You are on page 1of 12

INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA (IKS) DAN E-DAGANG: SATU KAJIAN

AWAL

Sarmila Md Sum & Faridahanum Othman


Universiti Kebangsaan Malaysia
e-mail: sarmila@pkrisc.cc.ukm.my
Tel:603-89213128

Abstrak: Industri Kecil dan Sederhana (IKS) merupakan tulang belakang kepada sektor perindustrian
negara. Atas alasan ini tumpuan khusus harus diberikan kepada industri ini bagi memastikan kekuatan dan
perkembangannya dapat diteruskan sejajar dengan pemulihan ekonomi rantau ini. Dalam era
perkembangan teknologi maklumat E-Dagang dianggap dapat membantu perkembangan IKS dengan lebih
pesat lagi. Kajian ini cuba melihat sejauh mana IKS telah melaksanakan E-Dagang. Sebanyak 20 buah IKS
yang beroperasi di Taman Industri Selaman, Bandar Baru Bangi, Selangor telah dipilih sebagai
responden. Hasil kajian mendapati bahawa sebanyak 60 peratus IKS telah menggunakan E-Dagang
dalam urusan perniagaan mereka. Namun begitu hanya 30 peratus sahaja yang menggunakan E-Dagang
untuk urusan selain daripada pemasaran produk. Faktor utama yang menyumbang kepada perlaksanaan
E-Dagang adalah merupakan peningkatan keupayaan untuk mendapat maklumbalas dari pelanggan
dengan segera selain daripada penjimatan kos, perluasan pasaran dan juga saranan kerajaan manakala
sebab utama kepada E-Dagang tidak digunakan adalah kerana tiada kemahiran, belum memerlukan buat
masa ini, tidak bersesuaian dengan aktiviti organisasi dan juga kerana tiada minat oleh pengusaha untuk
melaksanakannya. Usaha yang lebih banyak perlu dijalankan oleh pihak yang berkenaan bagi
memperluasakan lagi pemahaman dan kemahiran para pengusaha terhadap E-Dagang sebagai usaha
memajukan serta meningkatkan keupayaan industri ini bersaing terutama sekali dalam era ekonomi global.

PENGENALAN

Kesedaran tentang kepentingan Industri Kecil dan Sederhana ( IKS ) hanya menonjol
dalam tiga dekad kebelakangan ini. Malah negara maju seperti Amerika Syarikat sendiri
mula menyedari tentang hakikat tersebut pada penghujung tahun 1970-an. Kesedaran itu
timbul ekoran daripada ketidakupayaan industri besar menyerap peningkatan guna tenaga
negara. Malaysia juga tidak mahu ketinggalan dalam usahanya untuk mempromosikan
IKS di negara ini. Sebelum Dasar Ekonomi Baru ( DEB ), masih belum terdapat dasar
khas yang menekankan kepada kepentingan IKS secara global ( Mohd. Rosli 1994 ).
Namun demikian, usaha kerajaan untuk membangunkan IKS telah bermula sejak zaman
penjajahan lagi. Usaha ini diteruskan sehinggalah selepas negara mencapai kemerdekaan.
Usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan ini adalah antara lain bertujuan bagi
meningkatkan lagi status atau kemampuan IKS untuk bersaing dengan industri-industri
yang lebih besar.

Melalui Rancangan Malaysia Ketujuh ( RMK-7 ) sektor IKS telah dikenalpasti sebagai
sektor penting yang menjadi pendukung kepada agenda perindustrian negara.
Sehubungan itu, tumpuan khusus telah diberikan kepada sektor ini untuk memastikan
agar kekuatan dan perkembangannya dapat diteruskan sejajar dengan pemulihan ekonomi
rantau ini ( Mohd. Sani 2000 ).Kejayaan yang telah dicapai oleh sektor IKS setakat ini
perlu dikekalkan dan dipertingkatkan lagi memandangkan IKS juga merupakan tulang
belakang kepada sektor perindustrian negara. Oleh yang demikian, terdapat kaedah yang
dianggap berkesan untuk meningkatkan produktiviti IKS dalam era perkembangan
teknologi maklumat pada masa kini kerana penggunaan teknologi maklumat dapat
membantu sektor IKS berkembang dengan lebih pesat lagi. Penggunaan teknologi
maklumat yang dimaksudkan di sini ialah penggunaan E-Dagang atau Perdagangan
Elektronik dalam aktiviti perniagaan.

Konsep E-Dagang adalah sama dengan konsep dagangan atau proses jual beli yang lazim
dilakukan antara pembeli dan penjual. E-Dagang merangkumi proses melihat dan
meneliti barang-barang yang ingin dibeli, mendapat barang-barang yang diperlukan, dan
membayar belian tersebut ( Mohd. Johari 2001 ).Di Malaysia dan negara-negara sedang
membangun yang lain, perniagaan berasaskan E-Dagang masih belum dipraktikkan
sepenuhnya. Ini adalah kerana tahap keyakinan di kalangan pengguna yang masih rendah.
Untuk dipraktikkan sepenuhnya, E-Dagang perlu menjadi suatu budaya hidup masyarakat
di Malaysia dan juga negara-negara membangun yang lain.

