You are on page 1of 10

.

      Pembinaan akhlaq dan pembentukan sahsiah,

2.      Bermain adalah tugas utama kanak-kanak,

3. Kanak-kanak adalah individu yang unik dan berbeza antara satu sama
lain.                                                                                                                                                                                    
         

4.      Rangsangan neurologi dan deria melalui penglibatan yang aktif dalam setiap aktiviti.

5.      Memberi kebebasan dan ruang kepada kanak-kanak bagi mengenal pasti apa yang mereka mahu
dan mampu lakukan.

6.      Memenuhi keseimbangan keperluan rohani, fisiologi, psikologi dan pembesaran fizikal kanak-
kanak.

7.      Persekitaran yang kondusif, ceria dan selamat

8.      Keperihatinan terhadap persekitaran dan penyediaan pemakanan yang sihat dan bersih. 

9. Menghormati kepelbagaian dan hak-hak yang sama rata   

                                                       http://www.mindamadani.my/content/view/186/2/
Pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam setiap
individu dan ia juga memainkan peranan penting dalam melahirkan insan deduktif yang dinamik
dalam semua aspek kehidupan. Secara umumnya, pendidikan selalu dikaitkan dengan proses
pengajaran dan pembelajaran sesuatu kemahiran, penyampaian ilmu dan juga penerapan nilai.
Dalam bentuknya yang praktikal, hasil pendidikan seharusnya dapat melahirkan insan yang
mampu mengaplikasi ilmu yang dipelajari dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki dalam
kehidupan seharian. Dalam konteks kanak-kanak, pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses
yang berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang
mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ‘ilmu’ atau kemahiran yang
diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai samada dalam kehidupan
sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa yang akan
datang (Department of Education and Science, 1990).
Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari
persekitarannya adalah merupakan satu pendidikan baginya kerana yang nyata bagi kanak-kanak
di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Barat dan
Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini, kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik
sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang
kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan akhlaq perlu diterapkan seiring
dengan penerapan keimanan di dalam ruh dan jiwanya.

Kalau sesuatu informasi yang diterima oleh seseorang kanak-kanak itu hanya di aras
pengetahuan tanpa adanya penyemaian aqidah dan pemantapan akhlaq, maka sudah pastilah nilai
penghayatannya kontang dan proses aplikasinya tidak dapat diterjemah dalam bentuk nilai
peradaban yang sempurna. Akibatnya, generasi yang dihasilkan mungkin bijaksana dan tinggi
tahap perkembangan inteleknya tetapi  ‘pencapaian tinggi’ yang hakikatnya dalam ruang lingkup
yang sempit yang hanya didasarkan kepada ketinggian pencapaian akademik sedangkan dari
aspek-aspek yang lain ia pincang dan tiada keseimbangannya. Maka jika inilah yang berlaku
dalam dunia pendidikan pada hari ini, ini bererti pendidikan gagal menjana anjakan paradigma
dalam sel setiap individu dan dibimbangi sejarah lama akan berulang. Analisis fakta dari
perspektif sejarah telah cukup membuktikan bahawa kehancuran tamadun manusia contohnya
Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah berpunca dari gagalnya penerapan nilai-nilai akhlaq murni
kepada generasi pewaris dan kontangnya penghayatan untuk diaplikasikan dalam kehidupan
 
Kepentingan Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal dan Cabaran
 
Pembangunan perindustrian pesat dalam era globalisasi yang berlaku dalam dunia hari ini telah
meningkatkan cabaran membentuk generasi akan datang khasnya bagi ibubapa dan pendidik
Muslim. Dalam menempuh alam cyber dan teknologi maklumat tidak dapat dinafikan
pembangunan insan dan pembinaan generasi perlu dititikberatkan selari dengan keprihatinan
terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini kerana kanak-kanak merupakan aset penting bagi
pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama. Mereka adalah generasi pewaris yang
bakal menjana wawasan dan mencorak masa depan sesebuah negara pada alaf yang akan datang.
Mereka bakal menjadi pemimpin ummah dan mencorak keunggulan Islam sebagai agama
sejagat.

