You are on page 1of 19

Amalan berjimat cermat dan menabung.

............Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan
sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin
meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika
berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah
yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan
masyarakat.

............Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia
mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah
mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan
masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung
sebelum hujan.

............Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil
lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan
perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan
keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan
seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang
selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih
gemilang.

............Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian
Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk
kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang
yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap
tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang
bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.

...........Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu.
Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan
bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut
keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan
kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami
masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum
terlambat, beringat sebelum terkena.

............Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak
dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan
masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok,
namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar
amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat
umur.

Langkah Untuk Menggalakkan Orang Ramai Menaiki Pengangkutan Awam


di Negara Kita.

Pengangkutan awam di negara kita sedang berkembang maju. Kerajaan juga telah
mengadakan pelbagai langkah untuk menggalakkan orang ramai supaya menggunakan
pengangkutan awam bagi mengatasi masalah kesesakan khususnya di kawasan bandar.
Jelaskan langkah-langkah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan
pengangkutan awam
.
..........“Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun
yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang
rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri di mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat,
Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan telah berusaha
menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam
berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai
pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Kereta api, komuter dan
monorel. Jikalau bukan kita sebagai warganegara Malaysia yang menyokong pengangkutan
awam, siapakah lagi yang mesti menyokongnya? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif
dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan
pengangkutan awam.
.
..........Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan
bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang
berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain
dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan
sistem tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka
yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai menggunakan
pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam
(PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat
mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian.
Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat seperti di
Melbourne, Australia. Di Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos
yang rendah untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan peribahasa
“serampang dua mata”. Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan
yang kurang berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan
harian mereka. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang
pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.
.
..........Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan
awam ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau
bas awam haruslah dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta
mengatasi masalah kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi
rungutan orang ramai. Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah mencontohi
perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah menggunakan kuasa elektrik seprti
shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan melebihi 200 kilometer sejam. Dengan
menggunakan lokomotif berkuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat
ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik
perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang
motosikal. Dengan kekerapan perjalanan pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak
akan membazirkan masa untuk menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut. Hal ini
dapat mengurangkan masa perjalanan orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era
globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual
perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan
mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di negara kita. Lantaran itu, cara ini
haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem
perkhidmatan pengangkutan awam.
.
..........Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di
dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai. Hal ini kerana
langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang
berpeluang untuk menonton pelbagai siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan
mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik. Perkara ini haruslah diperluaskan dalam
pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak
penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika
dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam
kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang
mengimbas kembali detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti
alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan penumpang berasa lebih
selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut. Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini
pasti akan dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai
boleh mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum.
Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para
penumpang untuk menaiki pengangkutan awam.
.
..........Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin, sistem
perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita. Pemasangan alat perakam
ini dapat merakamkan bukan sahaja perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan malah
dapat merakamkan kelajuan pengangkutan awam tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan
masalah kenderaan awam seperti bas yang dipandu terlalu laju sehingga melebihi had yang
dibenarkan. Pada masa yang sama, pemasangan alat ini dapat mengurangkan kadar
kemalangan jalan raya khususnya bas yang sering diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan
juga perlu lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi memastikan pemandu pengangkutan
benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang kurang berdisiplin akan dapat
mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang tidak bersopan sekali gus melenyapkan
pekerja yang tidak berkualiti. Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan
Jalan atau pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan pengangkutan
awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan pengangkutan awam yang
digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan tersebut terjamin. Dengan
cara itu, keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan
meningkat.
.
..........Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka untuk
menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan ini. Di
kawasan stesen komuter atau LRT umpamanya, tempat meletakkan kenderaan perlu
ditambah bagi mengelakkan orang ramai meletak kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di
tempat lain yang tidak sesuai. Hal ini sentiasa menjadi rungutan orang ramai kerana bukan
sahaja boleh mengakibatkan kesesakan malah pada masa yang sama turut menjadi punca
berlakunya kemalangan jalan raya. Begitu juga halnya dengan pengangkutan tambahan atau
“bas fider” yang dikatakan menjadi masalah kepada pengguna komuter dan LRT.
Kekurangan pengangkutan bas tambahan ini telah menyukarkan pengguna pengangkutan
tersebut jika kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat. Justeru adalah penting sekiranya bas-
bas tambahan ditambah bilangannya bagi memudahkan dan mempercepat perjalanan
seseorang dari rumah ke destinasi yang dituju. Jarak atau lokasi pengangkutan awam seperti
komuter dan LRT juga perlu ditambah dari semasa ke semasa agar lingkungan pengguna
yang dapat menaiki kemudahan awam tersebut turut meningkat. Biarpun langkah ini
memerlukan biaya yang agak tinggi namun kesannya pada sistem perhubungan di negara kita
adalah amat besar. Oleh itu langkah-langkah menyediakan kemudahan tambahan bagi
meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut perlu dilaksanakan agar pengangkutan
awam di negara kita tidak dianggap “indah khabar dari rupa”.
.
..........Seperti kata peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari
rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan
rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Pihak sekolah dicadangkan supaya memberi
penerangan tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan
menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada
fikiran pelajar agar menaiki perkhidmatan awam. Usaha ini bukan sahaja perlu ditumpukan
kepada para pelajar, tetapi harus juga diperluas kepada mereka yang dewasa untuk mengubah
imej dalam hati mereka apabila menaiki pengangkutan awam. Melalui pendidikan, kita dapat
melahirkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan awam seperti kereta api dan bas
sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang untuk
menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kendera sendiri, tetapi mereka
tetap akan menggunakan perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama mereka jika
konsep kebaikan menggunakan pengangkutan awam tertanam dalam jiwa mereka.
.
..........Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada
masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan,
mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos
kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah
menyahut seruan kerajaan agar menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk
bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan
langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam di negara
kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di negara-negara lain
seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.
Industri pelancongan membawa sumber pendapatan negara. Huraikan usaha-usaha
yang mampu dilakukan untuk meningkatkan industri pelancongan negara.

