You are on page 1of 24

BAB 1 PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

PENGENALAN

Dalam menempuh kehidupan seharian, kita seringkali berhadapan dengan apa yang
dikatakan sebagai pengujian, pengukuran dan penilaian dalam semua keadaan yang
memerlukan kita membuat sesuatu pertimbangan atau keputusan. Guru perlu membuat
pertimbangan atau keputusan berhubung dengan pelajar dalam bilik darjah kendaliannya
tentang pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung. Apakah telah mencapai objektif
yang telah ditetapkan atau memerlukan tindakan pengulangan semula dan sebagainya.

Pengujian, pengukuran dan penilaian adalah antara beberapa konsep penting dalam dunia
pendidikan. Sering kali istilah ini bertukar ganti digunakan. Misalnya, sesetengah guru
apabila mengedarkan kertas ujian, mereka mungkin mengatakan mereka mengukur
prestasi pelajar atau menilai prestasi pelajar dalam sesebuah bilik darjah tanpa mengambil
hirau maksud sebenar atau maksud khusus yang mendukung istilah berkenaan. Secara
khususnya, ketiga-tiga istilah berkenaan mempunyai makna yang lebih spesifik dan ketiga-
tiganya mempunyai perbezaan.

Dalam dunia pendidikan, penilaian yang sistematik, dengan mengambil kira semua faktor
yang boleh mempengaruhi maklumat atau dapatan yang diperolehi akan membantu guru
dalam membuat sebarang keputusan yang tepat.

OBJEKTIF

Pada akhir bab ini, anda seharusnya dapat:


1. menjelaskan maksud pengujian, pengukuran dan penilaian;
2. membezakan konsep pengujian, pengukuran dan penilaian; dan
3. menjelaskan tujuan penilaian dijalankan.
1.1 KONSEP PENGUJIAN, PENGUKURAN DAN PENILAIAN
Sebagai insan yang hidup di muka bumi ini, kita tidak lari dalam membuat keputusan. Dalam
membuat sebarang keputusan tersebut sama ada mudah atau sukar, penilaian wajar
dilakukan terlebih dahulu. Dalam konteks ini penilaian yang dijalankan melibatkan
penentuan objektif, mendapat maklumat, memproses maklumat dan membuat kesimpulan
serta keputusan. Apabila proses yang dijalankan itu dijalankan secara sistematik dan
saintifik, maka keputusan yang diperolehi lebih tepat dan seterusnya tindakan yang diambil
benar-benar bersesuaian.

Sebenarnya aktiviti penilaian dalam bidang sain perlakuan, sains kemasyarakatan bermula
dengan percubaan kajian yang dijalankan oleh Galton dan Binet dengan mengukur
kebolehan individu. Bermula dengan kajian tersebut, konsep penilaian telah berkembang
sehingga muncul beberapa istilah yang berkaitan seperti pengukuran (measurement),
penilaian (evaluation) dan pentaksiran (assessment). Dalam pengukuran, individu
didedahkan kepada pemboleh ubah yang sama dalam keadaan terkawal. Sebagai contoh
pengukuran yang dijalankan bagi menguji kecerdasan kanak-kanak melalui ujian oleh
Stanford-Binet, Raven-Matrices, Weschler dan A.C.E.R.

Apabila sesuatu penilaian ingin dijalankan, sekurang-kurangnya dua keputusan yang utama
perlu diambil. Pertama, berkaitan dengan sebab ataupun tujuan penilaian dijalankan.
Misalnya ingin taraf bacaan murid di sekolah rendah dengan berpendapat taraf bacaan itu
sudah tidak memuaskan dan satu tindakan yang baru perlu diambil. Kedua, berkait dengan
pemilihan model, alat-alat prosedur menjalankan dan cara penganalisisan. Seseorang penilai
akan memilih model yang dirasai dapat memberikan maklumat yang lengkap kepadanya.

Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian dilakukan
kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian akan membolehkan
anggaran dapat dibuat sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau
sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara mendapatkan bukti yang tepat
tentang sesuatu. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sebarang
masalah yang timbul. Misalnya dalam pendidikan, masalah yang dapat diselesaikan ialah
pencapaian sesuatu matlamat yang ditetapkan seperti menguasai kemahiran membaca,
menulis dan mengira (3M) kepada murid sekolah rendah.
Dalam membuat penilaian anda mungkin sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah.
Misalnya tentang persoalan yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang mencukupi atau
bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan
sebagainya. Dengan memahami konsep pengujian, pengukuran dan penilaian anda akan
dapat merancang langkah-langkah dengan lebih teratur dan sistematik bagi mendapatkan
maklumat yang tepat.
 