Pernyata dari hasil-hasil kajian ilmiah samada di timur, di barat malah seanterio dunia , dapatan
kajian membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak adalah asas kepada pembinaan
kekukuhan sesuatu bangsa dan pemangkin kepada visi wawasan halatuju negara. Kajian  yang
dilakukan di Amerika Syarikat misalnya menunjukkan bahawa setiap nilaian dolar yang
dilaburkan untuk pendidikan awal yang berkualiti tinggi dapat memberikan pulangan yang tinggi
samada dari segi perkembangan ekonomi mahupun perkembangan sosial kehidupan masyarakat
di negara tersebut.

Manakala Jepun, negara yang suatu ketika dahulu pernah lumpuh akibat ledakan bom atom, 
dalam jangkamasa yang tak sampai setengah abad ia mampu bangun menjadi tunggak ekonomi
dunia. Satu kajian yang dilakukan oleh seorang penyelidik Barat   mendapati bahawa pembinaan
pemikiran masyarakat Jepun bukanlah disebabkan oleh laungan suara kebangkitan atau paluan
gendang lagu membakar semangat, tidak juga tumpuan kepada pencapaian akademik
mengorientasi pemikiran rakyat. Akan tetapi ianya berpunca dari keprihatinan dan kepekaan
pemimpin dan rakyat negara itu terhadap pembentukan generasi awal. Masyarakat Jepun telah
menyediakan generasi mereka dengan daya ketahanan menghadapi cabaran dari aspek fizikal
dan mental, dan mereka juga bertungkus lumus menumpukan perhatian membina daya
keintelektualan dan menggarap potensi semulajadi setiap individu kanak-kanak sejak dari
peringkat awal perkembangan.

Hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan
psikologi  kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling utama dan
paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat  atau tahap umur yang
lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak
berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia
0 hingga empat tahun  manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika
kanak-kanak berusia 8 tahun.

Dapatan terbaru dari kajian yang dilakukan oleh pakar neurologi mendapati bahawa 80—85%
perkembangan otak manusia berlaku dalam tempoh enam tahun pertama usia seorang kanak-
kanak dan peringkat perkembangan yang paling pesat ialah diperingkat umur yang terawal dalam
tempoh enam tahun tersebut. Justru itu boleh dikatakan di sini bawa ketinggian kualiti
pendedahan dan pendidikan awal seseorang kanak-kanak merupakan asas kepada keseluruhan
perkembangannya yang akan datang.

Satu persoalan yang ingin saya kemukakan disini, adakah apa yang kita rancangkan hari ini
pastinya nanti dapat melahirkan generasi rabbani pewaris anbiya’ dan ulama’? Ada bukti yang
menunjukkan, masih timbul persoalan dan keraguan di sudut hati para  penyelidik yang membuat
kajian , pemerhatian, peka dan prihatin kepada perkembangan kanak-kanak Islam hari ini.
Sebahagiannya masih mencetuskan, kenapa tahap pemikiran kanak-kanak Islam secara
umumnya tidak 'advance'? Kenapa ketrampilan, pemikiran, kewibaan, daya intelek kanak-kanak
Islam selalu dikatakan agak ketinggalan ke belakang jika dibandingkan dengan kanak-kanak di
negara-negara barat umpamanya?. Mengapakah anak-anak ini meskipun disemai dengan benih-
benih keimanan masih terjebak dengan gejala social yang memalukan di kala besarnya? Adakah
sesuatu yang tidak kena dengan kurikulum pendidikan Islam atau mungkin kekeliruan berlaku
dari segi aplikasi? Adakah mungkin kerana ini yang kita katakan kita memerlukan satu tajdid dan
perubahan? Mungkinkah pendidikan kanak-kanak di peringkat awal berasaskan binaan
kurikulum  integratif boleh menjadi salah satu cara penyelesaiannya?Justru itu suatu yang amat
wajar untuk kita meneliti kembali kurikulum pendidikan anak-anak di peringkat awal usia ini 
jika generasi yang mahu kita lahirkan adalah generasi serba boleh, berketrampilan, berwawasan ,
tinggi daya keintelektualan dan utuh imannya.

