You are on page 1of 19

Masyarakat Mabisa-Iya

Oleh Azrul Affandi Sobry


azr@bharian.com.my
2010/10/10
  


ANTARA aktiviti dan rutin harian masyarakat Bisaya membabitkan budaya dan sumber
rezeki.

PENDUDUK Padas Damit, Said Masi menunjukkan replika baju kebal dipakai pahlawan
wanita Bisaya, Dang Isum.


Majoriti 50,000 etnik Bisaya bertapak di Beaufort, Sabah

NAMA mereka bukanlah asing untuk diperkatakan tetapi sejarah dan cara hidup mereka di
satu lokasi 90 kilometer (km) di selatan Kota Kinabalu, Sabah, sememangnya menarik untuk
dikongsi bersama.
Dalam kelembutan bahasa mereka, sebenarnya tersimpan banyak khazanah misteri yang
layak diungkapkan mengenai masyarakat Bisaya yang juga satu etnik Islam dengan
majoritinya bertumpu di daerah Beaufort, Sabah. Antara keunikan mereka yang diakui ramai
adalah fizikal mereka yang tampak seperti orang Cina atau mungkin campuran Filipina.
Pendek kata, mereka memang cantik.
Sebelum penulis mendekati mereka, rakan-rakan di Kota Kinabalu sudah menitipkan
pesanan. Ada gurauan dan tidak kurang juga yang kedengaran serius.

“Jaga-jaga dengan orang Bisaya. Mereka bukan saja cantik tetapi ilmunya juga tinggi. Ketika
di sana, jangan buat perangai tak tentu hala, takut nanti lain pula ceritanya. Ilmu mereka
bukan calang-calang, tak senang nak dikesan. Takut nanti, balik ke Semenanjung, terpaksa
pula kembali semula ke sini untuk berubat!”

Itu pesanan Ali Karimi Dahlan, seorang guru yang mengiringi kami dari Kota Kinabalu ke
Beaufort dan bertindak sebagai penunjuk jalan bertemu dengan masyarakat itu. 

Ada kebenaran juga kata-katanya kerana sepanjang empat hari bersama masyarakat itu,
kami selalu dihidangkan dengan cerita yang bisa meremangkan bulu roma mengenai
kehebatan ilmu mereka. Namun, kerisauan itu kendur apabila dimaklumkan tiada apa yang
akan berlaku selagi kita tahu menjaga kelakuan di situ. 
Pasti ramai yang mungkin pernah mendengar cerita mengenai kemaluan berasa ada di dahi
dan itulah antara kehebatan yang disebut-sebut dimiliki etnik ini.

Penulis bukan mahu menceritakan sesuatu yang negatif kerana realitinya sudah ramai
mengetahui mengenai kehebatan ilmu mereka. Di sebalik cerita negatif mengenai mereka,
pada hakikatnya penduduknya mempunyai akhlak yang tinggi dan kuat pegangan agama.

Apa pun, tidak dinafikan kecantikan gadis Bisaya pasti menarik perhatian. Dengan kulit putih
dan wajah seperti orang Cina bermata sepet, ia menonjolkan keayuan dan kelembutan
tersendiri. Tambah unik kerana raut wajah mereka tidak sepenuhnya seperti orang Cina
tetapi lebih menarik.

Berbeza versi cerita menakutkan mengenai kehebatan ilmu kebatinan mereka, realiti yang
dapat dilihat ialah orang Bisaya ramah dan berbudi bahasa. Kita pasti leka apabila
bersembang dengan sesiapa saja di situ, tidak kira yang muda mahu pun tua. Tiada seorang
pun yang lokek melontarkan senyuman.

Etnik Bisaya bukan saja ada di Beaufort, tetapi boleh ditemui di Kuala Penyu, Menumbok,
Sipitang dan sekitar Wilayah Persekutuan Labuan. Bagaimanapun, majoritinya berkampung
di Beaufort dengan jumlah masyarakatnya melebihi 50,000 orang.

Di Beaufort, masyarakat ini mendiami kawasan Klias dan sepanjang tebing Sungai Padas. Di
Klias pula, mereka mendiami kawasan perkampungan seperti Kampung Kebatu, Kukut,
Kabidang, Takuli, Malabau, Kota Klias, Klias Kecil, Laba dan Nukahan.

Di sepanjang Sungai Padas pula, mereka mendiami kawasan Kampung Malalugus, Luagan,
Mempagar, Limbawang, Pintas, Lubak, Lupak, Batandok, Beringin, Gadong, Kepawa,
Garama, Silaun, Lawa, Kebajang, Lago, Suasa, Padas Damit, Jabang dan Bangkalalak,
manakala di Kuala Penyu, penempatan mereka ialah di Kilugus, Manggis, Sinapokan, Siaun,
Malikai dan di pekan Menumbok.
Dalam daerah Sipitang, sebahagian kecil mereka mendiami kawasan Sindumin, Mesapol
serta di pekan itu sendiri. Di daerah lain pula, kebanyakannya berada di Kota Kinabalu,
Wilayah Persekutuan Labuan, bandar lain seperti Tawau, Sandakan, Keningau, Kudat dan di
pekan kecil seperti Kota Belud, Ranau, Tenom, Papar dan Membakut.

Meskipun masyarakat ini banyak di lokasi lain di Sabah, mereka juga ada di Sarawak.
Namun, peninggalan sejarah serta cerita mengenai mereka lebih tepat diperoleh daripada
masyarakat di Beaufort kerana menurut ‘orang lama’ di situ, beberapa lokasi sekitar daerah
itu menjadi titik tolak perkembangan masyarakat Bisaya di Sabah, malah kisah mengenai
kehebatan mereka juga berakar umbi di situ.

Menurut kepercayaan orang tempatan, perkataan Bisaya berasal daripada sebutan “Mabisa
Iya” yang membawa maksud seseorang lelaki atau wanita nampak tampan dan gagah serta
cantik. Sebutan itu kemudian bertukar kepada Bisaya sehingga hari ini.

Versi lain yang memetik Beyer H.O pada 1926, Hester E.D pada 1954 dan Harrison pada
1956 ialah perkataan Bisaya kemungkinan berasal daripada Empayar Srivijaya (Sonza, 1972).
Pada 1960, John Carol menyatakan perkataan Bisaya berasal daripada pahlawan yang
bernama Sri Visaya. Derek Headly (1950) pula menyatakan Sultan Brunei ketika
kunjungannya untuk meninjau kawasan penduduk Bisaya dan baginda menyebut: “Bisai-
Yah!” yang bermaksud betapa cantiknya ketika melihat gadis di situ.

