You are on page 1of 20

1

1.0 PENGENALAN

Sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada mengubat. Menutup jalan maksiat itu lebih
baik daripada merawat penyakit yang timbul akibat daripada gejala maksiat yang berlaku.

Firman Allah dalam Surah Al-Israa’ ayat 32 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu
perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”.

Sebelum ini kita sering memperkatakan permasalahan tentang seks bebas, pergaulan bebas,
minum arak, penagihan dadah, bohsia, bohjan, mat rempit, sumbang mahram, rogol, pencabulan,
penderaan anak-anak, keganasan rumahtangga, dan pelbagai lagi permasalahan masyarakat.
Kini, kita dikejutkan pula dengan permasalahan pembuangan bayi yang semakin berleluasa
sehingga melangkaui daripada norma-norma kemanusiaan yang tidak dapat diterima akal oleh
masyarakat Malaysia yang terkenal dengan nilai-nilai ketimuran dan ajaran Islam yang menjadi
pegangan.

Bagi tugasan kursus Kemahiran Penulisan pada semester ini, penulis telah diminta untuk
menyiapkan satu kertas kerja yang berkaitan dengan isu-isu semasa yang berlaku di negara ini.
Sehubungan dengan itu, penulis telah memilih tajuk yang sesuai dengan kehendak tugasan ini
iaitu “ Pembuangan Bayi Dalam Kalangan Remaja Di Malaysia ”. Seperti telah sedia maklum,
masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia semakin serius dan
membimbangkan. Penularan masalah pembuangan bayi ini menimbulkan pelbagai persoalan
kepada masyarakat, adakah remaja di Malaysia sudah bersedia untuk menjadi pewaris kepada
kepimpinan yang sedia ada sekarang?

Dalam kajian ini, penulis akan mengenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya
pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia. Selain itu, kajian ini juga akan melihat
kesan-kesan buruk permasalahan ini kepada semua pihak iaitu, individu, masyarakat dan negara.
Akhir sekali, kajian ini akan cuba mencari jalan terbaik dan relevan untuk mengatasi masalah
pembuangan bayi dalam kalangan remaja ini. Semua aspek ini dipilih oleh penulis kerana masih
ramai yang tidak tahu akan permasalahan pembuangan bayi dalam kalangan remaja. Tambahan
2

pula, isu ini merupakan salah satu isu yang mendapat liputan menyeluruh daripada pihak media
dan sering dibincangkan secara meluas oleh semua pihak yang prihatin akan masalah ini.

Kajian ini hanya akan melihat permasalahan pembuangan bayi dalam kalangan remaja di
Malaysia sahaja. Secara eroninya, remaja merupakan golongan yang banyak terlibat dengan
masalah ini. Sehubungan dengan itu, selari dengan tajuk yang dipilih, penulis akan memberi
tumpuan kepada golongan remaja sahaja. Selain itu, kajian juga semestinya akan memberi
penekanan yang khusus kepada faktor-faktor, kesan-kesan, dan langkah-langkah untuk
mengatasi masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia. Kajian yang akan
dijalankan oleh penulis hanya menggunakan kaedah resensi perpustakaan sahaja. Kaedah resensi
perpustakaan merupakan satu kaedah yang merangkumi penyelidikan yang dilakukan
berdasarkan pencarian di perpustakaan dan pusat sumber sama ada dalam bentuk data serta
bahan sekunder atau primer seperti buku, artikel, jurnal, mikrofilem, filem, video, sumber
internet dan sebagainya.

Masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja ini merupakan satu natijah buruk yang
terhasil akibat daripada pelbagai masalah masyarakat yang melanda pada masa kini. Bagi
mengatasi masalah ini, penulis akan cuba untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk
menangani permasalahan ini yang jelas bertentangan nilai-nilai yang ada dalam Islam khasnya
dan norma-norma kemanusiaan sejagat amnya. Justeru itu, cara yang sewajarnya bagi menangani
permasalahan buang bayi adalah membenteras segala punca yang menjadi sebab
kepada permasalahan ini.
3

2.0 TUJUAN KAJIAN

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan


berlakunya pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia. Selain itu, kajian juga akan
melihat kesan-kesan negatif permasalahan ini kepada semua pihak iaitu, individu, masyarakat
dan negara. Akhir sekali, kajian ini akan mencari langkah-langkah terbaik dan relevan untuk
mengatasi masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja ini. Semua aspek ini dipilih kerana
masih ramai yang tidak tahu akan permasalahan pembuangan bayi dalam kalangan remaja.
Tambahan pula, isu ini merupakan salah satu isu yang mendapat liputan menyeluruh daripada
pihak media dan sering dibincangkan secara meluas oleh semua pihak yang prihatin akan
masalah ini.

