You are on page 1of 3

Contoh Pendahuluan

Permainan tradisional merupakan warisan zaman-berzaman. Namun begitu, permainan ini


semakin dilupakan. Usaha-usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk memastikan
permainan ini tidak luput ditelan zaman.

Contoh Isi Penting


Pihak kerajaan hendaklah mempergiat usaha untuk menggalakkan rakyat meminati permainan
ini melalui promosi secara besar-besaran. Promosi dan kempen mestilah mengenai golongan
sasaran melalui pelbagai kementerian yang ada. Setiap rakyat hendaklah menyokong segala
usaha ini.

Contoh Penutup
Kesimpulannya, permainan tradisional perlu dipertahankan. Kerjasama daripada semua pihak
amat penting. Janganlah kita melupakan warisan bangsa kita.

Kepentingan permainan tradisional

Pada era pascamodenisasi ini, rakyat kita telah menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan fizikal yang pesat. Ironinya

pelbagai warisan nenek moyang kita semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita, terutamanya golongan muda. Salah satu

khazanah kebudayaan kita yang semakin luntur dalam gaya hidup yang moden ini  ialah permainan tradisional kita yang terdiri

daripada  congkak, wau, gasing dan sebagainya. Walhasil,  generasi muda tidak pernah disedarkan tentang kepentingan

permainan tradisional  kepada bangsa dan Negara.

Salah satu kemaslahatan permainan tradisional ialah permainan ini merupakan kebanggaan aset budaya bangsa Malaysia. Hal ini

demikian kerana permainan tradisional adalah ciptaan nenek moyang kita yang melambangkan ciri-ciri kebudayaan bangsa kita.

Permainan tradisional tidak boleh disamakan dengan permainan elektronik atau permainan siber. Alat permainan tradisional juga

merupakan satu seni budaya yang amat unik dan terunggul.  Sebagai contohnya, wau bulan telah dihias dengan kertas warna-

warni  yang dilukis dan digunting dengan cantik nian. Jika permainan  tradisional kita telah lenyap di bumi kita, apakah

kebudayaan yang dapat memperlihatkan maruah bangsa kita? Ingatlah peribahasa, “sesal dahulu pendapatan, sesal

kemudian tidak berguna.”

Tambahan pula, permainan tradisional juga merupakan satu daya tarikan yang signifikan dalam industri pelancongan. Selain

menyaksikan pemandangan alam semula jadi yang indah dan menikmati juadah yang lazat di negara kita, para pelancong pasti

ingin menghayati corak budaya kita yang berwarna-warni. Lantarannya, permainan tradisional berupaya memukau hati pelancong

yang melawat ke Malaysia. Tak kenal maka tak cinta. Setelah diperkenalkan kepada pelancong, lazimnya mereka akan berminat

dan turut bermain dengan seronoknya terhadap permainan tradisional. Rentetan daripada itu, hotel- hotel lima bintang dan pusat

peranginan yang terkemuka  di negara kita patut menyediakan tapak dan alat permainan tradisional kepada pelancongan asing

kita. Hal ini bukan sahaja dapat memangkinkan industri pelancongan tetapi juga memperkenalkan kebudayaan kepada bangsa

lain, seperti peribahasa, “serampang dua mata.”

Lebih-lebih lagi, permainan tradisional dapat mengukuhkan hubungan masyarakat kita yang berbilang bangsa dan sentiasa sibuk

mengejar kekayaan duniawi. Dengan  adanya permainan tradisional itu, pelbagai kaum dalam masyarakat kita dapat bermain

bersama secara beramai-ramai. Tamsilnya, terdapat kawasan lapang yang sering dibanjiri oleh orang ramai untuk bermain layang-

layang.  Peminat itu tidak mengira bangsa dan budaya tetapi bersama-sama memperlihatkan lelayang yang beraneka corak .

Mereka juga berkongsi idea dan pendapat tentang lelayang mereka.  Tidak hairanlah akan tercetusnya suasana yang muhibah
harmoni dalam masyarakat. Mereka dapat melegakan tekanan dan menghabiskan masa bersama dengan keluarga sendiri. 

Senario ini jauh lebih baik daripada  individu yang asyik bermain permainan komputer di kamar sendiri tanpa berinteraksi dengan

orang lain.

