You are on page 1of 26

Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Jenayah Rasuah Dan Pecah Amanah Di Kalangan Pengarah


Syarikat: Mengenalpasti Punca Masalah Dan Cadangan
Penyelesaian Menurut Islam

Asiah Bidin dan Sharifah Nuridah Aishah Syed Nong Mohamad


Universiti Darul Iman Malaysia (UDM)
Kampus Kusza Gong Badak, Kuala Terengganu

Abstrak

M asalah berhubung dengan rasuah dan pecah amanah di kalangan


rakyat Malaysia tidak dapat dinafikan. Kerapkali perkara ini dipaparkan
di media-media di negara ini. Rasuah dan pecah amanah seolah-olah tidak
dapat dipisahkan di mana perlakuan rasuah banyak terdorong oleh pecah
amanah. Kedua-dua kesalahan ini tidak terfokus kepada penjawat jawatan-
jawatan tertentu sahaja tetapi meliputi pelbagai kategori masyarakat.
Antara golongan yang sering terdedah dengan kesalahan ini ialah
pengarah syarikat. Dilihat dari sudut undang-undang jenayah, kesalahan
ini boleh dituduh di bawah Kanun Keseksaan dan akta-akta tertentu.
Undang-undang sememangnya wujud, justeru bagi mereka yang
tertangkap, akan dibicarakan di mahkamah keadilan. Kes-kes yang dibawa
ke mahkamah, walaupun tidak terlalu banyak, menunjukkan jenayah ini
dilakukan saban tahun melibatkan jumlah wang yang sangat besar. Jarang
terdengar perbincangan serius di kalangan masyarakat mengapa
berlakunya pecah amanah dan cara untuk menanganinya di peringkat
awal. Adakah ini bermaksud ianya tidak dapat dibendung atau dikawal?
Kertas kerja ini akan mengupas jenayah rasuah dan pecah amanah yang
dilakukan oleh pengarah syarikat dari perspektif undang-undang sivil dan
Islam. Dari sudut Islam, kepercayaan yang utuh bahawa Islam didasari
oleh tiga prinsip asas iaitu akidah, ibadah dan akhlak dilihat mampu
menjadi benteng daripada perlakuan sebarang tindakan yang menyalahi
ketetapan Islam. Penyemaian prinsip-prinsip ini di dalam diri seorang
pengarah syarikat mungkin boleh mengekang kes-kes penyalahgunaan
kuasa, rasuah dan pecah amanah di kalangan pengarah syarikat yang
beragama Islam di negara ini.

1
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

1.0 Pengenalan
Perbuatan dan permasalahan berkaitan rasuah dan pecah amanah sering
dipaparkan di media tanah air. Kedua-dua perbuatan ini adalah dalam
kategori kesalahan jenayah mengikut undang-undang Malaysia. Jika
diamati, kedua-dua perbuatan ini seolah-olah tidak dapat dipisahkan di
mana selalunya perbuatan memberi atau menerima rasuah adalah
disebabkan oleh masalah pecah amanah. Selain daripada itu, perbuatan
rasuah dan pecah amanah ini juga sebenarnya bukan hanya berlaku dalam
perniagaan, yang lazimnya difahami, malah boleh dikatakan dalam setiap
jenis urusan seperti rasuah dalam politik, pengurusan, pentadbiran dalam
organisasi, sukan malah dalam pendidikan. Sama seperti masalah rasuah
yang tidak hanya terkhusus kepada pekerjaan atau jawatan tertentu sahaja,
pecah amanah juga sering dilakukan oleh orang-orang yang berkepentingan
terhadap sesuatu harta yang diamanahkan kepadanya. Mengikut statistik
jenayah 2006, pecah amanah berada di tangga yang kedua dengan jumlah
kes sebanyak 1,498 selepas kes tipu dengan jumlah kes yang tertinggi iaitu
3,694.

Di bawah adalah sebahagian daripada laporan yang telah dimuatkan di dada


akhbar-akhbar di Malaysia.

“Pengarah wanita didakwa pecah amanah”


Klang 11 Jun - Seorang isteri yang kini dalam proses bercerai, dihadapkan
ke mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah
RM671,249.30 wang milik syarikat … (Utusan Online, 12 Jun 2008)

“Pengarah dituduh dengan pecah amanah melibatkan RM16 million”


(Star Online 19 Jun 2008)

2
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

“Pengarah syarikat lanskap didakwa atas 6 tuduhan rasuah”


Shah Alam 21 Julai – Seorang pengarah sebuah syarikat lanskap mengaku
tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Shah Alam atas enam tuduhan
menerima rasuah berjumlah RM63,000 daripada seorang pengarah sebuah
syarikat lain...(Utusan Online 21 Julai 2008)

Laporan-laporan di atas menggambarkan bahawa senario pecah amanah


dan rasuah bukanlah perkara luar biasa di kalangan masyarakat kita.
Senario ini amatlah membimbangkan kerana kesan daripada perbuatan ini
bukan hanya meruntuhkan nilai akhlak dan moral individu dalam
masyarakat, malah mampu menggoyahkan kedudukan ekonomi sebuah
negara.

Maksud Rasuah dan Pecah Amanah


Menurut takrifan Al-Ahkam, rasuah ialah sesuatu yang disogokkan kepada
penzalim untuk mengambil hak yang bukan miliknya atau untuk
menghilangkan hak dari yang empunya sama ada atas motif dendam atau
penipuan dengannya dan untuk mendapatkan satu kedudukan yang tidak
sepatutnya atau pekerjaan yang dia tidak berkelayakan.

Daripada takrifan ini, rasuah dapat dikategorikan kepada tiga jenis iaitu:
1) Mengambil sesuatu yang bukan hak seperti memberi sogokan kepada
orang yang berkuasa untuk mendapatkan sesuatu. Sebagai contohnya,
apabila seorang asing memberi sogokan untuk mendapat visa dan menetap
di negara ini.

2) Sogokan yang dapat menghilangkan hak dari pemilik sebagai tindakan


balas dendam. Contoh bagi kategori ini ialah seperti kerana iri hati atau
cemburu dengan pesaingnya dalam perniagaan, A telah memberi sogokan

3
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

kepada orang tertentu supaya mengenepikan projek yang sepatutnya


diperolehi oleh B.

