You are on page 1of 7

Sejarah Pembelajaran Berasaskan masalah (PBL)

Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) mula diperkenalkan dalam pembelajaran


tradisional sekitar tahun 1960-an di McMaster University, Canada (Barrow & Tamblyn,
1980). Merujuk kepada buletin KUiTTHO (2005), kaedah ini diperkenalkan oleh
Professor Howard Barrow. Pada mulanya, kaedah ini ditolak oleh semua orang. Namun
begitu, beliau menggunakan kaedah ini kepada pelajar perubatan di bawah seliaannya
dan mendapat reaksi yang positif di kalangan pelajar tersebut. Pendekatan ini telah
membuka mata dan menarik minat para pendidik yang lain untuk menggunakannya.
Kesannya, pendekatan ini telah digunapakai dalam pelbagai bidang terutamanya dalam
bilang kejuruteraan. Kini, Professor Barrow menjadi role model bagi PBL dan Universiti
McMaster menjadi perintis kepada PBL. Selain itu, Don Wood merupakan bapa kepada
PBL dalam bidang kimia. Beliau juga dari Universiti McMaster.

Objektif PBL

Menurut Barrow & Tamblyn (1980), antara objekif pendidikan kaedah ini diperkenalkan
ialah:

a) Mengukuhkan kemahiran pelajar untuk mempelajari sesuatu prinsip, konsep dan


belajar menggunakan maklumat dalam pelbagai situasi.
b) Memperkembangkan kemahiran pelajar memberi hujah dan pendapat, berfikiran
kritis, serta kemahiran membuat keputusan.
c) Memperkembangkan kemahiran pelajar mengintegrasikan pengetahuan dalam
pelbagai disiplin ilmu dan kefahaman yang baik tentang peranan sikap kemanusian
terhadap kemajuan profesionalisme.
d) Menyediakan pelajar kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat.
e) Menggalakkan pembelajaran kumpulan kecil, keperluan kepada keberkesanan kerja
berpasukan dan pembelajaran secara kolaboratif
(Barrow & Tamblyn dipetik daripada Suhaimi Makminin, 2005)

Ciri-ciri PBL

Definisi awal PBL memperkenalkan Model Klasik oleh Barrow dan Tamblyn, 1980 yang
dinyatakan dalam penulisan Baden dan Mojor (2004) yang mempunyai ciri-ciri seperti:
a) Situasi masalah sebenar yang kompleks iaitu tidak mempunyai jawapan yang betul
atau salah,
b) Pelajar bekerja dalam kumpulan untuk menangani masalah, mengenalpasti jurang
pembelajaran dan mengembangkan pelbagai penyelesaian,
c) Pelajar memperolehi informasi baru melalui pembelajaran kendiri,
d) Pensyarah sebagai pembimbing,
e) Masalah akan memandu ke arah perkembangan keupayaan penyelesaian masalah
ilmu perubatan.

Perlaksanaan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL)

Menurut Lynda Wee (2004), terdapat tujuh langkah dalam menerangkan proses PBL.
Langkah-langkah tersebut ialah seperti berikut:

a) Pembahagian Kumpulan

Pada peringkat ini, pelajar akan mengenali di antara satu sama lain dan pelajar akan
membentuk kumpulan masing-masing. Seterusnya, ketua kumpulan dan pencatat akan
dilantik dan peraturan-peraturan kumpulan akan dibentuk.

b) Mengenalpasti Masalah

Pelajar akan dikemukakan dengan masalah untuk diselesaikan. Pelajar perlu


mengenalpasti dan mengesahkan masalah tersebut dan menyatakan masalah tersebut
berdasarkan fakta-fakta yang diperolehi. Proses mengenalpasti masalah melibatkan
elemen-elemen pencetus idea terhadap masalah yang ingin dikaji, juga dikenali sebagai
trigger. Trigger boleh didapati dalam bentuk gambar, petikan surat khabar, klip video,
petikan jurnal dan juga kejadian sebenar yang berlaku. Trigger ini akan menyebabkan
sesuatu isu dipersoalkan, diperdebatkan dan memberi petunjuk kepada penyelesaian
masalah tersebut.

c) Menjana Idea

Pada peringkat ini, pelajar akan mengeluarkan idea-idea yang dapat membantu dalam
proses penyelesaian masalah tersebut.

