You are on page 1of 11

MENELADANI PEMUDA ASHABUL KAHFI,

MEMBENTUK IDENTITI PEMUDA BELIA HARAPAN BANGSA

Oleh Sdr. Losinin Bin Johalin, Timbalan Yang Di Pertua,


Angkatan Belia Islam (ABIM), Daerah Ranau.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berkhemah dakwah kepada
semua pemuda belia sempena hari cuti sekolah terutamanya kepada Persatuan Pelajar-
pelajar Islam Daerah Ranau, Persatuan Bekas Pelajar Islam Daerah Ranau dan Ahli ABIM
Ranau yang sekarang ini dalam rangka kerja gerakan dakwah dan sosial sempena cuti
sekolah 2010. Usaha ini amat murni. Mudah-mudahan mendapat keberkatan daripada
Allah SWT

Sejak akhir-akhir ini kita sering dihidangkan dengan berita-berita negatif tentang generasi
muda di samping kisah kejayaan dan kecemerlangan yang telah diraih oleh mereka. Kes-
kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin dan adab sering dikaitkan
dengan generasi muda. Hal ini tentunya mengundang rasa rungsing dan gusar di
kalangan pemimpin negara terutamanya kepada pempinan pertubuhan dan persatuan
belia di negara kita.

Hari belia yang disambut pada 15 Mei lalu, setiap tahun di negara kita adalah sebagai
satu medan untuk setiap warga muda bermuhasabah dan memikirkan matlamat dan hala
tuju yang ingin dicapai oleh mereka. Tema hari belia tahun ini “ Belia Bina Bangsa, Belia
berwawasan dan Belia Malaysia” merupakan satu tema yang sangat menarik untuk kita
renungi dan fikirkan bersama . sememangnya warga muda hari ini adalah cerminan wajah
negara akan datang

Menurut Prof. Dr. Yusof Al Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor
dan disegani masa kini, katanya ; “ Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa
hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini
adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan
datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘ baldatun tayyibatun wa rabbun
ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan
dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.
Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauki pernah bermadah : “
Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu
maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”.

Pemuda belia sarat dengan perjuangan untuk mencari falsafah hidup dan identiti diri
masing-masing. Saban hari memikirkan hala tuju hendak kemana? Dengan pelbagai
pengaruh yang mendatang dari tiap sudut. Pengaruh negatif akibat budaya yang tidak
sihat serta pengaruh positif dari gerakan dakwah dan kemanusiaan bertembung seolah-
olah sengaja bersaing untuk mendapatkan lebih ramai pengikut mereka. Justeru, pemuda
belia yang kurang ilmu pengetahuan, kurang matang dan mudah terpengaruh tidak dapat
menimbang sebelum memilih jalan mereka. Ayuh pemuda belia, jadikan sebahagian
daripada kisah-kisah sejarah silam seperti ashabul-kahfi sebagai panduan hidup pemuda
belia muslim.

Ashabul Kahfi; tauladan buat pemuda umat ini Pemuda sebagai tunggak kepada
kekuatan ummah seharusnya mempunyai aqidah Islam yang teguh, kefahaman Islam
yang jitu, akhlak Islam yang mantap dan semangat keislaman yang waja. Pemuda
Islam mesti menyedari tanggungjawab mereka sebagai harapan agama dan ummah
iaitu;

1. Untuk mengabdikan diri kepada Allah


2. Untuk berkomitmen dengan manhaj Rabbani dan memperjuangkanya.
3. Membantu membangunkan ummah dan negara Pemuda Islam juga harus
menyedari asas-asas kekuatan mereka sebagai seorang muslim di mana tanpanya
mereka tidak akan mampu merealisasikan tanggungjawab mereka itu. Asas-asas
kekuatan itu ialah;

 Iman yang mantap di dalam jiwa


 Keikhlasan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaanNya
 Keazaman yang kukuh, yang tidak pernah mengenal erti takut, segan dan
malu.
 Amal/kerja yang bersungguh-sungguh dan berterusan tanpa jemu dan
malas.
 Pengorbanan yang tinggi yang tidak mengenal kecuali menang atau syahid.
Di dalam al-Quran, Allah telah membentangkan satu kisah untuk tatapan pemuda Islam
sepanjang zaman. Kisah yang menggambarkan pemuda yang beriman dan dengan penuh
cekal mempertahankan prinsip hidup mereka. Dalam usia yang masih muda mereka
sudah mengenal betapa tingginya nilai iman dan agama sehingga mereka tidak sanggup
menggadaikannya walaupun dengan tawaran harta benda yang mahal. Mereka lebih rela
mempertahankan iman dan agama mereka biarpun terpaksa hidup dalam buangan dan
terasing. Bahkan jika terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun, mereka akan sanggup
melakukannya.

