You are on page 1of 14

Topik 6 Peruntukan

Istimewa
Perlembagaan
HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Mengenal pasti tujuh bentuk keistimewaan yang terdapat dalam
Perlembagaan Malaysia;
2. Menghubungkait keperluan hak-hak keistimewaan ini dengan
rasional tertentu, termasuk faktor sejarah, politik dan kebudayaan;
dan
3. Membuat perbandingan peruntukan khas negeri-negeri Sabah dan
Sarawak dengan peruntukan negeri-negeri lain di Malaysia.

PENGENALAN
Perlembagaan Malaysia mengandungi dua unsur, iaitu unsur lama dan unsur
baru. Unsur-unsur lama yang pernah diamalkan oleh sistem pemerintahan
Kerajaan Melayu lama seperti institusi raja, bahasa Melayu, hak istimewa orang
Melayu dan agama Islam dikekalkan dalam perlembagaan.
Tahukah anda bahawa di negeri-negeri Melayu, pemerintahan beraja telah lama
wujud dan menjadi amalan turun temurun? Raja atau Sultan adalah simbol bagi
orang Melayu. Segala urusan pemerintahan berpusat kepada raja dan istana. Malah,
perkataan „Kerajaan‰ itu asalnya daripada perkataan raja, iaitu pusat segala sumber
rujukan dan kuasa yang membolehkan simbol raja itu memerintah secara mutlak.
Dalam topik ini, anda akan dibawa meninjau beberapa peruntukan istimewa
Perlembagaan Malaysia. Antaranya adalah berkaitan dengan bahasa kebangsaan,
kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan orang-orang Melayu, hak asasi rakyat,
kedudukan agama Islam, kewarganegaraan dan akhirnya perlindungan khas Sabah
dan Sarawak. Mari kita sama-sama ikuti perbincangan seterusnya berkaitan topik ini.
108 TOPIK 6 PERUNTUKAN ISTIMEWA PERLEMBAGAAN

6.1 BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA


KEBANGSAAN
Penggunaan bahasa Melayu pada zaman sebelum penjajahan adalah penting kerana
penduduk yang tinggal di Tanah Melayu pada waktu itu terdiri daripada orang-
orang Melayu pada keseluruhannya. Di samping sebagai bahasa utama di kalangan
penduduknya, bahasa Melayu juga menjadi bahasa perantaraan kepada pedagang-
pedagang yang datang berniaga di Melaka semasa zaman kegemilangan Kesultanan
Melayu Melaka. Malah, semasa Inggeris menjajah Tanah Melayu, Negeri-Negeri
Melayu Tidak Bersekutu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Minit-
minit mesyuarat telah ditulis dalam tulisan Jawi.
Perlembagaan Persekutuan 1957 Perkara 152 menetapkan bahawa „Bahasa
Melayu hendaklah menjadi Bahasa Kebangsaan dan rakyat bebas mempelajari
bahasa-bahasa lain‰. Pada tahun 1957, Dewan Bahasa dan Pustaka telah
ditubuhkan bagi mengembangkan dan memajukan bahasa Melayu. Matlamat
utama Dewan Bahasa dan Pustaka adalah:
1. Memajukan bidang kesusasteraan melalui Bahasa Kebangsaan;
2. Mencetak dan menerbit buku dan risalah dalam Bahasa Kebangsaan dan
juga bahasa-bahasa lain;
3. Menyelaras ejaan dan bunyi sebutan Bahasa Kebangsaan;
4. Menggubal istilah yang sesuai dalam Bahasa Kebangsaan; dan
5. Menterjemah buku-buku asing ke dalam bahasa Melayu.
Bagi menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan semua kaum di
Persekutuan Tanah Melayu, Minggu Bahasa Melayu dan Bulan Bahasa Melayu
telah diwujudkan. Pada tahun 1960, kerajaan telah melancarkan cogan kata
„Bahasa Jiwa Bangsa‰ sebagai perangsang supaya rakyat cintakan Bahasa
Kebangsaan. Akta Bahasa Kebangsaan 1967 telah menetapkan bahawa:
1. Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi;
2. Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri boleh menggunakan
bahasa Inggeris sekiranya dibenarkan oleh Yang di-Pertua Dewan; dan
3. Ahli Dewan Undangan Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan
bahasa Inggeris sehingga 10 tahun selepas merdeka.
Akta ini mendapat bantahan daripada orang-orang Melayu kerana bahasa
Inggeris masih diberi kepentingan dan kedudukan istimewa. Pada tahun 1982,
bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar bagi semua sekolah di negara
Malaysia. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Mei 1970
merupakan mercu kejayaan dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi negara ini.
TOPIK 6 PERUNTUKAN ISTIMEWA PERLEMBAGAAN ! 109

