Professional Documents
Culture Documents
Assessing Learning
Alternative Assessment
Alternative assessment uses activities that reveal what students can do with
language, emphasizing their strengths instead of their weaknesses. Alternative
assessment instruments are not only designed and structured differently from
traditional tests, but are also graded or scored differently. Because alternative
assessment is performance based, it helps instructors emphasize that the point of
language learning is communication for meaningful purposes.
Instructors need to prepare students for the use of alternative assessments and
allow time to teach them how to use them, so that alternative assessment will
make an effective contribution to the learning process.
As students find they benefit from evaluating themselves and their peers, the
instructor can expand the amount of alternative assessment used in the
classroom.
www.learnnc.org/glossary/alternative+assessment - Cached
Minda Pengarang: Pengubahsuaian UPSR mampu lahir murid berdaya
saing pelbagai sektor
PEPERIKSAAN pada peringkat sekolah rendah bermula apabila negara merdeka pada 1957
dengan pengenalan 'Malayan Secondary School Entrance Examination (MSSEE). Pada peringkat
sekolah menengah pula bermula dengan Lower Certificate of Education (LCE) untuk Tingkatan
Tiga yang dimansuhkan pada 1983. Bagi pelajar Tingkatan Lima pula, mereka menduduki
Malaysian Certificate of Education (MCE) pada 1964 (aliran Inggeris) dan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) aliran bahasa Melayu, sebelum peperiksaan SPM dilaksanakan sepenuhnya untuk semua
sekolah pada 1987. Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang dimulakan pada 1960 dimansuh pada 1992
diganti dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 1993. Beberapa perubahan yang
berlaku pada peringkat sekolah menengah, juga dimulakan dengan langkah serupa di sekolah
rendah. Misalnya, MSSEE dimansuhkan pada 1963 dan empat tahun kemudian digantikan
dengan Penilaian Darjah 5 (PDL). Pada 1973 pula, Ujian Darjah 3 (UDT) dimulakan untuk
tempoh sembilan tahun sehingga dimansuhkan pada 1982. PDL berlanjutan selama 21 tahun
sebelum dimansuhkan pada 1988. Dengan ketiadaan PDL dan UDT, peperiksaan pada peringkat
sekolah rendah digantikan pula dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang
dimulakan pada 1988. Dalam proses perubahan demi perubahan itu, kurikulum sekolah turut
dirombak seperti memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada 1982 dan
kemudian Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada 1988. Apa yang dilakukan
adalah sesuai dengan kehendak semasa ketika itu dan apabila didapati sudah tidak relevan atau
kurang berjaya, maka ia dimansuh atau dimantapkan lagi seperti isu pemansuhan dasar
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) baru-baru
ini.
Kini, timbul pula isu UPSR berikutan saranan pihak tertentu supaya ia dimansuh dengan alasan
sudah tidak relevan lagi dalam sistem pendidikan negara. Mereka mendakwa UPSR hanya
menjurus kepada konsep pencapaian pendidikan melalui peperiksaan yang memerlukan pelajar
lulus subjek tertentu untuk layak ke sekolah berasrama penuh, sekali gus tidak membantu
menentukan tahap sebenar akademik pelajar. Bagaimanapun, kerajaan setakat ini menolak
cadangan itu dan seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang
bertanggungjawab mengenai Kementerian Pelajaran, UPSR cuma memerlukan sedikit
pengubahsuaian dari segi kepentingan atau kayu pengukur. Kita bersetuju dengan pendapat itu,
kerana tanpa UPSR, sudah tiada lagi penanda aras selepas murid belajar selama enam tahun
pada peringkat sekolah rendah, seperti juga PMR untuk Tingkatan Tiga dan SPM untuk
Tingkatan Lima. Kita berpendapat, UPSR diwujudkan bertujuan menilai prestasi pelajar sekolah
rendah dan bukannya berorientasikan peperiksaan sepenuhnya. Kerajaan boleh menyusun
semula ujian itu seperti memberi penekanan terhadap mata pelajaran Sejarah sebagai tambahan
kepada subjek sains, pendidikan jasmani dan pendidikan Islam dan moral. Berdasarkan sejarah
lalu, setiap pemansuhan memerlukan penggantian tetapi penukaran nama UPSR kepada nama
lain, misalnya Ujian Darjah 6 (UDE) atau Penilaian Tahun Enam (PTE), tidak banyak membawa
makna kecuali kurikulum dan kaedah peperiksaan itu sendiri diubah. Pokoknya, mesti ada ujian
sebagai kayu ukur sebelum murid itu masuk ke gerbang sekolah menengah, menengah rendah,
menengah atas dan seterusnya ke universiti.
