You are on page 1of 8

PENGENALAN

Kerjaya sebagai seorang guru memerlukan guru menguasai ilmu pengetahuan dan
kemahiran yang tinggi malah guru juga perlu sentiasa meningkatkan tahap keprofesionalisme
mereka seiring dengan perubahan zaman yang sentiasa maju ke hadapan terutama dalam
dunia ledakan teknologi maklumat.
Kemahiran profesional keguruan harus dikuasai oleh seseorang yang bergelar pendidik.
Kemahiran-kemahiran ini adalah seperti kemahiran belajar, berfikir, merancang, mengajar,
pemudahcaraan, menilai, berkomunikasi, mengurus, termasuk kemahiran mengurus teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT).

A. KEMAHIRAN-KEMAHIRAN PROFESIONAL GURU

1. Kemahiran belajar

Proses pembelajaran merupakan proses berterusan semenjak kita lahir sehingga ke


akhir hayat. Manusia menggunakan organ deria untuk memperolehi pengalaman dan ilmu
pengetahuan yang terdapat di persekitaran mereka. Dalam kemahiran belajar ia banyak
melibatkan kemahiran penggunaan mental manusia untuk memperolehi ilmu dalam bidang
kognitif, psikomotor ataupun afektif. Ia merangkumi segala kemahiran seperti memerhati,
membaca, menulis, meniru, menghafal, mengandai, memahami, menganalisis,
mensintesis, menilai dan mengingat.
Kemahiran belajar adalah kebolehan menerima isyarat dengan tepat, memproses
maklumat yang diterima, menyimpannya dalam stor ingatan dan dapat mengaplikasikan
yang dipelajari untuk menyelesaikan masalah dalam situasi yang berkaitan. Oleh itu dalam
proses pembelajaran berkesan ia memerlukan kemahiran memerhati, mengandai,
memahami, mengingat, memikir dan menaakul. R.M Gagne membahagikan hasil
pembelajaran berdasarkan tiga jenis kemahiran belajar iaitu kemahiran kognitif, kemahiran
menerima dan memahami isyarat, serta kemahiran mengaturkan strategi belajar.
Seorang guru harus menguasai kemahiran belajar. Sebagai seorang pendidik yang
bertanggungjawab , ia hendaklah mereformasikan diri ke arah pandangan, sikap dan daya
usaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran mengajar yang
canggih, demi mempertingkatkan keupayaan dan prestasinya dalam bidang kerja yang
kian mencabar. Latihan perguruan yang diterima dahulu dianggap kurang sesuai untuk
mencapai matlamat pendidikan dalam alaf baru. Untuk menghadapi cabaran dan tuntutan
perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, guru hendaklah
sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan mengemaskini ilmu pengetahuan dan
kemahiran mengajar dari semasa ke semasa.

2. Kemahiran berfikir

Guru hendakah menguasai ciri-ciri kemahiran berfikir bagi menghadapi cabaran


perguruan dan melaksanakan tugasnya secara profesional.Pemikiran merupakan proses
yang menggunakan akal untuk menyelesaikan masalah. Proses ini melibatkan aktiviti-
aktiviti menyusun idea, membuat kesimpulan untuk mendapatkan ilmu atau kemahiran
baru yang boleh digunakan untuk penyelesaian masalah. Ringkasnya, kemahiran berfikir
ialah kecekapan menggunakan akal menjalankan proses pemikiran. Seseorang itu cekap
menyusun maklumat, konsep atau idea secara teratur dan membuat kesimpulan atau
keputusan yang tepat untuk tindakan sistematik dan wajar.
Guru yang berinovatif akan memberi peluang kepada murid-muridnya
memperkembangkan daya intelek dan kemahiran berfikir. Dalam hal ini guru harus ada
teknik menyoal dalam aktiviti p&p. Teknik- teknik yang menggalakkan perkembangan
kemahiran berfikir secara analitis, kritis dan rasional boleh didapati daripada Cort Thinking
Programme yang disediakan oleh yang disediakan oleh Dr. Edward de Bono. Menurut
beliau, kemahiran berfikir seseorang pelajar boleh dipertingkatkan melalui teknik-teknik
seperti mengadakan perbincangan diantara pelajar dengan mempertimbangkan sesuatu
idea atau isu dari segi kebaikan atau kelemahan, menggunakan teknik penyelesaian
masalah yang sesuai,mempertimbangkan semua faktor dalam proses pilihan atau
keputusan, meneliti segala akibat yang mungkin berlaku, meninjau idea atau pandangan
dari sudut pandangan orang lain dan memahami dan menentukan tujuan dan objektif
sesuatu perkara dalam kajian dengan cara yang tepat.