Di Malaysia infrastuktur teknologi maklumat ( IT ) dan budaya adalah antara penghalang


utama kepada aplikasi E-Dagang. Walaupun beberapa pihak seperti kerajaan dan syarikat
swasta telah membuat persediaan dari segi infrastruktur dan sistem, kesediaan
masyarakat untuk menerima E-Dagang sebagai budaya hidup masih berada pada tahap
yang rendah. Mengikut perangkaan, penggunaan internet di kalangan rakyat Malaysia
hanya pada sekitar empat peratus. Walau bagaimanapun, kegiatan E-Dagang tempatan
telah mencapai angka lebih RM10 juta pada tahun 1998 dan seterusnya meningkat
kepada RM35 juta pada tahun 1999. Kini kerajaan sering mewar-warkan kepentingan E-
Dagang kepada para peniaga tempatan termasuklah pengusaha IKS. Lanjutan dari itu
sebuah badan bertindak E-Dagang juga telah dibentuk untuk memantau kegiatan ini (
Nazif W.M 2003 ).

OBJEKTIF KAJIAN DAN METODOLOGI

Berdasarkan kepada senario yang dibincangkan di atas, kajian ini bertujuan untuk melihat
sejauhmana E-Dagang telah dipraktiskan oleh IKS dalam urusan perniagaan mereka.
Selain dari itu, kajian ini juga cuba untuk melihat faktor-faktor yang mempengaruhi
implimentasi E-Dagang oleh para IKS. Sebanyak dua puluh buah syarikat IKS yang
beroperasi di Taman Industri Selaman di Bandar baru Bangi telah dipilih sebagai
responden bagi tujuan kajian ini. Pengusaha kepada industri ini telah ditemubual
berdasarkan kepada soalan-soalan dari borang kajiselidik.

E-Dagang

Menurut Nazif ( 2003 ) E-Dagang atau perdagangan secara elektronik ialah proses
pembelian, penjualan ataupun pertukaran barangan, perkhidmatan dan maklumat melalui
rangkaian komputer. Selain melalui internet, E-Dagang turut boleh berlangsung
menggunakan rangkaian peribadi seperti value added networks ( VAN ) dan local area
networks ( LANs ). Secara umumnya, E-Dagang boleh dijalankan dalam bentuk maya
sepenuhnya ataupun separuh maya. Bloch, Pigneur & Seger ( 1996 ) pula mendefinisikan
E-Dagang sebagai satu metodologi perniagaan yang menggunakan pengantaraan
elektronik untuk melakukan keseluruhan transaksi perniagaan. Pembekal dan pelanggan
bertemu dalam suasana maya untuk melakukan urusniaga dengan menggunakan
teknologi internet, digital dan lain-lain. Bagi tujuan kajian ini, E-Dagang didefinisikan
sebagai satu proses jual dan beli barangan atau produk dan perkhidmatan melalui
rangkaian internet.

Industri Kecil dan Sederhana ( IKS )


IKS atau Industri Kecil dan Sederhana merupakan salah satu sektor perindustrian yang
terdapat di negara Malaysia. Ciri-ciri umum IKS menurut Moha Asri ( 1997 ) ialah
sebuah organisasi yang sebahagian besarnya diasaskan oleh sebuah keluarga atau
seseorang yang dibantu oleh beberapa orang operator pengeluaran dan pekerja am yang
lain. Ini menggambarkan tahap atau saiz operasi dalam industri ini yang lazimnya adalah
bersifat kecil.Definisi IKS boleh dibuat berasaskan kuantitatif seperti jualan, output,
bilangan pekerja, jentera yang digunakan, stok, modal atau aset. Ukuran kualitatif, seperti
tingkat teknologi pengeluaran dan pengurusan, juga boleh dijadikan petunjuk. IKS ialah
industri yang melibatkan bilangan pekerja antara 50 hingga 200 orang dan memiliki
modal kurang daripada RM 2.5 juta.

Definisi IKS oleh Pembangunan Kemajuan Negeri Selangor ( PKNS ) ialah dengan
melihat ciri-ciri modal berbayar serta tenaga kerja. Bagi Industri Kecil, modal
berbayarnya adalah kurang dari RM 500 000 dan memiliki tenaga kerja tetap diantara 5
hingga 50 orang. Manakala Industri Sederhana pula memiliki modal berbayar diantara
RM 500 001 hingga RM 2.5 juta dan mempunyai tenaga kerja tetap diantara 51 hingga 75
orang. IKS juga dapat dikenalpasti melalui pembahagian tugas dalam operasinya.
Kebanyakan pembahagian tugas yang terdapat dalam IKS adalah tidak jelas. Sudah
menjadi kelaziman dalam sektor IKS, seorang pekerja itu dapat melakukan beberapa
fungsi atau tugas operasi seperti operator pengeluaran, juruteknik, kerana, pegawai
pemasaran, pegawai akaun dan sebagainya dalam waktu atau masa yang sama. Dalam
kajian ini, definisi IKS yang diguna pakai adalah definisi yang dibuat oleh PKNS iaitu
industri ini boleh dikenalpasti dengan melihat pada ciri-ciri yang telah dinyatakan oleh
pihak PKNS.

