You are on page 1of 16

BADAN BUKAN KERAJAAN

Pertubuhan bukan kerajaan (bahasa Inggeris: non-government organisation atau NGO)


merupakan pertubuhan yang ditubuhkan oleh pihak atau pertubuhan swasta yang tidak
mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana kerajaan. Ada NGO yang dibiaya oleh
kerajaan tertentu, namun keahlian pertubuhan sebegini tidak terbuka kepada mana-mana pihak
kerajaan.

Tidak seperti istilah Pertubuhan antara kerajaan, "pertubuhan bukan kerajaan" merupakan suatu
istilah bagi kegunaan umum tetapi ia bukan suatu definasi yang sah di sisi undang-undang. Di
dalam bidang kuasa mahkamah jenis-jenis pertubuhan ini adalah "pertubuhan masyarakat awam"
atau dirujukkan dengan nama-nama yang lain.

Sesetengah pihak menganggarkan jumlah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa sebanyak


40,000.[1] Bilangan pertubuhan tempatan adalah lebih tinggi lagi: Russia mempunyai 277,000
NGO.[2] India dianggarkan mempunyai di antara 1 juta dan 2 juta NGO.[

BADAN BUKAN KERAJAAN DALAM ISU PEMBANGUNAN

1.1 PENGENALAN

Salah satu kesan globalisasi ekonomi ialah kemunculan multinational corporation (MNCs)
yang secara perlahan-lahan mengambil peranan sebagai pembuat keputusan dan penentu
tahap pembangunan sesebuah negara daripada institusi politik iaitu kerajaan. Hal ini
berlaku atas desakan luar iaitu pengantarabangsaan ekonomi dan desakan dalaman iaitu
keperluan pembangunan ekonomi domestik. Kewujudan pelbagai MNCs yang bertapak di
dalam negara ini telah mengakibatkan kerajaan sebagai autoriti pusat telah terhakis
kuasanya. Pelaburan dan peluang pekerjaan yang disediakan oleh MNCs kepada rakyat di
sesebuah negara menyebabkan ia memiliki daya untuk mempengaruhi kerajaan dalam
membuat sebarang keputusan politik yang melibatkan soal ekonomi. Kerajaan boleh
dikatakan sebagai satu autoriti yang mengalami dilema apabila sebarang keputusan politik
terpaksa dibuat sama ada memberi lebih peluang kepada MNCs dari luar negara atau
peluang kepada peniaga, buruh, pengguna mahupun etnik majoriti. Peluang bagi MNCs
ialah memperluas pelaburan dan perniagaan mereka di negara ini manakala peluang di
peringkat peniaga, buruh, pengguna dan etnik majoriti ialah ruang untuk mereka
memperolehi keperluan asas dan kehendak diri dengan pemilikan ekonomi yang dimiliki. Isu
pembangunan timbul apabila MNCs dalam negara mengejar keuntungan semata-mata
tetapi mengambil buruh dari luar negara atau negara periferi, meningkatkan pengeluaran
tetapi mengabaikan aspek kualiti dan menjadi pesaing hebat bagi syarikat-syarikat anak
tempatan. Oleh itu, kerajaan tidak lagi boleh diharapkan sepenuhnya untuk membela nasib
golongan miskin, buruh dan pengguna di Malaysia kerana perkiraan politik kerajaan harus
juga mengambil kepentingan MNCs di Malaysia. Maka, wujud badan bukan kerajaan yang
dirujuk sebagai masyarakat sivil untuk memperjuangkan isu pembangunan dalam ruang
lingkup mereka. Badan-badan bukan kerajaan ini telah memainkan peranan penting dalam
isu-isu pembangunan. Esei ini akan membincangkan peranan badan bukan kerajaan.
Bahagian pertama akan menjelaskan takrif dan konsep badan bukan kerajaan. Bahagian
kedua akan menghuraikan faktor kewujudan badan bukan kerajaan dengan melihat
desakan luar dan desakan dalam negara. Bahagian ketiga, badan bukan kerajaan akan
dikelaskan ke dalam beberapa jenis dengan mencirikan ia kepada golongan yang diwakili
dan peranannya. Bahagian keempat pula akan mengandungi contoh-contoh badan bukan
kerajaan seperti Malaysian Trade Union Congress (MTUC), (FOMCA), Consumer Association
of Penang (CAP) dan Dewan Perniagaan Ekonomi Melayu. Bahagian kelima merupakan
rumusan seluruh bahagian seterusnya kesimpulan.
2.1 BADAN BUKAN KERAJAAN
2.2 Takrif dan Konsep
Badan bukan kerajaan dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai non-governmental
organization (NGO). Badan bukan kerajaan merupakan kumpulan yang dibentuk berasaskan
kepentingan umum ahli-ahlinya. Sifat-sifatnya ialah tidak mewakili kerajaan, tidak
menjalankan fungsi-fungsi kerajaan, tidak memperolehi autoriti langsung kerajaan dan
tidak membawa agenda kerajaan sebaliknya terbentuk atas dasar sukarela. Apa yang
penting bagi sesebuah badan bukan kerajaan adalah untuk mewakili kepentingan golongan-
golongan tertentu yang tidak memiliki perwakilan dalam pembentukan dasar-dasar kerajaan
dalam sistem politik negara. Tambahannya, kewujudan badan bukan kerajaan secara tidak
langsung meringankan bebanan kerajaan, menyediakan fungsi semak dan imbang serta
menyuburkan amalan demokrasi.
Badan bukan kerajaan dapat dihuraikan tujuannya berdasarkan teori pluralisme iaitu satu
keadaan yang mana terdapat pelbagai kumpulan berkepentingan dalam satu arena politik.
Seterusnya, kumpulan-kumpulan ini bersaing untuk mempromosikan kepentingan masing-
masing dan ia mempengaruhi pembentukan undang-undang dan dasar-dasar kerajaan.
Kenyataan ini secocok dengan pendapat Baradat (1979), bahawa proses pembuatan
keputusan merupakan satu keadaan persaingan yang mana terdapat pelbagai kumpulan
pendesak mewakili kepentingan masing-masing untuk menghasilkan dasar kerajaan yang
merupakan satu bentuk manifestasi dan kompromi terhadap tuntutan kumpulan-kumpulan
tersebut. Dalam hal ini, kerajaan mesti bersifat bebas agar dasar yang dibentuk tidak
bersifat bias.
Terdapat pelbagai penggunaan kaedah oleh badan bukan kerajaan untuk menarik perhatian
pembuat-pembuat dasar. Badan bukan kerajaan telah menggunakan teknik melobi,
demonstrasi dan menarik perhatian umum seperti pengedaran risalah, syarahan umum dan
promosi kepada orang awam. Maka, kaedah-kaedah ini akan dapat merealisasikan hasrat
badan bukan kerajaan untuk mencapai matlamat dan kepentingan masing-masing dalam
isu pembangunan.
2.2 Teori Pluralisme: Kewujudan Badan Bukan Kerajaan di Malaysia
Bahagian ini akan menjelaskan kewujudan pelbagai badan bukan kerajaan dalam teori
pluralisme yang
mengiktiraf kepelbagaian kumpulan-kumpulan berkepentingan dalam sistem politik.
Penghuraian ini penting kerana ia dapat membantu untuk memahami bagaimana badan
bukan kerajaan mendapat keabsahan, autoriti dan kesignifikanannya dalam mempengaruhi
isu pembangunan di Malaysia.
2.2.1 Keabsahan dan Autoriti
Badan-badan bukan kerajaan diabsahkan kewujudannya berdasarkan peruntukan dalam
Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 10. Kebebasan untuk bercakap, berhimpun dan
menubuh persatuan. Walaubagaimanapun, badan bukan kerajaan harus mendaftarkan
kumpulan melalui Jabatan Pendaftaran Persatuan Malaysia (JPPM) berdasarkan kehendak
Akta Persatuan 1966. Setelah itu, badan bukan kerajaan akan diiktiraf sebagai sebuah
badan yang berautoriti.
2.2.2 Ciri-ciri Pluralisme
Terdapat beberapa ciri dalam teori pluralisme. Pertama, tiada kumpulan mendominasi
kumpulan lain. Dalam hal ini kumpulan tersebut merujuk kepada badan bukan kerajaan.
Kedua, kerajaan bersifat bebas atau ‘neutral’. Ketiga, peranan negara adalah untuk
mengawal dan memantau konflik antara kumpulan bukan untuk mendominasi. Keempat,
negara akan membuat dasar-dasar hasil interaksi pelbagai kumpulan ini.
2.2.3 Kelebihan Pluralisme
Pluralisme juga memiliki kelebihan dan kelemahan tersendiri. Antara kelebiahannya ialah
setiap kumpulan berpeluang dan berkebolehan untuk mempengaruhi kerajaan dalam
pembuatan dasar. Hal ini mustahak kerana ia akan memberi peluang kepada semua
kumpulan untuk menyuarakan pandangan dalam isu pembangunan. Tambahannya,
kerajaan juga memberi perhatian kepada kumpulan-kumpulan terlibat. Perhatian sebegini
sangat penting untuk memastikan setiap isu berbangkit akan disertai tindakan oleh pihak
berwajib.

