You are on page 1of 14

Kaunseling, Bimbingan dan Psikoterapi

Dr Sapora Sipon
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

-PENGENALAN

Perbezaan definisi kaunseling yang wujud di antara penulis


tidak membataskan matlamat utamanya iaitu membantu individu atau
klien untuk menjalani kehidupan yang lebih baik melalui satu
perhubungan yang profesional di antara kaunselor dengan klien.
Apabila membicarakan mengenai kaunseling, sub-tajuk seperti
kaunseling, kaunseling individu, definisi, ciri-cirinya, perbezaan antara
perhubungan membantu lain seperti psikoterapi dan bimbingan akan
dibincangkan.

-DEFINISI KAUNSELING

Pelbagai definisi kaunseling wujud. Bagaimanapun, kesemua definisi


adalah bermatlamatkan ingin membantu individu menjalani kehidupan
yang lebih baik dan berkesan untuknya.
Jones (2004) menjelaskan istilah kaunseling mempunyai
pelbagai makna. Pertama, ia melibatkan individu yang menerima
kaunseling. Dimensi seterusnya ialah sebagai satu perhubungan,
intervensi, satu proses psikologikal dan mempunyai matlamatnya.
Kottler & Brown (2000) mendefinisikan kaunseling sebagai satu
profesion yang mempunyai sejarah dan set standad dan berbeza dari
disiplin lain seperti kerja sosial, psikologi dan psikatri. Kaunseling
juga merupakan satu aktiviti yang dibentuk untuk individu yang
berfungsi secara normal dan yang mengalami masalah perkembangan
dan penyesuaian. Ia adalah satu perhubungan sama ada dalam bentuk
kelompok, keluarga atau individu yang bertujuan untuk meningkatkan
kepercayaan, keselamatan dan perubahan. Mengikut mereka lagi,
kaunseling bersifat multidimensional dan mengendalikan perasaan
dan tingkah laku individu sama ada pada waktu lepas, sekarang dan
masa hadapan.
Patterson (1995) mendefinisikan kaunseling sebagai satu
proses interaktif melalui satu perhubungan yang unik antara kaunselor
dengan klien yang mengarah kepada perubahan klien dalam aspek
tingkah laku, kepercayaan dan kemahiran membuat keputusan.
Mereka juga menjelaskan perubahan dalam kaunseling juga
melibatkan kebolehan berdaya tindak ke atas situasi semasa untuk
memaksimakan peluang dan meminimakan keadaan yang merosakkan.
Secara ringkasnya, kaunseling perlu menghasilkan tingkah laku yang
bebas dan bertanggungjawab di pihak klien diiringi dengan kebolehan
memahami dan mengurus emosi.
Sementara itu, Hansen, Rosenberg & Cramer (1994)
mendefinisikan kaunseling sebagai satu proses membantu individu
untuk mengenali diri dan persekitarannya, dan cara untuk
menggerakkan peranan dan hubungan mereka. George & Christiani
(1990) menjelaskan kaunseling merangkumi aktiviti-aktiviti yang
beretika yang dilakukan oleh kaunselor dalam usaha membantu klien
melibatkan diri dengan jenis-jenis tingkah laku yang akan
menghasilkan penyelesaian kepada masalah klien.
American Counseling Association (ACA, 1995) pula
mendefinisikan kaunseling sebagai satu aplikasi kesihatan mental
berdasarkan prinsip-prinisp psikologikal atau perkembangan manusia
melalui kognitif, afektif, tingkah laku dalam bentuk intervensi atau
strategi secara sistematik yang berkaitan dengan kesejahteraan,
perkembangan peribadi atau perkembangan kerjaya dan juga patologi.
Good (dlm Sapora Sipon dan Wan Anor Wan Sulaiman (2002)
mendefinisikan kaunseling sebagai bantuan dalam menyelesaikan
masalah peribadi individu yang dilakukan oleh pembantu yang benar-
benar berpengetahuan dan berkebolehan sehinggalah seseorang itu
boleh membuat keputusannya sendiri dengan baik.
Pepinsky & Pepinsky (1954) telah menyatakan kaunseling
adalah satu proses yang membabitkan interaksi antara seorang
kaunselor dengan kliennya. Interaksi ini berlaku dalam keadaan sulit
dengan tujuan membantu klien mengubah tingkah lakunya
sehinggalah resolusi yang diambilnya memuaskan kehendaknya.
Beliau juga menekankan agar sesi kaunseling dijalankan dalam
suasana tertutup, sulit, tidak dilihat dan tidak didengari oleh orang lain.
Dustin dan George (1977) pula mengatakan kaunseling ialah
suatu proses pembelajaran yang disediakan untuk meningkatkan
tingkah laku penyesuaian dan mengurangkan tingkah laku salah
penyesuaian.
Cottle (1973) mendefinisikan kaunseling sebagai satu proses
psikologikal di mana seorang yang profesional membantu seorang
klien yang normal untuk meneroka dan memahami tingkah laku
supaya pemilihan tingkah laku di masa akan datang boleh dilakukan
terutama sekali dari aspek pendidikan dan vokasional. Pemilihan ini
adalah berdasarkan persepsi diri klien termasuk matlamat dan nilai.
Matlamat dan nilai ini akan mempengaruhi bagaimana individu
bertingkah laku ke atas diri dan persekitaran.
Patterson & Welfel (1994) berpendapat kaunseling adalah satu
proses interaktif yang bercirikan satu perhubungan yang unik di antara
kaunselor dengan klien yang menyumbang kepada perubahan dalam
diri klien seperti tingkah laku, mempercayai, keupayaan untuk berdaya
tindak. Oleh itu, kaunseling perlu menghasilkan tingkah laku klien
yang bebas dan bertanggungjawab diikuti dengan kebolehan
memahami dan mengurus emosi yang negatif.
Burks dan Stefflre (1979) pula merujuk kaunseling sebagai satu
perhubungan profesional antara seorang kaunselor terlatih dengan
klien. Perhubungan ini biasanya bersifat bersemuka person-to-person,
walaupun kadang-kadangkala ia melibatkan lebih daripada dua orang.
Perhubungan ini dibentuk untuk membantu klien memahami dan dapat
menyatakan pandangan mereka tentang ruang hidupnya, dan
mempelajari bagaimana mencapai matlamat pilihan kendiri melalui
pilihan yang bermakna dan bermaklumat setelah menyelesaikan
masalah yang bersifat emosional dan interpersonal.
Arbuckle (1975) mentafsirkan kaunseling individu sebagai
proses menolong individu melihat siapa dirinya yang sebenar, apa
yang dimiliki dan apa pula yang tidak dimiliki serta apa yang boleh
dan yang tidak boleh dicapainya.
Patterson (1973) menjelaskan beberapa ciri yang bukan
dianggap sebagai kaunseling;