Apakah maksud pengujian?

 
Antara ketiga-tiga istilah berkenaan, pengujian selalunya dianggap mendukung maksud
yang lebih sempit atau khusus. Pengujian dapat dianggar sebagai proses penyerahan set
soalan yang standard yang perlu dijawab, atau satu set instrumen atau satu prosedur yang
sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau
pelajar.

Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati
perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menghuraikan dengan bantuan skala
bernombor, atau satu sistem yang berkategori. Misalnya, skala bernombor seperti angka
30/100 untuk ujian penglihatan, 100 untuk ujian darjah kecerdasan (IQ Test) dan 80/100
bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem
berkategori pula seperti ‘ekstrovert’ atau ‘introvert’ bagi ujian personaliti, atau rabun warna
bagi ujian penglihatan.

Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang
dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros (1981) seperti yang dipetik dalam Raminah
Haji Sabran (1991) yang menegaskan bahawa:
Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang
diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan.
Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat
penilaian atau pengadilan. (Raminah 1991:2)

Hasil daripada jawapan yang diberikan yang diberikan oleh pelajar, satu ukuran yang
disebut sebagai markat akan diberikan kepada individu berkenaan. Pengujian menjelaskan
keadaan berapa baguskah prestasi murid yang diuji.

Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan


(pentadbiran ujian) dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui proses
pengujian inilah seseorang guru dapat mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah
menguasai sebanyak mana kemahiran yang telah dipelajari.
 

Apakah yang dimaksudkan pengukuran?

 
Pengukuran membawa maksud yang lebih luas berbanding dengan pengujian. Pengukuran
membawa definisi sebagai suatu proses mendapatkan penjelasan secara numerik atau
melalui angka tentang sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu ciri yang
diukur dengan menggunakan instrumen. Atau dalam erti kata lain langkah menentukan
tahap sejauh mana seseorang individu memiliki sifat-sifat tertentu.

Biasanya kita mewakilkan sesuatu indeks berbentuk angka kepada prestasi seseorang
individu supaya status individu berkenaan lebih tepat dan dapat mewakili sifat tertentu.
Misalnya, Ramli mendapat markah 60 peratus dalam ujian Matematik. Kita tidak
menyatakan prestasi Ramli berkenaan sama ada baik atau sebaliknya. Dalam hal ini, kita
hanya mengukur tanpa menentukan nilai. Justeru, pengukuran adalah hanya penentuan
status atau tahap.
Pengukuran boleh dilaksanakan tanpa pengujian. Sebagai contoh, proses mendapatkan
maklumat berbentuk kuantitatif menggunakan proses pencerapan atau penggunaan skala
pemeringkatan. Berbeza dengan pengujian yang ingin mendapatkan maklumat sebanyak
mana prestasi yang diperolehi, pengukuran pula menjurus kepada banyak mana skor atau
markat yang diperolehi dengan menggunakan proses tertentu.

Seperti pengujian, pengukuran juga tidak bersifat mutlak. Pengukuran ketinggian mental
seseorang individu sudah tentu lebih sukar dan tidak dapat dilakukan dengan tepat
berbanding pengukuran ketinggian fizikal seseorang individu menggunakan alat ukur yang
tepat seperti penggunaan pembaris. Misalnya, seseorang murid yang mendapat skor 90
tidak boleh dianggap mengetahui dua kali ganda murid yang mendapat skor 45 walaupun
skor 90 itu dua kali angka 45. Manakala seseorang yang mendapat skor sifar pula tidak juga
boleh dianggap sebagai tidak mempelajari sebarang perkara atau tidak memahami
sebarang perkara tentang sesuatu pelajaran yang dilalui. Ini jelas menunjukkan pengukuran
aspek berkenaan bukanlah petunjuk yang tepat sebagaimana mengukur ketinggian murid
menggunakan kayu ukur atau pembaris.

Dengan itu, seseorang guru harus menggunakan instrumen yang tepat bagi menghasilkan
keputusan yang tepat. Jika instrumen yang digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah
pastilah hasil yang diperolehi daripada ukuran yang dijalankan itu juga tidak tepat.
 

  Apakah yang dimaksudkan penilaian?

Penilaian ada suatu istilah yang boleh didefinisikan dengan banyak cara. Menilai boleh
dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau membuat keputusan dalam
memberikan nilai mutu, kualiti, harga bagi sesuatu benda atau perkara. Stufflebeam et al.
(1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai “the process of delineating, obtaining, and
providing useful information for judging decision alternatives”. Definisi ini menjangkau
melepasi daripada maksud pengujian dan pengukuran.

Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik
semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif
yang telah ditetapkan itu telah tercapai. Hal ini seterusnya bagi membolehkan guru dapat
membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan
pembelajaran. Ini berbeza dengan pengukuran yang melibatkan pemberian nombor-nombor
(numeric) tertentu yang lebih bersifat kuantitatif.

Terdahulu daripada itu, Popham (1975) menafsirkan penilaian yang sistematik mestilah
mengandungi satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan. Secara
menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran,
program pengajaran dan matlamat ke arah usaha pengajaran itu ditentukan. Dalam sesuatu
bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian
pelajar atau guru menilai pencapaian pelajar. Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan
bahawa guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan.
Tindakan susulan yang dilakukan guru dengan menggunakan keputusan ujian itu berserta
maklumat lain yang berkaitan untuk menilai prestasi murid berkenaan. Dalam sesetengah
keadaan penilaian dibuat tanpa sebarang pengukuran yang melibatkan ujian terlebih
dahulu; tetapi hanya melibatkan pertimbangan nilai semata-mata.

Dengan itu menunjukkan bahawa penilaian boleh dijalankan dengan menggunakan


maklumat atau data yang berbentuk kuantitatif atau data berbentuk kualitatif atau
melibatkan kedua-duanya sekali. Secara kuantitatif, maklumat yang diperolehi melalui
penilaian dinyatakan dalam bentuk angka dan maklumat ini boleh disusun, dikemaskinikan
serta diringkaskan dalam kaedah yang lebih mudah difahami. Manakala secara kualitatif
pula, maklumat yang dapat dinyatakan atau dihuraikan tanpa menggunakan nombor-
nombor. Misalnya Ali menyelesaikan tugas yang diberikan oleh guru dengan bersih.
Secara ringkasnya, prosedur penilaian penilaian mengandungi aspek pengujian, pengukuran,
penganalisisan serta merumuskan data yang diperolehi. Prosedur penilaian boleh
dilaksanakan dalam lima peringkat seperti dalam rajah di bawah:

Dalam konteks sekarang istilah pentaksiran mula digunakan dalam membuat penilaian.
Popham (2000) berpendapat istilah pengukuran, pengujian dan penaksiran digunakan silih
berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat
keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran merupakan
sebahagian daripada proses pembelajaran. Dalam konteks pendidikan juga pentaksiran
dianggap sebagai suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai,
mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang
pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan
Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan
boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada murid serta mengekalkan kewibawaan
institusi pentaksiran.
Kesimpulannya, dasar penting bagi pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan
adalah melalui langkah-langkah pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat dan
berkesan dijalankan oleh guru di bilik darjah. Justeru, kecekapan guru dalam
membangunkan instrumen pengujian dan penilaian amat penting malah sama pentingnya
dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran.

Latihan 1.1:

Jelaskan perbezaan antara pengujian, pengukuran dan penilaian.

Nyatakan perbezaan keempat-empat skala pengukuran.

1.2 ARAS UKURAN

Secara umumnya, terdapat pelbagai bentuk system pengukuran yang berbeza. Misalnya,
pengukuran yang digunakan untuk mengukur pencapaian akademik pelajar adalah berbeza
dengan pengukuran yang digunakan untuk mengetahui tahap apresiasi agama pelajar.
Begitu juga membuat pengelasan darjah motivasi sebagai bermotivasi tinggi, sederhana
atau rendah tidaklah setepat dengan pengukuran yang menggunakan skor sebenar
motivasi pelajar. Penyataan dan pengkelasan kuantitatif pemboleh ubah ini melibatkan
system dan proses pengukuran yang menggunakan skala tertentu. Pada umumnya terdapat
dua jenis pemboleh ubah asas dalam pengukuran iaitu: (i) Jenis kuantitatif dan (ii) Jenis
kategori. Kedua-dua jenis tersebut boleh diukur dengan menggunakan empat jenis skala
yang biasa digunakan, iaitu skala nominal, ordinal, sela dan nisbah.
1.2.1 Skala Nominal

Skala nominal ialah skala yang dianggap paling mudah dan mempunyai ketepatan yang
paling rendah sebagai bentuk pengukuran. Skala ini mengkategorikan pemboleh ubah
berdasarkan persamaan dan seterusnya memberikan nama kepada pemboleh ubah
berkenaan. Misalnya, guru ingin mengelaskan kategori murid-murid mengikut kumpulan
etnik atau mengelompokkan murid mengikut kumpulan jantina. Guru berkenaan perlu
meletakkan nilai tertentu kepada setiap pemboleh ubah tersebut sebagai mewakili
kumpulan berkenaan. Misalnya, etnik Melayu diwakili nombor 1, Cina diwakili nombor 2,
India nombor 3 dan nombor 4 bagi etnik yang lain. Nombor I dalam sistem ini tidaklah
menunjukkan bilangan yang kecil jika dibandingkan dengan nombor 2,3 dan 4. kita boleh
menukargantikan nombor berkenaan kepada kategori yang lain. Misalnya, 4 untuk Melayu,
3 untuk Cina, 2 untuk India dan 1 untuk lain-lain etnik.