Masyarakat Bisaya boleh dikatakan majoritinya beragama Islam. Mereka hidup dalam
kawasan kampung terancang dan menjalankan aktiviti pertanian, selain ada yang
mengusahakan produk sagu kerana hampir semua masyarakat Bisaya gemar memakan sagu,
malah menjadikannya sebagai makanan asasi pula menggantikan nasi.

Melihat taraf dan kualiti hidup mereka di sekitar Beaufort, nampak jelas kebanyakan mereka
mempunyai kedudukan kewangan yang stabil, malah ramai juga hidup mewah kerana
menceburi bidang perniagaan, selain sektor pertanian juga memberi pendapatan lumayan.

Dalam kemewahan dan keselesaan hidup itu, mereka utuh mempertahankan budaya
masyarakat Bisaya kerana masih ada kumpulan kebudayaan bergerak aktif memainkan alat
muzik seperti kulintangan dan gambang, malah mempunyai rutin latihan mereka sendiri di
lokasi khusus.

Bisaya bukan masyarakat terpencil kerana realitinya mereka mempunyai sistem pengurusan
yang mantap. Dalam kalangan masyarakat itu, sudah ada yang menjadi pemimpin dalam
pelbagai badan politik dan bukan kerajaan. Sebagai contoh, siapa tidak kenal Timbalan
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin yang turut bertindak
sebagai Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS).

Persatuan itu juga bergerak aktif dengan jawatankuasa yang dilantik dan dirombak setiap
kali mesyuarat agung, selain tidak pernah gagal menganjurkan keramaian Adau Janang
Gayuh setiap 15 Julai yang membawa maksud hari besar pemimpin sebagai satu simbol
penghormatan serta mengenang jasa pemimpin masyarakat itu pada masa lalu hingga kini. 

'Terima Islam seawal kurun 13'

ETNIK Bisaya sudah wujud di Kepulauan Borneo sejak ribuan tahun lalu dan menjadi antara
suku kaum digeruni dan dihormati oleh suku kaum Asli lain di Sabah. 

Mereka juga dipercayai antara yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Ketua
Bisaya yang pertama ialah Awang Alak Betatar atau Sultan Mohammad Shah. Hubungan
perdagangan yang dijalin dengan pedagang dari tanah Arab menjadi antara faktor etnik ini
cepat memeluk Islam berbanding etnik lain di kepulauan Borneo.

Jika dilihat dari segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak pengaruh Arab memainkan peranan
dalam urusan seharian mereka. Etnik Bisaya memiliki minat dalam bidang pertanian dan ia
kini menjadi sumber utama pendapatan mereka. 

Masyarakat ini walaupun dipercayai ada kaitan dengan suku Visaya di Filipina, Bisaya hanya
ada di Sabah dan Sarawak. Visaya di Filipina dipercayai berasal dari Borneo dan
penghijrahan beramai-ramai mereka ke sana adalah disebabkan pelbagai faktor, termasuk
politik.

Bisaya terkenal dengan budaya unik yang diamalkan sejak sekian lama, terutama dalam hal
makanan tradisi dan kesenian. Antaranya, makanan tradisi yang paling digemari mereka
ialah sagu yang diambil dari batang rumbia.

Lagu rakyat pula dipertahankan iaitu badaup yang dinyanyikan beramai-ramai ketika menuai
padi, kebiasaannya oleh wanita dalam masyarakat itu. Selain badaup, ada juga nyanyian lain
iaitu Oh Aki-aki dan King-king Batudan, iaitu rangkaian pantun kanak-kanak untuk mendodoi
anak.

Banyak lagi kebudayaan masyarakat yang dipimpin oleh Janang Gayuh, Datuk Seri Panglima
Lajim Ukin, termasuk tarian dan muzik tradisi, namun ia dikatakan semakin sukar dilihat
akibat arus kemodenan yang semakin menghimpit mereka, selain penghijrahan belia ke
lokasi yang lebih membangun terutama di bandar.

Bukan sukar untuk mengenali dan berjumpa orang Bisaya di Beaufort kerana mereka seolah-
olah ada identiti tersendiri. Paling ketara ialah raut wajah mereka seperti kacukan Cina dan
Melayu. Jika berkunjung ke kampung Padas Damit, Karukan dan Kelias, boleh dikatakan
semuanya orang Bisaya.

Meskipun semua kampung itu berada dalam daerah sama, lokasinya agak jauh di antara
satu sama lain, malah ada yang memakan masa sehingga dua jam perjalanan. Ini sekali gus
menunjukkan masyarakat itu memonopoli hampir segenap lokasi di Beaufort.

Difahamkan, perkampungan di Padas Damit menjadi satu lokasi utama perkembangan


masyarakat Bisaya di Beaufort dan mempunyai banyak tinggalan sejarah, terutama ketika
pertempuran masyarakat itu dengan tentera British pada suatu ketika dulu. Ia sekali gus
menjadikan Padas Damit sebagai lokasi wajib dikunjungi sekiranya mahu mengenali lebih
dekat mengenai Bisaya.

Dari Kota Kinabalu, perjalanan ke Beaufort hanya memakan masa lebih dua jam, sama ada
menaiki bas atau teksi yang boleh didapati dengan mudah di Padang Merdeka, Kota
Kinabalu. Menjejakkan kaki ke pekan Beaufort saja sudah cukup untuk bertemu orang
Bisaya tetapi ia tidak memadai kerana sejarah dan misteri masyarakat itu tersimpan di ceruk
pedalaman daerah itu. 

(Bersambung esok) 

'Terima Islam seawal kurun 13'

ETNIK Bisaya sudah wujud di Kepulauan Borneo sejak ribuan tahun lalu dan menjadi antara
suku kaum digeruni dan dihormati oleh suku kaum Asli lain di Sabah. 

Mereka juga dipercayai antara yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Ketua
Bisaya yang pertama ialah Awang Alak Betatar atau Sultan Mohammad Shah. Hubungan
perdagangan yang dijalin dengan pedagang dari tanah Arab menjadi antara faktor etnik ini
cepat memeluk Islam berbanding etnik lain di kepulauan Borneo.

Jika dilihat dari segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak pengaruh Arab memainkan peranan
dalam urusan seharian mereka. Etnik Bisaya memiliki minat dalam bidang pertanian dan ia
kini menjadi sumber utama pendapatan mereka. 