3) Sogokan yang diberikan untuk memperolehi sesuatu sama ada jawatan,


tempat, pekerjaan, tender/bidaan, projek atau kontrak.

Mengikut Law Ensyclopedia, rasuah didefinisikan sebagai “crime of giving


a benefit (eg money) in order to influence the judgment or conduct of
person in a position of trust”.

Di dalam Bahasa Inggeris, memberi rasuah dan menerima rasuah diberi


istilah berbeza iaitu “corruption” bagi menerima rasuah manakala
memberi rasuah diistilahkan sebagai “bribery”.

Sementara itu, pecah amanah pula ialah melanggar amanah yang diberikan
atau dipikul dan dengan sebab perlanggaran ini menyebabkan berlaku
tindakan yang prejudis atau merugikan kepada pihak atau orang lain.

Perbuatan rasuah dan pecah amanah adalah berkait antara satu sama lain
dan lazimnya seseorang yang dituduh atas kesalahan rasuah turut juga
dituduh melakukan pecah amanah. Ini adalah kerana rasuah melibatkan
elemen pecah amanah. Selalunya seorang pengarah yang pecah amanah
akan terlibat dalam amalan rasuah begitulah sebaliknya di mana pemberian
atau penerimaan rasuah adalah disebabkan seseorang itu telah tidak
memegang amanah yang diberikan kepadanya.

4
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

2.0 Rasuah Dan Pecah Amanah Dan Dari Perspektif Undang-


Undang Sivil

Kedudukan dan Tugas Pengarah dalam Syarikat.


Apabila membincangkan amalan rasuah dan pecah amanah di kalangan
pengarah syarikat, adalah penting untuk melihat kedudukan dan tugas-tugas
yang dikenakan ke atas seorang pengarah dalam syarikat. Pengarah
merupakan pegawai yang diberi kuasa untuk bertindak bagi pihak
syarikatnya. Beliau merupakan wakil atau ejen bagi syarikatnya yang
bertanggungjawab menguruskan perniagaan di antara syarikat dengan
pihak-pihak lain.

Seksyen 4 Akta Syarikat 1965 mentafsirkan pengarah sebagai mana-mana


orang yang mengisi jawatan pengarah di sesebuah organisasi di bawah apa
jua nama jawatan yang diberi. Ia juga memasukkan pengarah sebagai salah
seorang daripada pegawai sesebuah organisasi selain daripada setiausaha
dan pekerja. Menurut seksyen ini lagi, “Pegawai syarikat bagi sebuah
syarikat termasuklah…pengarah syarikat,….”

Seringkali berlaku kesilapan atau salah faham berhubung dengan


kedudukan pengarah dalam sesebuah syarikat atau apakah hubungan antara
seorang pengarah dengan syarikat yang diuruskannya. Antara salah tanggap
ini ialah pengarah adalah pemilik syarikat.

Selain daripada pengarah, Lembaga Pengarah berfungsi sebagai badan yang


melaksanakan kesemua urusan syarikat seperti meminjam wang,
menguruskan kewangan syarikat, menandatangani cek dan sebagainya. Ia
juga diberi kuasa untuk membuat keputusan bagi pihak syarikat di samping
menyelia pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan syarikat dalam
melaksanakan tugasan mereka. Dengan kata lain, pengarah-pengarah

5
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

syarikat bertanggungjawab bagi memastikan bahawa syarikat beroperasi


mengikut landasan undang-undang.

Kesemua di atas menggambarkan bahawa pengarah adalah seorang pekerja


atau pegawai yang diberikan kedudukan tertinggi dalam sesebuah syarikat
yang diberikan sepenuh kepercayaan oleh ahli-ahlinya untuk mengetuai dan
mewakili syarikat tersebut.

Akta Syarikat 1965 menggariskan beberapa elemen yang boleh


menyebabkan seseorang itu tidak layak untuk memegang jawatan pengarah
seperti tidak mampu membayar hutang (bankrap), berusia lebih daripada 70
tahun tertakluk kepada Seksyen 129(6) Akta Syarikat 1965 dan telah
disabitkan dengan kesalahan jenayah berkaitan pengurusan syarikat.

Dalam konteks ini, Seksyen 130 Akta Syarikat 1965 memperuntukkan


bahawa pengarah yang disabitkan dengan kesalahan jenayah tertentu tidak
layak untuk mengurus syarikat selama tempoh 5 tahun kecuali
diperintahkan oleh mahkamah sebaliknya. Di antara kesalahan-kesalahan
jenayah tersebut adalah kesalahan yang melibatkan penipuan atau tindakan
tidak jujur di mana Seksyen 132 menghendaki pengarah supaya sentiasa
bertindak dengan jujur pada setiap masa dalam menjalankan tugasnya dan
tidak menyalahgunakan maklumat yang didapati untuk kepentingan diri
sendiri. Contoh kesalahan penipuan dan tindakan tidak jujur adalah seperti
mencuri (Seksyen 378 Kanun Keseksaan), menyalahgunakan harta benda
milik syarikat (Seksyen 403 Kanun Keseksaan), pecah amanah (Seksyen
405 Kanun Keseksaan) dan menipu (Seksyen 415 Kanun Keseksaan).

Menyentuh mengenai tanggungjawab-tanggungjawab seorang pengarah,


secara umumnya ia merangkumi tiga kategori iaitu tanggungjawab

6
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

fidusiari, tanggungjawab menjalankan tugas mengikut kemahiran, berhati-


hati dan tekun serta tanggungjawab statutori :

i) Tanggungjawab fidusiari adalah kewajipan yang diberikan di bawah


common law yang terpakai di Malaysia dalam keadaan yang sesuai dan
perlu. Seksyen 132(1) Akta Syarikat 1965 memperuntukkan ”Pengarah
hendaklah bertindak dengan jujur dan menggunakan kerajinan yang
munasabah dalam melepaskan kewajipan-kewajipan jawatannya”.