LABEL: PEPERIKSAAN
0 ULASAN:
Cata
perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/.../minda-pengarang-pengubahsuaian-
upsr.html
Isu pemansuhan upsr dan pmr
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata cadangan pemansuhan peperiksaan
itu kepada kerajaan akan mengubah sistem pendidikan negara yang kini terlalu berorientasikan
peperiksaan menyebabkan matlamat melahirkan modal insan serba boleh yang mempunyai
keterampilan tinggi gagal dicapai.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua peperiksaan itu mungkin juga diteruskan, tetapi bukan lagi
berstatus peperiksaan awam seperti sekarang, sebaliknya dijadikan penilaian pencapaian pelajar di
peringkat sekolah saja.
Jika terlalu menjurus kepada peperiksaan, ia akan menyebabkan matlamat ke sekolah untuk
menuntut ilmu, lebih kreatif dan menambah pengetahuan secara lebih holistik tidak akan dicapai
sepenuhnya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan mengekalkan satu peperiksaan saja pada
peringkat sekolah itu juga berkaitan dengan langkah kementerian untuk merombak sistem
pendidikan dan mengubah bentuk kokurikulum di peringkat sekolah.
Beliau berkata, pada masa ini, sistem pendidikan yang terlalu cenderung dengan peperiksaan
menyebabkan guru terlalu fokus untuk mencapai kecemerlangan peperiksaan dan pelajar terlalu
menumpukan usaha untuk cemerlang dalam peperiksaan awal saja.
Katanya, kajian pihaknya juga mendapati ada negara lain yang tidak mempunyai banyak
peperiksaan seperti di Malaysia, malah ada sesetengah negara yang hanya mempunyai satu
peperiksaan saja pada peringkat sekolah.
Beliau berkata, pengurangan peperiksaan di peringkat sekolah itu membolehkan pelajar mempunyai
banyak masa untuk menumpukan kepada mata pelajaran tertentu dan kegiatan sukan, sekali gus
memberi kesan positif kepada keseluruhan cara pendidikan pelajaran.
Kementerian Pelajaran akan mengadakan sesi meja bulat bagi membincangkan secara mendalam
maklumbalas terhadap cadangannya memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan
Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua pihak berkepentingan akan
dipelawa mengambil bahagian dalam sesi itu untuk memberi pandangan masing-masing.
Beliau yang berterima kasih kepada saranan-saranan yang diberikan pelbagai pihak terhadap
cadangan itu melalui media massa, meminta agar perdebatan mengenai cadangan itu dihentikan
bagi memberi peluang kepada kementerian itu meneliti segala pandangan yang telah dikemukakan.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata seluruh pimpinan pendidikan negara telah
menunjukkan minat besar terhadap perkara itu dan majoriti respons yang diterima bersetuju
dengan cadangan itu, walaupun ada sebahagiannya mencadangkan supaya sistem peperiksaan itu
hanya ditambah baik dalam bentuk penilaian.
Katanya lagi ada yang berpendapat yang penting bukan peperiksaan tapi setiap pelajar perlu dinilai
prestasi mereka setiap tahun, sama ada dalam bentuk peperiksaan awam atau berasaskan sekolah.
Dalam sistem persekolahan sekarang sudah ada penilaian dibuat secara berkala, tiga bulan sekali
dan ada yang setiap bulan tetapi kerana sistem itu menjurus kepada peperiksaan, sebahagian besar
mengarah kepada nak mendapat keputusan terbaik.
