You are on page 1of 1

9 Cabaran Wawasan 2020

 Menjelang tahun 2020, Malaysia dapat menjadi negara bersatu, dengan


masyarakat Malaysia yang yakin, mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh,
hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang,
adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur, dan mempunyai
penguasaan sepenuhnya terhadap ekonomi yang bersaing, dinamik, cergas dan
kental.
 Tidak akan wujud Malaysia yang maju sepenuhnya sehingga kita
akhirnya dapat mengatasi sembilan cabaran strategik yang kita hadapi
sejak kelahiran kita sebagai sebuah negara merdeka.
 Cabaran pertama ialah mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai
matlamat yang dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman,
berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama
sepenuh- nya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang
mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
 Yang kedua ialah cabaran untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa
bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri,
berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah
menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali
melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya,
tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
 Cabaran ketiga yang sering kita hadapi ialah usaha mewujudkan dan
membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu
bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan
masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara
membangun.
 Keempat ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya
bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan
kerohanian dan didokong oleh nilai etika paling tinggi.
 Cabaran kelima yang selalu kita alami adalah untuk mewujudkan masyarakat
liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas
mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama mereka dan pada masa
yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
 Keenam ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif,
masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke
depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang
kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.
 Cabaran ketujuh untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya
menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada
diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang
perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.
 Kelapan ialah cabaran untuk memastikan masyarakat yang adil dalam bidang
ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan
negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi
setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan
wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan
pengenalan kemunduran ekonomi berdasarkan kaum.
 Cabaran kesembilan ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat makmur
yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

http://myairport.blogspot.com/2006/11/9-cabaran-wawasan-2020.html

You might also like