Jelas di sini bahawa pengarah syarikat hendaklah pada setiap masa


bertindak dengan jujur dan menunjukkan ketekunan yang munasabah demi
memelihara kepentingan syarikat dan tidak membiarkan kepentingan diri
sendiri bercanggah dengan tugasnya. Beliau tidak boleh mengaut
keuntungan untuk diri sendiri dalam sebarang transaksi di mana beliau
bertindak bagi pihak syarikat. Jika secara rahsia beliau mendapat
keuntungan, maka ia perlulah diserahkan kepada syarikat. Prinsip ini
menunjukkan bahawa seorang pengarah adalah pemegang amanah
syarikatnya. Sebagai contoh, pengarah sebuah syarikat yang juga menjadi
pengarah sebuah syarikat yang lain di mana kedua-dua syarikat terlibat
dalam persaingan. Kes IDC lwn Cooley (1972) 2 All ER 162 menjelaskan
bahawa dalam situasi sedemikian, pengarah tersebut terpaksa membuat
pilihan untuk memilih syarikat mana yang beliau patut tarik diri daripada
menjadi pengarah. Kes dari Malaysia, Avel Consultants Sdn Bhd & SL lwn
Mohamed Zain Yusof & YL [1985] 2 MLJ 209 telah diputuskan bahawa
undang-undang adalah jelas bahawa seorang pengarah mempunyai
kewajipan fidusiari terhadap syarikatnya. Oleh itu, dia tidak boleh
bertindak di mana akan timbul konflik antara kepentingan peribadinya
dengan kepentingan syarikatnya.

7
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Tanggungjawab fidusiari ini juga menghendaki pengarah agar bertindak


dengan niat baik (bona fide) untuk kepentingan syarikat dalam menjalankan
tugasnya. Jika pengarah mengutamakan kepentingan pihak lain selain
daripada syarikatnya, maka pengarah dianggap telah melanggar
tanggungjawab tersebut dan melakukan pecah amanah. Justeru, pengarah
terikat untuk melaksanakan tugasnya dengan jujur dan ikhlas (Re Smith &
Fawcett Ltd. (1942) 1 All ER 542).

Seksyen 131 Akta Syarikat 1965 menghendaki pengarah agar melaporkan


dengan segera sebarang kepentingan dirinya kepada syarikat jika berlaku
percanggahan antara kepentingan dirinya dan kepentingan syarikat. Jika
beliau berdiam diri, maka beliau telah melanggar kewajipan fidusiarinya
dan boleh dihukum penjara maksima 3 tahun atau denda maksima
RM10,000.

Hakim Raja Azlan Shah dalam kes Raja Nong Chik lwn Pendakwa Raya
[1971] 1 MLJ 190 telah memberikan suatu rumusan yang begitu penting di
mana pengarah syarikat diharapkan oleh masyarkat supaya bersifat
bermoral dalam berurusniaga. Pengarah hendaklah menunjukkan peribadi
tinggi dalam hubungan mereka yang melibatkan saham-saham mereka.
Mereka boleh menjual atau membeli saham-saham dalam syarikat mereka
sendiri melalui jual beli biasa dan tidak mengapa jika mereka mempunyai
pengetahuan yang lebih mengenai syarikat mereka berbanding dengan
orang lain. Tetapi apabila mereka menjual atau membeli saham-saham
tersebut, mereka hendaklah memaklumkan kepada syarikat secara bertulis
dalam masa tujuh hari jual beli itu dilaksanakan.

Selain daripada itu, terdapat beberapa seksyen lain yang memperuntukkan


kewajipan khusus seorang pengarah berhubung dengan kewajipan berlaku
jujur oleh seorang pengarah. Antaranya ialah:

8
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

1. Seksyen 132A - Transaksi melibatkan sekuriti.


2. Seksyen 132B - Larangan menyalahgunakan maklumat dalam kapasiti
rasmi.
3. Seksyen 132C - Kelulusan dari syarikat bagi pelepasan harta syarikat
oleh pengarah.
4. Seksyen 135 - Tugas umum untuk membuat pendedahan.

Di bawah tanggungjawab fidusiari juga, pengarah tidak boleh


menggunakan kuasa sewenang-wenangnya tetapi hendaklah menggunakan
kuasa yang diberikan untuk tujuan yang betul dan telah ditentukan.

ii) Tanggungjawab menjalankan tugas mengikut kemahiran, berhati-


hati dan tekun merupakan aspek tanggungjawab pengarah untuk
memperlihatkan kebolehannya dalam mengurus syarikat berdasarkan
pengetahuan dan pengalamannya. Walau bagaimanapun, beliau tidak perlu
melampaui tahap yang munasabah yang dijangkakan daripada seseorang
biasa yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang sama sepertinya.
Akta Syarikat 1965 tidak menggariskan sebarang syarat kelayakan
pendidikan minima untuk menjadi seorang pengarah. Adalah tidak perlu
bagi seorang pengarah syarikat mempunyai apa-apa kelayakan khas untuk
menyandang jawatannya.

Pengarah juga hendaklah tidak bertindak cuai dalam melaksanakan


tugasnya yang diukur daripada tindakan munasabah yang dijangkakan
dilakukan oleh seorang yang biasa. Diputuskan dalam kes yang tersebut di
atas bahawa pengarah hendaklah bertindak secara berhati-hati dengan
munasabah. Jika tanggungjawab ini dilanggar, maka pengarah boleh
diambil tindakan oleh syarikat bagi menuntut gantirugi (Seksyen 132(3)).

9
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

iii) Tanggungjawab di bawah statut pula adalah tertakluk kepada


penetapan di bawah Akta Syarikat 1965. Secara umumnya, pengarah
bertanggungjawab untuk memastikan perjalanan syarikat agar selaras
dengan undang-undang. Seksyen 131 Akta tersebut menghendaki pengarah
supaya mengemukakan maklumat-maklumat tertentu kepada syarikat
terutamanya jika wujud potensi berlakunya percanggahan kepentingan.
Seksyen 135 menyenaraikan maklumat-maklumat tersebut yang perlu
dilaporkan secara bertulis seperti butir-butir kepentingan dalam syer,
debentur, opsyen, kontrak, kepentingan dalam syer syarikat, keuntungan
rahsia dan sebagainya. Jika gagal, pengarah tersebut boleh dihukum penjara
maksima 3 tahun atau denda maksima RM15,000.

