You are on page 1of 14

TAJUK: 

Masalah sosial dikalangan remaja adalah berpunca daripada hubungan ibu


bapa dengan remaja

1. Sinopsis Isu 
Peranan golongan remaja tidak dinafikan kerana mereka merupakan waris yang akan
menentukan hala tuju masa depan. Mereka mempunyai pengaruh besar  terhadap keadaan sosial,
politik dan ekonomi. Merekalah yang akan memegang tampuk pentadbiran,  penggerak ekonomi
dan pembangun generasi. 
Namun dalam pada itu kita tidak putus-putus dibebani dengan masalah sosial remaja yang
semakin hari semakin meruncing.  Masyarakat dikejutkan dengan pelbagai paparan secara
terbuka baik di media elektronik, media cetak mahupun di Internet.  Masalah sosial, keruntuhan
akhlak dan kemerosotan disiplin  amat membimbangkan kerana ia turut mengundang pelbagai
implikasi yang boleh meruntuhkan kestabilan negara dalam usaha melahirkan masyarakat
produktif dan berdaya maju. 
Sebelum ini kita dikejutkan dengan masalah bohsia, bohjan, pelacuran dan seks bebas dan
penyalahgunaan dadah.  Masalah menjadi lebih gawat apabila kita dikejutkan  dengan tindakan
ganas pelajar sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan serius kepada si mangsa. Isu ini
menimbulkan pelbagai persoalan dalam merungkai punca keadaan itu.
Anak-anak, khasnya remaja pada abad ke-21 ini terdedah dengan pelbagai bentuk pengaruh. 
Dalam dunia yang disebut sebagai"borderless world" ini banyak menyuntik unsur-unsur yang
positif mahu pun yang negatif.  Anak-anak lebih mudah tertawan dengan program yang
membunuh sahsiah berbanding program yang menghidupkan peribadinya (Hassan Mohd
Ali,1977)

Secara tidak langsung, ini memberi tamparan yang hebat kepada ibu bapa. Ibu bapa harus dapat
membimbing individu mengenali diri sendiri sebagai insan dalam alam sosial. 
Masalah berkaitan sosial remaja banyak berpunca daripada hubungan antara ibu bapa dengan
remaja itu sendiri.  Sejumlah besar remaja menyalahkan ibu bapa.   Sebagaimana petikan akhbar
berjudul "Ayah Sibuk, Remaja Liar" Harian Metro, 1 Ogos 2001, "Keluarga Terbiar, Remaja
Jadi Liar"  Harian Metro, 6 September 2001 dan  "Jenayah Rogol Juvana Salah Siapa?" Utusan
Malaysia, 23 Julai 2001. Kesibukan urusan kerja menyebabkan kekurangan agihan masa.  Kasih
sayang  yang mereka harapkan diganti dengan kemewahan dan wang ringgit. 
Ibu bapa pula menafikan kenyataan ini dan menyalahkan pihak lain sama ada disebabkan faktor
ego dengan kedudukan mereka atau persepsi mereka terhadap golongan remaja yang
dikatogerikan sebagai golongan yang masih mentah.
Bagaimanapun tugas tersebut nampaknya telah diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah
atau pihak sekolah.  Dengan berbuat demikian mereka berharap akhlak, personaliti dan kendiri
anak mereka dapat dibentuk sebaik mungkin. Akibatnya , mereka mengundang gejala sosial di
kalangan remaja. 
 

2. Isu
Isu yang dipaparkan dalam keratan akhbar ini menegaskan tentang masalah sosial dikalangan
remaja adalah berpunca daripada hubungan ibu bapa dengan remaja.  Pertentangan pendapat
antara remaja dan ibu bapa timbul apabila kedua pihak ini cuba untuk mempertahankan
kebenaran masing-masing. 
Remaja  yang bermasalah menuding jari kepada ibu bapa, kononnya ibu bapa tidak memberi
perhatian wajar kepada mereka kerana sibuk menumpukan urusan kerja. Mereka kekurangan
masa bersama,  kasih sayang yang mereka harapkan diganti dengan kemewahan dan wang
ringgit.  Tanggungjawab diserahkan kepada pembantu rumah, guru atau pendidik yang telah
dibayar gaji.
Dari perspektif ibu bapa pula, mereka seolah-olah keliru dengan kenyataan anak-anak mereka. 
Lebih buruk lagi apabila mereka menuding jari kepada pihak lain seperti sekolah yang kononnya
gagal melahirkan pelajar yang berdisiplin. 
Mencari siapa punca masalah bukanlah jalan yang bijak dalam menyelesaian sesuatu masalah. 
Namun yang pasti konflik akan membawa perubahan.