d) Isu Pelajaran

Pelajar perlu mengenalpasti apakah yang perlu dipelajari dan mencari isu-isu yang
dapat membantu mereka untuk menyelesaikan masalah serta mengetahui apakah
langkah-langkah yang perlu diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut. Seterusnya,
pelajar akan mengenalpasti tindakan yang sesuai untuk menyelesaikan masalah yang
diberikan.
e) Pembelajaran Kendiri

Pada peringkat ini, pelajar akan mencari dan merumuskan informasi-informasi yang
relevan dan logik dengan masalah yang diberikan.

f) Sintesis dan Aplikasi

Punca-punca informasi perlu disahkan kesahihannya terutamanya daripada Internet.


Pelajar akan mula berkongsi maklumat dengan pelajar yang lain dan mengaplikasikan
maklumat yang diperolehi untuk menyelesaikan masalah tersebut. Seterusnya, pelajar
akan berbincang, membangunkan penyelesaian dan membuat penerangan terhadap
penyelesaian yang diambil.

g) Refleksi dan Tindak Balas

Pada peringkat ini, pelajar akan memberi tindak balas terhadap kerja kumpulan, kerja
individu, penjanaan pengetahuan, penyelesaian masalah dan juga peranan fasilitator.
Seterusnya, perbincangan akan dilakukan dalam kumpulan masing-masing.

Ini jelas menunjukkan bahawa kemahiran yang paling diperlukan ialah kemahiran
menyelesaikan masalah. Diperkukuhkan lagi apabila Nor Ratna Masrom (2006) telah
membuat kajian yang bertajuk "Problem Solving Skill in ICT and Multimedia Application”
mendapati bahawa tanpa pengetahuan dan kemahiran penyelesaian masalah, pelajar
tidak mampu untuk melaksanakan dan mengaplikasikan kaedah PBL dengan sempurna
dan cekap.

Proses Menyelesaikan Masalah

Menurut George Polya (1957), sesuatu masalah boleh diselesaikan melalui empat
langkah penyelesaian iaitu:
a) Memahami masalah iaitu menentukan apa yang hendak diselesaikan dan maklumat
yang berkaitan dengannya;
b) Menyediakan rancangan penyelesaian iaitu mencari perkaitan antara maklumat yang
diberi dengan penyelesaian;
c) Melaksanakan rancangan iaitu melaksanakan apa yang dirancang dengan teliti,
langkah demi langkah; dan
d) Menyemak jawapan iaitu menyemak ketepatan dan kesesuian hasil penyelesaian
dengan apa yang hendak diselesaikan.
(Widad Othman, et al, 2003)
Menurut Razihan Abdul Jalil (2001) kaedah penyelesaian masalah merupakan salah
satu kaedah yang dapat melibatkan aktiviti pelajar mencari maklumat untuk
menyelesaikan masalah yang diberikan kepada mereka di samping memberi peluang
kepada pelajar untuk merasai pengalaman dan kemahiran (Mohd Khairuddin Abdul
Karim, 2005). Berdasarkan Smith (1997) dan Edward dan Monika (1995) terdapat lima
proses untuk menyelesaikan masalah. Proses-proses tersebut ialah:

a) Mengenalpasti Masalah

Pada peringkat ini, pelajar akan diberikan masalah untuk diselesaikan. Tugas pelajar
adalah untuk mengenalpasti masalah yang diberi dan menjadikan masalah tersebut
sebagai persoalan yang perlu diselesaikan. Kemudian, pelajar perlu membuat rumusan
berdasarkan objektif masalah dan mengenalpasti sumber-sumber yang perlu digunakan
untuk memperolehi maklumat yang benar, relevan dan penting untuk menyelesaikan
masalah tersebut. Selain itu, pelajar perlu merancangan kaedah penyelesaian dari
peringkat awal sehingga permasalahan tersebut dapat diselesaikan dengan sempurna.
Menurut Mohd Azhar Abdul Hamid (2003) menyatakan, pada mulanya masalah
dikenalpasti daripada segi struktur masalah dan dibuat definisi. Definisi yang tepat
membantu pemahaman bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi dan memilih
alternatif penyelesaian masalah yang tepat.

b) Menganalisis Masalah dan Mengumpulkan data

Pelajar perlu mengumpul data dan membuat penganalisian terhadap maklumat yang
diperolehi. Azhar Abdul Hamid (2003) menyatakan terdapat pelbagai teknik
pengumpulan data. Contohnya, gambar rajah tulang (analysis: couse dan effect), carta
pareto, carta pai, carta aliran dan lain-lain.