1. kaunseling bukanlah memberi maklumat walaupun maklumat


boleh diperolehi
2. kaunseling bukanlah memberi nasihat
3. kaunseling bukanlah mempengaruhi sikap, kepercayaan dan
tingkah laku melalui usaha memujuk dan mengancam
4. kaunseling bukanlah menemuduga walaupun proses temuduga
berlaku.
Penulis tempatan seperti Mizan Adilliah Ahmad Ibrahim dan
Halimatun Halaliah Mokhtar (1995) merumuskan, kaunseling itu
sebagai proses pertolongan yang profesional yang bertujuan membantu
individu memahami dirinya dan alam sekelilingnya. Tan Chee Yee
(1987) pula menyatakan kaunseling merupakan satu proses bersemuka
face to face contact di antara kaunselor dan klien. Tujuan pertemuan
itu ialah untuk mencari alternatif yang paling sesuai untuk klien
membuat keputusan menyelesaikan masalah dirinya di samping
mengetahui buruk baik dan halangan yang akan dihadapi oleh klien
atas keputusannya itu.
Zainal Abidin Ahmad (2002) menjelaskan kaunseling sebagai
satu perbincangan antara seorang kaunselor yang terlatih dengan
seorang individu atau kelompok kecil yang mengalami kekeliruan dan
memerlukan bantuan, bersama-sama memikirkan dan meneliti
beberapa alternatif untuk mengatasi sesuatu kecelaruan dan seterusnya
melaksanakan alternatif yang dipilih.

