You are on page 1of 3

MAKNA HARI RAYA AIDILFITRI

Apa itu hari raya? Pada lughah atau pada bahasa, raya ertinya besar atau utama. Jalan raya ialah jalan
yang besar atau utama. Pasaraya ialah pasar yang besar. Bandaraya pula ialah bandar yang besar dan
utama. Begitu juga dengan lebuhraya dan sebagainya. Oleh itu hari raya bermaksud hari yang besar atau
hari yang utama.
Benarkah hari raya itu hari yang besar dan utama? Kalau benar, di manakah letak kebesaran atau
keutamaannya. Apakah hakikat hari raya yang sebenar sehingga ianya dianggap sebagai hari yang besar?
Kalaulah benar hari raya itu hari yang besar, bagaimana patut kita menyambutnya. Apakah yang patut
kita buat pada hari itu? Bagaimana patut kita mengisinya? Adakah pada setiap hari raya kita perlu tukar
langsir, perabot dan permaidani? Adakah setiap sempena hari raya, kita perlu beli pakaian dan kasut
baru?
Kita menjamu selera dengan bermacam-macam kuih-muih dan juadah yang enak dan lazat. Atau adakah
di hari raya patut kita berseronok dan bersuka ria dengan majlis-majlis hiburan lengkap dengan muzik,
nyanyian, joget dan tari-menarinya. Kita adakan atau kita tonton pertunjukan atau show hiburan hari
raya. Atau kita bermain mercun, bunga api dan meriam buluh. Atau adakah cukup hari raya itu disambut
hanya dengan bersembahyang hari raya, mengirim kad-kad hari raya, berziarah, menjamu selera dan
bermaaf-maafan.
Bagi orang melayu, eid fitr dinamakan hari raya puasa. Perkiraan dan kira bicara dalam hal ini sangat
mudah. Ia dinamakan hari puasa kerana ia disambut selepas bulan puasa. Senang dan mudah. Ini
sebenarnya mudah yang sudah terlebih. Sudah over. Cara mudah memberi nama ini tidak memberi
gambaran atau maksud yang sebenar. Maksudnya tersimpang dan lari dari apa yang dikehendaki oleh
agama dan syariat. Ia menimbulkan kekeliruan dan salah faham. Lama-kelamaan orang Melayu
terutama yang tidak mengaji agama tidak tahu kenapa dan mengapa mereka menyambut hari raya.
Mereka juga tidak tahu bagaimana hari raya patut disambut. Mereka kira hari raya itu ialah hari untuk
berseronok, berpesta dan bersuka ria. Hari untuk berbelanja, membazir dan bermewah-mewah. Hari
untuk melepaskan geram setelah sekian lama disekat dan dikongkong nafsu mereka. Mereka sedih kalau
tidak dapat baju raya dan kasut raya. Sedih kalau tidak dapat tukar langsir baru, perabot baru atau
permaidani baru.
Bagi yang lebih tua, hari raya jadi hari nostalgia dan hari melayan perasaan. Ingat anak, ingat cucu yang
tidak balik pada hari raya. Sambutan hari raya sudah tidak lagi menjadi suatu ibadat. Ia sudah bertukar
menjadi adat dan istiadat. Dengan open-housenya, hari raya get-togethernya dan berbagai-bagai lagi
cara sambutan pada masa ini. Para artis dan penghibur pula sibuk dengan show hari raya dan album hari
rayanya.
Dalam Islam tidak ada hari raya dalam konteks yang difahami oleh orang Melayu. Tidak ada hari untuk
tukar langsir, perabot dan permaidani. Tidak ada hari untuk membeli baju atau kasut baru. Tidak ada
hari untuk membazir dan bermewah-mewah. Lebih-lebih lagi tidak ada hari untuk berhibur, berseronok,
berpesta dan bersuka ria dengan muzik, nyanyian, joget, tari-menari, show, album dan sebagainya. Yang
ada hanyalah hari untuk bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Tuhan.
Hari raya puasa dalam Islam ialah Eid Fitr. Eid itu maksudnya mengembalikan. Fitr itu fitrah. Jadi Eidil
Fitri itu ialah mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan asal semulajadinya yang suci dan murni.
Dalam erti kata yang lain, eidil fitri bermaksud membersih dan menyucikan fitrah. Selama sebelas bulan
dalam setahun, manusia bergelumang dengan dunia. Selama itu jugalah fitrah manusia dicemari,
dikotori dan dirosakkan. Fitrah manusia kian bertambah lemah dan tidak bermaya. Dengan rahmat dan
kasih sayang Tuhan, dikurniakanNya satu bulan dalam setahun iaitu bulan Ramadhan untuk kita
berpuasa supaya fitrah manusia yang telah lemah itu dapat dibersihkan, disuci dan dikuatkan semula.
Kerana kalau fitrah sudah rosak dan kotor, manusia akan lupa Tuhan. Bila Tuhan sudah dilupakan, jiwa
manusia akan mati. Jiwa manusia tidak boleh hidup tanpa Tuhan dan tanpa rasa bertuhan. Manusia
yang telah mati jiwanya tidak boleh lagi berperanan sebagai insan. Keinsanannya sudah rosak. Nafsunya
akan bermaharajalela. Dia akan terangsang hanya dengan dunia dan akan benci akhirat. Dia akan suka
dengan apa yang Tuhan benci dan akan benci dengan apa yang Tuhan suka. Dia akan mengangkat