AKTIVITI 6.1

„Cintailah bahasa kebangsaan kita, marilah amalkan ramai-ramai,


bahasalah menyatukan kita semua, yakinlah bahasa jiwa bangsa‰.
Ingatkah anda dengan lirik dan lagu bahasa kebangsaan tersebut?
Cuba berikan pendapat anda tentang langkah kerajaan menjadikan
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa Inggeris sebagai
bahasa pengantar kedua.

6.2 KEDUDUKAN ISTIMEWA RAJA-RAJA


MELAYU
Perbincangan tentang pemerintahan beraja tidak akan lengkap tanpa kita
menyentuh kedaulatan dan kekebalan (immunity) raja. Berikut dibicarakan
beberapa keistimewaan yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong dan
Raja-raja Melayu.

1. Tidak Boleh Didakwa


Perlembagaan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak boleh
didakwa dalam apa-apa jua pembicaraan dalam mana-mana mahkamah.

2. Hak Prerogatif dan Bidang Kuasa Tidak Boleh Disentuh


Bagi raja-raja lain, kedaulatan prerogatif kuasa dan bidang kuasa mereka tidak
tersentuh dan tiada tindakan pun dalam mana-mana mahkamah boleh
dikenakan ke atas raja mana-mana negeri atas sifat dirinya sendiri. Pembesar-
pembesar memerintah Negeri Sembilan dalam wilayah masing-masing juga
kebal daripada tindakan mahkamah atas sifat diri masing-masing.

3. Jaminan Susunan Keutamaan


Perlembagaan membuat peruntukan tentang susunan keutamaan bagi Yang di-
Pertuan Agong dan raja-raja lain. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong
diutamakan daripada kesemua orang di Persekutuan dan kedudukan
keutamaan raja-raja lain dalam kalangan mereka adalah menurut tarikh mereka
diangkat menjadi raja. Dalam negerinya sendiri, seorang raja itu mengambil
keutamaan mengatasi raja-raja lain.

4. Hak Pewarisan
Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan membuat peruntukan bagi menjamin
hak seseorang raja sesuatu negeri untuk mewarisi, memegang, menikmati dan
110 TOPIK 6 PERUNTUKAN ISTIMEWA PERLEMBAGAAN

menjalankan hak-hak keistimewaan di sisi Perlembagaan bagi seseorang raja


dalam negeri itu. Hak-hak itu mesti ditentukan menurut perlembagaan negeri
itu. Sebarang pertikaian berhubung dengan warisan sebagai raja mana-mana
negeri hendaklah diputuskan hanya oleh mana-mana pihak berkuasa dan
mengikut apa-apa cara sebagaimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan
negeri itu.

5. Pindaan Hanya oleh Majlis Raja-raja


Menurut seksyen 19 (2) Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, tiada
pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-
raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja
negeri masing-masing tanpa persetujuan Majlis Raja-raja. Dengan itu, tiada
undang-undang yang secara langsung boleh menyentuh keistimewaan,
kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa
persetujuan Majlis Raja-raja.
Daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan atau negeri, jelas dapat kita
lihat bahawa institusi pemerintah beraja terlindung rapi sebagai satu daripada
sifat asasi undang-undang perlembagaan kita. Institusi ini telah diterima oleh
bekas tanah jajahan British; iaitu Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak yang
masing-masing tidak mengamalkan pemerintahan beraja. Ketua bagi negeri-
negeri ini adalah seorang Gabenor yang digelar Yang di-Pertua Negeri yang
dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

6.3 KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG-ORANG


MELAYU DAN KAUM BUMIPUTERA
SERTA HAK KAUM LAIN

AKTIVITI 6.2

Pernahkah anda terfikir, bagaimanakah wujudnya kedudukan


istimewa orang Melayu? Apakah sejarah di sebaliknya?