............Tahun 2007 telah diumumkan sebagai Tahun Melawat Malaysia oleh kerajaan
memandangkan industri pelancongan berpotensi untuk dimajukan di negara kita. Sektor
pelancongan juga perlu dimantapkan kerana sektor ini mampu memantapkan ekonomi negara
kita. Banyak tempat menarik yang terdapat di negara kita boleh dikunjungi oleh pelancong-
pelancong asing dan tempatan seperti di Cameron Highland, Genting Highland, bandar raya
Melaka, Desaru dan sebagainya. Oleh itu pelbagai usaha boleh dilaksanakan untuk
memajukan industri pelancongan tersebut sama ada oleh pihak kerajaan sendiri mahupun
agensi yang berkaitan.

............Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah menambah
kemudahan pengangutan dan perhubungan ke destinasi-destinasi yang menarik di negara kita.
Kemudahan pengangkutan ini dapat memberi peluang yang lebih banyak kepada pelancong
untuk pergi ke destinasi yang mereka sukai. Sebagai contohnya, kerajaan telah membina
kemudahan lebuh raya baru ke Cameron Highland agar pusat pelancongan ini mudah
dikunjungi pelancong. Jadual penerbangan ke Malaysia juga perlu ditambah terutama dengan
mengadakan promosi tambang murah kepada pelancong asing yang ingin melawat ke
Malaysia. Dengan cara ini, para pelancong akan berasa selesa apabila berkunjung ke
Malaysia.

............Selain itu, usaha untuk meningkatkan jumlah tempat-tempat penginapan seperti hotel
dan chalet perlu ditingkatkan. Usaha ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyakan
pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan
bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong. Sebagai contohnya, usaha yang dijalankan
oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta makanan
tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel
tersebut.Justeru, sekiranya usaha seperti ini dilaksanakan secara berterusan, jumlah pelancong
asing yang akan kembali semula ke Malaysia akan bertambah di samping menggalakkan
kedatangan pelancong baru.

............Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mengadakan lebih banyak promosi untuk
menjelaskan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi
pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh di laksanakan dengan giat
sama ada di dalam mahupun di luar negara. Sebagai contohnya, kementerian Pelancongan
telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di
Dubai dan Arab Saudi. Usaha mempromosikan negara ini juga boleh dijalankan melalui
penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarkan maklumat tentang
pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong
memperoleh maklumat berguna mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti
pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat
pelancongan disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong.

............Salah satu aspek penting yang ditekankan oleh pelancong terutama pelancong asing
ialah aspek kebersihan dan kemudahan prasarana. Kawasan pelancongan mestilah sentiasa
bersih dan diselenggarakan dengan baik. Petugas- petugas di kawasan pelancongan perlu
ditambah bagi memastikan kebersihan sentiasa terkawal. Begitu juga halnya dengan
kemudahan prasarana bagi membolehkan pelancong membeli-belah dengan selesa. Sebagai
contohnya, kemudahan seperti bank, insuran serta pusat membeli belah perlu dibina di
kawasan pelancongan. Langkah-langkah seperti ini mampu menjadi daya tarikan pelancong
untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati.

............Selain usaha tersebut, usaha menarik pelancong ini turut dipikul oleh rakyat negara
ini. sikap ramah dan suka membantu pelancong harus diutamakan oleh rakyat Malaysia.
Keramahan rakyat negara ini harus dibuktikan melalui sikap ikhlas melayan tetamu kita itu.
Umpamanya, pemandu teksi yang dianggap “duta pelancongan negara” haruslah bersikap
ramah, mesra dan menjauhi amalan ingin mengambil kesempatan atas kehadiran pelancong
asing bagi mengaut keuntungan mudah. Rakyat perlulah menunjukkan nilai sopan santun dan
lembut bahasa kerana “bahasa menunjukkan bangsa”. Jadi, rakyat negara ini harus mengubah
sikap mereka dengan melayan pelancong tempatan atau asing ini dengan lebih baik agar
kunjungan mereka ke Malaysia sentiasa memberi kenangan manis di sepanjang hidup
mereka.