3. Kemahiran Merancang

Kejayaan seseorang guru sebagai pengajar bergantung kepada perancangan


mengajarnya. Di sini guru mesti pandai merancang untuk mencapai objektif pengajaran
dan pembelajaran. Untuk itu guru mesti bijak merancang dalam menentukan objektif
pelajaran, memilih isi pengajaran , memilih strategi dan kaedah pengajaran, merancang
aktiviti pengajaran dan pembelajaran, memilih dan menyediakan bahan- bahan pelajaran
serta menyedia dan menguruskan kemudahan-kemudahan untuk menjalankan aktiviti-
aktiviti pembelajaran.
Sekiranya perancangan guru adalah baik, ia akan melicinkan pelaksanaannya dan
seterusnya mencapai objektif pelajaran yang diharapkan.

4. Kemahiran Mengajar

Tugas guru adalah mengajar. Untuk itu guru hendaklah menguasai kemahiran
mengajar. Mengajar meliputi aktiviti memotivasikan murid-murid supaya bersedia belajar,
menyampaikan isi pelajaran, membimbing murid-murid menjalankan aktiviti pembelajaran,
mengurus murid-murid supaya mereka berdisiplin, menggerakkan murid-murid dengan
aktiviti soal jawab supaya mendapat gerakbalas mereka dan interaksi yang positif,
membimbing murid menjalankan aktiviti pengukuhan, memberi peneguhan dan menutup
pelajaran dengan teknik yang sesuai supaya mendapat pengulangan tingkahlaku yang
positif pada masa kelak..Kemahiran mengajar amat penting untuk guru kerana murid-murid
hanya dapat memperolehi ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran jika proses
pelaksanaan rancangan mengajar guru itu sistematik dan teratur. Oleh itu pencapaian
objektif pelajaran amat bergantung kepada kecekapan guru mengendalikan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

B. PENINGKATAN TAHAP PROFESIONALISME GURU

Peningkatan profesionalisme dalam keguruan adalah penting untuk mencapai


kecemerlangan akademik dan meningkatkan kualiti pendidikan. Justeru itu, untuk mewujud
dan mengekalkan sistem pendidikan yang berkualiti, penekanan harus diberi kepada
perkembangan profesionalisme keguruan secara berterusan. Antara strategi yang
membolehkan peningkatan profesionalisme diri termasuk melibatkan diri dalam latihan dalam
perkhidmatan, amalan refleksi dan penulisan reflektif, dan portfolio pengajaran, penyelidikan
tindakan,amalan konsep “belajar seumur hidup”, perkembangan professional melalui
networking dan program secara “on-line” , sistem pementoran dan aktiviti diskusi di Pusat
Kegiatan Guru.
1.Peningkatan Profesionalisme Melalui Latihan Dalam Perkhidmatan

Dalam era teknologi moden, perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam
mata pelajaran pengkhususan, inovasi dalam pedagogi menuntut agar guru-guru dilatih
semula semasa dalam perkhidmatan. Ia sememangnya dapat mempertingkat dan
memperkukuh profesionalisme diri selain mengembangkan potensi insan ke tahap yang
diingini. Sebagai guru, mereka semestinya memperbaiki pembelajaran pelajar dengan
melanjutkan pengetahuan profesional dan menguasai dan mengembangkan kemahiran-
kemahiran .
.
Guru yang berpandangan progresif mampu memperkasakan diri dengan pengetahuan,
kemahiran dan cara pengajaran-pembelajaran baru melalui kursus-kursus pendidikan
dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat
Pendidikan Daerah ataupun dari pihak swasta.
Berkaitan dengan ini, guru yang telah menghadiri kursus seharusnya menjalankan
latihan dalaman untuk sekolah masing-masing agar semua guru dapat memperoleh
pengetahuan dan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu. Sebaran input-input yang baru
seperti pembelajaran bestari, pengajaran Matematik dan Sains, Teknologi Maklumat dan
Komunikasi, Bimbingan dan Kaunseling dan sebagainya diberi kepada guru akan
meningkatkan kualiti pengajaran guru dari segi inovasi dalam pengajaran.

