You are on page 1of 10

Perancangan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual dan

Pendidikan Seni Berasaskan Disiplin (DBAE)

Oleh Prof. Madya Hj Iberahim Hassan

Kurikulum pendidik seni sering menerima perubahan demi perubahan. Sebagai pendidik
seharusnya berupaya untuk menilai atau memeriksa semula bidang-bidang seni tertentu
supaya sentiasa terkini selari dengan keparluan semasa. Lebih-lebih lagi jikalau kita
berupaya menilai semula pemikiran kita terhadap kemungkinan apa yang akan kita ajar
nanti. Pemikiran itu bersangkutan dengan kepercayaan apakah fungsi seni dalam
pendidikan pelajar dan bagaimana seni itu perlu diajar. Kita juga mempersoalkan
terhadap pandangan bahawa perkembangan pelajar yang umumnya mengenai kreativiti
itu adalah sebagai matlamat utama pendidikan seni. Kita juga mempersoalkan pandangan
bahawa pengajaran pendidikan seni itu tertumpu hanya kepada berkerja dengan alat dan
bahan sahaja. Kita juga mempersoalkan jikalau peranan guru hanya sebagai penyedia
bahan dan sumbar, kurang mengajar. Kita mempercayai bahawa melalui pelajaran
pendidikan seni banyak yang boleh disediakan untuk perkembangan pelajar. Kita
mempersoalkan bahawa pembelajaran artistik itu bukan setakat berkebolehan
menggunakan alat dan bahan semata, dan kita membuat rumusan bahawa peranan guru
lebih jauh daripada hanya sebagai pembekal alat bahan dan sumber dan menyetabil
emosi murid-murid sahaja.

Idea daripada pensyarah universiti yang diterima oleh pelajar-pelajarnya diharapkan


akan dibawa dan dilaksanakan di sekolah-sekolah kelak. Tetapi sejauhmanakah idea
yang telah dikonseptual itu akan dilaksanakan di peringkat sekolah. Berbanding dengan
sambutan masyarakat sekolah dan juga masyarakat setempat terhadap mata pelajaran lain
yang lebih diutamakan seperti mata-mata pelajaran matematik dan sains, mata pelajaran
pendidikan seni diletakkan sebagai pelajaran yang tidak berkepentingan. Atas keadaan
inilah memberi tekanan kepada guru bagi merealisasikan konseptual pendidikan seni
yang sebenarnya. Lebih-lebih lagi bahan-bahan dan sumber sokongan untuk
melaksanakan pelajaran ini secara yang lebih berkesan memerlukan sumbangan
peruntukan yang agak tinggi berbanding dangan mata pelajaran kemanusiaan dan sains
yang lain. Sejauhmanakah sumbangan pihak swasta atau NGO lain sanggup membantu
pihak pelajar dan sekolah menjayakan perlaksanaan mata pelajaran ini. Di negara kita
usaha begini belum dicuba secara menyeluruh. Usaha guru untuk mempastikan
keistimewaan mata pelajaran ini tinggal usaha sahaja jikalau tidak mendapat sokongan
sama ada dalam bentuk moral atau kewangan daripada pihak berkenaan.

Saya percaya bahawa dengan perkembangan dunia semasa dan perubahan keperluan
dalam pembangunan negara bangsa kita, sumbangan mata pelajaran pendidikan seni ini
adalah releven dengan keparluan itu. Masyarakat seharusnya mempunyai tanggapan
bahawa memberi pendidikan kepada anak-anak mereka bukan setakat duduk belajar
menerima ilmu dan kemahiran matematik, sains dan teknologi sahaja, pendidikan yang
harus diterima oleh pelajar adalah bertujuan untuk mengmbangkan potensi menyeluruh
anak-anak mereka secara optimum bukan sahaja menjurus kepada mata pelajaran utama,
juga melalui mata pelajaran pelengkap yang lain termasuk termasuk mata pelajaran yang

1
berbnetuk kesenian. Dalam sistem persekolahan kita, Pendidikan Seni Visual adalah mata
pelajaran wajib daripada tahun satu sekolah rendah hingga ke tingkatan tiga sekolah
menengah. Ia juga merupakan mata pelajaran elektif untuk sekolah menengah atas.
Sukatan pelajara Pendidikan Seni Visual telah disemak semula dan merupakan yang
terbaik untuk dilaksanakan di sekolah-sekolah. Ianya mampu memberi persediaan awal
bagi sebahagian daripada syarat masuk ke pusat pengajian tinggi khususnya untuk
bidang-bidang yang releven seperti, bidang yang memerlukan kemahiran melukis dan
kreativiti yang tinggi seperti seni binaan, pereka, dan sebagainya. Banyak universiti telah
menawarkan kursus-kursus yang memerlukan kemahiran dalam bidang seni ini.

