You are on page 1of 27

1

MASYARAKAT CINA DALAM PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA 1946-1976

Siew Chang Yee dan Prof. Dato’ Dr. Nik Anuar Nik Mahmud

Institut Alam dan Tamadun Melayu

Universiti Kebangsaan Malaysia

Bangi

ABSTRAK

Dari sudut pensejarahan, penglibatan masyarakat Cina dalam pembentukan negara bangsa
Malaysia agak tenggelam. Orang Cina berada dalam keadaan dilemma apabila bernekad
untuk meninggalkan negara asal dan berhijrah ke Tanah Melayu yang begitu asing bagi
mereka. Sebagai golongan imigran, mereka tidak memiliki sebarang kuasa politik mahupun
taraf kerakyatan yang dapat menjamin kedudukan mereka di Tanah Melayu. Pada masa yang
sama, dasar British yang pasif dan mengganggap orang Cina sebagai golongan imigran dan
tidak memiliki sebarang hak politik ini turut membantutkan perkembangan politik
masyarakat di Tanah Melayu. British dilihat lebih selesa untuk mengamalkan dasar
berkenaan yang sesuai dengan kehendak orang melayu dan juga peranan British sebagai
pelindung bagi orang Melayu. Ia dapat dilihat dalam kenyataan Sir Shenton Thomas,
Gabenor Negeri-Negeri Selat yang menolak tuntutan orang bukan Melayu dengan
menyatakan ‘This is the sixth country in which I have serve, and I do not know of any country
in which what I might call a foreigner, not a native of the country…has ever been appointed
to administrative post and I consider that I shall be right in saying now that I would support
no such proposal here’ ( Khasnor Johan, 1984 ). Ketika menjelang kemerdekaaan negara
pada 31 Ogos 1957, masa hadapan orang Cina masih terumbang-ambing dan ia hanya
bergantung kepada hasil rundingan UMNO-MCA. Walaupun MCA berjaya memperjuangkan
hak kerakyatan bagi orang Cina tetapi isu-isu pendidikan dan kedudukan bahasa Mandarin
gagal ditangani dengan sempurna dan ia mencetuskan perasaan tidak puas hati orang Cina
dan seterusnya mencetuskan krisis dalam MCA. Kemelut masyarakat Cina dalam
pembentukan negara bangsa berterusan sehingga pembentukan Malaysia pada 16 September
1963. Kemasukan Singapura meletakkan orang Cina di persimpangan sama ada untuk
menyokong perang psikologi PAP pimpinan Lee Kuan Yew yang mencabar kedudukan orang
Melayu ataupun terus bersama dengan MCA yang mengakui hak serta keistimewaan orang
Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Penyingkiran Singapura dari
Malaysia gagal memadamkan api perkauman yang membara dan klimaks semasa Pilihan
Raya Umum 1969 yang menyaksikan tercetusnya tragedi 13 Mei yang membawa kepada
pergaduhan kaum dan seterusnya mengubah senario politik negara. Perubahan pucuk
kepimpinan negara telah membawa kepada terbentuknya satu Malaysia baru. Di mana ia
menyaksikan kemerosotan pengaruh politik masyarakat Cina dan kemunculan hegemoni dan
ketuanan Melayu dalam politik negara.
2

2.1 PENGENALAN

Konsep negara bangsa merujuk kepada pembentukan negara bangsa moden di Eropah. Idea
terhadap negara bangsa tercetus pada penghujung abad ke-18 dan 19. Beberapa siri revolusi
dan peperangan yang tercetus misalnya Revolusi Inggeris 1688, Perang Kemerdekaan
Amerika 1776 dan Revolusi Perancis 1789 telah membawa kepada kesedaran tentang hak
rakyat, kerajaan berperlembagaan dan seterusnya menjurus ke arah negara bangsa yang turut
dikenali sebagai ‘nation state.’ Ia membawa kepada pembentukan negara moden mengikut
sempadan rumpun bangsa yang menggantikan negara feudal. Satu deklarasi tentang negara
bangsa telah dicapai di Perancis dalam Persidangan Damai Paris menerusi Deklarasi Empat
Belas Perkara Woodrow Wilson yang mencapai kata sepakat terhadap prinsip negara dan
bangsa iaitu penentuan nasib negara oleh rakyat sendiri dan prinsip sempadan negara
berasaskan bangsa.

Menurut Smith, pembentukan negara bangsa meliputi dua elemen yang penting iaitu
pembentukan negara dan pembentukan bangsa. Dalam usaha membentuk sebuah negara
bangsa, aspek-aspek seperti struktur politik, sistem politik, sistem ekonomi, soal-soal
pentadbiran, penetapan sempadan serta kawasan di bawah lingkungan kuasanya, pertahanan
serta keselamatan dalan negara perlu diberi keutamaan. 1 Manakala dalam proses membina
bangsa, satu titik persamaan perlu dicari dalam aspek kerakyatan, budaya kebangsaan, bahasa
dan pendidikan perlu diusahakan agar negara bangsa yang dibina itu memenuhi aspirasi serta
kehendak semua rakyatnya. Mahadzhir Mohd Khir dalam penulisannya ‘Gerakan
Kebangsaan dan Proses Pembentukan Negara: Bangsa Malaysia’ sependapat dengan idea
Smith tentang konsep negara bangsa yang dikatakan terbahagi kepada dua istilah iaitu nation-
building dan state-building.2 State-building bermaksud pembentukan pemerintah atau
kerajaan. Proses itu melibatkan bagaimana organisasi pemerintah dapat dibentuk sehingga
diperlihatkan sebagai jentera yang dapat menguasai anggota masyarakat di dalam satu-satu
kawasan tertentu. Manakala nation-building pula, dilihat dari golongan yang diperintah.
Golongan ini dapat menzahirkan ketaatan kepada pemerintah dan mempraktikkan budaya
sepunya dan dapat mewujudkan satu identiti dalan sesebuah negara.

1
Graham Smith, Nation-State dalam R. J. Johnston( ed. ) et al. , The Dictionary of Human Geography,
Blackwell, Oxford, 2000, hlm. 534-535.
2
Mahadzir Mohd. Khir, Gerakan Kebangsaan dan Proses Pembenntukan Negara: Bangsa Malaysia
dalam Abdul Latif Abu Bakar ( pngr. ) Melaka dan Arus Gerakan Kebangsaan Malaysia, Penerbit Universiti
Malaya, Kuala Lumpur, 1996, hlm. 200.
3

Dalam membicarakan proses pembentukan negara bangsa, takrifan terhadap bangsa,


negara dan nasionalisma perlu diberi penelitian yang sewajarnya. Konsep bangsa atau nation
membawa kepada beberapa pengertian yang berbeza. Di England ia membawa maksud kelas
manakala di Amerika Syarikat ia merujuk kepada negeri. 3 Namun begitu, pada dasarnya
pengertian bangsa di Barat melihat kepada kemajuan satu masyarakat mahupun rakyat yang
terikat bersama dalam satu perasaan persatuan, berkongsi kebudayaan, identiti dan
mempunyai kesedaran bahawa mereka adalah satu bangsa yang tersendiri.4

Konsep pembentukan negara bangsa mempunyai dua kriteria utama iaitu integrasi
saikologikal di mana terdapat persetujuan tentang nilai-nilai politik dan sosial yang dominan
seperti satu bahasa sepunya, satu ekonomi kolektif dan satu sifat kolektif dan sebagainya
untuk pembentukan identiti nasional. Selain itu,ia turut melibatkan integrasi fisikal seperti
mempunyai kewilayahan yang tertentu dan mempunyai komuniti yang stabil dan
kesinambungan dari segi sejarahnya.5 Ia diperjelaskan oleh Kamaruddin M. Said ( 1991)
yang berpendapat negara bangsa hanya terbentuk apabila warganya telah merasakan bahawa
mereka mempunyai dan mempertahankan segala jiwa raganya kebangsaannya dan identiti
kolektifnya. Kewujudan sesuatu bangsa itu boleh dianggap sebagai satu proses pembinaan
warga kebangsaannya secara total dan berterusan. Oleh yang demikian, teras pembinaan
negara bangsa itu didorong oleh sikap sejarah kebangsaan masyarakat tersebut yang
berkongsi emosi serta satu aspirasi yang seragam dan membina demi kepentingan negara
bangsanya secara eksklusif.6

Proses pembinaan negara dan bangsa di negara kita berasaskan kepada empat ciri
utama iaitu negara, kerajaan, bangsa dan perlembagaan. Negara merujuk kepada wilayah
yang mempunyai penduduk, sempadan dan pemerintah. Manakala kerajaan pula merupakan
institusi yang bertanggungjawab menggubal dan melaksanakan dasar sesebuah negara.
Kerajaan turut berperanan sebagai badan pengaman dan penentu daya kehidupan masyarakat

3
Hugh Seton-Watson, Nation and States: An Inquiry Into the Origins of Nation and the Politics of
Nationalism, Methuen, London, 1977, hlm. 1-5.
4
Ibid.
5
Kedua-dua kriteria merupakan kombinasi dua tafsiran iaitu Robert E. Scott, Nation-Building in Latin
America, dipetik dari Nation-Building, Karl W. Duetsch and William J. Foltz (eds. ), Atherton Press, USA, 1966,
hlm. 74-77 dan Hood Salleh , et al. (pnyt.), Wawasan 2020 dan Pembinaan Bangsa Malaysia, Jabatan
Antropologi dan Sosiologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1991, hlm. 30-32.
6
Hood Salleh, et al. (pnyt.), Wawasan 2020 dan Pembinaan Bangsa Malaysia, hlm. 30-32.
4

sesebuah negara. Bangsa dikaitkan dengan sekumpulan manusia yang mendiami sesebuah
wilayah dan mempunyai persamaan dari segi bahasa, adat resam, kesenian dan pengalaman
sejarah. Perlembagaan yang merupakan peraturan bertulis yang tertinggi menjadi rujukan
utama dalam pentadbiran negara dan matlamat perlembagaan adalah menjamin hak serta
keselamatan kepada semua rakyat di negara kita.