Nombor yang diberikan itu hanyalah mewakili atau melambangkan sesuatu pemboleh ubah
yang dinyatakan. Apabila nombor yang digunakan untuk melambangkan orang atau objek
dan nombor ini sebenarnya tidak mempunyai sebarang hubungan dalaman antara satu
sama lain dari segi nilai. Ini disebut sebagai skala nominal.

Tiga ciri utama skala nominal, iaitu:

i. setiap data hanya dimiliki oleh satu kategori sahaja. Individu yang berada dalam
kelompok Melayu tidak boleh menjadi individu dalam kelompok betnik yang lain.
ii. Kategori atau nombor yang mewakili setiap data tidak mempunyai susunan
pemeringkatan data tetapi dianggap sebagai setara.
iii. Perubahan data asal kepada data nominal atau kategori bersifat satu sama satu.

1.2.2 Skala Ordinal

Pengukuran bersifat ordinal pula ialah data yang menunjukkan urutan atau pangkat. Data
disusun sama ada daripada yang rendah kepada yang tinggi atau daripada yang lemah
kepada yang cemerlang. Nombor atau kategori yang digunakan menggambarkan maklumat
asal pemboleh ubah yang menunjukkan susunan daripada kecil kepada yang besar atau
daripada kategori yang baik kepada kategori yang lebih baik. Misalnya, nombor 1, 2, 3, 4
yang menunjukkan pangkatan atau kedudukan pelajar dalam bilik darjah adalah contoh
skala ordinal. Pelajar yang mendapat markat keseluruhan yang tinggi diberikan nombor 1,
diikuti norbor 2, 3, 4 dan seterusnya. Ini menunjukkan nombor 1 adalah lebih baik daripada
nombor 2, 3 4 dan berikutnya. Pada umumnya skala ordinal hanya mampu membezakan
kategori dan nilai susunan secara pemeringkatan. Contoh lain skala ordinal seperti skala
Likert.

Ciri-ciri utama skala ordinal seperti berikut:

i. kategori yang digunakan bagi mengelaskan data bersifat saling eksklusif.


ii. Data yang digunakan menunjukkan pemeringkatan secara logik.
iii. Data mempunyai pemberat. Setiap kategori mempunyai pemberatan yang lebih
berbanding kategori yang lain.

1.2.3 Skala Sela

skala ketiga ialah skala jenis sela. Data jenis ini mempunyai urutan atau pangkat serta
anggapan bahawa perbezaan antara sela wujud. Setiap skala berkenaan mempunyai jarak
yang sama. Skala ini berupaya menunjukkan perbezaan antara beberapa kategori dan ia
boleh menunjukkan kesamaan dalam unit pengukuran yang digunakan. Contoh
pengukuran skala sela ialah pengukuran suhu. Misalnya perbezaan darjah suhu antara 25˚C
dengan 35˚C adalah sama dengan perbezaan darjah suhu antara 15˚C hingga 25˚C. Kedua-
dua perbezaan berkenaan menunjukkan perbezaan 10˚.

Skala sela memberikan sela yang sama daripada titik origin yang sewenang-wenangnya. Ini
bermaksud skala sela mempunyai ciri-ciri nominal dan ordinal, terutamanya ciri-ciri aspek
pangkatan. Jarak numerik yang sama di atas skala sela menggambarkan jarak yang sama
pada ciri-ciri yang diukur.
Contoh lain, andai kata terdapat enam orang pelajar yang diukur pencapaiannya pada skala
sela, maka perbezaan pencapaian antara pelajar A dengan C adalah sama dengan F dan D.
walau bagaimanapun kita tidak boleh menyatakan pencapaian F dua kali lebih baik daripada
D. hal ini disebabkan bukan kuantiti yang ditambah atau ditolak, tetapi perkiraan adalah
berdasarkan selak atau jarak tersebut.