Sebenarnya di dalam dunia pekerjaan sangat banyak bidang-bidang yang memerlukan


kemahiran dalam seni ini apa lagi jikalau dicantumkan kebolahan pelajar dengan mata
pelajarn sains dan teknologi. Seni, sains dan teknolologi adalah kombinasi yang wujud
dalam kehidupan era moden kini. Malangnya ada pihak tertentu yang tidak pernah peka
tentang perubahan paradegma ini sengaja mengenepikan mata pelajaran ini untuk
pelajatr-pelajar aliran sains walaupun kita telah mengamalkan konsep sijil terbuka. Malah
daripada hasil kajian yang telah dilakukan banyak sekolah-sekolah menengah yang tidak
memasukkan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual dalam jadual waktu rasmi atas
alasan tidak cukup waktu belajar. Pelajar-pelajar yang membuat pilihan Pendidikan Seni
Visual sebagai elaktif, terpaksa belajar sendiri di luar jadual waktu tanpa diurus secara
rasmi, di samping bergantung kepada kesanggupan guru untuk mengajar lebih masa,
selalunya di waktu petang.

Untuk meningkatkan kualiti akademik bagi pembelajaran Pendidikan Seni Visual di


Amerika umpamanya uasha sama di antara pakar-pakar dalam bidang ini dengan bantuan
kewangan oleh Yayasan Gettey telah berjaya mengutarakan sebuah konsep kurikulum
yang lebih bercorak akademik dikenali secara umumnya sebagai pendidikan seni
berasaskan disiplin (Discipline- Based Art Education -DBAE).

Kita juga bersetuju Pendidikan Seni Visual ini merupakan sebahagian kecil daripada
mata pelajaran yang memberi peluang kepada pelajar mengksploitasi emosinya sebagai
sebahagian daripada sumber kandungan yang menggalakkan keupayaan imaginasi.
Pendidikan senilah yang memberi peluang kepada pelajar sebagai tempat pelarian
sementara daripada kurikulum yang penuh dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak
berkuasa , tempat yang didominasi dengan keriuhan kata-kata, huruf dan angka-angka.
Menerusi pendidikan seni juga pelajar digalakkan menemuai visi peribadinya dan kerja-
kerjanya yang merupakan coritan peribadi. Sekolah penuh dengan peraturan-peraturan
yang ditentukan oleh kurikulumnya, yang merupakan arahan guru, yang lebih merupakan
hanya satu sahaja jalan penyelsaian bagi sesuatu persoalan, dengan hanya satu jawapan
yang betul bagi setiap soalan. Apa yang sangat-sangat diperlukan oleh pelajar ialah
ruang, tempat dan yang lebih diperlukan lagi adalah kebenaran daripada pihak yang lebih
berkuasa membenarkan mereka membuat sesuatu mengikut rentak mereka, membenarkan
mereka meghadapi cabaran, mengikut tempoh dan menghadapi erti kegagalan. Apa
yang diperlukan oleh pelajar adalah ruang untuk hidup (lebensraum). Pendidikan seni
seharusnya tidak kaku, tidak berunsur mekanikal, lifeless dan pembelajaran akademik

2
yang hambar . Jikalau terlalu bercorak akademik pun akan mengakibatkan keistimewaan
yang boleh ditawarkan oleh mata pelajaran ini akan pudar.

Eisner dalam rancananya bertajuk Structure and Magic in Discipline-based Art


Education dalam Al Hurwitz (1991) ms 17 menyatakan pentingnya pengalaman yang
cukup dalam pembinaan konsep amalan pendidikan. Untuk mendapat pengalaman bagi
mendapatkan pendidikan yang segnifikan seseorang individu itu perlu berupaya
menggunakan kecerdasannya untuk menghadapi permasalahan dalam kehidupannya. Hal
ini boleh berlaku dalam mana-mana mata pelajaran pendidikan seni, kerana dalam mata
pelajaran ini amat sesuai untuk pelajar berfikir dengan lebih bijak tentang seni dan
manifestasi terhadap dunia sekitarnya. Melalui pengalaman yang diterima boleh
merangsang pelajar untuk berfikir dan mengaitkan apakah disiplin yang berkaitan
dengannya. Inilah yang hendak dicapai melalui pendidikan seni berasaskan disiplin
(DBAE). Apakah yang akan mereka belajar ? Apakah bentuk permasalahan yang akan
mereka hadapi apabila mereka belajar pendidikan seni? Apakah yang kita lakukan
dengan seni ?