Dalam perbahasan mengenai negara bangsa dan bangsa Malaysia ia masih


diselubungi dengan pelbagai perspektif yang masih kabur dan bercelaru. 7 Ada pihak yang
melihat bangsa daripada kaca mata yang agak legalistik dengan mengaitkannya dengan
konsep ‘warganegara’. Selain itu, ada juga yang melihatnya sebagai ‘ras’ iaitu satu konsep
berdasarkan keturunan darah. Malah ada yang menyamakan bangsa dengan kaum tetapi
pandangan tersebut sukar diterima dalam konteks negara kita memandangkan wujudnya
pelbagai etnik yang berbeza sedangkan kaum merujuk kepada satu etnik yang berkongsi ciri-
ciri fizikal dan juga pewarisan budaya yang sama.8 Menurut Abdul Rahman Embong ( 2006 )
memandangkan kecelaruan dalam memberi satu takrifan yang tepat dan bermakna kepada
konsep negara bangsa di negara kita maka penggunaan istilah nasion yang berakar umbi
daripada istilah nasionalis dan nasionalisme wajar diguna pakai. 9 Justeru itu titik tolak kepada
perkembangan nasionalisme yang bercorak Malayan perlu diberi penekanan dalam usaha
untuk mengkaji proses pembentukan negara bangsa di Malaysia.

Proses nasionalisme di negara kita berkembang dengan pesat selepas Perang Dunia
Kedua dan pemusatan tumpuan kaum imigran terhadap perkembangan politik di Tanah
Melayu telah merancakkan perkembangan nasionalisme berkenaan. Cheah Boon Kheng
( 1985 ) berpendapat gabungan Putera- AMCJA pada tahun 1947 sebagai asas kepada
pembentukan negara bangsa Malaysia. Di mana ia menyaksikan lahirnya sebuah
nasionalisme baru yang berjaya keluar yang bayangan perkauman dan bersifat nasionalisme
Malaya.10 Kerjasama tersebut telah membentuk satu kerjasama antara kaum yang pertama
yang menjadi asas kepada hubungan Sino-Melayu yang lebih kukuh. Gabungan Putera-
AMCJA yang menentang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah mengusulkan

7
Abdul Rahman Embong, Negara-bangsa: Proses dan Perbahasan, Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia, Bangi, edisi 2, 2006, hlm. 21.
8
Ibid.
9
Ibid, hlm. 21-22.
10
Putera merujuk kepada Pusat Tenaga Rakyat pimpinan Ahmad Boestaman merupakan sebuah parti
haluan kiri Melayu manakala AMCJA pula singkatan bagi Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya pimpinan
Tun Tan Cheng Lock.
5

satu cadangan perlembagaan yang dikenali sebagai Perlembagaan Rakyat. Ia terdiri daripada
10 prinsip telah diluluskan pada April tahun 1947 dan telah menampilkan konsep bangsa iaitu
bangsa Malaya. Ia memberi pengiktirafan kepada semua kaum yang mengaku Tanah Melayu
sebagai tanah airnya serta menunjukkan taat setia terhadapnya.11 Pada masa yang sama, ia
turut perjuangkan persamaan bagi semua kaum walaupun mengakui perlunya perhatian khas
diberikan kepada orang Melayu.

Namun begitu, British enggan berunding mahupun mengiktiraf kerjasama AMCJA-


PUTERA yang didalangi oleh Parti Komunis Malaya. Pada masa yang sama, kompromi
AMCJA yang menerima cadangan supaya istilah ‘Melayu’ diterima sebagai satu bentuk
kerakyatan untuk semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira etnik juga mendapat
kritikan daripada masyarakat Cina yang menganggap langkah berkenaan bakal mengikis
identiti mereka.12 Ia dapat dilihat dalam surat Tan Cheng Lock kepada pengerusi AMCJA,
Gerald de Cruz yang bertarikh 7 Oktober ‘ Orang Cina telah marah kerana saya dianggap
sebagai terlalu pro-Melayu dengan menggunakan perkataan Melayu.’13

Namun begitu, James Ongkili dalam penulisannya ‘The British and Malaya
Nationalism, 1946-1957’ menyifatkan nasionalisme Malaya yang tercetus selepas Perang
Dunia Kedua adalah kesinambungan daripada nasionalisme orang Melayu 1946. 14
Pengalaman pahit semasa pendudukan Jepun serta insiden keganasan empat belas hari
selepas penyerahan kalah Jepun telah menimbulkan kesedaran di kalangan orang Melayu.
Mereka telah bersatu di dalam UMNO, pucuk kepimpinan Dato Onn Jaafar bagi menentang
Malayan Union bagi mempertahankan kepentingan serta hak mereka. Tindakan agresif orang
Melayu turut menjadi penggerak kepada golongan imigran dalam usaha pertahankan hak
serta menuntut pengiktirafan yang sewajarnya daripada British. Ini seterusnya membawa
kepada kemunculan parti-parti politik yang berlandaskan perkauman seperti MIC dan MCA.
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang dilaksanakan pada Februari 1948 dan
kemerdekaan Tanah Melayu menjelang 31 Ogos 1957 telah merancakkan lagi usaha ke arah
pembentukan negara bangsa. Permuafakatan politik yang terbentuk antara UMNO – MCA –
MIC bukan sekadar mempercepatkan lagi proses kemerdekaan tetapi telah berjaya
11
James P. Ongkili, Nation-Building In Malaysia 1946-1974, Oxford University Press, Singapura, 1985,
hlm. 63.
12
AMCJA telah mencadangkan nama Malayan tetapi telah ditolak oleh PUTERA.
13
Cheah Boon Kheng, Asal Usul dan Asas Nasionalisme Malaya dalam R. Suntharalingam dan Abdul
Haji Ismail (peny.), Nasionalisme: Satu Tinjauan Sejarah, Penerbit Fajar Bakti, Petaling Jaya, 1985, hlm. 103.
14
James P. Ongkili, The British and Malaya Nationalism 1946-1957. Jebat bil. 1, 1971-1972,
6

membentuk satu gandingan yang mantap dan seterusnya menerajui negara ke satu dimensi
politik yang baru.

2.2 PROSES PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA DI MALAYSIA

Walaupun proses pembinaan negara bangsa di Malaysia bermula selepas perang dunia kedua,
namun begitu asas terhadap pembinaan negara bangsa tersebut dikatakan terbentuk sejak
Kesultanan Melayu Melaka lagi. Ia dapat dibuktikan menerusi Sejarah Melayu hasil karya
Tun Seri Lanang yang merupakan dokumen sejarah peradaban dan peraturan kebangsaan
kerajaan berkenaan. Di mana Kesultanan Melaka mempunyai masyarakat Melayu yang
tersusun. Di samping itu, ia juga mempunyai sistem pentadbiran dan politik yang tersendiri.
Era kegemilangannya pada abad ke-15 ternyata meninggalkan kesan dan warisan sosiopolitik
dalam sistem pemerintahan negara. Pandangan demikian disetujui oleh para pengkaji sejarah
negara yang melihat bahawa pemilihan budaya Melayu sebagai teras dalam pembentukan
negara bangsa Malaysia adalah satu langkah yang tepat. 15Ia bersandarkan kepada justifikasi
sejarah dan pencapaian orang Melayu itu sendiri. Selain itu, pada prinsipnya sama ada dari
segi teori, politik, sejarah mahupun kemasyarakatan, ia ketara menunjukkan bahawa rantau
ini adalah milik rumpun Melayu.

Kehadiran kuasa imperialisme di negara kita pada abad ke-18 telah mengubah konsep
negara bangsa tradisonal kepada negara bangsa moden yang ditunjangi oleh kuasa Barat.
Penjajahan British telah membawa kepada konsep negeri yang menggantikan konsep
kerajaan dan pada masa yang sama menetapkan sempadan bagi setiap negeri. Penstrukturan
semula pentadbiran di Tanah Melayu menyaksikan kemunculan sistem pentabdiran moden
Barat yang seterusnya mengubah senario politik negara. British telah bertindak
menggabungkan negeri-negeri Melayu dalam tiga pentadbiran yang berbeza dalam usahanya
untuk terus menguasai negeri-negeri Melayu.16 Usaha British dalam memperkukuhkan
15
Musafir Kelana dan Mohaspa Mohd. Hassan, Penggunaan Kuasa Dalam Pembentukan Negara
Bangsa Di Malaysia dalam Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman, Mohd Bin Samsudun dan Kamaruzaman
Yussoff, ( pnyt. ) Sejarah dan Proses Pemantapan Negara-Bangsa, Kongres Sejarah Malaysia Kedua, Jilid II.
Persatuan Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur, ( tahun ), hlm. 606.
16
British mewujudkan Negeri Selat yang menggabungkan Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.
Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pula terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, manakala
7

kuasanya di Tanah Melayu diteruskan dengan pelaksanaan langkah desentralisasi yang


mengagihkan kuasa pusat secara berperingkat. Sir Cecil Clementi Smith yang menjadi
Pesuruhjaya Tinggi British pada tahun 1930 mempunyai agenda untuk menjadikan Tanah
Melayu sebuah negara yang bersatu. Dasar Pengagihan kuasa pusat dijadikan daya penarik
kepada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersatu untuk bergabung dengan Negeri-negeri Selat
dan Negeri-negeri Melayu Bersatu. Walau bagaimanapun, desentralisasi itu tidak dapat
dilaksanakan sepenuhnya akibat tercetusnya Perang Dunia Kedua dan pendudukan Jepun di
Tanah Melayu pada tahun 1941.