-DEFINISI KAUNSELING INDIVIDU

Gibson dan Mitchell (2003) mendefinisikan kaunseling


individu sebagai satu perhubungan satu dengan satu iaitu antara
kaunselor terlatih dan berfokus kepada beberapa aspek penyesuaian
klien, perkembangan dan keperluan membuat keputusan. Prosess ini
melibatkan satu perhubungan dan ciri komunikasi di mana klien boleh
membentuk pemahaman menerokai kemungkinan-kemungkinan dan
memulakan perubahan. Kecekapan kaunselor memungkinan
perubahan positif berlaku. Kemahiran kaunselor dan pengetahuan
menyediakan satu rangka kerja dan arah yang memaksimakan potensi
klien ke arah hasil yang positif.
Rogers (dlm Capuzzi dan Gross, 1991) pula mendapati
terdapat beberapa asas kepada pembentukan hubungan antara seorang
klien dengan kaunselor dalam kaunseling individu iaitu terdapat dua
orang yang mengalami hubungan psikologikal. Pihak pertama ialah
klien yang berada dalam keadaan tidak tenteram, risau yang
menghadapi sesuatu gangguan atau kesukaran psikologikal.
Pihak kedua ialah kaunselor yang tenang dalam hubungan itu.
Kaunselor mengalami pengalaman empati dan faham-memahami
terhadap situasi klien dan berbincang mengenai pengalaman dengan
klien. Komunikasi yang dilakukan oleh kaunselor dengan klien
melalui sifat empati, faham-memahami dan penerimaan positif tanpa
syarat sekurang-kurangnya telah mencapai sesuatu keberkesanan
kaunseling.
Zuraidah Abdul Rahman (dlm Sapora Sipon dan Wan Anor
Wan Sulaiman, 2002) mentakrifkan kaunseling individu sebagai satu
perhubungan yang bersemuka di mana seorang klien mendapatkan
bantuan daripada seorang kaunselor. Perhubungan tersebut disifatkan
oleh ciri-ciri seperti penerimaan klien secara tulen, saling hormat
menghormati dan penekanan terhadap keperluan-keperluan serta
perasaan klien. Manakala itu, Shertzer dan Stone (1986) menegaskan
kaunseling individu sebagai proses interaksi yang memudahkan
pemahaman bermakna mengenai diri dan alam sekitarnya lalu
menyebabkan penentuan matlamat-matlamat dan nilai-nilai tingkah
laku masa hadapan klien.
Kamaruzaman Jamal (dlm Abdul Halim Othman, 1999)
mendefinisikan kaunseling individu sebagai perhubungan antara
seorang yang lain dalam mana ia menolong yang lain itu
menyelesaikan satu konflik, atau pertentangan yang belum
diselesaikan. Sementara itu, Muhd Mansur Abdullah (1993)
mendapati kaunseling individu merupakan suatu pemusatan hal
peribadi, hubungan bersemuka antara dua manusia apabila seorang
kaunselor dengan kemampuan yang ada padanya menyediakan satu
situasi pembelajaran yang membolehkan kliennya mengenali dirinya,
membuat perubahan, menukar sikap, membuat keputusan dan
pemilihan bagi memenuhi keperluan diri mereka sendiri.
Secara rumusannya, kaunseling individu merupakan satu
pertemuan seorang kaunselor dengan seorang klien untuk mengadakan
satu proses perhubungan atau interaksi profesional dan memusatkan
tumpuan kepada aspek-aspek penyesuaian dan perkembangan diri
klien dan diikuti dengan pembuat keputusan terbaik dari alternatif-
alternatif yang diperlukan. Kaunseling individu mewujudkan interaksi
dan komunikasi di mana klien akan berpeluang membina kesedaran
dan pemahaman melalui penerokaan kendiri serta penjelasan ke atas
beberapa matlamat dan alternatif penyelesaian. Tujuan akhir
kaunseling individu diberikan ialah mengharapkan klien dapat
memenuhi keperluan diri dan persekitarannya dan pada masa yang
sama melalui perubahan yang dilakukan.

