You are on page 1of 20

WACANA

1.0 PENGENALAN

Wacana ialah unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat dan kajian tentang unit
tersebut. Oleh sebab wacana ialah unit bahasa yang tertinggi, maka wacana dapat
direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Secara
umumnya wacana dapat dikaitkan dengan tiga kategori besar iaitu melampaui ayat,
penggunaan bahasa dan juga amalan sosial yang meliputi bukan linguistik dan
bukan tentu bahasa.

Terdapat tujuh ciri dalam wacana iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan,
maklumat, keadaan dan interteks. Sebuah wacana yang baik akan memenuhi ciri-ciri
wacana yang telah dikemukakan. Selain itu, wacana pula terbahagi kepada dua jenis
iaitu wacana lisan dan wacana tulisan. Wacana lisan ialah wacana yang dihasilkan
melalui media lisan iaitu melibatkan hubungan pembicara dan pendengar manakala
wacana tulisan pula ialah wacana yang disampaikan secara bertulis yang mana
melibatkan hubungan antara penulis dengan pembicara.

Setiap wacana mempunyai penanda yang juga dikenali sebagai penanda wacana.
Antara fungsi penanda wacana ialah sebagai tambahan, urutan, penyataan semula,
untuk menunjukkan sebab, kesan waktu dan tempat serta berfungsi untuk membuat
bandingan serta rumusan sesuatu wacana.

Penanda wacana amat penting kepada sesuatu wacana kerana tanpa penanda
wacana yang tepat akan menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan tidak
mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap. Secara umumnya penanda
wacana dalam bahasa melayu terdiri daripada penanda leksikal, penanda rujukan,
penanda penghubung, penanda penggantian dan penanda elipsis atau pengguguran.

2.0 Definisi wacana

Perkataan Wacana adalah padanan perkataan discourse dalam bahasa Inggeris.


Perkataan discourse dalam Kamus Webster, 1983 : 522 bererti hubungan fikiran
dengan kata-kata, ekspresi idea-idea atau gagasan-gagasan atau percakapan.
Hubungan secara umum, terutama sebagai suatu subjek kajian atau pokok bahasan,
risalah tulisan, disertasi formal, kuliah, ceramah serta khutbah.

Perkataan wacana menurut Kamus Dewan Edisi Baru 1993 : 1484 bermaksud
ucapan, pertuturan, percakapan, keseluruhan tutur yang merupakan suatu kesatuan.

Semua perkara yang melibatkan bahasa ialah wacana. Retorik menjadi komponen
yang penting bagi wacana. Wacana adalah sebagai kesinambungan cerita dengan
bahasa yang mudah dan kesinambungan ini ditunjang oleh jalinan maklumat. Dalam
bidang pendidikan Bahasa Melayu pula telah diperkenalkan beberapa definisi
wacana. Dari segi hierarki tatabahasa , wacana terletak pada heirarki yang tertinggi
selepas ayat, seperti yang tergambar dalam rajah berikut :

Perkataan --> Ayat --> Klausa --> Frasa --> Wacana

Keseluruhan terbitan atau hasil karya dalam sesuatu bahasa. Berdasarkan erti
perkataan wacana di atas dapat disimpulkan bahawa perkataan wacana itu sama
dengan perkataan ucapan yang utuh untuk wacana lisan, dan karangan yang utuh
untuk wacana tulisan dalam pengajaran bahasa Melayu sebelum ini. Wacana ialah
satu unit bahasa yang lengkap . Ia melebihi tingkat ayat. Oleh kerana sifatnya yang
lengkap wacana mempunyai tubuh teks seperti berikut:
a. Pendahuluan
b. Tubuh - isi, munasabah, logik, menarik, berkesan, usur-unsur paralinguistik
(tanda bacaan, cetakan tebal, miring, garis tebal)
c. Penutup
d. graf, jadual, peta dan statistik.

Wacana boleh ditulis dalam pelbagai bentuk penulisan, iaitu sama ada naratif
(pemerian), deskriptif (pengambaran), eksposisi (pendedahan) atau penghujahan.
Untuk memperoleh gambaran yang lebih jelas, definisi wacana telah dihurai serta
diterangkan oleh beberapa tokoh bahasa di bawah ini, antaranya ialah :

Asmah Haji Omar (1982)3 menegaskan bahawa wacana ialah unit bahasa yang
melebihi batas ayat, yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan
perkembangan fikiran yang berurutan seperti ayat, sejumlah ayat, ceraian,
perenggan, bab, buku, novel, cerpen, cerita, dialog, siri buku (cerita) dan sebagainya.
Menurut beliau lagi, wacana tidak mempunyai satu-satu jenis ayat yang terdiri
dengan utuhnya tanpa dipengaruhi oleh proses-proses kelahiran ayat. Ini bermaksud
bahawa ayat yang selalu didapati dalam struktur dan sistem secara teratur. Asmah
telah membezakan ayat sistem daripada ayat wacana. Ayat sistem adalah ayat atau
tutur yang dikeluarkan dan diasingkan dari konteks wacana, sedangkan ayat wacana
yang juga disebut ayat teks adalah ayat yang betul-betul terdapat dalam wacana teks
dan wacana lisan.

Menurut Raminah Haji Sabran (1984:218) dalam bukunya yang bertajuk Kajian
Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan, mendefinisikan wacana adalah unit bahasa
yang melebihi batas ayat, kerana itu ia boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat,
ceraian, bab, buku, dialog, siri buku dan sebagainya yang di dalamnya
memperlihatkan hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berturutan.
Menurut beliau lagi, wacana merupakan kesatuan bahasa yang lengkap.

Menurut Fokker (1951)4 pula, hubungan kesinambungan cerita itu dapat


menunjukkan secara nahuan, iaitu perujukan (verwijzing), kata-kata penghubung
(verbindingswoorden) dan pengguguran (ellips). Kesatuan makna dalam wacana
seperti yang diterangkan di atas akan dilihat dari segi makna logik dan makna
tautan. Makna tautan inilah yang merupakan konsep semantik dan merujuk kepada
perkaitan kebahasaan yang didapati pada suatu ujaran yang membentuk wacana.

Stubbs, Michael menyatakan bahawa wacana merupakan kesatuan bahasa yang lebih
besar daripada ayat atau klausa. Dengan kata lain, wacana merupakan unit-unit
linguistik yang lebih besar daripada ayat atau klausa, seperti pertukaran-pertukaran
percakapan atau teks-teks tertulis. Secara ringkas, yang disebut teks bagi wacana
adalah ayat bagi ujaran.

Harimurti Kridalaksana (1984:204)1 menyatakan bahawa wacana adalah satuan


bahasa terlengkap; dalam hierarki tatabahasa merupakan satuan tatabahasa
tertinggi atau terbesar. Wacana ini direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh
seperti novel, buku, ensiklopedia, dan sebagainya, paragraf, ayat atau kata yang
membawa amanat yang lengkap.

Anton M.Moeliono (1995:407)2 mendefinisikan wacana adalah rentetan kalimat


yang berkaitan sehingga terbentuklah makna yang serasi di antara kalimat itu.

Henry Guntur Tarigan menegaskan bahawa wacana adalah satuan bahasa yang
terlengkap dan tertinggi atau terbesar di atas kalimat atau klausa dengan koherensi
dan kohesi tinggi yang berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang
nyata disampaikan secara lisan atau tertulis.

