You are on page 1of 11

Karangan Contoh SPM - Rumah Terbuka

Rumah Terbuka Rakyat Malaysia (Buku Teks Tingkatan 5 m/s 1)

Soalan Contoh

Sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, anda telah mengunjungi rumah terbuka yang
dianjurkan oleh kerajaan Malaysia.
Huraikan kebaikan dan keburukan rumah terbuka itu.

Pendahuluan
- Jelaskan konsep rumah terbuka secara umum.

Isi-isi Penting
i. mengeratkan perpaduan kaum
ii. memahami budaya kaum lain
iii. masalah kebersihan
iv. ada yang mementingkan diri

Penutup
- konsep rumah terbuka perlu dihayati.

Karangan Contoh

Kebelakangan ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam kalangan
rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep rumah terbuka ini memang perlu
diteruskan dan dijadikan amalan kerana banyak kebaikannya. Dengan adanya rumah terbuka,
mudahlah seseorang itu untuk mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan
kerana tarikh dan masanya sudah ditetapkan. Seterusnya amalan ini sudah tentu akan
mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama anggota masyarakat. Hal ini pasti akan
mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni seperti kata pepatah,
"Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".

Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara
kita. Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra
dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra
dan saling memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara tidak
langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar
belakang ini akan dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu, iaitu "Tak
kenal maka tak cinta".

Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum akan
memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-
sama, walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan agama. Sebagai contohnya, orang-
orang Cina, India, Iban, Kadazan akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama
dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Jadi, mereka akan dapat mempelajari budaya
dan adat resam kaum lain dan berusaha untuk memahaminya. Perkara ini sudah tentu akan
mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita.

Selain kebaikan, terdapat juga keburukannya kerana rumah terbuka akan menimbulkan masalah
untuk menjaga kebersihan di tempat rumah terbuka itu diadakan. Hal ini disebabkan oleh sikap
tetamu yang hadir, iaitu tidak mementingkan aspek kebersihan. Mereka tidak menghiraukan
aspek kebersihan dan membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di merata-rata tempat.
Perkara ini akan menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir dan menyusahkan
pihak penganjur untuk membersihkannya. Oleh itu, perkara ini perlulah diberikan perhatian agar
tetamu yang hadir akan menjaga aspek kebersihan dan tidak mengotorkan tempat itu.

Keburukan lain akibat penganjuran rumah terbuka adalah terdapat pihak yang mementingkan diri
dan tidak menghiraukan orang lain. Perkara ini akan menimbulkan masalah dan kesulitan kepada
orang lain yang turut hadir dalam majlis itu. Ada tetamu yang berebut-rebut semasa mengambil
makanan atau bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak.
Sekiranya mereka menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak menimbulkan masalah,
tetapi perkara yang berlaku ialah mereka tidak menghabiskan makanan tersebut. Hal ini sudah
tentu menyebabkan pembaziran berlaku, sedangkan ada orang lain yang mungkin tidak mendapat
makanan langsung.

Oleh hal yang demikian, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua
pihak. Konsep rumah terbuka sudah tentu banyak mendatangkan kebaikan jika difahami dan
dihayati oleh anggota masyarakat. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti
amalan rumah terbuka akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk
menganjurkannya. Kita tidak mahu seperti kata pepatah, "Rumah siap pahat berbunyi" apabila
menganjurkan rumah terbuka. Jadi, semua anggota masyarakat haruslah memahami dan
menghayati konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar hasrat yang dicita-citakan akan dapat
dicapai.

Unit 2. Pendidikan Alaf Ini (Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 5, m.s. 23)

Soalan Contoh
Dalam era globalisasi ini, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang akan menentukan kejayaan
seseorang itu.
Huraikan kepentingan penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang pada masa ini.

Rangka Karangan

Pendahuluan
- penguasaan ilmu penting – tuntutan zaman – banyak manfaat

Isi-Isi Penting
i. mencipta inovasi - kemudahan manusia
ii. menguasai bidang perniagaan – k-ekonomi
iii. memajukan negara – pemimpin berilmu
iv. melahirkan masyarakat yang proaktif

Penutup
- orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia

Karangan Contoh

Dalam era globalisasi ini, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang memang penting dan perlu diberikan
perhatian utama. Hal ini demikian kerana, tuntutan zaman telah membuktikan ilmu atau pengetahuan
akan menjamin kejayaan seseorang itu jika digunakan dengan bijaksana. Oleh itu, semua orang
hendaklah berusaha untuk mencari seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk kesejahteraan hidup
seperti kata-kata hikmat, “Ilmu pelita hidup”. Jadi, semua orang khususnya para remaja hendaklah
menggunakan masa ketika muda ini untuk mencari ilmu sebanyak mana yang mungkin. Dengan adanya
ilmu, sudah tentu seseorang itu akan mendapat manfaat yang banyak terutamanya dalam era globalisasi
ini.

