You are on page 1of 9

CONTOH GAYA KEPIMPINAN PENGETUA SEKOLAH KLUSTER

Salah satu gaya yang amat sesuai dipraktikkan oleh seseorang pengetua

dalam sesebuah sekolah kluster ialah Gaya Kepimpinan Kontinum. Gaya Kepimpinan

Kontinum ini yang diperkenalkan oleh Robert Tannenbaum dan Warren Schmidt pada

tahun 1973 menghuraikan tentang dua gaya yang dikenalpasti dalam kajian awal

berkaitan kepimpinan iaitu watak dan tingkah laku. Kedua-dua gaya ini ialah gaya

kepimpinan berpusatkan ketua dan gaya kepimpinan berpusatkan pekerja. Di antara

kedua-dua hujung kontinum ini wujud kombinasi gaya kepimpinan yang merupakan

gaya perantaraan di antara kepimpinan berpusatkan ketua dan gaya kepimpinan

berpusatkan pekerja. Keseluruhan Gaya Kepimpinan Kontinum ini dapat digambarkan

dalam rajah di bawah.

Kepimpinan Berpusatkan Kepimpinan Berpusat


Ketua Pekerja

Penggunaan kuasa oleh pemimpin

Kebebasan untuk bersuara

Memberitahu Menjual Menguji Meminta Menyertai


Pandangan
Tannenbaum dan Schmidt mengenalpasti lima corak tingkah laku kepimpinan

berdasarkan model yang diperkenalkan oleh mereka. Kelima-lima corak tingkah laku

kepimpinan ini ialah :

i. memberitahu

ii. menjual

iii. menguji

iv. meminta pandangan dan

v. menyertai

Dalam corak tingkah laku yang pertama iaitu memberitahu, pengetua sekolah

kluster perlu mengenal pasti masalah, menimbangkan cara-cara penyelesaiannya,

memilih salah satu kaedah penyelesaian masalah tersebut dan memberitahu

kakitangannya untuk melakukan sesuatu tugas berdasarkan kerangka kerja yang

dikemukakannya. Contohnya dalam aspek peningkatan prestasi akademik di sekolah

kluster, pengetua perlu mengenal pasti kelemahan pelajar-pelajarnya dan seterusnya

menimbangkan cara-cara untuk mengatasinya seperti mengadakan kelas pemulihan untuk

pelajar-pelajar yang lemah. Seterusnya pengetua perlu memilih kaedah pemulihan yang

sesuai dengan pelajar-pelajar tersebut dan menjelaskan kepada guru-guru kaedah

perlaksanaan kelas pemulihan tersebut. Di sini pengetua sekolah kluster perlu

menjelaskan dengan terperinci kepada guru-guru tentang kaedah perlaksanaan tersebut

seperti penetapan waktu, tempat, penggunaan bahan seta alatan, kaedah

penilaiaan,sumber kewangan dan lainya. Corak tingkah laku memberitahu ini yang

berpusatkan kepada pengetua dilihat lebih sesuai dipraktikkan oleh pengetua sekolah

kluster terhadap guru-guru baru yang masih cetek dengan pengetahuan dan pengalaman.
Corak tingkah laku ini juga amat sesuai digunakan terhadap guru yang kurang

bermotivasi dan tidak kreatif dalam pengajaran mereka.

Kepimpinan pengetua di sekolah kluster mengikut Gaya Kepimpinan Kontinum

ini juga boleh dipraktikkan mengikut corak tingkah laku yang ke-dua iaitu corak menjual.

Mengikut corak tingkah laku ini pengetua mengeluarkan sesuatu arahan untuk melakukan

sesuatu tugasan dengan cara menjelaskan kebaikan, keburukan serta kaedah

perlaksanaannya kepada guru-guru dalam nada yang berbentuk memujuk. Contohnya

projek untuk mengumpul dana sekolah sehingga mencecah puluhan ribu ringgit yang

mungkin agak sukar dicapai tanpa komitmen guru-guru maka pengetua sekolah kluster

perlu menjual idea yang diilhamkannya dengan cara menerangkan secara terperinci

kaedah untuk untuk melaksanakan projek tersebut. Di samping itu beliau juga perlu

menjelaskan faedah-faedah yang bakal diperolehi oleh pelajar-pelajar serta guru-guru

demi untuk meningkatkan lagi martabat sekolah kluster tersebut. Kebolehan pengetua

untuk mengajak serta memujuk guru-guru menyempurnakan tugasan ini akan menjadi

petunjuk kepada kejayaan yang bakal dikecapi. Corak tingkah laku ini amat sesuai

ditekankan dalam kepimpinan pengetua yang mempunyai guru-guru yang berpenetahuan

serta berpengalaman tetapi agak kurang bermotivasi untuk melakukan sesuatu kerja.