Masyarakat ini walaupun dipercayai ada kaitan dengan suku Visaya di Filipina, Bisaya hanya
ada di Sabah dan Sarawak. Visaya di Filipina dipercayai berasal dari Borneo dan
penghijrahan beramai-ramai mereka ke sana adalah disebabkan pelbagai faktor, termasuk
politik.
Bisaya terkenal dengan budaya unik yang diamalkan sejak sekian lama, terutama dalam hal
makanan tradisi dan kesenian. Antaranya, makanan tradisi yang paling digemari mereka
ialah sagu yang diambil dari batang rumbia.

Lagu rakyat pula dipertahankan iaitu badaup yang dinyanyikan beramai-ramai ketika menuai
padi, kebiasaannya oleh wanita dalam masyarakat itu. Selain badaup, ada juga nyanyian lain
iaitu Oh Aki-aki dan King-king Batudan, iaitu rangkaian pantun kanak-kanak untuk mendodoi
anak.

Banyak lagi kebudayaan masyarakat yang dipimpin oleh Janang Gayuh, Datuk Seri Panglima
Lajim Ukin, termasuk tarian dan muzik tradisi, namun ia dikatakan semakin sukar dilihat
akibat arus kemodenan yang semakin menghimpit mereka, selain penghijrahan belia ke
lokasi yang lebih membangun terutama di bandar.

Bukan sukar untuk mengenali dan berjumpa orang Bisaya di Beaufort kerana mereka seolah-
olah ada identiti tersendiri. Paling ketara ialah raut wajah mereka seperti kacukan Cina dan
Melayu. Jika berkunjung ke kampung Padas Damit, Karukan dan Kelias, boleh dikatakan
semuanya orang Bisaya.

Meskipun semua kampung itu berada dalam daerah sama, lokasinya agak jauh di antara
satu sama lain, malah ada yang memakan masa sehingga dua jam perjalanan. Ini sekali gus
menunjukkan masyarakat itu memonopoli hampir segenap lokasi di Beaufort.

Difahamkan, perkampungan di Padas Damit menjadi satu lokasi utama perkembangan


masyarakat Bisaya di Beaufort dan mempunyai banyak tinggalan sejarah, terutama ketika
pertempuran masyarakat itu dengan tentera British pada suatu ketika dulu. Ia sekali gus
menjadikan Padas Damit sebagai lokasi wajib dikunjungi sekiranya mahu mengenali lebih
dekat mengenai Bisaya.

Dari Kota Kinabalu, perjalanan ke Beaufort hanya memakan masa lebih dua jam, sama ada
menaiki bas atau teksi yang boleh didapati dengan mudah di Padang Merdeka, Kota
Kinabalu. Menjejakkan kaki ke pekan Beaufort saja sudah cukup untuk bertemu orang
Bisaya tetapi ia tidak memadai kerana sejarah dan misteri masyarakat itu tersimpan di ceruk
pedalaman daerah itu.

Bersambung....

Bisaya asal daripada kecantikan legenda Tatanak

DANG Insum bukan saja terkenal handal dalam peperangan serta mempunyai kesaktian
tetapi juga sangat ayu sehingga dikatakan menjadi punca wujudnya nama Bisaya, nama baru
yang diberikan Sultan Brunei selepas sekian lama masyarakat itu dikenali sebagai Tatanak.
Menurut Ketua Kampung Padas Damit, Said Masi, sebelum nama Bisaya muncul,
kebanyakan orang Bisaya tidak beragama. Ia berlaku sebelum zaman kemasukan Pengiran
Shahbandar Hassan sebagai wakil Sultan Brunei di sekitar daerah Beaufort. Nama Bisaya
muncul dalam pertandingan ratu cantik yang dianjurkan kerajaan Brunei dan bagi
menghormati jemputan sultannya, Pengiran menghantar rombongan masyarakat Tatanak
untuk menonton pertandingan itu.

Mewakili masyarakat itu untuk bertanding ialah Dang Insum yang dipilih sebulat suara oleh
penduduk Padas Damit kerana kecantikannya dikatakan tiada tolok bandingnya di wilayah
jajahan Brunei itu.

Nyata kecantikannya sukar digugat sesiapa termasuk warga Brunei, sekali gus membolehkan
Dang Insum memenangi pertandingan berkenaan.

Kecantikan Dang Insum itu juga berjaya menarik perhatian Sultan Brunei sehingga berkali-
kali baginda menyebut: “Bisai, bisai, bisai” yang membawa maksud cantik.

Pujian berkali-kali Sultan Brunei itu kedengaran di telinga orang Tatanak lain sehingga
bermain di bibir mereka tetapi disebut Bisaya. Ia sekali gus menukar nama suku itu menjadi
Bisaya yang kekal hingga hari ini.

“Sebenarnya Dang Insum membawa maksud seorang yang sangat cantik. Oleh kerana itulah
dikatakan Bisaya memang berasal daripada Padas Damit.

“Tidak dari negeri lain seperti kata sesetengah orang bahawa masyarakat kami bermula di
Filipina kerana di sana ada Visaya tetapi sebenarnya di sana mungkin juga mereka yang
berasal dari sini. Mereka bukan Islam.

“Bisaya memang wujud sejak dulu di sepanjang Sungai Padas Damit. Ini kampung asal kami
sebelum ada yang berhijrah keluar.

“Malah, ramai mengakui nama Bisaya juga muncul disebabkan sejarah di wilayah ini. Dang
Insum memang orang sini,” katanya lagi.

Kini, semua penduduk di Padas Damit berketurunan Bisaya. Penghijrahan keluar dari
Beaufort mewujudkan lebih banyak perkampungan baru masyarakat Bisaya iaitu di Labuan,
Keningau, Tenom, Tawau, Kudat dan malah hampir semua daerah di Sabah ada orang
Bisaya.

Masyarakat Bisaya di Limbang dan Filipina mempunyai budaya serta agama berbeza kerana
mereka menganut Kristian.

Keadaan ini menguatkan hujah bahawa memang wujud perbezaan antara Bisaya dan Visaya.

Budaya Bisaya di Limbang dikatakan lebih dekat dengan masyarakat Iban. Budaya Bisaya di
Sabah pula tidak jauh berbeza dengan masyarakat Melayu di Semenanjung.
Ayam putih senjata Dang Insum tentang penjajah

[Serikandi Bisaya miliki kesaktian dipilih ketuai penentangan terhadap British yang mahu
menguasai Padas Damit]

BISAYA dan Padas Damit mempunyai hubungan sangat rapat kerana di situlah kehebatan
masyarakatnya terserlah dalam usaha menentang penjajahan British. Di Padas Damit juga
pelbagai cerita misteri mengenai perjuangan orang Bisaya menjadi bualan sehingga kini.
Nama seperti Dang Insum Temenggong Gaja dan Pengiran Shahbandar Hassan paling ketara
dalam kebanyakan cerita kebangkitan masyarakat itu menentang penjajah. Ia bukan cerita
dongeng kerana banyak tinggalan sejarah mengaitkan mereka dengan cerita itu.