3.0 SKOP KAJIAN

Kajian ini hanya melihat permasalahan pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia
sahaja. Secara eroninya, remaja merupakan golongan yang banyak terlibat dengan masalah ini.
Sehubungan dengan itu, selari dengan tajuk yang dipilih, penulis telah memberi tumpuan yang
penuh kepada golongan remaja sahaja. Selain itu, kajian juga semestinya memberi penekanan
yang khusus kepada faktor-faktor, kesan-kesan, dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah
pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia.
4

4.0 KAEDAH KAJIAN

Kajian yang telah dijalankan hanya menggunakan kaedah resensi perpustakaan sahaja.
Kaedah resensi perpustakaan merupakan satu kaedah yang merangkumi penyelidikan yang
dilakukan berdasarkan pencarian di perpustakaan dan pusat sumber sama ada dalam bentuk data
serta bahan sekunder atau primer. Kaedah resensi perpustakaan meliputi bahan- bahan seperti
buku, artikel, jurnal, mikrofilem, filem, video, sumber internet dan sebagainya.

5.0 HASIL KAJIAN

5.1 Pendahuluan

Pada era moden yang serba mencabar ini, Malaysia dengan bangganya menuju ke satu tahap
yang lebih kompetitif bertunjangkan sains dan teknologi. Namun, di sebalik kemodenan ini,
mereka telah lupa dengan perkembangan sosial di negara ini. Saban hari, terdapat pelbagai
laporan tentang pembuangan bayi di merata-rata tempat seperti di dalam tandas, di tepi
longkang, dan sebagainya. Golongan yang tidak bertanggungjawab ini membuang bayi secara
membuta tuli sahaja tanpa ada sifat dan perasaan berperikemanusiaan.

Isu pembuangan bayi yang tidak pernah berkesudahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini
boleh dianggap sebagai wabak atau bencana kepada negara. Pembuangan bayi yang semakin hari
semakin banyak dilaporkan di dada akhbar dan paling menyayat hati terdapat bayi yang tidak
berdosa bukan saja dibuang, malah dibakar. Mereka yang melakukan perkara ini merupakan
individu yang tidak ada maruah diri dan tidak bertamadun. Apakah tidak ada lagi nilai
kemanusiaan di dalam diri mereka yang tidak bertanggungjawab ini?
5

Sehubungan dengan itu, satu kajian telah dibuat oleh penulis untuk mencari faktor-faktor
yang menyebabkan berlakunya masalah pembuangan bayi di Malaysia terutama sekali
melibatkan golongan remaja. Masalah yang begitu serius ini telah membuka mata penulis untuk
turut sama membantu bagi menyelesaikan isu yang kian bertambah parah ini. Selain itu, dalam
kajian ini juga, penulis telah mengenalpasti kesan-kesan daripada masalah pembuangan bayi
dalam kalangan remaja di Malaysia. Sekiranya masyarakat ambil tahu tentang kesan masalah
pembuangan bayi ini, nescaya kes-kes pembuangan bayi akan berkurangan.

Penulis ingin berkongsi satu artikel dengan pembaca yang dipetik daripada tulisan Abdul
Halim Abdullah (2010) iaitu mengenai cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil untuk mengatasi masalah pembuangan bayi dalam
kalangan remaja ini. Beliau telah mengarahkan semua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) bersedia 24 jam untuk memberikan bantuan dalam usaha menangani kes pembuangan
bayi yang berleluasa akhir-akhir ini. Pada pandangan penulis, ia dilihat bukan satu langkah yang
bijak kerana pegawai tersebut juga rakyat biasa yang mungkin juga mempunyai bayi dan
keluarga.

Mereka yang membuang bayi ini biasanya mereka yang sudah terlanjur melakukan seks
bebas. Mereka sanggup membuang bayi dengan harapan mereka diberi peluang untuk menjalani
kehidupan yang baru dan semestinya bagi mengelakkan daripada diejek, dicemuh dan dicaci oleh
masyarakat setempat tentang perlakuan mereka. Mereka ini tidak sepatutnya dicemuh dan dikeji,
sebaliknya diberi bantuan dan sokongan moral dalam mengharungi kehidupan yang serba
mencabar ini.