Definisi Kurikulum untuk Kanak-kanak

Kurikulum seperti yang tercatat dalam Akta Pendidikan Malaysia 1996 dan Peraturan-peraturan
Kurikulum Kebangsaan Pendidikan 1997 merujuk kepada suatu program pendidikan yang
merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan
untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani,
mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan
untuk menyampaikan pengetahuan.

Kurikulum pendidikan bila diterjemahkan dalam bentuk aplikasi di sekolah ia adalah sesuatu
yang melibatkan program pembelajaran di dalam atau di luar kelas, aktiviti, peralatan,
perancangan, jadual waktu, tajuk-tajuk bagi sesuatu yang dipelajari dan juga proses penilaian.
Namun perkataan kurikulum bila dikaitkan dengan kanak-kanak di peringkat awal
perkembangan ianya tidak hanya tertumpu kepada sesuatu yang dikaitkan dengan pengalaman
pembelajaran di sekolah tetapi ia merangkumi segala pengalaman dalam kehidupan hariannya
samada di pusat asuhan, di rumah atau di luar rumah. Para pakar unit kanak-kanak di bawah usia
5 tahun dari National Children Beaureu , United Kingdom berpandangan bahwa kurikulum untuk
kanak-kanak di peringkat awal umur yang di letakkan di pusat asuhan kanak-kanak adalah
merangkumi perkara-perkara berikut:

 ·   Segala peluang perkembangan pembelajaran yang disediakan untuk kanak-kanak


 ·   Segala aktiviti, sikap dan tingkahlaku samada yang dirancang atau tidak , samada
digalakkan atau ditegah
 ·   Cara bagaimana persekitaran fizikal yang mengelilingi kanak-kanak disusun dan juga
rutin harian yang dilakukan oleh orang dewasa atau kanak-kanak itu sendiri
 ·   Peranan yang dimainkan oleh orang dewasa untuk menyusun atur, mengarah,
mempengaruhi dan turut serta bersama melakukan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak
 ·    Penglibatan ibubapa dalam perkara-perkara yang disebutkan

      (NCB, 1989, p.11)

Bruce dan Meggitt (2005) pula menyifatkan kurikulum kanak-kanak ialah sesuatu yang dapat
membantu kanak-kanak membesar dan belajar yang mana menjadi satu tanggungjawab kepada
pendidik untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang dapat menyokong, merangsang dan
membantu menggarap potensi yang ada pada seseorang kanak-kanak dan ianya bersesuaian
dengan keperluan dan keupayaan kanak-kanak melakukan atau mempelajarinya (Department for
Education and Science, 1990).

Dalam konteks Islam, kurikulum pendidikan bagi seseorang kanak-kanak khasnya di peringkat
awal perkembangan melibatkan segala pengalaman pembelajaran yang dididedahkan kepada
kanak-kanak samada ianya dirancang ataupun tidak ,secara langsung atau tidak langsung yang
ditimba oleh seseorang kanak-kanak sepanjang proses mereka membesar. Kurikulum dan
pengalaman ini sebenarnya tercetus dari sikap, nilai dan tatasusila yang ditonjolkan oleh guru,
orang dewasa, keluarga dan masyarakat sekitar

Dalam ertikata lain kurikulum pendidikan bagi seseorang kanak-kanak adalah merangkumi
segala aktiviti dan pengalaman pembelajaran yang disediakan oleh orang dewasa, segala aktiviti
yang ditentu dan difikirkan oleh kanak-kanak itu sendiri, termasuklah juga bahasa/ teknik
berkomunikasi yang diamalkan oleh orang dewasa dan kanak2 menggunakannya dikalangan
rakan sebaya atau orang lain malah segala apa yang mereka boleh lihat dan dengar dari
persekitaran mereka. Terkadang-kadang kurikulum ini juga boleh jadi sesuatu yang tersembunyi,
yang tidak dirancang tetapi tanpa disedari kanak-kanak mempelajarinya. Sebagai contohnya
masa atau perhatian yang diberikan oleh pengasuh atau pendidik kanak-kanak terhadap sesuatu
aktiviti mungkin menyebabkan kanak-kanak merasakan sesuatu perkara itu lebih berfaedah dari
yang lain walaupun hakikatnya tidak begitu.