Dengan adanya ilmu, seseorang itu boleh mencipta inovasi baru dalam pelbagai bidang kehidupan
manusia hari ini. Ciptaan baharu yang berupa inovasi itu akan memberikan kemudahan kepada
kehidupan seharian manusia. Sebagai buktinya, banyak inovasi baharu yang dicipta pada masa ini,
contohnya telefon bimbit, komputer riba dan pelbagai alat canggih yang lain. Hal ini sudah tentu
memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam teknologi. Jadi, pada masa akan datang sudah pasti
budaya yang mementingkan ilmu dalam pelbagai bidang akan menguasai budaya masyarakat.

Ilmu yang dimiliki juga membolehkan kita menguasai bidang perniagaan yang semakin kompleks dan
bercorak global. Perkara ini demikian kerana, dalam era globallisasi, k-ekonomi merupakan trend baru
dalam perniagaan. Jadi, ekonomi yang berasaskan pengetahuan sudah menguasai dunia perniagaan
pada masa ini. Oleh itu, jika seseorang tidak dapat mengikut arus k-ekonomi ini, sudah pasti orang itu
akan ketinggalan zaman iaitu, seperti katak di bawah tempurung dan pastinya akan gagal untuk
memajukan diri dalam bidang perniagaan pada masa ini.

Jika seseorang itu menguasai ilmu sudah pastilah dia akan dapat memajukan diri dan negaranya sendiri.
Hal ini demikian kerana, negara kita memerlukan pemimpin yang berilmu pengetahuan tinggi selaras
dengan era globalisasi pada masa ini. Seseorang pemimpin yang berilmu akan membawa perubahan
yang positif untuk kemajuan rakyat dan negara. Jika pemimpin tidak dapat menguasai ilmu, sudah
pastilah negara kita akan tertinggal di belakang negara-negara maju yang lain. Jadi, seperti kata pepatah,
“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, para pemimpin juga perlu menguasai pelbagai ilmu
terutamanya ilmu teknologi maklumat dan komunikasi.

Sekiranya rakyat negara ini dapat menguasai ilmu, sudah pasti hal ini akan melahirkan masyarakat yang
proaktif. Perkara ini demikian kerana, masyarakat yang berilmu sentiasa berfikir secara positif atau
optimis tentang sesuatu masalah dan tidak berfikir secara pesimis dan mudah pula berputus asa.
Sebagai contohnya, seseorang yang berfikir secara positif sudah tentu akan menjadikan masalah itu
sebagai cabaran dan bukannya halangan untuk mencapai objekifnya. Oleh itu, kita hendaklah
mengamalkan budaya yang sentiasa dahaga akan ilmu dan menjadikan budaya pembelajaran sepanjang
hayat atau “life long learning” sebagai amalan dalam kehidupan.

Oleh hal yang demikian, ungkapan orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia perlulah diberikan
perhatian oleh semua orang. Dengan berdasarkan ungkapan itu, janganlah kita suka membuang masa
kerana masa itu emas dan masa tidak akan menunggu kita. Sekiranya kita lalai dan tidak menggunakan
masa dengan bijaksana, sudah tentu kita akan termasuk dalam golongan yang berada dalam kerugian.
Jadi, gunakanlah masa yang ada untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang, terutamanya bidang
teknologi maklumat yang sentiasa berubah hampir setiap hari.