Latar Belakang Kawasan Kajian

Kajian dijalankan di kawasan Perindustrian Bandar Baru Bangi yang terletak di bawah
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor ( PKNS ). Negeri Selangor merupakan negari
yang maju dalam sektor perindustrian dan juga merupakan zon industri yang terbesar di
Malaysia. Bandar Baru Bangi merupakan salah satu kawasan perindustrian yang terletak
di Lembah Klang. Ia telah dimajukan oleh PKNS pada tahun 1975 dan terletak kira-kira
25 km dari pusat bandaraya Kuala Lumpur selain daripada jaraknya yang kira-kira 40 km
dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA ). Tumpuan kajian ini ialah
kepada kawasan perindustrian Bandar Baru Bangi yang merangkumi seksyen 10, iaitu
Taman Perindustrian Selaman.

KAJIAN LEPAS
Kajian lepas oleh Rosen ( 2000 ) menunjukkan terdapat 3 kelebihan utama sekiranya
syarikat menggunakan E-Dagang dalam perniagaan mereka. Kelebihan tersebut
termasuklah syarikat tidak lagi memerlukan saiz firma yang besar di mana saiz firma
yang besar ini merupakan satu petunjuk atau jaminan kepada pengguna yang syarikat
adalah kukuh dan dapat meyakinkan pengguna tentang kewujudan syarikat di pasaran.
Dengan menggunakan perkhidmatan E-Dagang, syarikat tidak perlu mempunyai saiz
firma yang besar bagi meyakinkan pengguna malah dengan adanya rangkaian
perkhimatan talian yang kukuh dan berkesan ia boleh meyakinkan para pengguna. Selain
itu, kelebihan lain adalah berkaitan dengan pemilihan lokasi firma. E-Dagang, ia
merupakan salah satu jalan penyelesaian kepada pemilihan lokasi firma dimana dalam
perniagaan konvensional lokasi merupakan perkara utama yang perlu difikirkan oleh
usahawan bagi memulakan perniagaan mereka. Namun demikian, dengan E-Dagang
lokasi firma terletak di seluruh dunia dan capaian boleh dibuat melalui internet dari
mana-mana sahaja. Selain itu kelebihan yang dinyatakan oleh pengkaji ini termasuklah
peniaga dapat menerima maklumbalas serta merta dari pelanggan. Ia berbeza dengan
perniagaan konvensional di mana maklumbalas dari pelanggan lambat dan sukar
diketahui. Dengan E-Dagang maklumbalas dapat diterima dengan cepat melalui e-mail
atau ruangan feedback yang disediakan oleh peniaga dalam perkhimatan E-Dagang
perniagaan mereka. Ia amat sesuai untuk industri bersaiz kecil di mana industri ini dapat
bersaing dengan baik dengan industri yang lebih besar. Pengguna tidak lagi melihat
kepada saiz sesebuah firma itu tetapi kepada produk dan perkhidmatan yang disediakan
oleh perniagaan tersebut.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Nazif ( 2003 ) E-Dagang sememangnya memberi
kebaikan kepada pengguna, organisasi dan masyarakat. Dengan pelaburan yang rendah,
syarikat dapat mempromosikan produk keluaran mereka kepada pengguna di seluruh
dunia, mencari pembekal yang terbaik di kalangan pembekal yang ada dan membina
rangkaian rakan niaga di peringkat nasional dan global. Selain daripada itu juga,
perbelanjaan percetakan untuk tujuan pengeluaran, penyebaran dan penyimpanan
maklumat dapat dielakkan. Faktor global turut diambil kira oleh pengkaji di mana
melalui E-Dagang, masyarakat di negara membangun misalnya, dapat menikmati
barangan yang hanya dikeluarkan oleh negara maju. Melalui perkhidmatan E-Dagang,
mereka hanya perlu mengakses kepada rangkaian internet bagi mendapatkan barangan
tersebut.