............Memandangkan persaingan dalam industri pelancongan semakin sengit, agensi-agensi


pelancongan perlu bersikap lebih kreatif bagi menerokai bidang pelancongan baru. Konsep
pelancongan perlu diperluaskan dengan memperkenalkan pelbagai jenis pelancongan seperti
“ekopelancongan”, pelancongan alam sekitar, pelancongan pendidikan, pelancongan
perubatan dan sebagainya. Hal ini sesuai dengan pepatah Melayu, “tak kenal maka tak cinta”.
Jika pelancongan versi baru ini tidak dicuba di negara kita, kita tidak akan mengetahui
potensi yang dapat diperoleh daripada industri pelancongan tersebut. Pada masa yang sama,
pelbagai aktiviti sukan seperti Le Tour De Langkawi serta persidangan antarabangsa seperti
Persidangan APEC yang diadakan di Kuala Lumpur, mampu menarik jumlah pelancong
berkunjung ke Malaysia.
.
............Tuntasnya, “jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, jika usaha yang
dilakukan amat kurang dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk melihat sektor pelancongan
di negara kita merentasi benua dan dunia menjadi nyata? Segala tindakan yang dirancang dan
direncana memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga melalui
keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan
menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil
merehatkan minda mereka.
Soalan : Kerajaan menjalankan pelbagai langkah bagi memajukan negara kita dari segi
teknologi maklumat dan komunikasi. Satu kempen kesedaran tentang implikasi teknologi
maklumat telah diadakan di tempat anda. Selaku seorang pengamal teknologi maklumat, anda
diminta memberikan ceramah dalam majlis pelancaran kempen tersebut. Tuliskan teks
ceramah itu.

Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi
Majlis, pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
Pada era ‘dotcom’ ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk memajukan
bidang multi media (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai harimau Asia
tidak ketinggalan. Kerajaan sedang berusaha membangunkan Koridor Raya Multimedia atau
lebih dikenali sebagai Multi-media Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer
persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan
kepada rakyat Malaysia sama ada implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan MSC
dapat dilihat dari aspek pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Kehadiran teknologi multi media adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas
mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multi media. Seluruh
dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini.
Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas.
Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah
dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata
dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui
iklan di suratkhabar baru-baru ini menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda
sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan
tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk
meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi multi
media dalam bidang pendidikan.

Hadirin yang budiman,


Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien
dengan adanya kemudahan multi media ini. Dunia hari ini heboh tentang ‘e-niaga’ atau ‘e-
commerce,’ cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti
cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat
laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa
Melayu sebagai emel!). Kini ‘www.sesuatu.com.my’ bukan lagi satu perkara yang baru.
Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari dalam
negara malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak
ketinggalan dalam hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di suratkhabar yang
mengkhabarkan seorang surirumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui emel!
Justeru, jelas bahawa perkembangan multi media membawa kesan positif dari aspek
perniagaan.

Hadirin yang dimuliakan,


Di samping itu, kemajuan multi media juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran
industri kita. Perkembangan multi media secara langsung atau tidak membantu meningkatkan
produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan
kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya emel, sesuatu maklumat dapat
dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi
maklumat kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai
ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan
kepada pembangunan multi media. Malah ketika melawat MSC, Bill Gates (Microsoft
Corporation), insan terkaya di dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius
dalam membangunkan pusat multi medianya. Beliau menambah, di luar Amerika Syarikat
pembangunan seumpama ini (seperti di Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti bahawa
pembangunan multi media membolehkan Malaysia “berdiri sama tinggi, dan duduk sama
rendah” dengan negara-negara maju yang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan,


Dari segi sosialnya pula, pembangunan multi media mengeratkan lagi hubungan antara rakyat
Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar
negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan
sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-
mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat
membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel
elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh
lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya
pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat
persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara dan berbagai-
bagai kaum. Bukankah multi media satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Hadirin sekalian,
Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multi media tidak bebas daripada implikasi
negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di
Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan
internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Saya yakin kita masih ingat khabar angin
bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang
disebarkan melalui internet. Selain itu, kempen memburuk-burukkan pemimpin kerajaan dan
kerajaan sendiri memang terus-menerus berlaku. Inilah aspek negatif internet yang sukar
dibendung oleh sesiapa.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,


Internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di kalangan
generasi muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan daripada ruang
maya dalam internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan sasaran utama
peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut keuntungan besar
dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran
sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat di kalangan pelajar-pelajar
sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu
bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini.
Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan lagi keadaan. Kafe-kafe ini
merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di kalangan remaja dan
belia. Dari sini juga lah aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih dadah,
gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.