Adat Perkahwinan Melayu – Bersanding

BERSANDING

Sebelum majlis persandingan dijalankan, pelamin akan disiapkan terlebih dahulu. Pelamin
adalah berbentuk seperti suatu singgahsana yang dilengkapi dengan bangku atau kaus atau dua
buah kerusi yang dipanggil peterakna sebagai tempat duduk kedua-dua pengantin tersebut
semasa bersanding. Pelamin diperbuat daripada kayu dan kertas tebal yang dibalut dan dihiasi
dengan kertas-kertas bunga dan kain-kain sutera yang berwarna-warni. Biasanya bagi masa
dahulu, terdapat pelbagai pelita kecil yang bermacam warna diletakkan di sekeliling bagi
menambah keindahannya. Besar atau kecil, mahal atau murah, dan elok atau buruknya pelamin
itu adalah bergantung kepada kemampuan tuan rumah dan kepandaian tukang pelamin tersebut.
Ketinggian pelamin biasanya adalah dua atau tiga tingkat, dan setiap satu tingkat hanyalah lebih
kurang satu kaki sahaja tingginya. Peterakna atau kaus tempat duduk pengantin semasa
bersanding akan dibalut dengan kain sutera atau baldu berwarna-warni dan bertekat sulam yang
indah. Peterakna itu diletakkan di tingkat yang atas sekali dan di hadapannya diletakkan satu
pahar yang dipanggil oleh orang Melayu dengan nama astakona. Ia berisi nasi kunyit yang
dihiasi dengan bunga-bunga telur bercelup merah dan di kemuncak gubahan nasi kunyit itu
dicacakkan sejambak karangan bunga yang diperbuat daripada kertas perada dan manik jemeki
yang berwarna-warni dan berkilauan.

Apabila sampai masa untuk kedua-dua pengantin itu disandingkan, maka perkara yang mula-
mula sekali dilakukan ialah memakaikan pengantin perempuan, dan apabila pemakaian
pengantin perempuan dimulakan, pihak mempelai akan diberi khabaran awal bagi memudahkan
mereka bersiap untuk berangkat datang. Apabila pengantin perempuan sudah hampir siap atau
sudah siap berpakaian, khabaran akhir akan dihantar kepada pihak mempelai dengan tujuan
supaya mempelai itu boleh berangkat datang tepat pada masanya.

Setelah lengkap pengantin perempuan itu dipakaikan dengan pakaian Melayu asli yang serba
indah, maka beliau pun dipimpin oleh emak pengantin bersama-sama dengan seorang budak
perempuan sebagai pengapit yang turut dihias indah berjalan perlahan-lahan naik ke pelamin dan
didudukkan di atas peterakna pelamin di sebelah kiri. Pengapit akan berdiri di kiri pengantin
dengan satu kipas bertekat di tangannya dan berperanan mengipas pengantin itu secara periahan-
lahan. Jika mengikut adat, pengantin perempuan itu hendaklah sentiasa duduk sepanjang berada
di atas pelamin dengan kedua-dua matanya memandang ke bawah dan menundukkan kepala
sedikit sebagai tanda malu dan sopan yang memang sinonim dengan wanita Melayu. Biasanya,
rombongan mempelai akan mula berarak keluar dari rumah menuju ke rumah pengantin
perempuan betul-betul selepas pengantin perempuan dibawa duduk di atas pelamin. Namun
begitu, sekiranya rumah mempelai terletak agak jauh maka mempelai itu akan dibawa keluar
berarak sebelum pengantin perempuan itu diletakkan di atas pelamin supaya tidak menyakiti
pengantin perempuan itu kerana terlalu lama duduk menunggu. Perkataan menyakiti dalam
konteks ayat ini bermaksud pengantin perempuan akan berasa kurang selesa sepanjang
persandingannya kerana pakaian yang dipakaikan kepadanya adalah pakaian khas pengantin
yang terlalu sarat dengan perhiasan yang berat-berat dan kainnya diperbuat daripada jenis yang
tebal, terutamanya perhiasan di kepala.

Pengantin lelaki yang juga sudah siap berpakaian selengkap pakaian cara Melayu asli iaitu
bertengkolok, berbengkong dan berkeris, akan mula dibawa berarak dengan berjalan kaki. Pada
zaman dahulu, di kampung-kampung terutamanya, bagi pengantin lelaki dari keluarga yang
berpangkat atau yang berkemampuan, beliau akan diarak dengan didudukkan di atas usungan
yang dipanggil tandu. Di antara adat dalam mengarak pengantin adalah seperti berikut:

Di hadapan sekali yang mengetuai rombongan tersebut adalah pasukan berebana, berkompang
atau bermarhaban. Di belakang pasukan ini adalah orang yang membawa tepak sirih atau puan
yang lengkap dengan isinya dan siap bertudungkan penudung yang diperbuat daripada perak atau
tembaga putih berbentuk seperti kepala merak jantan. Pembawa tepak sirih itu akan diapit oleh
dua orang yang membawa kaki dian yang sudah sedia terpasang dan di belakang ketiga-tiga
pembawa hantaran itu adalah mempelai bersama pengapitnya. Sama seperti pengantin
perempuan, pengapitnya akan turut disiapkan dalam pakaian yang indah dan biasanya terdiri dari
kalangan pemuda yang belum berkahwin. Turut ada bersama ialah seorang lelaki yang
berpangkat tua dalam keluarga di sisi mempelai. Di belakang pengantin mempelai adalah
rombongan ahli keluarga dan sahabat handai bagi mewakili pihak lelaki. Pada masa dahulu,
rombongan itu biasanya akan turut membawa beberapa batang penyuluh api minyak tanah atau
andang, sambil mereka beramai-ramai berzikir dan bermarhaban berselang-seli dengan paluan
kompang serta pukulan rebana. Biasanya, sekumpulan wakil kaum perempuan dari pihak
mempelai akan tiba terlebih dahulu dari rombongan pengantin. Mereka akan disambut dengan
taburan beras kunyit dan akan duduk menunggu di hadapan pelamin yang biasanya dibina di
ruang tamu rumah.

Di hadapan halaman rumah pengantin pula adalah tempat untuk orang-orang lelaki berhimpun
untuk menyambut ketibaan mempelai. Mereka turut bersedia dengan paluan kompang dan
rebana, seorang pembawa tepak sirih yang tudungnya berbentuk seperti kepala merak betina, dan
diikuti dengan dua orang pembawa dian. Marhaban dan zikir turut dialunkan bagi memeriahkan
suasana. Apabila rombongan mempelai telah tiba, mereka akan berhenti pada jarak lebih kurang
sepuluh ela dari rumah pengantin. Si pembawa tepak sirih mempelai akan membuka silat
mencabar pembawa tepak sirih pengantin perempuan. Kedua-duanya akan mempersembahkan
silat pengantin yang gayanya seperti merak mengigal. Oleh yang demikian, biasanya pembawa
tepak sirih akan dipilih dari kalangan lelaki yang mahir dalam silat Melayu dan pertunjukan ini
biasanya sangat dinantikan oleh semua yang hadir.

Pertunjukan silat akan dijalankan dalam masa beberapa minit. Sebagai penutup, mereka akan
menemukan kedua-dua muncung merak yang menjadi tudung kepada kedua-dua tepak sirih itu
dan akan disambut dengan sorak-sorai yang gemuruh daripada tetamu yang hadir. Mempelai
kemudiannya akan dipimpin ke pintu rumah dan sebelum masuk, salah seorang wakilnya akan
membacakan selawat sebanyak tiga kali dengan alunan yang sedap dan kuat sebagai tanda
memberi selamat kepada mempelai sebelum masuk ke rumah. Pada tangga terbawah sekali di
luar pintu masuk rumah akan dihamparkan dengan permaidani yang panjang sehingga ke tapak
tingkat pelamin sebagai alas untuk mempelai berjalan.

Biasanya pada zaman dahulu, sebelum mempelai dibawa masuk melalui pintu hadapan, beliau
akan disekat oleh sekumpulan pemuda yang ditugaskan untuk mengutip bayaran tebus pintu
mengikut seperti yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Jika terdapat dua pintu
untuk dilalui, maka mempelai dimestikan membayar dua kali sebelum dibenarkan masuk. Lain
pula cerita di pelamin. Sekumpulan pemudi akan bersedia di pelamin, menyekat mempelai untuk
duduk bersanding di sisi pengantin perempuan selagi mereka belum menerima bayaran harga
tebus pelamin.

Setelah bayaran tebus diselesaikan maka mempelai akan dibawa naik sehingga ke hadapan
peterakna untuk disandingkan di sebelah kanan pengantin perempuan. Akan tetapi sebelum itu,
beliau sekali lagi terpaksa membayar bayaran tebus yang akhir, iaitu bayaran tebus kipas, yang
pada masa itu sedang dipegang oleh emak pengantin bagi mendinding muka pengantin
perempuan itu. Bayaran tebusan ini pun mesti disempurnakan, dan di antara ketiga-tiga bayaran
tebus itu bayaran tebus kipas inilah yang termahal sekali. Setelah bayaran disempurnakan maka
barulah emak pengantin membuka muka pengantin perempuan itu dan menyambut mempelai
untuk didudukkan di sebelah kanan pengantin perempuan dan pengapit mempelai itu berdiri di
sebelah kanan mempelai itu.