Selain itu, terdapat juga ahli masyarakat yang hanya menuding jari terhadap golongan remaja
apabila berlakunya pembuangan bayi. Pada pandangan mereka, remaja merupakan pencetus
berlakunya pembuangan bayi kerana remaja sering kali mengamalkan pergaulan bebas. Lebih
teruk lagi, masyarakat menganggap remaja yang suka mengamalkan pergaulan bebas ini sebagai
sampah masyarakat dan tidak berguna untuk negara. Persepsi seperti ini sedikit sebanyak boleh
melunturkan keyakinan dan kewibawaan remaja untuk terus berbakti kepada negara. Masyarakat
perlu menukar persepsi mereka supaya remaja seperti ini tidak terus hanyut dibawa arus
pemodenan. Pepatah melayu ada menyebut, “ buang yang keruh, ambil yang jernih ”.
6

Secara realitinya, perbuatan membunuh anak mengatasi nilai hidup kebinatangan. Binatang
mungkin membunuh anak mereka ketika dilahirkan, tetapi kebanyakannya atas faktor survival
(dijadikan makanan). Tetapi bagi manusia, mereka sudah hilang nilai kemanusiaan kerana
mereka hidup bertuhankan nafsu. Menurut pandangan Amran Kasimin (1945), “kedudukan
manusia boleh menjadi lebih mulia daripada malaikat jika akal mereka boleh menundukkan
nafsu, tetapi mereka akan menjadi lebih teruk daripada binatang jika hidup bertunjangkan nafsu”.
Sehubungan dengan itu, penulis telah berjaya memperolehi banyak langkah untuk mengurangkan
masalah pembuangan bayi ini daripada berlaku. Sesungguhnya, masalah pembuangan bayi dapat
ditangkis sekiranya wujud kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam diri setiap individu. Bak
kata bidalan, “ hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih ”.
7

5.2 Penemuan Hasil Kajian

5.2.1 Definisi

5.2.1.1 Definisi dari Laman Sesawang

Menurut pandangan Anitayahya (2007), pengguguran dan pembuangan bayi membawa maksud
penamatan proses kehamilan sebelum cukup bulan (sembilan bulan untuk manusia) yang
mengakibatkan kemusnahan janin. Pandangan yang diberikan oleh saudari Anitayahya ini
membuktikan bahawa pembuangan bayi ini merupakan satu jenayah yang boleh dianggap
sebagai jenayah berat dan teruk. Selain itu, definisi dari saudari Anitayahya turut memaparkan
kesan negatif kepada ibu sekiranya proses kelahiran dalam melahirkan anak tidak mengikut
kaedah yang betul.

5.2.1.2 Definisi dari Kamus

Mengikut Kamus Dewan Edisi 4, halaman 208, perkataan buang bermaksud mencampakkan,
melemparkan, menghapuskan, dan menghilangkan. Perkataan bayi bermaksud anak kecil yang
baru dilahirkan oleh si ibu. Manakala, makna pembuangan bayi pula adalah perbuatan
mencampakkan atau menghapuskan anak kecil yang tidak berdosa ke merata-rata tempat tanpa
ada sifat berperikemanusiaan. Definisi yang ditakrifkan dalam kamus Dewan ini menjurus ke
arah menerangkan makna pembuangan bayi yang lebih jelas. Maksud yang diberikan ini mampu
memberi lebih kefahaman kepada pembaca untuk mengetahui lebih mendalam tentang masalah
pembuangan bayi ini.
8

5.3 Faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya pembuangan bayi dalam kalangan


remaja di Malaysia.

Pada zaman abad ke 21 ini, Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun dan
bersedia dalam menongkah arus pemodenan dan globalisasi. Kini, nama Malaysia begitu
terkenal di mata dunia. Namun begitu, di sebalik kegemilangan ini, masyarakat Malaysia masih
dihantui satu penyakit sosial yang sudah lama bersarang dalam kalangan masyarakat Malaysia,
iaitu masalah pembuangan bayi. Biasanya, golongan remaja yang sering terlibat dalam kes
pembuangan bayi di Malaysia. Persoalannya, apakah faktor-faktor pencetus utama yang
menyebabkan berlakunya pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia?

