You are on page 1of 3

Mengapa Masyarakat Malaysia Kurang Membaca?

Ungkapan “Membaca Jambatan Ilmu” begitu signifikan dengan gerakan


membaca yang diuar-uarkan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Meskipun ungkapan ini dianggap suatu klise apabila memperkatakan perihal
pemupukan budaya membaca, namun tidak dapat tidak, membaca merupakan
wahana dan penghubung ke arah kelangsungan budaya ilmu dan peradaban
bangsa dalam mendepani gelombang maklumat kontemporari. Ironinya
masyarakat di negara kita belum boleh dianggap sebagai masyarakat pembaca.
Tatkala penguasaan informasi menjadi indikator dalam penentuan keterampilan
intelektual, masyarakat yang kurang membaca akan selama-lamanya menjadi
seperti melukut di tepi gantang pada era ledakan informasi kini lebih-lebih lagi
apabila bersaing dengan masyarakat di negara-negara maju contohnya
masyarakat di negara-negara Eropah.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa purata jumlah dua buah buku
yang dibaca oleh rakyat Malaysia merupakan suatu angka yang perlu dikaji
dengan lebih mendalam. Memperkatakan tentang hal ini, sesungguhnya kita
perlu lebih kritis. Mengapa hanya dua buah buku secara puratanya dibaca oleh
rakyat Malaysia setahun? Tidakkah angka dua itu merupakan suatu angka yang
sinonim dengan perkataan sedikit? Mengapakah tiada sebarang
pengimplementasian yang bersifat pragmatik bagi memperkasakan lagi tabiat
ini? Tentunya bersebab.

Secara tuntasnya ada benarnya jika dikatakan bahawa masyarakat di


negara kita belum boleh menjadi simbolik masyarakat pembaca. Pernyataan ini
dikonkritkan lagi dengan peningkatan kadar buta huruf dalam pelbagai lapisan
masyarakat dan usia di negara ini. Di samping itu, masyarakat Malaysia juga
sering mengalami krisis untuk bersaing dengan masyarakat glokal di pentas
antarabangsa. Sesungguhnya semua kekangan ini timbul lantaran kurangnya
motivasi diri dalam kalangan masyarakat di negara kita berkaitan dengan
kepentingan amalan membaca dalam membentuk masyarakat glokal.

Daripada pemerhatian dan pembacaan saya, didapati bahawa tidak


menjadi budaya orang Malaysia untuk membaca. Mengapakah situasi ini
berlaku? Mungkin kerana masa kita dihabiskan untuk bekerja dan berada di jalan
raya untuk ke tempat kerja. Apabila kembali ke rumah, mereka dalam kondisi
penat dan letih. Justeru kekangan masa inilah yang sering kali menjadi mauduk
alasan yang membataskan mereka daripada amalan membaca. Lain pula
senario masyarakat di negara Jepun, waima mereka mempunyai masa bekerja
hampir empat belas jam sehari, ironinya kekangan masa ini belum boleh
dijadikan alasan yang membataskan mereka dengan buku. Oleh hal yang
demikian maka tidak hairanlah masyarakat Jepun sinonim dengan amalan
membaca kerana amalan ini telah mendarah daging dalam kehidupan
masyarakat mereka sejak azali.
Di samping itu, faktor lain masyarakat Malaysia tidak membudayakan
amalan membaca dalam kehidupan ialah tiadanya pengaruh ibu bapa atau
keluarga dalam menitikberatkan perihal budaya membaca terhadap anak-anak
mereka. Dalam konteks ini, ibu bapa tidak pernah menghadiahkan buku kepada
anak mereka bahkan lebih mengeruhkan keadaan sekiranya mereka tidak
pernah terfikir bahawa buku itu penting sebagai medium memupuk minat anak
mereka membaca. Daripada sudut yang berbeza pula, pengaruh media massa
yang semakin meluas kini telah menjauhkan masyarakat dengan buku.
Pengaruh ibu bapa dalam keluarga telah dilunturkan secara evolusi oleh media
massa yang bersifat hegemoni dan dominan dalam merubah kerangka pemikiran
masyarakat.