Terdapat empat perkara penting yang kita lakukan dengan seni. Iaitu, kita
menghasilkannya. Kita melihatnya. Kita memahami bahawa seni sentiasa berada di
dalam budaya. Kita juga membuat penilaian tentang kualiti sesebuah bentuk seni itu.
Dalam pendidikan seni berasaskan disiplin ini terdapat empat bahagian yang menjadi
struktur kurikulumnya iaitu, menghasilkan produk seni, mengkritik seni, sejarah seni dan
estetika. Aktiviti menghasilkan produk seni boleh membantu pelajar berfikir secara
bijaksana tentang mencipta imej-imej visual, membantu mereka belajar mencipta imej
yang mempunyai tenaga eksprasif, coherence, celik akal ( insight) dan pandai mencipta
( ingenuity).
Manakala melalui kritikan seni pula akan membantu keupayaan pelajar melihat, bukan
sekadar memandang sahaja, melalui keupayaan melihat dengan teliti boleh menbina
kualiti yang lebih bererti tentang dunia persekitarannya yang berselerakan dengan hasil
kerja-kerja seni yang formal.

Disiplin sejarah seni pula boleh membantu pelajar tentang hubungan antara karya seni
atau hasil-hasil peninggalan seni dengan dimensi masa, ruang, manusia dan seniman serta
pemikiran mereka seterusnya membolehkan pelajar memahami bentuk-bentuk tamadun
merentasai dimensi masa dan ruang serta bangsa secara perbandingan. Tiada hasil seni
yang berada dalam konteks vakum, sebahagian daripada makna yang dipancarkan
menerusi karya seni bergantung kepada kefahaman dan penerimaan dalam konteks
semasa atau setempat.

Disiplin estetika pula merupakan satu displin yang baru diperkenalkan dalam kurikulum
pendidikan seni, berkaitan dengan asas-asas teori untuk menilai kualiti sesuatu yang kita
lihat. Manusia adalah makhluk yang sentiasa gemar membuat penilaian. Kita akan
berhujah dan memberi pendapat terhadap sesuatu nilai dan kita bersungguh-sungguh
mengamalkannya. Umpamanya di dalam situasi yang ada pilihan, kita tidak langsung
terus membuat keputusan membeli kain ela untuk pakaian kita, kita akan membuat
pilihan demi pilihan, penilaian demi penilaian. Kadang-kadang kita akan menggunakan

3
masa yang lama dan melawat beberapa buah kedai untuk membuat perbandingan,
macam-macam kriteria kita gunakan untuk menilai dan membuat pilihan terakhir. Inilah
situasi membuat penilaian estetika. Memahami tentang kepelbagaian kriteria estetika
boleh di aplikasi ke dalam kerja-kerja seni, yang akan merangkaikan hubungan antara
makna yang hendak dilahirkan melalui bahan dan teknik, dikendalikan secara bijaksana
dan teratur akhirnya lahirlah sebuah hasil seni yang mempesonakan. Itulah yang
dikatakan estetika. DBAE bertujuan untuk mengembangkan keupayaan pelajar
menangani masalah bagi keempat-empat disiplin yang dikemukakan.

Hasrat untuk merealisasikan pendekatan ini adalah bergantung kepada kebijaksanaan


guru menterjemah, merancang dan melaksananya di bilik darjah. Dengan kefahaman
yang jelas dan keupayaan menterjemah matlamat pendekatan DBAE ini akan dapat
menyediakan satu rentetan pembelajaran yang mampu membentuk pengalaman pelajar
terhadap keistimewaan-keistimewaan yang boleh mereka garap menerusi pembelajaran
pendidikan seni ini. Sekiranya guru gagal menyediakannya , pelajaran pendidikan seni
akan menjadi hambar , cetak, malap dan faedah yang diterima oleh pelajar berada ditakuk
lama juga akhirnya. Pendidkan seni memerlukan kurikulum yang mantap dan berkualiti
dengan guru yang cekap dan berpengetahuan untuk mengendalikan pelajaran ini. Apakah
kurikulum Pendidikan Seni Visual kita belum mantap ? Adakah DBAE ini cukup mantap
untuk dilaksanakan ? Persoalannya adalah kita tidak perlu menyoal tentang kemantapan
kurikulum, tetapi kita perlu mempersoalkan bagaimanakah kita menterjemah hasrat,
matlamat dan objektif kurikulum itu di peringkat operasional. Selalunya guru-guru hanya
mengambil kandungan sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual itu untuk merancang
pengajaran dan pembelajaran bagi setiap tahun. Saya percaya jarang di antara guru yang
mengaitkan antara objektif sukatan pelajaran dengan kandungannya ketika membuat
perancangan. Oleh itu perancangan hanya sekadar memfokuskan kepada tajuk dan suf-
tajuk kandungan dalam sukatan pelajaran, akhirnya apa yang berlaku di bilik darjah,
pelajaran hanya menumpukan kepada penghasilan produk dan sedikit menyentuh hal-
hal yang berkaitan dengan sejarah, estetika dan kritikan seni. Oleh itu adalah
dicadangkan supaya guru-guru menggunakan salah satu daripada pendekatan-pendekatan
menyediakan rancangan pelajaran pendidikan seni ini iaitu menggunakan pendekatan
DBAE. Ada juga pendekatan lain seperti pendekatan budaya, etnografi, pendekatan
studio (yang sering diamalkan) (Chapman 1998, Michael 1983, Bates 2000) dan
sebagainya asalkan bersesuaian dengan matlamat dan objektif pembelajaran.