Rasuah dan Akta Pencegahan Rasuah 1997


Rasuah atau lazim juga dikenali sebagai suapan adalah satu jenayah
mengikut undang-undang jenayah Malaysia. Satu akta telah digubal khusus
bagi jenayah ini iaitu Akta Pencegahan Rasuah 1997 (APR 1997). Tujuan
akta ini ialah bagi menyediakan peruntukan-peruntukan berkaitan dengan
pencegahan rasuah dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Selain daripada tiada definisi yang khusus bagi rasuah, istilah rasuah juga
tidak digunakan dalam memberi takrifan bagi perbuatan rasuah dalam APR
1997, sebaliknya perkataan suapan telah digunakan bagi menunjukkan
perbuatan rasuah. Meskipun begitu, akta telah menggariskan keadaan-
keadaan yang dapat dikategorikan di bawah maksud suapan. Suapan
mengikut Seksyen 2. Akta ertinya:

10
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

a) Wang, derma, alang, pinjaman, fee, hadiah, cagaran …


b) Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau
perkidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan
pekerjaan…
c) Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa
pinjaman…
d) Apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun…
e) Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain…
f) Apa-apa tawaran, akujanji atau janji…

Dalam Bahagian III, akta telah menyediakan peruntukan berhubung


kesalahan dan penalti bagi kesalahan suapan. Seksyen 10 memberi
gambaran jelas tentang kesalahan menerima atau memberi rasuah yang
mungkin dilakukan oleh mana-mana orang sama ada oleh dirinya sendiri
atau melalui atau bersama orang lain. Seksyen ini memperuntukkan
”Mana-mana orang yang sendiri atau bersama dengan mana-mana orang
lain:

(a) Secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju untuk


menerima bagi dirinya atau bagi mana-mana orang lain; atau
(b) Secara rasuah memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada
mana-mana orang sama ada bagi faedah orang itu atau faedah
orang lain, apa-apa suapan sebagai dorongan untuk atau upah bagi
atau selainnya ...adalah melakukan suatu kesalahan”.

Seksyen 11 pula menetapkan kesalahan yang mungkin dilakukan oleh


seorang ejen iaitu sama ada bersetuju memberi atau menerima atau
memperoleh apa-apa suapan sebagai balasan kepada sesuatu perbuatan lain.
Perbuatan memberi atau menerima suapan dianggap sebagai satu kesalahan
meskipun perbuatan itu tidak berjaya dilaksanakan seperti yang diniatkan

11
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

(Seksyen 12 APR 1997). Antara kategori perbuatan yang boleh tersabit


dengan kesalahan rasuah yang dinyatakan secara khusus di dalam akta ialah
seperti melakukan suapan bagi mendapatkan atau menarik balik tender
yang diperolehi (Seksyen 13 APR), penyogokan terhadap pegawai awam
(Seksyen 14) dan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat
suapan (Seksyen 15).

Jika diteliti semua peruntukan berkaitan dengan rasuah di dalam akta ini
tidak hanya terkhusus kepada kategori jawatan tertentu atau bidang-bidang
tertentu sahaja malah merangkumi semua jenis pekerjaan dan urusan.
Selain daripada APR 1997, terdapat akta-akta lain yang turut menyediakan
peruntukan berhubung kesalahan jenayah rasuah seperti Akta Bank dan
Institusi-institusi Kewangan 1989, Akta Pertaruhan 1953, Akta Rumah
Perjudian Terbuka 1953, Akta Hakcipta 1987, Akta Kastam 1967, Akta
Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta)
1988 dan Akta Bahan Letupan 1957. Antara ciri-ciri rasuah ialah ia
dilakukan secara sulit. melibatkan pecah amanah. memperoleh keuntungan
atau kepentingan peribadi, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.
Rasuah boleh dilakukan samada dilakukan melalui pujukan, paksaan atau
ugutan.

Penalti bagi kesalahan rasuah ialah hukuman bagi perbuatan menerima atau
memberi suapan iaitu jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan untuk
tempoh yang paling minima 14 hari sehingga maksima 20 tahun dan denda
dengan jumlah lima kali nilai suapan atau RM10,000 (yang mana lebih
tinggi) (Seksyen 16).

Pecah Amanah di bawah Kanun Keseksaan


Peruntukan undang-undang berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa dan
amanah boleh didapati dalam Kanun Keseksaan dalam Seksyen 405

12
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

hinggalah 409. Selain daripada itu, ada peruntukan lain yang melibatkan
penyalahgunaan harta syarikat, iaitu di bawah Seksyen 403.

Seksyen 402A memberi takrifan ejen, syarikat, pengarah dan pegawai.


Menurut Seksyen 402A “ejen termasuk …perbadanan atau orang lain yang
bertindak bagi pihak syarikat... sama ada ejen, rakan kongsi,
kerani...pengarah, pengurus...”. Peruntukan seksyen ini memberi tafsiran
bahawa pengarah syarikat juga adalah merupakan ejen syarikat kerana
mereka adalah individu yang bertindak bagi pihak syarikat. Definisi dalams
seksyen ini adalah selaras dengan takrifan yang diberikan di dalam Akta
Syarikat 1965.

Bagi perbuatan pecah amanah, Seksyen 405 antara lain memperuntukkan


bahawa mana-mana orang yang telah diamanahkan dengan harta telah
menyalahgunakan atau menukar harta tersebut sebagai hartanya atau
dengan secara tidak jujur menggunakan harta tersebut dengan cara
melanggar mana-mana arahan undang-undang adalah dikatakan telah
melakukan pecah amanah. Kesalahan pecah amanah, jika sekiranya sabit
kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 406 iaitu boleh dipenjarakan
untuk tempoh yang tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari
sepuluh tahun, rotan dan juga denda.

