bahawa untuk menjadi pelajar yang berjaya, kesihatan adalah amat penting.,
bak kata pepatah Melayu, otak yang cerdas terletak pada badan yang sihat. Begitupun, kami tetap
bersyukur kerana dapat melakukan semua aktiviti lasak itu dengan sempurna meskipun lambat.

Pada malam terakhir di Kem Wawasan Gunung Ledang, acara kemuncak pada malam kedua ialah
persembahan kebudayaan. Pelbagai telatah dan ragam yang menghiburkan dipersembahkan oleh ahli
kumpulan. Perasaan gembira tergambar jelas pada wajah setiap peserta. Sedikit pun tidak kami sangka
bahawa ramai antara kami mempunyai bakat berlakon, menyanyi, dan menari. Malam itu merupakan
malam untuk kami melepaskan tekanan setelah dua hari dikerah tenaga dan mental.

Sebelum pulang, iaitu pada hari terakhir di kem tersebut, kami telah diberi penjelasan tentang
tujuan, matlamat dan kesan positif daripada aktiviti yang telah dijalankan. Hadiah-hadiah istimewa telah
disampaikan kepada kumpulan yang menang dalam aktiviti yang dipertandingkan. Dalam masa yang
sama, pihak penganjur turut membuat penilaian dan komen aktiviti oleh para peserta kem.

Kesimpulannya, sepanjang aktiviti di Kem Wawasan Gunung Ledang itu, pihak kami amat berpuas
hati terhadap aktiviti yang dijalankan. Kerjasama daripada semua pihak termasuk fasilitator dan kem
komandan benar-benar berjaya menyedarkan dan meningkatkan keyakinan diri kami.

Disediakan oleh, 2 JUN 2009

Shakirah shamsudin
(SHAKIRAH SHAMSUDIN)
Peserta Kem BRS,
Sekolah Menengah Tuan Hj Sharuddin
Kuala Lumpur.

You might also like