2.2.4 Kelemahan Pluralisme


Terdapat juga kelemahan-kelemahan dalam pluralisme ini. Pertama, peluang untuk
membentuk kumpulan mungkin akan terbatas jika terdapat masalah kekurangan sumber
kewangan dan kumpulan yang wujud tidak efisien. Buruh-buruh yang berpendapatan
rendah contohnya tidak dapat menubuhkan kesatuan sekerja yang efisien dalam
mempengaruhi kerajaan terhadap isu-isu mereka jika dibandingkan dengan kesatuan
sekerja yang mempunyai sumber kewangan dan tenaga yang lengkap seperti Kesatuan
Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Selain itu, kerajaan adakalanya bersifat
tidak ‘neutral’ kerana berpihak kepada badan bukan kerajaan tertentu. Hal ini akan
mengganggu prinsip dalam pluralisme itu sendiri iaitu kerajaan harus bersikap bebas.
Jadi, teori pluralisme ini harus difahami dengan memahami ciri-ciri, kelebihan dan
kekurangan kerana ia akan dapat membantu badan bukan kerajaan menjalankan
peranannya dengan cekap dan berkesan dalam memperjuangkan isu pembangunan di
Malaysia.
3.1 FAKTOR-FAKTOR KEWUJUDAN BADAN BUKAN KERAJAAN DALAM ISU PEMBANGUNAN
Pembangunan merupakan proses maka ia berterusan. Jika dilihat dalam konteks Malaysia,
pembangunan telah mula dijalankan sejak kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Ia telah diteruskan setelah kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia
pada 16 September 1963. Pembangunan secara holistik telah dijalankan dengan
berpandukan rangka rancangan lima tahun. Selain itu, terdapat juga dasar-dasar ekonomi
seperti Dasar Ekonomi Baru(DEB), Dasar Pembangunan Negara (DPN) dan yang terbaru
Model Baru Ekonomi (MBE). Kesemuanya merupakan dasar dan rancangan Malaysia ke arah
pembangunan negara.
Walaubagaimanapun, pembangunan yang harus merangkumi prinsip kesaksamaan,
kelestarian, produktiviti dan pemberdayaan masih lagi tidak dapat diselesaikan
berpandukan dasar-dasar ekonomi ini atau lebih tepat lagi. Peranan kerajaan masih tidak
dapat menangani isu-isu pembangunan yang timbul di pelbagai peringkat kumpulan
masyarakat. Oleh itu, wujud badan-badan bukan kerajaan sebagai entiti politik yang
berperanan dalam isu pembangunan. Kerajaan juga tidak harus dipersalahkan seratus-
peratus dalam isu pembangunan kerana ia juga berkaitan dengan faktor luaran iaitu
tuntutan pasaran global yang kian mendesak.
Antara isu pembangunan yang sering timbul dalam konteks Malaysia ialah hak dan
kebajikan pekerja atau buruh, isu pengguna dan isu taraf ekonomi Bumiputera. Isu-isu
seperti ini timbul akibat pembangunan yang tidak setara, ekonomi bercirikan kapitalisme
yang bermotifkan keuntungan semata-mata dan mengabaikan soal kebajikan pekerja serta
kepuasan pengguna. Maka, beberapa faktor akan dijelaskan merangkumi faktor luaran dan
faktor dalaman seterusnya membawa kepada kemunculan badan-badan bukan kerajaan.
3.2 Faktor Luaran: Pasaran Global dan Persaingan Multinational Corporation (MNCs)
Bahagian ini akan menjelaskan bagaimana tuntutan pasaran global dan persaingan antara
multinational corporations (MNCs) telah membawa kepada kemunculan badan bukan
kerajaan di Malaysia. Globalisasi yang merupakan proses pemampatan masa dan ruang
serta dibantu kemajuan teknologi mempunyai beberapa cabang. Salah satu daripada
cabang globalisasi ialah pengantarabangsaan ekonomi (internationalization of economy).
Menurut Petrella (1996), proses pengantarabangsaan ekonomi ialah satu himpunan aliran
pertukaran bahan mentah, barangan separuh siap dan barangan siap serta perkhidmatan.
Ia juga boleh meliputi kewangan dan buruh antara dua atau lebih negara. Pendefinisian
pengantarabangsaan ekonomi oleh Petrella ini secocok dengan Teori Sistem Dunia oleh
sarjana Immanuel Wallerstein yang melihat kesalingan hubungan pergantungan antara
negara pusat atau ‘core’ dengan negara ‘semi-periphery’ dan negara ‘periphery’.
3.2.1 Teori Sistem Dunia Wallerstein
Teori sistem dunia diperkenalkan oleh Immanuel Wallerstein. Ia merujuk kepada hubungan
antara pusat (core), separa pinggir (semi-periphery) dan pinggir (periphery). Ketiga-tiga
pembahagian ini didasarkan kepada fungsi ekonominya. Pertama, negara-negara pusat
berperanan sebagai pemilik utama modal dan melabur dalam ekonomi negara separa
pinggir. Kedua, negara separa pinggir pula menjalankan fungsi ekonomi sebagai pengeluar
produk separa siap dan siap. Ketiga, negara-negara pinggir berperanan sebagai pembekal
bahan mentah dan buruh yang murah untuk proses penghasilan produk. Ketiga-tiga
segmen dalam teori sistem dunia ini bergantungan antara satu sama lain. Teori ini akan
menerangkan bagaimana ekonomi sesebuah negara dibuka kepada pasaran luar seterusnya
didominasi oleh MNCs.
Dalam keadaan pergantungan antara satu sama lain, ekonomi sesebuah negara bukan lagi
bersifat tertutup bagi keperluan domestik sahaja sebagaimana negara Korea Utara yang
mengamalkan sistem ekonomi sosialisme dan fahaman politik komunisme berdasarkan
Juche Idea. Ekonomi sesebuah negara dalam konteks teori sistem dunia bersifat terbuka
untuk pasaran antarabangsa. Ia berjalan dalam sistem ekonomi bercirikan kapitalisme iaitu
bermotifkan keuntungan yang maksima. MNCs yang wujud perlu bersaing antara satu sama
lain dalam sebuah pasaran bebas (laissez-faire). Dalam hal ini, wujud kegiatan import dan
eksport antara MNCs dan negara. Di Malaysia, MNCs yang wujud adalah seperti produk
makanan iaitu McDonalds, Coca Cola dan Kentucky Fried Chicken. MNCs ini
mengembangkan pasaran untuk melipatgandakan keuntungan. Selain itu, wujud juga MNCs
dalam pengeluaran barangan elektronik seperti Sony, Panasonic dan Philips. MNCs yang
datang daripada negara-negara pusat seperti ini akan menyediakan peluang pekerjaan di
negara-negara ‘semi-periphery’ dalam bentuk pengeluaran barangan separuh siap dan siap.
Pekerja-pekerja pula didatangkan daripada negara-negara pinggir seperti Bangladesh,
Myanmar dan Nepal.
3.2.2 Teori Globalisasi
Teori globalisasi menerangkan satu bentuk pergantungan negara-negara pasca kolonial
seperti Malaysia. Pergantungan ini wujud hasil sistem ekonomi semasa penjajahan dahulu