Contoh yang paling dekat bila seseorang kanak-kanak kecil meminta ayah membasuhkan
tangannya selepas makan tetapi si ayah sibuk membaca suratkhabar, maka si anak mungkin akan
memahami bahawa membaca suratkhabar itu lebih penting dari membasuh tangan. Jadi tidak
hairanlah kalau si kecil selepas dari peristiwa itu tidak membasuh tangan selepas makan
sebaliknya terus ingin membaca buku, mungkin kerana ia merasakan yang membaca buku lebih
penting dari membasuh tangan berdasarkan sikap yang ditonjolkan oleh si ayah walaupun pada
hakikatnya bukanlah si ayah bermaksud begitu, namun inilah yang dikatakan kurikulum yang
tersembunyi. Inilah konsep utama yang perlu difahami

Binaan Kurikulum Integratif

Kurikulum integratif mempunyai makna yang subjektif. Integratif di sini boleh memberi maksud
kesepaduan iaitu menekankan perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah
melahirkan insan yang baik berdasarkan kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan.
Kurikulum integratif juga boleh memberi maksud kesepaduan pelbagai kemahiran dalam satu-
satu pengajaran atau mungkin juga kesepaduan kepelbagaian cabang-cabang ilmu dalam sesuatu
subjek yang di ajar.

Dalam kertas kerja ini saya ingin memfokuskan huraian mengenai binaan kurikulum yang
integratif kepada  tiga aspek. Pertama, integratif dari segi kesepaduan maklumat yang
disampaikan kepada kanak-kanak. Dalam ertikata lain ilmu pengetahuan dan pengalaman
pembelajaran yang perlu didedahkan kepada kanak-kanak di peringkat awal usianya perlulah
suatu yang komprehensif dan bersepadu bukannya terpecah-pecah mengikut subjek kerana ini
akan menjadikan kanak-kanak menjadi keliru dan seolah-olah ada ‘batasan’ dalam mendalami
sesuatu ilmu atau pengetahuan yang didedahkan kepada mereka. Jika sesuatu pengalaman
pembelajaran yang didedahkan kepada kanak-kanak adalah berasaskan ‘subjek’ maka sudah
pastinya perasaan dan naluri ingin tahu mereka terbatas dengan pemfokusan kapada subjek dan
mereka akan menjadi ‘rigid’ sebaliknya jika pendedahan pengalaman pembelajaran adalah
berasaskan kepada penggarapan  aspek perkembangan dan bersesuaian dengan tahap dan
kebolehan kanak-kanak, nescaya kanak-kanak akan lebih kreatif, memiliki daya kemahiran
berfikir yang tinggi serta memperolehi kemahiran meyelesaikan masalah yang dapat membentuk
semangat jati diri dan keyakinan yang tinggi. Pendidik kanak-kanak sepatutnya menggarap
potensi kanak-kanak berasaskan apa yang ia tahu kerana ini menjadikan kanak-kanak lebih
berminat untuk mendalami sesuatu perkara. “ Berbicaralah dengan manusia mengikut kadar
kemampuan akalnya” Begitulah pesanan rasul s.a.w. kepada umatnya.

Dapatan dari kajian ilmiah mendapati kanak-kanak di prasekolah terutamanaya tadika aliran
agama adalah diajar berasaskan subjek dan bukannya berasaskan penggarapan aspek
perkembangan. Mungkin ini adalah satu tajdid atau pembaharuan yang perlu dilakukan.