Daripada perspektif yang lain pula,pengaruh suasana dan faktor sekeliling


turut membataskan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Mungkin
telah menjadi amalan kita untuk membaca di tempat sunyi sepertimana yang
sering kali menjadi amalan dalam sesebuah perpustakaan yang suruh
diam.Tidak salah, tetapi kesannya secara tidak sedar ialah kita turut terpengaruh
untuk membaca dalam kondisi yang sunyi. Justeru, agak sukar untuk kita
membudayakan amalan membaca di tempat awam. Di samping itu persepsi
orang ramai bahawa orang yang membaca terutamanya di tempat-tempat awam
adalah perbuatan menunjuk-nunjuk dan memberi gambaran negatif bahawa ulat
buku sukar dibuat kawan kerana saban hari masa mereka hanya dihabiskan
dengan berkepit dengan buku.Ulat buku juga mungkin dianggap antisosial dan
antisukan. Persepsi sedemikian amat berbahaya kerana secara jangka panjang
akan menjauhkan masyarakat dengan buku.

Selain itu, mungkin sifat merasakan ketidakpentingan membaca


merupakan antara faktor utama rakyat Malaysia kurang membaca. Sama ada
sebagai seorang bekas pelajar atau seorang bekas mahasiswa universiti,
kebanyakan kita telah hilang selera untuk memegang buku apatah membacanya.
Hal ini juga satu kemungkinan kerana daripada pemerhatian saya, terutamanya
daripada kenalan-kenalan saya, didapati amat kurang daripada mereka yang
masih berminat dengan amalan membaca kerana beranggapan bahawa meraka
telah melepasi takuk pendidikan yang ditetapkan oleh kerajaan. Mereka juga
beranggapan bahawa buku tidak akan memberikan sebarang faedah secara
langsung lagi kepada mereka jika dibandingkan dengan perkara lain. Di samping
itu mereka kelihatan lebih mementingkan kepuasan dari segi nilai estetik dan
kemewahan berbanding kepuasan memperoleh ilmu menerusi amalan
membaca.

Daripada aspek yang lain pula, wujud alasan yang kurang relevan dalam
kalangan masyarakat berhubung amalan membaca. Mereka mempersoalkan
tentang kos bahan-bahan ilmiah di pasaran yang semakin meningkat
kedewasaan ini. Kemungkinan harga buku meningkat lantaran faktor-faktor lain
seperti kadar tukaran mata wang asing yang menyebabkan harga buku import
menjadi mahal di samping kos pencetakan dan penerbitan yang tinggi. Bagi saya
kos sesebuah buku tidaklah terlalu mahal sehingga membebankan pembaca
tetapi perkara yang boleh dijadikan mauduk utama ialah keengganan kita sendiri
untuk keluarkan wang dari saku untuk membeli buku. Sesungguhnya jika
dibandingkan, kos yang kita bayar untuk membeli sesebuah buku tidak memadai
dengan ilmu yang kita peroleh menerusi bahan ilmiah tersebut.

Konklusinya, rakyat Malaysia sebenarnya berpotensi besar untuk


ditabalkan sebagai masyarakat pembaca. Sehubungan itu, rakyat di negara ini
haruslah komited dalam bersama-sama menggembleng tenaga bagi menjadikan
masyarakat Malaysia sebagai masyarakat pembaca yang dapat menaikkan imej
negara ke peringkat global. Semua pihak mestilah mempunyai keiltizaman yang
tinggi untuk merealisasikannya supaya masyarakat dan negara kita sentiasa siap
siaga untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain.
Usaha ini mesti dimulakan dari sekarang kerana perjalanan yang beribu batu
perlu bermula dengan langkah yang pertama!

You might also like