Kisah yang kita maksudkan ialah kisah; “Ashabul Kahfi”. Kisah ashabul kahfi adalah kisah
yang menonjolkan contoh pemuda yang memiliki segenap ciri Pemuda Islam yang
sebenar iaitu;

1. Teguh dengan iman dan prinsip hidup sebagai seorang muslim


2. Yakin kepada diri sendiri
3. Berani berhadapan dengan apa sahaja cabaran
4. Sentiasa bersemangat mengharungi liku-liku hidup
5. Mampu berhujjah mempertahankan pandangan dan prinsip hidup
6. Sanggup berkorban
7. Setiakawan dalam mengharungi cabaran bersama
8. Sentiasa menjaga keta’atan kepada Allah walau dalam suasana mana sekalipun.

Kisah ashabul kahfi (yang bermaksud penghuni-penghuni gua) diceritakan oleh Allah
dengan panjang lebar di dalam surah al-Kahfi, bermula dari ayat 9 hingga ayat 26 (iaitu
kira-kira 15 ayat). Sebab turun ayat-ayat yang menceritakan kisah dalam surah al-Kahfi ini
sebagaimana yang diceritakan oleh ulama’-ulama’ tafsir ialah; “Paderi-paderi yahudi
berhasrat untuk menguji Nabi Muhammad s.a.w. sama ada ia benar-benar seorang Nabi
atau tidak. Lalu mereka menyuruh orang-orang musyrikin supaya menguji baginda
dengan bertanyakan tiga kisah yang ajaib yang berlaku pada zaman dahulu iaitu;

1. Kisah pemuda-pemuda yang bersembunyi dalam gua iaitu kisah ashabul Kahfi.

2. Kisah seorang raja adil yang mengelilingi dunia (timur dan barat) iaitulah Iskandar
Zulkarnain.

3. Kisah tentang hakikat ruh.


Setelah 15 hari Rasulullah s.a.w. menunggu, maka turunlah wahyu menceritakan ketiga-
tiga kisah tersebut”. Allah memulakan penceritaan dengan membentangkan rasa takjub
manusia tentang kisah ini walaupun sebenarnya mereka tidak perlu rasa takjub kerana ia
datang dari kudrat Allah, bahkan di sana terdapat banyak lagi tanda-tanda kekuasaan
Allah yang lebih hebat dari peristiwa ini (seperti penciptaan langit dan bumi, penciptaan
nabi Adam dan sebagainya).

Firman Allah; “Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘ashabul
kahfi’ (penghuni gua) dan ‘ar-raqiim’ (anjing mereka) termasuk antara tanda-tanda-tanda
kekuasaan Kami yang menakjubkan? (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari
tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdo`a: "Wahai Tuhan kami berikanlah
rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus
dalam urusan kami (ini)”. (al-Kahfi: 9)

Ashabul kahfi (penghuni-penguni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas –menurut
para ulama’- terdiri dari tujuh orang pemuda iaitu;

1. Maksalmina
2. Tamlikha
3. Martunus
4. Bainunus atau Nainunus
5. Sarbunus
6. Dzunuanus
7. Kasyfitatanunus

Bersama mereka seekor anjing bernama Qitmir mengekori mereka. Pemuda-pemuda ini
beriman kepada Allah di tengah kekufuran kaum dan bangsa mereka. Identiti mereka
sebagai pemuda yang beriman diakui oleh Allah dengan firmanNya; “Sesungguhnya
mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami
tambahkan kepada mereka petunjuk”. (al-Kahfi: 13)

Menurut ahli sejarah, kisah ini berlaku pada zaman sebelum kedatangan Islam di satu
negeri bernama Afsus yang terletak di Turki (ada pendapat menyatakan di Jordan, dan
ada juga mengatakan di Syria). Asalnya penduduk negeri itu beriman kepada Allah dan
beribadat mengesakanNya. Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang raja
bernama Diqyanus. Raja ini menganut fahaman kufur/berhala dan ia memaksa rakyat di
bawah pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah yang dibawa Nabi Isa a.s. dan
bertukar kepada agama kufur/berhala yang dianutinya. Rakyat yang takut dengan
ancaman dan siksaan raja itu terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu. Namun tujuh
pemuda beriman tadi tidak mahu tunduk dengan tekanan raja kafir itu. Mereka tetap
teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka
mungkin terancam dengan berbuat demikian.

Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja itu. Di hadapan raja yang zalim itu, mereka
dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman dan prinsip
aqidah ilahi yang mereka yakini. Allah berfirman menceritakan peristiwa mereka
berhujjah; “Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (di hadapan
raja) lalu mereka berkata (membentangkan hujjah kepada raja): "Tuhan kami adalah
Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya
kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum
kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa
mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?)
Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan
terhadap Allah?”. (al-Kahfi: 14-15)

Walaupun tidak mampu menjawab hujjah-hujjah yang mantap dari pemuda-pemuda


beriman ini, raja yang kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad dari
agama mereka. Ia memberikan tempoh beberapa hari kepada mereka. Jika selepas
tempoh itu pemuda-pemuda ini tetap berkeras, maka mereka akan dimurtadkan secara
paksa atau akan dibunuh. Kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda
ini bermesyuarat sesama mereka untuk mencari keputusan yang muafakat; apakah
tindakan yang sepatutnya diambil untuk mempertahankan diri dan juga agama mereka?
Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung di dalam gua di
kawasan pedalaman/kampung.

Firman Allah; “Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa
yang mereka sembah selain Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya
Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-
kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna”.
(al-Kahfi: 16)
Mereka lari ke pedalaman di kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat
sebuah gua dan di situlah mereka bersembunyi dan berlindung. Kebetulan semasa
perjalanan mereka ke situ mereka telah diekori oleh seekor anjing bernama ar-raqiim.
Maka anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan menetap di gua itu.
Di dalam gua itu mereka diberi ketenangan dan ketenteraman oleh Allah.

Ia telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut. Firman Alalh
menceritakan tentang mereka di dalam gua; “Lalu Kami tidurkan mereka dengan
nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya”. (al-Kahfi: 11). Allah ingin
menzahirkan bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini.
Maka Allah telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang amat
lama iaitu selama 300 tahun (mengikut perkiraan tahun Masihi) atau 309 tahun (mengikut
tahun Hijrah).

“Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan
kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu)
(yakni menjadi 309 tahun)”. (al-Kahfi: 25)

Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa
Allah, badan dan jasad mereka tidak hancur dan musnah. Bahkan Allah menyatakan
bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu nescaya kita tidak akan percaya
bahawa mereka sedang tidur. “Dan engkau sangka mereka sedar padahal mereka tidur;
dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri
(supaya badan mereka tidak dimakan tanah), sedang anjing mereka mengunjurkan kedua
lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan
berpaling dari mereka dengan melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi
dengan ketakutan terhadap mereka”. (al-Kahfi: 18) Setelah sampai tempoh yang
ditetapkan Allah (iaitu 300 tahun atau 309 tahun), mereka dibangunkan.

Ketika mereka bangun mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka tidur dalam jangka
masa yang amat lama. Mereka menyangka mereka hanya tidur dalam masa sehari atau
separuh hari sahaja. “Berkatalah salah seorang di antara mereka: "Sudah berapa lamakah
kamu berada (di sini?)". Mereka menjawab: "Kita berada (di sini) sehari atau setengah
hari….”. (al-Kahfi: 19)
Sebaik bangun dari tidur mereka, mereka terasa lapar. Maka sebahagian dari mereka
mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke Bandar bagi mencari sesuatu untuk
di makanan. Akhirnya mereka memilih Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa
mereka melarikan diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak.

Firman Allah menceritakan cadangan sebahagian dari mereka itu; “Maka suruhlah salah
seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa uang perak kamu ini, dan
hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal),
maka hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku
lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun.
Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, niscaya mereka akan melempar
kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian
niscaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya”. (al-Kahfi: 19-20)

Lihatlah betapa bersihnya hati dan akhlak mereka. Walaupun dalam keadaan yang gawat
dan susah serta kelaparan, tetapi mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang
ditugaskan ke kota mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang
bersih dan halal. Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa
kepada Allah. Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan kita supaya bertakwa kepadaNya
sedaya yang kita mampu, dalam keadaan mana sekalipun, sama ada senang atau susah.