Kedua, integratif dari segi kesepaduan aspek-aspek perkembangan dan potensi yang digarap di
peringkat awal. Sememangnya pengalaman pembelajaran seseorang kanak-kanak di peringkat
awal usia  mampu memberikan kesan yang positif atau negatif kepada perkembangannya di masa
hadapan samada dari segi kognitif, emosi, sosial dan aspek-aspek perkembangan yang lain
bergantung kepada cara bagaimana kanak-kanak mendapat pendedahan. Kalau dari awal
perkembangan kerohanian dan sosio-emosi mereka dititikberatkan, hasilnya akan lahirlah anak-
anak yang berwibawa, taqwa, cekal hati, tinggi nilai harga diri, berketrampilan dan mampu
menghadapi cabaran masa hadapan. Tetapi sebaliknya jika pendedahan awal yang mereka dapat
hanya menumpu kepada perkembangan akademik atau satu aspek perkembangan semata-mata,
maka akan pincanglah aspek perkembangan yang lain malah boleh memberi kesan negatif pula
kepada perkembangan personaliti seseorang kanak-kanak. Setiap aspek perkembangan kanak-
kanak perlu digarap dengan sempurna tanpa melebihkan satu dari yang lain kerana sekiranya ini
berlaku, sel-sel neuron dalam otak yang tidak dirangsang dengan pendedahan kepada
pengalaman pembelajaran yang menjurus kepada sesuatu aspek, ia akan mati begitu sahaja.
Andai ia digarap dari segi intelek tetapi emosinya tidak terdidik, maka perkembangan sosialnya
juga tidak mantap dan sudah pastinya ia tidak mampu menjadi pemimpin ummah yang baik pada
masa yang akan datang.Alangkah ruginya kita umat Islam mengabaikan nikmat kurniaan Allah
begitu saja sedangkan neuron itulah jika digarap dengan sempurna mungkin menjadi pemangkin
kepada sesuatu perubahan kepada umat manusia. Setiap kanak-kanak adalah individu yang unik
yang perlu dipenuhi hak dan keperluan mereka agar dengan itu  potensi mereka dapat digarap
sebaik mungkin kerana mereka adalah aset utama sesebuah negara.

Ketiga, integratif di sini bererti  kita menyepadukan antara pendekatan barat dan Islam dalam
mendidik anak-anak. Kita ambil apa yang baik dari barat apa yang boleh dilihat dengan mata
kasar tentang amalan-amalan dan pendekatan-pendekatan mereka mendidik kanak-kanak dan
kita sepadukan dengan pendekatan Islam yang kaya dengan teori dan khazanah ilmu yang
berbagai. Sesuatu program pendidikan awal kanak-kanak ini perlu dibentuk berdasarkan
pandangan dan pendekatan integratif dan bersepadu gabungan Islam , Barat dan Timur .

Di barat misalnya modul program pengasuhan kanak-kanak dipelopori dengan pelbagai bentuk
kurikulum seperti ‘Montessori’, ‘Reggio Emilio’, ‘Early Learning Goals’, ‘High Scope’ dan
sebagainya. Manakala di Timur di Jepun misalnya, penekanan kurikulum kepada aspek hygiene,
kesihatan dan pemakanan sihat manakala di New Zealand sebagai contoh, ‘ Te Wariki’
menekankan kepada pendidikan yang berkonsepkan kebudayaan dan menghormati tatacara
kehidupan masyarakat Maori.

Dalam sejarah Islam, begitu ramai ilmuan dan cendiakawan yang memberi sumbangan kepada
ilmu pengasuhan perkembangan, dan pendidikan kanak-kanak. Ibnu Miskawaih misalnya begitu
menekankan pentingnya pendidikan akhlaq dan pembentukan sahsiah yang mulis manakala
Imam Al-Ghazali yang banyak menyumbang kepada perkembangan sosio-emosi kanak-kanak,
begitu menekankan aspek belajar melalui bermain sebagai asas pengasuhan.