Cannon ( 2000 ) menyatakan bahawa, perniagaan melalui internet amat sesuai untuk
industri bersaiz kecil dan sederhana. Dengan menggunakan internet sebagai medium
perniagaan mereka, industri bersaiz kecil dapat meluaskan pasaran ke serata dunia dan
dalam masa yang sama, dapat mengurangkan kos promosi dan pengiklanan. Menurutnya
lagi, dengan E-Dagang firma tidak lagi beroperasi untuk mengeluarkan produk secara
besar-besaran tetapi lebih memfokus kepada maklumat pelanggan serta perkhidmatan
yang diberikan oleh firma kepada pelanggan. Selain itu beliau turut menyatakan bahawa,
dengan E-Dagang pengguna dapat membeli terus sesuatu produk atau perkhidmatan dari
peniaga tanpa menggunakan orang tengah. Beliau juga turut menyentuh kelebihan
memasarkan atau mengiklankan produk melalui internet. Antaranya ialah mendapat
maklumbalas pelanggan dengan cepat, kandungan iklan dapat direka bentuk mengikut
citarasa sendiri, kos pengiklanan yang murah dan peniaga dapat memberi penerangan
mengenai produk secara lebih terperinci.

Kebaikan atau manfaat E-Dagang juga dapat dilihat dalam kajian Mohd. Johari ( 2001 ).
Kebaikan E-Dagang yang ketara ialah dari sudut memberi keselesaan membeli-belah
dalam ketenteraman rumah. Keadaan ini memberi peluang kepada pembeli untuk
berbincang bersama ahli keluarga sebelum membuat pembelian. Belian yang menepati
keperluan seisi keluarga adalah menjimatkan. Selain itu E-Dagang berupaya memberi
maklumat yang mesra pelanggan dan terkini. Kemesraan ini terletak kepada susun atur
yang mudah untuk dilayari serta mempunyai penerangan untuk setiap barangan dalam
laman web. Maklumat yang diberi bertujuan untuk membolehkan pengguna membuat
pilihan dengan betul.

Kajian yang dijalankan oleh Mohd Sani ( 2000 ) lebih terfokus kepada penglibatan IKS
dalam perkhidmatan E-Dagang. Perkembangan ekonomi digital kini mampu membantu
para peniaga kecil dan besar untuk mengurangkan kos pembelian, perhubungan dengan
pelanggan, logistik dan inventori, perancangan pengeluaran dan mampu mendekati para
pelanggan yang sedia ada dan pelanggan baru dengan cara yang paling cepat dan
berkesan. E-Dagang juga mampu memberi peluang perniagaan yang berpotensi besar
kepada pengusaha IKS yang ingin melibatkan diri dengan teknologi baru ini. Namun
begitu, kajian ini juga menyatakan bahawa E-Dagang dalam IKS masih kurang
dimanfaatkan. Ini dapat dibuktikan dengan kajian yang dijalankan oleh Multimedia
Development Corp. Sdn. Bhd. ( MDC ) terhadap 811 buah syarikat IKS tempatan, di
mana hanya tujuh peratus sahaja syarikat IKS yang menggunakan medium ini untuk
melaksanakan proses jual beli. Pengkaji turut menjelaskan faktor penting yang
menyumbang kepada kejayaan E-Dagang seperti kemampuannya melangkaui batas-batas
sempadan politik dan geografi tanpa sebarangan halangan dalam masa yang begitu
singkat.

HASIL KAJIAN

i) Tahap penggunaan E-Dagang oleh IKS

Hasil kajian yang dijalankan ke atas 20 buah perusahaan IKS di Taman Industri Selaman
mendapati hampir kesemua responden mengetahui tentang peniagaan secara elektronik
iaitu E-Dagang. Namun demikian, tidak semua daripada bilangan responden yang
ditemuramah menggunakan perkhidmatan E-Dagang dalam operasi perniagaan mereka.
Hanya terdapat 60 peratus sahaja responden yang menyatakan bahawa mereka ada
menggunakan E-Dagang dalam operasi perniagaan mereka.
Jadual 1: Penggunaan E-Dagang
Kategori penggunaan Bilangan Peratus
(%)
1. Mengetahui tentang E-Dagang 20 100
2. Menggunakan E-Dagang dalam urusan perniagaan 12 60
3.Tidak menggunakan E-Dagang dalam urusan perniagaan 8 40
4. Menggunakan E-Dagang bagi tujuan pemasaran 12 60
5. Menggunakan E-Dagang dan kaedah pemasaran konvensional 12 60
5. Menggunakan E-Dagang bagi tujuan pembelian/perkhidmatan 6 30

Sumber: Hasil kajian 2005

Hasil kajian juga mendapati bahawa daripada 60 peratus responden yang menggunakan
perkhidmatan E-Dagang hanya separuh sahaja (30%) yang menggunakannya bagi tujuan
mendapatkan bekalan atau perkhidmatan selain daripada untuk tujuan pemasaran. Tidak
terdapat sebuah syarikat pun yang bergantung sepenuhnya kepada E-Dagang bagi tujuan
pemasaran dan terdapat sebanyak 40 peratus syarikat yang langsung tidak menggunakan
E-Dagang dalam urusan perniagaan mereka.