FirmanNya; “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan


dengarlah serta ta`atlah; dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu”. (at-
Taghabun: 16)

Walaupun Allah menceritakan dalam ayat tadi bahawa pemuda-pemuda amat berhati-hati
dan berjaga-jaga agar jangan diketahui orang lain–kerana mereka menyangka raja yang
memerintah negeri masih raja yang dulu dan kafir kepada Allah-, namun Allah telah
mentakdirkan supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain
bagi menunjukan kekuasaan dan kehebatanNya. Kebetulan semasa pemuda-pemuda
ashabul kahfi ini dibangkitkan Allah setelah tidur 300 tahun lamanya, suasana negeri telah
banyak berubah. Raja dan pemerintah negeri merupakan orang yang beriman kepada
Allah. Begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya.

Namun masih terdapat segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu tentang
kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu; bagaimana Allah boleh menghidupkan orang
yang telah mati? Apatahlagi yang telah beribu bahkan berjuta tahun lamanya dimakan
tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah membangkitkan ashabul kahfi pada zaman
tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih ragu-
ragu lagi. “Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya
mereka mengetahui bahwa janji Allah menghidupkan orang mati adalah benar, dan
bahwa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya”. (al-Kahfi: 21)

Allah mendedahkan perihal pemuda-pemuda ashabul kahfi itu semasa wakil mereka itu
datang ke kota hendak membeli makanan. Ia merasa hairan melihat keadaan kota dan
penduduknya berubah sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan
wakil itu dan mereka semakin syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya
ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Ia dituduh menjumpai harta karun
lalu dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat hal agama.

Setelah mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua ashabul kahfi
bersama wakil itu, lalu berjumpa dengan pemuda-pemuda itu sekeliannya dan mendengar
kisah mereka. Sejurus kemudian pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah sesudah
memberi ucapan selamat tinggal kepada raja yang beriman itu dan orang-orangnya. Raja
mencadangkan supaya sebuah masjid didirikan di sisi gua itu. Sementara itu ada yang
mencadangkan supaya mendirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan. Hal ini
diceritakan Allah dengan firmanNya;

“Setelah itu maka (sebahagian dari mereka) berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi
(gua) mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". Orang-orang yang
berkuasa atas urusan mereka (yakni pihak raja) pula berkata: "Sesungguhnya kami
hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”. (al-Kahfi: 21)

Dalam usaha kita mencari manhaj sendiri (acuan) untuk membina dan membangun
generasi muda hari ini, ia menuntut perhatian yang besar dan bersungguh-sungguh dari
semua pihak sama ada dari kerajaan mau pun rakyat. Namun begitu janganlah usaha itu
hanya ala kadar sahaja seperti melepaskan batuk ditangga atau berbentuk musim-
musiman sahaja .

Sesungguhnya, peranan dan tanggung jawab belia pada hari ini adalah signifikan untuk
menjana pembangunan negara bangsa dan cita-cita agama adalah cukup besar sekali.
Peranan belia hari ini bukan sekadar membina kerjaya atau melakukan aktiviti-aktiviti
untuk memenuhi masa lapang dan hobi sahaja tetapi warga belia sepatutnya turut sama
menyumbang idea, masa dan tenaga ke arah pembangunan modal insan menjadi sebuah
bangsa yang dihormati dan disegani di persada dunia.

Dari ruang lingkup yang lebih besar, umat Melayu Muslim hari ini bukan lagi hanya
menjadi penonton atau pemain simpanan sahaja tetapi haruslah bersiap siaga untuk
menjadi pemain utama dalam memacu umat untuk memimpin tamadun dunia dan
menjadi umat contoh , terutamanya pada masa sekarang di,mana imej dan citra agama
Islam digambarkan dalam keadaan yang buruk. Gambaran suram wajah Islam hari ini
semestinya diperbetulkan melalui kekuatan peribadi, intelek, ekonomi, pemikiran,
kebudayaan generasi muda pada hari ini.