Perang Dunia Kedua ( 1942-1945 ) membawa kepada satu perubahan yang besar
dalam senario politik di Tanah Melayu. British telah bertekad untuk mengubah dasarnya
terhadap Tanah Melayu dan usaha tersebut membayangkan hasratnya untuk menghapuskan
konsep Tanah Melayu sebagai sebuah negeri Melayu disamping menarik balik keisitimewaan
serta kedaulatan sultan serta Melayu. Ia membawa kepada satu dasar baru iaitu Tanah Melayu
untuk orang Malaya dan bakal memberi banyak maafaat kepada orang bukan Melayu yang
dipinggirkan selama ini.17 Usaha ini dilihat bertujuan untuk membentuk satu bangsa Malayan
yang bersatu dan mengiktiraf sumbangan golongan imigran dalam pembangunan Tanah
Melayu khususnya dalam sektor perlombongan dan perladangan yang menjadi penyumbang
utama dalam ekonomi Tanah Melayu.

Pada masa yang sama, ia turut bertujuan untuk mendapatkan sokongan kaum pendatang serta
menumpukan taat setia mereka terhadap negara ini. Namun begitu, usaha Britsh menerusi
Malayan Union tersebut ternyata menemui kegagalan.

Pengumuman kertas putih Malayan Union pada 22 Januari 1946 telah mencetuskan
suasana panik di kalangan orang Melayu yang bimbangkan penguasaan serta dominasi orang
Cina terhadap Tanah Melayu. Albert Lau ( 1991) menggambarkan situasi orang Melayu pada
ketika itu seolah-olah ‘ satu kejutan elektrik’ dan kenyataan itu jelas tidak dapat diterima oleh
orang Melayu berasaskan beberapa pertimbangan yang utama iaitu penghapusan kuasa serta
kedaulatan raja Melayu serta terhakisnya ketamadunan serta budaya orang Melayu akibat
daripada dasar kerakyatan yang berasaskan prinsip ‘jus soli.’ Perasaan mereka terpapar dalam

Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu melibatkan Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.
17
Oong Hak Ching, Simposium Zaman Peperangan Dunia Kedua di Tanah Melayu: Pengubalan Dasar
British Terhadap Tanah Melayu: Dari Konsep Tanah Melayu Untuk Orang Melayu Kepada Tanah Melayu Untuk
Orang Malaya,1942-1945, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 25-26 Oktober 1995, hlm. 1.
8

hampir ke semua akhbar Melayu yang membidas Malayan Union yang dianggap merampas
hak serta menghapuskan ketuanan Melayu di bumi mereka sendiri. Utusan Melayu misalnya
pada 12 Oktober 1945 mencatatkan:

“… dari pandangan sepintas lalu dapatlah diketahui bahawa cadangan Malayan Union
itu menguntungkan orang-orang bukan Melayu. Hal ini amat mencemaskan fikiran
dan perasaan orang Melayu mengenai hari depan mereka.”18

Manakala Majlis pula dalam ulasannya tentang Malayan Union telah menggesa orang
Melayu untuk bangun menentang Malayan Union dengan menekankan kesefahaman dan
kerjasama orang Melayu. Mereka perlu bersatu untuk menumbangkan Malayan Union dan
berusaha untuk mendirikan sebuah kerajaan sendiri yang ditadbir oleh anak-anak tempatan. 19
Akhbar tersebut juga mendakwa sesiapa yang tidak berkabung bererti menyokong Malayan
Union dan mereka tidak akan diakui sebagai orang Melayu.20 Penentangan orang Melayu
yang berterusan serta sokongan daripada kaum imgran yang dingin terhadap Malayan Union
memaksa British untuk mengubah semula dasarnya kepada konsep Tanah Melayu untuk
orang Melayu dengan termeterainya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 yang
dilihat sebagai asas kepada terbentuknya sebuah negeri Melayu ( Malay State ).

British telah menggunakan semula polisi ‘pro-Melayu’ dalam usaha mengelakkan


penentangan daripada orang Melayu. Hak serta kedudukan orang Melayu dikembalikan
seperti sebelum perang dan hak kerakyatan untuk kaum imigran diperketatkan semula.

Proses pembentukan negara bangsa semakin rancak menjelang era pasca


kemerdekaan. British meletakkan syarat perpaduan dan kerjasama antara kaum sebagai asas
pertimbangannya dalam memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu telah mendorong
wujudnya kerjasama antara kaum menerusi parti-parti politik yang ditubuhkan. Kerjasama
tersebut membawa kepada terbentuknya Parti Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA
dan MIC. Kesinambungan dalam pembentukan negara bangsa dengan kelahiran Malaya atau
lebih dikenali Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 berjaya diperkukuhkan lagi dengan
pembentukan Malaysia. Ia merupakan hasil daripada penggabunggan wilayah antara Tanah
Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada September 1963. Namun begitu, ketegangan

18
Utusan Melayu, 12 Oktober 1945.
19
Majlis, 3 April 1946.
20
Ibid, 4 April 1949.
9

hubungan Malaysia dengan Indonesia dan Filipina serta penyingkiran Singapura dari
Malaysia sedikit sebanyak dilihat merencatkan proses pembentukan negara bangsa.

Persoalan negara bangsa dan bangsa Malaysia sekali lagi menarik perhatian pelbagai
pihak selepas mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad
mengemukakannya pada tahun 1991. Dalam ulasannya terhadap Wawasan 2020, beliau
menegaskan bahawa dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun
2020, kita perlu berusaha ke arah membentuk sebuah masyarakat yang liberal dan bertolak
ansur tetapi pada masa yang sama bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan pegangan
agama masing-masing. Walaupun begitu, rakyat Malaysia perlu meletakkan kesetiaan yang
tidak berbelah bagi kepada negara. Dalam mengulas aspek ekonomi pula, Tun Dr. Mahathir
menganggap orang bukan Melayu sebagai rakan kongsi kepada orang Melayu dalam usaha
menjelma Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan berdaya saing menjelang tahun
2020.21 Di samping itu, beliau turut menggambarkan satu bentuk kerjasama antara kaum yang
dilakukan dengan ikhlas dan adil berdasarkan perkongsian bersama satu matlamat tanpa
mengambil kira kaum demi manfaat bersama. Namun begitu, pada 29 September 2001,
beliau mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan tindakan tersebut dilihat
bertentangan dengan aspirasinya semasa memperkenalkan Wawasan 2020. Di mana ramai
yang beranggapan Malaysia yang wujud hari ini harus berlandaskan kepada konsep
kepelbagaian etnik ( multi-ethic ) dan kepelbagaian budaya mahupun agama sepatutnya
diterima sebagai satu keunikan bukannya penghalang kepada perpaduan negara. Lantaran itu,
sebarang usaha unuk mewujudkan senario homogenenous yang membawa kepada asimilasi
budaya etnik minoriti bukan sahaja akan menemui kegagalan malahan ia mampu membawa
kepada konflik dan perpecahan dalam negara. Ia diperjelaskan oleh Cheah Boon Kheng
( 2005 ) dalam penulisannya ‘Ethnicity in the Making of Malaysia’ yang berpendapat:

‘ Everywhere ethic pluralism rather than ethnic homogenous seems the norm. Yet
nationalists try to create a homogenous nation or nation-state and very few succeed
in doing so. Their goals remain imaginary, elusive and this process of nation building
is dialectical. Every effort by nationalist leaders of a dominant ethnic majority, for
instance, to integrate or assimilate other ethnic communities into their new ‘national’
state meets or arouses ethnic antagonisms and highlights ethnic solidarities because
most communities wish to remain separate and autonomous. Such efforts only
reinforce ethnic cleavage and sometimes foster inter-ethnic conflict’22

21
Cheah Boon Kheng, Ethnicity in the Making of Malaysia, dalam Wang Gungwu, Nation Building: Five
Southeast Asian Histories, Institute Of Southeast Asian Studies, Singapore, 2005, hlm. 93.
22
Ibid, hlm. 95.
10

Usaha ke arah membentuk satu etnik yang homogenous dianggap oleh Cornelia Navari
sebagai ‘fictional entity’ yang akan membawa kepada ‘polity of homogenous ’ di mana alasan
untuk menyatukan masyarakat melalui unsur kebudayaan dan bahasa yang sama bakal
membawa kepada penguasaan satu-satu etnik khususnya yang majoriti terhadap etnik yang
lain.23

Dalam ketidaktentuan politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang telah
berlangsung pada Mac tahun 2009, retorik tentang negara bangsa muncul semula. Dalam
melihat senario tersebut, Kee Thuan Chye ( 2008 ) berpendapat ‘after four decades, since
1969, Malaysians finally woke up. As if from a spell, cast by the wizard called BN. The
people woke up to the need for change and they were amazingly united in acting on that
need. From north to south of the peninsula, they voted with their feet.’ Dalam situasi politik
yang tidak menentu serta kerunduman ekonomi negara, Datuk Seri Najib mengambil alih
pucuk kepimpinan negara pada 3 April 2009 dan beliau dilihat menjadi Perdana Menteri pada
waktu yang paling mencabar.