Ketua Kampung Padas Damit, Said Masi, mempunyai koleksi dan tinggalan sejarah yang
dikatakan milik Dang Insum, selain watikah yang mengesahkan Padas Damit diserahkan
kepada masyarakat Bisaya. Cerita mengenai pahlawan wanita itu juga masih kuat dalam
ingatan Said.

Dang Insum, cucu Datuk Laksamana Idris Datu Orang Kaya Setia, dikatakan wanita hebat
yang mempunyai kesaktian sehingga menimbulkan masalah kepada tentera British untuk
menakluk Padas Damit. Kehebatannya menyebabkan beliau dipilih mengetuai perisai
hadapan menentang North Bornoe Chartered Company pada 1888 hingga 1889 dengan
sokongan Pengiran Shahbandar.

Ketika itu, Pengiran Shahbandar ialah pemerintah tunggal yang diamanahkan Sultan Brunei,
sekali gus memegang ‘hak tulen’ terhadap wilayah Padas Damit.

Kawasan takluknya merangkumi sepanjang tebing Sungai Padas hingga ke Kampung


Bengkalakak dan ke timur Jimpangah. Namun, semuanya menjadi huru-hara apabila North
Bornoe Chartered Company memasuki kawasan itu dan enggan mengiktiraf Pengiran
sebagai pemerintah. Lebih buruk, mereka menghasut orang tempatan untuk menentang
Pengiran dengan mendakwa menjadi hamba di bawah pemerintahannya.

Pada permulaannya, Kompeni membuat penawaran untuk mengambil alih pemerintahan


Pengiran dengan mengajukan undang-undang baru yang bakal dilaksanakan jika hasrat
mereka dipersetujui. Namun, perbincangan antara Pengiran dengan orang kampung
mencetuskan rasa kurang senang penduduk terutama mengenai syarat yang diminta. Dalam
undang-undang itu kompeni mengenakan cukai kepala, cukai tanah, mengukur tanah untuk
dibuat geran, menjadikan Padas Damit wilayah Labuan, memperkenalkan undang-undang
wilayah baru, pemansuhan kuasa Pengiran serta semua pembesar di bawahnya.
Dikhabarkan kebanyakan kampung lain bersetuju menerima tawaran kompeni, tetapi
penduduk Padas Damit enggan patuh, malah mengisytiharkan perang sebagai tanda
membantah. Mereka menyerang penduduk yang belot dan setia kepada kompeni. Tindakan
itu menimbulkan kemarahan dan membimbangkan kompeni.

“Orang Bisaya di Padas Damit tidak bersetuju dengan keadaan itu dan nekad untuk
menentang. Pengiran mengarahkan mereka membina kubu sedalam 10 kaki. Kemudian,
satu mesyuarat diadakan untuk memilih siapa paling layak memimpin barisan hadapan.

“Semua sepakat memilih Dang Insum yang dikatakan paling handal dan berilmu tinggi
dengan dibantu pemuda, Mat Jagar Datu Salleh. Kesaktiannya terletak pada ayam putih
yang memberi isyarat dengan berkokok kuat setiap kali musuh menyerang.

“Ayam putih itu dianggap senjata utama Dang Insum. Setiap serangan musuh pasti ia mudah
dipatahkan Bisaya kerana sudah bersedia selepas mendapat isyarat daripada ayam itu.
Strategi Dang Insum juga hebat. Mereka buat beberapa sampan daripada batang rumbia di
seberang sungai sebagai umpan.

“Apabila tentera kompeni gunakan sampan untuk menyeberang dan cuba menaiki tebing
yang dibina tinggi, semua mereka akan dipancung. Tak sempat nak masuk kota pun. Ada
yang lemas di tengah sungai kerana sampan itu pecah,” cerita Said.

Detik kekalahan pasukan tentera Bisaya di Kota Makarang bermula apabila ada di kalangan
mereka belot. Ia terjadi apabila Mat Jagar meninggalkan kubu untuk bertemu Pengiran
Shahbandar, meninggalkan Dang Insum sendirian mengetuai orang Bisaya. Seorang lelaki di
kalangan mereka berpura-pura sakit dan tidak bersama Mat Jagar bertemu Pengiran. Ketika
menyedari semua orang leka, dia membunuh ayam putih itu, sekali gus menghilangkan
kuasa ajaib Dang Insum.

Kebetulan, rombongan Mat Jagar turut disertai kebanyakan lelaki yang handal. Di Kota
Makarang, hanya ada wanita dan kanak-kanak. Ia membuka peluang tentera kompeni
membuat serangan mengejut tanpa disedari Dang Insum kerana tiada lagi isyarat kokokan
ayam. Hampir sehari suntuk pertarungan itu berlangsung sebelum Dang Insum tewas yang
menyaksikan ramai wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa. Dikhabarkan 20 orang tua dan
kanak-kanak dicencang di dalam kubu. Manakala 60 tentera kompeni turut maut.

Selepas perang Padas Damit reda, Gabenor Labuan memanggil wakil Bisaya untuk
berbincang kerana tidak mahu pertumpahan darah lebih banyak. James Brooke sebagai
pemerintah British di Sarawak kuga tidak mengiktiraf kemenangan kompeni kerana tentera
British hanya membawa balik bendera putih, simbol tentera Bisaya dari kubu, sedangkan
James Brooke mahu melihat tawanan hidup. Ia dianggap sebagai pemberontakan dan bukan
kemenangan mutlak mereka.

Perbincangan antara mereka akhirnya mencapai kata putus untuk berdamai. Itupun selepas
Pengiran tumpas dalam serangan di tengah laut yang membuka jalan kepada British untuk
menjajah dan undang-undang khas di Padas Damit.
40 ilmu kebatinan berbahaya masih diamal

BUKAN sedikit ilmu yang dimiliki masyarakat Bisaya. Difahamkan ada 40 jenis kepakaran
dalam masyarakat itu yang berbahaya dan boleh menyebabkan sesiapa saja hidup tidak
selesa jika terkena buatannya. Dalam zaman moden ini, ilmu itu semakin kurang diamalkan
tetapi masih kekal diwarisi hampir kebanyakan masyarakat itu. 

