You are on page 1of 10

[PEGUAM SYARIE MENJAWAB] Penama caruman

KWSP bukan penerima wasiat


Posted by syafiqe on June 20, 2008

SUAMI saya meninggal dunia setahun lalu akibat barah usus. Suami meninggalkan harta yang
kini dalam proses untuk mendapatkan surat faraid dan pentadbiran harta dari Mahkamah Tinggi.
Apa yang menjadi kemusykilan saya ialah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
arwah suami dikeluarkan tanpa menunggu surat pentadbiran harta dari mahkamah. Wang itu
dibolot bapa mentua kerana mengikutnya arwah suami menamakan beliau sebagai penama untuk
caruman KWSP. Beliau berkata saya dan anak tidak berhak langsung ke atas simpanan itu dan ia
adalah wasiat daripada arwah suami.

Ibu Tunggal
Kuala Lumpur

HUKUM mengenai harta pusaka mempunyai hikmahnya tersendiri iaitu antaranya mewujudkan
kasih sayang, menanam semangat kemesraan, tolong menolong dan bertimbang rasa antara ahli
waris.

Harta pusaka dibahagikan mengikut susunan yang diatur mengikut susun galur dinyatakan
dengan terperinci dalam al-Quran. Nas al-Quran berhubung pengagihan harta pusaka amat jelas
dan dibuat secara terperinci. Nas ini tidak memerlukan penafsiran lain, melainkan apa yang
dinyatakan secara tersurat dan jelas.

Pemberian harta pusaka kepada waris yang berhak menerimanya bertujuan menghapuskan rasa
kekecewaan serta penindasan di kalangan ahli waris. Perasaan kasih sayang dan timbang rasa
dapat diukur dan dihasilkan dengan cara ini.

Hal ini kerana perlakuan hidup manusia kadang-kadang tidak selari dengan kehendak atau
tuntutan syarak, terutama dalam perkara membabitkan harta benda, wang ringgit atau
kedudukan.

Perpindahan harta pusaka ke tangan waris kadang-kadang dilakukan secara bertentangan dengan
hukum syarak atas tujuan tertentu. Sebenarnya, ia bergantung kepada keimanan dan ketakwaan
seseorang itu. Ia juga boleh berlaku akibat kejahilan seseorang atau sifat tamak ingin
memonopoli harta pusaka itu.

Memang benar wasiat adalah antara perkara yang perlu diselesaikan terlebih dulu sebelum
pengagihan harta pusaka dibuat. Begitu pun, bapa mentua puan tidak boleh menerima wasiat
daripada anaknya kerana beliau adalah ahli waris yang berhak menerima pusaka.

Dalam Islam, wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris yang berhak menerima pusaka dan
kadar wasiat juga hendaklah tidak melebihi 1/3 daripada jumlah keseluruhan harta si mati. Ada
beberapa syarat lain yang perlu dipenuhi sebelum dapat dikatakan wasiat itu adalah sah di sisi
hukum syarak.

Jika penamaan dibuat, KWSP memang berhak mengeluarkan wang simpanan itu kepada
penama. Oleh itu, bukan menjadi kesalahan kepada KWSP mengeluarkan wang caruman itu
kepada bapa mentua puan, melainkan puan terlebih dulu mendapat perintah mahkamah
menghalang KWSP mengeluarkan caruman itu atau menghalang bapa mentua daripada
mengambil wang itu.

Penamaan akaun caruman KWSP tidak boleh disifatkan sebagai wasiat. Hal ini kerana ia tidak
memenuhi beberapa syarat wasiat seperti lafaz wasiat, kesaksian, kadar yang dibolehkan harta
diwasiatkan, kepada siapa dinamakan dan ketiadaan milikan sempurna atas simpanan itu.

