You are on page 1of 5

FAKTOR JEREBU

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sering
berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup
dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca
negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan
Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar
Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat kerana
Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada
tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang
kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua , “ jikalau tiada
angin, masakan pokok bergoyang ”.

Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialahpembakaran hutan secara besar-
besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga
boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat . Hal ini
berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara
jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina
infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran
hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa
jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks
Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan
menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu
berlakulah jerebu.

Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan juga


menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin
menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat negara pula melakukan pembakaran
terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap
mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Jadi, mereka telah
mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap daripada
pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa kepada masalah jerebu. Ada pula
sesetengah petani yang membakar jerami padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum
melakukan penanaman semula. Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada
di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya,
pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan jerebu.

Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas


hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah
kenderaan di jalan raya. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah menyebabkan
16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas
menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap pencemar. Gas-gas pencemar ini
merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat
dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang
terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan
menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di
atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini
menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.
Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak terkawal. Hal ini
berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut
keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang bagai enau
dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang yang
dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan
wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari
kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang
boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha
kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara.
Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan
keadaan jerebu di negara kita lagi.

Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang buruk kepada
manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula jadi tidaklah menyebabkan jerebu
yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya akur
dengan arus yang songsang ini, sebaliknya langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut
tersebut berada di luar kawalan persis kata orang tua-tua, “sebelum nasi menjadi bubur”. Sekiranya
masalah jerebu tidak mendapat perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai
cinta akan alam sekitar. Oleh itu, semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan
masalah berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan
selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu ketika nanti jika langkah-langkah pencegahan
tidak dimulakan dan dilakukan dari sekarang kerana pepatah melayu ada berbunyi, “sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI JEREBU
Mutakhir ini, arus globalisasi yang semakin menerjah di seantero dunia telah banyak membawa
perubahan kepada kehidupan seharian manusia di tanah air kita. Dalam keghairahan mengejar arus
modenisasi ini, kita sering dikejutkan dengan situasi negara kita yang sering mengalami masalah jerebu.
Berita buruk ini yang semakin menjadi-jadi ini dipaparkan pada dada akhbar saban hari. Hal ini telah
menjadi polemik orang ramai dari kedai kopi sehinggalah ke parlimen. Persoalan yang sering terlintas di
fikiran kita ialah mengapakah Malaysia selalu dilanda dengan krisis jerebu? Banyak jawapan yang
berlegar-legar di gawang minda kita kita. Namun begitu, masalah yang semakin serius ini perlu diatasi
dengan segera kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Kerajaan merupakan penawar mujarab dalam mengatasi masalah jerebu. Pihak kerajaan memikul
kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang termaktub dalam Akta Alam Sekitar.
Individu-individu yang telah mengingkari undang-undang dengan membakar sampah sarap secara
terbuka manakala pemaju kilang yang membiarkan pelepasan asap daripada kilang tanpa ditapis perlu
dikenakan hukuman yang lebih berat. Biarlah mereka menerima pengajaran supaya lebih peka terhadap
isu jerebu yang semakin kronik ini, kerana “sudah terhantuk baru tengadah”. Pemaju-pemaju kilang
yang mengamalkan sikap sebegitu bukan sahaja harus dikenakan saman yang lebih tinggi, malah premis
kilang mereka harus disita. Bagi memastikan masalah jerebu terkawal, kerajaan turut perlu mewajibkan
setiap kilang perindustrian supaya memasang sistem penapisan asap dalam kilang mereka untuk
mengurangkan penyaluran habuk dan gas-gas toksik ke dalam udara. Pada masa yang sama, Jabatan
Alam Sekitar haruslah menggemblengkan tenaga dengan organisasi bukan kerajaan untuk menjalankan
kempen kesedaran yang lebih efektif secara giat. Kempen kesedaran ini bukan sahaja dapat
menyedarkan orang ramai tentang perbuatan mereka yang menyumbang kepada masalah jerebu, malah
kempen tersebut mampu membekalkan mereka dengan informasi tentang langkah-langkah yang patut
diambil oleh setiap individu untuk membantu dalam mengatasi fenomena jerebu. Tuntasnya, kerajaan
menjadi pemangkin perdana bagi memastikan masalah jerebu dapat ditangani dengan cara yang efektif.
Selain itu, tindakan kerajaan yang lain dalam menangani masalah jerebu ialah pembenihan awan perlu
dilaksanakan demi menyekat keadaan jerebu daripada menular. Akibat daripada fenomena El-Nino, cuaca
kering dan kemarau telah melanda Malaysia. Keadaan ini memburukkan lagi keadaan jerebu. Dengan
demikian, kerja pembenihan awan terpaksa dilakukan untuk mendapatkan hujan. Apabila cuaca kering,
suhu awan menjadi tinggi, titisan air menjadi ringan, Titisan yang sangat ringan ini tidak dapat jatuh ke
bumi sebagai hujan. Oleh itu, iodin perak ataupun ais kering akan ditabur untuk menurunkan suhu awan
tersebut. Ais kristal akan terbentuk dan semakin membesar lalu ditarik oleh graviti, air kristal akan jatuh
ke bumi dan bertukar menjadi titisan air apabila cair akibat daripada suhu bumi yang panas. Hujan boleh
memainkan peranan penting apabila keadaan jerebu menjadi sangat serius. Hujan dapat membawa
bersama jerebu jatuh ke bumi, justeru masalah jerebu dapat diatasi dengan pembenihan awan.