Setelah dilihat beberapa huraian tentang beberapa definisi mengenai wacana yang
diambil daripada berbagai-bagai sumber, dapat dilihat bahawa adanya persamaan
dan juga perbezaan pendapat mengenai dengan definisi wacana yang diperolehi dari
ahli-ahli linguistik ataupun penulis.

Secara tuntasnya, wacana letaknya lebih tinggi daripada ayat pada skala tatatingkat
tatabahasa dan mempunyai keteraturan fikiran logik (coherence) dan juga tautan
(cohesion) dalam strukturnya. Wacana dicirikan oleh kesinambungan maklumat.
Makna kesinambungan di sini adalah diertikan sebagai kesatuan makna. Terdapat
lapan unsur-unsur penting dalam wacana iaitu satuan bahasa, terlengkap, mengatasi
ayat atau klausa, teratur atau tersusun rapi, berkesinambungan, kohesi, lisan atau
tulisan awal dan juga akhir yang nyata.

3.0 Konsep wacana

Wacana berasal daripada perkataan wacana berasal daripada bahasa Jawa wocono.
Wocono pula daripada woco yang bermaksud baca. Dalam bahasa Inggeris,
discourse berasal daripada bahasa Latin discursus yang bermakna ‘larian ke dan
dari’. Menurut Chafe, wacana digunakan dengan pelbagai maksud oleh pelbagai
pengkaji. Tetapi, pada umumnya wacana dilihat sebagai sesuatu yang melampaui
sempadan ayat yang terpisah-pisah. Wacana dan teks digunakan saling bertukar
ganti, dan kedua-duanya merujuk kepada unit bahasa yang lebih besar daripada
ayat. Wacana, menurut beliau lagi, merujuk kepada kajian tentang unit tersebut,
cabang linguistik yang setara dengan cabang yang lain seperti morfologi atau
sintaksis.

Menurut Trask, wacana dikatakan sebagai siri ujaran yang bersambungan oleh
seorang penutur atau lebih. Crystal menyatakan wacana dalam linguistik merujuk
kepada jujuhan bahasa (biasanya lisan) yang lebih besar daripada ayat. Crystal juga
mendefinisikan wacana sebagai unit perlakuan. Unit ini mempunyai status prateori
dalam linguistik, iaitu seberkas ujaran yang terdiri daripada peristiwa bahasa seperti
perbualan, khutbah dan temu duga. Cook mendefinisikan wacana sebagai bahasa
dalam penggunaan dan untuk perhubungan (Sanat, 2002:35-36). Dijk (1997: 1-34)
menyatakan konsep wacana kabur kerana tentang fenomena yang rencam. Namun,
wacana menurut beliau suatu bentuk penggunaan bahasa yang melibatkan
komunikasi dan interaksi. Werth (1999: 1) pula melihat wacana sebagai suatu
peristiwa bahasa yang sempurna yang mempunyai awal dan akhir.

Selain itu, menurut Johnstone, B. (2002:2-4), wacana dilihat sebagai contoh sebenar
komunikasi melalui bahasa. Wacana juga dalam bentuk jamak merujuk kepada pola
kepercayaan dan tindakan lazim di samping pola bahasa. Wacana demikian merujuk
kepada idea dan cara bertutur sehingga dapat mempengaruhi dan dipengaruhi.
Menurut Schiffrin et. al (2003:1), wacana mempunyai makna yang berbeza kepada
pakar yang berbeza bidang. Kepada ahli bahasa, wacana biasanya didefinisikan
sebagai apa sahaja yang melampaui ayat. Malah, definisi wacana itu dapat
dirangkumkan kepada tiga kategori besar, iaitu yang melampaui ayat, penggunaan
bahasa, dan amalan sosial yang meliputi bukan linguistik dan bukan tentu bahasa.
Mereka melihat wacana dan analisis wacana sebagai sama.

Dapat disimpulkan di sini bahawa wacana sebagai unit tertinggi bahasa yang
melampaui ayat dan kajian tentang unit tersebut. Sebagai unit bahasa yang tertinggi,
wacana dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa
bahasa. Sebagai kajian, wacana memfokuskan pada unit tertinggi bahasa itu
sehingga meliputi amalan sosial.

Analisis wacana menurut Johnstone, B. (2002:2-4), memfokus kepada proses


memecahkan wacana kepada bahagian kecil dengan berdasarkan kriteria tertentu
dan melihat ciri setiap bahagian itu. Selain melihat ciri struktur bahagian itu, analisis
wacana juga melihat fungsi bahagian itu. Menurut beliau, analisis wacana sekadar
metodologi.

Dijk,T. A.V. (Schiffrin et. al, 2003:352) melihat analisis wacana peringkat kritis se-
bagai sejenis kajian analisis wacana yang berfokus pada cara penyalahgunaan kuasa
sosial, penguasaan dan ketidaksetaraan dimuatkan, ditampilkan dan dipertahankan
melalui wacana dalam konteks sosial dan politik. Penganalisis wacana kritis
mengambil pendirian yang jelas untuk memahami ketidaksetaraan sosial sehingga
sanggup mendedahkan dan memeranginya.

Wacana sebagai unit bahasa yang terbesar dianalisis melalui analisis wacana.
Analisis wacana pula berkait dengan pandangan bahasa (Sanat,2005a:131-132). Ada
tiga pandangan bahasa pada umumnya: Pandangan positivisme-empiris yang
melihat bahasa sebagai jambatan antara manusia dengan objek di luar dirinya.
Analisis wacana dalam konteks pandangan ini tidak melihat makna subjektif atau
nilai yang mendasari penyataan. Sebaliknya, makna penyataan dilihat sebagai
kebenaran atau ketidakbenaran sesuatu wacana dari segi aturan tatabahasa, seperti
tautan dan runtutan.

Pandangan konstuktivisme menolak pandangan positivisme-empirisme yang


memisahkan subjek dengan objek. Subjek dianggap sebagai faktor utama dalam
kegiatan wacana serta hubungan sosialnya. Subjek memiliki kemampuan untuk men
guasai maksud tertentu dalam setiap wacana. Oleh itu, analisis wacana dimaksudkan
sebagai suatu analisis untuk membongkar maksud dan makna tertentu daripada
penyataan subjek.

Pandangan kritis membetulkan pandangan konstuktivisme yang kurang sensitif


kepada proses produksi dan reproduksi makna yang terjadi secara historis dan
institusional. Bahasa dalam pandangan kritis difahami sebagai representasi yang
berpe-ranan dalam membentuk subjek tertentu, topik wacana tertentu, mahupun
strategi di dalamnya. Oleh itu, analisis wacana dipakai untuk membongkar kuasa
yang ada dalam setiap proses bahasa.
Di sini, jelas analisis wacana bermaksud sebagai metodologi untuk melihat sama ada
makna penyataan sebagai kebenaran atau ketidakbenaran wacana, membongkar
maksud dan makna tertentu daripada penyataan subjek, atau membongkar kuasa
dan ketidaksetaraan sosial yang ada dalam setiap proses bahasa.

Konsep tatabahasa wacana pula dalam kertas ini selain sebagai tatabahasa yang
mencakupi unit tertinggi bahasa, iaitu wacana, juga mengambil kira asas
penggunaan bahasa yang mengambil kira koteks dan konteks yang cukup luas
sehingga memungkinkan pengguna peka teks, koteks, dan konteks amalan sosial dan
amalan agama. Dengan kata lain, tatabahasa seperti ini dikenali sebagai tatabahasa
wacana mega (Sanat, 2005 dan 2006).