Bagi orang Islam, penamaan akaun caruman KWSP hanya bagi membenarkan KWSP
mengeluarkan wang itu kepada penama untuk diagihkan kepada waris yang berhak. Pengeluaran
wang dengan cara ini tidak mengambil masa lama di mana waris tidak perlu menunggu sijil
faraid dan surat pentadbiran harta pusaka dikeluarkan. Penama bertanggungjawab sepenuhnya
untuk mengagihkan wang itu mengikut hukum faraid.

Sebenarnya, ketika wang simpanan itu dikeluarkan, penama berkenaan dikehendaki


menandatangani surat aku janji bahawa beliau akan mengagihkan wang simpanan itu mengikut
faraid. Kegagalan mematuhi aku janji itu memberi kesan kepada penama dari sudut undang-
undang. Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap penama itu.

Penama bukan menjadi pemilik wang simpanan itu. Penama sebenarnya diamanahkan oleh orang
yang menamakannya untuk mentadbir harta berkenaan supaya ia dapat diagihkan mengikut
hukum faraid dengan segera.

Oleh demikian, puan boleh menuntut wang simpanan itu daripada mentua bagi kepentingan puan
dan anak.

Begitu pun, puan dinasihatkan supaya cuba berunding dengan keluarga arwah suami terlebih
dulu sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang. Hal ini kerana tindakan itu
mungkin mengeruhkan perhubungan puan dan anak dengan keluarga arwah suami.

Puan perlu akui hakikat bahawa anak masih mempunyai pertalian darah dengan keluarga arwah
suami. Pertalian ini sama sekali tidak boleh diputuskan oleh sesiapa pun. Mungkin juga bapa
mentua tidak faham konsep penamaan dalam caruman KWSP dan menyangka bahawa ia
menjadi miliknya.

Puan bolehlah menjelaskan kepada beliau secara baik kedudukan undang-undang sebenarnya.
Jika perlu, puan boleh meminta beliau merujuk kepada orang yang lebih tahu mengenai perkara
itu seperti peguam dan pegawai KWSP.
Jalan penyelesaian secara perundingan adalah paling sesuai dalam menyelesaikan sesuatu
masalah. Jika boleh janganlah diputuskan hubungan kekeluargaan itu walaupun selepas
ketiadaan suami puan.

Puan perlu bijak menangani isu ini, terutama apabila ia membabitkan wang ringgit dan pertalian
persaudaraan. Bertolak ansur dan saling faham memahami antara satu sama lain penting bagi
menyelesaikan permasalahan sebegini.

Jika segala usaha perundingan buntu, barulah puan mengambil tindakan undang-undang. Jika
mengambil jalan ini, puan perlu bersedia mengharungi liku-liku hidup selepas itu termasuk
berulang-alik ke mahkamah dalam mempertahankan hak puan dan anak.

Walaupun sudah mengambil tindakan ini, harus ingat dalam keadaan mana keluarga arwah
suami melayan puan, mereka tetap mempunyai pertalian kekeluargaan dengan anak puan.
Janganlah diputuskan hubungan ini. Insya-Allah, Allah akan memberkati kehidupan puan dan
anak.
Surat Wasiat Untuk Anak Angkat
Surat Wasiat Untuk Anak Angkat
Oleh: Abd Rahaman Rasid

Membela Anak Angkat

Banyak orang Melayu yang membela anak angkat tetapi tidak banyak antara mereka memikirkan masa
depan anak angkat sekiranya mereka tiada lagi di dunia ini. Setengah pasangan, anak angkat lebih
disayangi berbanding anak sendiri kerana jasa, pandai menjaga hati, mengambil berat akan ibu-bapa,
patuh kepada nasehat dan macam-macam lagi. Bagi yang mereka tidak mempunyai anak kandung,
sudah tentulah sayang kepada anak angkat tidak ternilai.

Ada pasangan yang hidup mewah, memiliki harta berkoyan-koyan dan memiliki simpanan yang banyak
di bank atau pelaburan ASB atau saham amanah lain. Tetapi, semasa hidup ada pasangan lupa hendak
membahagikan harta ini kepada anak angkat atau sekurang-kurangnya menulis wasiat bahagian harta
yang hendak dibahagikan kepada anak angkat.