Untuk merancang pelajaran pendidikan seni di sekolah rendah konsep gabung jalin dan
penyerapan antara mata pelajaran digalakkan. Dengan perancangan yang bijak konsep
penggabungjalinan ini akan mampu memalarkan sempadan yang ada di antara mata
pelajaran boleh berlaku secara fleksibel. Untuk ini keupayaan guru untuk merancang
kurikulum secara bersepadu memerlukan kefahaman yang lebih menyeluruh antara mata
pelajaran, kerjasama antara guru-guru dan antara panitia setiap mata pelajaran adalah
amat dituntut. Kefahaman dan kesedaran tinggi tentang matlamat pendidikan itu secara
menyeluruh perlu dikuasai, jauhi sikap mementingkan hak atau mengutamakan
sempadan antara mata pelajaran lain yang boleh mewujudkan pembahagian atau
pengasingan, garis sempadan yang sebenarnya boleh dimalarkan. Perancangan
kurukulum untuk sekolah rendah seharusnya menitikberatkan konsep sepadu. Apabila

4
perancangan tahunan, minggu atau harian itu dirancangan secara bersepadu antara
disiplin atau antara mata pelajaran, mungkin melalui isi pelajaran, atau melalui
kemahiran-kemahiran yang setara maka pembahagian dan pengasingan pengalaman
pembelajaran di kalangan pelajar tidak akan berlaku sebaliknya pembelajaran berlaku
secara bersepadu.

Penyepaduan antara satu mata pelajaran dengan satu mata pelajaran lain bukanlah tidak
memberi kesan sampingan. Sebaliknya memang ada kesan iaitu kurangnya tumpuan
khusus pada mata pelajaran berkenaan secara total ketika melalui proses pembelajaran.
Untuk mata pelajaran pendidikan seni dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi
disiplinnya supaya tidak ditelan oleh tumpuan kepada mata pelajaran yang
disepadukannya itu yang sering dianggap mata pelajaran yang lebih mustahak,
dicadangkan bahawa kesepaduan antara mata pelajaran itu hanya dilakukan apabila
diperlukan dan bila bersesuaian sahaja. Selagi nilai seni itu tidak ditenggelami oleh arus
proses pembalajaran pelajaran lain. Maksudnya, kandungan pelajaran dan sub kandungan
pelajaran bagi sesuatu pembelajaran adalah merupakan struktur kurukulum berasaskan
disiplin (DBAE) yang dirancang secara terbuka. Isu yang utama di sini adalah bagaimana
untuk mencapai matlamat pendidikan dimana DBAE sebagai landasan perancangan.
Sebagai contoh ketika merancang pelajaran yang berkaitan dengan estetika, isi dan latar
belakang pembelajaran boleh disepadukan dengan pelajaran bahasa, dan kesusteraan.
Untuk memberi pengalaman estetika kepada pelajar-pelajar guru boleh menggunakan
sajak, puisi dan lagu kemudian pelajar menterjemahkannya ke dalam bentuk visual atau
sebaliknya. Sebagai contoh menerusi pengalaman dan pemerhatian satu detik indah
mungkin ketika saat-saat tertentu pelajar memerhatikan kesan titisan warna ke dalam
segelas air jernis, saat-saat itu direkodkan oleh pelajar dengan kata-kata berpuisi, yang
penuh dengan metapora dan perlambangan .