5.3.1 Kurang Didikan dan Kefahaman Agama

Faktor utama berlakunya permasalahan ini ialah kurangnya didikan dan kefahaman agama.
Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup remaja telah
menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan dan seterusnya terlibat dalam gejala-gejala
negatif seperti pergaulan bebas dan sebagainya. Remaja yang melibatkan diri dalam gejala
pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sudah semestinya menjalinkan hubungan di luar
tabii. Hal ini telah menyebabkan remaja perempuan mengandung sebelum ada ikatan yang sah.
Dalam situasi tersebut, remaja yang hilang pegangan agama tidak teragak-agak untuk membuang
dan meninggalkan anak mereka selepas dilahirkan. Lebih teruk lagi, ada segelintir remaja
membunuh dan membakar bayi yang mereka lahirkan semata-mata mahu menghilangkan bukti
hasil hubungan sulit mereka. Sikap negatif mereka ini telah menimbulkan seribu tanda tanya
kepada masyarakat tentang kewibawaan mereka dalam memacu Malaysia ke arah pemodenan
pada masa hadapan.
9

5.3.2 Pengaruh Rakan Sebaya

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan masalah kes pembuangan bayi dalam
kalangan remaja berlaku. Hal ini kerana, pada usia muda lagi, remaja amat mudah dipengaruhi
oleh rakan sebaya mereka. Hal ini menjadi bertambah teruk apabila mereka bergaul dengan
rakan sebaya yang negatif dan tidak bermoral. Rakan-rakan yang negatif ini tidak teragak-agak
mengajak remaja untuk melakukan perkara-perkara di luar batasan agama dan norma masyarakat
seperti pergi ke tempat hiburan, menghisap dadah, melepak, melakukan pergaulan bebas antara
lelaki dan perempuan, dan sebagainya. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif
tersebut, tanpa segan silu melakukan hubungan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu
apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa
membuang bayi mereka demi mengelakkan maruah diri dan keluarga tercemar.

5.3.3 Sikap Masyarakat

Di samping itu, sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum turut menyebabkan
masalah pembuangan bayi ini berlaku. Apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak
luar nikah, sudah pastinya masyarakat setempat menghina dan memandang serong padanya.
Secara tidak langsung, remaja perempuan itu juga pastinya dianggap menjatuhkan maruah
keluarganya. Remaja perempuan berasa tertekan dengan bebanan yang ditanggung seorang diri
tanpa sokongan daripada pelbagai pihak. Demi menjaga imej sendiri dan juga keluarga, remaja
tersebut mengambil jalan mudah dengan membuang bayinya ekoran bimbang dipandang jijik
dan hina oleh masyarakat. Jalan mudah yang diambil mereka membuktikan bahawa mereka
memerlukan bimbingan dan sokongan daripada masyarakat untuk menyelesaikan masalah yang
mereka alami.
10

5.3.4 Sikap Ingin Tahu Remaja

Faktor yang terakhir adalah sikap remaja yang ingin mencari sesuatu yang baru atau sikap
ingin tahu. Sikap ingin tahu tentang sesuatu memang wujud dalam diri remaja. Biasanya, mereka
gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara yang dilarang, itulah yang ingin diterokai oleh
mereka. Remaja berfikiran bahawa mereka menjadi lebih matang sekiranya mencuba benda yang
jarang dilakukan oleh orang lain, lebih-lebih lagi seks rambang. Mereka juga beranggapan
bahawa diwaktu usia remajalah mereka patut berseronok dan bergembira sehingga melakukan
perkara seperti seks bebas ini. Sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu ini sebenarnya tidak
mengetahui baik dan buruknya serta akibat yang bakal diterima mereka. Sebagi remaja yang
matang, mereka mestilah berfikiran rasional dan bijak dalam menilai sesuatu perkara supaya
tidak menyesal dikemudian hari. Bak kata pepatah, “ sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian
tiada gunanya ”.
11

5.4 Kesan-kesan masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia.

Pembuangan bayi dalam kalangan remaja di Malaysia pada hari ini telah memberi kesan dan
impak yang begitu besar dalam masyarakat. Remaja merupakan aset utama dan penting negara
pada masa hadapan, memainkan peranan yng besar dalam pembangunan negara. Kesan jangka
panjang dan jangka pendek pasti berlaku seandainya remaja pada hari ini tidak tahu cara terbaik
untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka. Kesan-kesan pembuangan bayi boleh
diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan kepada bayi, ibu yang melahirkan,
keluarga remaja perempuan yang terlibat dalam pembuangan bayi, kesan kepada masyarakat dan
juga kesan kepada negara itu sendiri.