Hadirin yang dikasihi,


Selain itu, jika perkembangan multi media tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh
melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan agama yang
disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan
kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Anasir-
anasir yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif tentang hak dan kepercayaan masyarakat
pelbagai kaum bagi menwujudkan huru-hara di dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak
mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa
dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Oleh itu, kesan negatif multi media yang boleh
mengheret rakyat ke kancah perang sivil dan kaum wajiblah dielakkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang
sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Menjadi
tugas kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.
Sekian, terima kasih.
Tajuk:

Jelaskan peranan ibu bapa dalam membentuk masyarakat penyayang.

Contoh Jawapan:

Pada alaf baru ini, ibu bapa memberi peranan yang penting kepada masyarakat dan negara.
Media cetak mahupun media elektronik sering menyiarkan isu ini. Dalam kalangan ibu bapa
dalam masyarakat ini selalu diberi perhatian oleh orang ramai terutamanya kerajaan. Menurut
Perdana Menteri Malaysia ke-5 Dato Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi memberitahu
bahawa membentuk masyarakat penyayang amat penting sekali. Oleh itu, terdapat pelbagai
langkah-langkah yang boleh diambil untuk membentuk masyarakat penyayang.

Sehubungan dengan hal itu, ibu bapa seharusnya memberikan kasih sayang kepada anak-
anak. Namun begitu, terdapat kalangan ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka. Hal
ini kerana, ibu bapa tersebut lebih mementingkan kemewahan hidup dan kekayaan. Oleh itu,
ibu bapa seharusnya meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak mereka pada alaf
globalisasi ini. Sebagai  contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka semasa cuti
sekolah untuk mengeratkan hubungan dan mengurangkan tekanan anak-anak dalam aspek
pembelajaran serta ibu bapa. Jadi, impian ibu bapa atau negara untuk membentuk masyarakat
penyayang akan tercapai jua.

Sejajar dengan itu, ibu bapa sewajarnya memberi didikan agama kepada anak-anak semenjak
kecil lagi. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sebaliknya, ibu bapa
mengagung-agungkan kemodenan sehingga mengabaikan anak-anak dalam didikan agama.
Hal ini kerana, mereka beranggapan didikan agama tidak penting dalam arus kemajuan
teknologi satelit masa kini. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan didikan agama kepada
anak-anak mereka. Misalnya, menggalakkan anak-anak mengikut kelas kifayah supaya anak-
anak akan menjadi insan yang berakhlak mulai. Di samping itu, mereka seharusnya
memberikan pengajaran yang baik kepada anak-anak mereka ketika anak-anak itu masih
dalam buaian lagi. Jelaslah, hasrat ibu bapa dalam melahirkan generasi yang berguna akan
menjadi kenyataan pada suatu hari nanti.

Malahan, ibubapa haruslah menyediakan semua keperluan atau kemudahan kepada anak
mereka. Penyediaan tempat belajar yang sesuai amat penting. Begitu juga dengan hubungan
ayah dan ibu yang mesra tanpa sebarang masalah sudah pasti akan memberi keselesaan
kepada anak untuk menjadi manusia yang penyayang. Ringkasnya, sikap ibubapa yang
sebegini mampu melahirkan satu generasi muda yang penyayang di negara ini.

