You are on page 1of 1

Apa itu Integriti

Apa itu integriti? Di mana-mana sahaja sering dibualkan tentang kurangnya integriti di
kalangan orang ramai, pekerja di sektor awam dan swasta, organisasi hatta mereka di
kampung juga tidak terkecuali. Masing-masing sibuk bercakap tentang integriti. Jadi apakah
maksud sebenar integriti ini?

Secara ringkasnya, integriti boleh dibincangkan kepada dua bahagian iaitu, pertama bersabit
dengan individu; kedua integriti di peringkat organisasi. Namun begitu, pada umumnya
integriti merujuk kepada himpunan kualiti unggul yang wujud di kalangan individu dan
kualiti ini berteraskan kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral
tinggi.

Di peringkat individu, integriti ialah keselarasan di antara tindakan dengan prinsip moral,
etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan
umum. Sementara itu di peringkat organisasi tercermin dalam perumusan dan perlaksanaan
kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan
terbaik. Kod etika berkenaan ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi
berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi (corporate
culture).

Secara idealnya integriti sama ada di peringkat individu ataupun organisasi bermaksud 'code
of behavior'. Jika semua orang melaksanakan kod ini dengan baik mengikut lunas-lunas yang
ditetapkan oleh agama dan masyarakat bertamadun, nescaya sebuah masyarakat atau negara
itu akan maju dan bertamadun. Soalnya, mengapa integriti ini sukar dicapai?

Terdapat banyak kes yang menjadi bukti mengapa integriti sukar dicapai malah masalah tiada
integriti masih menjadi masalah utama kepada negara. Kita sering mendengar bagaimana
seorang penjawat awam mahupun swasta menerima rasuah untuk memudahkan sesuatu proses
yang melibatkan kepentingan umum. Rasuah untuk mendapatkan tender, rasuah untuk
memotong barisan, rasuah untuk mengelak dari dikenakan hukuman dan macam-macam lagi.
Pada satu tahap amalan tidak berintegriti seperti memberi dan menerima rasuah ini, seakan-
akan sudah menjadi sebahagian dari budaya yang diamalkan oleh sebilangan ahli masyarakat.

Sebenarnya, kita tidak perlu melihat terlalu jauh atau besar tentang masalah tiadanya integriti.
Tidak perlu sangat untuk kita bincang bagaimana rasuah telah menjadi barah kepada si polan
itu atau si polan ini. Sebelum kita membincangkan tentang masalah integriti di kalangan
orang lain, elok kita halusi diri kita sendiri. Dalam masa 24 jam, berapa kali kita mandi sehari,
berapa kali kita memberus gigi, membersihkan bilik tidur, melakukan ibadat, membaca buku,
menyiapkan tugasan, bertanya khabar ibu bapa, sahabat, rakan, dan macam-macam perkara
lain yang kita anggap remeh. Anda tahu jawapannya.

Secara ringkasnya, integriti ini merujuk kepada cara kita bertingkah laku. Apakah tujuan kita
melakukan itu dan ini? Bagaimana dengan niatnya? dan lebih penting ialah cara atau kaedah
untuk mencapai tujuan dan niat itu mestilah dilakukan dengan betul. Maksud betul ialah
mengikut ajaran agama dan mematuhi undang-undang.

You might also like