CIRI-CIRI KAUNSELING INDIVIDU

Bagi memahami bidang kaunseling secara keseluruhan,


pengetahuan tentang ciri-ciri kaunseling individu itu sendiri haruslah
difahami.

(a) Kaunselor sebaiknya menghormati kejujuran klien yang


datang meminta pertolongan. Klien berjumpa dengan kaunselor
untuk menceritakan persoalan bukanlah perkara yang mudah
dan dianggap remeh. Kemungkinan sebelum itu, klien
berkonflik dengan dirinya untuk membuat keputusan untuk
meminta bantuan atau sebaliknya.

(b) Menjadi tugas kaunselor untuk memberi kefahaman kepada


klien tentang matlamat serta limitasi kaunseling supaya tidak
timbul salah tanggapan atau persepsi yang meleset.

(c)Kaunselor harus menyedari keupayaan dan


tanggungjawabnya dengan mengundurkan diri jika tidak
berupaya menangani keperluan klien dengan mencadangkan
perkhidmatan profesional lain yang lebih dominan dan
signifikan dengan konflik yang dialami oleh klien.
(d) Kaunselor harus sentiasa menyedari limitasi dan
menghormati etika untuk menyakinkan klien bahawa segala
maklumat yang diberikan adalah dirahsiakan di samping klien
bebas memberi maklumat serta memilih alternatif yang
difikirkan dapat membantu kaunselor untuk membantunya.

(e) Jika didapati keadaan klien mengancam kebajikan atau


keselamatan diri dan orang lain, maka adalah menjadi
tanggungjawab kaunselor melaporkan kepada pihak tertentu
atau dirujuk kepada pihak pihak yang berkaitan dengan
mencadangkan perkhidmatan lain dan profesional lain yang
lebih berpengalaman.

(f) Kaunselor perlu menyakinkan klien bahawa segala


maklumat yang diberikan adalah rahsia. Bagaimanapun, jika
didapati keadaan klien mengancam kebajikan atau kesihatan
diri sendiri atau orang lain, maka adalah menjadi
tanggungjawab kaunselor melaporkan hal itu kepada pihak-
pihak yang tertentu atau dirujuk kepada perkhidmatan yang
sesuai.

(g) Sebagai seorang yang profesional, kaunselor berhak


meminta pandangan dan nasihat daripada professional lain
dengan tujuan menjelajah beberapa kemungkinan memberi
pertolongan yang berkesan kepada kliennya.

Stewart et al (1978) mengatakan terdapat beberapa elemen


yang perlu diberi perhatian dalam kaunseling individu. Elemen-elemen
tersebut adalah seperti berikut;

(a) Kerahsiaan

Dialog perbincangan dalam kaunseling tidak boleh melampaui


batas. Bilik kaunseling hendaklah jauh daripada gangguan
kebisingan dan gangguan orang lain seperti bunyi telefon dan
gangguan suara bising. Ini bertujuan untuk melindungi rahsia
klien kerana perbincangan antara kaunselor dengan klien
adalah sulit.

(b) Wujud status yang sama antara kaunselor dengan klien.

Kaunselor hendaklah peka kepada perkara yang mungkin


mencetus persepsi perbezaan status antara kaunselor dengan
klien. Contohnya, duduk di kerusi yang lebih tinggi daripada
klien atau duduk di belakang meja yang besar.
(c) Kaunseling yang dilakukan tidak terburu-buru

Seringkali dalam kaunseling, dalam masa setengah jam yang


pertama, kaunselor tidak akan dapat menangkap apa persoalan
sebenar yang diceritakan oleh klien. Oleh itu, kaunselor
hendaklah sabar untuk memberi masa kepada klien
menyesuaikan diri dan masuk kepada perbincangan sebenar
tanpa tergesa-gesa.

(d) Bilik kaunseling yang bersesuaian

Kaunseling dilakukan dalam bilik yang bersesuaian. Bilik


kaunseling seboleh-bolehnya tidak digunakan untuk tujuan
lain. Ini penting untuk menyakinkan klien tentang kaunseling
yang diberikan dan imej profesion kaunseling itu.