Konsep sepadu itu bukan setakat berlaku antara mata pelajaran sahaja. Sebenarnya di
dalam mata pelajaran itu sendiri boleh berlaku konsep sepadu . Jikalau kita menyediakan
perancangan berasaskan struktur DBAE terdapat empat disiplin yang boleh dirancang
secara sepadu. Pengsepaduan antara disiplin boleh dilakukan. Empat disiplin, dalam
pembelajarn pendidikan seni iaitu, sejarah seni, penghasilan produk seni, estetika dan
kritikan seni boleh dirancang dan digabunjalinkan secara sepadu atau diajar berasingan,
atau secara selari atau sepadukan antara komponen-komponen unit utama atau aktkviti
seni yang direka bentuk untuk mewujudkan perhubungan antara konsep, kemahiran dan
generalisasi antara empat disiplin itu.

Hubungan antara sejarah seni, kritikan seni dan estetika adalah amat nyata sekali jikalau
disepadukan dengan proses dan prosidur menghasilkann produk seni. Seseorang pelajar
yang bercadang untuk membuat sebuah karya yang berkaitan dengan tema-tema
kemanusiaan , seperti peperangan dan kezaliman boleh merujuk kepada pelukis Nirmala
Shanmughalinghm bertajuk Vietnam 1981 yang mempersoalkan kekejaman peperangan
di Vietnam atau Ibrahim Hussein bertajuk My Father and The Astronaut, 1969 yang
mempersoalkan pertembungan nilai manusia antara tradisional dan moden . Kedua-dua
pelukis ini membawa tema kemanusiaan, masing-masing menggunakan media dan
teknik pengutaraan yang berbeza. Melalui sejarah seni pelajar dapat mepelajari

5
pengalaman seniman menghasilkan karya, apakah tema yang dipilih, sejauh manakah
pekanya seniman terhadap nilai-nilai persekitaran sama ada tempatan atau peringkat
antara bangsa. Begitu juga pelajar dapat membandingkan teknologi media yang dipilih
untuk menghasilkan sesebuah karya. Mengenai nilai estetika pula pelajar boleh
membandingkan cara persembahan seniman tersebut, lihat bagaimana Ibrahim Hussein
menggunakan kepakarannya menghasilkan imej yang realistik menerusi kombinasi cat
minyak dan cetakan, kombinasi yang begitu harmoni. Manakala Nirmala pula
menggunakan teknik campuran cetakan dan catan akrilik di atas kanvas, transformasi
imej-imej foto yang menggambarkan penderitaan rakyat Vietman kesan peperangan,
dengan paparan hitam putih sesuai dengan mod yang dipaparkan.

Bukan setakat membanding karya sahaja, atau setakat melihat gambar catan daripada
seniman-seniman yang dipilih, malah pelajar boleh membuat kajian di perpustakaan ,
atau membaca melalaui beberapa artikal, keratan surat khabar hasil kritikan oleh
pengkritik-pengkritik terhadap sesuatu karya seni. Melalui majalah Budaya umpamanya
banyak tulisan-tulisan yang menyentuh karya seniman tanah air. Untuk membuat
perbandingan antara seniman antara bangsa pula, melalui teknologi ICT guru atau
pelajar boleh melayari internet memasuki halaman Museum of Art umpamanya akan
dapat segala bentuk seni atau seumpamanya untuk dijadikan sumber pembelajaran .
Dengan cara ini juga kita tidak terikat dengan buku teks pendidikan seni yang memang
pun tiada dalam sistem persekolahan kita.

Pendek kata terpulanglah kepad guru untuk merancang, kerana dalam kontaks
pendidikan di negara kita, walaupun sukatan pelajaran dan kandungan bagi satu-satu
tahap telah ditetapkan oleh pihak Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian
Pendidikan Malaysia tetapi untuk merancang pelajaran berdasarkan tahunan, semester
atau penggal, mingguan dan harian itu masih terletak di tangan guru. Antara guru dan
muridlah yang meletakkan sempadan sesuatu bidang ilmu dan pengalanan bagi sesuatu
mata pelajaran itu. Jikalau guru hanya terikat kepada kandungan yang ditetapkan dalam
sukatan pelajaran atau huraian sukatan pelajaran maka setakat itu sahajalah ilmu dan
kemahiran yang dapat dialami oleh pelajarnya. Pada dasarnya gurulah yang menentukan
hala tuju pembelajaran. Guru yang menentukan isi kandungan, guru yang menentukan
kaedah pembelajaran, guru juga yang mentukan apa, bagaimana dan sejauhmana serta
bila sesuatu pelajaran itu berlaku. Sama ada guru mengawal keseluruhannya atau tidak
mengawal apa-apa pun, ini boleh berlaku. Sama ada guru membuat perancangan
berdasarkan kreativiti dan inovasinya tidak hanya setakat mengikut apa yang tercatat
dalam kurikulum sedia ada atau mengikut sahaja apakah kandungan yang tercatat dalam
kurikulum yang ditetapkan sekadar untuk menghabiskan tajuk-tajuk dan aktiviti untuk
sepanjang tahun persekolahan.

