You are on page 1of 5

Program pembangunan BAM gagal

Oleh Mohd Hilmie Hussin


mohdhilmie@hmetro.com.my
2010/08/07

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya mengakui gagal menyediakan program akar umbi yang
baik bagi melahirkan ramai pemain pelapis berbakat.

Biarpun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengatakan persatuan itu mengaku gagal
merancang dan melaksanakan program yang baik, reformasi yang cuba dilakukan persatuan itu
menunjukkan mereka akur dengan kegagalan perancangan lalu.

Antara langkah drastik diambil BAM adalah dengan meletakkan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di
bawah Jawatankuasa Pembangunan yang dipengerusikan David Wee.

“SSBJ kini di bawah Jawatankuasa Pembangunan, bukan lagi Kejurulatihan dan Latihan seperti
sebelum ini. Kami dapati banyak isu pembangunan badminton di SSBJ tidak disentuh setiap kali kita
bermesyuarat dalam jawatankuasa lalu kerana lebih bertumpu kepada program elit. Jadi kami letakkan
di bawah jawatankuasa ini kerana merasakannya dapat memainkan peranan lebih penting,” kata David
selepas mempengerusikan mesyuarat semalam.

BAM, menurut David akan mengadakan pertemuan dengan Bahagian Seni, Sukan dan Kokurikulum
Kementerian Pelajaran (KPM) dan MSN untuk menyelaraskan bilangan kemasukan pelajar yang
khusus dalam sukan badminton ke SSBJ pada tingkatan satu dan empat, bagi memudahkan
kesinambungan pelajar diserap ke skuad pelapis selepas tamat tingkatan lima kelak. Bilangan pelajar
ke tingkatan dua dan tiga akan ditambah, serta lebih ramai jurulatih dilantik melaksanakan program
2011.

Malah jawatankuasa itu juga mendapati program pembangunan antara negeri dan BAM tidak selaras
kerana setiap persatuan negeri melaksanakan program sendiri. Justeru badan induk badminton negara
itu, mahu memohon kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menggaji ketua jurulatih di setiap negeri
yang akan melaporkan prestasi pemain di peringkat negeri.

“Kita akan mohon kepada MSN untuk menyediakan peruntukan bagi melantik ketua jurulatih peringkat
negeri, yang akan menjadi pemantau di 14 buah negeri. Ketua jurulatih ini akan berhubung secara
langsung dengan BAM,” kata David lagi.

“Ketua jurulatih dilantik ini juga berpeluang melatih pemain elit sekiranya kita dapati prestasi baik ketika
melatih pemain di peringkat negeri ,” kata David yang mengakui ketika ini, persatuan negeri tidak
melaporkan sebarang kedudukan baik dari segi pemain atau kejurulatihan kepada badan induk itu. BAM
ketika ini tidak menyediakan peruntukan khusus kepada persatuan negeri, sebaliknya bantuan
disediakan MSN menerusi Majlis Sukan Negeri sebanyak RM10,000 setahun untuk menjalankan
kejohanan.
Penipuan tanpa noktah

2010/07/07

PERATURAN mengenai permainan bola sepak yang ditetapkan badan induk dunia, FIFA memang
cukup banyak tetapi tiada satu pun di antara 140 muka surat mengenai peraturan sukan nombor satu
itu menyebut mengenai 'penipuan' atau cubaan 'menipu'.

Masih ramai di kalangan mereka yang terbabit secara langsung dengan bola sepak enggan mengakui
bahawa penipuan adalah satu masalah besar yang perlu diperhatikan dan tidak hairanlah mengapa ada
lagi pemain atau pegawai yang sanggup menipu untuk menang.

Banyak insiden yang sudah berlaku di Piala Dunia yang dilihat sebagai tidak adil serta menjejaskan
semangat kesukanan sekali gus bertentangan dengan konsep bola sepak yang dianggap sebagai
sejenis sukan yang cantik oleh peminatnya.

Ada beberapa pasukan yang terlepas begitu saja walaupun menipu dan mereka tidak dikenakan
sebarang tindakan. Ada juga pasukan yang lebih buruk lagi tetapi tidak ada satu pun di antara mereka
yang dipersalahkan.

Pun begitu, FIFA masih enggan menerima hakikat itu dan hingga kini, badan induk dunia itu tetap
dengan pendirian mereka untuk tidak mempedulikan masalah 'terbesar' mereka itu.

Sikap itu mengecewakan sukan bola sepak itu sendiri yang di anggap elemen penyatuan dan
perpaduan dunia.

"Ada pemain bola sepak yang menipu dan menggunakannya untuk mendapat keputusan yang diingini,"
kata bekas pengadil elit, Kenny Clark dari Scotland.