Walaupun terpaksa menghadapi ranjau yang penuh berliku dalam meneruskan


kesinambungan kuasa Barisan Nasional, Datuk Seri Najib tidak menoleh ke belakang sejak
mengambil alih pucuk kepimpinan negara. Beliau memperkenalkan beberapa konsep dan
pendekatan baru yang dijadikan falsafah dan garis panduan pentadbiran beliau dalam usaha
memenangi semula hati para pengundi dan mendapat semula kepercayaan rakyat jelata.
Kesungguhan beliau dapat dilihat dalam perutusannya sewaktu mengangkat sumpah jawatan
sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada 3 April 2009. Beliau menyeru rakyat
melaksanakan transformasi besar-besaran atas semangat ‘Satu Malaysia’ dengan penekanan
terhadap konsep ‘Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan’. Di mana menerusi
Gagasan Satu Malaysia ini, kerajaan akan mengiktiraf sumbangan setiap kaum dan berazam
untuk memastikan tiada mana-mana kaum yang akan terpinggir dalam arsu pembangunan
negara. Ini kerana Satu Malaysia menghargai dan menghormati identiti setiap kaum dan
menganggapnya sebagai satu aset. Lantaran itu, asas utama konsep Satu Malaysia ialah
keadilan untuk semua kaum dalam erti kata bahawa nasib semua kaum akan dibela tanpa
mengira kaum. Ini akan membolehkan semua kaum berkongsi aspirasi yang sama dan
kesetiaan yang serupa terhadap negara.24

23
Ibid.
24
Berita Harian, 7 Mei 2009.
11

Konsep satu Malaysia dilihat sebagai satu kesinambungan daripada dua konsep yang
diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu dalam agenda pembangunan negara. Datuk
Seri Najib berkata, ia merupakan aspirasi beliau untuk menterjemahkan dan meneruskan
formula pentadbiran untuk mencapai status negara maju menerusi Wawasan 2020 yang
diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir Mohammad. Di samping itu, beliau juga melahirkan hasrat
untuk melihat Malaysia terus maju dan berdaya saing selaras dengan impian Tun Abdullah
Ahmad Badawi yang berusaha menjadikan negara kita lebih cemerlang, gemilang dan
terbilang.25 Justeru itu, konsep Satu Malaysia harus mempunyai elemen-elemen seperti
persefahaman, menghormati dan mempercayai satu sama lain di samping, nilai-nilai utama
yang lain seperti kesetiaan, integriti, meritokrasi, budaya kecemerlangan, sikap kegigihan,
merendah diri dan mengutamakan pendidikan.

Ia juga dilihat sebagai satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat
berbilang kaum dan berteraskan beberapa nilai penting yang menjadi amalan setiap rakyat. Ia
bukanlah satu dasar yang terpisah daripada dasar kerajaan kerana ia bertindak sebagai
pelengkap kepada pendekatan yang sedia ada bagi menjamin kestabilan untuk mencapai
kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara. 26 Kesungguhan Datuk
Seri Najib dalam merealisasikan gagasan murni ini terbukti dalam kenyataannya di New
Straits Times pada 4 September 2009 yang menegaskan bahawa: We must reach out to the
many who may have been disaffected and left confused by political games, deceit and
showmanship.

Walaupun Gagasan Satu Malaysia mendatangkan sinar baru dalam pembentukan


negara bangsa di negara kita tetapi gagasan tersebut masih diselubungi dengan pelbagai
persoalan yang sukar untuk disungkai. Penerimaan rakyat Malaysia yang berbilang kaum
terhadap konsep tersebut berbeza-beza. Masyarakat Melayu terus berpegang kepada status
quo mereka menekankan pentingnya Gagasan Satu Malaysia berlandaskan perlembagaan
negara demi kesejahteraan bersama. Lantaran itu sebarang percubaan untuk merombak
struktur sosial yang sedia ada dilihat sebagai satu usaha untuk mengikis hak orang Melayu
serta pribumi yang lain. Ketegasan orang Melayu dapat dilihat daripada pendapat beberapa
pertubuhan bukan kerajaan ( NGO ) yang begitu lantang membidas tindakan segelintir pihak
25
Ibid, 19 April 2009.
26
Ibid, 7 Mei 2009.
12

yang cuba untuk menyamakan Gagasan Satu Malaysia dengan idea Malaysian Malaysia.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia ( PERKASA ), Datuk Ibrahim Ali
berpendapat bahawa Satu Malaysia tidak mengenepikan hak bumiputera serta orang Melayu
seperti yang termaktub dalam Artikel 153 yang terkandung dalam Perlembagaan
Persekutuan. Lantaran itu orang Melayu serta bumiputera yang mewakili 60% jumlah
penduduk Malaysia sedia berhadapan dengan mana-mana pihak yang cuba mencemari
Gagasan Satu Malaysia yang menjaga kehormatan Perlembagaan Persekutuan.27 ( Utusan
Malaysia, 13 April 2009 ). Pendapat Datuk Ibrahim Ali turut dipersetujui oleh Presiden
Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa ( Prowaris), Feris Oman yang berkata
Satu Malaysia adalah pendekatan Datuk Seri Najib untuk meneruskan dasar kerajaan Barisan
Nasional seperti mengutamakan kedudukan agama Islam untuk orang Melayu serta menjaga
kepentingan orang Cina dan India dalam menghormati hak mereka serta kewujudan sekolah
vernakular.28 Oleh yang demikian, ramai penganalisis politik melihat konsep Satu Malaysia
tidak bertunjangkan soal perkauman mahupun membangkitkan persoalan kesamarataan
sehingga menafikan kepentingan pribumi. Ia sebenarnya merangkumi elemen-elemen yang
penting dan jelas dalam usaha pembinaan negara bangsa dan berpaksikan kepada perpaduan
dan integrasi, kepentingan rakyat dan kecemerlangan bagi melonjakkan kemajuan negara.

Dalam membicarakan persepsi masyarakat bukan Melayu pula, mereka dilihat lebih
ghairah ke arah penstrukturan semula politik, ekonomi dan sosial negara. Golongan tersebut
mengharapkan perubahan dalam aspek perkongsian kuasa dalam negara, pembahagian
kekayaan negara yang lebih saksama, kebebasan dalam bersuara serta mengembangkan
bahasa serta sekolah vernakular. Harapan tersebut dijelmakan oleh kerajaan dalam beberapa
perubahan dasar yang ternyata menguntungkan kaum bukan Melayu misalnya peningkatan
pemberian biasiswa JPA kepada pelajar bukan bumiputera. Menurut perangkaan JPA, 924
pelajar bukan bumiputera layak menerima biasiswa pada tahun 2009 dan ia merupakan
peningkatan sebanyak 600% berbanding hanya 150 orang pada tahun 2000. 29 Pada masa
yang sama, Datuk Seri Najib turut mengumumkan pengenalan biasiswa baru menjelang tahun
2010 yang berlandaskan merit semata-mata dan ini membolehkan pelajar yang terbaik
mendapat daripadanya tanpa mengira kaum dan keturunan. Dalam mengulas perkara tersebut,
Datuk Seri Najib menegaskan bahawa ‘ this would allow Malaysian’s best students to receive

27
Utusan Malaysia, 13 April 2009.
28
Ibid.
29
Berita Harian, 17 Julai 2009.
13

aid to pursue higher studies and I believe this will be accepted well and it will allow each
individual a fair chance to realise his full potential’.30 Dalam usaha megiktiraf sumbangan
bukan bumiputera, kerajaan telah menyadurkan bantuan kewangan kepada masyarakat India
di samping melibatkan komuniti tersebut dalam program NKRA yang mempunyai enam
objektif utama iaitu meluaskan akses pendidikan yang berkualiti, mengurangkan kadar
jenayah, memerangi rasuah, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapat rendah,
memperkasa prasarana luar bandar serta menambah baik pengangkutan awam. Menerusi
program yang dijalankan menerusi NKRA dijangka kadar kemiskinan tegar di dalam
masyarakat dapat dikurangkan sehingga 2.8% menjelang penghujung tahun 2010 dan 2%
pada tahun 2012.31

Namun begitu, kecenderungan masyarakat bukan bumiputera menyamakan konsep


Satu Malaysia dengan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP telah menimbulkan
satu kecelaruan dalam masyarakat. Di mana idea Malaysian Malaysia yang memberi
penekanan terhadap keadilan politik, ekonomi serta sosial tanpa mengira kaum, agama
mahupun bangsa ternyata bertentangan dengan semangat Satu Malaysia. Walaupun pada
dasarnya Malaysian Malaysia dilihat mempunyai niat yang baik tetapi cara perlaksanaan
ternyata tidak berlandaskan semangat perlembagaan sebaliknya berunsur perkauman. Ini
kerana idea Malaysian Malaysia secara terus terang mencabar perlembagaan negara dengan
menafikan hak serta kedudukan pribumi apabila ia bakal menghapuskan pemerintah beraja,
mempertikaikan kedudukan agama Islam dan mengancam keisitmewaan orang Melayu.
Langkah-langkah tersebut sudah pasti tidak dapat diterima oleh kaum pribumi kerana ia
bukan sekadar menjejaskan survivaliti mereka malah bertentangan dengan pakatan murni
yang telah dipersetujui bersama lebih daripada 50 tahun yang lalu.