seperti bekalan buruh, pemindahan teknologi dan pasaran untuk produk serta
perkhidmatan. Selain itu, ciri dalam teori globalisasi juga ialah kuasa modal asing atau
‘foreign direct investment’ (FDI). Malaysia sendiri telah meliberalisasikan ekonomi untuk
pelaburan luar. Tambahannya, kekuatan MNCs juga turut melebihi kuasa negara. Maka,
teori globalisasi ini akan dapat menjelaskan keadaan ekonomi di Malaysia sehingga ia telah
menghakis kuasa negara dan memulakan peranan badan bukan kerajaan dalam isu
pembangunan ekonomi.
Kewujudan pelbagai MNCs dalam ekonomi negara ini menyebabkan isu-isu pekerja menjadi
lebih kompleks seperti soal upah, masa kerja, perlindungan pekerja dan jaminan pekerjaan.
Isu buruh di negara ini juga bertambah rumit apabila ia melibatkan buruh-buruh asing. Isu
ekonomi bukan lagi eksklusif kepada konteksnya sahaja tetapi melibatkan hubungan dua
hala antara Malaysia dan negara-negara pembekal tenaga buruh seperti Indonesia. Isu
buruh luar ini melibatkan isu-isu seperti layanan berat sebelah, ketiadaan permit dan isu
jenayah oleh buruh yang bekerja di Malaysia. Jadi, kesan-kesan negatif terhadap proses
pembangunan ini membuktikan bahawa kewujudan MNCs telah menghakis kuasa dan
peranan negara dalam urusan pembangunan maka badan bukan kerajaan dalam bentuk
kesatuan sekerja, persatuan pengguna dan persatuan peniaga telah beransur-ansur
memainkan peranan untuk memperjuangkan isu-isu yang telah dinyatakan di atas.
Kenyataan ini secocok dengan pendapat Sity (2002), pemerintah tidak lagi dianggap
sebagai sumber kuasa yang unggul sebaliknya banyak lagi institusi sosial nasional dan
antarabangsa yang lain seperti persatuan peniaga, persatuan pengguna dan kesatuan
sekerja yang turut menentukan arah dan matlamat pembangunan sesebuah negara pada
hari ini.
Oleh itu, jelas bahawa faktor luaran yang dijelaskan dengan Teori Sistem Dunia Wallerstein
dan Teori Globalisasi telah meningkatkan kebergantungan ekonomi negara dan peranan
MNCs seterusnya mencambahkan pelbagai isu pembangunan. Isu-isu pembangunan ini pula
telah mendesak kepada kewujudan pelbagai badan bukan kerajaan yang bertindak sebagai
kumpulan yang mempengaruhi dasar-dasar dan menyediakan fungsi semak imbang.
3.3 Faktor Dalaman: Ciri-ciri ‘Liberalisation, Deregulation and Privatisation’ dalam Ekonomi
Malaysia
Pembangunan ekonomi di Malaysia melibatkan ciri-ciri ‘liberalisation, deregulation and
privatization’ hasil dasar-dasar yang diperkenalkan pihak kerajaan. Walaupun dasar-dasar
yang melibatkan ciri-ciri ini adalah untuk tujuan pembangunan ia hanya dilihat sebagai
berjaya menunjukkan kesan positif jika dinilai daripada segi makroekonomi. Namun, jika
dilihat daripada segi mikroekonomi, ia telah menimbulkan ketidakadilan. Hal ini dapat
diungkap dalam kata-kata seperti ‘free trade is not a fair trade’ dan ‘one man’s freedom,
another man’s infringement’.
3.3.1 Liberalisasi (Liberalisation)
Usaha liberalisasi ekonomi Malaysia telah dijalankan oleh Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul
Razak, Perdana Menteri Malaysia. Usaha liberalisasi ini telah diumumkan pada tahun 2009
sebagai salah satu cara untuk memperkenalkan Malaysia sebagai pusat kewangan
antarabangsa dan memanfaatkan aset atau lebihan dalam negara kepada pelaburan asing.
Walaubagaimanapun, usaha liberalisasi ekonomi ia dilihat sebagai penghakisan hak-hak
istimewa Bumiputera dalam pemilikan ekonomi dan anak tempatan lain. Mantan Perdana
Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir sendiri menyifatkan liberalisasi ekonomi sebagai
mengambil hak-hak Bumiputera. Dalam kaca mata politik dan ekonomi Malaysia, isu taraf
ekonomi Bumiputera sememangnya sesuatu yang dominan dan signifikan kerana ia
melibatkan soal perlembagaan iaitu Perkara 153. Perlembagaan Persekutuan dan sokongan
politik etnik majoriti di Malaysia. Tambahannya, syarikat-syarikat sedia ada perlu bersaing
dengan syarikat-syarikat luar. Oleh itu, isu pemilikan ekonomi Bumiputera ini telah
mewujudkan dan memperkukuhkan badan bukan kerajaan yang mewakili kepentingan
ekonomi Bumiputera dan peniaga-peniaga tempatan.
3.3.2 Peloggaran Undang-undang dan Peraturan (Deregulation)
Usaha ‘deregulation’ merupakan salah satu pakej yang harus ada dalam usaha liberalisasi
ekonomi. Pelonggaran undang-undang seperti pengurangan tarif dan bukan tarif,
penyediaan infrastruktur, penyediaan tapak perindustrian dan pengecualian cukai untuk
tempoh tertentu amat perlu untuk menarik pelabur-pelabur asing. Malaysia sendiri
contohnya telah melonggarkan peraturan dengan membenarkan pelabur dan syarikat asing
untuk melakukan pembelian sehingga 30 peratus nilai saham dan ekuiti dalam badan
korporat pada awal tahun 1990-an. Galakan kepada pelaburan asing ini telah menimbulkan
isu pemilikan ekonomi Bumiputera dalam sektor korporat. Kerisauan ini berpunca daripada
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bersifat pembela kepada Bumiputera tetapi dilihat tidak
efektif untuk menangani masalah tersebut. Keadaan sedia ada dikhuatiri akan bertambah
buruk hasil ciri ‘deregulation’ dalam ekonomi. Oleh itu, ia telah menggalakkan lagi
kewujudan badan bukan kerajaan yang bergerak atas kapasiti pembela ekonomi
Bumiputera.
3.3.3 Penswastaan (Privatisation)
Dasar ini bertentangan dengan konsep pemiliknegaraan yang memusatkan kuasa urusan
ekonomi kepada kerajaan. Tun Dr. Mahathir telah memperkenalkan penswastaan melalui
Dasar Persyarikatan yang memiliki ciri ‘privatisation’ pada tahun 1983. Penswastaan
bermotifkan kebaikan seperti kecekapan, kualiti barangan atau perkhidmatan dan
pengurangan beban kerajaan. Walaubagaimanapun, penswastaan di Malaysia tidak berjalan
dengan pengurusan yang baik sebagaimana di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Masih
lagi timbul soal produktiviti, kebajikan pekerja dan perkhidmatan yang melibatkan kos yang
amat tinggi seterusnya membebankan pelanggan. Secara tidak langsung, ia telah
memencarkan kuasa kerajaan kepada badan bukan kerajaan terutamanya dalam isu
kelemahan pelaksanaan dasar penswastaan di Malaysia seperti produktiviti dan kebajikan
pekerja.