Jika sesiapa pernah terbaca mengenai ilmu menghilangkan kemaluan seseorang, itulah
antara yang paling digeruni ada pada dimiliki orang Bisaya. Ia adalah ilmu yang sudah lama
ada dalam masyarakat itu dan difahamkan sehingga kini masih ramai yang mahir
mengamalkannya. Kehebatan orang Bisaya dalam ilmu kebatinan sudah terbukti ketika
perang Padas Damit. Ketika itu mereka boleh ‘mencipta’ tebuan yang hanya akan
menyerang orang bukan Islam. Ia menjadi senjata sakti mereka menentang musuh. 

Kehebatan ilmu dalaman yang digelar ‘Gayong Dalam’ oleh Ketua Kampung Padas Damit,
Said Masi, sebenarnya bukan sekadar bertujuan untuk melepaskan kemarahan tetapi ada
ketikanya sekadar digunakan sebagai bahan permainan dan uji menguji.

“Dulu kerap ilmu itu dijadikan permainan. Seorang yang hebat akan sengaja mengirim ‘tuju’
kepada seorang lagi untuk menguji kehebatannya. Ia akan berbalas-balas sehingga kedua-
duanya puas. Jika sesama mereka memang tak ada kesan teruk tetapi jika terkena orang
yang tak tahu membela diri, sakitnya boleh membawa maut.

“Malah, ada juga ilmu yang kerap digunakan untuk mengganggu sesuatu majlis
perkahwinan. Seseorang yang tak puas hati atas apa saja sebab akan menghantar ‘ilmu’
yang membuatkan ada orang dalam majlis menjadi gila. Jika ada sesiapa yang memegang
orang itu, dia juga akan menjadi gila.

“Ada pula yang mengkhianati majlis perkahwinan dengan membuatkan nasi atau lauk pauk
jamuan kenduri kahwin tidak masak. Ia selalunya disebabkan rasa tak puas hati atau
mungkin juga sekadar mencuba dan main-main. 

“Sekarang sudah tak ramai yang guna ilmu itu sebarangan sebab pegangan agama yang kuat
tetapi sebenarnya masih ramai yang mahir termasuk orang muda dan remaja. Namun, adat
dalam permainan dalaman, jika ada bisa pasti ada penawarnya. Semua sakit akibat ‘tuju’ itu
boleh diubati dan ramai pakarnya di kampung ini,” katanya.

Paling menakutkan tentulah apabila tiba-tiba menyedari yang ‘anu’ hilang atau terasa ada di
dahi. Dikatakan, jika terkena buatan itu, ada yang tak tahu untuk menceritakan kepada
sesiapa. Ubat yang paling popular adalah menggunakan kura-kura kerana sifat penyakit itu
sama seperti tabiat haiwan itu yang menyorokkan kepala ketika takut.

Mengejutkan apabila Said memberitahu bahawa semua ilmu itu bukan sukar untuk
diamalkan menyebabkan dengan mudah ramai orang muda turut menguasainya.
Kini, sebenarnya masih ada ‘orang lama’ yang menguasai semua 40 ilmu itu. Kadangkala
pemilik ilmu dalaman itu sengaja menguji kemampuan diri. Sekiranya dia memiliki 30 ilmu,
sudah tentu dia mudah memenangi permainan dengan orang yang hanya ada 20 ilmu.
Begitulah permainan pelik orang Bisaya dulu dan sebahagiannya kini. 

Teringat cerita Ali Karimi Dahlan mengenai orang Bisaya dulu: “Dulu, mana ada sangat orang
berani lawan bola sepak dengan orang Bisaya, apatah lagi di kampung mereka kerana ada
saja ilmu yang digunakan ketika perlawanan. Silap-silap, terlanggar kaki mereka pun kita
boleh sakit teruk.”

“Jangan risau. Jika kamu tak buat apa-apa dan tak ganggu sesiapa, tak perlu takut terkena
buatan orang sini. Dulu memang mereka suka mencuba tapi sekarang orang Bisaya kuat
beragama. Jika ada rasa apa-apa yang pelik, ramai boleh tolong ubatkan,” kata seorang
penduduk di Suasa, meredakan rasa risau penulis dengan semua cerita itu. 

Kehebatan orang Bisaya juga mungkin ada kaitan amalan mereka suatu ketika dulu yang
begitu percaya kepada sesuatu yang pelik termasuk konon ada berita buruk yang
disampaikan oleh burung ‘juriak’ setiap kali ia berbunyi. Difahamkan, kejadian buruk pasti
akan berlaku jika burung itu berbunyi.

Namun, kini kepercayaan sebegitu sudah semakin terhakis dan tidak pula ada kejadian
buruk berlaku meskipun berpuluh kali burung itu berbunyi. Ia mungkin disebabkan
pegangan agama yang kuat dalam kalangan mereka selain pencerapan gaya pemikiran
moden akibat perubahan zaman.

Kepercayaan terhadap pantang larang ketika mengandung dan kehidupan seharian juga
sudah semakin ditinggalkan meskipun dulu merekalah antara masyarakat paling kuat
berpegang dengan pantang larang sehinggakan suami tidak boleh berulang alik keluar
masuk rumah jika isteri mengandung kerana khuatir anak dalam kandungan susah untuk
dilahirkan. 

Adat, budaya perkahwinan Bisaya semakin terhakis 

[Banyak perkara dianggap menyusahkan, tempoh merisik tiga hari, keluarga lelaki perlu
tinggal cuci kawah selepas majlis]

TEMPOH memberi kata putus selepas adat merisik dibuat menjadi petunjuk sama ada pihak
perempuan sudi atau tidak menerima lelaki sebagai menantu. Jika dalam masa tiga hari
keputusan dapat dibuat, tandanya mereka bersetuju tetapi jika sudah memasuki tempoh
seminggu maka boleh dianggap lelaki itu tidak bernasib baik. 

Itulah antara kebiasaan yang diamalkan dalam adat perkahwinan masyarakat Bisaya sejak
dulu namun sudah semakin kurang diamalkan kini. Adat itu biasanya dilakukan sebagai satu
peringkat awal sebelum peminangan secara rasmi dibuat dan perbincangan selanjutnya
mengenai jumlah berian (hantaran) diputuskan. 