Kedua-dua pengantin akan duduk bersanding di hadapan kesemua tetamu dan keadaan inilah
yang disinonimkan dengan istilah raja sehari. Hal ini kerana keadaan pengantin itu duduk di atas
pelamin di hadapan kesemua tetamu adalah sama seperti situasi rakyat jelata yang sedang
mengadap raja dan permaisurinya. Apa yang berbeza hanyalah mereka tidak dijunjung duli dan
hanya menjadi tontonan.

Semasa bersanding, emak pengantin akan menjalankan adat bersuap-suapan di antara kedua-dua
pengantin. Emak pengantin akan menjemput sedikit nasi kunyit daripada pahar astakona dan
diletakkannya ke tangan pengantin perempuan. Dengan memegang nasi itu menggunakan dua
jari, tangan pengantin perempuan akan diangkat oleh emak pengantin lalu disuapkan ke mulut
mempelai itu. Setelah itu, giliran pengantin lelaki pula.

Setelah selesai adat bersuap-suapan, emak pengantin pun turun daripada pelamin dan sekelian
sanak saudara dan sahabat handai pengantin lelaki yang belum naik melihat persandingan itu
dijemput naik. Ini kerana adat persandingan adalah upacara terbesar dan paling disukai oleh
masyarakat Melayu. Bunga telur yang dicucuk pada nasi kunyit di astakona tersebut akan dicabut
dan dibahagikan kepada tetamu perempuan yang hadir dalam majlis itu seorang sebiji atau
sekadar yang mencukupi.

Setelah itu, kedua-dua pengantin dibawa oleh emak pengantin turun daripada pelamin berjalan
perlahan-lahan dengan keadaan kedua-duanya berpimpin tangan dan jari kelengkeng mereka
dikaitkan satu sama lain. Mereka dibawa terus masuk ke dalam bilik peraduan pengantin, yang
sudah sedia disiapkan dan dihiasi dengan perhiasan yang cantik dan indah.

Di dalam bilik, kedua-dua pengantin akan duduk bersanding di atas tikar sila, yang bertekat dan
bersulam dengan benang emas terletak di hadapan katil. Setelah kedua-duanya duduk, emak
pengantin akan mengambil kedua belah tangan pengantin perempuan lalu dipersalamkannya
dengan tangan mempelai itu sebagai tanda mula berkenalan di alam suami isteri. Inilah yang
dikatakan orang Melayu zaman dahulu, adat berkahwin dahulu kemudian berkasih.

Emak pengantin akan keluar dari bilik serta menutup pintunya dan meninggalkan kedua-dua
pengantin suami isteri itu bersendirian kira-kira sejam dua bagi memberi peluang kepada mereka
untuk berkenalan. Selepas sejam, emak pengantin itu akan masuk semula dan membawa
pengantin perempuan keluar dari bilik, manakala mempelai itu akan ditinggalkan bersendirian.

Pengantin perempuan itu tidak akan dibawa masuk semula ke dalam biliknya, melainkan jika
persandingan itu selesai selepas maghrib. Pengantin perempuan hanya akan dibawa masuk ke
bilik semula pada waktu makan malam untuk melayani suaminya makan atau makan bersama-
samanya, dan selepas makan malam pengantin perempuan itu mengikut adat, masih tidak lagi
dibenarkan duduk berdua dengan suaminya. Adat ini akan berlangsung selama dua hari dua
malam selepas pengantin perempuan itu menjalani upacara bersanding di mana beliau akan
disalinkan dengan pakaian yang indah-indah empat kali sehari iaitu pada makan pagi (futur),
makan tengah hari, minum teh petang dan makan malam. Pada waktu melayan makan suaminya,
pengantin perempuan digalakkan duduk lebih lama di dalam bilik bersama suaminya bagi
memberikan mereka peluang bergurau senda dan bermesra.