(e) Suasana perbincangan adalah menenangkan

Perbincangan antara kaunselor dengan klien sentiasa berlaku


dalam keadaan yang menenangkan. Perbincangan yang boleh
menimbulkan perasaan segan klien perlulah dielakkan berlaku.
Kaunselor juga hendaklah merancang dan mengawal masa
kaunseling.

American Counseling Association (dlm Smith, 2001)


menjelaskan ciri-ciri kaunseling individu sebagai;

• Kaunseling berkaitan dengan kesejahteraan, perkembangan


peribadi, kerjaya dan persoalan patologikal

• Kaunseling dilaksanakan oleh individu yang boleh berfungsi


dengan baik dan juga mereka yang mempunyai masalah yang lebih
serius

• Kaunseling adalah berdasarkan teori

• Kaunseling adalah satu proses yang bersifat perkembangan atau


intervensi.

DEFINISI BIMBINGAN

Bimbingan adalah satu proses membantu individu untuk


membuat keputusan yang akan memberi kesan kepada kehidupan
mereka. Contohnya ialah seperti memilih gaya hidup yang diingini.
Gladding (2003) menjelaskaan perbezaan ketara antara bimbingan dan
kaunseling ialah bimbingan berfokus kepada membantu individu
memilih apa yang paling mereka inginkan dan hargai. Sementara itu,
kaunseling perlu berfokus kepada membantu klien untuk berubah.
Kebanyakan tugas-tugas bimbingan di peringkat awal berlaku di
sekolah dan juga pusat kerjaya di mana seorang yang lebih dewasa
dan matang.

DEFINISI PSIKOTERAPI

Secara tradisinya, psikoterapi (atau terapi) berfokus kepada


masalah serius yang dikaitkan dengan intrapsikik, isu yang bersifat
dalaman dan peribadi. Ia banyak menangani “recovery of adequancy”
(Casey, 1996). Oleh itu, psikoterapi terutama sekali terapi yang
bersifat analitikal menekankan bahawa i.peristiwa lepas lebih daripada
peristiwa sekarang, b celik akal lebih daripada perubahan c,peranan
ahli terapi sebagai pakar. Tambahan pula, psikoterapi dilihat sebagai
melibatkan satu perhubungan yang lebih lama iaitu sebanyak (20-40
sesi) atau selama enam bulan hingga dua tahun. Psikoterapi juga
berfokus kepada perubahan yang rekonstruktif jika dibandingkan
dengan perhubungan yang lebih bersifat jangka masa pendek (8
hingga 12 sesi) dan jangka masa kurang daripada 6 bulan.

Psikoterapi juga dilihat sebagai perkhidmatan yang lebih


bersifat inpatient. Bagaimanapun, dewasa ini, perbezaan di antara
psikoterapi dan kaunseling agak sukar ditentukan. Terdapat teori
kaunseling yang dirujuk sebagai ahli terapi dan boleh digunakan dalam
seting kaunseling dan terapi.

PERBEZAAN ANTARA BIMBINGAN, KAUNSELING DAN PSIKOTERAPI.