Kebanyakan daripada perusahaan yang dikaji menggunakan kedua-dua kaedah


pemasaran iaitu kaedah konvensional dan perkhidmatan E-Dagang. Kaedah konvensional
adalah kaedah pemasaran yang biasa digunakan seperti bersemuka dengan pelanggan,
pengiklanan dan promosi barangan yang dilakukan secara manual. Faktor utama yang
menyumbang kepada penggunaan kedua-dua kaedah pemasaran ini adalah kerana mereka
ingin mendapatkan pasaran yang lebih luas dan memperolehi pelanggan dengan lebih
cepat. Ini kerana kedua-dua kaedah ini mempunyai kelebihan masing-masing. Manakala
tidak terdapat satu pun pengusaha yang menggunakan perkhidmatan E-Dagang sahaja.
Ini menunjukkan tahap kepercayaan yang masih rendah di kalangan pengusaha terhadap
keupayaan perkhidmatan tersebut dalam menarik minat pelanggan .

Selain daripada menggunakan perkhidmatan E-Dagang untuk tujuan pemasaran dan


mempromosikan produk dan perkhidmatan, E-Dagang juga turut digunakan bagi tujuan
mendapatkan bekalan bahan mentah daripada pembekal lain atau supplier secara on line.
Hasil daripada kajian yang dijalankan ke atas 12 buah perusahaan yang menggunakan
perkhidmatan E-Dagang dalam perniagaan mereka, hanya sebahagian daripada responden
ini menggunakan E-Dagang untuk tujuan ini manakala sebahagian lagi tidak
menggunakan E-Dagang untuk tujuan ini.

ii) Faktor-faktor yang menggalakkan penggunaan E-Dagang dalam perusahaan

Hasil kajian mendapati sebanyak 41.7 peratus responden yang menggunakan


perkhidmatan E-Dagang ini menyatakan bahawa, antara faktor utama syarikat mereka
melaksanakan E-Dagang ialah kerana maklumbalas daripada pengguna dapat diperolehi
dengan kadar segera. Perusahaan-perusahaan yang menjalankan pengeluaran jenis
percetakan kertas, serta penghasilan buku dan bahan bercetak merupakan antara syarikat
yang menjadikan faktor ini sebagai faktor utama penggunaan E-Dagang. Ini kerana
perkhidmatan yang dijalankan memerlukan idea dan buah fikiran daripada pengguna bagi
menghasilkan sesuatu produk. Dengan menggunakan perkhidmatan E-Dagang,
pengusaha dapat menerima semula maklumbalas daripada pengguna dengan kadar yang
segera. Jika perkhidmatan yang diberikan oleh pengusaha mengalami kerosakan atau
kesilapan, pengusaha dapat memperbaiki dan mengemaskini mana-mana kekurangan
dengan segera. Keadaan ini akan dapat membantu menjadikan kualiti produk dan
perkhidmatan sentiasa terkawal dan berada di dalam keadaan yang baik. Selain itu
pelanggan sering mengemukakan idea dan komen di dalam ruangan pesanan elektronik
atau e-mail yang disediakan oleh pengusaha di dalam laman web syarikat. Ini
membolehkan pengusaha sentiasa peka dengan kehendak dan permintaan pasaran dari
semasa ke semasa dan membolehkan mereka mengeluarkan serta menghasilkan produk
atau perkhidmatan mengikut citarasa pengguna.

Jadual 2: Faktor-faktor yang menyokong penggunaan E-Dagang dalam perusahaan


Faktor-faktor Penggunaan E-Dagang Bilangan Peratus
Perusahaan (%)

1.Dapat menerima maklumbalas segera dari pembeli atau pembekal 5 41.7


2.Dapat menjimatkan kos pengiklanan 3 25.0
3.Membantu mencapai pasaran yang lebih luas 3 25.0
4.Saranan dari kerajaan 1 8.3

Sumber: Hasil kajian 2005

Kos pengiklanan juga dapat dikurangkan dengan penggunaan E-Dagang. Pengusaha


dapat menjimatkan kos pengiklanan seperti percetakan sama ada di dalam surat khabar,
bahan bercetak, katalog atau majalah di mana ia memerlukan kos yang agak tinggi bagi
tujuan pengiklanan. Dengan E-Dagang, pengusaha perlu membina laman web E-Dagang
mereka sendiri dan proses-proses pengiklanan dapat dilakukan secara on line dengan
menggunakan rangkaian internet. Sebanyak 25 peratus responden yang ditemuramah
menjadikan faktor ini sebagai sebab utama perusahaan mereka menggunakan
perkhidmatan E-Dagang. Perusahaan-perusahaan ini kebanyakannya terdiri daripada
syarikat yang sudah mendapat tempat di pasaran dan sudah mempunyai pelanggan
mereka yang tersendiri. Mereka ini sudah mempunyai pengalaman yang agak lama dalam
bidang perniagaan dan menurut kumpulan responden ini dengan melaksanakan E-Dagang
mereka dapat meminimumkan kos sekaligus memaksimumkan keuntungan.

