You are on page 1of 6

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Yang Teramat Mulia Undang Dato’, hamba dato’ mohon izin untuk

berucap.

Ke Bawah Kaus Yang Teramat Mulia

Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Dohak

Undang Luak Sungai Ujong

Yang Amat Mulia

Tok Puan Noor Hashimah binti Abu Bakar

Hamba dato’ bagi pihak sekolah menjunjung kasih kepada Yang

Teramat Mulia Undang Dato’, kerana sudi mencemar kaus berangkat ke

Majlis Graduasi SMK Bukit Kepayang Kali ke 3 pada tahun ini bersama

Yang Amat Mulia Tok Puan dan diiringi bersama anakanda Yang Mulia

Dato’ Muda Nurul Ain binti Mubarak.

Sesungguhnya hamba dato’ sekalian merasa amat bertuah dan

berbesar hati atas kesudian Yang Teramat Mulia Dato mencemar kaus

menyempurnakan majlis penyampaian sijil graduasi untuk kali kedua

pada tahun ini. Sesungguhnya keberangkatan Yang Teramat Mulia

Undang Dato’ pastinya akan menyuntik semangat kepada kami hamba


dato’ warga pendidik dan pelajar untuk terus menjana kecemerlangan

dalam bidang pendidikan disekolah.

Yang Berbahagia

Dato’ Abdullah bin Mohammad

Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan

Yang Dihormati

Tuan Haji Musa bin Abdullah

Pegawai Pelajaran Daerah Seremban

Yang Dihormati

Encik Ramli bin Harun

Pemangku Yang Dipertua PIBG SMK Bukit Kepayang

Datuk-datuk Lembaga, barisan Guru Penolong Kanan, Ketua-ketua

Bidang, Jawatankuasa PIBG, tetamu-tetamu jemputan, guru-guru, ibu

bapa, pelajar yang diraikan dan seterusnya hadirin sekalian.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, kerana dengan limpah kurnia dan

izinnya, Majlis Hari Graduasi SMK Bukit Kepayang Kali ke- 3 bagi

pelajar-pelajar tingkatan 5 dapat kita raikan pada hari ini dalam suasana

yang penuh gemilang dan bermakna buat kita semua.

Saya mewakili jawatankuasa Hari Graduasi mengalu-alukan dan

merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran tuan-tuan dan puan-

puan ke majlis ini untuk meraikan kejayaan anak-anak tuan-tuan dan

puan-puan sekalian. Saya juga mengalu-alukan kehadiran tetamu-

tetamu jemputan yang lain ke Majlis ini dan sesungguhnya kehadiran ini

akan terus mengeratkan silaturrahim yang sedia terjalin.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Kumpulan pelajar atau para graduan yang berada di dalam dewan yang

indah pada hari ini merupakan calon SPM yang ke – 5 sekolah ini

yang akan meneruskan kecemerlangan yang telah dilakar oleh para

graduan yang terdahulu. Kita menaruh harapan dan kepercayaan yang

tinggi agar kumpulan graduan pada hari ini akan mencipta

kecemerlangan dan memastikan wujudnya rantaian kesinambungan

yang seterusnya meletakkan SMK Bukit Kepayang di puncak

kegemilangan. Saya yakin, para graduan yang ada di dalam dewan ini
telah menjadikan segala rintangan, kekurangan, dan masalah yang

ditempuh oleh pelajar terdahulu sebagai cabaran, inspirasi dan

rangsangan untuk terus maju dalam bidang akademik dan pembinaan

jati diri serta pemupukan sahsiah terpuji. Persediaan untuk menempuh

dan merentasi cabaran dunia harus bermula dari sekarang dengan

persediaan padu menghadapi peperiksaan SPM yang akan bermula

pada 23 November ini. Berusahalah dengan iltizam yang tinggi dan

penuh ketakwaan berbekalkan ilmu yang telah dicurahkan oleh guru-

guru untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dan seterusnya

memartabatkan SMK Bukit Kepayang sebagai antara sekolah yang

cemerlang. Insyaallah.

Tiada jalan pintas menuju kejayaan. Nama-nama seperti Dato’ Azhar

Mansur, Sheikh Muzafar Shukor, K. Mohandas dan Muhammad

Muqarrabin seharusnya terjelma dalam kotak minda anda sebagai insan

yang berusaha gigih dan hingga kadang kala mempertaruhkan nyawa

demi mencapai matlamat meletakkan nama negara di persada dunia.

Semangat juang inilah yang perlu dicontohi oleh para pelajar sekalian.

Majlis Graduasi ini dan SPM yang bakal ditempuhi hanyalah titik

permulaan jalan kehidupan yang bakal anda terokai. Di hadapan anda

sekalian nanti, terbentang pelbagai ranjau dan duri rintangan ke arah

mencapai kejayaan sebenar dalam kehidupan.


Tuan-tuan dan Puan Puan yang saya hormati sekalian

Saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima

kasih atas kehadiran para jemputan dan ibu bapa sekalian. Terima kasih

juga kepada semua tenaga kerja majlis ini kerana telah bertungkus

lumus dalam memastikan Majlis Graduasi ini dapat dilaksanakan

dengan jayanya.

Kepada para graduan sekalian, saya dan seluruh warga sekolah

sentiasa mendoakan agar anda dapat menjejakkan kaki ke menara

gading dan seterusnya mencapai impian anda dalam bidang akademik

dan kerjaya. Insyallah. Di sini, saya ingin memetik kata-kata Bob Budler

(1992) dalam bukunya bertajuk "You Can Do It !" yang menyatakan

kejayaan itu tiada ternilai harganya. Beliau menegaskan seseorang itu

perlulah bersedia mengorbankan tenaga, berdedikasi dan berusaha

dengan gigih sebagai bayaran ke arah menempah kejayaan iaitu

ganjaran yang yang ingin dicapainya. Dalam erti kata yang lain tiada

kejayaan tanpa usaha dan usaha adalah menjadi tanggungjawab bagi

setiap diri para graduan. Tiada siapa yang dapat membantu kita selagi

diri kita tidak mahu bergerak untuk membantu diri sendiri.


Akhir kata, Tahniah sekali lagi kepada semua graduan SPM dan terima

kasih kepada semua ibu bapa dan penjaga sekalian yang turut sama

memberikan kerjasama dan sokongan. Tidak lupa terima kasih tidak

terhingga kepada semua guru SMK Bukit Kepayang yang tidak pernah

jemu untuk memastikan kejayaan anak-anak murid kita, begitu juga

PIBG yang sentiasa bergerak seiring dengan aspirasi sekolah ini.

Yang Teramat Mulia Undang Dato’

Hamba dato sekalian sekali lagi menjunjung kasih atas keberangkatan

Yang Teramat Mulia Undang Dato’ dan Yang Amat Mulia Tok Puan ke

Majlis kami

Sekian. Wabillahitaufik wal hidayah Wassalamualaikum warahmatullahi

wabarokatuh.

You might also like