You are on page 1of 12

JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.

PERMAINAN BAHASA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

oleh

Siti Hajar Hj. Abdul Aziz

Jabatan Bahasa Melayu


Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa

ABSTRAK

Artikel ini memberikan penjelasan tentang beberapa perkara yang


berhubung dengan permainan bahasa. Pada hari ini aktiviti permainan
bahasa kurang dipraktikkan di dalam bilik darjah. Antara alasan yang
diberikan adalah seperti tiada ruang di dalam bilik darjah, bilangan pelajar
yang ramai dalam sesebuah kelas, aktiviti ini memerlukan perancangan
yang rapi, kekangan masa, ketiadaan alat dan bahan yang berkaitan dan
sebagainya. Justeru, artikel ini memberikan input yang dapat membantu
para guru dalam merancang dan mengelolakan aktiviti permainan bahasa
dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa.

“...games can be used at all levels in language syllabus and with all types
of pupils from primary school children to adults...”

Alan Chamberlain (1986)

108
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3

PENGENALAN

Permainan bahasa adalah cara mempelajari bahasa melalui permainan. Teknik ini sesuai
digunakan pada semua peringkat pembelajaran bahasa, iaitu daripada peringkat sekolah
rendah hingga ke peringkat sekolah menengah. Teknik ini juga adalah satu strategi
pengajaran yang sesuai digunakan pada pelbagai tahap pencapaian pelajar. Permainan
bahasa bukanlah merupakan aktiviti tambahan untuk bergembira semata-mata, tetapi ia
boleh digolongkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang berhasrat memberi peluang
kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran bahasa yang telah dipelajari di dalam bilik
darjah. Permainan bahasa merupakan aktiviti yang dirancang dalam pengajaran dan ada
hubung kaitnya dengan kandungan isi pelajaran secara langsung atau tidak langsung.

OBJEKTIF PERMAINAN BAHASA

Permainan bahasa yang diintegrasikan dalam pengajaran seharusnya mempunyai


beberapa objektif yang tentu. Antaranya seperti yang berikut:

(a) Merangsang interaksi verbal pelajar

Dalam permainan, pelajar akan diminta bercakap untuk menyuarakan


pandangan dan pendapat mereka. Di samping itu, mereka juga diminta
memberikan alasan-alasan tertentu yang berkaitan. Lazimnya, mereka
perlu terlibat sepenuhnya secara aktif dalam permainan itu. Setiap ahli
kumpulan akan merasakan diri mereka diperlukan dalam kumpulan
itu dan pada bila-bila masa sahaja mereka akan diminta bercakap dan
mengutarakan pandangan. Tiada seorang pun daripada mereka dibiarkan
bersendiri dan terkecuali. Sebaliknya, mereka harus mengutarakan tekad
dan berazam sepenuhnya untuk berkomunikasi. Kesedaran seperti ini akan
memberi peluang kepada guru menghasilkan satu suasana pembelajaran
yang menarik dan berorientasikan pelajar. Guru hanya bertindak sebagai
fasilitator dan menjaga disiplin kelas.

(b) Menambah kefasihan dan keyakinan

Permainan bahasa boleh digunakan sebagai satu cara untuk


meningkatkan kefasihan berbahasa serta menambahkan keyakinan diri.
Bahasa yang digunakan dalam sesuatu permainan itu tidak harus terhad
kepada beberapa struktur ayat sahaja. Fungsi bahasa boleh melibatkan
semua peringkat kerumitan berbahasa yang berbeza-beza. Permainan
yang mengandungi kegiatan memberikan arahan umpamanya, boleh
dimainkan pada semua peringkat bergantung pada pengetahuan bahasa
dan kefasihan tertentu pelajar. Pelajar biasanya merasa seronok apabila
dihadapkan dengan permainan yang mencabar. Secara tidak langsung
mereka akan menyedari kebolehan dan keupayaan mereka dalam bahasa
yang dipelajari. Peranan guru sebagai pemaklumat bahasa sangatlah
penting. Guru harus bersedia memenuhi keperluan pelajar dalam
permainan tersebut, terutama dalam konteks kepelbagaian bentuk kosa
kata serta kecanggihan tatabahasa dan sintaksis.