Muhyiddin sebelum ini menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran sedang mengkaji kemungkinan
memansuhkan UPSR dan PMR di masa hadapan kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih
berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak
dapat dilakukan sepenuhnya.
Antara kemungkinan yang sedang dikaji ialah UPSR dan PMR akan hanya diteruskan sebagai
penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.
Pada masa yang sama beliau meminta semua pihak memberi pandangan terhadap cadangan itu.
sumber : BERNAMA
Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), jika
dilaksanakan, tidak akan menjejaskan kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ini kerana
pengambilan pelajar tingkatan empat ke MRSM sebelum ini melibatkan ujian khas manakala
pengambilan bagi pelajar tingkatan satu juga akan menggunakan kaedah sama mulai tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 20 Jun lepas
berkata dua peperiksaan itu mungkin dimansuhkan kerana pembelajaran ketika ini dilihat lebih
berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama memberi pendidikan holistik tidak dapat
dilaksanakan sepenuhnya.
sumber : BERNAMA
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr
Mohamad Ali Hassan berkata Kementerian Pelajaran perlu memastikan bahawa pelajar di sekolah
rendah mahir dalam 3M (membaca, menulis dan mengira) sebelum memansuhkan dua peperiksaan
awam berkenaan.
Beliau menyokong langkah kerajaan mahu menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR. Namun
kementerian perlu pastikan 100 peratus pelajar di peringkat sekolah rendah menguasai kemahiran
3M ini, selepas itu barulah kerajaan boleh mansuhkan dua peperiksaan awam yang dilihat
berorientasikan peperiksaan semata-mata.
Pelajar perlu didedahkan dengan kemahiran seperti membuat kerja kursus yang mampu
merangsang minda kerana ia secara tidak langsung mampu melahirkan pelajar yang lebih kreatif
dan inovasi, tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin yang membayangkan bahawa KPM mungkin akan memansuhkan UPSR dan PMR dan
mengekalkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sebagai peperiksaan awam tunggal pada masa
hadapan.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dilaporkan berkata kerajaan melihat ada kewajaran untuk
berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada
peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan
sepenuhnya.
Beliau berkata peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi sebagai penilaian
pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam. Katanya
pihak kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan
pandangan daripada semua pihak mengenainya.
Mengulas lanjut isu berkenaan, Mohamad Ali berkata, sekiranya perkara itu dilaksanakan
kementerian perlu mengadakan ujian penilaian yang setanding dengan peperiksaan awam itu bagi
menilai pencapaian pelajar di peringkat sekolah.
Beliau berkata dengan mengaplikasikan kaedah itu, ia secara tidak langsung dapat menilai secara
menyeluruh sama ada seseorang pelajar itu mampu mengaplikasi apa yang dipelajarinya di sekolah.
Sementara itu, Bernama melaporkan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Jais Abdul
Karim berkata langkah itu akan dapat memantapkan sistem pendidikan dan seterusnya melahirkan
pelajar yang lebih fokus dan tenang.
Pemansuhan itu juga katanya akan memberi lebih banyak masa kepada guru untuk mengajar
secara lebih berkesan dan tidak terikat dengan jadual peperiksaan. Bagaimanapun katanya, pada
masa yang sama kementerian wajar mencari kaedah lain yang lebih sesuai untuk mengukur
pencapaian pelajar.
Bagi Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata
pemansuhan PMR wajar di laksana memandangkan peranan peperiksaan tingkatan tiga itu hanya
untuk menentukan aliran yang akan diikuti mereka ketika tingkatan empat.
Pegawai Perhubungan Pesatuan Bekas Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Abdul Karim Abdullah
pula berkata pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu akan membolehkan pelajar dan guru
menumpukan perhatian kepada kegiatan kokurikulum dan sukan.
Sebelum ini mereka anggap kegiatan sukan dan kokurikulum mengganggu masa pembelajaran
kerana pelajar harus bersedia hadapi peperiksaan, tetapi apabila peperiksaan dimansuhkan kelak
pelajar akan ada lebih masa untuk fokus kepada kegiatan kokurikulum dan sukan, katanya.
sumber : http://mstar.com.my
KENINGAU: Rata-rata ibu bapa di kawasan pedalaman bersetuju terhadap cadangan pemansuhan,
Ujian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), tetapi menegaskan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) masih diperlukan.