Jika dilihat peruntukan ini, kesalahan pecah amanah boleh mengakibatkan


seseorang pelakunya menerima tiga hukuman sekaligus iaitu penjara, rotan
dan denda. Walau bagaimanapun, adalah dirasakan hukuman penjara
minima yang dikenakan adalah sangat rendah iaitu hanya setahun sahaja.

Jika dikaji peruntukan di dalam Akta Syarikat, terdapat beberapa seksyen


yang secara tidak langsung digubal bagi mengelakkan berlakunya pecah
amanah di kalangan pengarah syarikat. Sebagai contoh, Seksyen 132C yang

13
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

menghendaki sebarang perbuatan untuk mendapatkan atau melupuskan


harta syarikat oleh pengarahnya mestilah mendapat kelulusan daripada
syarikat. Oleh kerana perbuatan pecah amanah boleh dilakukan oleh
pengarah syarikat pada bila-bila masa, maka seksyen ini dilihat sebagai satu
seksyen yang mampu menyekat kerakusan pengarah syarikat untuk
berurusan dengan harta syarikat dengan sewenang-wenangnya.

3.0 Rasuah Dan Pecah Amanah Dari Perspektif Islam


Rasuah atau risywah ditakrifkan secara literalnya sebagai penyambung
yang dapat menyampaikan tujuan dengan barang atau harta sogokan. Islam
melarang dengan keras amalan rasuah kerana ia adalah satu daripada ciri
kezaliman dan penindasan yang boleh membawa kepada kehancuran
sesebuah kerajaan atau negara. Dalam konteks ini Allah berfirman:

ÏΘ$¤6çtø:$# ’n<Î) !$yγÎ/ (#θä9ô‰è?uρ È≅ÏÜ≈t6ø9$$Î/ Νä3oΨ÷ t/ Νä3s9≡uθøΒr& (#þθè=ä.ù's? Ÿωuρ

∩⊇∇∇∪ tβθßϑn=÷ès? óΟçFΡr&uρ ÉΟøOM}$$Î/ Ĩ$¨Ψ9$# ÉΑ≡uθøΒr& ôÏiΒ $Z)ƒÌ sù (#θè=à2ù'tGÏ9

Maksudnya:
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain)
di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu
menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana
hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan
(berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.

Surah al-Baqarah, 2: 188

14
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Hadis daripada Rasulullah telah menjelaskan bahawa kedua-dua pemberi


dan penerima rasuah akan dimasukkan ke dalam neraka. Dari Abu Hurairah
r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Allah melaknati pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam


hukum.”
(Riwayat Tarmizi, Ahmad & Ibn Majah)

Manakala dalam hadis yang lain, disebutkan bahawa Allah melaknat orang
yang memberi rasuah, menerima rasuah dan orang yang menjadi perantara
kedua-duanya.
(Riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Hibban)

Jelas bahawa sebagaimana haram memberi rasuah, haram juga


menerimanya. Malah dosa rasuah tidak terbatas hanya kepada pemberi
rasuah dan penerimanya sahaja kerana ia melibatkan pihak ketiga yang
bertindak sebagai perantara.

Hadiah kepada seseorang yang memegang sesuatu jawatan tertentu dalam


pentadbiran juga merupakan satu bentuk rasuah. Pegawai yang ditugaskan
untuk mengutip sedekah, jizyah dan cukai yang dikenakan oleh kerajaan
tidak boleh menerima sebarang hadiah daripada rakyat kerana ia dianggap
sebagai penerimaan rasuah. Dalam konteks ini, Rasulullah telah
mengamanahkan Abdallah bin Luthbiyyah supaya mengutip zakat daripada
puak Bani Sulaim. Di dalam laporannya Abdallah berkata : ”Jumlah
sebanyak ini telah dikutip sebagai zakat manakala selebihnya diberikan
sebagai hadiah”. Apabila mendengarnya, Rasulullah berkata “Jika kamu
tinggal dalam rumah ibu atau bapa kamu, adakah seseorang akan memberi
pemberian itu jika kamu benar-benar jujur?” Riwayat Muslim mengatakan
bahawa Rasulullah berdiri di atas mimbar lalu bersabda: “Tidak akan ada

15
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

seorang pun di antara kamu yang mengambil hadiah itu melainkan pada
hari Kiamat dia akan datang memikul hadiah itu sementara di lehernya
ada unta atau sapi atau kambing yang mengeluarkan suara yang berat”.

Oleh yang demikian, jelas bahawa hadiah seumpama ini tidak boleh
diterima dan jika diterima hendaklah diserahkan kepada Baitulmal untuk
kegunaan masyarakat. Imam Nawawi dalam kitab “Sahih Muslim Bi
Syarhin Nawawi” menjelaskan bahawa hadis tersebut adalah haram
hukumnya. Haram hadiah itu adalah kerana jawatan yang dipangku oleh
seseorang itu. Sekiranya hadiah itu biasa diberikan sejak orang itu belum
memegang jawatan tersebut, maka hukum menerima hadiah itu adalah
harus.

Di zaman pemerintahan Khalifah Abu bakar, Khalid bin al-Walid telah


mengenakan jizyah terhadap penduduk Hirah di Syria. Penduduk Hirah
sangat tertarik hati dengan keadilan orang Islam dan hubungan mesra serta
tingkahlaku mereka yang baik. Justeru, penduduk Hirah bertegas untuk
mengirim hadiah kepada Khalifah Abu Bakar. Khalid al-Walid tidak dapat
menghalang mereka daripada berbuat demikian. Namun, Khalifah Abu
Bakar menerimanya sebagai sebahagian daripada cukai yang diwajibkan
dan mengurangkan jumlah sebenar pembayaran dan menghantarnya ke
Baitulmal.

Khalifah Umar al-Khattab di zamannya pernah berpesan kepada semua


menterinya : “Berhati-hati dengan pemberian kerana pemberian tersebut
membentuk sebahagian daripada rasuah”.

Dalam masyarakat moden ini rasuah kelihatan diberi secara berleluasa dan
diterima atas alasan hadiah.