Hak istimewa orang Melayu termaktub dalam perlembagaan supaya pembelaan


dan bantuan dapat diberikan kepada orang Melayu sebagai penduduk peribumi.
Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong
untuk memelihara kedudukan hak istimewa orang Melayu di Semenanjung.
Rasional bagi memelihara hak istimewa orang Melayu menerusi perlembagaan
mempunyai kaitan dengan sejarah. Apabila Inggeris membawa masuk pekerja-
TOPIK 6 PERUNTUKAN ISTIMEWA PERLEMBAGAAN ! 111

pekerja asing ke dalam sektor getah dan bijih timah dengan jumlah yang ramai,
orang Melayu berasa terancam. Tambahan pula pekerja-pekerja asing ini telah
berjaya mengukuhkan taraf ekonomi mereka. Lama-kelamaan, kejayaan mereka
menguasai ekonomi negara memaksa kerajaan memikirkan supaya orang
Melayu tidak terlalu ketinggalan jauh daripada kaum pendatang. Dengan itu,
tiada timbul soal diskriminasi, persaingan dan konflik antara kaum.
Perlembagaan Malayan Union (April 1946) tidak menyatakan hak dan keistimewaan
orang Melayu. Hal ini merunsingkan pemimpin-pemimpin Melayu kerana hak dan
keistimewaan Melayu telah dicabar. Oleh itu, apabila Malayan Union ditentang dan
digantikan dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, orang
Melayu mendapat semula kedudukan dan hak mereka di negara ini.
Antara perkara yang terkandung dalam hak istimewa orang Melayu adalah kuota
kemasukan dalam sektor awam dan institusi pengajian tinggi, biasiswa, kemudahan
mendapat lesen dan permit perniagaan. Sungguhpun begitu, Yang di-Pertuan
Agong tidak boleh menganggu atau menarik balik sebarang keistimewaan kaum
lain untuk diberi kepada peribumi.

6.4 HAK ASASI


Hak asasi setiap individu, khususnya di negara-negara Barat adalah dijamin dan
dilindungi sepenuhnya oleh akta-akta hak asasi manusia. Begitu juga
kedudukannya di Malaysia, setiap individu di Malaysia dijamin hak-hak
asasinya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.
Pada pendapat anda, sejauh manakah hak-hak individu dilindungi di Malaysia?
Dalam perlembagaan Malaysia, ada peruntukan hak asasi atau kebebasan asasi
individu. Bahagian 2 dalam Perlembagaan Malaysia mengenai hak asasi individu
adalah bertujuan bagi menjamin hak asasi seseorang warganegara yang sah dari
segi undang-undang. Perkara 5 hingga 13 dalam Bahagian 2 Perlembagaan
Malaysia memberi gambaran kepada kita tentang maksud hak asasi dalam
negara Malaysia. Ini bererti setiap warganegara Malaysia yang sah mendapat
jaminan perlindungan daripada kerajaan. Mari kita tinjau peruntukan yang ada
pada perkara-perkara tersebut, seperti yang diterangkan dalam Jadual 6.1.
112 TOPIK 6 PERUNTUKAN ISTIMEWA PERLEMBAGAAN