3. Definisi dan Konsep Teori Konflik


Teori Konflik bermula daripada pandangan asal Karl Marx dan diikuti oleh Weber.  Oleh itu
teori ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu aliran Marx dan aliran Weber.
Mengikut Marx konflik bukan semata-mata sebagai satu cara analisa sosiologi tetapi merupakan
satu cara reformasi sosial.  Bagaimana ketegangan yang berpunca daripada ketidaksamaan
memberi kesan kepada kestabilan dan perubahan. Teori ini akan mengkaji bagaimana hubungkait
antara konflik dan perubahan.  Ketegangan dan konflik akan menyumbang kepada perubahan
sosial.  Perubahan boleh berbentuk revolusi atau adaptasi.  Sementara itu mengikut George
Simmel, konflik ialah sesuatu yang semulajadi dalam sesuatu masyarakat.  Lewis Coser pula
mengatakan bahawa sesuatu konflik itu boleh mempercepatkan proses kesetiaan dan
keharmonian di dalam sesuatu kelompok sosial. 
Brinkerhaff and White(1989) merumuskan 3 andaian penting dalam teori konflik
a) Konsep dialektik- evolusi bukan proses utama kepada perubahan sosial tetapi konflik yang
menghasilkan perubahan sosial.
b) Determinisme ekonomi - asas kepada perubahan sosial ditentukan oleh faktor-faktor
persaingan ekonomi
c) Aktiviti sosial- tugas utama analisis sosial adalah kritikan sosial.
Max Weber pula merupakan seorang rakyat Jerman.  Beliau adalah sosiologis, ekonomi,
sejarawan, ahli undangan, ahli falsafah.  Dipengaruhi oleh Karl Marx tetapi menolak konsep
Marx.  Contohnya menolak konsep materialisme sejarah Marx.  Menganggap agama penting
sebagai agen perubahan.  Tidak setuju dengan revolusi dan mengkritik sosiolisme.  Proses
rasionalisasi dunia moden barat berkembang berasaskan rasionalisasi.  Dunia lain terbantut
perkembangannya kerana halangan kuasa. Beliau mempersoalkan andaian Marx yang
mengatakan ciri-ciri semua institusi sosial adalah berpunca oleh faktor ekonomi.  Menghujahkan
bahawa perubahan sosial bukanlah kerana konflik kelas tetapi pelbagai faktor lain.
Menurut pandangan teori ini masyarakat berada dalam keadaan berubah-ubah, berkonflik dan
sentiasa ingin memperjuangkan kepentingan masing-masing.  Kumpulan yang kuat atau lebih
berkuasa boleh memaksa kumpulan yang lemah untuk menerima nilai-nilainya.  Mengikut teori
ini terdapat tiga perkara penting yang berlaku dalam masyarakat iaitu konflik, perubahan dan
paksaan.

4. Analisis isu berdasarkan satu teori sosiologi


Konflik mungkin timbul seandainya seseorang itu mempunyai peranan dan ekspektasi yang
berbeza-beza.  Sebagai contoh dalam isu ini ibu bapa mengangap bahawa diri mereka telah
menjalankan tanggung jawab yang sebaik mungkin dalam memenuhi kehendak anak seperti
memberi kesenangan.  Ibu bapa mungkin ingin membaiki status kerana status menyebabkan
seseorang itu bertaraf,  diberi perhatian dan keutamaan dalam sesebuah masyarakat terutama
bagi komuniti di bandar tetapi perspektif remaja berbeza. 
Menurut Teori Konflik perselisihan berlaku kerana tidak wujud persefahaman yang jelas antara
kedua pihak ini.  Memang tidak dinafikan masyarakat madani memperlihatkan satu budaya
dimana kedua-dua pasangan suami isteri bekerja.  Sekiranya ibubapa  bekerja, sudah semestinya 
masa mereka terpaksa diagihkan antara tugas di pejabat dengan urusan di rumah.  Ini bermakna
mereka hanya dapat melihat anak masing- masing ketika sebelum dan selepas kerja.  Ditambah
dengan kepenatan selepas tugas, memaksa mereka untuk merehatkan diri. Tanpa jadual harian
yang menekankan program bersama anak-anak, kurangnya kegiatan komunikasi seperti tidak
bertanya peribadi remaja, bagaimana tentang pelajaran, tidak mengetahui siapa rakan-rakan
mereka serta membiarkan mereka terus dibuai budaya negatif .  Sikap mementingkan
materialistik atau kerjaya ibu bapa membuatkan remaja tidak berkesempatan untuk berbincang,
mengadu hal dan sentiasa memendam rasa mengenai sesuatu perkara. 
Berbagai persoalan timbul dalam fikiran mereka seperti mengapa mereka dilahirkan tetapi
dibiarkan?  Untuk kepentingan siapakah mereka sibuk hingga tidak sempat melayan anak?  
Apabila mereka rasa tidak dikehendaki, tidak disayangi dan tidak diperlukan oleh ibu bapa, maka
mereka membawa perasaan dan harapan di luar keluarga. 
Hubungan interpersonal yang tidak intim menimbulkan keadaan yang tidak menyenangkan.  
Segala cetusan rasa diluahkan kepada rakan-rakan di luar. Apabila berjumpa dengan kawan-
kawan yang mengambil berat, kawan yang boleh bekerjasama, ditambah pula dengan rakan
yang  menghargai dan memerlukannya, maka remaja ini  mengalihkan perhatian kepada
kumpulan rakannya.  Lama-kelamaan perhubungan dengan ibu bapa akan terhakis sebaliknya
menebalkan hubungan remaja dengan rakan-rakan di luar. 
Pakar psikologi kaunseling melalui teori mereka mendapati empat ciri bagi menjelaskan tabiat
seseorang itu seperti Teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh Freud.
Pertama:  Teori ini menyatakan tabiat manusia pada asalnya jahat kerana dipengaruhi unsur
rangsangan seksual agresif dan tidak rasional wujud dalam diri 
manusia bagi tujuan menjaga perkembangan hidupnya.  Kedua:  Analisis Transisi, teori ini
menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan ibu bapa
ketika kecil, anak berkenaan merakamkan secara langsung percakapan dan perbuatan ibu bapa
mereka. 
Konflik terjadi apabila anak cuba menilai semula skrip hidup lama atau menerbitkan skrip hidup
yang baru hasil perkembangan emosi dan pengaruh persekitaran.  Ketiga:  Behaviorisma, iaitu
tingkah laku yang terbentuk hasil proses pembelajaran dan evolusi persekitaran.  Tabiat manusia
menjadi masalah apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah. 
Keempat:  Teori Pemusatan Klien.  Teori ini mengandaikan bahawa tabiat manusia secara
azalinya adalah rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri.  Manusia
juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila keperluan mencapai kesempurnaan diri
dihalang seperti mendapat kasih sayang dan keselamatan. 
James Backer mengatakan ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan
anak-anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang sempurna.  Ibu bapa hendaklah
membimbing, memahami, menyelami kehendak jiwa remaja dan berfikiran terbuka.  Jadilah
model terbaik, sekaligus sebagai perangsang.  Ini akan mendorong kepada kewujudan suasana
harmonis.
5. Menganalisis isu berdasarkan tiga konsep sosiologi
5.1 Modenisasi 
Modenisasi merupakan satu proses transformasi ekonomi dan sosial dalam masyarakat sebagai
kesan daripada bermulanya perindustrian.  Modenisasi boleh juga diterima sebagai keadaan di
mana masyarakat tradisional menggantikan atau memodenkan sikap, autoriti, hubungan dan
nilai-nilai lama kepada yang dikatakan baru.  Gaya hidup tradisi telah berubah sebagai gaya
hidup moden.  Masyarakat mengalami modenisasi secara beransur-ansur dengan adanya
pertemuan dengan gejala barat.
Proses modenisasi menyebabkan perubahan samada dalam institusi kekeluargaan atau
masyarakat. Terdapat perubahan dalam nilai-nilai dan norma-norma ibu bapa disebabkan oleh
proses-proses modenisasi, perbandaran dan birokrasi.  Ibu bapa lebih memanjakan anak
memenuhi segala kehendak mereka dan sering bertolak ansur dengan anak-anak mereka. 
Hujah ini menerangkan perubahan-perubahan yang berlaku dari segi kawalan di rumah.  Kanak-
kanak yang diasuh dengan manja akan didapati sukar untuk menyesuaikan diri atau memahami
hasrat ibu bapa.
Apabila terdapat situasi yang bertentangan antara kehendak individu dengan ibu bapa mereka
mungkin akan menggunakan tingkah laku yang liar untuk menyelesaikan situasi yang
berlawanan ini boleh mengakibatkan kesan yang menyakitkan ke atas setengah-setengah kanak-
kanak yang mana merupakan suatu penggalak kepada masalah sosial.
Dunia berubah bila revolusi perindustrian berlaku,manusia menjadi materialistik dan
individualistik.