2. Amalan Refleksi Dan Penulisan Reflektif

Amalan refleksi dapat memperkaya diri dan merangsang amalan professional. Ia


bertindak sebagai forum untuk membuat keputusan yang mengakibatkan tindakan tentang
konteks pengajaran. Refleksi yang dikemukakan oleh Dewey (1933) menjadi asas dalam
mengkaji proses kognitif guru semasa membuat keputusan tentang pengajaran dan
pembelajaran. Perkembangan refleksi memerlukan perkembangan sikap dan kebolehan
seperti keterbukaan, kerelaan untuk menerima tanggungjawab untuk membuat keputusan dan
mengambil tindakan.
Refleksi memberi peluang guru menganalisis diri serta menyedari tentang kekuatan dan
kelemahan diri. Dengan ini, guru dapat membuat pengubahsuaian serta membaiki proses
pembelajaran mereka dengan efektif.
Antara strategi yang boleh dilakukan oleh guru untuk meningkatkan profesionalisme
mereka ialah penulisan jurnal/reflektif. Kajian menunjukkan aktiviti ini merupakan salah satu
strategi terbaik untuk mendorong guru mengamalkan penyiasatan reflektif dan penilaian
kendiri terhadap isu-isu pengajaran dan pembelajaran (Bolin, 1988; Richert, 1990; Zeichner &
Liston, 1987).
Dalam penulisan reflektif, Schon (1983, 1987) membezakan proses pemikiran kepada
refleksi semasa tindakan di mana seseorang melihat semula dan memikirkan permasalahan
yang wujud untuk memahami situasi manakala refleksi ke atas tindakan di mana guru
merenung kembali proses pemikirannya dan menganalisis situasi sebelum merancang
tindakan susulan. Kedua-dua refleksi semasa tindakan dan refleksi ke atas tindakan dapat
membantu guru memperkasakan diri dalam bidang profesionalnya.
Penulisan reflektif merupakan satu cara meninjau teori-teori pengajaran dan
perkembangan professional. Pemikiran baru akan dirangsangkan dan melalui perbincangan
dengan rakan sekerja, teori-teori dan persoalan-persoalan
dipertikai dan diperkembangkan. Ia bukan sahaja membolehkan seseorang guru memperoleh
pengertian mengenai tugasnya tetapi ia memberi pelbagai perspektif terhadap pengajaran
yang boleh dicontohi atau dipelajari oleh guru-guru lain.

3. Portfolio Pengajaran Mengenai Pengajaran Dan Refleksi

Portfolio pengajaran memberi impak yang besar dan membawa manfaat serta
meningkatkan kualiti pengajaran guru dalam profesionnya. Ini kerana proses perkembangan
portfolio secara berterusan memberi peluang guru membuat refleksi tentang perkembangan
dan perubahan pelajarnya sepanjang masa. Apabila seseorang guru meneliti amalan
pengajaran sendiri, sudah tentu amalan penelitian pengajaran sendiri meletus penilaian kendiri
terhadap tanggungjawabnya. Contoh-contoh amalan baik dalam portfolio boleh dikaji dan
diguna atau diadaptasikan dalam bilik darjah. Menurut Shulman (1987), melalui portfolio
pengajaran, guru akan menjadi lebih reflektif tentang apa yang mereka lakukan dalam
pengajaran dan pembelajaran. Ia membantu guru mendokumentasi dan menerangkan
tindakan mereka; membuktikan pengetahuan professional mereka dan membuat refleksi
tentang apa, bagaimana dan mengapa mereka melakukan sesuatu tindakan (Loughran &
Corrigan, 1995; Seldin, 1997). Dengan mengimbas balik pengalaman-pengalaman lepas
dalam portfolio, ia menggalakkan mereka mengenal pasti halangan-halangan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran dan memikirkan penyelesaian. Guru boleh mengubahsuai atau
mengubah teknik pengajaran untuk mencapai matlamat. Portfolio pengajaran dan refleksi
membantu perkembangan pemahaman masalah yang dihadapi kerana proses refleksi
memandu arah untuk meneroka idea-idea dari sumber-sumber lain. Proses membina portfolio
merangsang guru untuk memikirkan semula aktiviti pengajaran, keberkesanan strategi-strategi
pengajaran dan merancang pendekatan baru atau teknik-teknik untuk masa akan datang.
Portfolio pengajaran menjadi tempat di mana pemikiran reflektif berlaku untuk
menghalusi pengajaran sendiri. Seseorang guru boleh merekod kaedah mengetahui,
mengumpul maklumat baru, memikirkan sama ada idea itu boleh diaplikasi atau tidak,
mengambilkira sama ada idea baru sesuai atau tidak, dan menentukan apa yang perlu
disimpan dan apa pula yang harus dihapus kira. Proses ini akan membentuk seorang guru itu
mengamal tabiat serta sikap berfikir dan berikhtiar dalam melaksanakan tugasnya.