Corak tingkah laku kepimpinan ketiga mengikut Tannenbaum dan Scmidt iaitu

menguji memerlukan pengetua sekolah kluster untuk mengenal pasti masalah dan

mencadangkan cara penyelesaiannya Seterusnya beliau perlu mendapatkan maklum balas

tentang cadangan yang dikemukakannya, namun keputusan muktamad akan ditentukan

oleh beliau sendiri. Di sini pengetua dapat menilai sesuatu cadangan yang

dikemukakannya sebelum sesuatu keputusan di ambil berdasarkan maklum balas yang


diterima daripada guru-guru. Contohnya dalam soal pembelian sesuatu peralatan yang

agak mahal di mana peruntukan kewangan yang banyak diperlukan maka corak tingkah

laku menguji ini dilihat mampu memberikan maklumat sampingan yang mungkin tidak

disedari oleh pengetua. Corak tingkah laku menguji ini amat sesuai diaplikasikan oleh

pengetua apabila berhadapan dengan guru-guru yang telah lama berkecimpung dalam

bidang pendidikan serta mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam

sesuatu aspek yang dibincangkan.

Dalam mentadbir sesebuah sekolah kluster, pengetua juga mempunyai pilihan

untuk mengamalkan corak tingkah laku kepimpinan yang ke-empat mengikut Gaya

Kepimpinan Kontinum yang dipelopori oleh Tannenbaum dan Schmidt. Corak tingkah

laku kepimpinan ini mempunyai cir-ciri meminta pandangan di mana guru-guru diberi

peluang melibatkan diri dalam proses membuat keputusan sebelum pengetua memilih

satu keputusan yang pada pandangannya adalah yang terbaik dalam sesuatu perkara. Di

sini pengetua berpeluang mendapatkan pilihan jawapan terhadap sesuatu permasalahan

yang timbul sebelum beliau menganalisis setiap pandangan itu dan memilih satu yang

terbaik di antaranya. Contohnya apabila berhadapan dengan sesuatu masalah disiplin

pelajar yang agak serius, pengetua perlu bijak mengambil tindakan terhadap pelajar

berkenaan agar tidak timbul sebarang isu yang tidak diingini malah tindakan itu dilihat

mampu menjadi teladan kepada pelajar-pelajar agar tidak mengulangi kesalahan yang

sama. Di sini pandangan daripada guru-guru disiplin amat diperlukan oleh pengetua

sebelum keputusan yang tepat diambil oleh beliau.

Corak tingkah laku ini amat sesuai dipraktikkan oleh pengetua apabila sebuah sekolah

kluster mempunyai guru-guru yang berpengetahuan dan berpengalaman tinggi dalam


sesuatu bidang yang berkenaan. Pengetahuan dan pengalaman guru-guru ini

dipertimbangkan dalam gaya kepimpinan beliau untuk menjadikan sekolah kluster yang

dipimpinnya menuju ke arah kecemerlangan.

Tingkah laku kepimpinan ke lima mengikut Tannenbaum dan Schmidt ialah

menyertai. Dalam Gaya Kepimpinan Kontinum ini pengetua sesebuah sekolah kluster

perlu menggalakkan penyertaan guru-guru dalam proses membuat keputusan dan

seterusnya beliau bersetuju dengan sebarang keputusan yang diambil. Di sini pengetua

melibatkan diri sebagai salah seorang ahli di dalam kumpulan tersebut di mana corask

kepimpinan yang demokratik ditunjukkan oleh beliau. Contohnya dalam proses

penetapan visi dan misi sekolah untuk suatu jangkamasa yang panjang maka penglibatan

guru-guru dalam proses menentukan visi dan misi sekolah ini akan meningkatkan lagi

motivasi guru-guru untuk bekerja bagi mencapai visi dan misi tersebut kerana guru-guru

merasakan diri mereka adalah sebahagian daripada organisasi tersebut serta sumbangan

mereka lebih dihargai oleh pengetua. Guru-guru juga akan merasa lebih

bertanggungjawab terhadap tugasan yang diberikan kepada mereka. Gaya kepimpinan

yang bersifat demokratik atau berpusatkan pekerja ini lebih sesuai dipertimbangkan oleh

pengetua yang memiliki guru-guru yang mempunyai komitmen serta motivasi tinggi

dalam menjalankan tugas harian mereka.

Setelah melihat corak-corak tingkah laku kepimpinan kontinum ini yang dapat

dipraktikkan oleh pengetua di dalam oranisasi sekolah kluster maka faktor-faktor yang

boleh mempengaruhi keberkesanan sesuatu gaya kepimpinan itu perlu dipertimbangkan

dengan teliti. Faktor-faktor ini dapat dikategorikan ke dalam empat kumpulan utama iaitu

a) kuasa pemimpin
b) kuasa pekerja

c) situasi dan

d) strategi jangka panjang serta objektif

Untuk kategori kuasa pemimpin ini beberapa aspek seperti sistem nilai pemimpin,

keyakinan pemimpin terhadap ahli kumpulan, kecenderungan kepimpinan dan

rasa selamat seseorang pemimpin apabila berhadapan dengan situasi yang genting

akan mempengaruhi gaya kepimpinan seseorang.

