You are on page 1of 3

Karangan Rasuah.

Faktor-faktor penyebab dan langkah-langkah mengatasinya

Fenomena rasuah sering dikaitkan dengan istilah tumbuk rusuk atau makan suap dan konotasi ini
membawa maksud yang negatif kepada imej sesebuah masyarakat itu. Semakin tinggi kadar rasuah di
sesebuah negara itu maka semakin rendahkan persepsi masyarakat luar terhada kemampuan rakyat
negara terbabit untuk melakukan sesuatu terutama dalam aspek ekonomi. Media massaa turut
menyiarkan pelbagai kes yang melibatkan pegawai kerajaan berprofil tinggi yang terlibat dalam amalan
rasuah ini sebagai bukti betapa masalah ini semakin menular dalam masyarakat kita. Jelaslah,
fenomena sosial ini mempunyai pelbagai imlikasi, punca dan langkah yang efektif untuk menanganinya.

Punca yang ketara tentang gejala ini sering dikaitkan dengan masalah ketelusan sistem pentadbiran
kerajaan kita. Masyarakat menganggap masaah rasuah ini bermaharajalela kerana kerajaan tidak
memiliki satu sistem yang telus terutama dalam aspek pemberian tender dan projek lain yang
menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk mengambil
wang secara haram ini. Ketiadaan sistem pemantauan yang berkesan telah menyebabkan ramai kaki
tangan awam yang terangsang untuk melakukan jenayah yang keji ini. Jelaslah, masalah ini berleluasa
apabila tiadanya satu ketelusan dalam sistem tadbiran awam negara kita.

Selain itu, masalah jenayah kolar putih ini turut merebak lantaran sikap masyarakat kita yang tidak
peka dengan polemik masalah ini secara terperinci. Ada kalangan masyarakat yang menganggap
masalah ini merupakan asam garam kehidupan yang harus dan telah dialami oleh semua negara di dunia
ini. Persepsi sedemikian menyebabkan mereka menganggap tindakan mengambil rasuah dan memberi
rasuah itu sudah menjadi satu kebiasaan yang tidak pernah dimalukan oleh sesiapa sahaja. Maka,
kurangnya pemahaman masyarakat terhadap masalah rasuah ini menyebabkan masalah ini menular
secara pantas dalam masyarakat kita terutama yang tinggal di bandar-bandar besar.

Bukan sahaja kurangnya pemahaman tentang masalah ini yang membawa penularan gejala sosial ini
tetapi masalah ini turut mempunyai kaitan dengan penguatkuasaan undang-undang yang dikatakan
lemah dalam sistem perundangan negara kita tentang isu rasuah ini. Tindakan mahkamah mengenakan
hukuman yang dianggap ringan kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan jumlah rasuah yang
diambil oleh mereka telah memberikan satu pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman
kita untuk menangani isu ini. Hukuman yang ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak-pihak
tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana mereka sedar mereka masih mampu
menikmati hasil rasuah yang mereka ambil itu setelah keluar dari penjara. Sesungguhnya, kelemahan
dalam sistem kehakiman menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan rasuah di negara ini
telah memberi satu pandangan salah tentang rasuah ini kepada masyarakat kita.

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah rasuah ini? Sudah pasti tindakan
awal ialah kerajaan membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut ini dengan menahan,
mendakwa dan menghukum pesalah-pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan mereka. Rakyat masih
beranggapan bahawa masih ada pihak-pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi mereka tidak di
bawa ke muka pengadilan yang menimbulkan rasa tidak ppercaya rakyat akan keikhlasan kerajaan
menangani isu ini. Kesungguhan kerajaan mendakwa atau menyeret mereka ini ke mahkamah akan
memberi satu peringatan agar mereka tidak mengambil rasuah pada peringkat awalnya. Sesungguhnya,
tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa memilih bulu akan memberi
petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang setimpal dan menakutkan mereka
untuk melakukan jenayah ini.
Usaha kerajaan untuk menakutkan pesalah rasuah dan masyarakat boleh dicapai menerusi satu kempen
iklan yang efektif. Kempen yang dilancarkan itu mestilah menggunakan media massa secara holistik
iaitu daripada akhbar hinggalah ke internet untuk memastikan semua khalayak masyarakat menerima
kempen tersebut. Semua imej atau aksi yang dipaparkan melalui iklan itu mestilah berupaya
meninggalkan kesan atau menjadikan masyarakat berfikir dua kali sebelum mereka menerima rasuah.
Jadi, kempen yang begitu mudah tetapi berkesan menjadi satu wahana yang baik dalam peperangan
memerangi amalan rasuah ini.

Seterusnya, penerapan konsep keagamaan dan moral hendaklah dilakukan terutama di sektor
pendidikan negara seperti dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti. Usaha menerapkan konsep
murni sebegini perlu dilakukan pada peringkat awal kehidupan seseorang itu supaya mudah untuk
mengawalnya. Semua konsep yang baik dijelaskan kepada pelajar supaya mereka memahami keperluan
untuk membebaskan diri dan negara daripada ancaman rasuah ini. Ringkasnya, pendidikan kepada
golongan muda berupaya menyekat penularan wabak sosial yang begitu memalukan ini dengan begitu
mudah dan berkesan.

Konklusinya, semua faktor dan langkah mengatasi kemelut sosial ini harus diteliti dan dipantau oleh
semua pihak dengan berkesan. Perubahan paradigm masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku terlibat
dahulu jika masalah ini hendak diatasi hingga ke akar umbinya. Kelewatan untuk mengatasi masalah ini
mampu menjadikan negara kita satu negara yang begitu sukar untuk dipercayai dan diuruskan pada
masa hadapan. Mungkin konsep mencegah daripada mengubatinya lebih berkesan dalam memastikan
rasuah terus berkubur dalam tempat yang sepatutnya. 

Dipetik daripada : Blog Cikgu Azman

You might also like