5.2 Kelas sosial


Terdapat banyak kajian tentang hubungan di antara latar belakang keluarga yang tidak stabil
dengan masalah sosial di kalangan remaja.  Remaja yang datang dari keluarga yang taraf sosio
ekonomi yang rendah antara faktor utama mereka terjebak dalam kancah masalah disiplin.  Di
rumah, kekeluargaan dan penerimaan (acceptance) tidak wujud dalam sebilangan remaja
berkenaan. 
Selain itu bilangan ibu bapa dan penjaga yang bekerja di luar rumah yang semakin meningkat
juga menyebabkan pelajar merasa terbiar dan tidak mendapat perhatian sewajarnya.  Dapatan
yang dinyatakan ini adalah bertepatan dengan hujah-hujah dan dapatan kajian Athur & Ericson
(1992);  Kosterman (1996); yang jelas menunjukkan faktor keluarga merupakan alasan utama
menyebabkan masalah disiplin. 
Tidak terkecuali remaja berada terutama di kalangan remaja ibu kota. Pengambilan pil Ecstasy
dan aktiviti seks bebas. Menurut Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya,
Dr. Hussain Mohammad "Pusat hiburan eksklusif menjadi tumpuan remaja seperti ini untuk
melakukan kegiatan tidak berfaedah tanpa pengetahuan pihak berkuasa.  Remaja ini pastinya
mempunyai wang yang banyak dan memudahkan mereka membeli pil Estasy.  Hanya remaja
berada saja mampu membeli pil ini kerana harganya mahal".  Dipetik dari Harian Metro bertajuk
"Ayah Sibuk Remaja Liar",  1 Ogos 2001.
Kelas sosial telah menjadi ciri masyarakat moden berbanding semasa zaman penjajahan.
Layanan yang berbeza mengikut kelas diamalkan.  Kadar lompatan kelas juga adalah berbeza. 
Bagi kelas atasan mereka meneruskan mobiliti mendatar pada kelas yang sama.  Bagi kelas
bawahan mobiliti keatas adalah memakan masa dan antara generasi yang berbeza.  Mereka yang
berada di kelas atas meneruskan kedudukan mereka dengan merebut peluang-peluang pendidikan
dan kerjaya terbaru.  Untuk mengekalkan  atau  meningkatkan lagi kedudukan mereka, mereka
harus bekerja lebih giat.  Begitu juga dengan kelas bawah untuk bersaing  mereka harus
melipatgandakan usaha mereka agar tidak jauh ketinggalan.  Usaha keras inilah yang  meruntun
pengorbanan masa dan wang menjadi gantinya. 