Seiring dengan itu, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-
anak. Namun demikian, terdapat kalangan ibu bapa yang berperangai buruk. Contohnya,
menjadi penagih dadah, pencuri, perogol dan sebagainya. Hal ini jelas, mereka akan
mengalami kesempatan wang dan tekanan emosi. Bak kata pepatah “ bagaimana acuan,
begitulah kuihnya”. Hal ini demikian, ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang baik kepada
anak-anak sejak kecil lagi. Umpamanya, mengamalkan tabiat rajin membaca buku di hadapan
anak-anak. Lama-kelamaan tabiat ini dalam kalangan generasi muda akan mengikut tabiat
yang positif ini. Ringkasnya, peranan ibu bapa amatlah besar dalam melahirkan masyarakat
yang berguna pada alaf globalisasi ini.
Tuntasnya, semua pihak sewajarnya memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan dan pihak
swasta. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang terpenting untuk memupuk
masyarakat penyayang. Justeru, peribahasa “bagai aur dengan tebing” hendaklah diamalkan
oleh semua warganegara Malaysia terutamanya generasi muda sejak belakangan ini.
Kewujudan undang-undang siber yang sedia ada masih belum mampu untuk
menampung atau membanteras jenayah siber yang semakin bijak dan berleluasa.
Berdasarkan maklumat Pusat Keselamatan ICT dan Tindak balas Kecemasan
Kebangsaan (MISER), bagi tempoh tahun 1998 hingga 2007, ancaman dan
serangan siber itu menunjukkan trend meningkat, iaitu daripada kira-kira 340 aduan
kepada hampir 40 ribu aduan oleh pengguna Internet. Jenis ancaman boleh
berbentuk pencerobohan, serangan penyahan perkhidmatan, penggodam, serangan
kod berbahaya, dan spam. Serangan siber yang paling kerap ialah menerusi spam.
Spain meliputi bahan lucah, ucapan benci, pesanan fitnah, hasutan, dan judi yang
semakin berleluasa di Internet. Pada tahun 2007, kira-kira 38,600 aduan spam
dilaporkan kepada MISER, diikuti dengan pencerobohan (385 aduan), penipuan
(364 aduan), dan kod berbahaya (182 aduan). Internet Security Threat Report yang
diterbitkan oleh Symantec Corporation menyatakan Malaysia adalah antara negara
sasaran yang paling disukai oleh penyerang siber. Bagi tempoh Julai-Disember
2005, Malaysia berada pada kedudukan kelapan daripada 10 buah negara di
wilayah Asia Pasiflk yang kerap diserang oleh penyerang siber.
Ancaman terbesar di negara ini sekarang ialah Jenayah siber yang
melibatkan serangan terhadap laman-laman sesawang (web) kerajaan. Penjenayah
yang menggunakan peralatan teknologi maklumat seperti komputer dan pencetak
bagi memalsukan dokumen seperti pasport, kad pengenalan, mata wang, dan cek
juga boleh dikategorikan sebagai Jenayah siber. Selain Itu, penipuan juga
melibatkan e-dagang dan penipuan dalam talian telefon. Masalah-masalah ini jika
tidak ditangani dengan baik dan bersungguh-sungguh akan menjejaskan
pembangunan dan ketenteraman negara pada masa depan. Pada masa ini banyak
kes yang dilaporkan kepada pihak polls melibatkan penyalahgunaan dan penipuan
melalui e-mel. Jenayah siber terdedah kepada banyak cabaran seperti sukar
diselesaikan dan teknologi yang semakin berkembang membolehkan penjenayah
melakukan jenayah terancang. Biasanya jenayah terancang menggunakan
propaganda politik bagi mengelakkan mereka dikenali polls. Teknologi komunikasi
dan maklumat (ICT) yang berkembang setiap hari menjadikan penyiasatan
bertambah rumit.
Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang perlu berubah selaras dengan
perkembangan teknologi yang ada sekarang. Biasanya penjenayah siber terdiri
daripada bekas kakitangan yang diberhentikan dan berniat untuk membalas dendam
terhadap bekas majikan mereka. Mereka mungkin juga terdiri daripada vendor yang
tidak setuju dengan kontrak yang diberikan, kakitangan penyelenggaraan atau
penggodam yang menggunakan pengetahuan mereka untuk membuat keuntungan
atau individu yang mendapat akses daripada kakitangan yang tidak jujur.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang ditubuhkan pada 1998
merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab memberikan laporan kepada
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi dalam membantu siasatan Jenayah siber dari
segi Jenis, kesan, dan sifatnya.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Sidang Kemuncak
Keselamatan Siber Sedunia anjuran Perkongsian Multilateral Antarabangsa
Menentang Keganasan Siber (IMPACT) berkata, ancaman Jenayah siber boleh
membawa padah besar, termasuk meruntuhkan sistem ekonomi, prasarana dan
institusi, serta menyebabkan kecederaan atau maut. Menurutnya, ancaman siber
bukan lagi sesuatu yang boleh diambil mudah oleh masyarakat moden atau
kerajaan. Semakin tinggi pergantungan dan hubungan sesebuah negara terhadap
Internet, semakin terdedah kepada ancaman siber seperti yang terjadi kepada
Estonia, yang mengalami tiga siri gelombang serangan siber sehingga menjejaskan
loji rawatan air, sistem perbankan, dan agensi kerajaan negara itu. Jika kita mahu
mengetepikan risiko kehilangan nyawa atau kerugian ekonomi daripada atau
serangan siber, kita perlu leblh peka dan memberi perhatian sewajarnya terhadap
risiko perkara berkenaan.
Menyedari akan implikasi ancaman siber, kerajaan telah mengambil langkah
keselamatan ICT semenjak tahun 1997 dengan menubuhkan MyCERT dan NISER
pada tahun 1998 untuk memberi perkhidmatan pakar runding berkaitan dengan
keselamatan rangkaian sistem ICT kepada sektor awam dan swasta. Jaminan