4.1 JENIS-JENIS BADAN BUKAN KERAJAAN DALAM ISU PEMBANGUNAN


Terdapat beberapa jenis badan bukan kerajaan yang telah wujud hasil isu-isu dalam
pembangunan di Malaysia. Setiap badan bukan kerajaan mempunyai matlamat atau
kepentingan tersendiri sebagaimana yang telah diterangkan dalam teori pluralisme.
Pelbagai badan bukan kerajaan menggunakan kaedah-kaedah tertentu untuk
mempengaruhi kerajaan yang bersifat ‘neutral’ dalam membentuk sesuatu dasar.

4.1.1 Kesatuan Sekerja


Kesatuan sekerja memiliki fokus tersendiri dalam isu kebajikan pekerja, dasar-dasar yang
melindungi pekerja, isu upah, masa kerja, faedah saraan dan perlindungan di tempat kerja.
Badan bukan kerajaan seperti ini wujud hasil penindasan dan pengabaian terhadap isu dan
tuntutan para pekerja. Di Malaysia, terdapat dua contoh kesatuan sekerja yang
berpengaruh iaitu Malaysian Trade Union Congress (MTUC) dan Kesatuan Pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS). MTUC merupakan kesatuan sekerja yang melibatkan
keahlian yang lebih umum berbanding CUEPACS yang hanya mengkhususkan keahlian
kepada penjawat-penjawat awam.
4.1.2 Persatuan Pengguna
Isu-isu pengguna seperti kualiti produk, soal harga barangan, jaminan halal bagi muslim
dan soal kesedaran terhadap hak pengguna menjadi fokus kepada persatuan pengguna.
Usaha persatuan pengguna ini melibatkan kempen, pengedaran risalah dan penyebaran
maklumat melalui laman web. Setiap negeri di Malaysia mempunyai persatuan pengguna
tersendiri. Consumer Association of Penang (CAP) merupakan sebuah persatuan pengguna
paling aktif dan berpengaruh bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi telah menjadi contoh
kepada negeri-negeri lain. Selain itu, terdapat persatuan pengguna yang merupakan
himpunan semua persatuan pengguna di Malaysia iaitu Federation of Malaysian Consumers
Associations (FOMCA). Gabungan seperti ini akan memainkan peranan yang lebih berkesan
dalam memperjuangkan isu pembangunan.
4.1.3 Persatuan Peniaga Melayu atau Bumiputera
Sebagaimana yang telah dihuraikan dalam bahagian faktor kewujudan badan bukan
kerajaan iaitu isu pemilikan dan taraf ekonomi Bumiputera telah mewujudkan persatuan
peniaga yang mewakili kepentingan ekonomi Bumiputera. Kewujudan badan bukan kerajaan
seperti ini lahir bukan sahaja daripada kesedaran terhadap keadaan ekonomi mereka tetapi
juga adalah kerana tindak balas mereka terhadap jaminan keistimewaan Melayu dan
Bumiputera yang dilihat masih tidak efektif dalam membela taraf ekonomi mereka selain
kegagalan dasar kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang masih belum mampu
untuk membasmi kemiskinan dan kemelaratan hidup penduduk terutamanya di kawasan
luar bandar. Antara persatuan peniaga yang terdapat di Malaysia ialah Dewan Perniagaan
Melayu Malaysia (DPMM).
5.1 BADAN BUKAN KERAJAAN / NON-GOVERNMENTAL ORGANIZATION (NGO) DI MALAYSIA
DAN PERANANNYA DALAM ISU PEMBANGUNAN
5.1.1 Malaysian Trade Union Congress (Kesatuan Sekerja)
Malaysian Trade Union Congress (MTUC) atau Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia
merupakan gabungan kesatuan sekerja bagi pekerja-pekerja seluruh Malaysia dengan 500,
000 keahlian. Kesatuan sekerja ini telah didaftarkan di bawah Akta Persatuan 1966 yang
mana pada awal penubuhannya dikenali sebagai National Trade Union Organisation.
Kesatuan sekerja ini penting untuk menunjukkan kesatuan berdasarkan prinsipnya iaitu
‘Unity is Strength’. Antara pemimpin MTUC ialah P. Narayanan dan Zainal Rampak.
MTUC berperanan dalam banyak perkara yang melibatkan isu pembangunan dalam
kumpulan pekerja di Malaysia. Pertama, MTUC menuntut agar kadar upah minimum yang
setimpal ditetapkan oleh kerajaan dan dijadikan dasar ekonomi negara. Kedua, MTUC juga
berperanan dalam menyediakan pusat-pusat latihan untuk para pekerja sebagai nilai
tambah kepada kemahiran, menyediakan peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam
bidang akademik, teknikal dan professional. Ketiga, MTUC berperanan untuk menjaga
kebajikan para pekerja dengan melindungi pekerja daripada kehilangan pekerjaan, faedah
saran, kemalangan dan keselamatan sosial para pekerja. Contohnya, Pertubuhan
Keselamatan Sosial (PERKESO) ditubuhkan untuk menjalankan fungsi pengurusan kebajikan
para pekerja dan ahli keluarga pekerja. Keempat, MTUC juga menuntut agar waktu bekerja
dihadkan kepada lima hari kerana para pekerja perlu untuk diberi waktu bersama keluarga
dan urusan peribadi. Kelima, MTUC juga lantang mendesak agar pindaan dilakukan
terhadap beberapa akta yang dilihat tidak mesra pekerja iaitu Emplyment Act, Akta
Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
5.1.2 Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam/ CUEPACS (Kesatuan Sekerja)
Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam atau Congress of Unions of Employees in the
Public and Civil Services (CUEPACS) merupakan gabungan kesatuan-kesatuan sekerja
dalam sektor awam di seluruh Malaysia termasuk badan-badan berkanun dan kuasa-kuasa
tempatan. Kesatuan sekerja ini telah didaftarkan pada 23 Oktober 1957 di bawah Enakmen
Kesatuan Sekerja dan terus unggul sebagai kesatuan sekerja kepada sektor awam di
Malaysia. Sebagai sebuah kesatuan sekerja terulung di negara ini, CUEPACS mengekalkan
misinya sebagai organisasi yang mampu memperjuangkan kepentingan pekerja sektor
awam dan menjadi pusat rujukan utama berkaitan hal ehwal pekerja serta pemimpin
berlandaskan kepimpinan berpengalaman atau knowledge leadership (k-leadership).
Keahlian CUEPACS dibuka kepada semua kesatuan sekerja dalam perkhidmatan awam yang
berdaftar di bahagian Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
CUEPACS juga berperanan dalam menjaga kebajikan para pekerja tetapi terhad kepada
kepentingan dan kumpulan sasarannya iaitu pekerja-pekerja sektor awam di Malaysia. Ia
juga berperanan untuk membantu mana-mana kesatuan sekerja dan anggota-anggotanya
dalam bentuk kewangan. Seterusnya, CUEPACS bertanggungjawab dalam kebajikan
material, sosial dan pelajaran kesatuan-kesatuan sekerja yang bernaung di bawahnya
dengan apa sahaja kaedah yang sah dan berpatutan mengikut pendirian Konvensyen
Kongres atau Majlis Kongres. Sebagai sebuah gabungan kesatuan sekerja yang besar,
CUEPACS turut berperanan untuk menyelia dan memberi khidmat nasihat perundangan
kepada kesatuan-kesatuan sekerja yang bernaung di bawahnya berdasarkan perbekalan-
perbekalan dalam undang-undang kesatuan sekerja yang berkuatkuasa. Terakhir, CUEPACS
juga menjalankan fungsi untuk menubuhkan jentera yang dipersetujui majikan bagi
menjalankan peranan untuk merunding dan membincangkan segala perkara mengenai
kesatuan sekerja dan anggota-anggotanya.