Konsep tatabahasa ini sama dengan analisis wacana dari segi cakupan tumpuan pada
wacana tetapi berbeza dari segi konteks amalan dan metodologi. Metodologi analisis
wacana sekadar menganalisis yang menurut Johns-tone, B. (2002:2-4) merujuk
kepada proses analisis secara eksplisit, sama ada mental atau mekanikal dalam
memecahkan sesuatu kepada bahagian kecil.

4.0 Latar belakang wacana

Menurut Sanat Md. Nasir (2002:1-8 dan12-18), wacana sebagai bidang kajian
mempunyai sumber sejarahnya yang panjang, iaitu bermula dengan peradaban
keagamaan yang mengkaji kitab agama, seperti teks Veda sejak 1200-1000 S.M.
Malah, jika disorot lagi, zaman suhuf-suhuf dan risalah nabi-nabi Allah jauh lebih
awal, seawal Nabi Adam.

Dalam tradisi Barat pula, wacana mendapat sumber sejarahnya daripada retorik
klasik seawal abad kelima sebelum Masihi. Bidang ini mendapat tumpuan dalam
aliran linguistik awal oleh Aristotle (384-322 S.M.) melalui retorik dan seterusnya,
aliran Stoik oleh Zeno pada 300 S.M.

Retorik klasik mula malap dengan munculnya linguistik sejarah dan perbandingan
pada awal abad ke-19. Pada awal abad ke-20 lahir aliran struktural yang
mempengaruhi formalis Rusia dan strukturalis aliran Praha seperti pada
Morphology of the Folktale oleh Propp (1928) dan tentang perspektif ayat tugasan
oleh Mathesius (1939). Daripada beliaulah lahir konsep struktur tema dan struktur
maklumat yang menjadi asas runtutan teks.

Di Great Britain, telah berkembang aliran Firth (1935) yang menghubungkan bahasa
dengan sekitarannya melalui konsep keperihalan keadaan Malinowski. Di Amerika
Syarikat pula terdapat tulisan yang menggunakan ungkapan analisis wacana oleh
Harris (1952). Beliau menggunakan prosedur formal tentang penyebaran struktur
kelas keserupaan yang melebihi ayat.

Analisis wacana moden bermula pada pertengahan 1960-an dengan terbitnya


analisis struktural wacana di Perancis. Di Amerika Syarikat terdapat aliran tagmemik
yang dipelopori oleh Pike, etnografi pertuturan oleh Hymes dan aliran tatabahasa
stratifikasi oleh Lamb. Di Jerman pula, muncul aliran linguistik teks oleh Hartmann.
Dan di Great Britain, wujud aliran tatabahasa fungsional oleh Halliday yang
seterusnya dikenali dengan linguistik sistemik. Halliday (1962) dalam artikelnya,
“Descriptive Linguistics in Literary Studies”, dikatakan telah membuat penyataan
awal tentang tautan yang seterusnya kepada pemahaman struktur wacana. Ruqaiya
Hassan (1964) dalam tesis Ph.Dnya memperkukuh konsep tautan Halliday tersebut.
Pemuka aliran stratifikasi.

Gleason (1968), berpendapat dalam struktur wacana terdapat dua konstituen


semologi, iaitu jalur peristiwa dan jalur peserta. Menurut beliau, tautan berada
dalam jalur peserta. Dekad 1960-an ini menandakan perkembangan awal analisis
wacana moden yang lebih bersifat deskriptif dan struktural terhadap genre wacana
popular atau peribumi. Aliran ini bergerak bebas dan bertentangan dengan aliran
linguistik semasa, iaitu tatabahasa transformasi generatif.

Analisis wacana pada dekad 1970-an merupakan analisis secara sistematis dalam
disiplin yang sama atau antara disiplin. Perkembangan ini merupakan tentangan
terhadap tatabahasa formal dan bebas konteks transformasi generatif. Antara
terbitan yang besar dalam tempoh itu ialah Halliday dan Hasan (1976). Mereka
menghasilkan Cohesion in English yang oleh Brown dan Yule (1983:190) dikatakan
paling komprehensif dan piawai dalam bidang tautan. Malah, dalam Sanat (2002:18)
terdapat kesimpulan bahawa daripada 17 buah disertasi Ph.D di luar negara tentang
tautan sehingga 1993, 15 buah daripadanya menggunakan kerangka sistemik
Cohesion in English.

Dekad 1980-an dan awal 1990-an menjadikan analisis wacana lebih padu dan
berkembang, dan pada waktu yang sama merencam dan mengkhusus. Antara
terbitan yang besar dalam tempoh tersebut ialah Beugrande dan Dressler (1981),
Introduction to Text Linguistics, Longacre (1983), The Grammar of Discourse,
Halliday (1985), An Introduction to Functional Grammar, Martin (1992), English
Text: System and Structure, dan Cook (1994), Discourse.

Jika dilihat perkembangan pada dekad pertengahan 90-an dan awal abad ke-21,
didapati analisis wacana memasuki tahap kritis seperti dalam Fairclough (1995,2001
dan 2003). Malah, beliau telah menghasilkan karya lebih awal daripada itu seperti
Discourse and Social Change pada 1992. Seperti yang dinyatakan di atas, analisis
wacana ini lebih menumpukan pada usaha membongkar kuasa yang ada dalam
setiap proses bahasa kerana bahasa dilihat sebagai representasi yang memproduksi
dan mereproduksi makna

5.0 Latar belakang wacana bahasa Melayu

Menurut Sanat Md. Nasir (2002: 9-12), kajian wacana bahasa Melayu masih baru.
Ada pendapat yang mengatakan Muhammad Yunus Maris (1966) merupakan
perintis analisis wacana dalam bahasa Melayu dengan menggunakan teknik
keperihalan keadaan untuk menerangkan penggunaan ganti nama.

Setakat yang terkumpul, Harimurti Kridalaksana (1970: 1), menulis makalah beliau
“NYA sebagai penanda anafora”. Pada tahun 1978, beliau telah menulis kertas kerja
yang bertajuk “Keutuhan Wacana” dan diterbitkan sebagai artikel dalam Jurnal
Dewan Bahasa. Artikel itu membahaskan keutuhan wacana sebagai salah satu aspek
analisis wacana. Penelitian beliau kelihatan terpengaruh dengan aliran tagmemik
dan linguistik teks. Demikianlah juga aliran tagmemik digunakan dalam Ph.D. Aja-
miseba (1978).

Kerancakan penyelidikan tentang wacana bahasa Melayu berlaku dalam tahun 1980-
an, iaitu sepuluh tahun selepas wacana sebagai satu disiplin rancak di Eropah dan di
Amerika Syarikat. Pemaparan penyelidikan itu berupa artikel, disertasi dan buku.
Asmah (1980a dan 1980b) telah menulis dua buah artikel dalam Jurnal Dewan
Bahasa, yang masing-masing bertajuk “Analisis Wacana” dan “Pengajaran Bahasa
untuk Kemahiran Berkomunikasi: Pendekatan Wacana”. Dalam artikel yang pertama
itu, beliau telah menunjukkan penggunaan tiga jenis analisis wacana, iaitu kaedah
Harris, kaedah Becker, dan kaedah Sinclair dan Coulthard. Artikel lain seperti Lufti
Abas (1982) dan Soenjono Dardjowidjojo (1985).