Anak Angkat Tidak Mendapat Apa-Apa Harta

Apabila ibu atau bapa meninggal dunia, pada prinsipnya anak angkat tidak akan mendapat satu sen pun
harta ibu-bapa angkat mereka. Ini kerana dalam Islam, anak angkat bukan waris. Harta-harta akan akan
menjadi hak waris-waris, terutama yang rapat iaitu anak kandung, isteri atau suami dan ibu-bapa si
arwah itu.

Jadi walaupun anak angkat telah berjasa sebesar gunung dengan ibu-bapa angkat, tidak mendapat satu
sen harta ibu-bapa mereka. Sebaliknya, waris-waris yang mempunyai pertalian darah seperti anak
kandung dan ibu-bapa arwah akan mendapat rahmat daripada peninggalan arwah itu. Lebih malang, jika
waris terdekat tidak ada, maka adek-adek beradik arwah akan mendapat harta si arwah. Sungguh
malang nasib si anak angkat ini.

Jadi apabila meninggal ibu-bapa angkat, terpulanglah kepada belas ehsan waris-waris untuk memberi
secebis harta kepada anak angkat ini walaupun mereka tahu itu anak angkat tidak mempunyai hak
langsung ke atas harta itu.

Anak angkat ini tidak kecewa kerana harta peninggalan ibu-bapa mereka hanyalah tanah sekangkang
kera.

Tetapi, tidakkah kecewa anak angkat ini sekiranya ibu-bapa angkatnya meninggalkan kondominium tiga
empat biji, lot-lot banglo di Kuala Lumpur di mana nilainya mungkin berjuta-juta ringgit, meninggalkan
ASB 200,000, Tabung Haji 100,000 dan saham Bank Rakyat 150,000.
Bila harta banyak, biasalah orang Melayu akan lupa daratan, lupa ibu, lupa adek angkat. Jadi anak angkat
akan berputeh mata walau dia yang menjaga makan minum dan sakit pening ibu-bapa angkat semasa
mereka hidup.

Selamatkan Anak Angkat Dengan Meninggalkan Wasiat

Wasiat sangat berkesan kepada bukan waris dan dalam kontek cerita ini adalah anak angkat. Wasiat
mengikut turutan faraid atau pembahagian harta si-mati adalah di kira "hutang" yang harus diselesaikan
sebelum membahagi harta secara faraid. Ini bermakna sekiranya si-mati ada meninggalkan wasiat
supaya membahagikan harta kepada anak angkat, maka wajiblah waris simati menunaikannya. Itupun
tertakluk kepada hukum Islam, iaitu bukan waris berhak mendapat sehingga 1/3 sahaja daripada harta
bersih si-mati, kecuali dengan persetujuan waris untuk membahagi lebih daripada 1/3

Sungguhpun si -mati mewasiatkan 100% harta kepada anak angkatnya, maka terpulanglah kepada waris
mematuhi wasiat s-mati itu. Jika tidak, adalah hak waris menentukan jumlah sebenar yang hendak
diberikan kepada anak angkat itu, samada 70% atau 50% tetapi jangan kurang daripada 1/3, kecuali ia
menwasiatkan kurang daripada 1/3.

Cerita ini mungkin cerita sahaja, tetapi ia mungkin berlaku di kalangan orang Melayu kita. Semasa hidup
semua ahli keluarga nampak cantik, nampak jujur dan nampak boleh dipercayai. Tetapi apabila berlaku
kematian, barulah keluar belang masing-masing. Semua waris akan rakus, tamak dan berebut-rebut
kepada harta si mati. Masa itu, adek angkat pun dah lupa dan dunia akhirat pun lupa. Memang malang
nasib anak angkat ini.