109
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3

(c) Menyediakan konteks pembelajaran

Permainan bahasa membawa perkembangan perhubungan yang positif


dalam kalangan individu yang terlibat, bukan sahaja antara pelajar
dengan pelajar tetapi juga antara pelajar dengan guru. Permainan bahasa
membantu merapatkan hubungan dan kerjasama antara mereka. Ini
merupakan satu suasana yang sihat dan berfaedah kepada para pelajar,
khususnya yang bersifat pemalu dan pasif. Dalam permainan, mereka
dapat menunjukkan kecergasan, di samping terlibat secara berkesan
dalam apa sahaja aktiviti yang dijalankan.

(d) Alat mengikis rasa bosan

Pada waktu-waktu tertentu, umpamanya pada waktu menjelang tengah


hari, pelajar akan merasa bosan, mengantuk dan lapar. Bayangkan
sahaja bagaimana guru dapat menyampaikan pengetahuan tentang
tatabahasa dan aspek-aspek pemahaman dalam keadaan yang
melesukan. Begitu juga dengan aktiviti kelas yang melibatkan penulisan
karangan dan pembentukkan ayat-ayat. Pada saat ini permainan bahasa
dapat menimbulkan perasaan gembira dan menyebabkan mereka lupa
sekejap rasa lapar dan mengantuk. Permainan mewujudkan komunikasi
dalam bentuk yang semula jadi dan memenuhi keperluan pelajar apabila
berhadapan dengan dunia sebenar. Permainan ini berasaskan keadilan
dan pertandingan, akan meransang pelajar untuk bertindak balas,
memprotes dan memberikan hujah. Dengan ini, pelajar dilatih berhadapan
dengan interaksi kehidupan sebenar yang bakal dilalui oleh mereka dalam
kehidupan di luar bilik darjah.

(e) Alat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan

Dalam pengajaran bahasa, permainan boleh dijalankan dalam pelbagai


bentuk mengikut tujuannya. Justeru, permainan sangat berguna dalam
aktiviti pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Kebanyakan pelajar yang
lemah menghadapi masalah pengamatan dan pendengaran. Kelemahan
ini dapat diatasi sedikit demi sedikit melalui aktiviti permainan yang
dirancangkan. Jika tiada langkah yang diambil untuk mengatasi kelemahan
ini, pelajar berkenaan akan menemui kesukaran menyebut bunyi, huruf,
membunyikan suku kata dan perkataan. Selepas sesuatu pengajaran,
gerak kerja pengukuhan pula diadakan. Latihan yang dijalankan secara
berterusan mungkin membosankan pelajar. Walau bagaimanapun, aktiviti
pengukuhan masih boleh diteruskan dengan syarat latihan dan latih tubi
yang diperkenalkan itu dipelbagaikan dalam bentuk aktiviti permainan bilik
darjah.

Pelajar di dalam sesebuah kelas, biasanya mempunyai pelbagai


peringkat kebolehan, misalnya kumpulan cergas, sederhana dan lemah.
Sesetengah pelajar mempunyai perasaan malu yang tebal dan ada juga
yang pendiam atau tidak begitu ramah. Namun demikian, mereka perlu
dilibatkan sama supaya perasaan negatif yang menguasai diri mereka
itu dapat dihapuskan. Sebagai aktiviti pengayaan, pelajar yang lemah
boleh digalakkan mengambil bahagian bersama-sama dengan pelajar

110
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3

yang cergas melalui permainan yang dijalankan. Namun, mereka ini harus
diberikan tugas yang mudah yang bersesuaian dengan kebolehan dan
kemampuan mereka. Bagi pelajar yang cergas pula, permainan dalam
aktivitki pengayaan akan menambahkan kemahiran, pengetahuan dan
pengalaman mereka.