4.Penyelidikan Tindakan

Budaya penyelidikan, penulisan dan pembacaan wajib dipupuk di kalangan guru untuk
meningkatkan perkembangan profesionalisme diri serta bertindak secara professional. Idea-
idea baru tentang kaedah-kaedah mengajar dalam pengajaran perlu diterokai.
Peningkatan profesionalisme diri merupakan proses perkembangan peribadi yang
memerlukan suatu kesedaran tinggi tentang “what’s going on”, “why things are happening that
way” dan “how are we going to resolve the problem”. Kesedaran tentang keputusan pedagogi
dan tindakan hanya boleh dibentuk dengan penilaian kritikal melalui dialog reflektif,
dokumentasi dan tindakan. Penyelidikan tindakan menyediakan cara untuk membolehkan
proses tersebut berlaku. Untuk meningkatkan profesionalisme diri, guru wajar menjadikan
profesion keguruan a research-based profesion iaitu profesion yang berasaskan kajian dan
amalan pengajaran perlu berasaskan kajian saintifik dan bukan pendapat.

5.Amalan Konsep “Belajar Seumur Hidup”

Dalam perkembangan diri, guru harus mengamalkan konsep “belajar seumur hidup”.
Amalan membaca, menulis dan melakukan penyelidikan tindakan memperluaskan
pengalaman, pengetahuan dan pandangan guru terhadap bidang. Ia menajamkan kecekapan
serta keyakinannya dan ia akan menjadi kreatif, reflektif dan berinovasi dalam amalan
pengajaran . Guru mampu memperbaiki diri sebagai pelajar dalam paradigma belajar seumur
hidup. Mereka perlu meningkatkan pengetahuan dan ketrampilan khususnya dalam era
globalisasi dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini, dan sebagai guru, kita harus
mempertajam kemahiran mengajar melalui ICT, meneroka dan menukar maklumat dengan
guru-guru lain yang lebih berpengalaman.

6.Perkembangan profesional melalui networking dan program secara “on-line”

Satu langkah yang bijak untuk meningkatkan profesionalisme diri ialah membuat
jaringan/networking dengan guru-guru di negara lain sebagai mencerminkan imej
pengantarabangsaan serta berpeluang untuk berkongsi ilmu, dan kemahiran dengan mereka.
Program secara “on-line” merupakan perkembangan baru dalam ICT dan guru boleh
mendapatkan segala maklumat tentang pengajaran dan pembelajaran secara “on-line”.

7.Sistem Pementoran

Satu pendekatan untuk mempertingkat tahap professional diri guru ialah sistem pementoran di
sekolah-sekolah. Guru boleh mengadakan perbincangan intelektual dengan guru yang lebih
berpengalaman mengenai pengetahuan baru, teknik-teknik baru dan bimbingan dalam
penilaian seperti pembinaan item soalan. Melalui sistem pementoran ini, setiap guru akan
mempunyai seorang atau beberapa orang mentor di tempat bertugas bagi memberi nasihat,
dan bimbingan berterusan agar dapat meningkatkan tahap profesionalisme mereka.
Dalam sistem pementoran ia membawa implikasi bahawa berlakunya proses perkembangan di
mana orang yang mengasuh mampu untuk mengenal pasti kebolehan, pengalaman dan
kematangan psikologikal seseorang yang sedang diasuh dan boleh memberi aktiviti-aktiviti
yang akan membawa kepada peningkatan profesionalismenya.

8. Diskusi di Pusat Kegiatan Guru

Akhir sekali, guru boleh meningkatkan profesionalisme diri dengan mengadakan


perjumpaan dengan guru-guru lain di Pusat Kegiatan Guru (PKG) untuk membincangkan dan
membuat refleksi sesama mereka pengalaman mengajar topik-topik tertentu di samping
mendapat input-input baru daripada fasilitator yang pakar dalam bidang-bidang tertentu. Guru-
guru dapat menilai diri sendiri tentang pengajaran, memperoleh maklumbalas daripada rakan-
rakan, membaca penulisan reflektif rakan-rakan dan berkongsi maklumat tentang strategi-
strategi pengajaran dan pembelajaran. Apabila mereka merefleksi dan membincang sesama
rakan tentang pengalaman pengajaran, mereka akan menjadi “more thoughtful teachers”.
Dengan cara ini, guru akan dapat menambahkan ilmu, ketrampilan dan berkongsi pengalaman
bagaimana hendak memilih strategi terbaik untuk menyelesai masalah pengajaran dan
pembelajaran sesuatu mata pelajaran.

KESIMPULAN
Kualiti guru adalah asas kecemerlangan pelajar dan sekolah. Kewibawaan guru merupakan
tunggak kepada profesionalisme guru. Guru sentiasa perlu membuat refleksi mendalam
tentang diri sendiri dan amalan pengajaran – pembelajaran. Selain mempunyai kemahiran-
kemahiran profesional guru yang sedia ada, mereka juga harus meningkatkan profesionalisme
diri dari segi keilmuan, ketrampilan dan kemahiran serta pembentukan sahsiah yang berakhlak
mulia. Dengan ini, guru dapat bergerak seiring dengan arus perubahan dalam era teknologi
dan globalisasi.

You might also like