nafsunya menjadi Tuhan. Akhirnya hidupnya di dunia menjadi punah ranah dan di akhirat nanti akan
bakal dicampakkan ke dalam neraka.
Puasa itu mampu membersih dan menguatkan fitrah. Iaitu puasa yang ada lahir dan batinnya. Puasa
yang ada rohnya. Bukan sahaja kita menahan diri dari makan dan minum dan bersedap-sedap dengan
isteri di siang hari; mata kita, telinga kita dan lidah kita pun ditahan dari melihat, mendengar dan
berkata perkara-perkara yang mungkar. Akal kita ditahan dari memikirkan dan mengkhayalkan perkara-
perkara yang haram dan jahat. Hati kita ditahan dari merasakan perkara-perkara yang ditegah seperti
marah, hasad dengki, buruk sangka, berdendam dan sebagainya. Nafsu kita dikekang dan ditahan
supaya dia tidak jahat, tidak rakus dan tidak terlalu gilakan dunia.
Di samping puasa, ada banyak lagi amalan-amalan lain di bulan Ramadhan untuk membantu
membersihkan lagi fitrah kita. Ada solat terawihnya, ada membaca atau tadarrus Qurannya, ada zakat
fitrahnya dan berbagai-bagai lagi amalan sunat yang sangat digalakkan di bulan Ramadhan seperti
beriktikaf dan memberi makan orang yang berbuka puasa. Di sini kita dapat lihat bahawa fokus eidil fitri
ialah pada amalan puasanya di bulan Ramadhan dan bukan kepada hari rayanya yang disambut pada 1
Syawal. Yang dibesarkan ialah latihan rohaniah secara berpuasa yang dilakukan dan bukan hari
berbukanya, iaitu hari rayanya.
Bulan Ramadhan adalah bulan berkat dan penuh rahmat. Bulan pintu syurga dibuka dan pintu neraka
ditutup. Bulan syaitan dibelenggu. Bulan di mana pahala amalan dan ibadah dilipat gandakan dan doa
diterima. Ia adalah bulan maghfirah dan keampunan. Malahan Tuhan memberi pahala terhadap ibadah
puasa tanpa hisab. Kalau dalam ibadah lain, pahala yang Tuhan beri itu ada sukatan dan skalanya, tetapi
bagi ibadah puasa ini, pahalanya ikut suka Tuhan. Justeru itu, 1 Syawal sebenarnya ialah hari murung
dan hari kesedihan. Hari berakhirnya bulan berkat dan bulan rahmat. Hari berakhirnya bulan
keampunan. Hari terbuka semula pintu neraka dan bebasnya para syaitan. Bermula pada 1 Syawal,
dunia akan mula mengkeronyok dan merobek-robek fitrah kita; mengotori, mencemari dan
merosakkannya hinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Belum tentu kita dapat temuinya kalau
ajal tidak mengizinkan. Kalau begitu, kenapakah kita gembira sangat pada hari raya. Tidak ada apa-apa
sebenarnya yang kita hendak gembirakan. Tidak ada apa-apa yang kita hendak sambut.
Tidak ada apa-apa keistimewaan di hari raya kecuali kita disuruh berbuka dan diharamkan berpuasa.
Yang ada hanya berbanyak-banyak syukur, memuji, memuja dan membesarkan Tuhan. Kalau hari raya
disambut dengan penuh pembaziran dan kemewahan, tambahan pula kalau dalam menyambutnya ada
pula kelalaian, maksiat dan kemungkaran, maka pada hakikatnya, puasa kita selama sebulan itu tidak
ada makna apa-apa. Tidak ada apa-apa kebaikan yang kita dapat. Jelas bahawa fitrah kita masih kotor
dan rosak. Jiwa kita masih lemah kalaupun tidak mati. Kalau pada 1 Syawal pun, fitrah kita sudah lemah
dan rosak, bagaimanakah mampu kita selamat dalam mengharung dan menghadapi dunia ini selama
sebelas bulan lagi sebelum tiba Ramadhan akan datang. Kalau hari raya disambut pula dengan bersuka
ria, berpesta, berhibur dan bermewah-mewah, jelas bahawa itu adalah atas tuntutan nafsu, bukan
tuntutan fitrah. Bagaimana pula sebaik selesai kita berusaha membersihkan fitrah, nafsu kita pula yang
mengamuk dan menguasai diri kita. Sebagai umat Islam yang inginkan kebaikan dunia dan akhirat, kita
perlu ubah fahaman dan pegangan kita tentang hari raya puasa ini.
Kalau boleh kita tukar istilah hari raya puasa ini kepada istilah yang lebih tepat mengikut kehendak
agama. Kita tukar kepada hari raya fitrah, contohnya; yang selalu juga kita gunakan, yang bermaksud
hari besar fitrah; iaitu hari kita membesar dan mengutamakan fitrah kita. Setelah kita benar-benar
faham apa sebenarnya erti Eidil Fitri, mungkin kita boleh menyambutnya dengan cara yang lebih tepat
dan sesuai. Hari raya fitrah patut diisi dan dipenuhkan dengan berzikir, bertafakur, bersyukur, memuji,
memuja dan membesarkan Tuhan. Ia patut disambut dengan segala kebaikan yang berpunca dan yang
didorong oleh hati atau fitrah yang sudah suci dan bersih. Pada hari raya fitrah, kita patut membantu
dan memberi makan fakir miskin. Merapatkan silaturrahim. Berziarah dan memberi hadiah. Bermaaf-
maafan. Bertolong bantu. Berkasih sayang dan sebagainya. Hari raya fitrah bukan hari untuk memuaskan
nafsu.

You might also like