Ibnu Sina juga tidak terkecuali menyumbang dalam bidang ini apabila beliau membincangkan
kepentingan hygiene dan penjagaan kesihatan kerana dua faktor ini adalah asas kepada
pembentukan fizikal yang sihat. Kemampuan kanak-kanak mendapatkan pengalaman adalah
berbeza dari satu individu dengan individu yang lain telah diketengahkan oleh seorang lagi
ilmuan hebat islam iaitu Ibn Khaldun. Manakala Ibn Jamaah pula mengupas tanggungjawab
pendidik dari segi memahami tingkahlaku kanak-kanak dan menanganinya melalui  kaedah
pengukuhan.

Falsafah pendiddikan awal kanak-kanak yang berteraskan kepada pendekatan integratif tersebut
jika diteliti secara mendalam adalah didasarkan kepada konsep-konsep berikut yang disepadukan
antara dua pandangan:

1.      Pembinaan akhlaq dan pembentukan sahsiah,

2.      Bermain adalah tugas utama kanak-kanak,

3. Kanak-kanak adalah individu yang unik dan berbeza antara satu sama
lain.                                                                                                                                                      
                                       

4.      Rangsangan neurologi dan deria melalui penglibatan yang aktif dalam setiap aktiviti.

5.      Memberi kebebasan dan ruang kepada kanak-kanak bagi mengenal pasti apa yang mereka
mahu dan mampu lakukan.

6.      Memenuhi keseimbangan keperluan rohani, fisiologi, psikologi dan pembesaran fizikal
kanak-kanak.

7.      Persekitaran yang kondusif, ceria dan selamat

8.      Keperihatinan terhadap persekitaran dan penyediaan pemakanan yang sihat dan bersih. 

9. Menghormati kepelbagaian dan hak-hak yang sama


rata                                                                                 

 
Hakikatnya samada di barat atau di timur, semua manusia mengharapkan anak mereka kearah
pembinaan syakhsiah mulia dan berkeperibadian tinggi serta berhemah dalam menghadapi arus
globalisasi yang semakin mencabar. Semua ibu bapa pastinya ingin melahirkan generasi yang
berfikiran mantap , kritis dan kreatif dalam setiap aspek kehidupan.

Namun, satu penemuan yang ingin saya ketengahkan di sini setelah menyingkap fakta dari
lipatan sejarah silam. Mungkin selama ini ramai yang beranggapan teori-teori dan ilmu-ilmu
berkaitan perkembangan kanak-kanak, pendidikan keibubapaan dan pendekatan moden mendidik
anak khasnya di peringkat awal usia dipelopori oleh barat dan tidak releven dengan Islam.
Seringkali matapelajaran psikologi atau subjek perkembangan kanak-kanak yang di ajar di
institusi sekolah dan pengajian tinggi dirujuk kepada penemuan yang diketengahkan oleh barat.
Hakikatnya pendekatan-pendekatan moden yang kita lihat pada hari ini sebenarnya dipelopori
oleh para ilmuan Islam di zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu. Kita sering menyebut
tentang Jean Piaget dan teori Perkembangan kognitif tetapi kita melupakan Ibnu Sina (370-428
Hijria = 980-1036 AD) yang membicarakan hal yang sama berkurun-kurun lamanya sebelum
Piaget. Dewasa ini kita sibuk membicarakan tentang Emotional Intelligent yang dipelopori oleh
Howard Gadgner tanpa kita sedari Ibnu Khaldun (733-808 Hijria = 1332-1406 Masehi)telah
berabad lamanya mengupas isu tersebut di dalam kitabnya almuqaddimah. Kita mula
menyuarakan tentang kepentingan memahami perbezaan perkembangan individu di kalangan
kanak-kanak tanpa merujuk penulisan Al-Ghazali dan hujah-hujahnya tentang hal tersebut dalam
membicarakan isu-isu perkembangan sosio-emosi kanak-kanak.