Bagi perkara yang melibatkan sistem nilai pemimpin, pengetua perlu

mengambil kira tentang peranan dan kepentingan guru-guru dalam sesuatu

keputusan yang diambil. Keyakinan pengetua terhadap kecekapan serta kebolehan

seseorang guru juga akan menjadi penentu terhadap gaya kepimpinan yang

diamalkannya. Pengetua yang mempunyai guru-guru yang berpengalaman serta

bermotivasi dalam menjalankan tugas mereka tentulah lebih cenderung

mempraktikkan gaya kepimpinan yang berpusatkan pekerja manakala pengetua

yang memiliki guru-guru yang baru beretugas serta kurang bermotivasi akan lebih

cenderung mengamalkan gaya kepimpinan berpusatkan pemimpin.

Keyakinan pemimpin terhadap ahli kumpulan yang berbeza-beza akan

mewujudkan gaya kepimpinan yang berbeza di antara satu sama lain di mana

sesetengah guru memerlukan tingkah laku pemimpin yang menggalakkan

penyertaan manakala sesetengah guruyang lain pula memerlukan tingkah laku

pemimpin untuk ‘memberitahu’ atau ‘menjual’ bagi melaksanakan sesuatu tugas.

Kecenderungan pemimpin untuk membimbing atau mengarah juga akan

mempengaruhi gaya kepimpinan seseorang pengetua di mana pengetua yang lebih


kerap mengarah akan menunjukkan gaya kepimpinan berpusatkan ketua

berbanding pengetua yang banyak membimbing guru-gurunya dalam

menjalankan sesuatu tugas.

Rasa selamat seseorang pemimpin dalam situasi yang agak genting akan

mempengaruhi seseorang pengetua mengamalkan pendekatan yang sesuai apabila

berhadapan dengan guru-guru.. Dalam situasi selamat dan selesa mungkin

pendekatan ‘meminta pandangan’ atau ‘menyertai’ lebih sesuai digunakan

berbanding tingkah laku yang lain bagi memastikan sesuatu tugasan dapat

dilaksanakan dengan sempurna. Sebaliknya tingkah laku kepimpinan yang

bercorak ‘memberitahu’ akan diamalkan oleh pengetua jika merasakan situasi

agak genting dan tidak menentu bagi memastikan sesuatu kerja dilakukan

mengikut prosedur yang ditetapkan.

Kuasa ahli kumpulan juga merupakan faktor yang akan mempengaruhi

gaya kepimpinan seseorang pemimpin. Kesedaran tentang pelbagai angkubah

peribadi guru-guru dan harapan yang berbeza-beza akan menjadikan pengetua

lebih berhati-hati dengan gaya kepimpinan mereka. Kebebasan yang lebih

mungkin dapat diberikan kepada guru-guru yang menunujukkan ciri-ciri seperti di

bawah;

i. guru memerlukan kebebasan

ii. guru telah bersedia untuk menerima tanggungjawab

iii. guru berminat dengan masalah yang dihadapi dan

mengaanggapnya penting

iv. guru memahami matlamat organisasi


v. guru mempunyai pengetahuan dan pengalaman untuk

menyelesaikan masalah

vi. guru berminat untuk menyelesaikan masalah

Pengetua yang tidak memiliki guru-guru yang menunjukkan ciri-ciri seperti di

atas akan bersifat lebih autokratik atau berpusatkan pemimpin ketika memimpin

organisasi mereka.

Faktor situasi juga memainkan peranan penting dalam mencorakkan gaya

kepimpinan seseorang pemimpin. Pengetua yang melihat kebolehan guru-guru

untuk menyelesaikan sesuatu masalah secara bersendirian akan lebih terbuka serta

menggalakkan penyertaan guru-guru dalam proses membuat sesuatu keputusan.

Begitu juga dengan tekanan waktu yang merupakan sebahagian faktor situasi di

mana sesuatu keputusan segera perlu diambil akan menjadikan pengetua

menunjukkan tingkah laku ‘memberitahu’ berbanding tingkah laku ‘menyertai’.

Strategi jangka panjang dan objektif juga merupakan faktor penentu

kepada gaya kepimpinan seseorang pemimpin. Pengetua sekolah kluster perlu

memikirkan langkah-langkah untuk melaksanakan strategi dan objektif yang

ditetapkan di samping kaedah pemantauan serta penilaiaan yang bersesuaian

dengan strategi dan objektif ditetapkan. Dengan mengambil kira aspek-aspek

di bawah;

a) meningkatkan tahap motivasi guru-guru

b) membaiki kualiti semua keputusan yang dibuat

c) membina kerja berpasukan dan semangat tinggi

d) memberi tumpuan kepada pembangunan diri individu dan


e) meningkatkan kesediaan untuk menerima perubahan

akan mempengaruhi corak tingkah laku kepimpinan yang sesuai yang bakal

dipraktikkan oleh pengetua sekolah kluster. Corak tingkah laku yang dirancang

dengan teliti dengan mengambil kira aspek-aspek di atas berdasarkan budaya dan

iklim sekolah yang bakal dibentuk akan menjamin kecemerlangan sesebuah

sekolah itu.

You might also like