Natijahnya,  permainan tradisional  merupakan khazanah warisan yang tidak ternilai. Oleh itu generasi mudah bertanggungjawab

untuk melestarikan khazanah ini daripada  generasi kepada generasi, seperti  peribahasa, “Tak lapuk dek hujan, tak lekang

dek panas.” Walaupun zaman beredar,  tetapi segala  warisan yang baik dan sejati perlu diperkukuh supaya bangsa kita tidak

digelar sebagai etnik yang tidak berakar umbi dan sentiasa terhanyut  oleh arus globalisasi.

Cara-cara untuk Mengembangkan Permainan Tradisional di Negara Kita

Dasawarsa ini, negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi  sehingga negara kita mengalami pembangunan

yang pesat sekali. Sehubungan dengan itu, permainan tradisional turut dipandang enteng dan dikesisikan oleh masyarakat kita

daripada arus perdana.  Hal ini berkait rapat dengan perkembangan permainan komputer dan permainan siber yang popular dalam

kalangan remaja dan belia kita. Adakah kita sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan dalam pengedaran zaman

dan lenyap dalam bumi kita? Tepuk dada tanya selera.  Sebelum nasi menjadi bubur, kita perlu mencari pendekatan yang efisien

untuk membangkit permainan tradisional di negara kita semula. Seperti peribahasa, “di mana batang terguling, di situ

cendawan tumbuh.”

Sesungguhnya,  Kempen Cintai Permainan Tradisional  merupakan salah satu alternatif yang ampuh untuk mengembang

permainan ini di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan  Kebudayaan dan Kesenian Negara  secara besar-besaran

dengan kerjasama pihak media massa, terutamanya media cetak dan media elektronik, iaitu surat khabar dan pihak televisyen.

Pihak berkenaan perlu menyiarkan dokumentari  dan rencana untuk memperkenalkan permainan tradisional  di negara kita,

seperti  wau, gasing, congkak dan lain-lain.  Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain,  pihak media perlu menyedarkan

orang ramai tentang kepentingan permainan tradisional kepada masyarakat dan negara.  Pelbagai aktiviti harus dianjurkan

sempena kempen tersebut, seperti  peraduan karang-mengarang,  pameran, dan peraduan poster dan sebagainya. Bak kata

peribahasa, “ tak kenal maka tak cinta.”  Lantarannya golongan muda pasti terpengaruh  dan berminat terhadap permainan

tradisional kita.

Selain itu, pihak kerajaan perlu menjadikan permainan tradisional sebagai kegiatan kokurikulum di sekolah. Sehubungan dengan

itu, pihak sekolah harus digalakkan supaya menubuhkan kelab atau persatuan permainan tradisional.  Berpaksikan kelab

permainan tradisional, pelajar boleh  diajar tentang cara membuat alat permainan, cara bermain dan lain-lain lagi.  Setelah

disuntik ilmu itu, pelajar  akan berminat  untuk melibati permainan tradisional tersebut.  Generasi muda merupakan tunjang yang

bakal mewarisi pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak. Pelibatan pelajar  secara langsung dalam permainan

tradisional pasti dapat memajukan permainan tersebut di tanah air kita daripada membiarkan seni budaya kita terus lenyap dan

pupus begitu  sahaja. Bak kata peribahasa, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Atas komitmen pihak sekolah, putera-

puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu pengetahuan dapat bergiat aktif dalam permainan tradisional untuk melegakan

tekanan  sebagai kegiatan riadah.

Sementelahan pula, pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk membangkit permainan tradisional dalam masyarakat

kita.  Hal ini demikian kerana sebagai  fitrah,  manusia  memang suka bertanding dan berlaga. Lantarannya, pihak Kementerian

Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Pelancongan Malaysia dan agensi kerajaan boleh bergabung dengan korporat seperti

Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hingga
antarabangsa.  Salah satu contoh yang terbaik ialah Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor. Pertandingan

layang-layang itu berjaya menarik peminat-peminat  permainan tersebut dari seluruh dunia untuk mengambil bahagian. Hal ini

berjaya mempromosikan pelancongan dan permainan tradisional kepada pelancong asing, selaras dengan peribahasa, “menyelam

sambil minum air”.

Secara intihanya, permainan tradisional harus dilestarikan supaya tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Jika semua

pihak bersikap acuh tak acuh dan hanya melepaskan batuk di tangga, khazanah budaya kita pasti akan lenyap di bumi kita.

Ingatlah peribahasa, “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.”

You might also like