keselamatan seperti ini amat diperlukan kerana perbelanjaan dalam rangkaian
sistem ICT adalah tinggi mencecah berbilion ringgit. Kesedaran mengenai ancaman
siber di peringat global pula telah mendorong kerajaan untuk menubuhkan Institut
Kerjasama Pelbagai Hala Antarabangsa Memerangi Keganasan Siber (IMPACT)
pada tahun 2006. IMPACT, yang disokong oleh Symantec Coproration (Amerika
Syarikat), Tren Micro (Jepun) dan Kapersky (Rusia), akan membolehkan kerajaan di
seluruh dunia untuk bertukar maklumat dan idea Bagi memudahkan perkongsian
kemahiran dan amalan terbaik dengan objektif bagi membanteras ancaman siber di
peringkat global. IMPACT akan menumpukan aktivitinya kepada tiga bldang utama,
iaitu latihan dan pembangunan kemahiran, persijilan keselamatan dan penyelldikan,
serta penubuhan Pusat Tindakan Kecemasan Global. Kerajaan juga telah
menyediakan peruntukan sebanyak RM42 juta sebagai geran kepada IMPACT baru-
baru ini untuk menangani ancaman dan serangan siber dan bukti komltmen kerajaan
dalam keselamatan ICT global.
Mimos Berhad (Mimos) memperkenalkan Kit FIRST (Forensic Investigation
and Recovery System Tools) Bagi membantu melicinkan operasi pihak berkuasa
menyiasat kes-kes jenayah siber. Kit yang terdiri daripada sekeping cakera padat
perisian FIRST Imager itu merupakan alat untuk membantu menyelamat dan
memulihkan bukti digital yang telah dipadamkan daripada komputer atau sebarang
alat simpanan data elektronik. Kit tersebut dapat mengesan kehilangan semua jenis
fail komputer yang dilakukan oleh individu bermotifkan jenayah. Maklumat yang
diperoleh melalul kit ini dapat digunakan di mahkamah sebagai bukti digital. Satu
kumpulan kerja melibatkan beberapa agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM),
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah
dibentuk bagi membangunkan penggunaan kit tersebut. Hal ini juga merupakan
sebahagian daripada usaha Mimos membangunkan teknologi forensik komputer
untuk mencapai e-kedaulatan, iaitu perlindungan terhadap maklumat-maklumat
negara yang kritlkal. Selain Kit FIRST, turut dlperkenalkan hari Ini lalah Dokumen
Elektronik Terpelihara (SEDS), Sistem Amaran Awal Siber (CEWS), dan Teknologi
Keaslian Imej (IAA) yang dibangunkan sendiri oleh Mimos bagi melindungi
keselamatan dokumen penting negara.
Selain itu, undang-undang siber turut dicipta di beberapa buah negara di
seluruh dunia Bagi menangani masalah jenayah siber yang berleluasa dalam
Internet. Negara kita tidak terkecuali daripada mengadakan undang-undang siber
sendiri. Walau bagaimanapun, ibarat seperti melepaskan syarat untuk membuktikan
negara mempunyai prosedur tertentu untuk menapis aktiviti negatif penjenayah
siber. Kewujudan undang-undang siber yang sedia ada masih belum mampu untuk
menampung atau membanteras jenayah siber yang semakln bijak dan berleluasa.
Undang-undang siber Malaysia kelihatan belum cukup meluas dan merangkumi
semua aspek. Kejadian seperti membuat sabotaj dengan menyebarkan gambar-
gambar berunsur porno yang menjatuhkan maruah seseorang merupakan satu
tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Pencurian wang melalui transaksi
pemindahan elektronik, pencurian nombor pin, nombor kad kredit, mencuri data-data
dari pangkalan data merupakan aktiviti yang sedang bergiat cergas. Tetapi undang-
undang siber negara sedia ada tidak mampu untuk membendung kes-kes seperti Ini.
Sehingga kini, Malaysia telah mempunyai undang-undang siber seperti Akta
Tandatangan Digital 1997 yang telah diperbaharui pada tahun 2002. Akta ini
bertujuan untuk melindungi syarikatsyarikat korporat daripada penipuan dalam
perniagaan. Tegasnya, undang-undang siber dan yang berkaitan dengannya perlu
dikaji dari semasa ke semasa mengikut tahap ancaman global yang selalu berubah-
ubah.
Sebenarnya, tidak ada jalan pintas dalam menangani ancaman siber. Jalan
yang terbaik ialah setiap individu perlulah memainkan peranan masing-masing
dalam lingkungan kuasa dan kemampuan yang ada. Pihak pengurusan atasan
syarikat atau organisasi perlulah menangani risiko ancaman siber dari perspektif
yang menyeluruh serta mengeluarkan polisi-polisi yang berkesan untuk diikuti oleh
pekerja syarikat. Sumber kewangan dan staf yang mahir perlu diadakan dan
mencukupi. Bagi individu pula, perlu ada tahap kesedaran yang tinggi tentang risiko
daripada ancaman siber ini, terutamanya ketika menggunakan komputer masing-
masing. Setiap daripada kita perlulah ada rasa tanggungjawab untuk menentukan
komputer kita terjamin selamat. Selain itu, setiap individu perlulah mempunyai etika
kerja yang murni dan tidak menyalahgunakan sumber yang diberi dengan melayari
laman-laman web yang tidak produktif, lucah, dan bertentangan dengan undang-
undang dan nilai sejagat. Di pihak kerajaan pula, kerajaan perlu mengadakan dan
menentukan prasarana ICT yang selamat dengan melaksanakan polisi-polisi yang
efektif, terkini, dan praktikal. Kerajaan juga perlu menentukan wujudnya organisasi
bebas yang mempunyai kepakaran dalam keselamatan maklumat yang boleh
memberi khidmat dan nasihat tentang cara yang betul dan sesuai untuk menangani
ancaman siber. Organisasi ini kelak diharapkan dapat dirujuk oleh semua golongan
masyarakat di Malaysia secara mudah.
Bangunan bersejarah di negara kita amat perlu dikekalkan demi generasi yang akan
datang. Bincangkan langkah-langkah yang dapat diambil untuk mengekalkan
bangunan bersejarah tersebut.