Bisaya juga tidak banyak bezanya dengan orang Melayu dalam menentukan jumlah
hantaran. Jika dulu, hantaran kahwin tidak sampai RM1,000 tetapi kini sesiapa yang mahu
berkahwin dengan gadis Bisaya perlu menyediakan paling kurang pun RM6,000 dan ada
yang boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit. 

Ketua Kampung Suasa, Kida Assan, 62, berkata sama seperti Melayu, nilai hantaran
perkahwinan ditentukan berdasarkan beberapa faktor. Yang paling utama ialah taraf
pendidikan dan kerjaya perempuan itu. Jika tidak bekerja, nilai hantarannya adalah kira-kira
RM6,000. 

“Soal rupa tak penting sangat. Kedudukan keluarga dan tahap pendidikan lebih utama.
Perjanjian ketika bertunang mengikut keadaan. Biasanya hubungan itu diikat setahun. Ada
yang lebih lama dan ada yang cepat tapi kebanyakan setahun.

“Wang hantaran biasanya perlu diserahkan semuanya sebulan sebelum majlis perkahwinan.
Ketika bertunang, cukup dengan menyarung cincin dan bertukar dulang hantaran,” katanya. 

Dalam konteks pakaian untuk majlis perkahwinan juga menampakkan semakin kurang orang
Bisaya memakai pakaian tradisi mereka meskipun masih ada butik perkahwinan
menyewakan pakaian itu selain menghias pelamin dengan adat lama.

Adat perkahwinan juga sudah semakin berubah. Dulu ada adat paling utama selepas majlis
perkahwinan iaitu pasangan pengantin perlu tinggal selama tiga hari di rumah keluarga
pihak perempuan sebelum ke rumah keluarga lelaki untuk tinggal pula di situ selama
seminggu dan kemudian berpatah balik ke rumah perempuan untuk tiga hari lagi.

Pelamin juga tidak ada dalam adat Bisaya kerana dulu pengantin hanya bersanding di atas
kotak kayu yang dihias cantik. Jika sekali pandang, konsep perkahwinan dalam masyarakat
ini agak ringkas dan tidak banyak berbeza dengan orang Melayu, mungkin kerana mereka
juga beragama Islam.

Paling unik dalam adat perkahwinan mereka ialah penggunaan gulungan rokok daun yang
perlu diselit di mulut pasangan pengantin sepanjang tempoh bersanding dan kini, masih ada
yang mengamalkan adat itu tetapi menggunakan rokok tembaga yang berukir cantik.

Bisaya juga mengamalkan sistem yang melindungi sesuatu ikatan perkahwinan dengan
meletakkan syarat sekiranya berlaku perceraian yang berpunca daripada pihak wanita maka
wang hantaran perlu dipulangkan sebanyak dua kali ganda. Namun jika lelaki yang meminta
perceraian, wang hantaran dianggap hangus.

Kida berkata, perubahan dalam adat perkahwinan masyarakat Bisaya antara lain disebabkan
berlaku perkahwinan campur dan perubahan zaman selain mengelakkan kos yang sangat
tinggi jika kekal dengan cara lama. 
“Adat lama memang tinggi belanjanya. Jika nak buat majlis dengan pakaian budaya Bisaya,
kos sewanya mahal kerana banyak aksesori yang digunakan. Dulu, setiap kali kenduri
kahwin, paling kurang pun tiga ekor kerbau ditumbangkan. Kerana itulah belanja dulu
sebenarnya lebih tinggi.

“Sekarang, semuanya dipermudahkan. Sehari saja sudah selesai majlis. Dulu, tiga hari tiga
malam pun belum selesai. Banyak adat yang perlu dipatuhi. Selepas tiga hari di rumah
perempuan, seminggu di rumah lelaki, patah balik ke rumah perempuan dan bersanding
lagi,” katanya.

Langkah bendul atau kataliban (berkahwin dengan adik sedangkan kakaknya belum
berkahwin) dalam masyarakat Bisaya adalah sesuatu yang dianggap serius kerana sehingga
hari ini, sekiranya berlaku sebegitu, pihak lelaki perlu membayar denda seperti sepersalinan
pakaian kepada kakak pengantin perempuan. Namun, kini nilai denda itu digantikan dengan
duit di mana pengantin lelaki perlu membayar RM100 untuk seorang kakak. 

Gotong-royong dilakukan sepenuhnya dalam perkahwinan Bisaya. Lebih unik, beberapa hari
sebelum kenduri kahwin keluarga pihak lelaki perlu hadir di rumah bakal pengantin
perempuan untuk membantu kerja persiapan. Sekiranya tidak hadir, denda akan dikenakan
seperti tidak dibenarkan naik ke rumah ketika majlis perkahwinan. 

Menambah keunikan majlis perkahwinan dalam adat Bisaya ialah tetamu tidak boleh makan
selagi pengantin lelaki belum sampai. Majlis jamuan biasanya bermula selepas majlis
persandingan dan dilakukan secara berhidang. Namun, tidak banyak lagi orang Bisaya
mengamalkan budaya ini. 

“Banyak sebenarnya perkara yang dianggap menyusahkan dalam adat perkahwinan


sebelum ini. Bayangkan, selama tiga hari di rumah pengantin perempuan, semua ahli
keluarga lelaki perlu tinggal di situ juga. 

Kerja cuci kawah dan mengemas sisa daging kerbau adalah kerja pengantin lelaki,” kata
Kida. 

Kini, adat dan budaya dalam perkahwinan Bisaya sudah semakin terhakis. Namun dengan
adanya seorang pengusaha butik di Beaufort yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Jamilah,
masih ada beberapa perkahwinan yang cuba mengembalikan konsep perkahwinan asal
masyarakat itu. 

Jamilah masih menyimpan hampir semua koleksi wajib aksesori yang perlu dipakai oleh
pasangan pengantin supaya kelihatan benar-benar mengikuti adat Bisaya selain
menyediakan pelamin seumpama konsep lama.

Dalam konteks kebudayaan, Bisaya sebenarnya cukup kaya dengan nilai dan khazanah seni
budaya. Mungkin kerana mereka bukan sekadar dikenali dengan kehebatan dalam
bertempur tetapi terkenal dengan sifat ketimuran sejati. Ia jelas dilihat kerana hampir setiap
lokasi kampung penduduk Bisaya di Beaufort, akan ada satu jenis kebudayaan yang
dimainkan secara aktif sama ada oleh orang tua atau generasi muda dengan nafas dan irama
baru.

Mereka ada banyak lagu rakyat yang masih dinyanyikan sebahagian orang Bisaya seperti
‘badaup’ yang dianggap paling popular menjadi irama dalam pesta menuai padi serta ketika
mendodoi anak. Ia dinyanyikan wanita dan kini, masih ada kumpulan badaup bergerak aktif
dalam masyarakat itu.