Proses menganalisis masalah ini diperlukan bagi mengembangkan pemikiran dan


mempertimbangkan semua kemungkinan. Objektif bagi peringkat ini adalah mencari
punca masalah tersebut berlaku. Menurut Kirby, Gary R, dan Goodpaster, Jeffery. R
(2002), sesuatu masalah itu tidak dapat diselesaikan sehinggalah punca masalah
tersebut ditemui. Beberapa persoalan perlu ditanya sama ada apa, di mana, bila, siapa
dan bagaimana masalah itu berlaku. Masalah dianalisis daripada pelbagai sudut seperti
ataupun kepentingan masalah, pengalaman diri, tindak balas pihak lain, kos masalah,
lokasi berlaku masalah, perbandingan dengan masalah lain dan sebagainya ( Mohd
Azhar Abdul Hamid, 2003).

Pada peringkat ini, pelajar boleh mengsahkan kesahihan maklumat yang diperolehi dan
mampu mengenalpasti penyarah yang boleh dirujuk untuk menyelesaikan masalah
tersebut. Selain itu, pelajar mampu mencari punca utama masalah tersebut. Pelajar
juga perlu berbincang dan berkongsi maklumat dangan ahli kumpulan yang lain serta
perlu mamastikan sama ada maklumat yang dikumpulkan mencukupi ataupun tidak.

c) Membuat Keputusan

Pelajar perlu membuat pemilihan penyelesaian masalah dengan tepat dan pastikan
penyelesaian yang dibuat merupakan penyelesaian yang terbaik. Disamping itu, pelajar
perlu mempunyai alasan yang kukuh untuk menyokong penyelesaian yang diambil.
Pemilihan penyelesaian ini dijana dengan menggunakan pelbagai kaedah bagi
memastikan idea yang diperolehi berkualiti. Menurut Mohd Azhar Abdul Hamid (2003)
menyatakan bahawa salah satu kaedah mencari penyelesaian adalah brainstorming.
De Janasz, et al (2002), kaedah ini mengundang banyak ideea untuk menyelesaikan
masalah kerana kaedah ini merupakan salah satu teknik di mana ramai orang dari satu
kumpulan berkongsi idea terhadap suatu perkara tanpa mengkritik. Ini adalah supaya
perbincangan terbuka di dalam kumpulan tersebut digalakkan bagi menghasilkan idea
kreatif. Kaedah ini sesuai digunakan bagi masalah kumpulan.

d) Mengenalpasti Penyelesaian yang Terbaik

Kini, pemusatan pemikiran diperlukan bagi menilai, membanding dan menjalankan


percubaan melaksanakan jalan penyelesaian (Mohd Azhar Abdul Hamid, 2003). Pada
peringkat ini, pelajar perlu merancang bagaimana untuk menyelesaikan masalah
tersebut dengan sewajarnya. Ini kerana, faktor paling penting dalam penilaian adalah
kesan kepada jalan penyelesaian. Kesan ini terdiri daripada kesan posivif dan negatif.
Oleh itu, pertimbangan yang teliti amat diperlukan bagi memastikan keputusan yang
dipilih mempunyai kelebihan dan memberi manfaat kepada ahli kumpulan yang lain.
Selain itu, pelajar seharusnya mampu untuk memastikan keputusan yang dipilih boleh
mengembangkan atau menghadkan penyelesaian masalah serta keputusan yang dipilih
merupakan alternatif yang terbaik.

e) Melaksanakan Keputusan

Mohd Azhar Abdul Hamid (2003) menyatakan bahawa keempat-empat peringkat di atas
hanya terkandung dalam peringkat perancangan. Selepas penentuan alternatif jalan
penyelesaian, ianya perlu dilaksanakan dengan teknik yang betul dan tepat. Ini juga
membantu penyelesaian masalah bagi mengorganisasikan proses pelaksanaan dan
menguji sama ada hasil yang dijangka dapat dijana atau tidak.