5.4.1 Kesan kepada Bayi

Bayi merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri tetapi,
bayi juga menjadi bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak
bersedia untuk memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah, yakni usia remaja. Akibat
daripada hilangnya sifat kemanusiaan dalam diri, bayi-bayi telah menjadi mangsa dan kesannya,
semua bayi ini hidup tidak mengenali dan mendapat kasih sayang daripada ibu bapa kandung
mereka. Bayi-bayi ini juga terpaksa memikul gelaran anak luar nikah sepanjang hidup mereka
walaupun mereka menjadi mangsa keadaan dalam masalah ini. Tambahan lagi, bayi-bayi ini
masih kecil lagi dan tidak mengerti apa yang sedang berlaku kepada mereka. Apa yang lebih
teruk lagi, mereka dibuang tempat-tempat yang terpencil dan jauh daripada pandangan
masyarakat sehingga menyebabkan bayi-bayi yang tidak berdosa ini meninggal dunia.

Sebagai contoh, baru-baru ini di Melaka, seorang bayi lelaki dijumpai mati dalam keadaan
yang sungguh menyayat hati. Mengikut sumber dari pengarang utusan Malaysia, Rizanizam
Abdul Hamid (2010), mayat bayi itu ditanam berhampiran Sungai Melaka selepas dikatakan
meninggal dunia di Taman Melaka Baru, Batu Berendam. Apa yang lebih mengejutkan lagi, bayi
tersebut adalah anak kepada pasangan remaja yang baru berusia 15 dan 19 tahun. Siasatan polis
12

mendapati bayi lelaki yang cukup sifat itu masih hidup ketika dilahirkan selain terdapat beberapa
kesan lebam di bahagian kepala. Kejadian seperti ini cukup jelas membuktikan betapa kejamnya
insan yang bergelar remaja yang tidak tahu menghargai pemberian dari Tuhan.

5.4.2 Kesan kepada Ibu Bayi

Kesan yang kedua pula adalah kesan kepada ibu bayi berkenaan atau lebih tepat lagi pesalah.
Hal ini kerana, sewaktu pesalah melahirkan anak, mereka tidak berada dalam keadaan dan situasi
yang selesa dan mengizinkan. Tanpa persediaan yang rapi, pesalah ini pastinya mengalami
jangkitan kuman yang serius, kecederaan semasa melahirkan anak, dan juga kehilangan darah
yang banyak. Majoritinya, mereka melahirkan anak dengan menggunakan kudrat sendiri tanpa
pertolongan daripada pihak hospital dan pihak lain. Selain itu, pesalah juga sudah semestinya
mengalami pelbagai masalah dalam diri seperti kemurungan, hilang keyakinan diri, dan juga
masalah emosi. Hal ini akibat daripada perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari
segi undang-undang, agama, dan negara.

5.4.3 Kesan kepada Institusi Kekeluargaan

Di samping itu, akibat daripada pembuangan bayi juga, berlakunya keruntuhan institusi
kekeluargaan. Apabila institusi sesebuah keluarga itu runtuh, keharmoniaan dalam kekeluargaan
juga turut terkena tempiasnya. Hal ini disebabkan, ibu bapa berasa malu mempunyai anak yang
sebegitu rupa tingkah lakunya. Mereka menganggap anak seperti ini telah menconteng arang ke
muka mereka. Apa yang mereka bimbangkan adalah jiran sekeliling mereka yang pastinya
memandang serong dan negatif dengan keluarga mereka. Disebabkan masalah pembuangan bayi
juga, masalah penceraian berlaku. Ibu bapa remaja yang terlibat dengan perbuatan yang tidak
bermoral ini bergaduh dan menyalahkan sesama sendiri kerana tidak pandai mendidik dan
memelihara anak sehingga anak-anak yang lain terpaksa menanggung akibatnya. Sebagai ibu
13

bapa, janganlah terus menyalahkan anak-anak mereka tetapi membantu dengan memberi
sokongan dan panduan untuk meneruskan hidup.

5.4.4 Kesan kepada Masyarakat

Kesan yang seterusnya adalah kepada masyarakat. Kes pembuangan bayi yang berlaku telah
menjejaskan imej masyarakat sekeliling. Mereka pastinya berasa malu dan kecewa dengan apa
yang berlaku. Sudah semestinya remaja dipersalahkan dalam kes ini kerana biasanya, remaja
merupakan golongan terbesar melibatkan diri dalam kegiatan ini. “Kerana nila setitik, rosak susu
sebelanga”. Peribahasa ini bertepatan sekali dengan situasi yang berlaku ini. Masyarakat telah
menerima akibatnya hasil daripada kegiatan tidak bermoral ini dan secara tidak langsung telah
menimbulkan persepsi orang luar tentang kredibiliti masyarakat setempat dalam membendung
kes-kes seperti daripada berlaku.