PERMAINAN BAHASA SEBAGAI SATU TEKNIK PENGAJARAN

Penggunaan permainan bahasa sebagai satu teknik pengajaran dan pembelajaran bahasa
bukan lagi merupakan satu perkara baru dalam dunia pendidikan hari ini. Sebagai satu
teknik yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, permainan bahasa
mempunyai kelebihan. Antaranya seperti yang berikut:

(a) Untuk membolehkan pelajar membiasakan diri menyebut sesuatu bunyi


(perkataan, frasa dan ayat) dengan jelas, betul dan tepat. Di samping itu,
mereka juga boleh berlatih mengucapkan ayat dengan sebutan, intonasi,
tekanan, jeda dan gaya yang betul.

(b) Permainan bahasa dijadikan bahan rangsangan sama ada semasa
memulakan sesuatu pelajaran, pada pertengahan atau akhir pembelajaran.
Sebagai bahan rangsangan, permainan bahasa tentunya dapat menarik
minat dan perhatian pelajar. Ini kerana pelajar berpeluang menggunakan
bahasa dalam suasana yang menyeronokkan serta terlibat secara aktif.

(c) Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, permainan bahasa lebih
merupakan teknik mengulang kaji dan pengukuhan. Ini bermakna apa
yang dipelajari itu diulang-ulang sehingga kekal dalam ingatan. Teknik ini
berperanan meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pembelajaran.

(d) Masa untuk permainan bahasa dianggap sebagai masa istirehat yang
berfaedah. Teknik ini berupaya menghilangkan rasa letih dan bosan setelah
belajar sehari suntuk. Dengan cara bermain pelajar dapat memperbaharui
semangat dan minat untuk meneruskan pembelajaran mereka.

(e) Pelajar berpeluang menggunakan kemahiran bahasa yang ada pada mereka
dalam konteks dan situasi sebenar dan bermakna. Ini kerana semasa
bermain, pelajar akan bertindak balas secara spontan, iaitu dengan
bertanya, memberikan arahan, meneka dan membaca. Keseronokan
bermain seperti ini akan menghidupkan keinginan pelajar untuk belajar,
berfikir, mendengar dan mengeluarkan buah fikiran secara berkesan.

UNSUR PERMAINAN BAHASA

Aspek yang lebih ditekankan dalam permainan bahasa adalah semangat bekerjasama dan
bukan pertandingan semata-mata. Pelajar bekerjasama dalam menyempurnakan tugas
tertentu yang mendorong mereka untuk berinteraksi antara satu sama lain. Permainan
adalah satu cabaran untuk mencapai satu-satu matlamat atau melaksanakan beberapa
tugas yang menarik dengan jayanya. Oleh itu, permainan harus berupaya memberikan
motivasi yang tinggi dan bukan hanya setakat bertanding. Permainan harus dapat

111
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3

memperkayakan pengalaman pelajar dan membantu menghindarkan kebuntuan dan rasa


bosan di dalam bilik darjah. Aktiviti ini harus mampu memantapkan proses penguasan
bahasa dengan menimbulkan keseronokan dan suasana yang lebih harmoni.

Permainan bahasa dapat meningkatkan motivasi, membantu proses sosialisasi dan


menyatukan pelajar daripada aras kebolehan yang berbeza-beza. Sekiranya digunakan
dengan betul, teknik permainan boleh memberikan lebih banyak pengalaman yang berguna
dan berharga jika dibandingkan dengan kaedah pengajaran konvensional. Oleh itu, guru
harus memikirkan faedah dan apa yang dijangka dapat dicapai melalui aktiviti permainan di
dalam bilik darjah. Untuk pelaksanaan teknik permainan yang berkesan, perkara-perkara
yang berikut perlu diberikan perhatian:

(a) Meningkatkan motivasi

Motivasi adalah satu insentif atau rangsangan sesuatu aksi. Pelajar biasanya
ingin bekerja secara aktif dan bukan hanya bertindak sebagai penonton
sahaja. Motivasi mereka untuk terus belajar akan dapat dipertingkatkan
sekiranya mereka dapat melihat potensi kemahiran yang dipelajari di
dalam bilik darjah dapat dihubungkaitkan dengan kegunaannya di luar
bilik darjah. Oleh sebab terdapat beberapa masalah dalam pembelajaran
bahasa, pelajar biasanya menjadi pasif. Ini kerana di dalam bilik darjah
pelajar dikehendaki melakukan terlalu banyak aktiviti mendengar, latih tubi
dan latihan menulis. Mereka juga tidak dapat melihat kepentingan aktiviti
ini dengan penggunaan bahasa dalam kehidupan mereka seharian. Ini
menjadikan pelajaran bahasa sungguh membosankan, belajar untuk
sementara waktu sahaja dan tanpa kesungguhan serta keinginan yang
mendalam. Permainan memerlukan penyertaan individu. Sewaktu pelajar
memainkan permainan bahasa, mereka akan melibatkan diri dalam
semangat pertandingan dan berhempas pulas untuk mendapatkan
jawapan yang betul.