Selain yang berbentuk artikel, penyelidikan wacana juga telah dilakukan secara
serius di peringkat latihan ilmiah, sarjana dan kedoktoran. Daripada bibliografi
latihan ilmiah yang diusahakan oleh Ismail (1994) dari tempoh 1977 hingga 1994,
didapati latihan ilmiah yang berkaitan dengan wacana hanya muncul mulai tahun
1984. Terdapat 14 buah latihan ilmiah tentang kajian wacana sejak tahun tersebut
hinggalah tahun 1989. Penelitian di peringkat sarjana sepanjang tempoh tahun
1980-an setakat yang terkumpul ialah Sucipto (1987) dan Wong (1988). Sucipto
melihat unsur tautan manakala Wong, kesinambungan topik.

Di peringkat disertasi kedoktoran pula, termasuklah Abdul Aziz Idris (1982),


Farrerty (1982), Azhar M. Simin (1983), dan Tallei (1988). Abdul Aziz berfokus pada
aspek struktur tema dan sistem hubungan logikal dalam teks pendedahan bahasa
Melayu dan Inggeris. Rafferty pula melihat struktur wacana bahasa Indonesia yang
dituturkan oleh orang Cina di Malang, Indonesia. Azhar pula meneliti sintaksis
wacana yang dalam bahasa Malaysia sedangkan Tallie, dengan menggunakan
pendekatan analisis wacana, cuba mengkaji keterpaduan, keruntutan, dan
keterbacaan wacana buku pelajaran bahasa Indonesia di peringkat sekolah dasar.

Penelitian wacana sepanjang tahun 1980-an dalam bentuk buku dan sebahagian
daripada buku dapat dilihat seperti dalam Asmah (1987: 108-127) tentang teks
saintifik, Tarigan (1987) Pengajaran Wacana dan Tata Bahasa Baku Bahasa
Indonesia (1988: 334-360).

Dekad awal 1990-an diperteguh dengan kerancakan penelitian tentang wacana


bahasa Melayu seperti yang ditunjukkan oleh peneliti berikut. Sato (1991)
menghasilkan tesis Ph.D. dengan tajuk “Analisis Nahu Wacana Bahasa Melayu
Klasik Berdasarkan Teks Hikayat Hang Tuah”. Tumpuan beliau pada hubungan
antara susunan ayat yang logikal dengan susunan maklumat. Perhatian juga
diberikan terhadap analisis tetenunan dalam ayat yang berkaitan dengan hubungan
tersebut.

Soeseno (1992) dalam syarahan perdana sempena pengukuhan beliau sebagai


profesor telah memilih tajuk “Analisis Wacana dan Penerapannya”. Dalam syarahan
itu, beliau secara meluas menyentuh topik-topik seperti analisis wacana sebagai
cabang ilmu bahasa, perbezaan antara wacana lisan dengan tulisan, konteks
situasional, prinsip interpretasi lokal dan analogi, implikatur, presuposisi, inferensi,
referensi, pronominal, kohesi, koherensi dan pengetahuan tentang dunia. Di hujung
syarahan beliau itu, ada dimuatkan contoh-contoh analisis wacana.
Manakala peneliti lain yang menghasilkan artikel atau kertas kerja, seperti Samsuri
(1992), Ramlan (1992), Ebah (1992), Wong (1992;1993), Sanat (1992;1994;1995a dan
1995b;1996a dan 1996b), Dede Oetomo (1993), Ismail (1993;1994) dan Zahrah
(1995).

Jika ditinjau dari segi penghasilan latihan ilmiah dalam bidang ini bagi tempoh 1990
hingga 1994 di Malaysia, terdapat 17 buah, iaitu 15 buah dari Jabatan Linguistik,
Universiti Kebangsaan Malaysia, dan dua buah dari Rancangan Bahasa Melayu,
Universiti Malaya. Dua buah latihan ilmiah itu terdiri daripada Hasnah (1994),
“Analisis Tautan dalam Wacana Bahasa Melayu” dan Tan (1994), “Tautan dalam
Bahasa Melayu”. Kedua-dua latihan ilmiah tersebut menggunakan kerangka Halliday
dan Ruqaiya Hasan (1976).

Seperti yang telah dinyatakan di atas, wacana sebagai bidang kajian dalam penelitian
bahasa Melayu masih baru. Hal ini berlaku kerana beberapa sebab. Antaranya,
wacana sebagai satu disiplin hanya berlaku pada tahun 1970-an di Eropah dan di
Amerika Syarikat. Biasanya, kesannya akan memakan waktu antara 5 hingga 10
tahun untuk sampai ke sini. Pada waktu yang sama, aliran transformasi generatif
yang dipelopori Chomsky masih kuat bertapak sehingga kebanyakan ahli bahasa kita
yang belajar di peringkat kedoktoran dalam tempoh itu telah terpengaruh dengan
aliran tersebut.

Selain itu, kajian wacana sebagai mata kursus peringkat sarjana muda di universiti
tempatan masih belum menyeluruh. Lufti, Sanat dan Nuwairi (1985) telah membuat
tinjauan tentang pengajaran linguistik di Malaysia dari segi konsep dan aliran, dan
didapati hanya Jabatan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia yang ada
menawarkan kursus tersebut.
Bahkan, kursus itu pun dianggap umum sebab sekadar menyatakan topik tentang
teori sintaksis yang boleh dilihat daripada aliran lain yang bukan wacana, seperti
tranformasi generatif.

Pada awal tahun 1990 diberitahu bahawa di IKIP Malang, Unika Atma Jaya dan di
Universitas Indonesia di Indonesia masih belum ada kursus seumpama itu di
peringkat ijazah pertama. Demikian juga di Jabatan Pengajian Melayu, National
University of Singapore. Sebaliknya, Pengajian Bahasa Malaysia, Pusat Pengajian
Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia sudah menawarkan kursus “Analisis
Wacana” di peringkat ijazah dasar bagi sesi 1989/90. Di Rancangan Bahasa Melayu,
Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya kursus tersebut hanya dapat
dimulakan pada sesi 1993/94 dengan tajuk “Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu”.
Jabatan Pengajian Melayu, Fakulti Bahasa Moden, Universiti Pertanian Malaysia
belum lagi menawarkan kursus yang seumpama itu pada sesi 1995/

6.0 Ciri – ciri wacana

Menurut Beaugrande dan Dressler (1981:81), terdapat tujuh ciri ketekstualan yang
perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang utuh, iaitu tautan, runtutan,
tujuan, penerimaan, maklumat, keadaan dan interteks.

Namun menurut Asmah Haji Omar dalam artikel Jurnal Dewan Bahasa yang
bertajuk “ Analisis Wacana “ pula terdapat lapan unsur-unsur penting dalam wacana
iaitu :
I. satuan bahasa
II. terlengkap
III. mengatasi ayat atau klausa
IV. teratur atau tersusun rapi
V. berkesinambungan
VI. kohesi
VII. lisan atau tulisan
VIII. awal dan akhir yang nyata.

Menurut Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan edisi Ketiga pula, terdapat dua
ciri utama dalam sebuah wacana yang utuh iaitu, kohesi (atau tautan) dan koheren
(atau runtutan). Menurut beliau lagi, terdapat juga ciri-ciri yang lain termasuklah
tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang
terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan interteks atau peranan wacana–
wacana lain yang membantu pendengar atau pembaca memahaminapa yang
didengar atau dibaca.

6.1 Tautan atau kohesi

Tautan atau kohesi ialah keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan
unsur linguistik yang lain dalam sesebuah wacana untuk menghasilkan wacana yang
mantap. Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara sesuatu
perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain yang terdapat
dalam wacana tersebut. Tautan penting kerana tautan dapat mewujudkan
kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga membentuk suatu
kesatuan. Kohesi juga merujuk kepada idea atau esei yang dijalin rapi hingga
menjadi bersepadu.