Penulis berkesempatan melihat persembahan badaup dan kulintangan, iaitu alat muzik yang
digunakan ketika ‘bagandang’ membabitkan beberapa jenis alat muzik seperti gong dan
caklempong. Di Beaufort, ada beberapa kumpulan bergerak aktif seperti di Suasa yang
membabitkan dua kumpulan iaitu kanak-kanak dan wanita. Di sini, kami dihiburkan irama
bagandang baru yang menerima suntikan melodi lagu moden oleh kumpulan kanak-kanak.

Selain muzik, Bisaya terkenal dengan pelbagai jenis permainan tradisi. Ia biasanya aktif
dihidupkan kembali setiap kali tiba musim hari keramaian seperti ketika menyambut Adau
Janang Gayuh pada 15 Julai setiap tahun. Permainan seperti pulas jari (mitompulas), gusti
kaki (mibinti) dan gusti tangan (miambit) menonjolkan imej kekuatan masyarakat itu sejak
dulu.

Industri pembuatan sagu ekonomi tradisi masyarakat Bisaya

[Perkembangan positif dalam bidang pendidikan mengubah taraf hidup, kebergantungan


terhadap aktiviti pertanian di Padas Damit]

PERTANIAN menjadi kemahiran utama dan penyumbang terbesar dalam menggerakkan


ekonomi masyarakat Bisaya terutama di sekitar Beaufort, ditambah dengan keadaan serta
struktur geografi yang sesuai membolehkan pelbagai aktiviti bertani dapat dijalankan.
Sepanjang perjalanan merentasi lokasi perkampungan di sekitar Beaufort menyerlahkan
industri itu, boleh dikatakan kiri dan kanan jalan dipenuhi tumbuhan menghijau berselang
seli dengan sebuah rumah besar (banglo). Ada tanaman kelapa sawit dan hamparan sawah
padi menghiasi pemandangan.

Mungkin tanah lembap di Beaufort memudahkan aktiviti pertanian. Sumber air mudah
kerana ada sungai merentasi hampir setiap kampung merancakkan aktiviti pertanian. Ada
juga tekanan dialami penduduk kerana Beaufort adalah kawasan paling kerap dilanda banjir
setiap kali hujan lebat dan ada ketikanya hampir mengancam nyawa penduduk.

Selain padi dan kelapa sawit, perusahaan sagu paling penting dalam masyarakat itu kerana
sagu menjadi makanan utama mereka, termasuk untuk makan tengah hari, malah tidak
keterlaluan jika dikatakan ia lebih penting daripada nasi.

Kebergantungan terhadap sagu sebagai makanan rutin membolehkan industri pembuatan


sagu terus berkembang pesat dengan perubahan terhadap kaedah memproses daripada
cara tradisional kepada penggunaan mesin canggih yang dapat menghasilkan lebih banyak
sagu untuk memenuhi permintaan bukan sekadar di Beaufort, malah di seluruh Sabah.

Kami sempat melawat ke kilang sagu di Kuala Balik, Padas Damit serta menemui
pengusahanya, Matrik Tumboh, untuk mengetahui bagaimana perusahaan itu dijalankan,
selain potensinya untuk meneruskan ekonomi tradisi masyarakat Bisaya.

Sagu dihasilkan daripada batang rumbia yang setiap batang sebesar sepemeluk mampu
menghasilkan antara lima hingga enam karung seberat 25 kilogram. Daripada batang sagu,
hanya isinya diambil setiap kali dimasukkan ke dalam mesin, manakala hampasnya diberi
kepada penternak kambing.

Prosesnya menggunakan mesin nampak lebih mudah kerana selepas memasuki mesin, ia
terus menjadi serbuk sagu dan sedia untuk dipasarkan. Sagu dari Beaufort sudah terkenal
dan mendapat permintaan dari banyak lokasi sekitar Sabah terutama Kudat, Tuaran dan
Lahad Datu.

“Sagu sebenarnya menjadi makanan utama masyarakat ini sejak zaman penjajah dan ia
mampu membekalkan sumber makanan ketika berdepan dengan kemelut peperangan.
Ketika itu, semua orang Bisaya dan sebilangan kecil masyarakat Tionghua yang ada di
Beaufort bergantung kepada sagu.

“Ia sekali gus menjadikan sagu begitu penting dalam hidup kami. Padi tak penting. Ia hanya
makanan kedua. Sagu adalah makanan utama,” kata Matrik.

Melihat kepada perusahaan sagu di Kuala Balik, jelas ia diusahakan secara besar-besaran di
situ membabitkan kaedah lama dan tradisional. Masih ada sebahagian kecil penduduk
menggunakan cara tradisional tanpa bantuan mesin. Semua menggunakan tenaga manusia
bermula daripada proses mengambil air sehinggalah menumbuk dan memijak sagu sehingga
hancur.

Bercerita mengenai kedudukan ekonomi masyarakat Bisaya, kebanyakan mereka hidup


sederhana, malah ada yang mewah dengan rumah besar, selesa serta mempunyai
perniagaan yang stabil seperti dapat dilihat di kebanyakan rumah sekitar Suasa.

Pemilikan tanah pertanian yang besar untuk mengusahakan kelapa sawit membolehkan
mereka hidup lebih selesa, selain berkedudukan tidak begitu jauh dari Beaufort,
membolehkan aktiviti perniagaan dan pemasaran produk pertanian dijalankan dengan
mudah.

Ada juga giat menjalankan aktiviti kraf tangan untuk dipasarkan di sekitar Sabah kerana
sumber untuk bahan mentah membuat kraf tangan begitu mudah diperoleh di sekeliling
mereka.

Menyentuh soal pendidikan, masyarakat Bisaya diakui sudah menunjukkan perkembangan


memberangsangkan terutama dengan kemasukan lebih ramai lepasan sekolah melanjutkan
pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan perkembangan itu mula pesat sejak 10 tahun
kebelakangan ini.

Ia disahkan guru daripada masyarakat itu yang kini mengajar di Sekolah Menengah
Kebangsaan Gadong, Tukiman Ratin, 42, yang berkata berbanding dulu, pelajar sekarang
lebih keinginan belajar disebabkan kemudahan infrastruktur lebih baik, selain motivasi tinggi
melihat sudah ramai dalam kalangan mereka berjaya membina kerjaya dalam pelbagai
bidang.