Pemain Uruguay, Luis Suarez dikecam semua pihak kerana sengaja menahan bola menggunakan
tangannya bagi menghalang jaringan Ghana di peringkat suku akhir baru lalu. Suarez dikenakan kad
merah tetapi Ghana terlepas peluang untuk menjaringkan gol menerusi sepakan penalti sekali gus
membenarkan skuad Amerika Selatan itu layak ke separuh akhir menerusi penentuan penalti.
Padang ligat, akademik hebat

2010/07/05

BOLA sepak sering mempunyai kaitan dengan kebijaksanaan seperti kata-kata Theirry Henry: “Anda
perlu bijak apabila memperkatakan tentang sukan secara umum dan bola sepak secara khusus.

Ramai pemain bola sepak membuktikan bahawa bola sepak dan kepandaian saling mempunyai kaitan.
Beberapa pemain bola sepak bukan sekadar hebat di padang tetapi juga dalam akademik.

Ia dibuktikan oleh bekas pemain antarabangsa Cameroon, Romarin Billong yang mempunyai Ijazah
Sarjana Pengurusan Kewangan dan Jean-Alain Boumsong (Diploma Matematik) walaupun terpaksa
membahagikan masa antara latihan dan pelajaran.

Dua individu penting di Real Madrid iaitu Pengarah kelab, Jorge Valdano dan bekas jurulatih, Manuel
Pellegrini juga hebat dalam bidang akademik. Pellegrini digelar El Ingeniero (jurutera) kerana
mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sivil manakala Valdano mendapat gelaran ahli falsafah
kerana dikenali sebagai seorang penulis yang menulis berkaitan sukan selain seorang kaki buku. “Saya
memang suka membaca. Mungkin kerana ketika saya seorang diri, teman terbaik saya ketika itu adalah
dengan membaca buku,” katanya.

Real mempunyai ramai lagi pemain yang berpendidikan tinggi. Salah seorang daripadanya ialah bekas
pemain bintang, Jos Martinez yang pernah meraih 10 gelaran liga dan tiga Piala Sepanyol pada era
1964 hingga 1980 sebelum menjadi seorang doktor dan kemudiannya dilantik sebagai sebahagian
daripada kakitangan perubatan kelab.

Ramai lagi bekas pemain bola sepak mengikut jejak seperti Martinez. Carlos Bilarbo iaitu jurulatih
Argentina pada 1983 hingga 1990, mempelajari bidang ginekologi semasa kemuncak kariernya sebagai
pemain. Bekas bintang Brazil, Socrates menjadi seorang doktor selepas menamatkan karier sebagai
pemain bola sepak dan kini sering memberikan pendapat dalam pelbagai bidang termasuk politik.

Ada juga bekas pemain bola sepak yang melibatkan diri dalam politik secara serius. Sebagai contoh
bekas pemain antarabangsa Jerman, Paul Breitner. Dia mempunyai reputasi sebagai seorang
pemimpin yang tidak takut untuk memperkatakan tentang sesuatu isu dan kini lebih popular sebagai
pemimpin intelektual.

George Weah seorang lagi ikon popular yang berhijrah ke kancah politik selepas bersara. Dia pernah
bertanding untuk merebut kerusi calon Presiden Liberia pada 2005. Lagenda Brazil, Pele yang
memenangi Piala Dunia pada 1958, 1962 dan 1970 diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan
Menteri Sukan pada 1994 sehingga 1998.

Sebahagian lagi pemain memilih bidang kewangan berbanding politik. Antaranya ialah bekas pemain
antarabangsa Perancis, Paul le Guen. Dia pernah berkata: “Saya akan mengambil jurusan ekonomi.
Jika saya terus bermain untuk kelab di divisyen satu, ia mungkin memberi masalah kepada saya - saya
meminati apa yang saya pelajari, sama seperti minat kepada permainan bola sepak.” Bekas pemain
antarabangsa Jerman, Oliver Bierhoff dan pengurus Arsenal, Arsene Wenger juga mempunyai Ijazah
Sarjana Muda Ekonomi. Juan Pablo Sorin yang sudah menggantung but pada 28 Julai tahun lalu juga
dilihat sebagai pemain yang berpendidikan tinggi. Bekas pemain antarabangsa Argentina itu dalam satu
temuramah pernah berkata, dia pernah menaiki bas hanya semata-mata mahu menghabiskan buku
yang dibacanya. Bekas pemain antarabangsa Republik Chech, Ivan Hasek pula mempunyai kelebihan
bercakap dalam pelbagai bahasa antaranya termasuklah bahasa Slovakia, Jerman, Inggeris, Perancis,
Arab dan Jepun.
Terdapat ramai lagi pemain yang berjaya ketika di luar padang antaranya termasuklah pemain
Perancis, Jean-Luc Sassus (kimia); pemain Sepanyol, Ruben Baraja (psikoterapi); Juan Manuel Mata
(pengajian fizikal); bekas pemain Perancis, Gerrard Houllier (bekas guru bahasa Inggeris) dan penjaga
gol Trinidad & Tobago, Shaka Hislop iaitu bekas kakitangan NASA.