Pembentukan negara bangsa di Malaysia menghadapi pelbagai cabaran lantaran itu, ia


kerap dilihat sebagai satu retorik berbanding realiti. Di mana proses pembentukan negara
bangsa kerap dihambat pelbagai persoalan yang sukar dirungkai dan membantutkan
perkembangan negara bangsa. Persoalan-persoalan seperti apakah bentuk negara dan bangsa
yang sesuai dan pendekatan yang perlu diambil ke arah itu mencetuskan pelbagai konflik
serta reaksi yang berbeza-beza. Kerajaan dilihat cenderung menggunakan pendekatan yang
bersifat homogenous dan ia dilakukan menerusi dasar kebudayaan, pendidikan mahupun

30
STAR, 28 Jun 2009.
31
Berita Harian 18 Disember 2009.
14

ekonomi yang bertujuan untuk melahirkanwawasan satu bangsa, satu bahasa dan satu
budaya. Namun begitu, pendekatan tersebut jelas mengundang perasaan kurang senang kaum
bukan Melayu yang ingin terus mengekalkan indentiti masing-masing. Ia jelas kelihatan
dalam bantahan persatuan-persatuan Cina terhadap Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971
yang dilihat cenderung ke arah asimilasi dan mengenepikan kebudayaan serta peranan
masyarakat kaum bukan Melayu.

Dalam Memorandum Bersama Dasar Kebuadayaan Kebangsaan yang dikemukakan oleh


Persatuan-Persatuan Utama Cina pada 27 Mac 1983 di Pulau Pinang, ia berpendapat:

‘some chauvinist think that the only way to unite the various ethnic groups is through
one language and one culture. They also feel that many languages and culture will
lead to disunity among the people. This thinking is obviously wrong. Economic, social
and political factors are more important to the unity of a people or nation. In others
words, economic oppression, social injustice and political differences can make a
mono-lingual and mono-culture people or nation sink into deep internal strife’.32

Masyarakat Cina menolak Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang dilihat gagal
mengambil kira kepentingan semua kaum, mereka menggesa agar dasar tersebut dikaji
semula dan asas bagi dasar kebudayaan kebangsaan perlu selaras dengan hak asasi manusia
serta berlandaskan perlembagaan negara dan Rukun Negara. Pada masa yang sama, ia perlu
mengiktiraf kewujudan kepelbagaian budaya dan etnik di Malaysia. Ia penting kerana
kegagalan dalam mengiktiraf kebudayaan masyarakat minoriti bakal membawa kepada
ketidak adilan dalam ekonomi dan politik.

Dr Ting Chew Peh dalam penulisannya ‘The Problem of National Unity’ berpendapat
terdapat pelbagai isu yang menghalang perpaduan di kalangan rakyat dan ia dikenal pasti
sebagai punca kegagalan dalam pembentukan negara bangsa di Malaysia. 33 Isu-isu tersebut
boleh dirangkumkan dalam tiga kelompok utama. Pertama, wujudnya perasaan tidak puas
hati masyarakat bukan Melayu terhadap beberapa dasar kerajaan yang didakwa bersifat berat
sebelah. Di mana ia seolah-olah meletakkan kaum lain di satu kelas yang lebih rendah
daripada orang Melayu. Ia jelas bercanggah dengan perlembagaan negara yang menekankan
persamaan hak bagi semua warganegara tanpa diskriminasi terhadap mana-mana bangsa
mahupun agama. Dasar Ekonomi Baru ( DEB ) misalnya dilihat terlalu memihak kepada
32
Joint Memorandum on National Culture by the Major Chinese Organisations of Malaysia, 1983, Lihat
Kua Kia Soong, The Malaysian Civil Rights Movement, Strategic Information Research Development, Petaling
Jaya, 2005, hlm.115-125.
33
Ling Liong Sik, et al., The Future of Malaysian Chinese, MCA, Petaling Jaya, 1988, hlm.131.
15

orang Melayu sehinggakan menjejaskan peluang ekonomi kaum bukan Melayu. Walaupun
Dasar Ekonomi Baru bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula
masyarakat dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi tetapi
bantuan dalam pelbagai aspek ekonomi kepada kaum Melayu dan Bumiputera secara tidak
langsung akan mempengaruhi kedudukan ekonomi masyarakat Cina. Ini mengakibatkan
penentangan masyarakat Cina yang merasakan diri mereka terabai walaupun memainkan
peranan yang penting dalam membangunkan ekonomi negara. Ia diakui oleh Datuk Abdullah
Ahmad, ahli Parlimen Kok Lanas yang berpendapat masalah polarisasi kaum di Malaysia
berpunca daripada hubungan yang kurang harmonis antara orang Melayu dengan bukan
Melayu.34 Ia disebabkan oleh keistimewaan yang dimiliki oleh orang Melayu dalam
perlembagaan negara di samping Dasar Ekonomi Baru ( DEB ) yang membantu dalam
penstrukturan semula masyarakat yang menjamin kedudukan yang lebih baik bagi kaum
bumiputera.35

Kedua, penekanan yang keterlaluan terhadap unsur-unsur perkauman dalam


pengagihan kekayaan, pemberian biasiswa, peruntukan kewangan untuk pendidikan serta
pengambilan kakitangan dalam sektor awam turut menghalang perpaduan kaum. Menurut
Kua Kia Soong ( 2002 ), ‘racism dan racial discrimination hane been part of Malaysian
political, economic,social and culture realities ever since colonial times. Today, race has
been so deeply institutionalised that it is a key factor determining benefits from government
development policies, bids for business contracts, education policy, sosial policy, cultural
policy, entry into education institutions, discounts for purchasing houses and other official
policies.36 Ini menyebabkan masyarakat bukan Melayu tidak berminat berkhidmat dalam
sektor awam kerana beranggapan mereka tidak berpeluang untuk menjawat jawatan tinggi
dan pada masa yang sama, diskriminasi yang berlaku bakal menyekat peluang mereka.
Justeru itu, masalah polarisasi kaum menjadi semakin serius dan kerajaan dilihat gagal
mengambil sebarang pendekatan yang proaktif untuk menanganinya.

34
Abdullah Ahmad merupakan ahli Parlimen Kok Lanas Barisan Nasional dan pernah ditahan di bawah
Akta ISA pada tahun 1976 kerana disyaki bersubahat dalam penyebaran ideologi kominisme di kalangan orang
Melayu.
35
Ucapan Datu Abdullah Ahmad di Institute of International Affairs Singapore, 30 Ogos 1986, hlm.3.
36
Racism and Racial Discrimination in Malaysia, telah dibentangkan di World Conference Against
Racism and Racial Discrimination di Durban, 3 Septembr 2001. Lihat Kau Kia Soong, Malaysian Critical Issues,
Strategic Information Research Development, Petaling Jaya, 2002, hlm.13-24.
16

Ketiga wujudnya segelintir anggota masyarakat yang enggan menerima realiti


wujudnya masyarakat majmuk di negara kita. Mereka masih terlalu berpegang kepada
semangat kenegerian serta pemikiran yang sempit. Ini diperburukkan lagi dengan budaya
politik perkauman yang didukung oleh parti-parti politik dominan seperti UMNO, MCA
mahupun MIC. Walaupun parti-parti tersebut berjaya membentuk satu kerjasama yang utuh
tetapi ia masih gagal keluar dari bayangan perkauman. Hakikat ini diperakui oleh Dr Khoo
Kay Kim dalam temuramahnya dengan New Straits Times pada 22 September 2008. Beliau
beranggapan banyak parti politik di negara kita mempermainkan sentiment perkauman kerana
ia merupakan cara yang terbaik dalam mendapatkan undi dari para pengundi dan kewujudan
senario itu merbahaya dan tidak sihat untuk perkembangan negara. Justeru itu, beliau
menggesa semua pihak untuk meninggalkan agenda masing-masing sebaliknya
mengutamakan kepentingan bersama sekiranya ingin melihat aspirasi terhadap negara bangsa
benar-benar mencapai sasarannya. Ia perlu memandangkan ramai pihak yang sering
‘menangguk di air yang keruh’ dalam usaha memperoleh sesuatu kejayaan dan menyalahkan
orang lain atas sesuatu insiden. Ia diperjelaskan oleh Dr. Khoo Kay Kim ‘our existing history
books have wrong information about so many things, we are blaming the Brtish for
everything but never looking at our oen faults. It was not the british that created the basis of
our racial divide but the people themselves who wants to stay divided.’37

Oleh yang demikian, ramai pihak yang melihat proses pembentukan negara bangsa di
Malaysia masih berterusan sehingga ke hari ini. Ini kerana kita masih teraba-raba dalam
mencari satu titik pertemuan yang mampu menyatukan kesemua kaum di Malaysia. Lantaran
itu proses pembinaan negara bangsa Malaysia masih belum ada hujung pangkalnya. Isu serta
retorik terhadap negara bangsa tidak pernah sunyi samada di arena politik mahupun
akademik. Kesukaran untuk membina satu negara bangsa yang bersatu dan mampu diterima
oleh semua kaum dikaitkan dengan dengan teori Benedict Anderson, seorang tokoh Sains
38
Politik melihat Wawasan 2020 sebagai ‘an imagined community’. Di mana orang Melayu
dan bukan Melayu dilihat mempunyai aspirasi serta penerimaan yang berbeza terhadap
Wawasan 2020. Ia seolah-olah dalam situasi ‘tidur sekatil, mimpi lain-lain’.