Kohesi juga disebut sebagai organisasi sintaktik yang mana merupakan wadah ayat-
ayat yang disusun secara padu dan juga padat. Perkara ini bermaksud kohesi adalah
hubungan di antara ayat di dalam sebuah wacana tidak kira sama ada dari segi strata
gramatikal mahupun strata leksikal tertentu. Penguasaan dan pengetahuan kohesi
yang begitu baik akan dapat menghasilkan wacana yang baik.

“Tautan merupakan satu set kemungkinan yang wujud dalam bahasa untuk
menjadikan suatu teks itu berkesatuan”
(Halliday dan Hasan:1976)

Menurut Halliday dan Hasan lagi, "Cohesion is expressed through the strata
organization of language. Language can be explained as a multiple coding system
comprising three levels of coding or 'strata'. The semantic (meaning), the
lexicogrammatical (forms) and the phonological and orthographic (expression).
Meanings are realized (coded) as forms, and the forms are realized in turn
(recoded) as expressions. To put this in everyday terminology, meaning is put into
wording and wording into sound or writing."

Halliday dan Hasan telah cuba melihat tautan makna itu dari dua sudut iaitu tautan
nahuan dan tautan leksikal. Kedua-dua nahuan ini wujud dalam sesuatu kesatuan
teks. Selain itu, kohesi juga memperlihatkan jalinan ujaran dalam bentuk ayat bagi
membentuk suatu teks atau konteks dengan menghubungkan makna yang
terkandung di dalam unsur. Kohesi juga dikenali sebagai tetenunan, tautan,
kepaduan dan sebagainya.

Contohnya:

1. Syazwani, Siti dan Faiznur ke perpustakaan.

2. Mereka ke sana untuk meminjam buku.

Dalam contoh di atas, terdapat tautan antara kedua-dua ayat tersebut. Perkataan
mereka dalam ayat kedua merujuk kepada Syazwani, Siti dan Faiznur, sementara
sana merujuk kepada perpustakaan. Oleh itu, kedua-dua ayat yang mempunyai
tautan ini dianggap sebagai wacana. Tambahan pula, kedua-dua ayat ini bermakna
dan difahami.

6.1.1 Jenis-jenis kohesi

6.1.1.1 Kohesi Leksikal

Kohesi Leksikal diperoleh dengan cara memilih kosa kata yang serasi. Ada dua cara
bagi mencapai aspek kohesi leksikel ini, iaitu reiterasi dan kolokasi.

i) Reiterasi (Pernyataan Semula)


Reiterasi atau pernyataan semula berlaku melalui tiga cara, iaitu pengulangan kata,
sinonim, superordinat dan kata-kata umum.

a) Pengulangan Kata
Pengulangan kata ini dikenali juga sebagai repetition. Kata yang sering kali diulang
ini adalah dari 'kata isi' (content word). Ini bermakna kata itu adalah kata yang amat
penting bagi sesuatu ayat yang dibentuk dan dibina bagi teks ataupun wacana. Kata
isi ini boleh dikenal pasti melalui dua cara. Cara yang pertama ialah kata itu atau
'kata isi' tersebut akan dijadikan sebagai unsur yang tidak boleh ditinggalkan
ataupun tidak digunakan jika diperkatakan di dalam intipati teks. Manakala cara
yang kedua ialah jika kata tersebut tidak diulang maka berkemungkinan teks itu
akan terganggu sifat kesatuannya.

Dalam bahasa Melayu, kata yang akan diulang itu boleh berubah bentuk dari segi
ataupun sudut morfologi. Ini dapat dikategorikan di dalam pengulangan kata ini, jika
kelas kata yang diulang itu tidak berubah.

b) Sinonim
Sinonim ialah suatu kata yang mempunyai makna yang sama dengan 'kata seerti'.
Sinonim ini digunakan kerana ianya untuk mengelakkan kebosanan bagi
pengulangan kata yang sama di dalam teks dan juga sinonim ini memberikan variasi
kepada sesuatu teks. Sesetengah kata dikatakan sinonim adalah disebabkan kedua-
duanya merujuk kepada perkara yang sama.
c) Superordinat
Superordinat ialah penggunaan kata yang lebih khusus atau 'hiponim' kepada kata
yang lebih umum atau dikenali sebagai 'hiperonim'.
Contoh :
Semua yang ada di desa seperti kambing, biri-biri, kerbau, lembu dan ayam, harus
dibuatkan kandangnya secara teratur. Ketua Kampung mengarahkan penduduk
desa membuat kandang ternakan masing-masing.
(Tarigan, H.G. 1995: 146)

Superordinat bagi contoh di atas ialah kata umum yang merujuk 'kambing, kerbau,
biri-biri, ayam', iaitu 'ternakan'. Kata 'kambing, kerbau, ayam' adalah kata khusus
yang juga dikenali hiponim.

d) Kata-kata Umum
Kata-kata umum ialah kata-kata yang tidak tentu kelasnya.
Contoh :
Bagi Awang Semaun, jika ia beroleh sesuatu hasil perburuan atau berkarang,
sebelum perolehan itu dibawanya balik ke rumahnya…
(Harun Aminurrashid. 2001:25)

ii) Kolokasi
Bagi mengenal kolokasi adalah melihat dari dua sudut, iaitu
a) dari sudut sintaksis
b) dari sudut semantik.

a) Dari Sudut Sintaksis


Contoh :
Ketika itu nama Brunei dikenali sebagai Puni, kerana ibu kotanya bernama Puni.
Pada zaman Sultan Muhyiddin iaitu Sultan Brunei yang ke-XIV baharulah
Kerajaan Brunei itu dipindahkan ke tempat yang ada sekarang.
(Harun Aminurrashid. 2001:19)

b) Dari Sudut Semantik


Contoh :
Kerajaan berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan perhubungan di tanah air
kita, iaitu perhubungan darat, laut dan udara. Dalam bidang perhubungan darat
telah digalakkan pemanfaatan kereta api dan kenderaan bermotor. Kenderaan ini
meliputi kereta, motosikal dan lain-lain.
(Tarigan, H.G. 1995: 136)

6.2 Runtutan atau koheren

Runtutan atau koheren merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam


sesbuah wacana sehingga menjadikan sesebuah teks itu bermakna. Oleh itu,
runtutan merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu
dianggap sebagai wacana jika teks tersebut mempunyai makna.
Contohnya:

Penyakit sindrom kurang daya tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu.
Penyakit ini telah lama dikesan di beberapa buah Negara di Eropah. Walaupun
bidang sains dan teknologi berkembang maju, tetapi masalah ini masih tidak
dapat diatasi.

Contoh di atas jelas menunjukkan kesinambungan idea melalui perkataan Aids,


gejala, penyakit dan masalah ini. Kesinambungan idea ini telah menjadikan ayat-
ayat tersebut bertaut di antara satu sama lain untuk membentuk wacana yang
bermakna. Kebanyakan wacana mempunyai tautan untuk menjadikannya runtut.
Walau bagaimanapun, teks yang bertaut tidak semestinya runtut.

Contohnya:

Wanita itu membeli baju baharu bewarna biru. Warna biru ialah warna
kegemaran muda-mudi kini. Muda-mudi kini ramai yang menghadapi masalah
sosial.