Dalam skala sela, nilai kosong (O) atau sifar adalah merupakan suatu nilai. Nilai O adalah
suatu yang arbitrari dan tidak menggambarkan bahawa ciri kuantiti sebagai kosong atau
tidak ada nilai secara mutlak. Misalnya, suhu O˚C mempunyai nilai permulaan sistem
pengukuran suhu. Suhu O˚ C di sini masih membawa makna suhu masih boleh turun di
bawah takat tersebut dan bukan bermakna tidak ada darjah kepanasan.

Ciri-ciri skala sela adalah seperti berikut:

i. kategori yang digunakan bagi mengelaskan data sela bersifat saling eksklusif.
ii. Data yang digunakan menggambarkan susunan pemeringkatan secara logik.
iii. Nilai atau skor yang digunakan mempunyai pemberat. Satu nilai dikatakan lebih
besar atau lebih kecil daripada lainnya.
iv. Nilai dalam skala sela adalah arbitrari. Nilai O adalah satu bentuk nilai dalam
skala jenis ini.
v. Persamaan perbezaan digambarkan dalam nilai nombor yang digunakan bagi
menggambarkan perbezaan.

1.2.4 Skala Nisbah

Skala keempat ialah skala nisbah. Skala ini mempunyai semua sifat jenis sela dan
mempunyai mutlak nilai kosong. Dalam skala nisbah nilai kosong tidak bersifat arbitrari.
Misalnya perbezaan antara 30 hingga 60 adalah sama dengan perbezaan 60 hingga 90.
malah kita boleh mengatakan 90 adalah dua kali ganda 45 (2 X 45 = 90). Nombor dalam
skala nisbah ini menunjukkan jumlah atau ciri sebenar yang diukur. Contoh skala nisbah
seperti umur, ketinggian dan jarak.
Jadual di bawah menunjukkan sifat keempat-empat skala pengukuran berkenaan.

Pengukuran tingkah laku dalam bidang psikologi kadang kala agak sukar dibuat garisan
antara data jenis ordinal dan sela. Misalnya dalam ukuran data yang menggunakan skala
Likert, anggapan yang keterlaluan ialah data ini tergolong dalam data jenis ordinal. Apabila
hanya menganggap skala ini terhad kepada berbentuk ordinal akan menyebabkan
pengehadan kepada analisis data yang dapat dibuat. Analisis data begini tidak dapat
menggunakan analisis varians bagi membandingkan nilai min kumpulan.

Kesimpulannya, setiap jenis skala mempunyai maklumat yang berbeza. Skala nisbah
memberikan sejumlah maklumat yang lebih banyak daripada skala sela. Skala sela pula
dapat memberikan maklumat yang lebih daripada skala ordinal. Begitu juga dengan skala
ordinal lebih memberikan maklumat daripada skala nominal. Penyusunan data akan
mempengaruhi jenis analisis statistik yang bakal dijalankan. Perhubungan atau hierarki
keempat-empat skala ukuran dapat ditunjukkan dalam rajah di bawah.
 
Latihan 1.2:

Nyatakan jenis ukuran untuk data-data berikut:

i) Pengetua, Penolong Kanan, Guru Kanan, Guru.


ii) Gred pencapaian pelajar dalam peperiksaan seperti gred A, B, C, D
dan Gagal.
iii) Skor dalam satu ujian Sejarah 45, 50, 60, 75, 87.
iv) Respon terhadap soal selidik yang mempunyai tiga skala “Ya”,
“Tidak” dan “Tidak Pasti”.

Mengapakah aktiviti pengujian dan penilaian penting kepada guru dalam bilik
darjah

TUJUAN PENILAIAN DI BILIK DARJAH


Penilaian dan pengujian dalam sesi pengajaran dan pembelajaran adalah sama pentingnya
dengan proses pengajaran. Matlamat utama penilaian dijalankan ialah untuk meningkatkan
atau memperbaiki pembelajaran. Sekiranya ditinjau dari aspek yang lebih luas, penilaian
yang dijalankan memberi manfaat besar kepada guru pelajar serta ibu bapa malah kepada
pihak sekolah serta kementerian sendiri apabila memberikan maklumat yang tepat dan
berkesan.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, hasil penilaian dan pengujian yang dijalankan dapat
dijadikan asa kepada guru untuk membuat keputusan berhubung dengan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Sepanjang guru mengajar, beliau akan
menggunakan maklumat yang diperolehi bagi membuat keputusan yang perlu bagi
meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Bagi memudahkan pemahaman anda, tujuan atau kepentingan penilaian dalam pendidikan
khususnya dalam bilik darjah ini dijelaskan kepada beberapa tujuan seperti untuk tujuan
diagnosis, melihat pencapaian, membuat pemilihan, menempatkan serta memberikan
bimbingan kaunseling kepada pelajar.