Yang jelas ialah kurikulum bukanlah berupaya menyatakan keseluruhannya akan apa
yang patut dilakukan oleh guru. Kurukulum hanya boleh menyediakan ruang untuk guru
membuat justifikasi, dan interpritasi setidak-tidaknya dalam dua lokasi. Pertamanya
guru boleh merancang semula kandungan sukatan pelajaran berdasarkan tahap-tahap
yang telah ditetapkan dengan menggunakan mana-mana pendekatan yang sesuai dengan
matlamat dan objektif sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual itu. Pendekatan itu

6
mungkin salah satunya ialah DBAE. Keduanya sukatan pelajaran pendidikan seni terlalu
luas ruang lingkup bidang dan isi kandungnya untuk dilaksanakan dalam tempoh lima
tahun di sekolah menengah dan enam tahun di sekolah rendah. Untuk satu-satu tahun
sesi persekolahan guru boleh memilih beberapa tajuk sahaja, bukan membuat kesemua
isi kandung yang tercatat dalam sukatan pelajaran. Apa yang perlu dilalukan ialah
rancang secara berurutan dan berkesinambungan dan pastikan objektif pelajaran
dilaksana melalui isi kandung atau kegiatan yang dipilih sesuai pula dengan keupayaan
dan kemahiran kumpulan sasar iaitu pelajar dan persekitaran sekolah.

Oleh kerana ruang lingkup pelajaran pendidikan seni ini luas dan jangkamasa pula
panjang maka dalam membuat perancangan pelajaran pendidikan seni ini penegasan
kepada urutan (sequence) amat penting. Eisner(1991) berpendapat urutan dalam
kurikulum amat penting alasannya adalah pertamanya semua aktiviti untuk mana-mana
program pun memerlukan masa yang lebih. Masa, aktiviti dan tahap kesukaran bagi
sesuatu kamahiran itu perlu diuruskan secara berurutan. Pelajaran perlu dimulakan
daripada yang mudah kepada yang lebih sukar secara berperingkat-peringkat. Dalam
kotaks psikologi perlu ada urutan dalam sesuatu organisasi aktiviti supaya pelajaran itu
ada cabaran, menyediakan ruang untuk membina perkembangan, membangunkan idea-
idea, dan kemahiran yang perlu dikuasi oleh pelajar dipertingkatkan sehingga ke tahap
optimum. Program pendidikan tanpa menitikberatkan nilai-nilai urutan adalah
pendidikan yang statik (Eisner, 1991). Sebagai contoh, kita mulakan pelajaran kita
dengan meminta pelajar menggunakan berbagai alat dan bahan sedangkan pelajar tidak
berupaya membuat perkaitan antara bahan-bahan tersebut kerana mereka belum diberi
pendedahan awal. Apabila mereka diminta menghasilkan sesuatu menggunakan bahan-
bahan tersebut,. sudah tentu pelajar berada di dalam kebingungan, atau pelajar akan
membuat sesuatu tanpa tujuan, mereka hanya membuat sesuatu secara cuba jaya sahaja.
Ini membuang masa dan berlaku pembaziran.

Pentingnya perancangan dan pembelajaran secara urutan ini akan membantu pelajar
membuat internalize melalui pengalamannya. Interanalisasi ini akan lebih berkesan
jikalau perancangan pelajaran memberi peluang kepada pelajar berlatih mengembangkan
kemahiran dan ideanya pelajar perlu diberi peluang untuk mengaitkan antara pengalaman
lama dengan pengalaman barunya dan seterusnya boleh mengimaginasi pengelaman yang
akan datang. Sebagai contoh, jikalau pelajar diminta menghurai secara metapora tentang
kualiti eksprasif suatu kerja-kerja seni umpamanya tentang menara kembar Kuala
Lumpur, lanjutan daripada aktiviti itu pelajar diminta memindahkan idea dan kualiti
eksprasif itu kepada kerja-kerja catan, arca, grafik, seramik dan sebagainya. Selalunya
kita sering mengutamakan kepelbagaian dalam kurikulum tetapi mengenepikan hal-hal
yang berkaitan dengan urutan. Lebih baik kita hadkan jumlah aktiviti atau projek yang
perlu disempurnakan sebaliknya kita utamakan urutan itu kerana yang penting adalah
proses internalize.