Berdasarkan teks di atas, setiap ayat mempunyai tautan. Tetapi teks tersebut tidak
merupakan wacana kerana teks tersebut tidak bermakna dan tidak difahami.
Malahan, teks tersebut tidak mempunyai kesinambungan idea atau tidak koheren.
Oleh itu, untuk menghasilkan wacana, sesuatu teks itu perlulah koheren atau
runtutan.

6.3 Tujuan

Setiap wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan perlu
mempunyai tujuan. Tujuan sesuatu wacana ini ditentukan oleh penghasil wacana
tersebut sama ada penulis atau pembicaranya. Sesuatu wacana perlu mempunyai
tujuan untuk menimbulkan interaksi yang komunikatif. Tujuan ini akan menentukan
jenis wacana yang digunakan. Jika tujuan seseorang adalah untuk mendapatkan
maklumat, ayat yang sering digunakan ialah ayat Tanya, tetapi jika seseorang itu
ingin menyatakan atau menerangkan sesuatu, ayat yang digunakan ialah ayat
penyata.

6.4 Penerimaan

Sesuatau wacana sama ada lisan atau tulisan, perlu mempunyai pendengar atau
pembaca. Pendengar dan pembaca merupakan penerima sesuatu wacana. Tahap
penerimaan seseorang itu tinggi jika pendengar atau pembaca memahami
sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan. Oleh
itu, tahap penerimaan adalah tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap
penerimaan.

6.5 Maklumat

Setiap wacana mempunyai maklumat. Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu
maklumat lama dan maklumat baharu. Maklumat lama ialah maklumat yang telah
dinyatakan terdahulu. Maklumat baharu pula ialah maklumat yang baru sahaja
dinyatakan dengan andaian pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat
itu sebelum ini.

Contohnya:

(1) Puan Rita mengajar di sekolah menengah.

(2) Sekolah itu sekolah berasrama penuh.

Sekolah itu dalam ayat (2) merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan
dalam ayat sebelumnya. Sekolah berasrama penuh ialah maklumat baharu kerana
baru disebutkan dalam ayat itu.

6.6 Keadaan

Ciri seterusnya ialah keadaan. Keadaan ialah latar sewaktu bahasa itu digunakan,
dan membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu wacana. Ungkapan
“Sila masuk”, misalnya, difahami kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang
mempelawa seorang lain masuk ke dalam bilik atau rumahnya. Dalam kehidupan
sehari-hari terdapat pelbagai jenis latar, misalnya latar rumah tangga, latar tempat
kerja, latar tempat membeli-belah, latar berekreasi, latar beribadat, dan bermacam-
macam lagi. Setiap latar menghasilkan wacana tersendiri.

Setiap wacana perlu dikaji kaitan dan kedudukan penutur dalam masyarakat secara
amnya yang akan menentukan gaya wacana sama ada gaya formal atau tidak formal.
Gaya formal, contohnya, wujud apabila seseorang guru pelatih berkomunikasi
dengan pensyarah, murid atau pelajar berhubung dengan guru. Gaya tidak formal
adalah gaya yang wujud dalam hubungan biasa antara rakan. Hubungan ini
menghasilkan kesan dialek sosial dalam pertuturan.

Wacana harus ada tujuan yang menentukan sesuatu jenis ayat. Contohnya, jika
tujuan penutur adalah untuk melaksanakan sesuatu perbuatan , jenis ayat yang
terbentuk ialah ayat perintah. Begitu juga jika tujuan penutur adalah untuk
mendapatkan maklumat, jadi ayat yang terbentuk ialah ayat Tanya.

Sesuatu wacana mesti berdasarkan kaitan antara penutur dengan pendengar dalam
bahasa lisan dan penulis dengan pembaca dalam bahasa tulisan. Tiap-tiap wacana
tidak boleh dimansuhkan maklumat yang bertentangan dengan maklumat yang
terdapat dalam ayat sebelumnya.

Contohnya:

“Kelmarin dia tidur sehari suntuk.” “Kelmarin dia tidur sehingga jam 9.00 pagi.”

Dalam wacana perlu ada unsur-unsur susun atur menurut sebab, akibat, tempat,
waktu, keutamaan dan sebagainya. Tegasnya, ayat-ayat itu harus mempunyai urutan
yang berkait rapat. Misalnya:

“Cikgu Shafie mengajar dengan penuh dedikasi.” “ia mendapat pujian daripada
guru besar.”
Setiap wacana harus mempunyai andaian dan inferensi. Maklumat pertama dalam
wacana digelar andaian manakala maklumat berikutnya disebut inferensi. Dalam
tatabahasa tradisional, andaian digelar judul dan inferensi disebut ulasan. Inferensi
manambah maklumat kepada andaian dan lazimnya bahagian ini diberi tekanan
suara yang tinggi. Misalnya:

6.7 Interteks

Interteks bermaksud sesuatu wacana itu bergantung kepada wacana yang lain. Hal
ini beerti wacana-wacana lain juga memainkan peranan penting untuk membantu
seseorang memahami sesuatu wacana yang sedang dibaca atau didengarinya dengan
mudah. Dengan kata lain, kefahaman seseorang terhadap sesebuah wacana
bergantung kepada pengetahuannya terhadap perkara yang dibaca atau didengarnya
itu.

7.0 Jenis-jenis wacana

Umumnya wacana dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu wacana lisan dan
wacana tulisan.

Wacana lisan ialah wacana yang dihasilkan melalui media lisan, iaitu melibatkan
pembicara dan pendengar. Komunikasi yang terlibat dalam wacana lisan ini ialah
komunikasi interaktif, iaitu komunikasi yang melibatkan hubungan pembicara dan
pendengar secara langsung. Dalam wacana lisan, pembicara biasanya akan
menggunakan ekspresi wajah, intonasi suara, gerak badan dan sebagainya untuk
menyampaikan sesuatu maklumat kepada pendengar. Biasanya dalam wacana lisan,
pembicara akan mendapat respon daripada pendengar pada ketika itu juga. Antara
contoh wacana lisan adalah menerusi perbualan, temu ramah, ceramah, khutbah,
pidato dan siaran televisyen atau radio.

Wacana tulisan pula ialah wacana yang disampaikan secara bertulis. Wacana tulisan
melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca.komunikasi yang terlibat
ialah komunikasi tidak langsung, iaitu komunikasi satu arah. Penulis tidak
berhadapan dengan pembaca sewaktu wacana tersebut dihasilkan. Oleh itu, penulis
tidak mendapat respon secara langsung daripada pembaca. Wacana tulisan
seringkali disunting terlebih dahulu bagi menghasilkan tulisan yang berkualiti dan
tepat. Dalam wacana tulisan, pembaca perlu membaca teks yang ditulis untuk
memahami maksud yang ingin disampaikan oleh seseorang pengarang atau penulis.

Antara contoh wacana tulisan ialah tulisan-tulisan yang terdapat di dalam akhbar,
majalah dan buku. Rencana di bawah adalah merupakan salah satu contoh wacana
tulisan.

Contoh wacana tulisan : Rencana

Tajuk : Masalah-masalah yang Dihadapi Akibat Kemasukan Pekerja Asing.

Oleh : Siti Aminah bt Kasim

Perkembangan ekonomi dalam tahun 80-an dan tahun 90-an menyediakan peluang
pekerjaan yang amat banyak hingga negara tidak mempunyai tenaga buruh yang
mencukupi. Fenomena ini menyebabkan negara mengimport tenaga dari negara
jiran. Sebaliknya, kemasukan tenaga buruh asing menimbulkan pelbagai masalah
sosial.