Di sana- sini pendidik kanak-kanak begitu sibuk memperkatakan mengenai kepentingan bermain
melalui belajar sebagai satu pendekatan kurikulum yang paling bersesuaian dengan kanak-kanak
kerana ia merujuk kepada ciri-ciri semulajadi kanak-kanak yang sememangnya suka bermain.
Nama Froebel, Susan Isaacs, Mc Millan dan pelbagai lagi teori mengenai permainan dari
perspektif barat disebut-sebut dan dijulang. Kiranya ia sudahpun dipelopori oleh begitu ramai
tokoh cendikiawan Islam seperti Al-Ghazali, Ibnu Sina, Ikhwan Safa dan sebagainya. Malah
banyak hadis-hadis yang menyebut mengenai kepentingan bermain dalam kehidupan kanak-
kanak yang menunjukkan kesesuaiannya sebagai pendekatan utama perkembangan pembelajaran
kanak-kanak. Namun, hadis-hadis sebegini  seperti tidak diberikan perhatian dan jarang dikupas.
Lalu apabila umat Islam berbicara mengenai perkembangan kanak-kanak sudah pastinya
penulisan sarjana barat menjadi rujukan tanpa menyedari atau mungkin alpa, telah ada usaha
sebegini dibukukan dan dihurai oleh ulamak terdahulu sebagai contohnya Ibn Qayyim Al-
Jauziah dalam kitabnya “tuhfatul maudud fi ahkam almaulud”

Umat Islam yang mempelajari ilmu psikologi pendidikan pada hari ini sudah pastinya arif
tentang teori-teori yang dikemukakan oleh Behaviourist, Social Learning Theory dan sebagainya.
Antara idea utama yang dikemukakan oleh teori ini ialah kanak-kanak relajar melalui
pemerhatian dan mudah meniru apa saja perlakuan. Untuk mengekalkan tingkahlaku baik yang
ditunjukkan oleh seseorang kanak-kanak, maka perlulah mereka selalu diberi pengukuhan.
Alangkah bijaknya tokoh ilmuan Islam Imam Al-Ghazali yang terlebih awal mengupas begitu
detail persoalan sebegini dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin dan mengemukakan lima aspek utama
dalam pendidikan kanak-kanak khasnya di peringkat awal perkembangan: Qudwah (Role
model), Mulahazah wa mutaba’ah (Observation and imitation), i’tiyad (kelaziman/kebiasaan),isu
Al-thawab wa al iqab (Reward and punishment) dan nasihat (advice) sebagai penyelesaian

Imam Al Ghazali begitu menekankan peri pentingnya ibubapa dan pendidik perlu menjadi role
model atau ikutan yang baik kerana sikap atau tingkahlaku yang ditunjukkan oleh ibubapa
sebenarnya adalah kurikulum dalam pendidikan seorang kanak-kanak. Bersesuaian dengan sifat
semulajadi kanak-kanak yang suka meniru perilaku atau apa sahaja yang ada di hadapannya, dan
seperti yang ditegaskan oleh Imam Al Ghazali, kanak-kanak belajar melaui pemerhatian yang
jika dibiarkan ia akan menjadi kebiasaan atau I’tiyad dan sukarlah untuk dibentuk. Dalam
menangani masalah ini ibubapa atau pendidik di beri pilihan antara memberi pengukuhan dan
ganjaran baik atau hukuman. Jalan yang paling terbaik ialah dengan memberi nasihat yang
pendekatannya adalah “mendidik jiwa dengan jiwa atau alhal bilhal.” Seperti yang tertera dalam
kitab karangannya “ ayyuha al-walad”.

Ini adalah antara contoh mengaplikasi teknik mendidik anak-anak di peringkat awal umur
berasaskan kurikulum integratif menampakkan kesepaduan antara pandangan sarjana barat dan
ilmuan Islam dalam menilai dan menyelesaikan masalah menanangani sesuatu perkara yang
berlaku dalam kehidupan seorang kanak-kanak. Pendekatan integratif juga memberi pengertian
kesinambungan antara teori dan praktik, pembuktian antara kepercayaan dan amalan juga
kesepaduan antara amanah yang dijulang dengan perlaksanaan yang perlu dibuktikan.

