You are on page 1of 2

KARANGAN AMALAN GOTONG ROYONG!!!!!

Amalan gotong-royong merupakan amalan masyarakat kita yang


mengutamakan semangat bekerjasama di antara satu sama lain, bak kata
pepatah `berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.
Masyarakat di luar bandar masih teguh mengamalkan gotong-royong
kerana masyarakat ini amat mementingkan perpaduan dan nilai tradisi
serta suka hidup tolong-menolong dan melakukan kerja secara sukarela.
Struktur anggota masyarakat ini yang terdiri daripada saudara-mara sendiri
memudahkan lagi amalan ini dilaksanakan. Berdasarkan hal inilah
masyarakat tersebut sama-sama menggembleng tenaga dan berkorban
masa untuk menjayakan sebarang aktiviti yang dijalankan oleh ahlinya.
Selain itu, hubungan antara jiran masih kukuh dan kemesraan di kalangan
penduduk luar bandar lebih terjalin erat. Keadaan sebegini mendorong
mereka untuk berkumpul dan berbincang dalam menjayakan sesuatu
aktiviti gotong-royong. Dengan adanya keharmonian dan kemesraan di
kalangan setiap lapisan masyarakat membolehkan mereka dengan tidak
segan-silu meminta bantuan dan pertolongan. Hal ini kerana mereka
berpegang kepada hakikat bahawa segala-galanya bertolak daripada sifat
manusia sebagai makhluk yang lemah. Oleh itu, kita saling bergantung
antara satu sama lain.
Corak petempatan masyarakat di luar bandar juga menyebabkan amalan
gotong-royong masih teguh diamalkan. Corak petempatan kampung
tradisional yang berselerak di meratarata tempat dan mempunyai kawasan
yang luas membolehkan aktiviti gotong-royong dijalankan dengan mudah.
Ini berbeza dengan corak petempatan dan masalah kekurangan tanah di
bandar yang tidak menggalakkan aktiviti gotong-royong dijalankan.
Masyarakat di bandar lebih berorientasikan pekerjaan berbanding
masyarakat di luar bandar. Mereka bekerja dari pagi hingga ke lewat
petang dan sesetengahnya pula hingga ke malam. Corak pekerjaan yang
sedemikian menyukarkan mereka untuk melibatkan diri dengan aktiviti
gotong-royong. Pada hujung minggu pula kebanyakannya menumpukan
masa kepada urusan keluarga. Memang tidak dapat dinafikan aktiviti
gotong-royong ada dijalankan di bandar, tetapi sambutannya kurang
menggalakkan. Mereka lebih gemar mengupah pihak tertentu untuk
melakukan kerja yang biasanya dibuat secara bergotongroyong oleh
masyarakat luar bandar.
Masyarakat di bandar juga lebih bersikap individualistik dan gemar
menunjukkan kelebihan masing-masing. Apatah lagi kemewahan dan
kesenangan hidup yang dikecapi menyebabkan mereka beranggapan
bahawa pertolongan orang lain kurang diperlukan. Mereka berasakan
mereka boleh hidup tanpa bergantung kepada orang lain. Sehubungan itu,
persepsi masyarakat di bandar mengenai amalan gotong-royong adalah
sebagai perkara remeh. Akibatnya, amalan ini semakin terpinggir.
Tahap pembangunan yang kurang pesat di luar bandar berbanding di
bandar turut menyebabkan masyarakat di situ lebih memerlukan antara
satu sama lain. Mereka menghadapi banyak kepayahan. Lagipun
pendapatan mereka tidak sebanyak penghuni bandar. Oleh itu, mereka
tidak berkemampuan untuk mengadakan majlis keramaian seperti majlis
perkahwinan di hotel atau di dewan tertentu. Mereka juga kurang mampu
untuk membuat tempahan makanan yang siap dimasak untuk majlis
tersebut. Sebaliknya mereka lebih memerlukan bantuan daripada jiran dan
saudara-mara bagi menjayakan sesuatu majlis keramaian itu.
Kesimpulannya, amalan gotong-royong di kalangan anggota masyarakat di
luar bandar perlu dicontohi oleh penduduk bandar kerana amalan tersebut
banyak membawa manfaat bersama. Kesedaran tentang hal ini perlu
ditanam di jiwa generasi baru agar tidak luput ditelan zaman.

You might also like