Kedatangan buruh asing secara beramai-ramai yang tidak disaring latar belakang
mereka membenarkan kemasukan penjenayah yang datang untuk mencari
kesempatan. Sungguhpun, sebahagian besar daripada buruh asing ini datang untuk
mencari rezeki terdapat pula mereka yang berniat jahat. Justeru itu, berlakulah
jenayah seperti pencurian, rompakan, dan penipuan. Golongan jahat ini datang
untuk mencari kesenangan dengan cepat. Oleh itu, kejadian rompakan dan kecurian
kerapkali berlaku di mana buruh asing ramai didapati.

Rancangan menerima buruh asing digunakan oleh sesetengah pihak untuk lari dari
kampung halaman mereka. Mereka lari dari tempat mereka kerana mereka
melakukan jenayah. Apabila mereka datang ke sini mereka mungkin bertemu
dengan seteru lama mereka. Justeru itu, kita kerapkali dikejutkan oleh pergaduhan
dan pembunuhan di kalangan buruh asing terutama sekali yang datang dari
Indonesia dan Filipina.

Selain itu, di kalangan buruh asing itu terdapat juga mereka yang datang bukan
untuk makan gaji tetapi untuk berniaga. Walaupun pada mulanya mereka bekerja
tetapi setelah beberapa lama mereka berniaga dengan membuka gerai. Mereka
berniaga tanpa lesen dan kadang-kadang bersaing dengan peniaga tempatqan. Oleh
sebab overhed mereka rendah, mereka berupaya menjual barang-barang mereka
dengan murah. Kegiatan ini menimbulkan pelbagai masalah kepada peniaga
tempatan. Di samping itu, peniaga tempatan yang tidak boleh bersaing
meninggalkan tempat perniagaan mereka. Tindakan ini menambah pula peniaga
saing seperti di Chow Kit pada suatu ketika dahulu.

Di samping itu, terdapat pula golongan buruh asing yang cuba menganut budaya
tempatan sehingga mereka menjadi seperti penduduk tempatan. Kebanyakan
daripada mereka berkahwin dengan gadis-gadis tempatan. Setelah mengumpulkan
wang dengan banyak mereka balik ke negara asal mereka dan meninggalkan anak-
anak dan isteri mereka. Fenomena ini jika tidak dikawal sudah pasti menimbulkan
masalah sosial dan membebankan negara.

Rancangan jangka pendek untuk mengisi kekosongan di kilang, tapak pembinaan,


ladang-ladang, hotel, dan restoran rupa-rupanya membawa masalah yang berat.
Andainya, pengambilan buruh asing berlanjutan maka kawalan yang ketat dan
saringan yang teliti perlulah diambil oleh pihak yang berwajib.

(+348 patah perkataan)

8.0 PENANDA WACANA

Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi


mempertalikan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis
ataupun berucap. Penanda wacana amat penting dalam sesebuah teks kerana
penanda wacana dapat mewujudkan pertautan atau kesinambungan antara
sebahagian teks dengan yang lain sehingga membentuk kesatuan.

Penanda wacana juga merupakan unsur-unsur bahasa yang mewujudkan kohesi dan
koheran antara satu teks dengan teks yang lain sehingga membentuk kesatuan.
Terdapat banyak jenis penanda wacana dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Melayu
terdapat lima jenis penanda wacana, iaitu

8.1 Penanda Leksikal

Penanda leksikal ialah penanda yang melibatkan pertautan antara perkataan atau
frasa secara semantik (makna) dalam sesebuah wacana. Penanda leksikal melibatkan
unsur pengulangan kata dan kebiasaannya pengulangan kata yang terlibat ialah
pengulangan unsur yang sama, pengulangan sinonim, hiponim dan kolokasi.
Pengulangan unsur yang sama bermaksud setiap kata diulang secara penuh tanpa
melakukan sebarang perubahan. Contohnya seperti:

Ibu amat menyayangi Ahmad.


Kami juga amat menyayanginya.

Dalam ayat di atas, berlaku pengulangan secara penuh bagi perkataan menyayangi.

Pengulangan sinonim pula merujuk kepada pengulangan kata yang mempunyai


makna yang hampir sama seperti:

Suatu ketika dahulu wanita itu amat dikaguminya.


Tetapi kini, wanita itu dianggapnya sebagai perempuan murahan.

Perkataan wanita dan perempuan merupakan pengulangan kata yang sinonim iaitu
sama makna.

Pengulangan hiponim pula ialah pengulangan yang melibatkan hubungan antara


makna khusus dan makna yang umum yang mana merangkumi makna yang khusus.
Makna yang umum disebut sebagai superordinat manakala makna khusus disebut
sebagai hiponim. Contohnya ikan merangkumi makna yang khusus seperti tenggiri,
bawal, cencaru, selar dan kembung.

Contohnya:

Malaysia telah mengimport pelbagai jenis kereta dari luar negara. Antaranya
Honda, Nissan, Toyota dan Volvo.

Pengulangan kolokasi melibatkan kehadiran sekumpulan kata yang saling berkait


dengan sesuatu idea, topik, situasi atau konteks. Lazimnya pengulangan kolokasi
melibatkan hubungan leksikal selingkungan seperti perkataan almari, meja dan
kerusi dikatakan sebagai perkataan yang berkolokasi kerana perkataan-perkataan ini
mempunyai lingkungan yang sama iaitu perabot. Selain itu pula, apabila kita
mendengar ungkapan tendangan percuma, kita akan menggambarkan situasi
permainan bola sepak, dengan kata lain tendangan percuma berkolokasi dengan
permainan bola sepak.

Contohnya:
Pembuangan sisa-sisa toksik ke dalam sungai telah menyebabkan pencemaran air.
Oleh itu, banyak ikan dan udang yang mati.

Dalam ayat di atas, ikan dan udang merupakan perkataan yang berkolokasi kerana
mempunyai lingkungan yang sama iaitu hidupan air.

8.2 Penanda rujukan

Penanda rujukan melibatkan rujukan terhadap ganti nama diri dang anti nama
tunjuk. Rujukan ganti nama diri melibatkan ganti nama diri orang pertama, kedua
dan ketiga. Contoh rujukan ganti nama diri adalah seperti yang berikut:

Aku, Sani dan Udin akan ke Kuala Lumpur.


Kami bertolak pada pukul empat petang.

Perkataan kami merupakan kata ganti nama diri bagi aku, Sani dan Udin.

Kata ganti nama tunjuk ialah perkataan yang membawa maksud menunjukkan
benda atau perkara. Dalam bahasa Melayu, penanda penunjuk terdiri daripada
perkataan ini, itu, sini dan situ. Contohnya:

Di manakah awak tinggal?


Saya tinggal di sana.

8.3 Penanda penghubung

Penanda penghubung berfungsi sebagai penjalin unsur-unsur linguistik seperti


perkataan, frasa atau ayat yang terdapat dalam sesebuah wacana. Penanda
penghubung terdiri daripada penghubung tambahan, tentangan, musabab dan
tempoh.

Penghubung tambahan merupakan penghubung yang memberikan maklumat


tambahan terhadap sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya. Antara
penghubung tambahan dalam bahasa Melayu ialah dan, malahan, tambahan pula,
lebih-lebih lagi, di samping itu dan selanjutnya. Contohnya :

Tugasnya sebagai wartawan di salah sebuah syarikat penyiaran benar-benar


member pengalaman kepadanya kerana dia sering diberikan tugasan di luar
Bandar. Malahan dia juga berpeluang melawat negara-negara luar seperti
Thailand dan juga India untuk menjayakan rancangan dokumentari itu.