Diagnosis

Pengujian dan penilaian yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah akan dapat
memberikan maklum balas kepada guru berhubung tahap penguasaan pelajar terhadap
sesuatu kemahiran yang telah disentuh dalam bilik darjah serta meninjau masalah yang
timbul dalam sesi pengajaran pembelajaran yang berlangsung. Dengan itu guru dapat
mengenal pasti tahap kemajuan seseorang murid dalam bilik darjah tersebut sama ada
pada tahap yang sangat memuaskan, sederhana, lemah atau tidak ada sebarang kemajuan
langsung. Daripada penilaian yang dijalankan juga guru dapat mengenal pasti murid yang
cergas, yang memerlukan aktiviti pengayaan dan murid yang lemah yang memerlukan
aktiviti pengayaan. Guru juga akan membuat keputusan sama ada untuk mengubah strategi
pengajaran agar lebih bersesuaian dengan keperluan murid atau mengulang menggunakan
strategi sama dan sebagainya.
Penilaian dan pengujian yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran
yang berlangsung akan memperlihatkan kemajuan pelajar dalam jangka masa tertentu.
Pengesanan tahap kemajuan yang berterusan ini akan memungkinkan guru mengetahui
masalah yang dihadapi oleh pelajar. Adakah murid mempunyai masalah dalam mempelajari
dan menguasai sesuatu kemahiran yang telah diajar dalam bilik darjah? Sekiranya
menghadapi masalah, guru akan menyelidiki aspek atau kemahiran yang menimbulkan
masalah kepada murid-murid dan mengenal pasti punca masalah tersebut berlaku.
Maklumat berkenaan amat perlu kepada guru bagi menyediakan latihan yang khusus atau
pemerhatian yang lebih kepada murid-murid berkenaan supaya kelemahan atau masalah
yang dihadapi dapat diatasi. Tanpa penilaian dan pengujian yang dijalankan, murid-murid
yang menghadapi masalah sukar dibantu dan akibatnya mereka akan terus ketinggalan dari
arus perdana persekolahan.

1.2.1 Pencapaian

Proses penilaian dan pengujian yang dijalankan pada peringkat akhir sesi pengajaran dan
pembelajaran dapat memberikan maklumat tentang setakat mana penguasaan murid-murid
tentang sesuatu kemahiran yang telah diajar. Selain penilaian yang dijalankan pada akhir
sesi pengajaran dan pembelajaran, proses penilaian yang dijalankan pada akhir sesuatu
tempoh pengajian yang ditetapkan, misalnya pada akhir tahun sesi persekolahan atau
kepada pelajar Tahun 6 (UPSR), Tingkatan 3 (PMR) dan Tingkatan 5 (SPM) adalah bertujuan
untuk menentukan gred yang memperlihatkan tahap pencapaian secara keseluruhan yang
telah murid-murid atau pelajar-pelajar kuasai. Penilaian pada peringkat ini lebih bercorak
formal dengan memfokuskan kepada pemberian sijil atau anugerah atau pengiktirafan
kepada pelajar hasil daripada pencapaian yang ditunjukkan oleh mereka dalam peperiksaan.

Hasil penilaian yang dijalankan akan memperlihatkan pencapaian pelajar mengikut gred
yang telah ditetapkan sama ada cemerlang, sederhana atau gagal. Guru akan dapat
membezakan murid-murid yang cemerlang, sederhana dan lemah berdasarkan keseluruhan
prestasi pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diduduki.

1.2.2 Pemilihan dan Penempatan


Penilaian dan pengujian penting bermula sebelum memulakan pengajaran dan
pembelajaran. Sebelum guru memulakan pengajarannya dalam bilik darjah, perlu baginya
mengadakan penilaian dan menguji murid-muridnya bagi meninjau sejauh manakah murid-
muridnya telah menguasai sesuatu kemahiran atau ingin mendapatkan aspek-aspek yang
akan dipelajari. Misalnya, seseorang guru Bahasa Melayu yang akan mengajar kepada
penutur bukan asli bahasa Melayu, guru perlu mengetahui aspek kemahiran manakah yang
telah dikuasai oleh pelajar dari aspek tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainya.
Maklumat ini penting bagi guru membuat keputusan dalam menentukan peringkat yang
bersesuaian untuk memulakan pengajaran.