“Dulu, belajar cukuplah sekadar tahu membaca dan menulis. Nak ke sekolah pun bukan
dekat. Tak ada jalan raya. Dari Suasa ke Gadong perlu naik bot menyebabkan tak ramai
mampu ke sekolah. Sekarang tidak lagi, semuanya sudah dapat ke sekolah dengan selesa.

“Mungkin juga kerana dulu, kegiatan ekonomi masyarakat ini pun tidak begitu berkembang.
Ramai juga yang hidup kais pagi makan pagi. Berbeza dengan sekarang mereka lebih stabil
dan mampu hidup selesa. Perubahan dalam pendidikan dan taraf hidup agak ketara dalam
lima tahun kebelakangan ini. Selepas tahun 2000, persaingan dalam bidang pendidikan
semakin rancak.

“Pelajar Bisaya lebih cenderung dan cemerlang dalam subjek berasaskan kemanusiaan
seperti Sejarah, Geografi dan Bahasa Melayu. Pendek kata, mereka lebih suka kepada subjek
yang memerlukan pembacaan berbanding angka. Masih ramai yang lemah dalam
Matematik,” kata Tukiman.

Kini, boleh dikatakan bukan lagi sesuatu yang mengejutkan sekiranya ada dalam kalangan
masyarakat itu sudah berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah pertama dan
kedoktoran, selain terbukti sudah ada daripada mereka berjaya menempa nama dalam
pelbagai bidang termasuk politik.

Kebetulannya, meskipun Beaufort sudah maju dengan pelbagai kemudahan, kebanyakan


perkampungan Bisaya masih jauh di pedalaman, sekali gus menyebabkan pelajar tidak
banyak mendatangkan masalah sosial.

Tukiman yang sudah lebih 15 tahun berkhidmat di situ melihat perkembangan positif dalam
bidang pendidikan itu akan mengubah cara hidup dan kebergantungan ekonomi masyarakat
Bisaya pada masa akan datang kerana setakat ini semakin tiada waris mahu meneruskan
aktiviti bertani.

Malah, kepesatan dalam bidang pendidikan yang turut dikuasai wanita Bisaya bakal
mewarnai struktur masyarakat itu sendiri yang selama ini terkenal dengan kaedah menjaga
anak perempuan.

Namun, selepas kejayaan demi kejayaan dalam bidang pendidikan, nampak jelas wanita
Bisaya juga boleh mengorak langkah lebih jauh melanjutkan pengajian ke peringkat lebih
tinggi.
Ramai wanita pandai hasil kraf tangan, kuat amal awet muda

SEIRING peredaran zaman, ketika ini amat sukar untuk menemui mereka yang masih
mempunyai darah Bisaya tanpa campuran masyarakat lain dan kebanyakan mereka hanya
ada di kawasan pedalaman, jauh dari Beaufort.

Kebanyakan orang Bisaya di sekitar Beaufort termasuk di Padas Damit dan Suasa
mempunyai campuran darah dengan masyarakat lain sekali gus mengurangkan ciri-ciri asli
yang ada pada wajah tulen orang Bisaya iaitu wajah seperti Cina sepenuhnya. 

Kebanyakan yang ditemui di beberapa kampung masyarakat itu tidaklah seperti gambaran
orang Bisaya yang digambarkan sebelum ini. Jika adapun, ketika menemu bual beberapa
wanita di Suasa, ada seorang saja wanita daripada sembilan yang hadir mempersembahkan
permainan kulintangan mempunyai wajah mirip orang Cina dan dikatakan tidak ramai
sepertinya masih ada di kampung itu.

Wanita Bisaya pula sangat aktif dalam aktiviti masyarakat termasuk menubuhkan pasukan
kulintangan seperti yang ada di Suasa. Dikatakan, mereka juga aktif dalam membantu
ekonomi rumah tangga dengan meringankan beban suami di kebun, malah ada yang masih
sedia ke laut untuk menangkap ikan.

Cuma, mungkin kerana mereka (wanita) lebih gemar melakukan aktiviti di rumah atau
bersama suami di kebun, agak sukar menemui wanita Bisaya berlegar di kampung. Boleh
dikatakan sepanjang kami di Beaufort, jarang sekali kelibat mereka kelihatan, kecuali jika
adapun sedang bekerja.

“Kami bukan pemalu, tetapi wanita Bisaya memang tidak merayau sembarangan. Kami buat
kerja di rumah dan bantu suami di ladang. Tak ada pula larangan wanita Bisaya untuk keluar
merayau di luar, tetapi memang kami jarang begitu.

“Ramai sebenarnya wanita Bisaya pandai menganyam hasil kraf tangan. Boleh dikatakan
hampir semuanya pandai. Dalam kerja di laut pula, wanita Bisaya ini terkenal dengan
kemahiran menjala, tetapi bukan semua tahu mengenai perkara ini,” kata seorang wanita
Bisaya di Suasa, Siti Saadiah Matjiah, 42.

Beberapa tradisi orang Bisaya sebenarnya sudah semakin terhakis kerana enggan dituruti
orang muda seperti mengunyah sirih yang dikatakan menjadi kebiasaan wajib mereka sejak
dulu. Malah, cara pemakaian wanita dulu turut tidak digemari gadis muda, termasuk
pemakaian batik dan baju kurung Kedah.

“Berkemban? Semua wanita di Bisaya (warga tua) gemar dan tak kisah berkemban di rumah.
Sama juga dengan orang Melayu, tapi saya tak suka, malah kebanyakan gadis seusia saya tak
pandai pun berkemban. Rasa tak selesa. Pemakaian lilitan kain di kepala juga kami tak
pandai,” kata seorang gadis Bisaya, Suriyati Syamsul, 22.

Memang tak dinafikan, sukar sebenarnya untuk membezakan orang Bisaya dengan Melayu
jika dinilai dari segi cara pemakaian, raut wajah dan kebiasaan lain. Malah, ada juga
ketikanya mereka tak ubah pula seperti Melayu Minang di Negeri Sembilan.

Bercakap mengenai ilmu kebatinan seperti diceritakan dalam sebelum ini, wanita Bisaya
juga sebenarnya hebat dengan amalan ilmu dalaman termasuk mengamalkan petua awet
muda yang berbentuk bacaan dan amalan.

“Wanita Bisaya kuat amalkan ilmu dalaman dan cara mengamalkan awet muda juga
berbentuk bacaan, bukan makan herba seperti kebanyakan wanita lain,” kata seorang lagi
wanita Bisaya, Guati Samai, 49.

You might also like