Professional Documents
Culture Documents
Perbezaan dan kepelbagaian sosio-budaya sukar untuk dinafikan dalam sebuah Negara seperti
Malaysia yang lahir dari kelompok masyarakat yang berbilang etnik iaitu Melayu, Cina, dan
India yang menjadi majoriti terbesar serta kaum pribumi Sabah dan Sarawak serta orang asli
dan kaum – kaum lain menjadi kaum minoriti. Setiap etnik membawa sosio-budaya yang
berbeza yang diwarisi dari nenek - moyang yang terdahulu.
Sebelum membincangkan lebih lanjut berkaitan kepelbagaian sosio-budaya, terlebih dahulu
dihuraikan maksud budaya itu sendiri. Apakah yang dimaksudkan dengan sosio-budaya?
Menurut ensiklopedia bebas http://ms.wikipedia.org/ budaya atau kebudayaan (daripada
perkataan Sanskrit buddayah, yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi, yang
bermaksud budi pekerti atau akal) secara amnya membincangkan hal – hal berkaitan budi dan
akal manusia. Manakala daya ialah perkataan Melayu Polynesia bermakna kekuatan kuasa,
tenaga dan pengaruh. Apabila ke dua – dua perkataan ini dicantumkan (budaya) membawa
maksud tenaga, fikiran, usaha rohani atau kuasa yang menggerakkan jiwa.
Menurut Kamus Dewan Edisi ke 3,1996,m/s:180 menyatakan budaya dapat ditakrifkan
sebagai tamadun atau peradaban. Ia juga bermaksud kemajuan fikiran atau akal budi (cara
berfikir dan berkelakuan).
Dr. Mohd. Arshad Hj. Taib ( bekas professor Madya UiTM) telah menyatakan dalam laman
web http://dppwp.wordpress.com/usrah/pembangunan -sistem-sosio-budaya-islam-dalam-
kontek-masyarakat-malaysia/ maksud sosio-budaya ialah amalan yang berupa gaya hidup dan
peradaban bagi sesuatu masyarakat, lahir dari pegangan dan kecenderongan diri masyakarat
berkenaan dalam berbagai bidang hidup, untuk memberi kepuasan dan meransang
pembangunan hidup masyarakat tersebut.
Sementara itu menurut Andreas Eppink pula, kebudayaan ialah keseluruhan pengertian, nilai,
norma, ilmu pengetahuan serta struktur – struktur kemasyarakatan, keagamaan selain
penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri – ciri khas sesebuah masyarakat.
Pengertian sebegini dipersetujui oleh Edward B. Taylor. Beliau memandang budaya sebagai
satu konsep menyeluruh yang rumit yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan,
kesenian, tatasusila, undang – undang, adat resam dan lain – lain kebolehan serta kebiasaan
yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
Dalam konteks pendidikan, kepelbagaian sosio budaya individu itu bukan sahaja dilihat dari
ras, etnik dan adat budaya mereka sahaja. Malah ia juga merangkumi skop yang lebih besar.
Menurut Papalia (2001) individu manusia itu berbeza dari segi jantina, saiz badan, kesihatan,
tahap tenaga, personaliti dan emosi. Manakala Slavin (1997) pula mengaitkan perbezaan
individu dengan konteks pengajaran dan pembelajaran. Beliau mengatakan kepelbagaian
pelajar terdapat dalam tahap prestasi, kadar belajar, gaya kognitif, etnik, budaya, kelas sosial,
bahasa, jantina , bakat dan minat.
Kepelbagaian sosio-budaya di antara murid memberi implikasi secara langsung terhadap guru
dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Implikasi kepada guru
‘…kita mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan minda dan jiwa rakyat untuk
membawa kita kea rah wawasan yang ingin kita capai”
Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi PIPP 2006-2010 m.s 38
Pelajar pada masa kini, mempunyai potensi yang tinggi untuk dikembangkan supaya menjadi
rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab,
berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta member sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1988
Manakala menurut Dato’ Panglima Sri Najib Tun Abd. Razak, dalam konsep 1 Malaysia,
kerajaan perlu memulakan polisi yang kelihatan adil dan dilaksanakan dengan komitmen
membantu tanpa melihat ras dan etnik. Selagi seseorang itu memegang status sebagai warga
Negara Malaysia, mereka layak menerima bantuan tanpa melihat dari kaum mana mereka
datang. Setiap rakyat Malaysia sepatutnya berupaya untuk memenuhi sepenuhnya dari segi
pembangunan diri mereka tanpa mengira jantina.