Di samping itu, guru juga dapat menentukan adakah semua murid dapat dipilih serta
dikelompokkan dalam satu kumpulan yang besar berasaskan tahap penguasaan yang
berbeza atau di kelompokan dalam kumpulan yang sama. Dalam suasana penguasaan yang
berbeza, wajar bagi guru menempatkan murid mengikut tahap penguasaan masing-masing
dan menumpukan pengajaran mengikut keperluan murid yang berbeza-beza. Keadaan ini
menunjukkan tujuan penilaian dan pengujian yang dijalankan adalah untuk memilih dan
menempatkan pelajar mengikut tahap penguasaan sesuatu kemahiran.
Selain memulakan sesi pengajaran, tujuan penilaian juga ialah untuk memilih dan
menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu. Misalnya, keputusan pelajar yang
cemerlang dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran sains atau
mengikut kecenderungan seseorang murid berkenaan.

1.2.3 Bimbingan dan kaunseling

Hasil penilaian dan pengujian yang dijalankan juga dapat digunakan bagi keperluan
bimbingan dan kaunseling kepada pelajar yang berkaitan. Setiap pelajar mempunyai
motivasi untuk belajar dan ia mungkin bersifat intrinsik. Yakni datang dari dalam diri pelajar
itu sendiri. Contohnya, mereka yang belajar disebabkan rasa ingin mengetahui tentang
sesuatu dengan mendalam akan memperolehi keputusan pencapaian yang baik,
melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan sebagainya. Selain motivasi yang
bersifat intrinsik ini, terdapat pula motivasi yang bercorak ekstrinsik yang datang daripada
pengaruh luar. Misalnya, galakan dan dorongan ibu bapa, dorongan rakan sebaya, nasihat
daripada guru-guru dan lain-lain.

Langkah mengadakan penilaian ini dapat meningkatkan motivasi untuk murid belajar.
Murid yang mendapat keputusan yang cemerlang akan terus berusaha untuk mengekalkan
pencapaian dengan semangat yang tinggi. Sebaliknya murid-murid yang lemah dapat
mengenal pasti aspek kelemahannya dan membaiki kelemahan tersebut untuk penilaian
pada masa akan datang agar mencapai keputusan yang lebih baik. Malah guru juga dapat
membimbing dan menunjuk ajar kepada pelajar yang bermasalah tentang cara menangani
masalah murid-murid berkenaan.

1.3.5 Tujuan-tujuan lain

Selain tujuan yang dinyatakan di atas, penilaian dan pengujian juga penting dalam
menentukan kesediaan murid untuk mempelajari sesuatu kemahiran. Ia dijalankan oleh
guru sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Penilaian jenis ini dibuat oleh
guru melalui pemerhatian kesediaan fizikal murid seperti tangan, mata, jari-jemari dan
penumpuan pelajar terhadap guru. Melalui reaksi yang ditunjukkan, guru dapat menelah
kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran atau sebaliknya. Memulakan pengajaran
mengikut kesediaan murid amat penting bagi memastikan murid mempunyai keyakinan
mengikuti sesi pengajaran dan seterusnya membolehkan mereka menguasai kemahiran
yang dipelajari.

Hasil penilaian dan pengujian yang dijalankan oleh guru juga dapat memberikan input
kepada guru tentang keberkesanan pengajarannya. Melalui maklum balas yang ditunjukkan
oleh murid guru dapat menilai sama ada pengajarannya berkesan atau sebaliknya.
Sekiranya, rata-rata pelajar tidak dapat menguasai sesuatu yang diajar; maka jelas
menunjukkan strategi pengajarannya kurang berkesan dan memerlukan pengubahsuaian
segera bagi memperbetulkan keadaan. Kepada pelajar pula, maklumat penilaian ini
menunjukkan tahap penguasaan mereka terhadap sesuatu topik pengajaran. Seandainya
mereka lemah dalam sesuatu topik, maka mereka akan mengetahui dan memberikan
tumpuan kepada aspek yang kurang dikuasai oleh mereka.
 
Kepada ibu bapa, penilaian dan pengujian yang dijalankan dapat memberikan maklum balas
terhadap kemajuan dan pencapaian anak-anak mereka dalam bilik darjah. Ibu bapa dapat
mengambil tindakan sewajarnya seperti menghantar tuisyen atau memberikan tumpuan
yang lebih kepada anak-anak mereka demi meningkatkan pencapaian dan membantu
meningkatkan penguasaan anak sebaik yang boleh.