37
New Straits Times, 22 September 2008.
38
Benedict Anderson, Imaged Communities, Verso, London, 1983, hlm. 15-16.
17

Majoriti orang Melayu mengidamkan sebuah ‘Malay Nation State’ yang eksklusif
untuk orang Melayu dan didominasi oleh mereka. 39 Ia bakal membawa kepada hegemoni
Melayu dalam aspek politk, ekonomi mahupun sosial. Manakala orang bukan Melayu pula
perjuangkan kepelbagaian budaya mahupun etnik ( multi ethnic ) yang mengharapkan
pembentukan ‘Bangsa Malaysia’ mampu melahirkan satu dimensi baru dalam politik negara.
Lantaran itu, ia dilihat lebih ramai orang bukan Melayu yang menerima konsep ‘Bangsa
Malaysia’ Mereka melihat pembinaan negara bangsa sebagai satu perkembangan yang positif
ke arah mengakui hak mereka sebagai warganegara yang mempunyai status yang sama. Ini
seterusnya akan membawa kepada pembinaan sebuah bangsa baru dengan meninggalkan
perbezaan etnik yang sedia ada. Walaupun begitu, masih wujud kegelisihan di kalangan
masyarakat itu bahawa akan berlaku satu proses asimilasi yang bakal menghapuskan jati diri
mereka.

Situasi yang berbeza pula dilihat dalam penerimaan orang Melayu di mana mereka
menerima konsep negara bangsa dengan penuh prejudis. Ia diperjelaskan oleh Datuk Dr
Zainal Kling yang menyatakan bahawa orang Melayu tidak pernah memikirkan konsep
bangsa Malaysia kerana bagi mereka Malaysia adalah negara beraja dan semua orang
Malaysia adalah rakyat Malaysia kerana ada raja tanpa mengira sama ada Melayu, Cina,
India, Iban atau Kadazan, semua rakyat Malaysia. 40 Malahan beliau turut berpendapat konsep
bangsa Malaysia yang sering diperkatakan hari ini sudah mula dimasukkan unsur politik dan
bukan lagi sekadar deskripsi umum di mana ia membawa maksud semua orang Malaysia
perlu mempunyai persamaan hak, kedudukan agama dan layanan.41

Masyarakat Melayu kerap mengaitkan negara bangsa dengan konsep ‘Malaysian-


Malaysia’ yang diilhamkan oleh Lee Kuan Yew dan diperjuangkan oleh Parti Tindakan
Demokratik ( DAP ) sehingga ke hari ini. Di mana asas perjuangannya yang menekankan
persamaan hak politik, ekonomi serta sosial dikhuatiri akan mengancam kedudukan serta hak
keistimewaan orang Melayu serta kaum bumiputera yang lain. Oleh itu, mereka menegaskan
konsep Bangsa Malaysia yang diusahakan itu dilihat perlu selari dengan perlembagaan
negara yang mempunyai beberapa peruntukan khusus dalam melindungi status serta

39
Cheah Boon Kheng, Ethnicity in the Making of Malaysia, dalam Wang Gungwu, Nation Building: Five
Southeast Asian Histories , hlm. 94.
40
Berita Minggu, 12 November 2006.
41
Ibid.
18

kepentingan orang Melayu.42 Ini seterusnya membawa kepada cadangan bahawa


pembentukan negara bangsa perlu selaras dengan perlembagaan negara yang secara jelas
memperuntukkan beberapa keistimewaan kepada orang Melayu dan ia seharusnya tidak boleh
dipertikai atau dipinda tanpa persetujuan 2/3 ahli parlimen serta perlu mendapat keizinan
Majlis Raja-Raja Melayu. Perkara-Perkara yang termaktub dalam fasa 153 yang menyentuh
kedudukan serta kebesaran Raja-Raja Melayu, hak keisitmewaan orang Melayu, agama Islam
serta peranan Bahasa Malaysia bahasa kebangsaan perlu dihormati. 43 Ia penting bagi
memastikan asas pembentukan negara terpelihara dan tidak menimbulkan kegusaran dan
keresahan di kalangan rakyat jelata.

2.3 PENERIMAAN MASYARAKAT CINA TERHADAP NEGARA BANGSA


MALAYSIA

Pandangan serta penerimaan masyarakat Cina terhadap negara bangsa akan dibicarakan
dengan mengambil kira dasar serta perjuangan parti-parti orentasi Cina seperti MCA,
Gerakan dan DAP dalam usaha membentuk semua negara bangsa. Dasar kerajaan yang
bertujuan untuk membentuk negara bangsa telah mendapat pandangan serta reaksi yang
berbeza-beza daripada parti-parti berkenaan. Pandangan serta penerimaan parti-parti
berorentasi masyarakat Cina tersebut terhadap negara bangsa Malaysia berbeza dengan
persepsi kerajaan, di mana mereka lebih menekankan kepada aspek akomodasi dan integrasi
tanpa paksaan yang membolehkan identiti kaum yang beraneka dikekalkan.

DAP yang memperjuangkan konsep Malaysian-Malaysia’ menekankan aspek


persamaan hak politik, ekonomi serta sosial tanpa mengira kaum. Ia melihat Malaysia sebagai
sebuah negara majmuk dan sebarang layanan istimewa kepada mana-mana kaum yang
memonopoli kepentingan ekonomi serta politik sebagai satu penindasan kepada kaum yang
lain.44 DAP pada dasarnya menyokong usaha ke arah pembinaan negara bangsa Malaysia

42
Datuk Dr Zainal Kling menegaskan perlembagaan negara tidak memberi persamaan mutlak. Ia dapat
dilihat dalam kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bukan semua bahasa mendapat
status tersebut. Begitu juga dengan agama Islam dan hak orang melayu dalam aspek pendidikan, tanah dan
lesen. Namun begitu, ia tidak bermakna orang bukan Melayu tidak dilayan adil kerana semua kaum mendapat
layanan yang sama rata tanpa mengira kaum mahupun keturunan dan ini termaktub dalam perlembagaan
negara.
43
Utusan Malaysia, 17 Oktober 2008.
44
Ulangtahun ke-25 DAP, DAP Malaysia, Petaling Jaya,1993 hlm. 10.
19

tetapi ia menolak usul yang didukung oleh kerajaan yang menyarankan agar proses ke arah
itu melibatkan aspek asimilasi serta integrasi nasional. Pendirian DAP jelas dalam The
Rocket ( Nov. 1966 ) yang menyarankan tentang perlunya diadakan satu ‘Rukunnegara’
berbilang kaum sebagai asas pembinaan sebuah negara Malaysia. Ia menyarankan agar semua
rakyat Malaysia yang waras dan muhibah merenung serta meneliti semula tentang matlamat
pembentukan Malaysia. Di mana ia menjadi harapan semua pihak agar sebarang bentuk
diskriminasi yang berasaskan kaum mahupun keturunan dapat dihapuskan.45 Ia berpendapat
sekiranya ingin membentuk sebuah negara bangsa Malaysia yang berjaya, ia perlu menepati
beberapa kriteria asas iaitu46

i. Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, Malaysia tidak seharusnya


menjadi milik mana-mana satu kaum yang tertentu. Lantaran itu, tidak ada
satu kaum yang boleh menganggap dirinya sebagai tipikal Malaysia.
ii. Kebudayaan Malaysia bukanlah kebudayaan Melayu, Cina mahupun India
tetapi ia adalah sintesis atau gabungan semua aliran kebudayaan yang bertemu
di Malaysia yang membawa kepada kebebasan saling bertindak dan
integrasnya.
iii. Semua bahasa yang ditutur oleh rakyat Malaysia dari berlainan keturunan
adalah bahasa Malaysia. Mereka yang menyifatkan bahasa Mandarin dan
Tamil sebagai bahasa asing dianggap sebagai membuat kesimpulan bahawa
rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India adalah orang asing.
iv. Bahasa Kebangsaan seharusnya menjadi bahasa perpaduan dan bukan
perpecahan.
v. Penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar dalam satu sistem
pelajaran yang bebar-benar bersifat Malaysia dalam bentuknya.

DAP beranggapan sekiranya tiada persetujuan dapat dicapai mengenai asas-asas perpaduan
yang diutarakannya maka tidak wujud sebarang keazaman dalam membentuk sebuah negara
yang majmuk. Sebaliknya ia bakal menyaksikan polarisasi kaum yang semakin serius dan
seterusnya merencatkan usaha ke arah pembentukan negara bangsa Malaysia.