Pada hari yang ketiga, atau ada juga pada hari yang keempat, tibalah masanya untuk pengantin
suami isteri itu tidur bersama di waktu malam. Mengikut adat, selepas selesai makan malam
bersama suaminya dan sebelum masuk tidur, pengantin perempuan akan dibawa keluar dari bilik
pengantin oleh emak pengantin dan disalinkan dengan pakaian serba putih sama seperti cadar di
katil pengantin yang sudah siap ditukar. Pada malam itu juga, akan diadakan persembahan
bunyi-bunyian dan tarian seperti zapin atau yang seumpamanya, bagi meraikan malam persatuan
hayat kedua-dua pengantin suami isteri itu.

Pada esok paginya, sebelum adat mandi-mandian atau berlimau dijalankan, emak pengantin akan
bertemu dengan pengantin lelaki untuk memeriksa daripadanya tanda yang membuktikan
isterinya itu masih lagi anak dara dan biasanya, suami atau mempelai itu akan menyerahkan
sehelai sapu tangan putih yang mengandungi tanda yang dikehendaki itu kepada emak pengantin
dan sapu tangan tersebut akan dibawa oleh emak pengantin lalu ditunjukkan kepada ibu bapa
pengantin lelaki. Setelah selesai semuanya adat mandi-mandian atau berlimau akan diadakan.

CABARAN GLOBALISASI: KESANNYA


KEPADA REMAJA
 

DUNIA kini semakin rumit dan berserabut. Jika ada dua perkataan yang dapat
menggambarkan situasi yang kini sedang berkembang dalam dunia dewasa ini adalah
"kekeliruann dan "kepalsuan".
Apakah yang lebih mengelirukan bagi generasi pewaris jika mereka dalam suatu
keadaan sedang menyaksikan kehidupan manusia yang berada di dalam kekaburan
dan kesamaran untuk menentukan destinasi hidup yang sebenar? Di suatu waktu
golongan muda kita diperdengarkan mengenai slogan keadilan dan kebenaran tetapi di
waktu yang lain mereka menyaksikan perbuatan yang zalim dan pemalsuan di atas
nama keadilan dan kebenaran itu sendiri.

Sesungguhnya kekeliruan dalam pemikiran dan tanggapan terhadap erti kesejahteraan


dan kemakmuran hidup telah membawa kepada krisis yang semakin kusut dan tragedi
yang amat besar kepada kemanusiaan di waktu ini. Komplot dikelirukan di atas nama
kebersamaan, monopoli kekayaan di atas nama pertumbuhan ekonomi, dominasi
budaya di atas nama liberalisasi, penindasan golongan lemah di atas nama demokrasi,
hedonisme di atas nama kebebasan individu peminggiran di atas nama urbanisasi dan
penjajahan di atas nama pasaran bebas.

Semua ini sedang dihidangkan kepada generasi pewaris. Dalam jangka masa panjang
yang palsu jika diulangi dan diperkukuhkan dengan kenyataan yang tidak disanggah,
akhirnya akan menjadi persepsi yang dianggap benar dan terus dilanjutkan serta
kadangkala dipertahankan tanpa soal.

Kita kerap memperkatakan sesuatu yang sering tidak kita fahami tetapi akibat dari
sogokan yang bertubi-tubi melalui pelbagai media ia sudahnya diterima. Di zaman ini
tidak ada ungkapan dan laungan yang paling tertonjol dan didengari dan dianggap
sebagai benar oleh hampir semua pemegang kuasa dan khalayak awam melainkan
Globalisasi.

Ramai yang sudah hampir yakin dengan penuh taqlid bahawa fenomena globalisasi
adalah suatu realiti yang perlu diakui. Sejauh mana dan ke mana arah sebenarnya
globalisasi akan membawa kita hampir tidak dapat diteliti dengan waras dan saksama
oleh pelbagai pemikir dan perancang.

Kita sekarang sebenarnya sedang berada di suatu zaman di mana proses


penyeragaman yang amat ketara sedang berlangsung. Akibat dari apa yang dikatakan
globalisasi, kita sudah hampir pasti mengatakan kepelbagaian adalah satu
ketidaksempurnaan. Oleh yang demikian kita semakin akur mengatakan bahawa
globalisasi adalah suatu konsep yang benar dan tepat walaupun natijahnya jelas
membawa banyak kesan negatif daripada positif. Kita akan perhatikan bahawa hampir
semua aspek kehidupan kita sedang menjalani proses globalisasi yang sebenarnya
adalah untuk mengheret kita ke dalam suatu sistem hidup yang diseragamkan di
seluruh dunia.