Alasan lain mengapa urutan atau kesinambungan itu penting dalam perancangan
pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni berasaskan disiplin ini (DBAE) adalah
berkaitan dengan membina kualiti automaticity iaitu berkaitan dengan pembinaan diri
menjadikan sesuatu tindakan itu berlaku secara sepontan tanpa kawalan atau arahan

7
fikiran sedar. Tindakan berlaku secara automatik. Kita boleh memandu secara
automaticity sambil memandu kita boleh mendengar radio, berbual dengan rakan, atau
berkhayal sesuatu kemungkinan. Ada orang boleh bermain alat muzik sambil menyanyi
dan menari juga. Ianya berlaku secara automaticity. Bagaimana ini boleh berlaku ?
Semuanya berlaku bermula dengan internalisasi, kemahiran dan latihan yang berlaku
secara berurutan dan berkesinambungan. Dalam pendidikan seni kualiti ini berlaku
apabila pelajar berupaya memberi reaksi secara automaticity apabila berhadapan dengan
pengalaman estetika. Samalah dengan keupayaan kita dalam berbahasa, dengan mudah
sahaja kita boleh mengucapkan kata-kata berpuisi apabila hati kita tersentuh dengan
keindahan yang menakjubkan. Apabila pelajar sudah berkemahiran dengan pengalaman
estetika dan segala-galanya dalam kawalannya secara automatik ia akan memberi tindak
balas. Pelajar ini bersedia untuk mengutarakan konsep berkaitan untuk berbahas,
membuat perbandingan dalam sesuatu perbincangan. Automaticity adalah anugrah
kebebasan khusus untuk pembentukan keupayaan imaginsi. Ia berkembang dalam
repetorie kognitif bergantung kepada sejauh mana program yang dirancang secara
berurutan dan berkesinambungan. Tanpa urutan, idea-idea dan kemahiran sukar menjadi
lebih kompleks dan berkualiti. Tanpa urutan pelajar sukar untuk membina internalize.
Kurikulum pendidikan seni yang berdasarkan struktur DBAE pada pandangan Eisner
memberi peluang kepada pelajar membina kemahiran-kemahiran yang dinyatakan di atas.

Eisner (1991) juga berpendapat bahawa terdapat berbagai unsur yang terlibat dalam
struktur kurikulum DBAE . Program tersebut mengutamakan keupayaan dan peluang
pelajar mengenali budaya mereka. Ini memerlukan keterlibatan berbagai pihak dalam
masyarakat, menggalakkan keterlibatan institusi budaya tempatan, yayasan kesenian,
dan agensi kerajaan bersama-sama berganding tangan dan minda dalam membekalkan
sumber-sumber yang boleh membantu guru untuk menyediakan suatau program yang
berkesan. Bahan dan sumber kurikulum pendidikan seni yang baik adalah yang boleh
dipandu dan bebas. Ia perlu dipandu kerana ianya merupakan model dan kandungan ,
aktiviti dan matlamat yang dicadang yang mungkin tidak disedari oleh guru. Ianya
bebas kerana bahan dan sumber yang baik bukan setakat boleh membantu pelajar , ianya
juga boleh membantu dan mengajar guru, dan mudah digunakan sesuai dengan
keperluan dan situasi sesuatu pembelajaran.

Satu lagi keistimewaan menggunakan DBAE dalam perancangan kurikulum ialah


menerusinya pelajar boleh mendapat munafaat apakah sebenarnya keistimewaan mata
pelajar pendidikan seni ini. Selain daripada mendapat pendedahan mengenai empat
disiplin iaitu sejarah seni , kritikan seni ,estetika dan menghasilkan produk seni pelajatr-
pelajar juga akan menimba pengalaman kerana mata pelajaran ini memberi dua bentuk
sumbangan untuk pembangunan dan pengalaman manusia. Pertamanya melalui imej dan
peristiwa yang dijalin melalui bentuk estetika dan melalui curahan perasaan adalah
merupakan perantara melaluinya potensi keupayaan minda manusia diterjemahkan ke
dalam bentuk visual. Kapisiti intlektual kita akan menjadi keupayaan intlektual selagi
kita memberi peluang setiap kepisiti itu berfungsi. Jenis pemikiran ini memerlukan
pemerhatian bagi menentukan mana yang sesuai dan kompleks, mempelajari
bagaimanakah untuk meneliti sesuatu bentuk, agar struktur yang eksprasif berupaya
merangkap emosi dan imaginasi untuk disesuaikan dan memajukan keistimewaan seni

8
yang ambiguity itu, lantas boleh memberi sumbangan kepada perkembangan kemahiran
kognitif yang begitu kompleks. Keistimewaan seni boleh menjangkau daripada persepsi
yang halus dan kompleks kepada terhasilnya karya seni yang di luar jangkauan minda.