5.1.3 Federation of Malaysian Consumers Associations (Persatuan Pengguna)


Federation of Malaysian Consumers Associations (FOMCA) merupakan sebuah persatuan
pengguna yang menggabungkan persatuan-persatuan pengguna lain di seluruh Malaysia.
Kumpulan sasaran dan kepentingan bagi persatuan ini ialah golongan pengguna. Hal ini
kerana terdapat pengguna yang dinafikan hak seperti tanda harga, barangan sudah
mencapai tarikh luput, barangan tidak berkualiti dan tidak mencapai piawaian. Ia telah
ditubuhkan secara sukarela, tidak bermotifkan keuntungan, bukan bersifat politik dan
merupakan sebuah pertubuhan sivik. Demi menjalankan peranannya, FOMCA telah
bekerjasama dengan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan di peringkat kebangsaan
dan antarabangsa untuk menyebarkan maklumat, memberi pendidikan dan melindungi
pengguna. Misi FOMCA bukan hanya terhad untuk nilai kewangan pengguna tetapi untuk
nilai kemanusiaan seperti soal keselamatan dan kesihatan.
FOMCA berperanan untuk menambah kuasa beli pengguna dan memastikan pembangunan
berasaskan keperluan demi menjamin keadilan sosioekonomi dan alam sekitar. Hal ini
adalah untuk menjamin kualiti hidup yang lebih baik untuk semua rakyat. Sebagai sebuah
persatuan pengguna, FOMCA berperanan terhadap beberapa aspek kebajikan terhadap
pengguna-pengguna di Malaysia. Pertama, FOMCA bertindak memberi dan menyebarkan
maklumat mengenai hak-hak pengguna, senarai harga barang kawalan dan kualiti produk
melalui laman web, risalah dan kempen. Kedua, FOMCA berperanan untuk memberi
pendidikan secara percuma kepada semua pengguna. Penumpuan sering diberikan kepada
ahli komuniti masyarakat dan pelajar-pelajar sekolah. Ketiga, ia merupakan badan
bertindak yang memberi perlindungan kepada pengguna. Kelima, FOMCA bertanggungjawab
dalam menyiasat, membuat kajian dan ujian untuk memperoleh maklumat yang benar
sebelum disampaikan kepada para pengguna.
5.1.4 Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (NGO Melayu dan Bumiputera)
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) merupakan sebuah persatuan peniaga dan
badan bukan kerajaan yang mewakili kepentingan ekonomi Melayu dan Bumiputera. Isu
pembangunan di Malaysia seperti yang telah dinyatakan mempunyai kaitan rapat dengan
isu pembangunan kaum Melayu dan Bumiputera kerana terdapatnya dasar-dasar yang
mencakupi kepentingan mereka iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sebagai sebuah badan
bukan kerajaan yang mewakili Bumiputera, DPMM bermatlamatkan suatu masyarakat
perdagangan dan perindustrian Bumiputera yang bernilai, mantap, berjaya menguasai
ekonomi dan kejayaan setiap negeri-negeri di Malaysia. DPMM beribu pejabat di Kuala
Lumpur dan memiliki 14 cawangan lain di setiap negeri seluruh Semenanjung Malaysia,
Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kecuali negeri Sarawak. Umumnya, DPMM
berperanan untuk memastikan kelangsungan ekonomi Bumiputera di Malaysia melalui
aktiviti perniagaan.
Dalam isu pembangunan, DPMM berperanan dalam beberapa hal yang melibatkan
kepentingan ekonomi Melayu dan Bumiputera. Pertama, DPMM berperanan untuk
mewujudkan sebuah pertubuhan perniagaan Melayu di peringkat kebangsaan dan di setiap
negeri untuk kepentingan dan faedah kaum Melayu dalam lapangan perniagaan dan
ikhtisas. Kedua, DPMM berperanan dalam usaha untuk menyatukan seluruh peniaga Melayu
demi keperntingan dan faedah bersama dalam perniagaan. Ketiga, dengan adanya
pertubuhan ini diharapkan agar ia dapat mempengaruhi pembentukan dasar-dasar kerajaan
yang berkaitan dengan perniagaan agar ia tidak mengabaikan kepentingan ekonomi Melayu
dan Bumiputera. Keempat, DPMM berperanan juga dalam kegiatan penyelidikan masalah-
masalah perniagaan agar ia dapat dijadikan panduan dalam memajukan dan menyediakan
arah terhadap kaedah-kaedah tindakan. Hal ini adalah untuk mengukuhkan strategi dan
pemilikan sedia ada dalam lapangan ekonomi. Kelima, DPMM turut memelihara kebajikan
para ahli dewan perniagaan dengan menubuhkan yayasan untuk kebajikan, pelajaran,
latihan, pengurusan dan kemahiran dalam bidang ekonomi dan perniagaan.
5.2 Perbandingan Peranan Badan Bukan Kerajaan di Malaysia dan Negara Maju dalam Isu
Pembangunan
Umumnya terdapat banyak persamaan peranan dan tanggungjawab badan bukan kerajaan
di Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan di negara-negara maju seperti Amerika
Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Korea Selatan. Walaubagaimanapun, terdapat juga
perbezaan antara badan bukan kerajaan di Malaysia dan di negara-negara maju. Perbezaan
ini terletak pada isu atau tuntutan yang diperjuangkan oleh golongan pekerja. Tujuan
bahagian ini adalah untuk membandingkan Malaysia yang diklasifikasikan sebagai negara
membangun dan negara-negara yang telah mencapai status maju.
Terdapat beberapa persamaan antara badan bukan kerajaan di Malaysia dan negara-negara
maju. Antaranya ialah menyediakan fungsi semak dan imbang (check and balance) dalam
sesebuah sistem politik terutamanya dalam hal-hal berkaitan pembentukan dasar dan
matlamat ekonomi sesebuah kerajaan. Badan bukan kerajaan juga berperanan untuk
menyedarkan masyarakat tentang adanya hak semulajadi dan hak sivil. Peranan ini
selalunya dimainkan oleh persatuan pengguna. Tambahannya, persatuan pengguna