Dengan E-Dagang juga, perusahaan yang dijalankan secara kecil-kecilan dapat


menembusi pasaran domestik dan antarabangsa. Ini sekaligus meningkatkan jumlah
permintaan dan penambahan pelanggan. Perkhidmatan E-Dagang membantu perusahaan
yang mungkin tidak diketahui oleh pelanggan tentang kewujudannya di pasaran.
Sebanyak 25 peratus syarikat yang menggunakan perkhidmatan E-Dagang menjadikan
faktor perluasan pasaran sebagai sebab utama penglibatan mereka dalam E-Dagang .
Maka tidak hairanlah terdapat tiga buah responden yang ditemuramah sudah mempunyai
beberapa cawangan lain di serata Malaysia

Selain itu juga, faktor yang menggalakkan penggunaan E-Dagang dikalangan responden
ialah saranan dan gesaan dari pihak kerajaan bagi meningkatkan keuntungan syarikat.
Kebanyakan daripada tempahan-tempahan produk dan perkhidmatan dari pihak kerajaan
adalah secara on line. Sekiranya pengusaha ingin mendapatkan tempahan produk atau
perkhidmatan dari pihak kerajaan mereka perlu bersedia melaksanakan E-Dagang. Ini
kerana pihak kerajaan menggunakan perkhidmatan e-Perolehan sebagai medium utama
bagi urusan perniagaan terutama untuk mendapatkan bahan-bahan keperluan mereka
dalam kuantiti yang banyak dengan harga yang berpatutan. Perkhidmatan e-Perolehan
adalah sama konsepnya dengan E-Dagang cuma bezanya ia digunakan oleh kesemua
badan-badan kerajaan. Sebanyak 8.3 peratus syarikat menyatakan bahawa peranan atau
saranan daripada pihak kerajaan menjadikan sebab utama mereka menggunakan E-
Dagang. Daripada kajian yang dijalankan, syarikat ini terdiri daripada mereka yang baru
menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Pengusaha ini berpendapat bagi
mendapatkan pelanggan mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan E-Dagang kerana
kebanyakan daripada tempahan atau permintaan barangan daripada pelanggan kerajaan
diperolehi daripada perkhidmatan ini. Oleh kerana masih baru dalam dunia perniagaan
dan belum mempunyai pelanggan, maka mereka perlu menggunakan perkhidmatan E-
Dagang bagi mengatasi masalah mendapatkan pelanggan.

iii) Sebab-sebab utama tidak menggunakan E-Dagang

Terdapat beberapa sebab utama yang menyebabkan 40 peratus daripada 20 responden


yang ditemubual, tidak menggunakan E-Dagang dalam mempromosikan barangan dan
perkhidmatan mereka.

Jadual 3 Faktor utama pengusaha tidak melaksanakan E-Dagang


Faktor utama Bilangan Peratus ( % )
Perusahaan

1. Tidak mempunyai kepakaran 3 37.5


2. Belum diperlukan lagi buat masa sekarang 2 25.0
3. Tidak bersesuaian dengan perniagaan 2 25.0
4. Tiada minat dalam bidang ini 1 12.5

Sumber: Hasil kajian 2005

Sebanyak 37.5 peratus responden menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai


kepakaran dalam bidang Teknologi Maklumat ( IT ). Mereka tidak melaksanakan E-
Dagang kerana tidak mempunyai asas dalam bidang pemasaran secara on line. Temubual
selanjutnya dengan para responden ini mendapati bahawa sebahagian dari mereka
menyatakan bahawa usia mereka telah agak lewat untuk mempelajari cara baru dalam
melaksanakan perniagaan. Oleh yang demikian, bagi mereka sekiranya tidak mempunyai
kepakaran maka tidak perlulah mereka melaksanakannya kerana takut untuk menghadapi
risiko-risiko yang berpunca akibat daripada kelemahan mereka dalam bidang ini.

25 peratus responden yang ditemubual pula, menyatakan sebab utama mereka tidak
menggunakan perkhidmatan E-Dagang adalah kerana perniagaan yang dijalankan itu
tidak bersesuaian dengan konsep perkhidmatan E-Dagang. Contohnya, sebuah syarikat
yang menjalankan perniagaan membuat komponen-komponen kecil yang terdapat di
dalam mesin-mesin tertentu merasakan untuk mendapat tempahan dari pelanggan kaedah
yang digunakan adalah dengan bersemuka secara fizikal di mana pelanggan akan
berbincang dengan pengusaha akan reka bentuk sesuatu komponen yang diinginkan. Oleh
yang demikian mereka merasakan perkhidmatan E-Dagang tidak sesuai digunakan bagi
tujuan ini.

Manakala sebanyak 25 peratus responden menyatakan bahawa perkhidmatan E-Dagang


ini belum diperlukan lagi oleh syarikat buat masa sekarang. Ini kerana ada diantara
syarikat-syarikat ini yang baru beroperasi untuk beberapa tahun dan perniagaan mereka
masih belum kukuh lagi, dan belum bersedia untuk menggunakan perkhidmatan E-
Dagang. Mereka berpendapat bahawa E-Dagang hanya akan digunakan dalam operasi
perniagaan apabila syarikat telah kukuh dari segi kewangan dan juga pasaran.