Jadi semasa hidup ini, ibu-bapa angkat hendaklah membahagikan harta kepada anak angkat mereka,
janganlah tunggu mati. Anak angkat pun begitu juga, pandai-pandailah berusaha agar ibu-bapa angkat
mereka membuat wasiat bagi hak harta anak angkat itu. Kena pro-aktif sikit sebab zaman sudah
berubah, bukan lagi zaman dahulu--'tak apalah', 'tak kesahlah fasal harta', 'seganlah' dan macam-macam
fikiran lapuk.

Mati tidak tahu bila, jadi wasiatlah jawapannya. Dalam menulis surat wasiat, pilihlah pihak-pihak
menulis surat yang boleh dipercayai. Ini kerana jika wasiat tidak ditulis dengan betul dan tidak boleh
dicabar di mahkamah, maka sia-sialah wasiat. Wasiat yang tidak ditulis dengan pro, akan ditolak oleh
waris dengan alasan 'wasiat ini tidak sahlah', 'ayat wasiat mengelirukan' dan 1,000 alasan lagi.

Abd Rahaman Rasid adalah perunding bertauliah daripada syarikat as-Salihin Trustee Bhd. Sila hubungi beliau
bagi rundingan penulisan wasiat. Beliau boleh dihubungi secara email: mansid@yahoo.com atau 013-366 1242
pada bila-bila masa.

Internet Wealth Report: Dapatkan Senaskah Sekarang

Dicatat oleh mansid di 13:33 0 ulasan Pautan pada catatan ini

Label: anak angkat, ibu-bapa angkat, surat wasiat, wasiat

Isnin, Oktober 25, 2010


Apa Guna Menulis Wasiat Kalau Waris Menentangnya?
Saya ada menerima satu email daripada pembaca blog saya yang berbunyi lebih kurang macam ini:

"Kami mempunyai empat anak perempuan dan tidak ada anak lelaki. Tidak ada maknanya kami
menulis wasiat untuk anak-anak kerana ia tidak boleh dilaksanakan akibat ditentang oleh waris lelaki
lain seperti adek beradik lelaki kami. Adakah ini benar? Dan minta cara yang terbaik dilakukan."

Jawapannya ialah "Benar" atau "Tidak benar"

Adalah"benar" wasiat boleh ditentang oleh waris lelaki lain khususnya adek beradek lelaki bagi
pasangan suami-isteri di atas. Ini kerana hak-hak waris telah dinyatakan dengan jelas dalam hukum
Faraid yang bersumberkan al-Quran.

Wasiat adalah pesanan pewasiat kepada orang yang hidup mengenai pembahagian harta apabila
pewasiat meninggal dunia. Apabila berlaku kematian pewasiat, maka hilanglah haknya ke atas hartanya,
maka berpindahlah hak menuntut harta itu kepada waris-warisnya. Maka menjadi hak pewaris
membahagikan harta si-mati.

Wasiat terpakai juga kepada bukan waris seperti pembahagian kepada anak angkat (itu pun tidak lebih
1/3 daripada jumlah harta), wakaf kepada masjid dan derma.

Adalah "tidak benar" wasiat tidak boleh dilaksanakan sekiranya semua anak adalah perempuan. Pewaris
yang matang dan rasional akan menghormati wasiat. Waris-waris sedar harta yang diwasiatkan adalah
harta pewasiat dan wajar hak pewasiat membahagikan hartanya kepada yang orang yang dia suka. Jadi,
biasanya waris menghormati wasiat.

Bagi menguatkan wasiat supaya ia dipatuhi oleh pewaris, maka pewasiat hendaklah menulis wasiat
dengan sebaik mungkin. Bagi orang Islam, penulisan wasiat hendaklah diselitkan dengan unsur-unsur
keislaman dan keimanan. Contohnya adalah seperti berikut:

>> Masukkan "Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani" pada mukadimah
wasiat,
>>Sebagai orang Islam, kita hendaklah percaya kepada kehidupan selepas mati, dan insaflah kita sebagai
mahluk Allah,

>>Harta dunia adalah pinjaman sahaja, harta dunia adalah hak Allah; jadi janganlah kita tamak dan
sombong...