Sumbangan yang kedua yang boleh diberi oleh mata pelajarn pendidikan seni ini adalah
berkaitan dengan makna yang tersurat dan tersirat pada sesuatu bentuk seni. Pendidikan
adalah satu wadah yang matlamat umumnya adalah untuk membolehkan manusia
mengembangkan literasi. Melelui keupayaan literasi manusia boleh menyata atau
mentafsir sesuatu makna yang berbagai-bagai bentuk yang terdapat di persekitarannya.
Dalan kehidupan kita , perkataan , angka, pergerakan, imej dan pola-pola bunyi adalah
bentuk-bentuk dimana sesuatu makna itu boleh disampaikan. Untuk mambaca makna
pada sesuatu bentuk itu memerlukan kefahaman tentang peraturan, konteks, dan struktur
sintetiknya. Setiap bentuk itu ada pula had-had keupayaannya dan keistimewaannya yang
tidak terdapat pada bentuk-bentuk lain. Setengah makna lebih berkesan jikalau
dipaparkan menerusi imej-imej visual, manakala yang lain sesuai melalui kata-kata,
muzik atau pergerakan. Literasi artistik adalah alat yang kita gunakan bagi memahami
makna sesuatu kerja seniman. Hasil seni itu penuh dengan kehebatannya. Mereka
mencambahkan perasaan sensitif supaya kehalusan itu ditimbulkan dan yang
terselindung juga diambil kira. Dalam perkataan, seni boleh membantu kita untuk
menjelaskan apa yang tidak boleh diterangkan dengan perkataan. Perlu dijelaskan kepada
pelajar bentuk-bentuk seni juga adalah merupakan sumber pendidikan. Inilah dua
sumbangan seni dalam membantu pembangunan dan memperkayakan pengalaman
manusia.

Sebahgai penutupnya, tanpa struktur dalam kurikulum kita, kita tidak akan dapat
membina automaticity , tanpa automaticity pula kita tidak akan dapat membina
internalisasi. Tanpa internalisasi pula kita tidak akan dapat menikmati sesuatu
keistimewaaan yang boleh diberikan oleh pelajaran pendidikan seni. Yang kita
bimbangkan adalah perancangan dan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran
pendidikan seni yang tidak berstruktur. Perancangan yang menjemukan yang tidak
mempunyai roh atau berilmu pengetahuan yang boleh mencabar minda dan imaginasi
pelajar. Banyak pendekatan yang boleh diaplikasi dalam perancangan dan pengajaran
mata pelajaran ini, salah satu yang dikenalpasti berkesan untuk membina konsep sepadu
dan juga mempunyai ciri-ciri konstruktif adalah menggunakan pendekatan pendidikan
seni berasaskan disiplin (DBAE) yang jelas mempunyai struktur yang kukuh dan sesuai
dengan matlamat pendidikan seni, juga selari dengan matlamat pendidikan kebangsaan.
Ciri-ciri yang diperlukan oleh pelajaran pendidikan seni semuanya jelas berstruktur
mencakupi keistimewaan mata pelajaran itu. Tanpa keupayaan merealisasi keistimewaan
seni dalam kurikulum bermakna pelajaran itu bukanlah pelajaran seni. Manakala
perancangan pelajaran yang tidak berstruktur tidak ada jalan keluar untuk mencapai
matlamat.

9
Bahan-bahan rujukan:

Thistlewood (edt.) 1991. Critical Studies in Art and Design Education, , Portsmouth, NH:

Heinemann. ms 14-25

Day, D. Michael (1995). Art Education in Action, Viewer Guide & Video types ,Getty

Center for Educationin the Arts CA (5 siri rakaman video dan buku panduan tentang

perlaksanaan DBAE di bilik darjah)

Chapman, L.H. (1998).Approaches to Art Education. New York: Harcourt Brace

Jovanovich.

Michael, J.A.(1983), Art and Adolesence. New York: Teachers College Press, Colombia

University ,

Bates, J.K. (2000). Becoming an Art Teacher. Singapore: Wadsworth / Thomson

Learning.

Mc Fee, June King and Degge, Rogina (1977). Art, Culture and Enviroment.

San Francisco:Wadworth Publishing Co.

. Art and Adolesence. Teachers College Press, Colombia University ,

New York, 1983.

Clark G., Day, M. and Greer, D. (1987) ‘ Discipline-based art education : becoming
students of art’. The Journal of Aesthetic Education, (21)2

10

You might also like