5.3 Sosialisasi
Sosialisasi merupakan suatu proses mempelajari peranan, status dan nilai yang
perlu ada dalam institusi sosial.  Proses pembelajaran sepanjang hayat berlaku dalam institusi
sosial.  Pemindahan norma dan nilai dalam keluarga serta budaya setempat sesuatu masyarakat
kepada kanak-kanak.  Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak akan membentuk konsep diri pada
individu.  Oleh itu kelompok primer iaitu keluarga merupakan kelompok yang paling
berpengaruh
Pentingnya fungsi kekeluargaan adalah sejak mula anak itu dilahirkan.  Anak-anak mula belajar
dari kedua ibu bapa mereka.  Oleh itu ibu bapa yang memberi 'quality time' kepada anak-anak
mereka dapat menanamkan minat dan bertindak balas dengan memberikan didikan dan peluang
yang berpatutan. 
Setiap individu yang dilahirkan mempunyai potensi untuk berkembang ke arah kecemerlangan. 
Bagi memastikan potensi ini berkembang ke arah yang positif, ibu bapalah yang terbaik
memainkan peranan penting untuk membantu anak-anak ini mencapai keunggulan peribadi. 
Anak-anak beruntung jika dilahirkan oleh orang tua yang penuh kasih sayang, perhatian dan
pengertian dan memiliki kesempatan terbaik untuk mengembangkan fikiran mereka dengan
penuh kegembiraan dan kejayaan.  Namun ada sesetengah ibu bapa tidak memainkan peranan 
dengan berkesan dalam usaha menyalurkan bantuan yang amat diperlukan oleh anak-anak
mereka disebabkan kesibukan tugas atau tidak mempunyai pengetahuan untuk membantu anak
remaja.  Mereka tidak lagi prihatin tentang perkembangan anak-anak di sekolah, tidak
mengetahui siapakah rakan-rakan anak mereka dan tidak menghiraukan  bagaimana masa lapang
mereka dihabiskan.  Masa yang diluangkan untuk sama-sama menjalankan aktiviti bersama
anak-anak adalah sangat terhad apatah lagi berkomunikasi terutama dengan anak remaja
berhubung dengan kegiatan harian (Laurance Steinberg 1996).  Kenyataan ini sedikit sebanyak
mengambarkan bahawa ibu bapa pada era ini gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab. 
Maka itu kegagalan ibu bapa memberi pendidikan pada peringkat permulaan akan membawa
kepada suatu petanda yang buruk terhadap disiplin anak-anak(Asmawati,1996).  Ini meneguhkan
pendapat Freud,(Mahmod Nazar, 1990) yang mengatakan bahawa kualiti penjagaan yang
diberikan di peringkat awal akan mempengaruhi di kemudian hari.
 Menurut pandangan seorang ahli sosiologi Robert K. Merton, di sebalik berlakunya pelanggaran
undang-undang dan kawalan sosial, jenayah sebenarnya boleh berlaku disebabkan keadaan
sesuatu masyarakat itu disusun.  Merton menegaskan, dalam kehidupan manusia memerlukan
banyak perkara seperti kekayaan, kesenangan, kejayaan, kuasa atau hanya setakat rumah yang
selesa dan sedikit keamanan dan ketenteraman.  Walaubagaimanapun kualiti norma hidup yang
rendah mendorong kepada berlakunya jenayah dalam masyarakat. 

 6. Rumusan/Cadangan
"Mencegah lebih baik dari mengubati" .  Justeru itu institusi keluarga memainkan peranan yang
lebih penting sebelum kita mengkaji dari aspek yang lebih luas seperti institusi pendidikan atau
masyarakat. 
Masalah ini dapat diselesaikan seandainya ibu bapa memberikan perhatian rapi kepada anak-
anak sejak mereka kecil dan sentiasa  sedia berkongsi masalah dengan mereka. Ibu bapa
seharusnya menjadi kawan kepada anak mereka sendiri di samping menimbulkan persekitaran
kekeluargaan dan teknik keibubapaan yang sihat serta cemerlang.  Kekeliruan perasaan, tidak
dihargai dan terasing dalam keluarga sendiri lantaran kesibukan ibu bapa antara punca lain
mendorong remaja melakukan kegiatan jenayah. 
Dalam masa yang sama ibu bapa harus bersikap tegas dalam mendidik anak-anak.  Komunikasi
dua hala yang sihat  akan membantu anak meluahkan masalah mereka.  Ibu bapa perlu belajar 
menyelami dan memenangi jiwa anak supaya anak remaja yang biasanya bersikap egosentrik
dapat dilembutkan.  Ibu bapa perlu menjadi model terbaik kepada anak-anak. 
Pendidikan merupakan asas mobiliti sosial.  Namun, visi dan cita-cita yang luhur ini tidak akan
tercapai seandainya masalah disiplin di kalangan pelajar tidak dapat dibendung. Setiap remaja
perlu didekati supaya mereka menghayati keunggulan disiplin.  Keunggulan ini dapat
dipraktikkan melalui kerjasama semua pihak baik pentadbir sekolah , guru disiplin, kaunselor,
dan ibu bapa pelajar.  Secara tidak langsung masalah sosial yang semakin meningkat peratusnya
dapat dikurangkan.
Pendidikan berperanan penting dalam perkembangan setiap individu.  Formula dan strategi
pendidikan yang sesuai perlu dicipta bagi menghasilkan generasi yang berwibawa dan mampu
bersaing dalam konteks globalisasi didorong oleh mekanisme sains dan teknologi. 
Pihak-pihak tertentu seperti kerajaan, persatuan belia. masyarakat setempat mula merangka
program dan aktiviti-aktiviti untuk golongan remaja mengisi masa lapang mereka, sama ada
kegiatan berbentuk setempat atau menerusi Gaya Hidup Rakan Muda.  Kerajaan menerusi
kementerian Belia dan Sukan mengambil langkah segera memperluaskan program berkenaan. 
Kesimpulannya, sama ada disedari atau tidak kebanyakan masalah yang melanda remaja masa
kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud di dalam alam persekitaran. 
Misalnya, pembangunan yang terlalu pesat telah mengubah cara hidup masyarakat kita. Manusia
menjadi semakin individualistik dan materialistik.  Lantaran itu, keseimbangan sosial harus
dipulihkan semula.  Jika ini dapat dilakukan maka perhubungan kekeluargaan serta anggota
masyarakat dapat diperteguhkan.  Apa yang lebih penting setiap daripada kita mempunyai
tanggungjawab sosial tidak terkecuali remaja terutama dalam kita merealisasikan 'masyarakat
madani' menjadi sebuah realiti dan bukan satu ilusi yang kosong.  Ini hanya dapat dijayakan
dengan menyelamatkan golongan remaja daripada terjerumus ke lembah yang tidak diingini.
TAJUK :  Huraikan Masalah Sosial Yang Di Kesan Di Kalangan Pelajar
 