Tidak dapat dinafikan juga ialah peranan ibu bapa dalam menangani fenomena jerebu. Ibu bapa
dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak mereka tentang langkah-langkah mencegah masalah
jerebu, menerusi pendidikan tidak formal. Ketika mereka masih di bangku sekolah, anak-anak diibaratkan
sebagai kain putih dan memerlukan bimbingan ibu bapa untuk membentuk jati diri mereka yang
sempurna. Sebagai memberi teladan kepada anak-anak mereka, mereka perlu memikul tugas untuk
memaparkan sikap mesra alam supaya sikap sebegitu tersemai dalam sanubari anak-anak mereka
sehingga menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan, bak kata pepatah, “alah bias tegal biasa”. Berpegang
pada prinsip “bagaimana acuan begitulah kuihnya”, anak-anak akan mengikut sikap ibu bapa
sebagai rakyat negara yang mengutamakan kebersihan udara. Dalam membentuk keperibadian mereka
supaya menjadi individu yang mengamalkan sikap mesra alam, ibu bapa juga diamanahkan dengan tugas
menyuburkan nilai-nilai murni, seperti nilai bertanggungjawab dan nilai peka terhadap isu-isu alam
sekitar dalam jiwa anak-anak untuk menyedarkan anak-anak tentang tanggungjawab mereka dalam
memelihara kebersihan udara. Ibu bapa turut diberikan tanggungjawab untuk membuka mata anak-anak
mereka terhadap isu jerebu melalui penyertaan dalam kempen-kempen kesedaran kerajaan. Melalui
langkah tersebut, anak-anak akan didedahkan kepada perkara serius ini sejak umur yang kecil lagi,
malah hal ini membantu mereka memahami impak jerebu terhadap negara supaya mereka dapat
menghulurkan bantuan dalam usaha menangani masalah jerebu. Maka, peranan ibu bapa dalam usaha
mengatasi fenomena jerebu turut mendatangkan impak positif kerana mereka menjadi penentu sahsiah
generasi muda.

Selain kerajaan dan ibu bapa, pemimpin-pemimpin negara perlu bertemu dengan pemimpin dari negara
jiran dan berbincangtentang kesan-kesan yang disebabkan oleh pembakaran hutan serta mencari cara
penyelesaian masalah bersama-sama. Pemimpin negara Indonesia boleh memainkan peranan dengan
merancang pembakaran hutan dengan teliti dan memikirkan cara mengurangkan implikasi negatif yang
dibawa oleh pembakaran hutan. Mereka juga patut melarang pembakaran hutan dan mengenakan
hukuman yang berat terhadap mereka yang melanggar peraturan tersebut. Dengan melaksanakan dan
menguatkuasakan undang-undang tersebut, maka masalah jerebu dapat diringankan.

Sebagai rakyat Malaysia kita boleh memainkan peranan kita dengan tidak membakar sampah sarap
secara terbuka. Hal ini kerana asap yang dihasilkan melalui pembakaran sampah sarap merupakan
antara penyumbang kepada jerebu dan sebagai akibatnya kesihatan manusia akan terjejas dan
membawa kepada pelbagai penyakit seperti sakit kerongkong, penyakit asma, pneumonia, barah paru-
paru dan sebagainya. Di samping itu, kita boleh melibatkan diri dalam aktiviti menyelamatkan alam
sekitar dengan menanamkan tumbuh-tumbuhan di sekitar kawasan rumah. Dengan adanya kerjasama
daripada masayarakat, masalah jerebu pasti dapat ditangani sebelumnasi menjadi bubur.

Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia. Bagi menyelesaikan


masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi dalam mengatasi masalah
tersebut, persis kata orang-orang tua, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Pelbagai langkah
perlu diambil demi mengelakkan masalah jerebu daripada berlaku lagi. Sekiranya Malaysia bebas
daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia dapat
berkembang maju dalam semua bidang terutamanya bidang pelancongan yang sememangnya
berpandukan cuaca dan iklim Malaysia. Marilah kita berusaha mengurangkan masalah jerebu dan
mewujudkan negara yang bebas jerebu untuk kepentingan bersama.

You might also like