Brown dan Pate (1983) menjelaskan agak sukar untuk


membezakan antara psikoterapi dengan kaunseling. Terdapat banyak
persamaan di antara kedua-duanya. Kedua-dua kaunseling dan
psikoterapi adalah proses memberi bantuan yang bertujuan untuk
kebajikan. Kedua-duanya banyak menggunakan teknik dan kaedah
yang sama dan pendekatan utama. Psikoterapi telah diubahsuai ke
dalam tugas-tugas kaunselor.
Bagaimanapun, terdapat perbezaan yang ketara di antara
psikoterapi dan kaunseling. Brown dan Pate (1983) menjelaskan antara
perkara yang membezakan antara kaunseling dan psikoterapi ialah
matlamat dan kaedah. Dari segi objektif, kaunseling bertujuan untuk
mempertingkatkan kebajikan individu dan juga perkembangan
psikologikal. Individu dilihat sebagai menjelaskan proses
perkembangan dan perubahan dan berhadapan dengan peringkat dan
dugaan dalam kehidupan.
Kaunseling membantu individu untuk melalui proses
perkembangan dengan berjaya dan menemui kebahagian. Kaunseling
adalah satu proses yang bersifat fasilitatif dan promotional bertujuan
menyuburkan kebolehan individu dan menggalakkan individu untuk
bersifat tidak bergantung dan mermpunyai arah dalam kehidupan.
Kaunseling adalah lebih bersifat orientasi pertumbuhan lebih dari
orientasi masalah.
Sementara itu, tujuan psikoterapi lebih bersifat khusus daripada
objektif umum. Psikoterapi wujud kerana amelioration psikopatologi.
Ianya berorientasikan masalah dan klien menghadapi kesukaran
masalah dan klien menghadapi kesukaran yang lari dari perkembangan
psikologikal yang biasa. Masalah yang dihadapi adalah bersifat
debilitaing dan menghalang kejayaan kehidupan. Psikoterapi
memerlukan lebih daripada sumber-sumber individu untuk
menyelesaikan kecelaruan neurotik.
Tyler (1961) menjelaskan psikoterapi sebagai memberi fokus
kepada perubahan personaliti sementara kaunseling memberi fokus
membantu individu untuk menggunakan kekuatan yang ada untuk
berdaya tindak menjadikan kehidupan lebih baik.
Corsini (1995) berpendapat bahawa perbezaan antara
kaunseling dan psikoterapi ialah terdapat persamaan secara kualitatif
tetapi berbeza secara kuantitatif. Ahli terapi lebih banyak mendengar,
kurang memberi nasihat dan penerangan. Seterusnya ahli terapi
berhadapan dengan klien yang menghadapi masalah yang lebih berat
dari klien dalam kaunseling.
BPS Division of Clinical Psychology (1979) menjelaskan
kedua-dua kaunseling dan psikoterapi menggunakan kerangka
teoritikal yang sama dan menekankan keperluan memberi penekanan
kepada klien sebagai individu. Kedua-duanya mendengar secara
sistematik dan mendengar apa yang dikomunikasikan. Ia juga
membentuk keupayaan membantu diri dan bertanggungjawab.
Ramai ahli psikologi seperti Truax dan Carkhuff (1967) dan
Corey (1991) menggunakan istilah kaunseling dan psikoterapi secara
silih berganti.

PERBEZAAN DI ANTARA KAUNSELING INDIVIDU DENGAN


KAUNSELING KELOMPOK.

Kedua-dua jenis kaunseling individu dan kelompok


mempunyai matlamat yang sama tetapi cara penggendalian yang
berbeza. Di antaranya ialah seperti berikut;

(a).Dalam kaunseling individu , proses terapuitik terhad antara


kaunselor dan klien sahaja manakala dalam kaunseling
kelompok ia melibatkan lebih daripada seorang individu atau
kelompok tertentu.

(b).Peserta-peserta dalam kaunseling kelompok berpeluang


memberi dan menerima pertolongan di antara satu sama lain
sementara dalam kaunseling individu pertolongan diberikan
oleh kaunselor sahaja.

(c).Dalam kaunseling kelompok kaunselor boleh bertindak


sebagai pemimpin dan boleh diambil alih oleh ahli-ahli
kelompok manakala dalam kaunseling individu fungsi
kaunselor tidak berubah.

(d).Suasana selesa dan mempercayai mudah dibentuk dalam


kaunseling individu, namun dalam kaunseling kelompok agak
sukar kerana ahlinya terlalu ramai dan berbagai ragam.

(e).Dalam kaunseling individu klien mendapat respons


daripada kaunselor, tetapi bagi kaunseling kelompok peserta
mendapat perhatian daripada ahli-ahli dan juga daripada
kaunselor.

(f).Peserta-peserta dalam kaunseling kelompok mudah berasa


terancam dan kurang selamat manakala dalam kaunseling
individu kaunselor hanya memberi tumpuan kepada seorang
individu sahaja ini akan memberikan perasaan selamat
kepadanya.