1.0  Pengenalan
 Banyak yang telah kita dengar tentang  gejala sosial. Berbagai gejala sosial  telah melanda
masyarakat kita  dan  aktiviti yang terlibat  begitu pelbagai  sekali baik yang dilakukan oleh
remaja mahupun orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja dan pelajar merupakan
bakal pewaris negara, maka  kegiatan merekalah yang hangat diperkatakan dan mendapat 
perhatian daripada segenap lapisan masyarakat. Media massa seringkali menyiarkan pelbagai
berita dan cerita tentang kenakalan remaja yang masih bersekolah dan pelbagai masalah sosial
yang melanda mereka ini. Melihat kepada masalah sosial dan perbuatan  jenayah membabitkan 
pelajar dan remaja  benar-benar membimbangkan  kita. 
Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang amat pesat
sekali, sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para remaja mula
terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah merupakan rumah kedua
kepada mereka. Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak semuanya datang dari ibu bapa
tetapi kebanyakannya daripada persekitaran sosial yang mana ia membesar. Pada tempoh-
tempoh inilah para remaja mula mengubah tingkah laku, sikap, dan nilai, malahan seluruh cara
hidup  daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan dewasa (Bettelheim,
1950).
 Mereka bukan sekadar  nakal  dengan menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri atau
berkelakuan tidak senonoh malah gejala seperti membuang bayi, ponteng sekolah , lari dari
rumah , seks bebas serta serta lagi melepak tidak memeranjatkan kita.. Mereka kini sudah berani
melakukan  perbuatan jenayah berat seperti menganggotai kumpulan samseng seperti kumpulan
gengsterisme , membunuh, samun tanpa senjata api  mahupun dengan senjata api, merogol,
pelacuran, judi, vandalisme  penyalahgunaan dadah , minum minuman keras, terbabit video
lucah  dan sebagainya. Keadaan seperti ini bukan sahaja berlaku disekolah bandar dan di
pinggiran  bandar, malah  disekolah luar bandar. Pelajar yang sering melanggar disiplin atau
salah laku sekolah digelar  pelajar devian.

2.0 Teori Punca  Salah Laku Dan Masalah Sosial Pelajar 


 Terdapat beberapa penjelasan mengenai punca devian. Teori fungsionalisme menganggap
devian  sebagai disfungsi pada struktur sosial. Teori konflik mengatakan devian  merupakan 
tindakan  golongan tertindas  terhadap pihak minoriti yang menindas. Teori subbudaya  dan
deprivasi status pula  berpendapat  devian berpunca daripada budaya kumpulan yang berbeza
dengan budaya masyarakat besar. Deprivasi  selalu berpunca  daripada kekurangan ekonomi dan 
kelemahan emosi. Remaja terutamanya daripada latar belakang  kelas sosial rendah yang tidak
berjaya dalam akademik mengalami kekecewaan  dan tekanan status  lalu bertindak melakukan
devian.
 Teori interaksionisme melihat devian  sebagai sesuatu yang subjektif dan merupakan  suatu
proses sosial.  Pelajar sengaja memilih tingkahlaku tertentu mengikut kemahuan mereka yang
sesuai  dengan cara mereka menginterpretasi  sesuatu . Kajian Tattum (1986) mendapati bahawa 
pelajar sengaja melakukan devian sebagai teknik neutralisasi dalam interaksi mereka. Menurut
Merton (1938) terdapat empat jenis devian iaitu  inovasi (suatu cara memenuhi matlamat dengan 
cara yang salah), ritual (tindakan mengulang perbuatan), undur (seseorang yang tidak lagi
berminat dengan  matlamatnya lalu melakukan alternatif lain sebagai  tindakan ) dan menentang
(menolak matlamat persekolahan  dan menggantikannya dengan matlamat lain).

3.0 Masalah-Masalah Sosial Pelajar


3.0.1  Seks Bebas Dan Jenayah Seksual
Seks bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar  kini semakin  menular dan
membimbangkan  kita terutamanya pelajar di kawasan bandar dan kota . Apa yang menyedihkan
kita  ialah  penglibatan mereka mula  dikesan  seawal usia 13 tahun   ketika mereka mereka
berada di tingkatan  satu dan dua. Seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah 
mendedahkan bahawa beliau menemui kondom  yang disimpan dalam beg oleh pelajar wanita di
sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Kondom itu ditemui ketika  pemeriksaan
mengejut dilakukan  di sekolah tersebut Peningkatan pembabitan remaja perempuan dalam
aktiviti maksiat juga adalah satu lagi petanda bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia
bertambah serius.
Seorang lagi guru  di sebuah sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah 
membuat tinjauan  di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan merasa
sungguh terkejut kerana  mendapati  pelajarnya, lelaki dan perempuan  meneguk minuman keras 
tanpa segan silu di khalayak ramai. Beliau juga mendedahkan  terdapat seorang pelajar wanita di
sekolahnya  terlibat dalam  pengedaran pil ecstasy. Pelajat terbabit kerap ponteng sekolah  dan
apabila disiasat , pihak sekolah mendapati pelajar itu adalah  ketua pengedar pil ecstasy di
sekolah itu.
Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, jenayah seksual
di kalangan  pelajar terutamanya di sekitar Kuala Lumpur semakin  meningkat sejak
kebelakangan ini. Di antara jenayah seksual yang mereka lakukan seperti  mencabul
kehormatan , merogol dan juga pelacuran . Mangsa  yang dicabul oleh mereka bukan sahaja
pelajar wanita tetapi juga  wanita-wanita dewasa. Selain jenayah seksual, beliau mendedahkan 
mengenai  masalah seks rambang, hamil luar nikah dan  pelacuran  dikalangan  pelajar di 
institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurutnya, sehingga bulan Jun tahun ini, seramai 141 gadis bawah umur  berjaya diselamatkan 
daripada kancah pelacuran  dan kegiatan seks haram di seluruh negara dan sepanjang tahun lalu
pula seramai 230 remaja bawah umur yang terlibat  berjaya diselamatkan   dan dihantar ke pusat
pemulihan akhlak. 
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan   berita seks oral dibawah meja di bilik darjah oleh empat
orang murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di Taiping. Hasil siasatan  guru-guru,  didapati 
bahawa seorang  daripada murid itu mengulangi apa yang yang  dilihatnya  dalam  sebuah filem
lucah , bersama-sama ibu bapanya pada malam sebelumnya. Di sebabkan  oleh sebab  sifat ingin
tahu,  dia meminta rakan-rakannya untuk mencubanya di bawah meja selepas guru mereka
meninggalkan  bilik darjah.
 Namun apa yang sangat menyedihkan ialah sikap ibu bapa itu sendiri  yang sanggup 
mendedahkan  anaknya  kearah gejala sosial  dengan  menonton video lucah bersama-samanya.
Bagaimanakah ini boleh terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini ? Apakah faktor yang
menyebabkan  berlakunya semua ini ?  Adakah anak yang perlu dipersalahkan atau ibu bapa
yang tidak berakhlak  yang  perlu dipersalahkan ? Ibu bapa hendaklah menjadi  pemangkin dan
contoh teladan yang baik bagi anak-anak kerana pengaruh media massa pada zaman ledakan
maklumat  dan  lambakan bahan-bahan lucah seperti majalah dan  VCD lucah amat mudah 
mempengaruhi tingkah laku  anak-anak  dan para pelajar. 
Remaja dan pelajar merupakan golongan pewaris kepimpinan hari ini dan penerus wawasan
negara. Kepesatan pembangunan ekonomi dan teknologi telah memberikan kesan kepada
pembangunan sosial dan insaniah para pelajar. Minda mereka menjadi lebih terbuka dan bebas.
Salah satu daripada gejala yang berlaku pada masa kini ialah masalah penyalahgunaan teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan remaja.
Aktiviti seperti "Lepak Siber", melayari halaman lucah dan hiburan keterlaluan, penyebaran
fitnah dan sebagainya merupakan gejala negatif yang semakin menular di kalangan remaja.
Justeru itu, satu bentuk langkah pembendungan dan penyelesaian terbuka yang sesuai dengan
minat dan citarasa mereka ini perlu dilaksanakan agar mereka dapat mempertingkatkan potensi
diri mereka dan memanfaatkannya ke arah yang lebih positif.

