You are on page 1of 3

TOK KU PALOH (1817M-1918M)

Nama penuh Tok Ku Paloh ialah Engku Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid
Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus
juga mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku
Paloh. Gelaran lain ialah Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh
al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloj juga pernah menjadi Ahli Mesyuarat
Kerajaan sekali gus merupakan penasihat sultan pada zaman Sultan Zainal
Abidin III.

Ayahanda Tok Ku Paloh pula adalah Sayyid Muhammad bin Zainal Abidin Hussain
bin Mustafa al-Aidarus yang juga lebih dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar
Syaikh al-Ulama Paduka Indera pada zaman pemerintahan Baginda Omar. Tok
Ku Paloh merupakan anak kedua daripada perkahwinan Tok Ku Tuan Besar
dengan isteri pertamanya iaitu Hajjah Aminah. Tok Ku Paloh mempunyai
beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang
berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Sayyid Zain al-Aidrus
yang digelar dengan Engku Sayyid Seri Perdana, Sayyid Ahmad al-Aidrus digelar
Tuan Ngah Seberang Baroh, Sayyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tuan Dalam
dan Sayyid Hassan yang dikenali Tuan Senik Parit.  Adik-beradiknya selain yang
disebut itu ialah Sayyid Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embong
Solok atau Tuan Kecik, Sayyid Abdul Kadir yang dikenali sebagai Engku Sayyid
Syaikh Aishadat dan Sayyid Hussain juga digelar Tuan Muda Wakaf. Manakala
adik beradik perempuannya pula terdiri daripada Tuan Nik, Tuan Hitam, Tuan
Senik, Tuan Puteh, Tuan Mariam, Tuan Saripah dan Tuan Wook.      

Tok Ku Paloh dilahirkan kira-kira pada tahun 1236H/1817M di Cabang Tiga iaitu
berhampiran dengan kawasan Masjid Tok Ku di Cabang Tiga. Beliau hidup dalam
zaman pemerintahan lapan orang Sultan silih berganti dan beliau juga
mempunyai pengaruh yang kuat semasa zaman pemerintahan Sultan Zainal
Abidin III. Oleh kerana Sayyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh
berasal daripada keturunan ‘Sayyid’, maka sudah menjadi satu tradisi
keturunan itu lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada
orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Sayyid Muhammad al-Aidrus
atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai
kedudukan tertinggi dalam urusan hal ehwal Islam di negeri Terengganu.

Sehubungan itu, Sayyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang
ilmu daripada orang tuanya sendiri. Hampir semua orang yang menjadi ulama di
Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-
ulama yang berasal dari Patani. Sayyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar
daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad
Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung. Manakala Tok Ku Tuan Besar dan Tok
Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul
Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu semasa zaman
remaja mereka.

Tok Syaikh Duyong amat menyayangi Tok Ku paloh kerana anak muridnya itu
amat taat, alim, warak dan mempunyai ciri-ciri ketokohan dalam bidang
keagamaan dan memiliki karamah. Selepas itu, Tok Ku Paloh melanjutkan
pelajarannya di Makkah. Di sana beliau bersahabat dengan Syaikh Muhammad
Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Rahman al-Fathani,
Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani yang juga
merupakan anak kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu dan ramai lagi.
Antara orang yang menjadi guru mereka di Makkah ialah Sayyid Ahmad bin Zaini
Dahlan dan Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Tok Ku Paloh sangat arif tentang ilmu tasawuf dan tarekat. Dalam hal ini,
beliau telah mengarang kitab dan risalah mengenai persoalan kerohanian.
Setelah berada di Makkah selama 10 tahun, Tok Ku Paloh pulang sebagai
seorang tokoh ulama besar, seorang yang amat warak dan juga terkenal sebagai
pemimpin kerohanian yang mengembangkan tarekat Naqsyabandiyyah.

Setelah pulang dari Makkah, Tok Ku Paloh telah memulakan pengajarannya di


masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Ini
merupakan langkah awal beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat sebelum
melangkah kepada kegiatan yang lebih mencabar, bukan sahaja dalam bidang
pentadbiran dan pemerintahan, malah berjihad menentang kemungkaran dan
penjajahan British.

Selepas itu, Tok Ku Paloh telah berpindah ke Kampung Paloh dan terus
memusatkan aktivitinya di sana sehingga Kampung Paloh didatangi orang
daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi
juga dari Kelantan, Pahang dan Patani. Di Paloh, beliau telah meluaskan lagi
pengajarannya dan mula dikenali sebagai Tok Ku Paloh setelah dikurniakan
kawasan Paloh oleh Sultan Zainal Abidin III.

Tok Ku Paloh mengajar ilmu agamanya di sebuah surau berhampiran rumahnya


yang akhirnya dikenali sebagai “Surau Tok Ku”. Semenjak itu, Kampung Paloh
menjadi tumpuan ramai dan kebanyakan murid-muridnya terdiri daripada
penduduk kampong di sekitarnya, malah ia menjadi masyhur ke seluruh
Nusantara. Di antara anak murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III,
Haji Abdur Rahman Limbung, Tuan Haji Muhammad Shafei Losong, Sayyid
Saggaf bin Sayyid Abdul Rahman (Engku Kelana), Haji Dollah Langkawi, Haji
Muhammad Syam Pahang, Sayyid Abu Bakar (Tuan Embong) dan Sayyid Akil
(Tuan Pengeran Engku Seri Bijaya Sura).       

Tok Ku Paloh ialah seorang ulama yang mempunyai darah kepahlawanan yang
tulen dan beliau tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi
mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang
Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu.
Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti
yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar:

“Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk


Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah
mengalami tekanan daripada kerajaan. Pada Mei 1894, mereka menghubungi
Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja
memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi
perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di
Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah
menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad. Hasil semangat
baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan,
pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.”

Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu
Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada
Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan
surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada SultanTerengganu itu.
Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak
berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.

Tok Ku Paloh wafat pada bulan  1 hb Zulhijjah 1336 H/ 7 hb September 1918 M


dan dimakamkan di tanah perkuburan “Makam Tok Ku Paloh” yang terletak
berhampiran dengan rumahnya dan suraunya. Pemergian beliau bukan sahaja
dirasai oleh penduduk Kampung Paloh, malah turut dikongsi oleh seluruh
penduduk negeri Terengganu. Ketokohan beliau amat sukar dicari ganti dan
belum juga ditemui setakat ini iaitu setelah hampir satu abad pemergiannya.
Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri
kerajaan Terengganu.

Sebagai ulama yang aktif, Tok Ku Paloh tidak ketinggalan menghasilkan


beberapa buah kitab. Di antaranya, kitab Dhiya’ ‘Uqud ad-Durratain dan kitab
yang diberi judul Ma’arij al-Lahfan yang bermaksud tangga orang yang sangat
dahaga untuk naik kepada hakikat-hakikat pengenalan. Ia merupakan sebuah
kitab yang mengandungi intisari ilmu tasawuf dan tarekat.

Begitulah perjuangan Tok Ku Paloh yang begitu gigih menegakkan kalimah Allah
di bumi Terengganu Darul Iman dalam pelbagai bidang kehidupan ummah
sebagai seorang ulama, pentadbir, penasihat dan juga seorang pejuang yang
berani untuk agama, bangsa dan negara.

You might also like