berperanan untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang bersifat mesra pengguna.
Akhir sekali, badan bukan kerajaan tidak kira di Malaysia atau di negara-negara maju
memainkan peranan dalam jaminan sosial terhadap para pekerja, pengguna dan kumpulan
sasaran tertentu.
Perbezaan isu pembangunan antara Malaysia dan negara-negara maju ialah isu gaji
minimum dan isu gaji maksimum. Isu gaji minimum diperjuangkan di Malaysia oleh
kesatuan sekerja seperti MTUC manakala negara-negara maju memperjuangkan isu gaji
maksimum. Dalam konteks Malaysia, isu gaji minimum adalah untuk menetapkan gaji
paling rendah boleh dibayar kepada para pekerja. Tujuannya untuk membela nasib pekerja
dan membasmi kemiskinan melalui kuatkuasa undang-undang. Isu gaji maksimum pula
diperjuangkan kerana ia diyakini dapat mengelakkan akumulasi wang ringgit dalam
segelintir pemilik. Akumulasi wang ringgit ini tidak sihat untuk ekonomi kerana wang harus
sentiasa dijual beli dan mengalir dalam pasaran.
6.1 RUMUSAN
Esei ini telah menjelaskan peranan badan bukan kerajaan dalam isu pembangunan. Dalam
bahagian pengenalan, inti pati kepada keseluruhan esei telah diberikan untuk menerangkan
objektif utama isi esei ini dan bahagian-bahagian lain secara umum. Dalam bahagian takrif
dan konsep badan bukan kerajaan, pengertian kepada badan bukan kerajaan telah
dijelaskan dengan menerangkan ciri-ciri badan bukan kerajaan, kaedah-kaedah yang
digunakan badan bukan kerajaan dan pendapat sarjana iaitu Baradat mengenai pluralisme
agar ia dapat memberi kefahaman mengenai apa yang dimaksudkan sebagai badan bukan
kerajaan. Dalam bahagian seterusnya, penerangan ditumpukan kepada teori pluralisme,
ciri-ciri pluralisme, kelebihan pluralisme dan kelemahan pluralisme supaya ia dapat
menunjukkan kesignifikanan badan bukan kerajaan dalam menanggapi isu-isu
pembangunan di Malaysia. Selain itu, perhatian juga turut diberikan terhadap keabsahan
dan autoriti badan bukan kerajaan melalui Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan dan
pendaftaran dalam Jabatan Pendaftaran Persatuan Malaysia. Ia bertujuan untuk
memperlihatkan pengiktirafan terhadap kewujudan badan bukan kerajaan sebagai salah
satu entiti politik. Bahagian faktor-faktor kewujudan badan bukan kerajaan dalam isu
pembangunan pula telah merangkumi penjelasan dan penghuraian terhadap punca
kemunculan badan-badan bukan kerajaan mengikut kepentingan tersendiri. Faktor-faktor
ini telah dibahagikan kepada dua iaitu faktor luaran dan faktor dalaman. Faktor luaran telah
menjelaskan bagaimana pasaran global dan persaingan MNCs menyebabkan isu-isu
pembangunan di Malaysia menjadi bertambah kompleks selain percambahan masalah-
masalah baharu. Untuk menjelaskan lagi kefahaman dan mengukuhkan hujah, Teori Sistem
Dunia Wallerstein dan Teori Globalisasi telah digunakan untuk menerangkan perkaitannya
dengan pengantarabngsaan ekonomi dan penghakisan kuasa negara akibat kemunculan
MNCs dalam ekonomi sesebuah negara. Faktor-faktor dalaman pula telah diterangkan
dengan memperlihatkan ciri-ciri dasar ‘liberalisation, deregulation and privatization’dalam
memberi kesan terhadap golongan pekerja, pengguna dan etnik Melayu Bumiputera.
Ketiga-tiga faktor dalaman ini merupakan hasil peranan kerajaan maka ia telah
mewujudkan pertentangan dengan badan bukan kerajaan sebagai alat semak dan imbang
terhadap kerajaan. Dalam bahagian seterusnya, jenis-jenis badan bukan kerajaan telah
dikemukakan hasil daripada faktor luaran dan faktor dalaman. Antara jenis badan bukan
kerajaan ialah kesatuan sekerja, persatuan pengguna dan persatuan peniaga Melayu
Bumiputera. Kesatuan sekerja mewakili kepentingan golongan pekerja iaitu Malaysian Trade
Union Congress (MTUC) dan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Persatuan pengguna pula ditubuhkan untuk mewakili kepentingan para pengguna seperti
Federation of Malaysian Consumers Associations (FOMCA) dan Consumers Association of
Penang (CAP). Persatuan peniaga Melayu dan Bumiputera pula mewakili kepentingan
ekonomi etnik Melayu dan Bumiputera seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Bahagian badan bukan kerajaan dan peranannya dalam isu pembangunan menerangkan
secara ringkas sejarah, organisasi dan maklumat berkaitan beberapa badan bukan kerajaan
iaitu MTUC, CUEPACS, FOMCA dan DPMM. Setiap badan bukan kerajaan ini telah dihuraikan
peranannya dalam isu-isu pembangunan di Malaysia. Bahagian terakhir ialah perbandingan
peranan badan bukan kerajaan di Malaysia dan negara maju dalam isu pembangunan.
Perbandingan ini adalah untuk menjelaskan persamaan dan perbezaan antara Malaysia iaitu
negara membangun dan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat. Oleh itu, jelas
bahawa badan bukan kerajaan sememangnya berperanan besar dalam isu pembangunan
kerana ia mewakili kelompok masyarakat yang nyata terpinggir atau terlepas pandang
dalam arus ekonomi yang kian dipengaruhi pasaran global dan kewujudan MNCs.
Kesimpulannya, badan bukan kerajaan harus menjalankan peranan sebagai wakil kumpulan
pekerja, pengguna dan etnik Melayu Bumiputera dengan lebih berkesan agar ia dapat
memberi impak yang berterusan dalam pembangunan di Malaysia yang dihimpit proses
pengantarabangsaan ekonomi.