(b) Interaksi

Murid sekolah rendah amat gemar bertutur dan mereka juga mudah
untuk bersosialisasi. Keadaan ini boleh dieksploitasi untuk meningkatkan
interaksi sesama mereka. Peluang menggunakan sepenuhnya tenaga
dan kebolehan untuk berkomunikasi sebenarnya berkait rapat dengan
pengalaman berbahasa. Perkara penting yang patut diberikan perhatian
adalah kesan daripada interaksi rakan sebaya. Mereka lebih banyak
belajar melalui rakan sebaya daripada guru mereka sendiri.

(c) Pertandingan

Permainan bahasa bercirikan persaingan. Persaingan boleh berlaku


antara sesama peserta, masa yang dihadkan, pencapaian persembahan
yang terbaik atau mencapai matlamat tertentu. Sudah menjadi adat
pertandingan ada yang menang dan ada pula yang kalah. Jadi, permainan
bahasa mengeksploitasi kecenderungan bertanding tersebut untuk
maksud pembelajaran.

112
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3

(d) Kerjasama

Bekerjasama adalah satu unsur yang kukuh bagi setiap permainan yang
penuh pertandingan. Dalam permainan, ahli-ahli kumpulan bekerjasama
antara satu sama lain untuk memastikan kemenangan bagi kumpulan
mereka. Semangat bekerjasama yang dipupuk melalui aktiviti permainan
ini juga dapat digunakan dalam perkara-perkara lain sama ada di luar dan
di dalam bilik darjah.

(e) Pembelajaran semula jadi

Permainan bahasa membolehkan berlakunya pembelajaran secara


semula jadi. Malahan kecenderungan bermain adalah satu gesaan yang
semula jadi. Ia harus digunakan sebaik mungkin oleh guru, terutama yang
sentiasa berusaha mencari jalan merangsang keinginan pelajar untuk
belajar. Pembelajaran bahasa berlaku dalam diri pelajar dan ia adalah
satu proses yang perlahan. Banyak aspek yang berhubung dengan
pembelajaran bahasa boleh berlaku melalui proses yang semula jadi. Ia
terlaksana apabila seseorang itu terlibat dengan penggunaan bahasa itu
secara langsung.

(f) Peraturan permainan

Dalam permainan bahasa, terdapat beberapa peraturan khusus yang telah


didefinisikan secara jelas. Semua pelajar yang terlibat dalam permainan,
biasanya tahu dan faham akan cara dan peraturan untuk bermain. Semua
peraturan yang telah ditentukan itu bertujuan mengawal permainan dan
memberikan petunjuk atau panduan kepada peserta, di samping dapat
mengredkan permainan itu mengikut nilai-nilai tertentu.

(g) Penamat permainan

Permainan bahasa mempunyai penamat. Biasanya, terdapat beberapa


penentuan awal yang menandakan titik penamat untuk peserta
menghentikan permainan mereka. Ia mesti dilakukan walaupun pada ketika
itu pemain-pemain masih belum mencapai keputusan yang sepatutnya.