Akhir sekali terdapat seorang pengusaha yang mewakili 12.5 peratus daripada bilangan
responden yang ditemubual tidak mempunyai minat untuk melaksanakan E-Dagang.
Pengusaha ini lebih berminat dan lebih senang menggunakan kaedah pemasaran secara
konvensional. Walaupun terdapat beberapa kebaikan yang didapati dalam melaksanakan
E-Dagang, namun syarikat beliau lebih senang dengan cara operasi sedia ada dan belum
mempunyai perancangan langsung untuk melaksanakan E-Dagang baik bagi tujuan
pemasaran ataupun tujuan yang lain.

PERBINCANGAN

Kajian awal terhadap 20 buah syarikat IKS di Industri Selaman Bandar Baru Bangi ini
mendapati bahawa penggunaan E-Dagang di kalangan industri agak memberangsangkan
jika dibandingkan dengan kajian yang telah dijalankan oleh Mohd Sani (2000) kerana 60
peratus daripada syarikat yang dipilih telah memulakan E-Dagang. Namun begitu, E-
Dagang yang dilaksanakan sebahagiannya hanyalah untuk tujuan pemasaran sahaja.
Hanya 30 peratus daripada responden yang telah menggunakan E-Dagang bagi tujuan
mendapatkan bekalan atau perkhidmatan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Nazif
(2003) bahawa E-Dagang dapat membantu mendapatkan pembekal yang terbaik dan juga
membina jaringan perniagaan.

Tidak terdapat sebuah industri pun yang menggunakan E-Dagang sepenuhnya. Majoriti
daripada responden yang menggunakan E-Dagang juga melaksanakan usaha-usaha
pemasaran secara konvensional. E-Dagang bukan dijadikan sebagai medium utama untuk
memasarkan produk mereka di pasaran, sebaliknya hanya sebagai medium atau alat untuk
memperkembangkan lagi pasaran mereka sedia ada.

Faktor menerima maklumbalas segera dari pelanggan dan juga pembekal adalah
merupakan faktor utama kebanyakan para responden menggunakan E-Dagang dalam
operasi mereka. Faktor ini juga dinyatakan oleh Rosen (2000) sebagai salah satu
kelebihan utama E-Dagang berbanding dengan operasi perniagaan konvensional. Selain
dari itu, faktor penjimatan kos dan juga keupayaan untuk mendapatkan pasaran yang
lebih luas juga merupakan antara faktor utama yang mendorong pengusaha untuk
melaksanakan E-Dagang. Hanya terdapat sebuah syarikat sahaja yang melaksanakan E-
Dagang kerana saranan kerajaan. Namun begitu, syarikat ini juga mempunyai tujuan
untuk berurusniaga dengan pihak kerajaan
Bagi para pengusaha yang tidak mempraktiskan E-Dagang dalam urusan perniagaan
mereka, faktor utama yang menjadi alasan untuk tidak melaksanakannya adalah kerana
tidak mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan seterusnya
kemahiran dalam melaksanakan E-Dagang. Selain dari itu terdapat juga para pengusaha
yang merasakan bahawa E-Dagang masih belum diperlukan oleh organisasi mereka. dan
juga perniagaan yang dijalankan tidak sesuai untuk dilakasanakan secara E-Dagang.
Selain dari itu terdapat juga penguasaha yang menyatakan sebab utama E-Dagang tidak
dipraktiskan kerana tidak mempunyai minat terhadap gaya perniagaan tersebut. Keadaan
ini menunjukkan terdapatnya alasan yang berkaitan dengan kekurangan kemahiran oleh
pengusaha dalam usaha untuk melaksanakan E-Dagang. Faktor ini mungkin dapat diatasi
jika para pengusaha didedahkan dan diberi peluang serta digalakkan untuk memiliki
kemahiran tersebut. Namun begitu terdapt juga faktor lain yang seolah-olah
memperlihatkan keadaan reluctant para pengusaha untuk melaksanakan E-Dagang.

KESIMPULAN DAN CADANGAN

Perkhidmatan E-Dagang boleh disamakan juga dengan paperless commerce iaitu


perdagangan tanpa menggunakan kertas. Dalam erti kata lain, E-Dagang dapat membantu
pengusaha menjimatkan kos-kos yang berkaitan dengan percetakan kerana melalui E-
Dagang, segala urusan yang membabitkan cetakan boleh dijimatkan dengan
menggunakan perkhidmatan E-Dagang. Selain daripada itu, kajian lepas banyak
menyatakan bahawa E-Dagang dapat meningkatkan keuntungan syarikat dengan
meminimumkan kos-kos perniagaan seperti kos pengiklanan, kos logistik, kos tenaga
kerja dan tidak ketinggalan dapat menjimatkan masa. Seperti mana yang telah
dibincangkan oleh Cannon ( 2000 ) perkhidmatan E-Dagang dapat membantu pengusaha
industri bersaiz kecil dan sederhana dalam menjimatkan dan mengurangkan kos promosi
dan pengiklanan.