5.4.5 Kesan kepada Negara

Tidak dapat dinafikan juga pembuangan bayi memberi kesan yang sangat besar kepada
negara. Secara eroninya, jatuh dan bangun sesebuah negara itu bergantung sepenuhnya kepada
akhlak remaja atau generasi pada waktu sekarang. Antara kesan yang pastinya berlaku ialah
kerancakan pembangunan terbantut serta ekonomi negara sukar untuk berkembang disebabkan
wujudnya gejala sosial ini. Tambahan lagi, perbelanjaan kerajaan turut meningkat untuk
menampung bayi yang diletakkan di rumah kebajikan masyarakat. Hal ini kerana, bayi yang
dijumpai biasanya ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat sebagai penempatan sementara.
Pada masa yang sama, ibu bapa bayi tersebut dicari dan sekiranya tidak menjumpai, rumah
kebajikan masyarakat pastinya menjadi penempatan kekal mereka. Perkara seperti ini pastinya
membebankan pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan dari segi kewangan.
14

6.0 CADANGAN

6.1 Langkah-langkah mengatasi masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja di


Malaysia.

Perbuatan membuang bayi di merata-rata tempat adalah satu jenayah yang amat zalim dan
keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan. Malah haiwan lebih baik daripada itu kerana
mengasihani dan memelihara anak dan sanggup mati demi keselamatan dan nyawa anak-anak.
Inilah kesannya apabila rohani seseorang tidak diisi dengan ajaran agama. Langkah yang lebih
berkesan perlu diambil oleh semua pihak untuk membendung gejala sosial itu agar tidak ada lagi
anak-anak luar nikah yang dilahirkan terbiar dan tidak mendapat kasih sayang yang sewajarnya.

6.1.1 Peranan Ibu Bapa

Bagi mengatasi masalah ini dari terus berpanjangan, para ibu bapa seharusnya
memberi perhatian, kasih sayang dan bimbingan yang penuh kepada anak-anak mereka lebih-
lebih lagi pada peringkat remaja. Ini bertepatan dengan teori motivasi Maslow (1954) yang
menyatakan teori motivasi melalui hirarki keperluan. Manusia perlu memenuhi keperluan
peringkat asas atau keperluan hayat atau fisiologi terlebih dahulu sebelum timbul keperluan
peringkat berikutnya iaitu keperluan keselamatan. Seterusnya, keperluan kasih sayang dan diikuti
pada peringkat berikutnya, keperluan peringkat kendiri.

Peringkat yang terakhir adalah sempurna kendiri. Berdasarkan teori ini kasih sayang
diletakkan pada peringkat ketiga di mana memberi gambaran bahawa penghargaan dan kasih
sayang sangat penting kepada manusia lebih-lebih lagi diperingkat remaja. Ini termasuklah
keinginan kasih sayang dari ibu bapa atau rakan sebaya dalam kumpulannya. Sekiranya ibu bapa
kurang atau tidak memberi kasih sayang yang secukupnya maka anak-anak akan mencari kasih
sayang tersebut dari orang lain seperti rakan sebaya. Oleh itu, ibu bapa mestilah memainkan
15

peranan yang penting dalam membentuk sahsiah diri anak-anak mereka supaya tidak terjerumus
ke lembah maksiat seperti seks rambang, pergaulan bebas, dan sebagainya.

6.1.2 Peranan Sekolah

Selain itu, pihak sekolah juga memainkan peranan dalam mencorak sahsiah peribadi remaja
daripada terjebak dengan gejala ini. Menurut pandangan Karen Yong (2006), dalam
penulisannya yang bertajuk ‘ masalah sosial tiada penghujungnya ’, pihak pentadbiran sekolah
perlu mewujudkan Sekolah Bebas Gejala Sosial dengan mengadakan pendidikan secara
komprehensif melalui kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah/IPT, intervensi, latihan guru dan
penglibatan ibubapa. Pendidikan ini adalah elemen penting dalam strategi pencegahan dan
sekolah merupakan institusi penting bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas dari
gejala sosial.