PENGELOLAAN PERMAINAN BAHASA

Menyediakan pelajar atau kumpulan tertentu yang diperlukan untuk melaksanakan aktiviti
adalah satu faktor yang penting bagi memastikan kejayaan sesuatu permainan. Organisasi
bilik darjah mestilah dirancang dengan baik. Tidak kurang penting adalah pelajar itu sendiri
tahu dan faham apa yang harus mereka lakukan. Pelajar boleh dibahagikan kepada
pasangan, kumpulan kecil yang mengandungi tiga atau empat orang ahli atau aktiviti yang
melibatkan keseluruhan kelas. Aktiviti berpasangan atau kumpulan diadakan bertujuan
untuk menggalakkan semangat bekerjasama, iaitu tolong-menolong dalam suasana
harmoni dagi menyelesaikan sesuatu masalah. Ia juga dapat mempererat perhubungan
dalam kalangan pelajar, di samping mereka harus menggunakan kecerdasan mental dan
kecergasan fizikal bagi mencapai matlamat permainan.

113
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3

Secara Berkumpulan

Permainan bahasa boleh dilaksanakan dalam kumpulan-kumpulan kecil. Biasanya, empat


hingga enam orang pemain dalam satu kumpulan sudah memadai. Bilangan ahli dalam satu-
satu kumpulan adalah penting dalam menentukan kelancaran permainan. Jika bilangan
pelajar dalam sesebuah kelas terlalu ramai, guru hendaklah membahagikan pelajar dalam
banyak kumpulan. Keadaan ini mungkin kurang selesa, terutama jika saiz bilik darjah itu
kecil. Walau bagaimanapun, jika keadaan ini tidak dapat dielakkan, permainan tersebut
boleh digantikan dengan jenis permainan bahasa yang dilakukan di luar bilik darjah.

Secara Berpasangan

Aktiviti berpasangan merupakan satu bentuk gerak kerja yang efektif dalam melibatkan
penyertaan pelajar. Permainan bahasa secara berpasangan boleh memberikan lebih
banyak peluang latihan mendengar dan bertutur. Biasanya, permainan secara berpasangan
tidak banyak menimbulkan masalah jika dibandingkan permainan secara kumpulan. Guru
lebih mudah untuk mengawal pasangan pelajar dengan bergerak dari satu pasangan ke
satu pasangan yang lain.

Secara Individu

Permainan secara individu amat sesuai untuk aktiviti pengayaan. Cara ini biasanya
dilakukan untuk pelajar yang pintar dan cerdas serta telah menyiapkan tugas yang diberikan
oleh guru dalam sesuatu masa tertentu. Dalam permainan, pelajar berfikir sendirian untuk
menyelesaikan masalah yang diberi. Jika masalah itu tidak dapat diselesaikannya, pelajar
boleh merujuk kepada guru untuk mendapatkan petunjuk dan panduan.

BENTUK INTERAKSI DALAM PERMAINAN BAHASA

Peranan guru dalam aktiviti permainan bahasa adalah sebagai perunding, mentor,
pembetul kesalahan dan pengadil. Guru haruslah berkecuali dan mengetepikan diri
setelah arahan penting diberikan dan pelajar dapat memahaminya dengan baik. Pelajar
juga perlu diberitahu bahawa setiap mereka mesti mengambil bahagian secara aktif dan
menunjukkan kesungguhan. Guru juga turut bertindak sebagai fasilitator dan merancang
pembahagian pelajar seperti dalam rajah yang berikut:

Rajah 1: Guru mengatur tetapi tidak mengawal perbincangan kelas. Rajah


menunjukkan tiada interaksi antara pelajar secara langsung. Semua
pertukaran maklumat adalah melalui guru sama ada menerima,
menolak atau mengemukakan soalan.

G
P

114
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3

Rajah 2: Guru sebagai fasilitator bagi membimbing pelajar. Interaksi


yang berlaku melibatkan lebih daripada seorang pelajar.

P G P

Rajah 3: Guru sebagai fasilitator. Pelajar melakukan


aktiviti secara berpasangan.

P P

Rajah 4: Guru menyelia aktiviti kumpulan. Pelajar melakukan


aktiviti dalam kumpulan masing-masing.

P P

115
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3

Rajah 5: Guru menyelia aktiviti pelajar. Seorang wakil


pelajar berbincang dalam kumpulan lain.

P P

Rajah 6: Interaksi atau perbincangan antara guru


dengan seorang pelajar.