Kelebihan PBL
Menurut Montgomery (2000), antara kelebihan utama PBL berbanding strategi
pembelajaran lain yang dicadangkan oleh teori konstruktivisme ialah rangsangan atau
stimulasi yang berjaya dihasilkan olehnya dalam membentuk kognitif pelajar agar lebih
bersifat ingin tahu. Ini seterusnya menurut mereka berjaya meningkatkan minat atau
motivasi pelajar untuk terus belajar. Masalah yang menyerupai masalah dunia sebenar
yang digunakan pula membolehkan pelajar mencuba pelbagai jalan penyelesaian
dalam persekitaran pembelajaran yang lebih selamat (Jamalludin Harun, et al, 2005).

Prof Madya Dr Khairiyah Mohd Yusof di dalam Berita Harian 25 Jan 2007, menyatakan
keinginan menyelesaikan masalah mendorong pelajar melaksanakan pembelajaran
kendiri dan pengajaran antara rakan sebaya (peer teaching) dalam kumpulan dan
antara kumpulan. Pelajar yang melalui PBL dapat membina kemahiran pemikiran kritis
dan kreatif, menganalisis dan menyelesaikan masalah. Tse dan Chan, (2003)
menyatakan bahawa kaedah PBL sangat berkesan dalam meningkatkan pemahaman
dan pengetahuan teknikal pelajar. Melalui kaedah ini, setiap pelajar diberi banyak
peluang untuk mempraktikan teknik pembelajaran kendiri yang merupakan elemen
penting dalam menentukan kerjaya masa depan mereka. Selain itu, kebolehupayaan
pembelajaran pelajar dapat ditingkatkan melalui kerjasama dalam kumpulan yang
diamalkan untuk subjek kejuruteraan.

Secara amnya, jelas membuktikan bahawa Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL)


mampu untuk melahirkan dan mendidik pelajar menjadi seorang pemimpin yang
mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah. Selain itu, pelajar dapat meningkatkan
minat dan motivasi untuk terus belajar, membina kemahiran pemikiran kritis dan kreatif,
menganalisis dan menyelesaikan masalah. Oleh hal demikian, pelajar dapat
meningkatkan pemahaman dan pengetahuan isi pelajaran bagi sesuatu matapelajaran
dengan mudah dan mendalam. Secara tidak langsung dapat meningkatkan pencapaian
akademik pelajar tersebut. Penyataan ini disokong dengan kajian yang dilakukan oleh
Ward dan Lee (2004) menyatakan bahawa pelajar yang mengikuti kaedah PBL dapat
memahami isi pelajaran dengan lebih mendalam bagi matapelajaran Teknologi
Makanan dan Nutrisi.

Banyak kajian yang membuktikan bahawa kaedah PBL mampu meningkatkan


kemahiran generik para pelajar terutamanya dalam kemahiran menyelesaikan masalah.
Kenyataan ini disokong oleh Hasyamuddin dan Rahifa (2005) bertajuk “Kemahiran
Generik Dalam Kelas Bercirikan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) di Kalangan
Pelajar Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) mendapati bahawa PBL
membantu pelajar dalam memperolehi kemahiran generik dan penglibatan aktif dalam
kelas berbanding pelajar yang menggunakan kaedah kuliah.
Kesimpulan

Kesimpulannya, kaedah PBL banyak menekankan dan menitikberatkan cara pelajar


menganalisis masalah dan menyelesaikannya. Kemahiran ini adalah penting bagi
melahirkan dan mendidik bakal-bakal pemimpin yang bertanggungjawab dan
berkeyakinan dalam menyelesaikan masalah dan mampu untuk membuat keputusan
yang tepat dan adil. Secara amnya, kaedah PBL boleh dijadikan salah satu pendekatan
dan latihan yang berkesan untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang mempunyai jati
diri yang kuat, berwawasan tinggi, mengamalkan cara komunikasi yang betul, dan
berkemahiran membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dengan tepat. Ciri-ciri
tersebut merupakan ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seseorang pemimpin yang
disenangi dan disukai oleh pengikut-pengikutnya. Oleh hal yang demikian, orang-orang
yang dipimpin akan lebih menghormati dan berasa selamat di bawah jagaannya.

You might also like