3.0.2  Samseng  Dan Gengsterisme


Gejala samseng atau gengsterime  di sekolah menengah di seluruh negara  juga semakin
membimbangkan .Mereka  ternyata  semakin berani mencabar undang-undang  dan tidak takut 
melakukan kesalahan jenayah  termasuk menggunakan senjata merbahaya..  Berita Harian , 12
Julai 2001 lalu melaporkan  dalam tempoh  10 tahun antara 1989 hingga 1998 kadar jenayah 
membabitkan   remaja lelaki dan pelajar meningkat  sebanyak 35 peratus  dan 25 peratus bagi
remaja perempuan. Kemeterian Pendidikan dengan kerjasama polis  telah mengenal pasti  pelajar
di 456 sekolah  menengah di seluruh negara terdedah kepada kegiatan samseng. Angka ini
bukan  sedikit dan menunjukkan  gejala ini  ini berada pada tahap membimbangkan . 
Kalau kita menyorot kembali gejala ini, kita akan  diperlihatkan  kepada pembabitan  pelajar 
dalam kes jenayah  berat seperti  membunuh, merogol, menyamun, mengugut dan kes pukul.
Terdapat juga pelajar yang terlibat dengan  dadah, mabuk,  memiliki senjata api menceroboh ,
judi dan membuli.
Peristiwa  terbaru ialah kejadian membakar  sekolah  dan rumah guru yang dilakukan oleh
pelajar  sekolah. Seawal belasan tahun  pelajar sudah  terjebak dengan jenayah ekstrem  seperti 
membunuh , merogol dan menyamun. Mereka  yang sudah menjinakkan diri dengan  kes seperti
mencuri  motosikal, pecah rumah  dan memukul orang , tidak  mustahil akan  terbabit dengan
jenayah  berat seperti  membunuh, sindiket senjata api , pengedaran dadah dan juga rompakan
senjata api.  Mengikut laporan Menteri Pendidikan semasa persidangan di Parlimen,    statistik
kesalahan membunuh, merompak, merogol dan dadah yang dilakukan oleh pelajar-pelajar
sekolah menengah di seluruh     mengikut negeri-negeri dari tahun 1999 hingga tahun 2000 dan
pertengahan tahun 2001 ialah 12 kes bunuh, 123 kes rogol dan 51 kes samun dan rompakan. 
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan  berlakunya  gejala-gejala tersebut seperti  faktor 
rumah tangga, sekolah, persekitaran, media massa dan diri  pelajar itu sendiri . Ramai pelajar dan
remaja  mudah terpengaruh dengan media yang memberikan  ganjaran keseronokan  dan mula 
tersesat dengan  meniru apa yang dilihat dan dibaca. Kewujudan media berteknologi tinggi
mendedahkan remaja kepada pelbagai budaya luar yang kebanyakannya merosakkan pemikiran 
mereka.  Selain itu  rumah tangga yang porak peranda dan persekitaran yang tidak sihat juga
menyumbang kearah  kelakuan tidak baik di kalangan remaja .Sekiranya ini berlaku  pelajar atau
remaja akan mengambil jalan singkat dengan  menjadikan  perbuatan tidak sihat sebagai  jalan
keluar  kepada permasalahan mereka.