G P G P

CIRI-CIRI PERMAINAN BAHASA YANG BAIK

Permainan bahasa yang dijalankan di dalam bilik darjah bukan setakat berakhir di bilik
darjah, tetapi ia mempengaruhi penguasaan bahasa pelajar hingga ke luar bilik darjah.
Berlaku juga keadaan pelajaran bahasa yang disampaikan secara bermain dapat membantu
pelajar mempelajari sesuatu yang lebih daripada aktiviti bermain itu sendiri. Oleh itu, guru
bahasa perlu mempunyai pengetahuan tentang ciri-ciri permainan bahasa yang baik dan
sesuai dipraktikkan dalam pengajaran bahasa. Antara ciri-ciri permainan bahasa yang baik
adalah seperti yang berikut:

(a) Dapat mengukuhkan dan meningkatkan penguasaan bahasa seperti


penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis dan
penguasaan elemen tatabahasa.

(b) Mempunyai rangsangan dan bahan yang menarik, sesuai dengan peringkat
penguasaan bahasa pelajar.

(c) Memberikan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi antara pelajar


dengan pelajar, pelajar dengan guru dan tindak balas pelajar terhadap
bahan.

(d) Dapat merangsangkan pelajar untuk bertindak balas secara aktif dan positif
serta dapat mengekalkan minat mereka.

(e) Melibatkan pelajar secara aktif sama ada dalam kumpulan atau kelas.

116
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3

(f) Mempunyai arahan dan peraturan yang jelas dan mudah difahami.

(g) Dapat dijalankan dalam jangka waktu dan tempat yang sesuai agar objektif
pembelajaran dapat dicapai.

PENGENDALIAN AKTIVITI PERMAINAN BAHASA

Sebelum sesuatu permainan itu dijalankan, persediaan yang rapi hendaklah dibuat agar
pengajaran melalui permainan itu dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan. Cara
pengendalian sesuatu aktiviti permainan bahasa penting, selain memilih permainan
dengan berdasarkan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan. Dalam aspek pengendalian
aktiviti, perkara yang berikut perlu diambil kira, iaitu:

(a) Perancangan Permainan

Guru harus merancang dan mengolah bahan permainan sesuai dengan


tajuk dan objektif pengajaran bahasa yang diajarkan. Pastikan bahan
pengajaran itu lengkap dan mencukupi untuk semua pelajar di dalam bilik
darjah. Guru juga harus memastikan jangka masa yang diperlukan untuk
sesuatu permainan agar masa dapat dirancang dengan sebaik-baiknya.
Sebelum memulakan permainan, pelajar hendaklah diberitahu tentang
nama permainan, bentuk dan cara pengelolaan mengikut keperluan
bermain. Guru juga harus menentukan ada penjaga masa dan hakim
sebagai penyelia jika berkaitan. Semasa permainan berlangsung, guru
bertindak sebagai fasilitator dan membimbing pelajar apabila diperlukan.
Selepas permainan. Guru hendaklah berbincang dengan pelajar tentang
kemahiran, sikap dan pengajaran atau nilai yang telah diperolehi hasil
daripada aktiviti permainan yang telah dijalankan itu.

(b) Bentuk Permainan

Permainan bahasa boleh dilakukan dalam bentuk berkumpulan,


berpasangan atau secara individu. Permainan bahasa dalam kumpulan
kecil sesuai untuk kelas yang mempunyai bilangan murid yang ramai.
Permainan secara berpasangan pula memudahkan guru mengawal dan
memberikan perhatian kepada setiap murid. Manakala permainan secara
individu sesuai untuk aktiviti pengayaan dan pemulihan bagi pelajar yang
pintar dan lemah. Permainan boleh dijalankan dalam dua bentuk, iaitu
bentuk pertandingan dan penghayatan kendiri. Penentuan kalah menang
dalam pertandingan ditentukan dengan kiraan mata, tempoh masa,
ketepatan jawapan atau kepantasan menyelesaikan masalah. Permainan
berbentuk pneghayatan kendiri dijalankan bagi memenuhi minat dan
memberikan kepuasan serta keseronokan kepada diri sendiri, misalnya
permainan teka silang kata, mencari perkataan tersembunyi atau mencari
gambar tersembunyi.