(g).Dalam kaunseling kelompok perkongsian pengalaman


berlaku di antara ahli-ahli dan kaunselor manakala dalam
kaunseling individu pengalaman dikongsi di antara kaunselor
dengan seorang klien sahaja.
Secara keseluruhannya, terdapat perbezaan yang jelas antara
kaunseling individu dengan kaunseling kelompok. Hubungan
terapuitik dalam kaunseling individu terhad kepada kaunselor dengan
seorang klien sahaja manakala hubungan terapuitik berlaku antara
kaunselor dengan beberapa orang individu dalam kaunseling
kelompok.
Dalam kaunseling individu, proses pertolongan hanya diterima
daripada kaunselor sahaja. Dalam kaunseling kelompok, proses
pertolongan boleh datang daripada kaunselor serta ahli-ahli lain. Ahli-
ahli kelompok akan memberi dan menerima pertolongan antara satu
sama lain. Dalam kaunseling individu, fungsi kaunselor adalah tetap,
iaitu membantu klien memahami diri dan menyelesai masalah. Dalam
kaunseling kelompok, fungsi kaunselor boleh berubah dari ketua
kelompok kepada ahli.
Suasana yang tenang, mesra dan rasa kepercayaan lebih mudah
terbentuk dalam kaunseling individu kerana hanya terdapat seorang
klien dengan seorang kaunselor. Sebaliknya, dalam kaunseling
kelompok, suasana tenang, mesra dan kepercayaan sukar dibentuk
kerana ramai ahli yang terlibat. Dalam kaunseling individu, respons
hanya terdapat daripada kaunselor dan tumpuan perhatian kaunselor
diberi sepenuhnya kepada seorang klien sahaja. Oleh itu, perasaan
selamat juga lebih mudah terbina. Sementara itu, dalam kaunseling
kelompok, terdapat respons daripada kaunselor dan ahli-ahli lain dan
ini menyebabkan perhatian dan layanan kaunselor juga terbahagi
kepada ahli-ahli yang ramai tersebut. Keadaan ini membuatkan peserta
lebih mudah merasa terancam dan kurang selamat kerana mereka
terpaksa berkongsi dengan ramai orang. Tumpuan kaunselor tidak
dapat diberikan sepenuhnya kepada setiap ahli.
Dalam kaunseling individu, klien kurang berpeluang untuk
mempelajari kemahiran perhubungan jika dibandingkan dengan ahli-
ahli dalam kaunseling kelompok. Klien dalam kaunseling individu
kurang berpeluang mempelajari cara memerhati dan memahami
tingkahlaku orang lain memandangkan terdapat hanya dua orang
sahaja dalam perhubungan kaunseling individu.
Dalam kaunseling kelompok, ahli-ahlinya lebih berpeluang
mempelajari kemahiran-kemahiran asas seperti bagaimana memberi
perhatian, berempati, meneroka, mendengar secara aktif dan meminta
penjelasan. Ahli-ahli dalam kaunseling kelompok juga dapat
mempelajari perhubungan antara individu dan membantu mereka
bersosialisasi. Ahli-ahli juga dapat mempelajari cara memerhati dan
memahami tingkah laku individu-individu lain.

RUMUSAN

Kaunseling individu merupakan satu proses bersemuka antara seorang


kaunselor dengan klien dalam suasana yang kondusif dan fasilitatif dengan tujuan
untuk mengubah tingkah laku klien. Kaunseling individu mempunyai ciri-ciri
tertentu seperti kaunselor perlu menghormati keikhlasan klien, klien memberi
kefahaman mengenai matlamat dan limitasi kaunseling dan juga syarat kaunseling.
Selain daripada itu, kaunselor perlu menyedari keupayaan dan tanggungjawabnya
serta mengundur diri sekiranya beliau mendapati beliau tidak berupaya menangani
persoalan klien. Kaunseling individu juga terdiri daripada pelbagai jenis. Antaranya
ialah kaunseling akademik, kaunseling kerjaya dan kaunseling peribadi.
Dalam melaksanakan kaunseling, kaunselor perlu mewujudkan suasana
kaunseling yang teraputik dan kondusif. Antara faktor-faktor yang dapat mewujudkan
situasi perhubungan fasilitatif, kaunselor perlu mengurangkan kewujudan tekanan
dalam proses kaunseling, meningkatkan keupayaan dalam penerimaan keesahan
permasalahan klien, membantu memperjelaskan maksud kepada klien,
meningkatkan pengetahuan kesahan perasaan, mempunyai sifat toleransi dalam
konflik serta mempunyai penerimaan terhadap klien.
RUJUKAN

Abdul Halim Othman (1999). Kaunseling untuk kesejahteraan Insan. Satu


pengalaman di Malaysia. Kota Kinabalu:Universiti Malaysia Sabah

American Counselling Association (1995). Code of Ethics and standards for


practice. Alexandria,VA: Author.