1. “Dengan ketiadaan UPSR dan PMR, isu pelajar ‘gagal’ tidak akan timbul,”
– Masdir Hussien, 52
2. “UPSR dan PMR tidak sesuai untuk dijadikan penanda ukur kebolehan seorang pelajar dan
pemansuhan itu merupakan satu penstrukturan baru dalam sistem pelajaran di negara ini”
- Pengerusi PIBG, Mohd Khairil Abdullah, 40
3. “Jika ini berlaku, negara akan menghadapi tekanan ramai pelajar menamatkan persekolahan di
peringkat awal,” jelas seorang bapa
– Idris Mohd Tahir, 60.
4. “Kerajaan telah meneliti satu kaedah terbaik dalam proses penambahbaikan sistem pelajaran di
negara ini, dengan memansuhkan dua kekangan besar terhadap pelajar dan ibu bapa”
- Harry Gitik, 47
sumber : http://www.keningaukini.com
pmr.penerangan.gov.my/index.php?option...isu...upsr... - Cached
12 Syawal 1431H
21 September 2010
Mukadimah
Terlepas dari soal setuju atau tidak, cetusan idea pemansuhan UPSR-PMR kami tanggapi sebagai
isyarat positif bahawa pada tahap pembuat dasar telah ada kesediaan untuk
melakukan rethinking, menilai dan memikirkan semula kerelevanan sistem pelajaran kita secara
menyeluruh dan mendasar. Cadangan pemansuhan peperiksaan (UPSR-PMR) tentunya tidak
hanya sekadar memansuh semata-mata untuk memansuh, tetapi dilatari kesedaran tentang
wujudnya masalah, bukan hanya masalah-masalah yang berbangkit dari peperiksaan dan isu-isu
yang terkait dengannya, tetapi masalah yang lebihfundamental dan mendasar.
Memang sistem pendidikan kita terkesan amat berorientasi peperiksaan, dan seterusnya (hampir)
memutlakkan prestasi dalam peperiksaan sebagai satu-satunya ukuran kualiti dan penentu masa
depan seseorang pelajar. Orientasi dan persepsi sedemikian jelas membawa pelbagai implikasi
negatif terhadap misi dan esensi pendidikan sebagai proses pembinaan insan secara utuh,
bersepadu dan seimbang. Justeru, antara implikasi yang sangat memprihatinkan termasuklah:
• Misi besar pendidikan telah direduksi menjadi sekadar suatu siri peperiksaan yang
mendera dan menegangkan. Di situlah tercurah dan terperahnya seluruh kekuatan pendidikan
sehingga mengabaikan dimensi-dimensi penting kependidikan lainnya. Dalam konteks realiti
seperti itu memang ada kebenarannya apabila dikatakan bahawa sistem kita lebih banyak
menguji daripada mendidik (more testing than educating).
• Akibat tumpuan semata-mata pada pencapaian prestasi dalam peperiksaan, maka lahirlah
generasi yang berprestasi (akademik) cemerlang, tetapi gagal menjadi manusia berakhlak dan
berwatak mulia.
• Demikian jadinya kepada mereka yang dianggap "berjaya", betapa pula nasib mereka
yang menjadi "korban" peperiksaan? Tidak sedikit jumlah anak bangsa yang dihukum sabagai
"gagal" dalam usia yang sedemikian muda. Keputusan peperiksaan dianggap keputusan nasib
hidup mereka. Demikianlah, persekolahan kita telah melahirkan generasi yang mengalami
kekosongan erti hidup, pesimis dan tidak percaya diri. Keleluasaan gejala penyakit sosial ketika
ini mungkin salah satu jelmaannya.
• Dalam orientasi yang terlalu menumpu dan mementingkan prestasi dalam peperiksaan
anak didik dibebani harapan yang seringkali tidak tertanggung, dan dipaksa bersaing meskipun
tidak mampu. Akibatnya persekolahan kita telah mencipta generasi yang mengalami ketegangan
(stress) dan sentiasa berasa terancam (rasa tidak selamat kerana sentiasa disaingi).