Hakikatnya, dalam Islam telah nyata dan terserlah segala teorinya namun dari segi aplikasi,
selalunya sarjana barat akan cuba melaksanakan dengan mencubanya melalui kajian-kajian
ilmiah dan melakukan eksperimen yang lebih mendalam lalu setelah yakin dengan kesannya
yang efektif lalu mereka mendabik dada mengatakan inilah teori baru dan yang untungnya
kerana mereka mengamalkannya.! Realitinya, inilah punca kemunduran umat Islam dalam dunia
globalisasi. Tidak ada yang kurang dan tidak ada cacat celanya agama Islam, tetapi sikap
umatnya yang perlu diubah. “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum
sehingga mereka sendiri mengubahnya...” Sungguh benarlah firman Allah!

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan dari kertaskerja ini, saya ingin membawa perhatian para hadirin budiman.
Perkataan kanak-kanak dalam bahasa arabnya disebut sebagai al-tifl (    ‫لطفل‬١   ) yang berasal
dari perkataan tafula (         ‫طفل‬      ) yang membawa maksud sesuatu yang lembut, mudah rosak
dan sensitif. Di sebalik maksud tersebut ia memberi pengertian bahawa seseorang kanak-kanak
itu perlu dijaga, diasuh dan dididik dengan rapi, teliti dan sempurna memandangkan sifat
semulajadinya yang mudah terdedah kepada bahaya persekitaran bukan sahaja dibimbangi
kerosakan yang akan menimpa fizikal dan tubuh badan malah aspek-aspek yang lain juga amat
perlu diberikan perhatian.

Dalam memperkatakan mengenai kebaikan yang diamalkan oleh barat, kita sering melihat atau
memang sedar masyarakat barat kebiasaannya menggunakan pendektan berhemah dalam
membentuk perilaku dan mendisiplinkan anak-anak. Ia seperti sudah menjadi budaya mereka,
membelai, memeluk dan mencium anak-anak. Walhal begitu banyak hadis dan saranan ulama’
yang menyebut tentang peri pentingnya mendidik anak dengan kesabaran dan kelembutan.
Namun realiti yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, menghukum anak yang melakukan
kesalahan selalunya dengan emosi dan jauh sekali dari mendidik.

I mam Al-Ghazali Rahimahullah pernah menyebut, “sesungguhnya anak-anak kita adalah


permata”. Dalam membicarakan soal pendidikan anak-anak ini suatu perkara yang perlu kita
fahami bahawa mendidik adalah suatu kesenian yang datangnya dari jiwa yang halus dan
pemikiran yang kreatif. Suatu yang kreatif dan seni tidak akan lahir dari jiwa yang keras dan
peribadi yang kasar yang dipenuhi rasa kejengkelan dicetuskan oleh emosi marah dan hilang
pertimbangan akal. Kasih sayang adalah elemen paling utama dalam proses mendidik. Teguran
dan nasihat yang lahir dari cetusan kasih sayang akan mencairkan hati yang keras sebaliknya 
kekasaran dan penonjolan ammarah akan membekukan jiwa yang lembut. Apatah lagi bila yang
dihadapan kita itu adalah kanak-kanak yang putih bersih, yang akan belajar apa sahaja yang ada
di persekitarannya melalui pemerhatian, yang akan meniru dari qudwah yang ditonjolkan
seterusnya mengaplikasikan hasil pembelajaran melalui kebiasaan.

Ini lah juga antara tajdid yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam mendidik anak-anak.
Kembali dan rujuklah amalan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan cendidkiawan Islam dalam
membentuk dan mendidik generasi. Pendidikan anak-anak di peringkat awal usia yang
berlandaskan pendekatan integratif seperti yang disarankan perlu dilaksanakan. Di dalam
kitabnya Al Muqaddimah, Ibnu Khaldun mengingatkan para pendidik melalui seruannya: “…
Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang
dididik lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak.Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan
paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya,
malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat…”

Wallahua’lam

You might also like