>>Hanya amalan dan ilmu semasa hidup di dunia, sedekah, doa anak yang soleh yang membantu kita
selepas mati, bukannya harta berkoyan-koyan...

>> Patuhilah kepada ajaran Islam dan berpeganglah kita kepada al-Quran dan hadis...

>>Mohon waris-waris menghormati wasiat ini, janganlah berbalah-balah dan berebut-rebut harta
semasa di dunia ini, akhirnya harta ditinggalkan juga....

>>Mohon waris-waris melepaskan hak-hak mereka dan mematuhi wasiat ini....

>>Semoga hidup kita diberkati Allah kerana tiada permusuhan di kalangan waris, semoga kita mendapat
kesejahteraan di dunia dan akhirat....

>>Berilah kami kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat, dan jauhlah daripada seksaan api neraka...

Kita percaya dengan memasukkan kesedaran mengenai Islam dan keamanan, InsyaAllah pewaris akan
mematuhi wasiat.

Bahagikan Harta Siang-Siang

Kalau kita meragui akan keberkesanan wasiat, maka jalan yang paling senang ialah membahagikan
(hibah) semua harta semasa hidup kepada sesiapa sahaja yang kita sukai terutama kepada semua anak,
perempuan atau lelaki. Saudara mara dan adik-beradik pun tak ada hak nak tanya fasal harta kita.

Sekiranya ibu-bapa takut tinggal sehelai sipinggang kerana harta habis digadai atau dijual oleh anak-
anak, maka jalan yang terbaik ialah membuat Pra-Hibah. Pra-Hibah ialah satu dokumen perundangan
bagi membahagi harta semasa ibu-bapa hidup tetapi pindah milik harta kepada pewaris akan
berkuatkuasa selepas ibu-bapa meninggal dunia. Dengan lain kata, pra-hibah ialah pemberian
bersyarat kepada pewaris. Selagi ibu-bapa masih hidup, pindah milik tidak akan berlaku kepada anak-
anak.

Kesimpulan
Harta patut dibahagi kepada waris semasa pemiliknya masih hidup. Ini bagi mengelakkan harta terbeku
dan tidak produktif sekiranya tidak dibahagikan semasa hidup. Ia juga mengelakkan pertelingkahan
keluarga.

Umumnya wasiat adalah satu pesanan kepada waris apabila pewasiat meninggal. Ini termasuklah wasiat
membahagikan harta kepada waris dan bukan waris. Ia adalah satu instrumen perancangan harta yang
penting kepada semua umat Islam. Tanpa wasiat, pembahagian harta akan ditentukan oleh waris-waris.
Sekiranya ada pertelingkahan semasa membahagi harta, maka waris kena mematuhi Hukum Faraid.
Hukum Faraid adalah jalan penyelesaian terakhir bagi mengagihkan harta.

Jadi, ia adalah pilihan kita bagi menentukan kaedah membahagikan harta....

Abd Rahaman Rasid ialah Perunding Bertauliah daripada syarikat as-Salihin Trustee Bhd. Bagi
menyediakan dokumen Wasiat sila hubungi beliau melalui email mansid@yahoo.com atau tefefon di
013-366 1242

Internet Wealth Report: Dapatkan Sekarang

Dicatat oleh mansid di 23:15 0 ulasan Pautan pada catatan ini

Label: A, kematian, pewaris, Pewasiat, pra-hibah, prahibah, wasiat

Ahad, Jun 06, 2010


Lima Sebab Mengapa Anda Memerlukan Wasiat
Lima Sebab Mengapa Anda Memerlukan Wasiat

1. Siapa Yang Akan Menyelesaikan Hutang Dunia dan Akhirat?

Sekiranya anda tahu bila anda akan meninggal, anda tidak memerlukan wasiat.