Jadual 6.1: Peruntukan Istimewa Perlembagaan

Perkara Peruntukan Huraian


5 Kebebasan diri dan (a) Seseorang itu harus diberitahu sebab
nyawa (kecuali menurut penangkapannya.
undang- undang) (b) Seseorang yang ditangkap harus dibenarkan
dibela oleh peguamnya.
(c) Seseorang harus dihadapkan ke mahkamah
dalam tempoh 24 jam selepas ditangkap.
6 Pengabdian dan kerja Seseorang dilarang bekerja secara paksa
paksa kecuali hukuman penjara atau kerahan tenaga.
7 Perlindungan daripada (a) Seseorang hanya dihukum atas perbuatan
undang-undang jenayah yang dianggap salah di sisi undang-undang.
yang berkuat kuasa (b) Seseorang yang dibebaskan daripada
kebelakangan dan sesuatu kesalahan tidak boleh didakwa
perbicaraan berulang- semula atas kesalahan yang sama, kecuali
ulang mendapat perintah Mahkamah Tinggi.
8 Kesamarataan di sisi (a) Hak perlindungan sama rata dari segi
undang-undang (Kecuali undang-undang.
kelainan yang ditetapkan (b) Tidak boleh membeza-bezakan kerana
oleh Perlembagaan) berlainan agama, kaum, keturunan,
kedudukan politik dan selainnya.
9 Larangan dibuang negeri Kecuali dikenakan sekatan undang-undang
dan kebebasan bergerak seperti dibuang daerah atas sebab keselamatan
dalam Persekutuan atau hukuman kesalahan.
10 Kebebasan bercakap, Kecuali dikenakan sekatan undang-undang
berhimpun dan seperti larangan mengkritik isu-isu sensitif,
menubuhkan persatuan seperti hak istimewa orang-orang Melayu dan
kedudukan agama Islam. Ketidakpatuhan
boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.
11 Kebebasan menganut Walau bagaimanapun, undang-undang negeri
agama boleh menyekat perkembangan iktikad atau
kepercayaan antara penganut agama Islam.
12 Kebebasan dalam Hak yang sama dalam mendapat pendidikan
pendidikan tanpa diskriminasi.
13 Hak terhadap harta (a) Tidak ada sesiapa boleh mengambil harta
melainkan diberikan pampasan.
(b) Tidak ada sesiapa boleh lucut harta kecuali
menurut undang-undang.
TOPIK 6 PERUNTUKAN ISTIMEWA PERLEMBAGAAN ! 113

Berdasarkan Perkara 5 hingga 13 tersebut, jelas negara kita menjamin hak-hak


rakyatnya dalam hal-hal yang berkenaan. Dengan itu, kita harus memastikan di
samping hak kita, hak orang lain turut terpelihara mengikut Perlembagaan Malaysia.

6.5 ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN/


KEDUDUKAN AGAMA LAIN
Dalam Perkara 160 Perlembagaan Malaysia, orang Melayu didefinisikan sebagai
orang beragama Islam dan mengamalkan cara hidup dan budaya Melayu serta
bertutur dalam bahasa Melayu. Sesungguhnya, orang Melayu telah menganuti
dan mengamalkan agama Islam sejak 500 tahun yang lalu. Antara faktor penting
mengapa agama Islam cepat diterima oleh orang Melayu adalah kerana Sultan
pada masa itu beragama Islam. Orang Melayu yang terkenal sebagai taat dan
pantang derhaka kepada sultan amat mudah menerima Islam sebagai agama
baru mereka. Lebih-lebih lagi, kedudukan sultan sebagai ketua agama
mempercepatkan lagi proses penukaran agama kepada agama Islam.
Selepas merdeka, agama Islam telah dijadikan agama persekutuan dan kerajaan.
Sebagai agama rasmi negara, kerajaan mempunyai kuasa memperuntukkan
sebahagian daripada perbelanjaan untuk pembangunan dan kemajuan berkaitan
dengan agama Islam; seperti perbelanjaan mengurus, pembinaan masjid dan
sekolah agama. Sungguhpun agama Islam diberi keutamaan dalam perlembagaan,
agama-agama lain bebas diamalkan oleh pengikut- pengikut mereka, sesuai dengan
negara demokrasi.

AKTIVITI 6.3

Negara Malaysia terkenal di kaca mata dunia dengan penduduknya yang


berbilang kaum, serta mengamalkan kepercayaan dan kebudayaan yang
berbeza. Dengan latar belakang yang berbeza-beza ini, mereka berjaya
bersatu dan hidup dalam suasana aman damai.
Cuba anda fikirkan sejenak, apakah kemungkinan yang berlaku jika
penduduk yang berbilang kaum ini tidak dapat bersatu hati dan gagal
hidup dalam suasana yang aman damai?
114 TOPIK 6 PERUNTUKAN ISTIMEWA PERLEMBAGAAN