3.0.3  Ponteng Sekolah


Senario ponteng sekolah bukanlah merupakan masalah sosial  yang baru di  kalangan pelajar
sekolah di negara kita. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan 
menunjukkan  pelajar terbabit dengan gejala itu agak membimbangkan  iaitu 32092 orang  pada
tahun 1993, 154305 (1995)  dan 80937 pada 1997. Pelajar sekolah menengah, terutama di
peringkat usia antara 14 hingga 15 tahun dikenal pasti  sebagai kumpulan majoriti  yang terbabit
dengan gejala  ponteng. Daripada  keseluruhan  pelajar  yang dikenal pasti terbabit dengan 
masalah ponteng, kira-kira 97 peratus adalah dari kalangan  pelajar lelaki dan baki 3 peratus 
adalah pelajar perempuan.
 Menurut Setiausaha  Parlimen Kementerian Pendidikan , Datuk Mahadzir Mohd Khir , masalah
ponteng lebih ketara  berlaku di kalangan pelajar  peringkat menengah iaitu tingkatan dua dan
tiga  terutama  mereka yang bersekolah di kawasan bandar dan sekolah di pinggir bandar. 
 Di antara faktor-faktor yang menyumbang kearah berlakunya  gejala ponteng di kalangan
pelajar  sekolah ialah tiadanya minat atau motivasi untuk ke sekolah, tiada kesedaran betapa
pentingnya ilmu pengetahuan , pengaruh persekitaran seperti melepak di pusat hiburan,  pusat
membeli belah, melayari internet di kafe siber  dan terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan
sebaya.
Sesungguhnya gejala ponteng sekolah  adalah masalah serius yang  perlu diberi perhatian.dengan
mengambil pendekatan bersepadu  dengan mengesan  punca pelajar terbabit dengan gejala itu
dan  kaedah  yang berkesan  untuk menanganinya..
 
3.0.4  Black Metal 
Saban hari bilangan remaja yang terjebak dengan gejala sosial kian meningkat. Yang lebih
menyayatkan adalah gejala ini seolah-olah epidemik atau wabak yang  menjangkiti remaja
melayu babak demi babak, peringkat demi peringkat dan yang                       terakhir dan masih
terasa bahangnya ialah masalah Black Metal dan kini Pink Metal.                        Semua ini
sebenarnya adalah masalah lama yang diberi manifestasi baru kerana                        kelekaan
sendiri. Masalah Black Metal misalnya merupakan masalah masyarakat yang                        telah
membelakangkan adab dan budayanya sendiri sehingga wujud satu                        kekosongan
atau vacum yang kaku dan bisu.  Kegiatan Black Metal adalah suatu kegiatan yang mempunyai
unsur  pemujaan dan penyembahan syaitan malah ada  pengikut mereka  yang sudah meminum
darah kambing sebagai tanda setia kepada kumpulan mereka.. Hasil  daripada siasatan,  polis
mendapati 10 pelajar dari sebuah sekolah menengah  di Parit Buntar mula terbabit dengan
kumpulan Black Metal  sejak 1999. Ada diantara pelajar berkenaaan terbabit dalam upacara
membakar ayat Al Quran dan  mengikuti upacara  yang diketuai `tok guru` yang berselubung
hitam.
Akibat dari ketandusan aqidah , pelajar Islam  mula terpengaruh dengan agenda Yahudi  dengan
menafikan  tauhid Uluhiyyah.  Adalah  menjadi perkara yang sangat menyedihkan dan
mengecewakan apabila terdapat  golongan pelajar  Islam di negara ini yang terpengaruh dengan
budaya  yang kurang sihat ini.  Ilmu dan pengajaran daripada  simpulan bahasa dan
perumpamaan melayu misalnya, tidak langsung mendapat   tempat sebagai pegangan hidup kita.
Membenteras gejala negatif ini merupakan tanggungjawab sosial semua pihak dari  seluruh
anggota masyarakat. Usaha ini memerlukan kerjasama yang padu di                        kalangan
anggota masyarakat. Dengan komitmen, kesungguhan dan keikhlasan                        semua
pihak, gejala ini akan dapat ditangani dengan sebaiknya, tanpa kita                        membebankan
mana-mana pihak. 
3.0.5  Dadah, Merokok dan Lari Dari Rumah 
Penglibatan pelajar sekolah di negara kita dalam kes merokok, dadah, lari dari rumah  dan judi 
bukanlah perkara yang baru. Bagi kesalahan menyalahgunakan dadah yang dilakukan oleh
pelajar sekolah bagi tahun 1999 ialah sebanyak 328   kes manakala bagi tahun 2000 ialah
sebanyak 448 kes. Diantara  jenis-jenis dadah yang  dikesan  dikalangan pelajar ialah  ganja,
heroin, pil ectasy, menghidu gam, meminum ubat batuk dan lain-lain bahan yang mempunyai
kesan-kesan dadah. Akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 25.08.2000 melaporkan bahawa 10
orang pelajar  ditahan dalam serbuan polis  yang disyaki ponteng dan menghidu gam. 
Masalah merokok di  kalangan pelajar pula semakin bertambah bilangannya dari sehari ke sehari.
Akhbar Berita Harian  bertarikh 30.03 1998 melaporkan terdapat lebih 7000 murid tahun 4 telah
merokok diseluruh negeri.  Terdapat beberapa sebab pelajar merokok seperti ingin menonjolkan 
emej yang hebat dan kedewasaan, ingin mencuba,  dan mengikut tingkah laku ibu bapa ,
pengaruh rakan sebaya dan iklan  serta mudah diperolehi di pasaran. Manakala satu lagi
kesalahan yang selalu melibatkan para remaja ialah lari atau hilang dari rumah. Statistik untuk
tahun-tahun kebelakangan ini menunjukkan remaja yang  lari atau menghilangkan dari rumah
semakin membimbangkan Masalah ini mungkin akan menyebabkan wujudnya masalah yang
lebih besar apabila mereka menghadapi kesulitan hidup  setelah dari dari rumah seperti   terlibat
dalam pelacuran, pelayan di kelab malam atau disco dan sebagainya. 