Jika tidak tahu, wasiat diperlukan oleh waris-waris bagi menyelesaikan hutang-hutang anda. Adalah
tidak logik waris-waris anda menerima harta-harta anda, sedangkan anda masih berhutang. Berikut ialah
antara jenis-jenis hutang:

>> Hutang-piutang anda dengan saudara-mara, kawan dan bank-bank


>> Hutang-hutang akhirat iaitu puasa, haji, zakat dan nazar yang belum ditunaikan.

2. Anda Mahu Membahagikan Harta Kepada Anak Angkat


Sekiranya anda ada memelihara anak angkat, dan anda bercadang memberikan harta kepada anak
angkat, maka segerakan pemberian sebelum anda meninggal.

Jika tidak mengetahui bila anda akan meninggal, maka anda perlu menulis wasiat. Ini kerana mengikut
hukum Islam, anak angkat bukanlah darah daging anda, jadi anak angkat tidak berhak menerima harta
pusaka. Dengan wasiat, anak angkat berpeluang memperolehi harta anda selepas anda meninggal.

3. Isteri Anda Berhak Mendapat Bahagian Yang Wajar Apabila Suami Meninggal

Isteri telah hidup bersama dengan anda sepanjang hayat dan telah membangunkan keluarga sehingga
berjaya di dunia dan di akhirat.

Tetapi apabila suami meninggal, dan mengikut faraid, isteri anda hanya berhak mendapat satu perlapan
daripada harta anda. Isteri merasakan bahawa ia patut mendapat sekurang-kurangnya setengah
daripada harta, terutama rumah kediaman yang telah membangunkan keluarga.

Bagi si-isteri mendapat harta lebih daripada satu perlapan, wasiat perlu ditulis oleh suami. Isteri harus
bijak mempengaruhi suami supaya menulis wasiat bagi menjaga kepentingan hak isteri selepas suami
meninggal dunia.

4. Anak-Anak Berhak Mendapat Bahagian Yang Adil

Sebagai ibu-bapa, kita berhak memberi keadilan kepada semua anak samada ia lelaki atau perempuan.
Kadang-kadang, atas sebab-sebab tertentu, ibu-bapa hendak membahagikan harta kepada anak-anak
mengikut kehendak mereka. Ia boleh dilakukan semasa ibu-bapa masih hidup lagi.

Jika tidak dibahagikan semasa hidup, wasiat diperlukan bagi menjelaskan bahagian-bahagian harta
kepada anak-anak mengikut kehendak ibu-bapa.

Sekiranya ibu-bapa menulis surat dengan baik dan secara emosi (contoh: meminta anak-anak
menghormati keputusan ibu-bapa dan ini soal dunia), biasanya kandungan wasiat akan dipatuhi. Jika ada
anak-anak yang menentang, maka wasiat tidak akan berkesan dan terpaksa menggunakan hukuk faraid
bagi membahagikan harta.

5. Anda Hendak Membahagikan Harta Kepada Bukan Waris

Mengikut hukum Islam, hanya waris-waris sahaja yang berhak mendapat harta si-mati. Ini bermakna
sekiranya anda tidak meninggalkan wasiat, waris-waris anda tidak boleh membahagikan harta kepada
bukan waris dan mewakafkan harta kepada masjid dan sebagainya.

Sekiranya anda berhajat memberikan harta kepada bukan waris, memberi sedekah dan mewakafkan
harta kepada masjid, maka selesaikan ia semasa anda hidup lagi. Jika tidak, wasiat diperlukan dengan
menyatakan hajat pembahagian harta anda itu.

Mengikut hukum faraid, anda berhak membahagikan satu-pertiga harta kepada bukan waris
termasuklah sedekah dan wakaf. Sebenarnya, anda boleh membahagi lebih daripada satu-pertiga
dengan syarat ia tidak ditentang oleh waris-waris.

You might also like