Steroid - penyelamat atau pembunuh?


Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my
2010/03/05

APAKAH kegunaan steroid dan benarkah ia berkesan untuk mengubati penyakit sendi seperti yang
pernah diuar-uarkan dulu? Adakah ia berbahaya?

Inilah persoalan yang sering bermain di minda individu yang mungkin pernah menggunakan steroid,
sama ada dalam perubatan atau sekadar untuk menambah kekuatan otot badan. Steroid adalah sejenis
dadah atau bahan kimia yang dicipta 60 tahun dulu. Sekitar 50-an, steroid ditemui sebagai ubat paling
berkesan untuk mengubati penyakit radang sendi. Tetapi 10 tahun kemudian, steroid didapati
mempunyai kesan sampingan sehingga menyebabkan orang yang menemuinya itu membunuh diri
disebabkan tertekan dengan kritikan orang ramai. Menurut Pakar Perunding Reumotologi dan Sakit
Kronik, Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Dr Anwar Samhari Mat Arshad, steroid adalah dadah jenis
terkawal yang digunakan untuk mengubati penyakit radang sendi, SLE, barah dan lelah. Malah pakar
perubatan barah dan paru-paru menggunakan steroid untuk menyelamatkan nyawa pesakit untuk
penyakit kronik. "Penggunaan steroid dalam perubatan dibolehkan malah tidak membahayakan nyawa.
Namun, jangan disalah guna kerana ia akan menyebabkan kesan sampingan sehingga boleh
menyebabkan kehilangan nyawa," katanya.

Tambahnya, biasanya steroid diambil mengikut nasihat doktor dan mengikut sukatan dibenarkan.
Sekiranya sukatan tinggi, ia berkemungkinan akan memudaratkan pesakit. Steroid yang sering
digunakan dalam perubatan ialah Dexamethasone. Steroid jenis ini harus diambil dalam sukatan yang
rendah kerana boleh meninggalkan kesan yang kuat dalam masa lima hari.

Menurut Anwar, sekiranya pengambilan steroid digunakan dalam sukatan yang banyak dalam masa
seminggu, pesakit akan mengalami pendarahan usus, kegemukan, pertambahan selera makan serta
pengeluaran air yang tidak seimbang.

"Kesan jangka panjang dalam dua dan tiga bulan, pesakit akan mengalami kereputan tulang,
ketidakseimbangan hormon, gangguan haid dan peningkatan paras gula sekali gus menyebabkan
tekanan darah meningkat. Sekiranya tidak dirawat, ia akan menyebabkan gejala paling dahsyat iaitu
sindrom cushings iaitu terjadinya semua simpton seperti di atas," katanya. Oleh kerana keberkesanan
yang ditunjukkan dalam perubatan, Dr Anwar menjelaskan steroid anabolik sering disalahgunakan atlit.
Ada yang mengambil steroid untuk membina otot dan memperkuatkan sendi supaya mereka boleh
menunjukkan kepantasan dalam bersukan. "Pengambilan steroid tanpa mendapat nasihat doktor
adalah dilarang. Namun ada sesetengah atlit mengambil daripada pakar yang tidak sepatutnya.
Pengambilan dalam sukatan yang banyak akan menyebabkan pelbagai gangguan. "Steroid terdapat
dalam bentuk tablet, kapsul dan serbuk atau sekiranya sendi sudah membengkak steroid, boleh disuntik
ke dalam sendi untuk mengurangkannya dalam tempoh yang cepat," katanya.

Dr Anwar juga menolak tanggapan orang ramai yang mengatakan penyakit sendi tidak boleh diubati.
"Sebenarnya ini mitos semata-mata kerana sekiranya dirawat menggunakan kaedah yang betul,
penyakit ini boleh diubati tetapi memerlukan tempoh yang panjang," jelasnya. Penyakit sendi lebih
banyak berlaku kepada wanita. Bermula pada sendi bahagian tangan dan kaki kemudian merebak ke
bahagian lain. Biasanya pesakit akan mengalami rasa kebas kemudian rasa tidak boleh bergerak atau
kejang pada bahagian tertentu. "Kekejangan berlaku apabila pesakit berada dalam keadaan sejuk atau
terlalu lama tidak membuat pergerakan misalnya duduk terlalu lama. "Biasanya kerap berlaku pada
bahagian jari tangan, kaki, siku atau kaki. Untuk meredakannya, pesakit perlu menggerakkan bahagian
otot sehingga otot boleh bergerak seperti sedia kala," katanya. Tambahnya, ramai beranggapan radang
sendi berlaku kepada golongan tua saja, tetapi seawal usia 11 tahun seseorang itu boleh mengalami
penyakit radang sendi. Setakat ini penyakit ini tidak diketahui puncanya tetapi saintis sudah menemui
rawatan terkini menggunakan kaedah biologi.

You might also like