Natijahnya, tanggungjawab dan amanah ini terletak dipundak guru yang mengajar mengenal
tulis baca. Guru perlu berkemahiran menangani masalah kepelbagaian sosio-budaya murid –
murid agar masalah guru ‘syok sendiri’ dalam mengajar tidak berlaku.
Sewajibnya guru perlu berkemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran yang merangkumi
aspek perancangan dan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang dapat menjamin
kemajuan pelajar secara optimum. Sebagai seorang guru perkara – perkara pokok seperti
perancangan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai, spesifik dan relevan dengan objektif
pembelajaran, persekitaran bilik darjah, masa yang diperuntukkan dan profil pelajar mengikut
tahap kecerdasan.
Dalam erti kata lain, elemen yang perlu dikuasai oleh setiap guru untuk menjadikan
pengajarannya berkesan meliputi kesesuaian bahan pengajaran, sumber pembelajaran,
penglibatan aktif murid, penilaian prestasi, pengukuran dan penambahbaikan. Selain itu guru
perlu mahir dalam menguruskan bilik darjah dan mengintegrasikan TMK.
Murid adalah pelanggan manakala guru merupakan individu yang menawarkan
perkhidmatan. Oleh itu perkhidmatan yang diberi haruslah mengiktu standard yang telah
ditetapkan oleh majikan iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia.
“orang ramai semakin kerap mempersoalkan kualiti pendidikan di sekolah, seolah – olah
tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewibawaan sekolah dalam hal ehwal mendidik,
terutama apabila mendapati kelakuan murid lepasan sekolah tidak seperti yang diharapkan
oleh masyarakat dan Negara. Kecemerlangan pada sijil peperiksaan mereka secara realitinya
tidak memperlihatkan kematangan berfikir, kepetahan berkomunikasi, ketokohan sebagai
pemimpin, kemurnian tingkah laku, keupayaan mencipta dan menyumbang kepada pemajuan
Negara-bangsa dan global’
(Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan, Jemaah Nazir Sekolah (2001):hlm 24)
Bertitik tolak dari pernyataan di atas, pengajaran dan pembelajaran yang berkesan boleh
ditakrifkan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkualiti iaitu proses
yang dapat mengembangkan potensi insan dari segi psikomotor, kognitif dan afektif ke tahap
yang optimum.
Merujuk kepada Dasar Pernyataan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan Malaysia, (2001),
proses pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang dan dilaksanakan mengikut beberapa
prinsip yang digariskan. Antaranya ialah:
a) Pendekatan, kaedah dan teknk yang dipelbagaikan dengan melibatkan murid secara aktif;
b) Berpandukan bahan – bahan sokongan yang relevan dengan tahap pencapaian semasa,
potensi dan kemajuan murid;
c) Penilaian dan penambahbaikan P&P secara berterusan.
Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, seseorang guru haruslah peka dengan kepelbagaian
sosio-budaya murid – muridnya. Pendekatan yang bijak harus digunakan dengan tidak
membezakan kelas sosial murid. Murid hendaklah dilayan sama rata tanpa mengira samada
mereka dari kelas atasan atau bawahan.
Perbezaan tahap kecerdasan murid juga harus dititik beratkan oleh seseorang guru dalam
menyampaikan pelajaran. Guru harus mempelbagaikan kaedah pengajaran bersesuaian
dengan tahap murid. Perkara ini perlu untuk mengelakkan murid – murid merasa bosan dan
seterusnya akan mengakibatkan masalah disiplin yang sukar dikawal.
Guru juga harus bijak mencetuskan situasi pembelajaran yang mesra rakan. Aktiviti yang
melibatkan interaksi di kalangan murid haruslah sentiasa dijalankan agar murid dapat
menjalinkan hubungan yang lebih mesra sesama mereka tanpa mengira latar belakang sosial
dan kecerdasan individu.