Arbuckle, D.S (1975). Counseling and Psychotherapy . Boston: Allyn and Bacon.

BPS Division of Clinical Psychology (1979). Report of the writing Party on the
psychological therapists. Leicester. British Psychological Societies.

Brown, J.A.& Pate,R.H. (1983). Being a counselor: Directions and challenges.


Brooks/Cole Pub.Co (Monterey. Calif).

Burks, H.M., & Stefflre, B. (1979). Theories of counseling (3rd ed). New York:
McGraw Hill.

Capuzzi, D., & Gross, D.R. (1991). Introduction to the counselling profession (2nd
ed). Needham Heights: Allyn & Bacon.

Casey, J.M. (1996). Gail. F. Farwell. A developmentalist who lives his ideas. The
school counselor, 43, 134-180.

Corey.C. (1991). Theory and Practice of Counseling and psychotherapy (4 th edn).


Pacific Grove:CA Brooks/Cole.

Corsini,R.J. (1995). Introduction. In R.J Corsini and D.Wessing (eds). Current


Psychotherapies (5th edn). Itasca:Peacock.pp 1-14

Dustin, R. & George, R. (1977). Action Counselling For Behaviour Change (2nd ed).
Granton. Caroll Press.

Capuzzi,D. & Gross,D.R (1995). Counselling and psychotherapy. Englewood Cliffs.

Cottle (1973). Beginning Counseling Practicum. Grune & Straton: New York.

George, R.I & Christiani,T.S (1981). Theory, methods and process of


psychotherapies. New Jersey: Prentice Hall.

Gibson, R.L. & Mitchell, M.H.(2003). Introduction to counseling and guidance.


Upper Saddle River. New Jersey.
Gladding, S.T (2004). Counseling: A comprehensive profession. Prentice Hall. Upper
Saddle River.

Hansen, J.C., Rossenberg, R.H., & Cramer, S.H (1994). Counseling: Theory and
process (5th ed). Boston: Allyn & Bacon.

Patterson, C.H. (1973). Theories of counseling and psychotheraphy. New York:


Harper & Row.

Patterson,L.E. & Welfel, E.R. ( 1994). The counseling process (4th ed). Brooks/Cole
Publishing Company. Pacific Grove. California.

Pepinsky, H.B., & Pepinsky, P. (1954). Counselling, theory and practice. New York:
Ronald Press.

Mizan Adilliah Ahmad Ibrahim dan Halimatun Halaliah Mokhtar (1995). Kaunseling
individu, apa dan bagaimana. Shah Alam.

Mohd Mansur Abdullah (1993). Proses kaunseling. Kuala Lumpur: DBP.

Sapora Sipon dan Wan Anor Wan Sulaiman (2002). Pengantar Kaunseling. Prentice
Hall: Petaling Jaya.

Shetrzer,B., & Stone,S.C. (1986). Fundamentals of counseling. Boston. Houghton


Mifflin.

Smith,H (2001). Professional identity for counselors. In D.C. Locke, J.E. Myers, &
E.L. Hers (Eds). The handbook of counseling (pp 569-579). Thousand Oaks: CA:
Sage.

Stewart, N.R., Winborn,B.B., Burks, H.M., Johnson,R.R., & Englekes, J.R. (1978).
Systematic Counseling. Prentice Hall. Inc. Englewood Cliffs, New Jersey.

Tan Chee Yee (1987). Bimbingan dan Kaunseling Di Sekolah Rendah dan
Menengah. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Truax,C.B & Carkhuff,R.R. (1967). Toward effective Counseling and Psychotherapy.


Chicago,IL:Aldine.

Tyler,L. (1961). The work of the counselor (2nd edn). New York:Appleton.Century
Crofts.

Zainal Abdin Ahmad & Wan Abdul Kader Wan Ahmad (2004). Modul Bimbingan
dan Kaunseling. University Terbuka Malaysia

You might also like