16
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Khalifah Umar bin Abdul Aziz menolak sama sekali sebarang hadiah bagi
menjaga dirinya daripada terlibat dengan rasuah. Seorang lelaki telah
menemuinya dan memberitahu bahawa Rasulullah pernah menerima
hadiah, tetapi beliau menjawab: “Itu sebenarnya pemberian untuk baginda
tetapi bagi kita, itu sebenarnya rasuah. Pemberian kepada baginda
tersebut adalah kerana orang mahu mendekati baginda kerana
kerasulannya dan bukan kerana pemerintahannya, sedangkan mereka
mahu mendekati kita kerana kedudukan (jawatan) kita”.

Di sini, Rasulullah menerima hadiah tersebut untuk diberikan kepada


orang-orang miskin. Mereka yang membawa hadiah tidak mempunyai
tujuan lain yang tersembunyi. Menurut baginda, hadiah boleh membantu
menghilangkan rasa kebencian dan menambahkan rasa kasih sayang.

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah memberikan peringatan : “Akan tiba
masanya apabila rasuah dijadikan halal oleh rakyat melalui hadiah dan
pembunuhan melalui penasihat”.

Justeru, kesedaran mengenai bahaya rasuah telah lama diakui atau disemai
oleh ajaran Islam yang mengharamkannya secara mutlak tanpa bertolak-
ansur memandangkan kesannya yang terlalu serius baik kepada individu
sendiri, keluarganya mahupun kepada agama, bangsa dan negara.

Dilihat isu rasuah oleh pengarah syarikat, tidak dinafikan bahawa pengarah
syarikat adalah seorang yang paling rapat dengan syarikat. Justeru itu,
mereka adalah berisiko tinggi untuk terdedah dengan penglibatan rasuah.
Pengarah syarikat yang beragama Islam seharusnya memandang perbuatan
rasuah sebagai satu dosa besar yang akan mendapat pembalasannya di
dunia dan di akhirat.

17
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Berhubung dengan tindakan pecah amanah pula, Islam menggariskan


bahawa sebagai seorang Islam, tugas adalah amanah. Pengarah syarikat
bukan sekadar mempunyai pangkat dan darjat yang tinggi di mata
masyarakat malah mempunyai tanggungjawab yang berat dalam
melaksanakan amanah yang diberikan. Seorang pengarah syarikat yang
telah diamanahkan sama ada dengan tugas atau harta syarikat perlulah
memegang amanah tersebut dan tidak sepatutnya dikhianatinya. Seorang
pengarah yang tidak menjalankan tugasnya dengan penuh amanah dan
bertanggungjawab akan dianggap seorang yang munafik. Rasulullah pernah
menyebut tiga tanda munafik iaitu pertama, apabila bercakap dia sentiasa
bohong, kedua, apabila berjanji dia tidak pernah tunaikannya dan ketiga,
apabila diamanahkan dia mengkhianatinya (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam satu hadith yang lain, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

“Ketahuilah! Tidak beriman sesiapa yang tiada amanah”.


(Riwayat Imam Ahmad)

Meskipun tidak terdapat ayat al-Quran khusus berhubung dengan pecah


amanah tetapi hadis Rasulullah di atas sudah jelas menunjukkan perbuatan
pecah amanah yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang yang
mengaku dirinya Islam.

4.0 Punca Rasuah Dan Pecah Amanah Serta Penyelesaiannya


Menurut Islam
Satu persoalan yang harus diutarakan, mengapa individu/pengarah syarikat
yang beragama Islam sanggup melakukan rasuah dan pecah amanah?
Adakah mereka tidak tahu langsung hukum-hakam yang telah ditetapkan
oleh Islam. Bagaimana pula dengan undang-undang sivil? Alasan kejahilan

18
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

undang-undang sivil adalah tidak mungkin atau mustahil sama sekali untuk
diterima kerana isu ini sering didedahkan oleh media.

Dari sudut sosial, beberapa punca rasuah dan pecah amanah yang mungkin
boleh dikenalpasti ialah antaranya kerana hilang amanah, tamak, terlalu
utamakan keuntungan dan tidak dapat membezakan antara kepentingan diri
dan tugas atau tanggungjawab. Dalam ertikata lain hilang sifat
akauntabiliti. Salah tanggap bahawa syarikat milik pengarah juga mungkin
menjadi penyebab kepada tindakan berani pengarah menggelapkan wang
dan harta syarikat. Persoalan yang lebih perlu ditanya ialah kenapa sifat-
sifat di atas wujud? Dilihat permasalahan ini dari kaca mata Islam,
dirasakan tiada nilai dan etika serta kurang penghayatan terhadap Islam
adalah punca wujudnya sifat-sifat di atas yang seterusnya mendorong
kepada berlakunya kes-kes penyalahgunaan harta dan kuasa serta perlakuan
suapan di kalangan pengarah syarikat muslim. Islam melihat perkara ini
berpunca dari tiga iaitu tiada penghayatan terhadap Islam itu sendiri.

Persoalan seterusnya ialah meskipun negara kita telah mempunyai pelbagai


undang-undang bagi menangani dan seterusnya menghukum pesalah bagi
kesalahan jenayah ini, mengapakah kes-kes semakin bertambah dengan
jumlah suapan dan pecah amanah yang sangat tinggi? Jika dibuat
perbandingan dengan kesalahan jenayah bunuh dan dadah, hukuman yang
paling berat yang telah diperuntukkan ialah gantung mandatori. Pun begitu,
kes tidak juga berkurangan. Apatah lagi dengan hukuman penjara selama
minima empat belas hari atau setahun, rotan dan denda, mungkin dirasakan
tidak seberapa oleh individu yang melakukan jenayah ini. Faedah yang
diperolehi dari suapan atau pecah amanah tentunya melebihi dari hukuman
yang bakal diterimanya. Justeru itu, dirasakan hukuman mengikut undang
sivil bukanlah jalan yang terbaik untuk menghapuskan atau
menyelesaikankan masalah ini. Satu mekanisme lain adalah diperlukan bagi

19
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

memastikan gejala ini tidak menjadi amalan harian di kalangan pengarah


syarikat.