Sebagai seorang yang menawarkan perkhidmatan, pelanggan iaitu murid haruslah sentiasa
dihormati dan bersikap adil kepada mereka. Hukuman berbentuk deraan dan memalukan
seharusnya tidak dilaksanakan kerana akan menyebabkan hubungan guru dengan murid akan
renggang dan menghilangkan minat untuk mereka meneruskan pembelajaran.
Murid yang lambat menerima pembelajaran tidak diabaikan. Pelbagai kaedah dan strategi
boleh dirancang dan dilaksanakan dalam mengatasi masalah murid – murid sedemikian.
Penggunaan bahasa standard iaitu bahasa rasmi kebangsaan iaitu bahasa Melayu hendaklah
digunakan tanpa pengaruh bahasa dialek. Ini akan member peluang sama rata kepasa semua
murid untuk mengambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran.
Aktiviti pembelajaran yang dirancang oleh guru seharusnya boleh member peluang kepada
semua murid tanpa mengira etnik dan jantina. Isu yang mempunyai unsur bias kepada mana –
mana jantina mesti dielakkan untuk member peluang sama rata pada setiap murid meneroka
aktiviti pembelajaran. Bagi murid yang kecelaruan jantina, menjadi tanggungjawab guru
untuk membentuk persepsi yang positif di kalangan murid supaya mereka tidak terus hidup
dengan kecelaruan tersebut.
Isu sensitif berkaitan dengan agama dan kaum hendaklah dielakkan sama sekali. Setiap
kepercayaan dan nilai haruslah diterima seadanya oleh setiap guru. Aktiviti pembelajaran
yang dirancang hendaklah menjurus kepada penglibatan semua murid tanpa mengira kaum,
adat budaya dan pegangan agama mereka.
Catatan kemajuan dan kelemahan yang terdapat dalam pengajaran dan pembelajaran
hendaklah dicatatkan sebagai refleksi atau impak di akhir sesi pembelajaran. Ini akan
memudahkan guru untuk merancang strategi dan kaedah yang sesuai untuk mengatasi
kelemahan.
Guru yang berwibawa sentiasa memikir kaedah bagi mencapai pengurusan yang cemerlang
yang mana fokus utama ialah mengetahui dan memahami bidang kerjayanya, menghayati
hasil kerja atau objektif kerja untuk jangka panjang dan jangka pendek, kerja yang dilakukan
lebih spesifik, boleh diukur pencapaiannya, boleh dicapai, realistic dan bijak dalam
pengurusan masa.
Guru merupakan ejen perubahan dan sumber inspirasi kepada murid. Anjakan paradigma
haruslah dilakukan oleh setiap guru dan tidak berada di zon selesa sentiasa. Guru haruslah
pro-aktif dalam mengatasi kelebihan dan kelemahan muridnya. Penyampaian pengajaran guru
haruslah kreatif dan efektif, menarik dan menyeronokkan.
Secara ringkasnya dapat disimpulkan pengajaran berkesan oleh guru bukan sahaja meliputi
aspek kurikulum yang diajar di dalam bilik darjah, malahan meliputi skop yang lebih luas
seperti gaya kepimpinan, budaya ilmu dan berfikir, pengurusan bilik darjah, motivasi dan
dorongan serta kepimpinan kurikulum di tempat kerja.
Implikasi kepada murid
Murid adalah pelanggan bagi setiap guru di dalam bilik darjah. Mereka akan bersama setiap
kali aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam bilik darjah mahupun di luar
bilik darjah. Sebagai seorang pelanggan, kita haruslah melayan mereka dengan adil dan
saksama. Ini termaktub di dalam perlembagaan persekutuan;
Perkara 12. Hak berkenaan dengan pendidikan.
(1) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana
warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir—
(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak
berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau
pembayaran fi; atau
(b) dalam memberikan bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi
penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi
pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama
ada di dalam atau di luar Persekutuan).
Petikan perlembagaan Malaysia
http://iltizamskg.blogspot.com/2010/02/implikasi-kepelbagaian-budaya-edu3106.html