Tidak ada aspek kehidupan yang tidak disentuh oleh proses globalisasi. Tidak ada
sektor pembangunan dan kemajuan sesebuah negara yang sepi dari sentuhan
glabalisasi. Namun begitu kita tidak pula nampaknya mengambil sikap yang kritikal
terhadap proses ini.

Dalam keghairahan untuk diglobalkan, kita semakin terputus dari budaya dan akar
sejarah kita sendiri. Suatu tanggapan yang tidak disedari sedang menjadi asas
pemikiran kita masa kini ialah semua sejarah bangsa mahupun negara tidak lagi
bermakna melainkan proses globalisasi adalah satu-satunya fenomena yang harus
membentuk seluruh tamadun hidup semasa.

Murni

Itulah hakikat globalisasi sebenarnya di mana ia adalah suatu proses penyeragaman


dan penyamarataan "semua untuk satu dan satu untuk semua". Globalisasi dilihat
sebagai suatu faham bahawa di dalam kehidupan ini tidak wajar lagi diiktiraf tanggapan
nilai murni dan mulia secara objektif. Akibat dari "nilai-nilai global" yang dibentuk serta
didalangi dan didukungi oleh faham dan pandangan hidup barat, maka kehidupan yang
dilandaskan oleh nilai-nilai mutlak berdasarkan pegangan agama tidak lagi dapat
diterima.

Apa yang disogokkan melalui globalisasi ialah segalagalanya perlu disamaratakan.


Dengan lain perkataan ia bermakna seluruh pandangan hidup dan nilai hidup
hendaklah diseragamkan tidak kira dari mana asas nilainya yang dibentuk. Ini
diterjemahkan dalam pelbagai dimensi hidup dari sekecil-kecil perilaku seperti
berpakaian sehinggalah ke sebesar-besar agenda di peringkat perhubungan
antarabangsa.

Lantaran globalisasi mempunyai Jentera penjananya sendiri iaitu badan-badan


konglomerat dunia yang sekali lagi berpaksi dan berpusat di barat maka kepentingan
globalisasi pada hakikatnya tidak lain daripada kepentingan barat jua. Globalisasi pada
hakikatnya tidak lebih daripada maksud dominasi. Laungan keadilan dan kesaksamaan
universal yang cuba dikaitkan dengan proses globalisasi hanya merupakan suatu
pemalsuan dan penyembunyian hakikat sebenar.

Kita sering tenggelam dan lemas dalam kejahilan yang amat ketara. Hampir jelas
globalisasi sebagai suatu istilah baru kepada gerakan yang lama tidak lagi dapat
difahami apatah lagi dianalisa dengan kritikal.

Semakin ramai penganalisis dunia kini telah memperakui globalisasi sebagai satu
kenyataan yang diterima dan perlu dijadikan premis yang benar dan tidak boleh
dipersoalkan lagi. Keghairahan pemikir-pemikir dan ahli-ahli akademik untuk menerima
globalisasi kini diperkukuhkan oleh badan-badan antarabangsa di atas pelbagai nama
yang amat mengkagumkan. Tanpa segan silu lagi mereka mengatakan bahawa
fenomena wujudnya "rakyat global" adalah suatu bentuk idealisme yang perlu diterima
oleh semua negara.

Demikianlah mendalamnya pemikiran globalisasi yang dijiwai oleh perancang-


perancang pembangunan di seluruh dunia sehingga tidak wujud lagi rasa curiga
terhadap kesan prosesnya yang dijana dan dicanangkan oleh kuasa-kuasa barat.

Tidaklah menghairankan kalau penganut-penganut globalisme ini akhirnya akan


mengatakan, kedaulatan sesebuah negara bangsa tidak perlu diwujudkan lagi kerana
mereka terus beranggapan bahawa apa yang dipanggil "dunia tanpa sempadan" adalah
kemuncak kemajuan. Dengan demikian mereka berasa puas untuk menjadi alat dan
hamba kepada pelbagai institusi global yang mengeksploitasi seluruh kepakaran dan
keahlian mereka bagi membuka dan merungkai segala halangan yang menyebabkan
sesebuah negara tidak memperakui globalisasi sebagai satu kemestian.
Kita menjadi semakin terhimpit apabila negara dankebanyakan pemimpin sudah
membuat komitmen untuk menyertai proses globalisasi ini. Apakah makna, ke arah
manakah tujuan dan apakah implikasinya, tidak menjadi persoalan penting. Apa yang
diutamakan adalah semua pihak perlu menyertai dan menyesuaikan diri untuk menjadi
lebih global.