6.6 KEWARGANEGARAAN
Dalam Perlembagaan Malaysia, aspek kewarganegaraan turut disentuh. Hal ini
dihuraikan dalam Perkara 14 hingga 22, Bahagian 3. Ada empat syarat bagi
menentukan taraf kewarganegaraan seseorang individu. Syarat-syarat itu adalah
melalui:
1. Kuat kuasa undang-undang
2. Pendaftaran
3. Masukan atau permohonan
4. Percantuman wilayah

6.6.1 Kuat Kuasa Undang-undang


Sesiapa sahaja boleh secara automatik mendapat kelayakan sebagai
warganegara, jika:
(a) Lahir sebelum Hari Malaysia (16 September 1963), termasuklah anak-anak
mereka walaupun dilahirkan di luar Malaysia;
(b) Lahir di dalam dan di luar Malaysia pada atau selepas Hari Malaysia
dengan syarat ibu bapanya warganegara atau pemastautin tetap; dan
(c) Individu yang lahir di Malaysia termasuk di ruang udara atau perairan
negara, boleh menjadi warganegara sekiranya kelahirannya didaftarkan di
Malaysia.

6.6.2 Pendaftaran
Individu berikut boleh memohon menjadi warganegara dengan syarat-syarat
tertentu:

1. Isteri dan anak warganegara:


(a) Bermastautin di Persekutuan selama 2 tahun sebelum permohonan
dan berniat untuk terus bermastautin di Persekutuan; dan
(b) Berkelakuan baik.

2. Seseorang yang berumur kurang dari 21 tahun:


(a) Jika seorang daripada ibu bapa adalah warganegara; dan
(b) Dilahirkan sebelum Oktober 1962.
TOPIK 6 PERUNTUKAN ISTIMEWA PERLEMBAGAAN ! 115

3. Seseorang yang berumur 18 tahun atau lebih, lahir di Persekutuan sebelum


Hari Merdeka:
(a) Membuktikan permastautinan di Persekutuan selama 5 daripada 7
tahun sebelum permohonan;
(b) Berniat menjadi pemastautin tetap Persekutuan;
(c) Pengetahuan tentang Bahasa Melayu yang mudah; dan
(d) Berkelakuan baik.

4. Seseorang yang berumur 18 tahun, bermastautin di Sabah dan Sarawak


pada Hari Malaysia:
(a) Bermastautin di Persekutuan sebelum Hari Malaysia; dan
(b) Jika selepas Hari Malaysia, bermastautin di Persekutuan selama 7
tahun sebelum permohonan dibuat.

6.6.3 Kemasukan atau Permohonan


Warganegara asing berumur 21 tahun ke atas boleh memohon menjadi
warganegara dengan syarat:
1. Seseorang telah bermastautin 10 hingga 12 tahun sebelum tarikh
permohonan;
2. Berniat menjadi pemastautin tetap Persekutuan;
3. Berkelakuan baik; dan
4. Mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu.

6.6.4 Percantuman Wilayah


Kewarganegaraan seperti ini pernah diberikan atas sebab faktor-faktor sejarah
kepada:
1. Warganegara Singapura;
2. Warganegara United Kingdom dan tanah-tanah jajahan; dan
3. Pemastautin tetap Sabah dan Sarawak.
Perkara 22 membenarkan, jika sesuatu wilayah baru menyertai Persekutuan
Malaysia, Parlimen mempunyai bidang kuasa menentukan rakyat wilayah
tersebut menjadi warganegara.
116 TOPIK 6 PERUNTUKAN ISTIMEWA PERLEMBAGAAN

6.7 PERLINDUNGAN KHAS SABAH DAN


SARAWAK
Perlembagaan Malaysia berasal daripada Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu (1957) yang dipinda melalui Akta Malaysia (1963). Perkara ini dilakukan
atas cadangan Inter Governmental Committee (IGC) bagi memudahkan
kemasukan negeri-negeri Borneo ke dalam Persekutuan Malaysia.
Pertimbangan politik menyebabkan terdapat beberapa perlindungan khas diberi
kepada Sabah dan Sarawak. Oleh sebab wujudnya syarat-syarat khas ini,
kedudukan kedua-dua negeri ini berlainan dengan negeri-negeri di Tanah Melayu.
Perbezaan syarat secara amnya berkaitan dengan kuasa yang dimiliki oleh Sabah dan
Sarawak. Kedua-dua negeri ini mempunyai kuasa yang lebih luas daripada negeri-
negeri Tanah Melayu lain. Sebagai contoh, ada kuasa yang dipunyai oleh kerajaan
Persekutuan tidak boleh dijalankan di negeri-negeri itu, kecuali dipersetujui oleh
undang-undang negeri atau oleh Yang Dipertua Negeri yang berkenaan.