Walaupun banyak kajian yang menyatakan bahawa E-Dagang banyak memberi manfaat
kepada pengusaha IKS, namun masih ada pengusaha IKS yang belum sedar tentang
manfaat ini. Walaupun ada dikalangan pengusaha IKS menggunakan E-Dagang dalam
perusahaan mereka, namun ia masih lagi di tahap sederhana. E-Dagang masih lagi
dianggap sebagai ‘baru’ dikalangan mereka sedangkan perkhidmatan E-Dagang ini sudah
lama bertapak di pasaran dunia. Ini menunjukkan tahap keyakinan dan penerimaan
pengusaha-pengusaha terhadap sesuatu teknologi itu dianggap masih kurang. Oleh yang
demikian, diharap pengusaha-pengusaha IKS akan lebih sedar tentang kepentingan dan
manfaat tersebut kerana ia dapat membantu para pengusaha meningkatkan serta
memajukan lagi perusahaan mereka selain daripada membantu mereka bersaing dalam
pasaran yang lebih besar. Semangat ‘berani menanggung risiko’ perlu ada pada setiap
pengusaha IKS bagi memperolehi kejayaan kemajuan Pihak-pihak yang terlibat dalam
membangunkan lagi IKS negara perlu perihatin terhadap faktor-faktor yang menjadi
penyumbang kepada para pengusaha tidak mempraktiskan E-Dagang. Program-program
untuk meningkatkan pemahaman dan kemahiran terhadap E-Dagang perlu diperluaskan
kepada para pengusaha IKS supaya mereka lebih memahami konsep ini dan dapat
mengambil manafaat daripada peluang E-Dagang terutama sekali dalam menangani isu
perniagaan dalam ekonomi global sekarang ini.
RUJUKAN

Azlina Uzir. 1999. E-Dagang: Buka peluang perniagaan baru. Dewan Ekonomi.
September: 49-50.

Bloch, M. Pigneur, Y & Seger, A. 1996. On the road of electronic commerce: A business
value framework, gaining competetive advantage and some research issue.
Torondo: University of California.

Cannon, J. 2000. Make your website work for you. How to convert your online into profit.
United State of America: Mc Graw Hill

Chamhuri Siwar. 1979. Isu-isu ekonomi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ibrahim Abu Shah. 1995. Industri kecil dan sederhana di Sarawak. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Joseph, R. 2001. The dynamics of mass communication: Media in the digital age. Athens:
Mc Graw Hill

Kalakota, R. & Whinston, A.B. 1997. Reading in electronic commerce. Texas: Addison
Wesley Longman.

Kotler, P. & Armstrong, G. 1999. Principle of marketing. New Jersey: Prentice Hall.
Laporan Ringkas Pembangunan Bandar Baru Bangi. 2002. Pembangunan
Kemajuan Negeri Selangor ( PKNS )

Mat Hasan Esa. 2000. Cabaran dan peluang dalam era maklumat. Dewan Ekonomi.
September: 17-18.

Moha Asri. 1997. Industri kecil dan sederhana di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Mohd Johari. 2001. Internet WWW & E-Dagang. Dewan Ekonomi. September: 49-50.
Mohd Rosli. 1994. Kepentingan IKS kepada ekonomi negara. Dewan
Masyarakat. November: 17-19.

Mohd Sani. 2000. IKS perlu sertai E-Dagang. Dewan Ekonomi. April: 45-46.
Mohd Sani. 2000. E-Dagang dalam IKS: Masih kurang dimanfaatkan. Dewan
Ekonomi. Mei: 19-20.

Nazif, W.M. 2003. E-Dagang: Konsep dan aplikasi. Dewan Ekonomi. Jun: 45-46.
Nik Zafri. (tanpa tarikh). Manfaat E-Dagang. (atas
talian).http://www.geocities.com/nikzafri/artikelpnet.htm 30 Disember 2004.

Rosen, A. 2000. The E-Commerce question & answer book. A survival guide for business
managers. United State of America: AMACOM.
( tanpa pengarang ). ( tanpa tarikh ) Industri kecil dan sederhana di Selangor.( atas talian
). http://202.75.41.185/Selangordagang/modules.php 28 Disember 2004.

( tanpa pengarang ). ( tanpa tarikh ). IKS Selangor. ( atas talian ).


http://www.selangor.gov.my/E-Dagang 28 Disember 2004.

( tanpa pengarang ). ( tanpa tarikh ). IKS dan perindustrian. ( atas talian ).


http://www.miti.gov.my 23 Disember 2004.

( tanpa pengarang ). ( tanpa tarikh ). Usahawan dan E-Dagang. ( atas talian ).


http://www.usahawan.com.my/internet/laman/web.htm 30 Disember 2004.

You might also like