Jika benarlah global itu bermakna lebih menyeluruh dan mengambilkira semua aspek
dan kepentingan setiap warga dunia, kenapakah realiti globalisasi yang sedang berjalan
kini tidak menunjukkan tanda tersebut melainkan semakin ketara fenomena dunia yang
bersifat unipolar sedang dikuasai oleh hanya satu blok kuasa iaitu blok barat sahaja.
Yang semakin jelas ialah bukan konsep menyeluruh itu yang sebenarnya ditekankan
tetapi sebaliknya konsep "semua untuk satu" jualah yang kini menjadi agenda barat.

Apabila kita ingin menyinggung persoalan cabaran dan kesan globalisasi ke atas
golongan remaja, sebenarnya kita sudah agak lewat untuk membuat suatu penilaian
kritikal bagi mempersiapkan golongan tersebut menghadapi fenomena ini. Malah kesan
globalisasi sudah terlalu awal lagi berada dalam kawalan kuasa besar dalam pelbagai
bentuk seperti badan ekonomi, badan korporat dan konglomerat teknologi.

Cabaran

Satu-satunya cabaran globalisasi yang perlu diperbahaskan di agenda paling atas


adalah cabaran ke atas aspek sosial budaya. Cabaran ini adalah suatu persoalan yang
sangat kritikal kerana sesudah terlerainya benteng sosio budaya sesuatu kelompok
masyarakat belia dapat disempurnakan maka segala usaha untuk menerobos bidang —
bidang yang lain akan menjadi lebih mudah.

Golongan muda sebahagian besarnya sudah terheret di dalam proses globalisasi sosio
budaya. Melalui pelbagai saluran, golongan belia akan menjadi dan terus menjadi
sasaran utama globalisasi yang didalangi oleh syarikat-syarikat multinasional dan
transnasional. Sesungguhnya tidaklah mengejutkan apabila sistem sosio budaya
masyarakat muda kini sudah dirungkai sehingga segala nilai tradisi kita kini sedang
melalui proses penghakisan yang amat ketara.

Adalah terlalu ketara untuk menafikan mengenai wujudnya keadaan di mana anak-anak
muda semakin menunjukkan tanda tercabut dari akar budaya, bangsa dan agamanya
sendiri. Dalam keghairahan untuk mengejari gaya hidup global yang ditandai oleh
pelbagai ciri kehidupan barat, anak-anak muda kita secara umumnya kini sudah tidak
merasa bersalah untuk meniru secara bulat budaya hidup barat. Kita dapat saksikan
globalisasi budaya ini dalam pelbagai bentuk kehidupan golongan belia.

Pengamatan yang jelas dapat membuktikan fenomena di atas boleh disaksikan dengan
insiden-insiden dan trend berikut:

 Pakaian jenama barat.


 Makanan segera keluaran barat.
 Minuman global yang ditaja oleh barat.
 Hiburan yang menonjolkan budaya barat.
 Media barat yang semakin membanjiri masyarakat muda.
 Rekreasi yang meniru ala barat.
 Dunia lakonan dan pembikinan filem cara barat
 Majlis-majlis sosial yang menonjolkan acara-acara ala barat.
 Produk rokok yang menajakan budaya hidup barat.

Demikianlah antara fenomena globalisasi yang kini sedang mencabar seluruh jati diri
golongan muda. Dari globalisasi kepada dominasi, golongan muda semakin terdedah
kepada kehidupan dan nilai keperibadian yang terputus dan terpisah jauh dari budaya
hidup timur.

Kita tidak mempunyai pilihan melainkan untuk meneliti secara kritikal dari implikasi
globalisasi yang semakin rancak dan tidak terkawal. Golongan muda seharusnya berani
untuk menyanggah arus globalisasi bagi memastikan jati diri kita yang sebenar tidak
akan digadai. Hanya golongan muda yang mempunyai keberanian dan keyakinan diri
bahawa sementara kita ingin berinteraksi dengan dunia luar kita tetap akan terus yakin
dan tegas dalam mempertahankan kejatian diri kita. Tanpa kesedaran ini globalisasi
akan menenggelam dan melemaskan golongan muda dengan nilai dan pegangan hidup
yang sangat mengelirukan dan palsu.

UTUSAN PENGGUNA, NOVEMBER 1997, M/S 23

You might also like