6.7.1 Kuasa Parlimen


Anggota-anggota Dewan Rakyat disusun mengikut cantuman (component)
dalam Malaysia dan terdapat tiga cantuman utama:
Cantuman pertama 153 orang kesemuanya bagi negeri-negeri di Tanah
Melayu atau Semenanjung dan ini tidak termasuk 11 bagi Wilayah
Persekutuan, satu bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya dan satu bagi
Wilayah Persekutuan Labuan;
Cantuman kedua 25 orang bagi Sabah; dan
Cantuman ketiga 25 orang bagi Sarawak.
Perkara-perkara yang termasuk dalam bidang kuasa negeri-negeri Borneo
sebenarnya lebih banyak daripada perkara yang tertakluk di bawah bidang
kuasa negeri-negeri di Tanah Melayu. Negeri-negeri Borneo mempunyai senarai
tambahan kepada senarai negeri dan senarai bersama untuknya. Antara perkara
yang termasuk di bawah bidang kuasa negeri Borneo adalah mengikut Perkara
968(3) Dewan Undangan Negeri-negeri Borneo boleh membuat undang-undang
mengenakan cukai jualan. Kuasa ini tidak dipunyai oleh negeri-negeri di Tanah
Melayu, kerana kuasa ini ada pada Parlimen.
Dalam Perkara 76(1) (b) pula, Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai
perkara-perkara dalam bidang kuasa negeri bagi maksud menyeragamkan undang-
undang beberapa buah negeri atau bagi menyeragamkan undang-undang dan dasar
tentang tanah, kadar dan nilaian tanah dan kerajaan tempatan antara negeri. Namun
bagi negeri-negeri Borneo, Parlimen tidak mempunyai kuasa membuat undang-
TOPIK 6 PERUNTUKAN ISTIMEWA PERLEMBAGAAN ! 117

undang ini. Mengikut Perkara 76A, Parlimen berkuasa mewakilkan mana-mana


negeri supaya membuat undang-undang bagi perkara dalam bidang kuasanya.
Perwakilan kuasa ini boleh dibuat dengan perintah Yang di-Pertuan Agong sahaja.
Perwakilan kuasa bagi membuat undang-undang telah diberi kepada negeri-
negeri Borneo yang berkuat kuasa pada Hari Malaysia. Antara kuasa yang diberi
adalah yang berkaitan dengan pengangkutan jalan raya, lalu lintas, kuasa
elektrik, pembahagian gas, getah dan Badan Persuratan Borneo. Kuasa membuat
undang-undang tentang pengangkutan jalan raya dan lalu lintas diberi hingga
akhir tahun 1973.

6.7.2 Imigresen
Sungguhpun hal ehwal imigresen termasuk dalam bidang kuasa Persekutuan,
negeri-negeri Borneo mempunyai hak dan kuasa tertentu dalam perkara ini. Hal
ini dijelaskan melalui Perkara 9 (3) Perlembagaan Malaysia.
Bagi melaksanakan Perkara 9(3) ini, Parlimen telah meluluskan undang-undang
yang disebut Akta Imigresen 1963 pada 16 September 1963. Akta ini telah
memperluas kuat kuasa Ordinan Imigresen 1969 ke negeri-negeri Borneo dan
juga telah memberi beberapa kuasa yang penting kepada kerajaan kedua-dua
negeri itu. Kuasa ini tidak boleh dipinda oleh Parlimen, melainkan dengan
persetujuan Yang di-Pertua Negeri-negeri yang berkenaan. Pindaan ini dibuat
dengan sokongan suara dua pertiga.
Sepatutnya, seseorang warganegara berhak pergi dari sebuah negeri ke sebuah
negeri dalam Malaysia ini, dan juga berhak tinggal di mana-mana negeri. Walau
bagaimanapun disebabkan negeri-negeri Borneo itu dianggap berada dalam
keadaan yang khas oleh pembentuk-pembentuk Malaysia, maka Perlembagaan
telah memberi kuasa kepada Parlimen supaya dapat mengenakan sekatan-sekatan
ke atas kebebasan warganegara dalam hal itu. Oleh itu, kerajaan negeri-negeri ini
berhak menyekat kemasukan rakyat Malaysia dari negeri-negeri Tanah Melayu.