Semestinya, pendidikan di akar umbi sangat penting bagi menjamin bakal-


bakal pengarah syarikat telah disemai dengan ilmu Islam dari segi akhlak,
etika dan moralnya berhubung dengan perkara ini. Memandangkan betapa
seriusnya masalah rasuah dan kepentingan pendidikan terhadap isu ini,
melalui Pekeliling Ikhtisas Bil 17/1998 kerajaan telah memasukkan elemen
mencegah rasuah dalam Kurikulum Sekolah dan IPT. Selain daripada itu,
di peringkat IPT mata pelajaran Etika dan Moral dan Asas Pembudayaan
Keusahawanan telah diserapkan sebagai satu kursus wajib di universiti di
mana semua pelajar adalah dikehendaki untuk mengambilnya.

Penyelesaian menurut kaca mata Islam ialah seseorang Islam perlu kembali
kepada ajaran Islam itu sendiri. Seseorang Islam perlulah faham dan akur
bahawa Islam dibangunkan atas 3 asas penting iaitu akidah, ibadah dan
akhlak.

Tauhid/akidah
Dari sudut akidah, seseorang Islam perlulah percaya kepada kewujudan dan
keesaan Allah, percaya dengan setiap rukun dalam Rukun Islam, percaya
dan patuh apa yang disuruh dan dilarang, percaya apa yang disampaikan
oleh RasulNya, percaya tentang balasan yang akan diterima di akhirat kelak
serta percaya kepada qadha dan qadar rezeki masing-masing. Kepercayaan
kepada perkara-perkara di atas dilihat sebagai benteng kepada seorang
pengarah dan mampu menghalang kecenderungan mereka untuk melakukan
jenayah rasuah dan pecah amanah.

20
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Ibadah dan Akhlak


Dari sudut ibadah pula, dilihat amalan sembahyang sebagai contoh, ia
mampu untuk mencegah kemungkaran/maksiat, puasa dan haji hikmahnya
mampu untuk meningkat ketakwaan kepada Allah dan seterusnya
pemberian zakat sebagai lambang penyucian diri dan penambahan rezeki.
Jika sekiranya ibadah seseorang pengarah adalah mantap, maka rasuah dan
pecah amanah akan dilihatnya sebagai suatu mungkar dan dosa, pasti tidak
akan dilakukannya. Orang-orang yang berakhlak tinggi tidak akan
memasukkan dirinya dalam perkara-perkara yang dilakukan oleh orang
rendah akhlaknya.

Berdasarkan kepada perbincangan punca di atas, maka secara tidak


langsung jawapan kepada penyelesaiannya juga perlu berbalik kepada
punca tersebut. Mantapkan tiga asas Islam maka semua falsafah, konsep,
etika perniagaan/pekerjaan dapat difahami dan dihayati oleh seseorang
individu.

Seorang pengarah perlu percaya terhadap kewujudan dan kekuasaan Allah


dan juga kebenaran janji-janji keesaan Allah. Dalam konteks perniagaan
atau pekerjaan pengarah syarikat perlu tanamkan fahaman bahawa Allah
adalah pemberi rezeki. Kesan tauhid ini dalam diri pengarah syarikat
mampu memberi misi yang jelas dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Ia
juga dilihat mampu membentuk peribadi yang seimbang dari segi roh dan
jasad, akal dan nafsu serta dunia akhirat. Selain daripada itu, ia mampu
memjadi sumber ketenangan dan kebahagian jiwa. Seseorang pengarah
tidak takut kepada ketiadaan rezeki kerana yakin rezeki adalah datangnya
dari Allah. Seterusnya keberkatan dalam memperolehi rezeki adalah lebih
penting dari nilai atau jumlah rezeki itu sendiri. Daripada keimanan ini
dengan sendirinya akan melahirkan insan berakhlak mulia iaitu muslim
yang takut untuk melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah.

21
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Falsafah Perniagaan/Pekerjaan
Selain daripada pegangan terhadap tauhid di atas, pengarah juga perlu
menerapkan falsafah perniagaan dan pekerjaan dalam diri mereka.
Antaranya ialah harta adalah alat bukan matlamat, ia dicari untuk mentaati
dan mendekati Allah semata-mata. Setiap pekerjaan (termasuk jawatan dan
tugas) adalah amanah. Justeru itu, perlulah dilakukan dengan betul dan
sebaik mungkin. Selain daripada amanah, pekerjaan juga adalah ibadah,
justeru pelaksanaannya mengikut syariat Islam akan membuahkan ganjaran
pahala. Seseorang pengarah tidak boleh tamak dan sepatutnya merasa
cukup atau berpada dengan rezeki yang diperolehi. Dengan tersemai dan
terterapnya perkara-perkara di atas, InsyaAllah, seorang pengarah muslim
mampu menghindari dirinya daripada terjebak dalam gejala rasuah dan
pecah amanah yang sering dilakukan oleh pengarah-pengarah syarikat masa
kini.

5.0 Kesimpulan Dan Penutup


Sebagai penutup, terbukti bahawa rasuah dan pecah amanah adalah
merupakan satu kesalahan jenayah baik dari sudut undang-undang Islam
mahupun undang-undang sivil. Tidak keterlaluan jika dikatakan penyakit
ini semakin menular dalam masyarakat dan tidak terkhusus kepada
pengarah syarikat sahaja. Kembali kepada Islam dilihat sebagai jalan yang
terbaik untuk membendung jenayah ini daripada menjadi semakin serius
dan melarat. Kepada pengarah dan bakal pengarah syarikat muslim, sama-
samalah mantapkan fahaman dan amalan berdasarkan saranan Islam kerana
hanya Islam yang dapat memberi penyelesaian kepada masalah ini.