Kementerian Pelajaran telah diberi tanggungjawab bagi mengenalpasti, merancang dan


melaksanakan segala program dan aktiviti tindakan berhubung dengan pendidikan pencegahan
masalah sosial di peringkat sekolah, Institusi Latihan Guru dan IPT untuk mewujudkan
pemikiran generasi muda supaya menjauhi gejala sosial, menyediakan alternatif-alternatif
berfaedah yang dapat mencegah daripada terlibat dengan gejala sosial dan mewujudkan suasana
sekitar yang menjadikan masalah sosial itu dibenci dan jijik (Khoo Kay Kim dan Alias
Mohammed 1937). Bagi mencapai hasrat diatas, semua pihak perlu memberikan komitmen,
kerjasama, dan berusaha melaksanakan pelbagai pendekatan.
16

6.1.3 Pencegahan sebelum berlaku

Pencegahan merupakan strategi jangka panjang yang bertujuan mencegah seseorang daripada
terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, dan
sebagainya. Walaupun gejala ini bermula dengan masalah individu tetapi jika tidak dibendung
ianya akan memberi kesan yang mendalam kepada keseluruhan masyarakat sekitarnya. Masalah
pembuangan bayi boleh diklasifikasikan sebagai salah satu jenayah yang paling kritikal di
Malaysia. Sehubungan dengan itu, semua pihak mestilah bekerjasama dalam mewujudkan
kesedaran tentang kesan dan bahaya pembuangan bayi.

Di samping itu, mereka juga perlu merangsang penglibatan seluruh masyarakat setempat
dalam usaha memerangi masalah pembuangan bayi yang semakin meruncing ini. Setiap
individu, keluarga dan masyarakat di satu-satu kawasan perlu bekerjasama dan mempunyai
peranan dalam pencegahan gejala ini dan memastikan kawasan mereka bersih daripada gejala
sosial ini. Pemimpin-pemimpin masyarakat setempat juga perlu tampil ke hadapan bagi
membantu kerajaan dalam melaksanakan program-program seperti pencegahan pergaulan bebas
di kawasan mereka. Strategi jangka panjang ini juga untuk mewujudkan kesedaran kepada semua
lapisan masyarakat bahawa pergaulan bebas membawa mudarat kepada diri, keluarga dan
masyarakat.

6.1.4 Bantuan kepada ibu-ibu yang hamil luar nikah

Akhir sekali, anak-anak remaja yang hamil luar nikah mestilah dibantu bagi menjalani
pemulihan yang bukan sahaja menyediakan bantuan menjaga ketika mereka hamil tetapi yang
paling utama ialah membina kekuatan dalaman serta rohaniah. Hal ini penting bagi menjamin
kesihatan si ibu dan juga anak yang bakal dilahirkan. Sekiranya penjagaan rapi dibuat, gejala
pembuangan bayi mungkin dapat dikurangkan walaupun tidak sepenuhnya. Semua pihak digesa
agar turut serta dalam memberi bimbingan dan bantuan kepada kaum lelaki dalam usaha
mendidik golongan tersebut untuk tidak mengambil kesempatan terhadap wanita.
17

7.0 RUMUSAN

Setelah meneliti dan mengkaji tentang permasalahan pembuangan bayi dalam kalangan
remaja di Malaysia ini, penulis mendapati terdapat banyak aspek yang boleh dikaitkan dengan
masalah ini seperti punca-punca masalah, kesan-kesan daripada masalah, dan langkah-langkah
mengatasi. Antara punca-punca masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja adalah
kurangnya didikan agama dalam diri, terpengaruh dengan rakan sebaya yang mempunyai moral
yang negatif, sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum individu yang terlibat
tanpa usul periksa, dan sikap remaja yang suka mencuba sesuatu yang baru. Semua punca ini
membuktikan betapa ampuhnya jati diri seseorang dalam meneruskan kehidupan yang penuh
cabaran ini.

Selain itu, kesan-kesan daripada permasalahan ini juga patut dititikberatkan. Hal ini kerana,
melihat kepada kesan-kesan yang dikaji, pastinya negara Malaysia tidak mampu untuk terus
bersaing dengan negara lain disebabkan golongan remaja terus hanyut dengan masalah sosial ini.
Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti berlaku sekiranya remaja pada hari ini tidak tahu
cara untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka sendiri. Antara kesan-kesan pembuangan
bayi dalam kalangan remaja adalah seperti kesan kepada bayi yang dibuang, kesan kepada ibu
yang melahirkan, kesan kepada institusi kekeluargaan, kesan kepada masyarakat dan juga kesan
kepada negara itu.