4.0  Penutup
Melihat kepada permasalahan  dan gejala sosial yang melanda para pelajar  dan remaja  kita pada
hari ini amatlah mencemaskan. Tindakan untuk mengawalnya sudah  sampai ke tahap  yang
dianggap terdesak. Pertaruhannya adalah masa depan negara dan  generasi Malaysia. Walaupun
sudah banyak kajian yang dilakukan  oleh pelbagai pihak mengenai  sikap dan tingkahlaku
pelajar  dan remaja tetapi kajiannya lebih bersifat  tujuan akademik dan  tertumpu kepada  punca
masalah dan  biasanya bersifat umum sahaja. Di sebabkan  terlalu banyak  punca yang
diramalkan , tindakan untuk membendung masalah tidak lagi berfokus.
Meskipun ada cadangan mengenai  cara mana mengatasi masalah, namun ia  hanya berakhir  di
meja perbincangan,  forum atau seminar. Memang ada program yang  dirangka untuk remaja dan
pelajar tetapi ianya hanya memberi  manfaat kepada segelintir  mereka sahaja dan  lebih bersifat
komersial..  Ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat  perlulah berganding bahu dan bekerjasama 
dalam memikul tanggungjawab  mendidik anak-anak dan para pelajar. Sebagai masyarakat
mikro, sekolah sepatutnya  mempunyai ciri-ciri yang ada dalam masyarakat  makro. Oleh itu
adalah wajar  supaya pelajar didedahkan akan kesan buruk  dalam  masyarakat  malalui interaksi 
mereka di sekolah. Kerajaan juga perlu melancarkan satu kempen yang menyeluruh  untuk
menyedarkan remaja dan pelajar supaya menghindarkan  diri dalam  apa jua bentuk  gejala
buruk  yang boleh merosakkan  diri  dan nama baik keluarga mereka. Golongan ini juga perlu 
didedahkan dengan  pengetahuan undang-undang  agar mereka  gementar dengan hukuman. 
Pelajar dan remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan negara..
Mereka adalah aset kekayaan semulajadi yang bakal memegang peranan penting dalam politik,
ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah akhlak di kalangan
remaja adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang akan merugikan
negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu segala masalah sosial yang dihadapi oleh para
remaja harus dibendung dan di atasi supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap
aset yang tidak ternilai ini.
Seks Bebas

Menurut Dr. Maryani Md. Nor dari Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya (UM), seks bebas boleh diterjemahkan sebagai perhubungan seks tanpa ikatan
nikah yang sah kini menjadi isu serius yang melanda remaja masa kini.(Rosmah Dain, “Seks
Bebas – Isu Serius Melanda Remaja Malaysia”).

Keadaan ini ada kaitannya dengan penyebaran teknologi maklumat yang begitu berleluasa serta
ditambah pula dengan iman yang rapuh dalam diri para remaja islam pada hari ini.

Fenomena video lucah, serta bahan-bahan bacaan lucah begitu mudah didapati di pasaran.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga tidak kurang hebatnya. Harus disedari bahawa perlakuan
seks bebas merupakan perbuatan yang diharamkan dalam Islam.

Oleh itu, di dalam Islam bagi mereka yang tidak dapat menahan keinginan, Islam menggalakkan
umatnya menggunakan saluran lain seperti berkahwin atau berpuasa.

Fenomena seks bebas berlaku di mana-mana negara seluruh dunia. Di Amerika Syarikat
misalnya dan juga negara-negara Barat lain, kajian menunjukkan satu daripada lima remaja
melibatkan diri dalam hubungan seks sebelum mereka mencapai umur 15 tahun.

“Beberapa kajian yang dilakukan di negara ini juga menunjukkan 27 peratus daripada remaja
kita hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah”.

Halijah berkata, antara sebab-sebab mengapa remaja di negara ini terdorong terlibat dalam
hubungan seks bebas ialah akibat permintaan dan `godaan' yang lebih banyak dan kompleks
berbanding remaja pada generasi lalu.

Di samping itu, pengaruh daripada rakan sebaya terutamanya di kalangan remaja lelaki juga
merupakan faktor penyebab mengapa remaja terdorong melakukan hubungan seks tanpa tahu
risikonya.

Dalam pada itu, pengaruh persekitaran yang begitu kondusif turut menggalakkan perlakuan
seksual seperti itu. Kehidupan anak-anak yang terlalu terkongkong atau tidak rapat dengan ibu
bapa atau keluarga, boleh menyebabkan anak-anak ingin meneroka sesuatu yang negatif.

Selain itu kurangnya didikan agama juga menjadi punca utama mengapa mereka tidak dapat
menahan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat seperti ini. Halijah berkata, antara kesan-
kesan mengamalkan seks bebas ialah kehamilan.
Di Amerika Syarikat misalnya, lebih kurang 40 peratus daripada remajanya hamil luar nikah.
Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan
kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian.

Statistik yang diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 4.4 juta remaja
dunia pernah menggugurkan kandungan,” katanya.

Hubungan seks bebas juga membawa risiko penyakit kelamin. Menurut anggaran WHO, setiap
tahun, seorang daripada 20 remaja di dunia dijangkiti penyakit kelamin yang mana daripada
sejumlah 333 juta kes baru penyakit kelamin, 111 juta kes berlaku di kalangan mereka yang
berusia di bawah 25 tahun.

Hubungan seks bebas yang tiada perlindungan boleh menyebabkan peningkatan kepada risiko
keguguran di kalangan remaja yang masih mentah yang bukan sahaja membahayakan nyawanya
juga paling tidak selamat ialah akan meningkatnya kes penyakit kelamin dan berjangkit seperti
gonorea, sifilis dan lebih berbahaya iaitu AIDS.

Antara punca yang dikenal pasti berlakunya permasalahan ini ialah kurangnya ilmu pengetahuan
tentang penjagaan kesihatan berhubung tentang seks di kalangan remaja dan juga pengamal
perubatan yang tidak mahir.

Berdasarkan Kaji Selidik Penyakit dan Kesihatan Negara (bawah Kementerian Kesihatan)
memperlihatkan bahawa penglibatan remaja dalam hubungan seks di luar perkahwinan di
Malaysia adalah 1.8 peratus pada tahun 1996.

"Jumlah yang paling tinggi adalah di kalangan pelajar perempuan iaitu 2.5 peratus berbanding
dengan pelajar lelaki hanya 1.2 peratus sahaja”.

You might also like