……………Dalam era permodenan yang dihambat dengan pelbagai kemajuan, Malaysia


masih mampu mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah sebagai warisan budaya yang
unggul. Di kota raya Kuala Lumpur sahaja, tersergam indah bangunan Sultan Abdul Samad
yang menjadi mercu tanda kebanggaan penduduknya. Kerajaan turut mengorak langkah
untuk mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah ini bagi memastikan bangunan tersebut
terus utuh sebagai bangunan yang bakal menjadi kebanggaan generasi akan datang. Pada
masa yang sama, bangunan bersejarah yang memiliki seni bina yang unik ini dapat dijadikan
satu tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Justeru, pelbagai usaha
telah dilaksanakan bagi memelihara dan memulihara keunikan bangunan tersebut agar tidak
pupus ditelan zaman.

……………Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah mengorak
langkah bagi mewartakan bangunan bersejarah ini sebagai satu warisan kebangsaan yang
perlu dipelihara. Dengan pewartaan ini, bangunan-bangunan yang kebanyakannya dibina
pada era penjajah dan berusia ratusan tahun, dapat dijamin kewujudannya dan terhindar
daripada sebarang usaha pemusnahan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur umpamanya, telah
meletakkan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai bangunan bersejarah yang perlu
dipertahankan dalam Pelan Induk Pembangunan Kuala Lumpur. Bagi memastikan bangunan
tersebut terus kekal, usaha mengindahkan semula bangunan ini telah dilaksanakan sejak
tahun 2002 lagi. Kesannya, bangunan kebanggaan negara tersebut kini tersergam indah
menanti kunjungan pelancong sama ada dari dalam atau dari luar negara.

……………Bagi memenuhi impian seluruh masyarakat yang ingin melihat bangunan


bersejarah di negara kita terus kekal, kerajaan juga telah mengambil inisiatif bagi
menjalankan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah di seluruh negara.
Kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang bukan kecil jumlahnya demi menjalankan
usaha membaik pulih bangunan-bangunan lama tetapi mempunyai nilai sejarah yang tinggi.
Sebagai contohnya, usaha membaik pulih Bangunan Sultan Abdul Samad pada sekitar tahun
2007 yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya telah menelan belanja sebanyak RM20 juta. Hal
ini meliputi kerja-kerja menambah kemudahan asas di bangunan tersebut serta menambah
baik struktur bangunan yang telah rosak. Perlu diingat bahawa segala kerja baik pulih
tersebut hanya melibatkan bahagian dalam bangunan sahaja, manakala struktur dan bentuk
bahagian luar bangunan tersebut masih dikekalkan dengan ciri-ciri lamanya. Maka, dengan
usaha yang bersungguh-sungguh ini, hasrat masyarakat untuk melihat bangunan bersejarah di
negara kita terus kekal akan dapat dicapai.

……………Pada masa yang sama, malaksanakan usaha bagi mengindahkan kawasan


persekitaran bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita dengan lanskap yang menarik.
Antaranya adalah dengan mengindahkan taman-taman bunga daripada pelbagai jenis flora
yang terdapat di negara kita. Hal ini bertujuan untuk memastikan bangunan tersebut sentiasa
mendapat kunjungan daripada orang ramai. Kemudahan-kemudahan awam yang terdapat di
bahagian dalam mahupun di bahagian persekitaran turut diperbaiki atau ditambah nilai.
Sebagai contohnya, Bangunan Sultan Abdul Samad turut dilengkapi dengan kemudahan ‘lift’,
alat keselamatan serta tempat meletak kenderaan kepada para pengunjung. Dengan usaha
yang bersungguh-sungguh ini, bangunan-bangunan bersejarah tersebut mampu menggamit
kehadiran pengunjung sekali gus memperkenalkan budaya kita kepada masyarakat luar
negara.

……………Selain itu, salah satu elemen penting yang mendasari usaha pemuliharaan
bangunan bersejarah di negara kita adalah keterlibatan semua agensi yang berkaitan dengan
kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan. Jabatan Arkitek Malaysia dan Jabatan Kerja
Raya sebagai contohnya sentiasa memantau perkembangan usaha-usaha pengekalan
bangunan-bangunan bersejarah di seluruh negara. Hal ini adalah bagi tujuan memastikan agar
semua bangunan yang telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan sentiasa terpelihara dan
selamat dikunjungi. Tida cukup dengan usaha tersebut, beberapa buah universiti di tanah air
kita sering kali menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti struktur dan reka bentuk
bangunan ini menepati ciri-ciri yang diharapkan oleh masyarakat Malaysia. Usaha ini turut
ditanamkan dalam jiwa kalangan pelajar yang mengambil mata pelajaran sejarah di mana
mereka turut menjalankan kajian tentang bangunan-bangunan bersejarah di negara kita.
Penyelidikan yang berterusan ini mampu menanamkan sikap cinta akan warisan budaya kita
sesuai dengan matlamat kerajaan membangunkan nilai patriotism dalam jiwa remaja kita hari
ini.