Walaubagaimanapun, penulis telah berjaya mencari langkah-langkah terbaik bagi mengatasi


masalah pembuangan bayi ini. Antara langkah-langkahnya adalah peranan ibubapa itu sendiri,
peranan sekolah, pencegahan yang dilakukan sebelum berlaku apa-apa yang tidak diingini, dan
memberi bantuan kepada remaja perempuan yang hamil luar nikah. Penulis yakin dengan
langkah-langkah yang diperolehi ini mampu mengurangkan masalah pembuangan bayi dalam
kalangan remaja ini. Justeru itu, semua pihak perlulah berganding bahu dalam membendung
gejala sosial itu agar tidak ada lagi anak-anak luar nikah yang dilahirkan terbiar dan tidak
mendapat kasih sayang yang sewajarnya.
18

8.0 PENUTUP

Melihat kepada permasalahan dan gejala pembuangan bayi yang melanda remaja pada hari
ini sememangnya amat mencemaskan. Tindakan untuk mengawalnya sudah sampai ke tahap
yang dianggap terdesak. Pertaruhannya adalah masa depan negara dan generasi Malaysia.
Walaupun sudah banyak kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai sikap dan tingkah
laku remaja tetapi kajiannya lebih bersifat tujuan akademik dan tertumpu kepada punca masalah
dan biasanya bersifat umum sahaja. Di sebabkan terlalu banyak punca yang berlaku, tindakan
untuk membendung masalah tidak lagi berfokus. Meskipun ada cadangan mengenai cara untuk
mengatasi masalah ini, namun, semuanya berakhir di meja perbincangan, forum atau seminar
sahaja.

Memang ada program yang dirangka untuk remaja tetapi ianya tidak memberi kesan yang
sepenuhnya. Remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan negara.
Mereka adalah aset kekayaan semulajadi yang bakal memegang peranan penting dalam politik,
ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah akhlak di kalangan
remaja adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang merugikan
negara dalam jangka masa panjang. Justeru itu, setiap warga masyarakat tanpa mengira kaum
haruslah bersatu padu menggembleng tenaga mencegah dan membanteras supaya penyakit sosial
ini tidak menular dengan lebih serius. Bak kata pepatah, “ bulat air kerana pembetung, bulat
manusia kerana muafakat ”.

Pihak atasan seperti badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan juga perlu lebih peka dan
menganjurkan pelbagai ceramah atau motivasi kepada remaja supaya mereka mendapat lebih
informasi tentang gejala ini dan sedar mengenai kesan dan bahaya daripada perbuatan tidak
bermoral itu. Dengan usaha-usaha yang dilakukan secara bersama dan menyeluruh ini, ia sedikit
sebanyak dapat mengurangkan masalah ini daripada terus menjadi satu penyakit berbahaya di
negara Malaysia ini. Tiada siapa patut menuding jari pada pihak yang lain, kerana setiap
daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat.
19

9.0 RUJUKAN

Abdul Halim Abdullah. 2010. Koleksi Berita Buang Bayi: Remaja Tanam Bayi.
http://inijalanku.wordpress.com/berita-baru/mayat-bayi-ditemui/ [ 20 Mei 2010 ]

Al-Quran. Surah Al-Israa’ 17 : 32. Cetakan Kedua Belas. 2001. Kuala Lumpur : Darulfikir.

Amran Kasimin. 1945. Masalah Sosial Dan Hubungannya Dengan Didikan Agama.
Kuala Lumpur : Dinie.

Anitayahya. 2007. Pengguguran dan Pembuangan Bayi: Definisi pembuangan bayi.


http://pengguguranbayi.blogspot.com/ [ 19 Mei 2010 ]

Kamus Dewan Edisi 4. 2005. Edisi baru. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Khoo Kay Kim dan Alias Mohammed. 1937. Masalah Sosial Dan Politik Di Malaysia.
Kuala Lumpur: Gateway.

Rizanizam Abdul Hamid. 2010. Remaja Tanam Bayi. Utusan Malaysia, 17 Mei: 17.

Yong, Karen. 2006. Masalah Sosial Tiada Penghujungnya. Cheras, Selangor:


Penerbitan Premier.
http://www.slideshare.net/HafiziGhazali/isi-isi-penting-masalah-pembuangan-bayi
20

You might also like