Peranan generasi muda sememangnya terserlah dalam sejarah manusia itu sendiri.
Golongan mudalah yang menjadi pelopor kepada suatu kebangkitan dan menjadi
penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat. Dalam sejarah perkembangan
Islam, sejak ia bermula bertapak di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan
mudalah yang banyak memainkan peranan utama seperti sahabat Rasulullah SAW yang
setia berjuang dan berjihad menegakkan kalimah Allah dimuka bumi ini.

Lihatlah nama-nama besar seperti Saidina Ali, Saidina Osman, Abdul Rahman bin Auf,
Ibnu Zubair, Ibnu Abbas dan ramai lagi sahabat-sahabat yang menjadi pendokong utama
dan jentera penggerak pembinaan ketamadunan Islam. Sejarah juga pernah menyaksikan
ketangkasan Usamah bin Zaid yang berusia 18 tahun memimpin satu bala tentera untuk
menyerang kerajaan Rom dan Kehebatan Muhammad Al Fateh membuka Kota Istanbul
( Konstantinopal ) ketika berusia 21 tahun.

Peranan golongan muda dalam Al Quran dirakamkan dalam episod pemuda-pemuda kahfi
yang bersikap berani mempertahankan akidah dari seorang raja yang zalim.

Firman Allah SWT dalam surah al Kahfi 18 : 13 - 14, Terjemahannya :

“ Kami ceritakan kisah mereka ( Ashabul kahfi ) kerana keredaanmu ( Muhammad )


dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman kepada
Tuhan mereka dan kami telah tambahkan kepada mereka petunjuk dan kami telah
meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata ;” Tuhan kami
adalah Tuhan selain Dia, Sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkam
perkataan yang amat jauh dari kebenaran”.
Ringkasnya , peranan utama warga muda muslim hari ini ialah ;

1. Menjadi hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini.


2. Bertanggungjawab membina dan membangun diri dari segi intelektual, rohani, jasmani
dan emosi.
3. Menjadi penyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup sihat yang berteraskan
Islam sebagai satu cara hidup.
4. Mencegah dan menghalang kemungkaran iaitu perilaku dan amalan yang bertentangan
dengan syariat Islam.
5. Menjadi pencetus , penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan
disegani masyarakat dunia.

Dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global tanpa sempadan hari ini, banyak
berlaku kebanjiran dan limpahan budaya negatif dan rosak yang melanda negara di
seluruh dunia. Warga muda hari ini bukan sahaja terdedah kepada masalah
penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi
budaya hedonisme – suka berpoya-poya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dalam
amalan seks bebas ( berzina ), ketagih rokok, judi, arak, bahan porno ( lucah ) dan sms
dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan kita.

Mana mungkin anak-anak muda yang majoritinya adalah anak-anak Melayu Muslim ini,
yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, mampu untuk memikul amanah mengurus dan
mentadbir agama serta menjamin kedaulatan negara ? Tentunya kegusaran ini turut
dirasai dan dikongsi oleh semua generasi pewaris hari ini dan marilah kita sama-sama
berganding bahu dan bekerjasama untuk membina anak bangsa kita dengan acuan dan
cara hidup sihat yang berteraskan ajaran Islam yang suci ini. Firman Allah SWT dalam
surah At-Tahrim : 66 : 6 , terjemahannya ;Wahai orang-orang yang beriman, jagalah
dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.

Menyedari bahawa jumlah warga muda seramai 12 juta ini harus digembleng keupayaan,
kemahiran dan kepakaran mereka untuk membangun ummah marilah sama-sama kita
bangkit dari perbaringan dan lena yang panjang. Sedarlah kita bahawa dihadapan
terbentang banyak cabaran dan tugasan yang sedia menunggu untuk dibereskan.
Ingatlah bahawa tanggungjawab dan tugasan lebih banyak dari masa yang ada
“PEMUDA HARAPAN BANGSA, PEMUDI TIANG NEGARA”

Rujukan:
Ahmad Syahmi (2009), Meneladani Pemuda Unggul Ashabul Kahfi, melalui laman blog
http://ahmadsyahmi.blogspot.com, tarikh akses 13 Mei 2010.

Sidang Pengarang (20090, Kisah Ashabul Kahfi, melalui laman web / laman forum
http://halaqahionline.com, tarikh akses 14 mei 2010

You might also like