CONTOH NGO

1) ABIM

Sejarah

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 di Fakulti Pengajian
Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hasil beberapa pertemuan generasi pengasas
ketika itu. Pengerusi penaja rasmi ketika itu ialah (almarhum) Ustaz Abdul Wahab Abdullah dan
sdr Fauzi Abd. Rahman (sekarang Dato’) sebagai Setiausaha Agung. ABIM merupakan sebuah
(badan bukan kerajaan) NGO Islam yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan pada 17 Ogos
1972 di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Muktamar ABIM yang pertama telah diadakan pada tahun 1972 di mana Ustaz Razali Nawawi
(sekarang Profesor Dr) telah dipilih sebagai Presiden ABIM yang pertama manakala sdr Anwar
Ibrahim (sekarang Dato’ Seri) dipilih sebagai Setiausaha Agung. Pada tahun 1974 sdr Anwar
Ibrahim telah dilantik sebagai Presiden ABIM yang kedua. Ustaz Siddiq Fadzil (sekarang Dato’
Dr) pula telah dilantik untuk memangku dan seterusnya menjadi Presiden ABIM selepas
penyertaan sdr Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982.
Ustaz Muhammad Nur Manuty (sekarang Dr) telah dilantik sebagai Presiden pada tahun 1991.
Pada September 1997, sdr Ahmad Azam Abdul Rahman telah dipilih sebagai Presiden ABIM
yang kelima di Muktamar Sanawi ABIM ke-26 di Alor Setar, Kedah. Dalam era 1970-an,
semasa ABIM berada di bawah kepimpinan Ustaz Razali Nawawi dan sdr Anwar Ibrahim,
ABIM mengambil pendekatan confrontationaldan dengan demikian, ABIM menjadi vocal
terhadap beberapa dasar dan pendirian pihak pemerintah. Pendekatan ini dirasakan sesuai dengan
tuntutan dan keperluan era itu.

Pada dekad kedua, di tahun-tahun 1980-an, ketika kepimpinan Ustaz Siddiq Fadzil, pendekatan
ABIM ditandai oleh perubahan orientasi ke arah pendekatan menangani dan menyelesaikan
masalah (problem-solving). Pendekatan ini melahirkan banyak institusi dan agensi ABIM seperti
Islamic Outreach-ABIM dan seumpamanya. Ketika dekad ketiga 1990-an pula, ABIM yang
berada di bawah kepimpinan Ustaz Muhammad Nur Manuty berperanan lebih proaktif sebagai
rakan dalam pembinaan negara (partner in nation-building).

Di alaf baru, sdr Ahmad Azam Abdul Rahman membawa tema pemugaran semula idealisme
untuk menggilap semula dinamika perjuangan serta agenda pemersatu ummah, bertepatan
dengan tuntutan semasa yang begitu mendesak. ABIM terus menjadi jurubicara umat dalam
pelbagai dimensi agar umat seluruhnya terpelihara iman, nyawa, harta, maruah, kebebasan, hak
dan keselamatan mereka.

 Aktiviti Nasional & Antarabangsa

ABIM mempunyai wawasan untuk melihat kemunculan Malaysia sebagai sebuah negara maju
yang bermaruah yang mampu mendepani cabaran zaman. Untuk ini ABIM amat prihatin
terhadap pelbagai isu sosial, ekonomi dan politik negara. ABIM sedia mendokong dan
memperjuangkan usaha-usaha

(a) mewujudkan perpaduan ummah,

(b) memperkukuhkan hubungan pelbagai kaum dalam rangka membina integrasi nasional,

(c) membina rupa budaya bangsa yang sihat,

(d) meningkatkan kualiti alam sekitar,

(e) memperjuangkan keadilan,

(f) membanteraskan kemiskinan, dan

(g) membudayakan amalan politik yang bersih.


Perpaduan Ummah

ABIM sentiasa konsisten dalam usahanya membina kesatuan ummah. Usaha ABIM
mempertemukan dua pemimpin parti terbesar negara telah terakam dalam sejarah melalui
Syarahan Perdana Palestin anjuran bersama ABIM dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) pada 8
Mei 2002. Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Dr. Seri Mahathir Mohamad yang juga
merupakan Presiden UMNO telah dipertemukan dengan almarhum Dato’ Fadzil Nor (Presiden
PAS merangkap Ketua Pembangkang Parlimen ketika itu) di Balai Tun Syed Nasir, DBP. Majlis
yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Abdullah Ahmad
Badawi dan Timbalan Presiden PAS ketika itu, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ini disaksikan di
secara langsung di seluruh negara.

Rakan Dalam Pembangunan Belia

ABIM juga telah diberikan kepercayaan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk
menjadi rakan pembangunan belia. Dengan mandat ini, ABIM bertanggungjawab memberi
pengkhususan kepada program pembinaan insan melalui penganjuran aktiviti keagamaan dan
kerohanian di seluruh negara. Bengkel Penghayatan Ramadhan merupakan salah satu produk
dakwah yang dirangka oleh ABIM untuk memenuhi matlamat tersebut. Sebanyak 555 buah
masjid, 111 buah daerah seluruh negara terlibat serta seramai 25,000 orang remaja dan belia
seluruh negara telah mendapat manfaat dari pengisian bengkel tersebut yang berupa pendedahan
teori dan praktikal amalan murni di bulan Ramadhan, pengendalian aktiviti keagamaan dan
kemasyarakatan di masjid dan kawasan setempat.
Pembangunan Komuniti

Hari Bersama Komuniti yang dianjurkan di peringkat daerah dan mukim merupakan aktiviti
lapangan ABIM yang menawarkan peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan pelbagai
manfaat melalui penglibatan agensi kerajaan, penguasa tempatan, sektor swasta, dan pertubuhan
bukan kerajaan. Pelbagai pertandingan menarik untuk kanak-kanak, para ibu, remaja, belia, dan
keluarga seperti sukaneka, pertandingan melukis, mewarna dan gubahan kraftangan, pameran
dan khidmat nasihat oleh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), badan swasta, aneka
jualan gerai amal, pemeriksaan dan ceramah kesihatan secara percuma, kaunter menderma darah
serta persembahan hiburan dan kesenian Islam.

Jaringan Dakwah Antarabangsa

ABIM adalah sebuah organisasi belia berorientasi dakwah yang aktif dalam pelbagai gabungan
induk badan Islam sedunia seperti World Assembly of Muslim Youth (WAMY), Regional
Islamic Southeast Asia and the Pacific (RISEAP), dan World Council of Muslim Inter-Faith
Relations (WCMIR). Di samping itu, ABIM juga menjalin hubungan yang akrab dengan badan
belia lain di peringkat serantau dan antarabangsa. Antaranya ialah Asean Youth Council (AYC),
Council of ASEAN Youth Coordination (CAYC), ASEAN Muslim Secretariat (AMSEC),
Dewan Dakwah Islamiah, Muhammadiyah, Nahdatul Ulama (Indonesia), Young Muslim
Association of Thailand (YMAT), Darul Arqam Singapura, Rabitah Islami (Arab Saudi),
International Institute of Islamic Thought (IIIT), Jamaat-e Islami (Pakistan), Islami Chhatra
Shibir (Bangladesh), Australian Federation of Islamic Council (AFIC), dan The Islamic
Foundation (England).

Bantuan Kemanusiaan

Projek kemanusiaan ABIM adalah bersifat jangka masa


panjang melibatkan mangsa-mangsa peperangan seperti
membekalkan makanan dan ubat-ubatan, bekalan air bersih,
pembangunan prasana dan kemudahan pendidikan serta
kesihatan. ABIM memimpin gabungan 76 badan bukan
kerajaan (NGO) di bawah Misi Keamanan Sejagat (Global
Peace Mission) dan penaja kepada Malaysian Relief Agency – Sarajevo (MRA), Malaysian
Relief International (MRI) selain aktif sebagai badan gabungan dalam Perikatan Keamanan
Rakyat Malaysia (AMAN).