MCA pula mempunyai pandangan yang agak terbuka terhadap konsep negara bangsa.
Ia melihat kewujudan masyarakat yang berbilang bangsa di Malaysia sebagai satu kekuatan
45
Ulangtahun ke-15 DAP, DAP Malaysia, Petaling Jaya,1988 hlm. 20.
46
Ibid.
20

bangsa. Oleh itu, ia akan memperjuangkan keadilan, kesaksamaan serta kemajuan bagi semua
kaum di negara kita.47 Ia menentang sebarang bentuk fahaman yang bersifat extremis dalam
pembentukan sebuah negara bangsa.48 Keterbukaan MCA dalam penerimaan konsep negara
bangsa Malaysia dapat dinilai daripada memorandum parti tersebut yang bertajuk ’ One
Country, One People, One Government’. Ia menegaskan bahawa satu objektif asas MCA
ialah untuk mewujudkan satu kerjasama yang utuh di kalangan penduduk Malaysia yang
berbilang kaum. Ia dilihat sebagai asas kepada pembentukan sebuah negara, satu bangsa dan
satu kerajaan yang dimiliki oleh semua kaum tanpa mengira keturunan, etnik mahupun
agama. Lantaran itu, MCA menggalakkan kerjasama antara kaum dalam semua bidang,
kebebasan serta persamaan hak bagi semua bagi menjayakan matlamatnya iaitu membentuk
sebuah negara Malaysia yang bersatu.49

Walaupun begitu, MCA tetap memberi penekanan kepada perlunya identiti serta
kebudayaan orang Cina dipelihara serta dipertahankan demi kelangsungan komuniti
berkenaan di Malaysia. Ia dapat dilihat dalam ucapan Tan Cheng Lock semasa merasmikan
Jawatankuasa Pendidikan MCA pada April 1953 di mana beliau menegaskan bahawa ia
menjadi tanggungjawab MCA untuk menjadi pelindung kepada pendidikan dan kebudayaan
Cina kerana beliau yakin orang Cina akan menjadi warganegara yang taat dan setia terhadap
negara ini sekiranya mereka diberi kebebasan dalam mengamalkan kebudayaan serta
menggunakan bahasa ibunda sendiri.50

Justeru itu, MCA terus melindungi serta perjuangkan kepentingan masyarakat Cina
dalam segala aspek termasuklah politik, ekonomi, bahasa, kebudayaan mahupun pendidikan.
Ia perlu dalam usaha melahirkan seorang warganegara Malaysia berbangsa Cina yang tulin
dan berpegang teguh kepada ajaran nenek moyang mereka. Namun demikian, MCA akur
dengan keperluan wujudnya integrasi budaya di kalangan rakyat berbilang kaum demi
kepentingan negara. Lantaran itu, ia mengesyorkan agar semua pihak berusaha untuk
menerima kebudayaan kaum lain dengan hati yang terbuka dan mencari satu titik pertemuan
di antara kepelbagaian budaya yang wujud di negara kita.

47
The Future Of Malaysia Chinese, MCA, 1988, hlm. 5.
48
The STAR, 16 dan 29 Ogos 1992.
49
Tan Cheng Lock, 1949, One Country, One People, One Government, The Malaya Tribune Press Ltd,
Singapore, hlm. 2.
50
Heng Pek Koon, Chinese Politics In Malaysia: A History Of The Malaysian Chinese Association, Oxford
University Press, Singapura, 1988, hlm. 197.
21

Konsep negara bangsa bagi parti Gerakan pula memperlihatkan wujudnya unsur-
unsur akomodasi. Di mana ia berpendapat proses pembentukan negara bangsa perlu berlaku
secara sukarela tanpa wujudnya sebarang unsur paksaan mahupun cubaan untuk asimilasikan
budaya golongan minoriti.51 Ia berpendapat kerajaan tidak seharusnya memaksa unsur-unsur
kebudayaan atau melibatkan diri dalam eksperimen bauatan seperti memperkenalkan suatu
pemakaian, tarian atau upacara umum tanpa mengambilkira penerimaan komuniti yang
wujud di Malaysia.52 Sebaliknya ia menyarankan perasaan ditakdirkan bersama atau sense of
common destiny dijadikan unsur penentu dalam pembentukan negara bangsa Malaysia. Idea
parti Gerakan terhadap negara bangsa dapat dilihat menerusi ideanya daam membina satu
bangsa Malaysia progresif dan bertujuan untuk memecahkan tembok perkauman antara
kaum. Ia perjuangkan persamaan hak dalam politik, ekonomi mahupun sosial seperti yang
diperjelaskan dalam perlembagaan negara. Ia dapat dilihat dalam Perkara 8 Perlembagaan
Persekutuan yang menyatakan bahawa:

‘semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat
perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang. Kecuali sebagaimana dibenarkan
dengan nyatanya oleh perlembagaan ini, tidaklah boleh ada perbezaan terhadap
warganegara semata-mata oleh sebab ugama, kaum, keturunan atau tempat lahir
dalam mana-mana undang-undang atau dalam perlantikan bagi apa-apa jawatan atau
pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana
undang-undang berkenaan dengan memperoleh, memegang atau melepaskan harta
atau berkenaan dengan menubuhkan atau menjalankan apa-apa tred, perniagaan
profesion, vokesyen atau pekerjaan.’53

Walaupun begitu, Parti Gerakan mengakui perlunya perhatian khas dan penekanan yang
serius ke atas aspek ekonomi bagi membantu orang Melayu dan Bumiputera demi
memastikan kelangsungan mereka dan mampu terus bersaing dengan kaum yang lain.

Dalam membicarakan satu dasar yang konkrit bagi membentuk sebuah negara bangsa
yang mampu memenuhi aspirasi semua kaum, Gerakan mencadangkan satu pendekatan yang
lebih fleksible dan bersifat majmuk ( multi-etnik ). Ia melihat langkah unuk mewujudkan satu
bangsa, satu bahasa dan satu budaya tidak akan terhalang hanya dengan wujudnya
kepelbagaian bahasa mahupun budaya di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

51
Gerakan : Its History and Strunggle, Cenderamata Ulang Tahun Gerakan ke 20, 1988 hlm 24-25.
52
Lim Siew Lay, Pandangan Masyarakat Cina Terhadap Pembentukan Negara Bangsa Malaysia: Satu
Tinjauan Terhadap Pandangan Parti-parti Politik Malaysian Chinese Association, Democratic Action Party dan
Parti Gerakan Rakyat Malaysia ( 1949-1990an ), Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1993,
hlm. 4.
53
Perlembagaan Persekutuan, MDC Publishes Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2007, hlm. 4-5.
22

Oleh yang demikian, ia menggesa kerajaan untuk terus mengikitiraf kewujudan sekolah
vernakular Cina mahupun Tamil. Pada masa yang sama, pentadbiran yang efektif serta dasar
pendidikan yang berkualiti perlu dilaksanakan kerana ia mampu merealisasikan wawasan
berkenaan. Lantaran itu, Parti Gerakan mencadangkan pembentukan sebuah jawatankuasa
untuk menasihati kerajaan alam soal pendidikan bagi mewujudkan satu Malaysia yang
bersatu dan berkongsi satu bahasa kebangsaan, dasar pendidikan dan perasaan ditakdirkan
bersama ( sense of common destiny).54

Penerimaan masyarakat Cina terhadap konsep negara bangsa terarah kepada tiga
perkara pokok iaitu kesamarataan hak antara kaum, isu bahasa dan kebudayaan serta
pendidikan. Isu-isu ini sering dilihat menjadi tembok pemisah kepada masyarakat Cina untuk
menerima secara menyeluruh dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha
menjayakan negara bangsa di Malaysia. Masyarakat Cina ternyata tidak bersetuju dengan
dasar asimilasi mahupun integrasi melalui penguatkuasaan undang-undang bagi membentuk
negara bangsa. Lantaran itu, mereka menggesa kerajaan untuk mengkaji semula dasar-dasar
yang sedia ada bagi mengeratkan perpaduan kaum serta mengatasi masalah polarisasi kaum
yang semakin serius. Di mana dasar-dasar kebudayaan, ekonomi mahupun pendidikan yang
mencetuskan kontroversi perlu diubah agar ia merangkumi kepentingan semua kaum. Pada
masa yang sama, masyarakat Cina turut mengharapkan ‘politiking’ yang berunsur perkauman
dihindari dan kerajaan bersikap lebih terbuka apabila berhadapan dengan isu-isu yang
berkaitan dengan bahasa, pendidikan mahupun agama. Di mana pendekatan yang lebih mesra
dan prihatin dapat diterapkan bagi mengelakkan masyarakat bukan Melayu merasakan diri
mereka warga kelas ’dua’ yang sentiasa perlu tunduk kepada ketuanan Melayu bagi
survivaliti mereka di negara ini. Lantaran itu, Dato’ Kok Wee Kiat, dalam rencananya
‘Facing the Future’ beranggapan bahawa ‘the whole generation of young Malaysians has
grown up since merdeka in 1957 will find it difficult to accept discrimination on the basis
ethnic origin. They are expect to be treated equally and justly in the distribution of
opportunities.’55

54
R.K. Vasil, The Malaysians General Election of 1969, Oxford University Press, Singapore, 1972, hlm.
33-34.
55
Ling Liong Sik, et al. , The Future of Malaysian Chinese, hlm. 17.
23

Masyarakat Cina pada dasarnya menerima Persekutuan Tanah Melayu 1957 sebagai
asas pentadbiran negara. Mereka akur dengan kluasa-klausa tertentu dalam perlembagaan
tersebut termasuklah perkara 153 yang memperuntukkan kedudukan istimewa bagi orang
Melayu dalam biasiswa, lesen, perkhidmatan awam serta pendidikan. Namun begitu,
masyarakat Cina agak sensitif dengan bentuk negara bangsa yang hendak dibentuk.
Walaupun mereka menerima status orang Melayu selaku bumiputera tetapi orang Cina
‘kurang senang’ dengan kecenderungan segelintir pihak yang cuba mempromosikan satu
negara bangsa yang berorentasikan Bangsa Melayu. Ia ketara apabila wujud seruan untuk
meletakkan unsur Islam, Bahasa Melayu serta sistem politik beraja sebagai asas utama
pembentukan negara bangsa di negara kita. Pandangan sedemikian ditolak oleh masyarakat
Cina yang menekankan bahawa asas pembentukan negara bangsa perlu berbilang majmuk
( multi-ethnic) dan bercorak bangsa Malaysia. Oleh yang demikian, asas negara bangsa
Malaysia sewajarnya berlandaskan perlembagaan negara yang menggariskan Malaysia
sebagai sebuah negara demokrasi berperlembagaan dan sistem beraja yang wujud bercorak
raja berperlembagaan bukannya monarki mahupun fuedal. Lantaran itu, komuniti Cina
menolak saranan agar Kesultanan Melayu Melaka dijadikan asas pembinaan negara bangsa
sebaliknya mencadangkan budaya serta identiti semua etnik diambil kira daam proses
membentuk satu identiti bagi bangsa Malaysia. Ini penting kerana kewujudan masyarakat
majmuk di negara kita merupakan satu hakikat dan tindakan menafikannya dengan hanya
mengiktiraf kewujudan satu bangsa mahupun budaya ( mono-culture ) jelas satu langkah
yang kurang bijak.