(c) Waktu Pengendalian Permainan

Permainan bahasa boleh dijalankan pada peringkat awal, pertengahan dan


akhir pelajaran. Pada peringkat awal pengajaran, permainan dijalankan

117
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3

dalam induksi set. Permainan pada peringkat ini tidak memakan masa
yang panjang dan sesuai dijadikan sebagai rangsangan kepada tajuk
atau kemahiran yang diajarkan. Pada peringkat pertengahan, permainan
dijalankan sebagai langkah pengajaran guru. Manakala pada peringkat
akhir, permainan dijalankan sebagai aktiviti pengukuhan kepada kemahiran
yang telah dijalankan.

(d) Tunjuk cara

Sebelum aktiviti permainan dijalankan, guru terlebih dahulu haruslah


membuat demonstrasi atau tunjuk cara tentang cara-cara bermain kepada
pelajar agar pelajar dapat memahami bentuk dan pelaksanaan permainan
tersebut.

(e) Arahan dan Peraturan Permainan

Guru harus menerangkan arahan dan peraturan bermain secara jelas


kepada pelajar agar tidak berlaku salah faham dan kekeliruan semasa
bermain. Ia juga membolehkan permainan berjalan dengan lancar serta
mencapai objektifnya.

CONTOH PERMAINAN BAHASA

Contoh 1

Nama permainan : Maka berkatalah Simon


Kemahiran : Mendengar dan membezakan arahan
Objektif : (i) Melakukan arahan mudah yang didengar
(ii) Mengenal pasti dan menamakan bahagian-bahagian tubuh
Kandungan : - Bahagian-bahagian tubuh
- Kosa kata: siku, kuku, jari hantu, jari manis, ibu jari, lutut,
buku lali, hidung, telinga, mulut, kepala, dahi, mata, kening
- Aspek bahasa:
berdiri, duduk
tunjukkan saya...
sila angkat...
tunjuk kepada...
pegang...anda
Jenis aktiviti : Kelas
Prosedur Permainan :

i. Pelajar ditunjukkan beberapa model yang melakukan aksi tertentu


ii. Pelajar diterangkan peraturan permainan
iii. Pelajar perlu mendengar arahan yang bermula dengan “Simon berkata...”
Misalnya: “Simon berkata berdiri”
iv. Pelajar melakukan aksi yang disebutkan
v. Pelajar berdiam diri sebentar
vi. Guru kemudian berkata “duduk”
vii. Pelajar yang membuat aksi tersebut tanpa dimulai dengan perkataan
“Simon berkata...” akan diketepikan daripada permainan.

118
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3

viii. Mainkan permainan ini beberapa ketika dan pelajar yang tinggal apabila
permainan ditamatkan dikira sebagai pemenang.

Contoh 2

Nama permainan : Salah atau betul


Kemahiran : Mendengar dan memahamkan arahan
Objektif : (i) Mendengar ayat-ayat penyata yang diujarkan
(ii) Memahami arahan mudah yang didengar
Kandungan : Ayat Penyata
Jenis aktiviti : Kelas
Kumpulan mengikut barisan
Prosedur Permainan :

i. Teriakkan beberapa ayat penyata dengan jelas


Misalnya: Sekarang hujan lebat.
Hari ini hari Selasa.
Guru kelas ini seorang wanita.
Dua orang pelajar tidak hadir hari ini.
(Jika ayat yang disebut itu betul pelajar akan duduk di kerusi. Sebaliknya,
jika ayat yang disebut itu salah pelajar akan berdiri)
ii. Markah akan diberi bagi setiap aksi yang betul
iii. Guru boleh mengulang aktiviti ini dengan mengemukakan ayat-ayat yang
seterusnya.
iv. Kumpulan yang ahlinya banyak melakukan aksi yang betul dikira menang.

RUJUKAN

Andrew, W. (1980). Games for language learning. England: Cambridge University Press.

Lee, W. R. (1979). Language teaching games and contests. Oxford: Oxford University Press.

Nota: Artikel ini dipetik daripada buku penulis sendiri yang bertajuk Permainan Bahasa
untuk Sekolah Rendah dan Menengah (1996). Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman
Sdn. Bhd.

119

You might also like