…………...Bagi menyempurnakan cita-cita luhur untuk mengekalkan bangunan-bangunan


bersejarah di negara kita, kerajaan turut bertindak memperkenalkan bangunan warisan
tersebut kepada pelancong dari seluruh dunia. Usaha ini didepani oleh Kementerian
Pelancongan dan juga Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia yang sentiasa merintis
jalan bagi memperkenalkan tempat-tempat menarik di Malaysia. Melalui usaha ini,
bangunan-bangunan bersejarah dijadikan sebagai tempat lawatan wajib bagi pelancong yang
mengikuti pakej anjuran Kementerian Pelancongan. Langkah memperkenalkan bangunan
bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Kota A famosa, Istana Jugra dan
sebagainya mampu merealisasikan hasrat kita bagi mengekalkan bangunan bersejarah
tersebut agar terus kekal di persada dunia. Pada masa yang sama, pemeliharaan bangunan
bersejarah ini dapat mengekalkan fakta-fakta yang lebih jelas tentang budaya masyarakat kita
yang hidup dan berkembang dalam lingkungannya yang begitu unik.

……………Intiharnya, kewujudan bangunan bersejarah di negara kita yang wujud sejak abad
ke dua puluh lagi, mengambarkan kepelbagaian corak hidup masyarakat dahulu kala. Justeru,
usaha untuk mengekalkan bangunan tersebut bagi tatapan generasi akan datang adalah amat
perlu dilaksanakan demi kesinambungan budaya masyarakat kita. Budaya silam adalah
cerminan masyarakat kita hari ini kerana budaya menunjukkan bangsa. Lantas,
tanggungjawab kita adalah perlunya memberi kerjasama kepada pihak yang terbabit agar
usaha memelihara dan memulihara bangunan bersejarah tersebut akan terus kekal padu dan
berpanjangan.
Kes rasuah yang melibatkan pegawai tinggi kerajaan memberi implikasi yang amat besar. Perbuatan
ini bukan sahaja tidak bermoral malah boleh menggugat kredibiliti dan kepercayaan orang ramai
terhadap kewibawaan sektor kerajaan. Jelaskan

Pengenalan:
Rasuah boleh diibaratkan sebagai `penyakit barah' . Antara punca berlaku rasuah ialah
perkembangan ekonomi dan taraf hidup yang menyebabkan orang ramai hilang nilai harga diri .
Penglibatan kakitangan kerajaan dalam kegiatan rasuah memberi imej yang negatif kepada rakyat
tempatan dan luara negara.

A. Kesan rasuah
1. Pengkhianatan terhadap negara
- pegawai kerajaan merupakan pemegang amanah rakyat dan kerajaan.
- kredibiliti jabatan, kementerian dan sebagainya kian terhakis.
- akauntabiliti serta integriti badan tersebut dipersoalkan.
- negara menuju kehancuran.

2. Wujud ketidakadilan sosial


- sesuatu pemberian, jawatan dan sebagainya tidak berdasarkan keupayaan, kelayakan, kebolehan
serta potensi yang ada.
- sebaliknya berdasarkan kepada keuntungan atau laba yang diperoleh jika sesuatu jawatan itu
diberikan. Mereka yang tidak layak diberi/ mendapat peluang.

3. Wujud amalan pilih kasih


- amalan pilih kasih secara berleluasa – lemahkan produktiviti kerana kualiti tidak lagi diutamakan
sebaliknya budaya mementingkan "anda siapa" lebih diutamakan.

4. ketidakseimbangan agihan ekonomi


- setiap pemberian tender, kontrak, pengagihan saham dan kelulusan projek hanya kepada mereka
yang dapat menawarkan imbalan yang menguntungkan..
- pengalaman dan kebolehan mengendalikan projek diabaikan
- wujudlah monopoli ekonomi dalam kalangan orang-orang tertentu sahaja dan berkisar dalam
kelompok yang sama.

5. Menjadi amalan di semua peringkat jabatan


- pemberian habuan kepada orang tertentu yang melaksanakan tugas dikira biasa – segala urusan
kerajaan dan orang perseorangan tidak dapat elak daripada terjebak dengan amalan rasuah.
- peringkat atasan – gejala rasuah bakal menentukan kepimpinan yang akan mentadbir jabatan,
kementerian dan negara.
- sesetengah ahli masyarakat menerima amalan rasuah sebagai satu cara berurusan dengan jabatan
kerajaan – cepat dan mudah apabila memberi habuan

6. Imej jabatan dan negara terjejas


- amalan rasuah akan menjejaskan imej dan kredibiliti jabatan kerajaan
- orang ramai akan memandang rendah kepada kakitangan awam
- rakyat dan pelancong akan menilai jabatan kerajaan dalam perspektif yang negatif

Kesimpulan:
Masyarakat mesti mempunyai sikap benci pada amalan rasuah. Keprihatinan masyarakat terhadap
amalan rasuah dapat membendung kegiatan daripada berleluasa.

You might also like