Penghubung tentangan ialah penghubung yang menunjukkan pertentangan


maklumat antara suatu ayat yang baru diperkatakan dengan ayat sebelumnya dalam
sesebuah wacana. Antara contoh penanda penghubung tentangan ialah tetapi,
sebaliknya, namun dan walau bagaimanapun.

Contohnya :

Penghuni benua Amerika suatu ketika dahulu bukanlah kaum kulit putih dan
berambut perang. Sebaliknya, mereka merupakan kaum yang berambut panjang
dan hitam.

Penanda penghubung musabab ialah penanda yang merupakan sebab berlakunya


sesuatu. Contoh penanda musabab ialah kerana, oleh sebab dan oleh itu.

Contohnya:

Dia kesuntukan masa. Oleh sebab itu, dia perlu menyiapkan tugasannya secepat
mungkin.

Penanda penghubung tempoh ialah penanda penghubung yang menunjukkan urutan


masa atau siri berlakunya sesuatu. Contoh penanda penghubung tempoh ialah
pertama, kedua, ketiga, kemudian, selanjutnya dan sebagainya.

Contohnya:

Pada peringkat awal pendakian, ramai di kalangan ahli kami yang kepenatan.
Kemudian, kami berhenti rehat untuk jangka waktu yang panjang dan selepas itu,
kami teruskan pendakian. Akhirnya, berbekalkan semangat juang yang tinggi
kami berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu tepat jam 6.30 pagi.

1. Tambahan
dan, serta, lagi, tambahan lagi, tambahan pula, selanjutnya, seterusnya, di samping.
2. Urutan
Pertama, kedua, seterusnya, selepas itu, kemudian, kemudian daripada itu, akhirnya.
3. Penyataan semula
iaitu, yakni, dengan kata lain, seperti yang diterangkan.
4. Contoh
contohnya, seperti, ibarat, laksana, macam, umpama, bagai, bak kata, sebagai.
5. Rumusan
rumusannya, kesimpulannya, sebagai kesimpulan, akhir kata, sebagai penyimpul
kata
6. Tempat
berhampiran dengan, bersebelahan dengan, bertentangan dengan.
7. Waktu
apabila, ketika, semasa, kemudian, selepas, pada mulanya, lama-kelamaan, lambat-
laun, akhirnya.
8. Sebab dan kesan
oleh itu, sebab itu, justeru itu, fasal, lantaran, jadi, dengan itu.
9. Bandingan
seperti juga, serupa dengan, sesuai dengan, sama juga dengan.
10. Pertentangan
tetapi, sebaliknya, sungguhpun, walau bagaimanapun, namun begitu, bertentangan
dengan.
11. Pengesahan
sebenarnya, sesungguhnya, sewajarnya, tentulah, pastilah, sememangnya.

8.4 Penanda penggantian.

Penggantian ini dikenali sebagai Substitution. Penggantian adalah pengambilan


alihan atau pertukaran bagi sesuatu segmen kata, frasa atau klausa oleh kata ganti
yang lainnya.
Penanda penggantian terdiri daripada penanda penggantian nominal, verbal dan
klausal. Penggantian nominal ialah penggantian yang dilakukan terhadap kata nama
tau frasa nama, manakala penggantian verbal melibatkan penggantian terhadap kata
atau frasa kerja dan penggantian klausa pula melibatkan penggantian sebahagian
daripada ayat. Contohnya :

Saya sengaja tidak mahu menebang pokok durian itu.


Nanti baru saya lakukan.

Dalam contoh di atas, perkataan lakukan menggantikan sebahagian ayat


sebelumnya, iaitu menebang pokok durian itu. Penggantian seperti ini merupakan
penggantian klausa.

8.5 Elipsis

Elipsis melibatkan pengguguran kata atau frasa yang telah dinyatakan dalam ayat
sebelumnya. Ini beerti pengguguran kata atau frasa melibatkan maklumat yang telah
diketahui oleh pembaca atau pendengar berdasarkan konteksnya.

Contoh 1 :

Pemuda itu kelihatan resah.


Tidak tahu arah mana yang harus ditujunya.

Dalam contoh di atas, frasa pemuda itu tidak diulang dalam ayat kedua. Walaupun
ayat kedua tidak menyatakan unsur yang sama seperti ayat pertama, tetapi ayat
kedua ini masih difahami.

Contoh 2 :

Ah Meng suka baju berwarna merah.


Adiknya suka baju putih.

Dalam ayat (1) di atas perkataan tidak diulang dalam ayat (2). Walaupun dalam ayat
pertama dan kedua menyatakan unsur yang sama iaitu unsur warna tetapi kedua-
dua ayat tersebut masih boleh difahami.

8.5.1 Jenis elipsis.

Terdapat tiga jenis elipsis , iaitu

a) Pengguguran nomina
Contoh :
A: " Kita ini perlu anak. Tau anak! Adanya anak akan lebih bererti hidup …"
B: "Kenapa diungkit-ungkit juga soal ^ itu?"
(Leman Ahmad. 1984: 24)

b) Pengguguran verbal
Contoh :
A: "Pernahkah kamu menaiki beca dan basikal?"
B: "ya, pernah ^ "
(Tarigan, H.G. 1995:166)

c) Pengguguran klausa
Contoh :
Guru: "Apakah kamu mahu mendapat biasiswa dari kerajaan?"
Pelajar: "Ya tentu"
(Tarigan, H.G. 1995:147)

11.0 KESIMPULAN

Wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat. Wacana mempunyai ciri-ciri
yang terdiri daripada tujuh tahap ketekstualan, iaitu tautan, runtutan, tujuan,
penerimaan, maklumat, keadaan dan juga interteks. Selain itu, penanda wacana pula
terdiri daripada lima jenis yang disebut sebagai penanda leksikal, rujukan,
penghubung, penggantian dan juga ellips.

Wacana juga terbahagi kepada dua jenis iaitu wacana jenis lisan dan wacana jenis
tulisan. Wacana jenis lisan merupakan wacana yang melibatkan antara penutur dan
juga pendengar. Sebagai contohnya ialah seorang guru yang bertanya kepada
muridnya kenapa tidak hadir ke kelas. Manakala wacana tulisan pula ialah wacana
yang melibatkan bidang penulisan. Sebagai contohnya ialah surat rasmi yang ditulis
kepada kerajaan, laporan, memo dan sebagainya.

Wacana bukan sekadar diperingkat ayat, malahan meliputi perenggang, bab, buku
dan siri buku. Tujuh ciri ketekstualan perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana
yang baik sama ada dalam penghasilan penulisan atau pengucapan. Sesebuah
wacana yang baik perlu memperlihatkan pertautan dan kesinambungan idea.
Pertautan dan kesinambungan idea ini bukan sekadar antara ayat dengan ayat atau
antara satu perenggang dengan satu perenggang, bahkan dari satu bab dengan bab
yang lain. Hal ini penting untuk memperlihatkan kesatuan bagi menghasilkan
wacana yang utuh.

Wacana juga penting bagi menghasilkan kerja yang bermutu selain daripada boleh
menyempurnakan sesuatu perkara. Sebagai contohnya, dengan menggunakan
wacana yang betul melalui percakapan seseorang itu akan menyebabkan seseorang
itu akan dihormati oleh orang lain. Hal ini kerana seseorang itu mampu
mempamerkan kesungguhannya menggunakan bahasa dengan betul ketika
bercakap.

You might also like