6.7.3 Hal Ehwal Tanah


Di bawah peruntukan Perkara 83, kerajaan Persekutuan berhak mendapatkan
tanah dalam sebuah negeri untuk maksud Persekutuan. Ini tertakluk kepada
syarat, jika tanah itu tanah kerajaan, maka rundingan hendaklah diadakan antara
kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan. Jika tanah itu tanah yang telah
diberi milik, maka tidak perlu hal ini dibincangkan dengan kerajaan negeri.
Namun dalam hal kerajaan negeri-negeri Borneo, kerajaan Pusat hendaklah
berunding terlebih dahulu dengan kerajaan-kerajaan negeri ini, sama ada tanah
yang dikehendaki oleh kerajaan Persekutuan itu tanah yang telah diberi milik
atau tanah kerajaan.
118 TOPIK 6 PERUNTUKAN ISTIMEWA PERLEMBAGAAN

Mengenai tanah simpanan Bumiputera, mengikut Perkara 89, Parlimen berhak


membuat undang-undang untuk menyeragamkan undang-undang dan dasar
dalam hal ehwal tanah. Namun bagi negeri-negeri Borneo, kuasa Parlimen
dalam hal ini dikecualikan. Seperkara lagi, negeri-negeri di Tanah Melayu tidak
mempunyai kuasa penuh dalam hal mewujudkan tanah simpanan untuk orang
Melayu. Walaupun begitu, negeri-negeri Borneo berkuasa penuh dalam hal
mewujudkan tanah simpanan untuk bumiputeranya.
Di bawah perkara 91, segala keputusan yang dibuat oleh Majlis Tanah Negara
hendaklah dipatuhi oleh kerajaan negeri. Sebaliknya, bagi negeri-negeri Borneo,
keputusan itu tidak semestinya dipatuhi oleh kerajaan negeri. Perbezaan hanya
akan terhapus jika Parlimen, dengan persetujuan Yang di-Pertua Negeri itu,
membuat undang-undang supaya keputusan Majlis Tanah Negara mesti
dipatuhi oleh kerajaan-kerajaan negeri itu.

6.7.4 Kewangan
Anda perlu tahu bahawa seperti bahagian-bahagian yang lain, kerajaan Sabah
dan Sarawak turut mempunyai kuasa yang lebih luas dalam bahagian
kewangan. Antara kuasa-kuasa yang diberi adalah:

(a) Kuasa Meminjam Wang


Pada umumnya, kerajaan-kerajaan negeri di Tanah Melayu diberi kuasa yang
terbatas bagi peminjaman kewangan, iaitu hanya boleh meminjam daripada
kerajaan Pusat dan mana-mana badan yang dibenarkan sahaja. Sebaliknya,
bagi Sabah dan Sarawak, kedua-dua negeri ini boleh meminjam daripada
mana-mana pihak dalam negara, dengan syarat mendapat kelulusan Bank
Negara Malaysia.

(b) Penerimaan Geran Kewangan


Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada negeri-negeri Borneo bagi
mendapat jumlah pemberian wang yang lebih besar daripada Kerajaan Pusat.
Selain daripada tiga punca utama iaitu pemberian wang per kapita; peruntukan
jalan-jalan raya dan punca-punca hasil yang diberi kepada semua kerajaan
negeri, Sabah dan Sarawak berhak mendapat pemberian wang tambahan.