Dalam menyelami perasaan masyarakat Cina, Ye Lin-Sheng dalam penulisannya ‘The


Chinese Dilemma’, ( 2003 ) dapat memberi sedikit gambaran kasar tentang tanggapan
masyarakat Cina terhadap negara ini. Hasil kajian beliau, mendapati ramai orang Cina yang
telah berhijrah ke seberang laut masih mempunyai gambaran yang positif terhadap Malaysia.
Walaupun begitu, mereka berpendapat bahawa sumbangan serta kewujudan mereka di
Malaysia kerap tidak dihargai. Ia dapat dilihat dari pengakuan seorang bekas kakitangan
kerajaan yang kini menetap di Hong Kong yang berpendapat ‘ the terms of our incorporation
in to Malaysian society as a “ franchise” the clear implication being that, unlike rights, what
we have can be taken away if we don’t dance to the Malay political tune.’56 Oleh yang
demikian, Ye Lin-Sheng melihat dilema masyarakat Cina bukan sekadar berkongsi kekayaan
material sebaliknya mereka menuntut pengiktirafan yang sewajarnya sebagai rakyat Malaysia
56
Ye Lin-Sheng, The Chinese Dilemma, East West Publishing Pty Ltd, Australia, 2003, hlm.55-56.
24

yang berkongsi hak yang sama rata. Kewujudan dasar-dasar kerajaan yang membeza-bezakan
bumiputera dengan bukan bumiputera mengakibatkan perpecahan di kalangan kaum malah ia
menimbulkan perasaan sangsi di kalangan orang Cina. Di mana Ye Lin-Sheng menyatakan
bahawa‘ rightly or wrongly, many Chinese are not reassured that the Malays will act in good
faith. Can we trust them to be fair? In shifting the balance of advantage, will they know when
to stop? If we don’t complain about the NEP, will they think it is not hurting us enough? 57

2.4 PENUTUP

Dalam usaha membina satu negara bangsa yang mantap dan jitu, rakyat Malaysia yang
berbilang kaum dan cinta akan negara ini perlu sanggup berkorban dan bersedia
mengenepikan perbezaan ideologi, pandangan politik yang berbeza serta agenda yang
‘tersembunyi’ serta mengambil pendekatan secara musyawarah dalam mencari satu titik
persamaan bagi merealisasikan gagasan bangsa Malaysia yang sudah pun terbantut sekian
lama. Gagasan Satu Malaysia dan Modal Ekonomi Baru ( MEB ) seharusnya menjadi titik
tolak kepada satu lagi usaha murni ke arah pembinaan sebuah negara bangsa di Malaysia.
Semua pihak seharusnya menerima idea tersebut dengan hati yang terbuka dan berusaha
untuk menjadikan gagasan itu satu realiti selaras dengan objektif Wawasan 2020 iaitu
membentuk satu negara bangsa Malaysia yang bersatu. Sebarang kecenderungan untuk
menghalalkan apa-apa sahaja atas nama demokrasi total yang bakal meruntuhkan segala ‘asas
binaan sosial’ yang sedia ada atas alasan politik baru yang lebih adil dan dinamika haruslah
dielakkan. Kita perlu bersifat lebih realisitik dan berpijak pada bumi yang ternyata apabila
memperkatakan perubahan kerana ia seharusnya mengambil kira perasaan serta aspirasi
semua pihak. Lantaran itu, sikap yang terlalu idealist dan secara berbuta tuli tanpa mengambil
kira kepentingan orang lain mahupun faktor kestabilan negara bakal mengundang padah.

Persoalan kini bukan lagi, sama ada kita dapat atau tidak membina bangsa Malaysia
yang bersatu padu kerana pada hakikatnya kita tidak mempunyai sebarang pilihan lain.
Sekiranya kita ingin melihat negara ini terus maju ke hadapan dan berdaya saing dalam dunia
globalisasi ini, kira perlu bersatu dan sebarang keretakan hubungan kaum hanya bakal
menghancurkan segala hasil pembangunan dan kemewahan yang telah pun dinikmati hari ini.

57
Ibid, hlm. 57.
25

Pada masa yang sama, pembentukan negara bangsa juga dilihat penting bagi pembnagunan
Malaysia mengikut acuan sendiri dan tidak lagi terikat dengan unsur-unsur peninggalan
penjajah. Ia jelas dalam aspirasi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membina bangsa Malaysia
yang bersatu padu dan mampu menjadi persamaan dalam situasi ‘heterogeneous’. Ia
dikatakan menjadi penentu kepada sejauh manakah negara bangsa akan menjadi satu realiti.
Ini kerana salah satu asas kepada pembinaan negara dan bangsa iaitu wujudnya satu bangsa
yang dirujuk kepada sekumpulan manusia yang mendiami sesebuah wilyah dan berkongsi
budaya, bahasa, adat serta pengalaman sejarah yang sama.

Walaupun rakyat Malaysia ternyata tidak memiliki nilai tersebut namun ia bukanlah sesuatu
yang mustahil sekiranya semua pihak benar-benar ikhlas dalam merealisasikannya. Ini kerana
‘ di mana ada kemahuan di situ ada jalannya’.

Dalam usaha memahami penerimaan orang Cina terhadap negara bangsa, ia perlu
diteliti dari budaya masyarakat tersebut. Walaupun masyarakat Cina telah lama
meninggalkan negara asal mereka tetapi nilai-nilai serta budaya nenek moyang masih
dipegang teguh. Dalam usaha pembinaan sebuah negara bangsa, orang Cina menolak
sebarang usaha yang bakal menjejaskan identiti mereka sebaliknya menyarankan pendekatan
yang bercorak akomodasi di mana sekelompak sosial yang mempunyai latar belakang serta
sosial yang berbeza berkompromi untuk mengelakkan perselisihan pendapat. Ia dilakukan
dengan mengadakan interaksi secara aman dan pada masa yang sama meneruskan identity,
cirri dan sikap masing-masing.

Pandangan yang prejudis terhadap sikap masyarakat Cina terhadap negara bangsa
Malaysia kerap menimbulkan perasaan kurang senang komuniti berkenaan yang sering
dilabelkan kurang patriotik serta terlalu demanding. Ia jelas satu pandangan yang bersifat
prejudis sekiranya kita memahami budaya masyarakat berkenaan. Unsur humanis serta sifat
keterbukaan masyarakat Cina jelas begitu ketara dalam penerimaan mereka terhadap konsep
negara bangsa. Sejak kemerdekaan sehinggalah kini, masyarakat Cina mengidamkan sebuah
negara bangsa yang dimiliki serta dikongsi oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum,
identity, agama mahupu keturunan. Pada masa yang sama, penglibatan serta sumbangan
masyarakat dalam proses pembentukan negara bangsa khususnya selepas Perang Dunia
Kedua juga amat ketara. Masyarakat Cina mula mengubah persepsi mereka terhadap Tanah
Melayu yang sebelum ini hanya dianggap sebagai batu loncatan demi kehidupan masa
26

hadapan yang lebih baik. Komuniti tersebut mula memberi perhatian terhadap perkembangan
politik di Tanah Melayu dan pada masa yang sama membawa kepada penglibatan mereka
dalam perkembangan politik setempat. Perkembangan tersebut seterusnya membawa kepada
kerjasama antara kaum dan merancakkan lagi proses perkembangan negara bangsa. Pada
masa yang sama, kegigihan serta sikap berdikari membolehkan orang Cina membina
kehidupan yang selesa dan memperkukuhkan kedudukan mereka di negara ini. Walaupun
ramai yang beranggapan orang Cina berjaya kerana bantuan British serta ilhsan raja Melayu
tetapi kesungguhan serta kemampuan orang Cina dalam membina asas yang mantap
terutmanya dalam ekonomi dengan titik peluh mereka sendiri tidak seharusnya dipandang
ringan. Kehadiran mereka dengan berbekalkan tulang empat kerat berjaya menjadikan Tanah
Melayu sebagai pengeluar bijih timah yang terulung di dunia. Malahan kehadiran mereka
turut menyaksikan kemunculan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Seremban
mahupun Johor Bharu yang sebelum ini hanya perkampungan kecil perlu membuka mata
banyak pihak.

Lantaran tu, orang Cina sentiasa mengharapkan pengiktirafan serta layanan yang
setimpal bagi segala usaha yang dicurahkan demi negara ini. Kewujudan perasaan prejudis
serta ‘protes’ terhadap dasar-dasar kerajaan yang membeza-bezakan kaum dan layanan yang
tidak saksama sememangnya telah sinonim dengan orang Cina. Kegagalan mencari satu
penyelesaian yang adil dan terbaik dalam isu bahasa ibunda, pendidikan mahupun hak yang
sama rata bagi semua kaum mengakibatkan orang Cina terus berada di persimpangan apabila
berhadapan dengan isu negara bangsa. Mereka sering berpendapat, kita telah berjaya
membina sebuah negara sejak sekian lama malangnya masih teraba-raba dalam pembinaan
bangsa yang dimilik semua.
27

You might also like