Penilaian yang dijalankan juga dapat memberikan maklumat yang jelas kepada pihak
penggubal dasar khususnya penggubal kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia tentang
kurikulum yang dipelajari di sekolah- sekolah di seluruh negara. Pihak kementerian
mendapat maklum balas yang tepat tentang pencapaian objektif sukatan pelajaran yang
telah digubal sama ada telah dapat dicapai dengan jaya atau sebaliknya. Sekiranya maklum
balas yang diperolehi tersebut menunjukkan masih terdapat kekurangan yang ketara dalam
mencapai objektif yang ditentukan, maka pengubahsuaian akan dilakukan. Kelangsungan
daripada ini pengajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran berkenaan akan dapat
dirangka dengan lebih baik dan mantap serta sistematik.

Secara umumnya penilaian yang dijalankan di bilk darjah dapat dibuat melalui tiga bentuk,
iaitu : (i) Pemerhatian, (ii) Lisan dan (iii) Penulisan. Ketiga-tiga bentuk penilaian ini
bertujuan mengesan pelajar secara serta-merta, mengesan kemajuan dan mengesan
pencapaian. Secara mudah, jadual di bawah menunjukkan bentuk-bentuk penilaian
berkenaan.
Latihan 1.3:

1. Bagaimanakah penilaian yang dijalankan dalam bilik darjah dapat


membantu dalam memperbaiki pengajaran dan pembelajaran dalam
bilik darjah?
2. Nyatakan ciri-ciri:
a. Pengujian
b. Pengukuran
c. Penilaian
1.4 RUMUSAN

 
Dalam bab ini anda telah didedahkan dengan konsep pengujian, pengukuran dan penilaian.
Di samping itu juga, perbincangan turut menyentuh aspek aras ukuran serta kepentingan
penilaian dalam bilik darjah. Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa guru berperanan penting
dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid-murid dalam
bilik darjah. Guru menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, merancang dan
melaksanakan penilaian serta merekod segala maklumat yang diperolehi dan mengadakan
tindakan susulan. Melalui aktiviti penilaian guru dapat memastikan perkembangan potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu agar selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK).

Ringkasan:
Pengujian: Satu prosedur yang sistematik bagi mengukur perubahan tingkah laku. Tujuan
ialah menentukan pencapaian murid dalam sesuatu pembelajaran. Boleh dalam
bentuk pemerhatian, ujian lisan mahupun bertulis.
Pengukuran: Satu prosedur dalam menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan di
antara murid. Tujuan ialah membuat perbandingan pencapaian kedudukan di
antara murid dalam menguasai pembelajaran. Berbentuk ujian bertulis dengan
skor dan gred.
Penilaian: Satu proses membuat pertimbangan dalam menafsir hasil pengukuran. Bertujuan
memberikan maklumat tentang pencapaian murid, objektif pelajaran, kaedah
mengajar dan kurikulum.
Pentaksiran: Satu proses mendapatkan maklumat untuk membuat pertimbangan tentang
produk sesuatu proses pendidikan.
Skala nominal: Data yang bersifat kualitatif dan dikelaskan mengikut kategori. Contoh
jantina.
Skala ordinal: Data yang menunjukkan urutan atau pangkat. Tidak dapat menjelaskan
perbezaan secara mutlak. Contoh skala Likert.
Skala sela: Data mempunyai urutan atau pangkat serta anggapan bahawa perbezaan antara
sela wujud. Contoh ujian I.Q.
Skala nisbah: Mempunyai semua sifat skala sela dan mempunyai mutlak kosong. Contoh
seperti ukuran ketinggian, umur, jarak.

Tujuan penilaian:
i) mengumpul maklumat pencapaian murid selepas aktiviti pengajaran dan
pembelajaran.
ii) Menentukan kekuatan dan kelemahan murid dalam sesuatu pelajaran.
iii) Mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam sesuatu kemahiran
yang dipelajari.
iv) Mendapatkan maklumat keberkesanan pengajaran guru.
v) Merekod keputusan penilaian untuk tujuan rujukan.
vi) Menilai keberkesanan kurikulum.

RUJUKAN TAMBAHAN

Cronbach, L.J. (1970). Essential of psychological testing (3rd ed.) New York: Harper & Row.
Gay, L.R. (1985). Educational and evaluation and measurement. Competencies for analysis
and application. 2nd ed. Charles E. Merril.
Penilaian kendalian sekolah. (2002). Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian
Pendidikan Malaysia.
Popham, W.J. (1975). Educational evaluation. New Jersey: Printice-Hall Inc.
Popham, W.J. (2000). Testing : What every parent should know about school tests. London:
Allyn & Bacon.
Raminah Hj Sabran. (1991). Penilaian dan pengujian Bahasa Malaysia: Penerapannya pada
peringkat sekolah rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
 
Balik                                                                                                 Seterusnya
                                              
Hakcipta Mohd Isha Awang (UUM) dan Azizi Publicist 2005-2006
n

You might also like