22
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Rujukan
‘Abdul Rahman I. Doi (1995). Syariah: The Islamic Law. Terj. oleh Rohani
Abdul Rahim. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abu Bakar bin Yong. (2007). Rasuah: Terhakisnya Nilai Amanah Islam.
http://www.ikm.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_artcle&gr...
Akta Pencegahan Rasuah 1997. Kuala Lumpur: International Law Book
Services
Akta Syarikat 1965. Kuala Lumpur: International Law Book Services
AL-AHKAM online. Rasuah, Hadiah dan Sedekah (bah.1).
http://members.tripod./com/ahkam_2/soaljawab/soaljawab166.htm
Anti Corruption Resource Center. Islamic Approaches to Corruption.
Berita Perak. Etika dan Usahawan – `Sikap Tamak Selalu Rugi’.
http://berita.perak.gov.my/sekilaspandang/jan05.htm
Bribery. http://www.answers.com/topic/bribery
Chai Yong Seng. (1994). Criminal Breach of Trust. 2 MLJ xcvii; [1994] 2
MLJA 97.
Dato’ Dr. Syed Othman Alhabshee. (1996). Definition of Bribery
According to Islam. New Straits Times. 2 November 1996.
Director’s duties. http://www.skyanderson.com/articles/directors_duties.asp
Dr. Md Ishak Ismail, Nur Fa’izah bt Abu Bakar. Tadbir Urus Korporat –
Peranan dan Kepentingan Terhadap Sektor Korporat.
http://www.micg.net/research/TADBIR%20URUS%20KORPORAT%20D
ANETIKA20%PERNIAGAAN_2.pdf
Frent Fisse. (1992). Fraud and The Liability of Company Directors –
Directors’ Liability for Fraud: A Changing Scene. Australian Institute of
Criminology. AIC Conference Procedings No 10.

23
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Ghafani Awang. (2008). The Islam Forbids Bribery Since It Initiates


Cruelty. 29 Mei 2008.
http://www.islam.gov.my/portal/lihat.php?jakim=3239
Hillary Sale. (2006). Federal Ficuciary Duties for Directors. Law and
economic workshop.
http://repositories.cdlib.orgberkeley_law_econ/spring2006/7
http://www.bpr.gov.my/cda/m_penerbitan/art_details.php?id=5&cru...
9/3/2008 4:26pm
Jagir Singh. (1994). Law of Bribery and Corruption in Malaysia with
Commentaries. Kuala Lumpur: International Law Book Services.

Kanun Keseksaan

K.Madhavan. Investigation of Cases Relating to Criminal Misappropriation


and Criminal Breach of Trust.
Kilpactrik Stocktone LLP.(2003). Director Fiduciary Duties After
Sarbanes-Oxley. Georgia.
Mehmet Ali Gurol. A Sine Qua Non of The Business World Today:
Corporate Economic crime. Proceedings 8th Annual Hawaii International
Conference on Business. 22-25 Mei 2008.
Menceah Rasuah Melalui Kaedah Pendidikan. Harian Online. (1998).
http://161.139.39.251/akhbar/Corrup.practice/1998/bh98217.htm
Mervyn K. Lewis. (2006). Accountability and Islam. Proceedings Fourth
International Conference on Accounting and Finance in Transition.
Adelaide. 10-12 April 2006. 1-16
Mohd Noor Omar. Perspektif Ikim: Laksana Mandat Ikut Hak,
Kepentingan – Mengutamakan Keuntungan Peribadi Punca Penyelewangan
dalam Syarikat, Agensi. http://mois.gov.my/document/perspektif.Ikim.pdf

24
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Mohd. Azam Hamzah dan Md. Akhir Haji Yaacob (1986). Falsafah dan
Prinsip Perundangan Islam, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Muhammed Embeay. Fight Against Corruption, Islamic Perspective.
http://www.guardiannewsngr.com/friday_worship/article01/100306
Munir Quddus, Henri Bailey and Larry White (2005). Business Ethics –
Perspectives from Judaism, Christianity and Islam. 2005 Proceedings of the
Midwest Economic Association. 152-162
Prof Bernad S. Black. (2001). The Principal Fiduciary Duties of Boards of
Directors. Presentation at Third Asian Roundtable on Corporate
Governance. Singapore. 4 April 2001.
Prof. Madya Syed Omar bin Syed Agil. Garis Panduan Tingkah Laku Etika
Islam dalam Perniagaan. http://permai1.tripod.com/etika.html
Salleh Buang. (1997). Dimensi Baharu Masyarakat Malaysia: Makalah
Undang-undang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Samsar Kamar Latif (2000). Company Law of Malaysia.
Samsar Kamar bin Ab Latif. (2007). The new statutory duties and liabilities
of directors under the recent Companies (Amendment) Act 2007. 5 MLJ
cccxviii; [2007] 5 MLJA 318
SC: Pengarah, CEO yang melanggar undang-undang boleh dilucut
kelayakan dan disingkir.
http://www.sc.com.my/eng/html/resources/press/pr_20040205bm.html.
Star Online 19 Jun 2008. “Pengarah Dituduh Dengan Pecah Amanah
Melibatkan RM16 Million”
State Mufti’s office Brunei Darussalam. Rasuah: Gejala Masyarakat Yang
Perlu Dibanteras.
http://www.brunet.bn.gov.mufti/irsyad/pelita/2004/ic37_2004.htm
Statistik Jenayah Komersial. http://www.rp.gov.rmp03/statindeks2006.htm

25
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Kod Etika Pengarah Syarikat.


http://www.ssm.com.my/perkhidmatan_kod.php
The Free Dictionary. http://legal-dictionary.thefreedictionary.com/bribery
Utusan Online, 12 Jun 2008. “Pengarah Wanita Didakwa Pecah Amanah”
Utusan Online 21 Julai 2008. “Pengarah syarikat lanskap didakwa atas 6
tuduhan rasuah”
Walter Woon. (2000). Undang-undang Syarikat. Terj. Aishah Hj. Bidin.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Membangun usahawan cemerlang
http://www.geocities.com/warisanbumi2/Hemat/bangun.htm?2008200818
Datuk Dr. Syed Othman Alhabshee. Etika perniagaan.
http://www.vlib.unitarklj1.edu.my/staff-publication /datuk /CEMERLANG
.pdf
Prof Madya Syed Omar bin Syed Agil. Garis Panduan Tingkah Laku Etika
Islam Dalam Perniagaan. http://permai1.tripod.com/etika.html

26

You might also like