(c) Sumber-sumber Tambahan Hasil


Selain daripada sumber hasil yang diserahkan kepada negeri-negeri seperti
Bahagian 3, Jadual 10 Perlembagaan Malaysia, negeri-negeri Sabah dan
Sarawak turut menerima sumber tambahan hasil seperti yang tercatat
dalam Bahagian 5, Jadual 10, iaitu:
1. Cukai import dan eksais serta hasil petroleum;
2. Cukai eksport atau kayu kayan dan keluaran hutan;
TOPIK 6 PERUNTUKAN ISTIMEWA PERLEMBAGAAN ! 119

3. Cukai eksport bahan galian selain bijih timah dengan royalti tidak
lebih 10%;
4. Bayaran lesen pengangkutan jalan raya, lalu lintas dan pendaftaran
kereta, iaitu selagi kedua-dua negeri bertanggungjawab membuat
undang-undang berkenaan;
5. Cukai-cukai jualan negeri; dan
6. Bayaran-bayaran daripada pelabuhan negeri.

AKTIVITI 6.4
Anda telah memahami peruntukan-peruntukan khas yang diberikan
kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak. Sekarang, cuba anda
lengkapkan jadual yang berikut dengan butiran yang sesuai.

Butiran Peruntukan Khas Sabah dan Sarawak


Kuasa Parlimen
Imigresen
Hal Ehwal Tanah
Kewangan

Dalam topik ini, anda telah dimaklumkan tentang peruntukan-peruntukan


istimewa yang diberi oleh Perlembagaan Malaysia kepada aspek-aspek
tertentu.
Terdapat tujuh bentuk keistimewaan peruntukan-peruntukan tersebut; yang
terdiri daripada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan
istimewa Raja-raja Melayu, kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan
kaum bumiputera serta hak kaum lain, hak asasi, Islam sebagai agama
persekutuan atau kedudukan agama lain, kewarganegaraan dan
perlindungan khas Sabah dan Sarawak.
Perlembagaan Persekutuan 1957 Perkara 152 menetapkan bahawa „Bahasa
Melayu hendaklah menjadi Bahasa Kebangsaan dan rakyat bebas
mempelajari bahasa-bahasa lain‰.
Beberapa keistimewaan yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong dan
Raja-raja Melayu ialah tidak boleh didakwa, hak prerogatif dan bidang kuasa
tidak boleh disentuh, jaminan susunan keutamaan, hak pewarisan dan
pindaan hanya oleh Majlis Raja-raja.
120 TOPIK 6 PERUNTUKAN ISTIMEWA PERLEMBAGAAN

Hak istimewa orang Melayu termaktub dalam perlembagaan supaya


pembelaan dan bantuan dapat diberikan kepada orang Melayu sebagai
penduduk peribumi.
Syarat-syarat kewargenegaraan adalah melalui kuat kuasa undang-undang,
pendaftaran, masukan atau permohonan dan pencantuman wilayah.
Pertimbangan politik menyebabkan terdapat beberapa perlindungan khas diberi
kepada Sabah dan Sarawak, menyebabkan kedua-dua negeri ini mempunyai
kuasa yang lebih luas daripada negeri-negeri Tanah Melayu lain.
Sungguhpun hal ehwal imigresen termasuk dalam bidang kuasa
Persekutuan, negeri-negeri Borneo mempunyai hak dan kuasa tertentu
dalam perkara ini.
Di bawah peruntukan Perkara 83, kerajaan Persekutuan berhak mendapatkan
tanah dalam sebuah negeri untuk maksud Persekutuan.
Anda perlu tahu bahawa seperti bahagian-bahagian yang lain, kerajaan
Sabah dan Sarawak turut mempunyai kuasa yang lebih luas dalam bahagian
kewangan.

Iktikad Prerogatif
Imigresen Royalti
Kekebalan Warganegara
Kuota

Abd. Ghani Hj. Awing. (1983). Apakah Undang-Undang? Kuala Lumpur:


Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohamed Sufian. (1987). Mengenal Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Noor bin Abdullah. (1979). Kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam
Persekutuan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Salleh Abas. (1997). Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shaik Mohd Noor Alam bin S.M. Hussain. (1988). Federalisme di Malaysia. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

You might also like