Kerjasama dan persefahaman erat dengan badan kemanusiaan


antarabangsa seperti Islamic Relief Agency (ISRA), Hashimite Charity (Jordan) dan United
Nations on Human Committee Relief (UNHCR) telah membolehkan ABIM melaksanakan
projek bantuan kemanusiaan dan menjalin kerjasama dengan agensi bantuan tempatan di
pelbagai pelusuk dunia. ABIM terlibat secara langsung dalam misi kemanusiaan di peringkat
antarabangsa seperti di Bosnia, Kosovo, Uzbekistan, Peshawar (sempadan Pakistan-
Afghanistan), Kabul (Afghanistan), Kashmir (sempadan India-Pakistan), Qasr-e-Shirin
(sempadan Iran-Iraq), Baghdad dan Najaf di Iraq serta Amman di Jordan.

2) MERCY

Sejarah

Perang Kosovo pada 1999 yang melibatkan pembersihan etnik oleh puak Serb terhadap
penduduk Kosovo telah memberi ilham kepada Datuk Dr Jemilah Mahmood , seorang doktor
obstektik- genekologi untuk memberi perkhidmatan kesihatan percuma kepada mereka.
Malangnya sangat sukar untuk mendapatkan bantuan perubatan , kewangan , pengangkutan dan
tenaga kerja dari pertubuhan sukarela antarabangsa sedia ada. Lantaran itu, beliau dan beberapa
rakan sejiwa dengannya telah menubuhkan Persatuan Perubatan Malaysia pada Jun 1999.

Misi pertama mereka ialah ke Kosovo diketuai oleh Dr Jemilah Mahmood dan 4 sukarelawan
yang lain.

[sunting] Organisasi
 Penaung : Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Perak.
 Presiden:Datuk Dr. Jemilah Mahmood.

 Timbalan Presiden I (Perubatan) : Prof. Dr Mohamed Ikram Mohamed Salleh

 Timbalan Presiden II(Bukan Perubatan) :Mohamad Azman Sulaiman

 Setiausaha Agung: Raja Riza Shazmin Bt Raja Badrul Shah

 Penolong Setiausaha : Prof. Dr P Shanmuhasuntharam


 Bendahari :Pubalan Ramachandaran & Kannan Manickam

Ahli jawatan kuasa :Dr. Heng Aik Cheng , Dr Ahmad Faizal Perdaus ,Encik Azman Zainon
Abidin

[sunting] Tatacara bantuan

Bagi menyelaras bantuan perubatan dan kemanusiaan Mercy telah menggunapakai beberapa
kaedah seperti Sphere Standard .Sphere Standard merupakan penentu keperluan minimum
mangsa bencana. Ini termasuklah penilaian tahap kesihatan, nutrisi, air, kebersihan serta tempat
tinggal. 60 agensi kemanusiaan telah menggunakan pelbagai piawai sejak 10 tahun yang lalu.
Piawai penilaian juga dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Persatuan Palang Merah
dan Bulan Sabit Merah serta badan-badan bukan kerajaan. [1]

[sunting] Misi di Aceh

Apabila bencana tsunami 2004 berlaku di Aceh, Mercy merupakan pasukan pertama tiba di sana.
Mercy berjaya menyiapkan 16 projek pembangunan bernilai RM18.5 juta.

 Bangunan Program Akademi Jururawat, Fakulti Kedoktoran Universiti Syiah Kuala (Unisyiah)
yang ditaja sepenuhnya oleh Petroliam Nasional Bhd. (Petronas). Bangunan ini dinamakan
Gedung Petronas.
 Rumah anak yatim Kayee Kunyit di Aceh Besar yang ditaja oleh Yayasan Shamsuddin Abdul Kadir
di bawah Kumpulan Sapura.

 Pembinaan semula kem pemindahan dalaman (IDP) Desa Weu raya; rumah penempatan semula
Desa Seubun Ayun dan rumah utama Desa Weu Raya.

 Menyiapkan Pusat Anak Yatim Daruzzahidin di Kuta Baro, rumah anak yatim Babun Najah di
Ulee Kareng, dan Pusat Anak Yatim Sukamakmur di Sibreh.

 Pembinaan Sekolah Menengah Umum Lhoknga, Akademi Perawat Jabatan Kesihatan, Akademi
Farmasi Dinas Kesihatan, Pusat Kesihatan Masyarakat Meuraxa dan Pusat Kesihatan Masyarakat
Panga, Aceh Jaya.

Mercy mendapat kerjasama daripada Badan Pemulihan dan Pembinaan Semula (BRR) Indonesia
dan penduduk tempatan. Majlis penyerahan Gedung Petronas turut disertai Pengarah Urusan
Khazanah Nasional Bhd., Datuk Azman Mohktar; Yang Dipertua Petronita, Datin Sri Noraini
Mohd. Yusoff ; Pengerusi dan Pengasas Kumpulan Sapura, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir
dan Rektor Unisyiah, Dr. Darni M. Daud.

Seramai 500 jururawat dan 211 pelajar Unisyiah terkorban pada 26 Disember 2004 akibat
tsunami.
[sunting] Banjir di Johor

Mercy turut memberi bantuan ketika banjir melanda Johor, Pahang, Melaka pada 19 Disember
2006 - Januari 2007. Sukarelawan lain yang turut membantu ialah Yayasan Salam, Kelab Lion
Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy
Malaysia), Medic Asia, Persekutuan Pengakap Malaysia, Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia
dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

[sunting] Misi di Bam,Iran

Gempa bumi di Bam, provinsi Kerman , Iran pada 26 Disember 2003 memusnahkan bandar
purba tanah liat berusia 2500 tahun.

Mercy Malaysia telah bertugas di hospital medan bersama pasukan Itali di Baravat, 13 km dari
bandar Bam . Mercy beroperasi di sana hingga April 2004 , merawat 175 pesakit setiap hari dan
membantu 18,000 mangsa. Seramai 9 misi Mercy telah dihantar ke sana.[2]

[sunting] Gaza, Palestin

Israel melancarkan perang terhadap Hamas di Gaza , Palestin sejak 27 Disember 2008 hingga 20
Januari 2009. Serangan hanya dihentikan apabila Presiden Amerika Syarikat yang baru, Barack
Husssein Obama mengangkat sumpah pada 20 Januari 2009. Pelbagai kemusnahan akibat bom
digugurkan termasuk sekolah dan penempatan milik PBB.

Pada 25 Januari 2009, Mercy Malaysia menghantar pasukan pakar perubatan ke-7 ke
Semenanjung Gaza .Pemangku Presiden Mercy Malaysia Dr Ahmad Faizal Perdaus menyatakan
infrastruktur dan kemudahan kesihatan di Gaza mengalami kerosakan teruk. Bekalan perubatan
dan ubat-ubatan bernilai USD400,000 (USD1 = RM3.62) telah dihantar. Orang ramai boleh
menderma melalui Tabung Bantuan Palestin melalui Mercy Malaysia melalui akaun Maybank
5621-7950-4126 atau melayari web www.mercy.org.my .[3]

[sunting] Rujukan
1. ↑ http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?
y=2007&dt=0117&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_06.htm&arc=hive
2. ↑ http://www.mercy.org.my/country.php

3. ↑ Mercy Hantar Pasukan Ketujuh Ke Gaza

3)

You might also like