• Mereka yang kalah dalam persaingan, atau yang tidak mampu bersaing, tetapi terus-
menerus dipaksa bersaing rata-rata merasakan persekolahan suatu penderaan. Mereka selalu
merasa didiskriminasikan dan tidak dihargai. Mereka tidak senang ke sekolah, kerana sekolah
memang tidak menyenangkan.
Hakikat tersebut tidak menafikan perlunya peperiksaan pada tahap-tahap tertentu sebagai salah
satu cara penilaian dalam proses pendidikan. Yang dipermasalahkan adalah kadar
pemberatannya sehingga menjadi terlalu berorientasi peperiksaan, dan terlalu dimutlakkan sebagai
ukuran kemampuan, walhal peperiksaan mempunyai pelbagai keterbatasan di samping selalu
mengandungi unsur kemujuran. Kerana itu kertas ini tidak bermaksud menolak peperiksaan,
tetapi menyarankan peninjauan semula dan mengemukakan modifikasi-modifikasi seperlunya
dengan semangat korektif-reformatif -- pembaikan sistem pendidikan secara menyeluruh,
sesuai dengan keperluan kita sebagai insan, umat dan bangsa.
Tanpa ragu, kami menyimpulkan bahawa sistem pendidikan kita harus dibebaskan dari dominasi
orientasi peperiksaan yang keterlaluan. Untuk itu kekerapannya harus dikurangi, di samping
peranannya sebagai ukuran kejayaan proses pendidikan harus diimbangi dengan penilaian dimensi-
dimensi kependidikan lainnya - rohani, jasmani, intelek dan emosi. Perlu dicatat bahawa
peperiksaan tidak dapat mengukur seluruh aspek yang terliput dalam proses pendidikan. Secara
pedagogis, peperiksaan mempunyai keterbatasaan yang sangat jelas. Ia hanya mencakup aspek
kognitif, tidak mencakup aspek psikomotorik, dan tidak juga aspek afektif. Selain itu peperiksaan
juga hanya dapat mengukur kompetensi pelajar dalam subjek-subjek tertentu yang diambil, dan ini
jelas mereduksi kompetensi pelajar , mengabaikan kompentensinya dalam bidang-bidang lain yang
tidak termasuk dalam subjek-subjek peperiksaan.
Untuk menjadikan peperiksaan sebagai kayu ukur yang dapat dipercaya, ia tidak harus bersifat
sekadar bubble test yang dangkal dan tidak substantif. Bentuk dan pola soalan peperiksaan harus
dianjak ke arah soalan yang bersifat high order thinking questions, soalan yang mencabar
pemikiran, menguji kemampuan berfikir, dan merangsang pemikiran analitikal, kreatif dan
kritis. Anjakan ini bererti bahawa soalan peperiksaan tidak lagi bersifat menguji hafalan dan
ingatan semata-mata, di samping ia juga tidak dapat diteka-teka atau diramal-ramal berdasarkan
soalan-soalan peperiksaan yang lalu. Untuk melakukan anjakan ini, corak pengajaran dan
pembelajaran perlu diorientasikan semula sesuai dengan pola dan format soalan yang sedemikian.
Orientasi peperiksaan memang memerlukan modifikasi untuk menjadikannya lebih bererti, tetapi
ia tetap tidak boleh dimutlakkan sebagai satu-satunya ukuran yang sah dan muktamad. Kerana itu
modifikasi peperiksaan harus beriringan dengan sejumlah modifikasi lain yang melibatkan
kandungan dan orientasi kurikulum keseluruhannya. Dalam kaitan ini pencapaian matlamat
pendidikan sebagai humanizing process harus dinilai semula. Untuk mempastikan tercapainya
objektif pengutuhan manusia, subjek-subjek yang dapat memanusiakan manusia harus diberikan
penekanan semula. Tanpa menafikan kepentingan sains dan matematik, obsesi yang berlebihan
terhadap subjek-subjek tersebut ternyata telah mengakibatkan peminggiran dan peremehan
terhadap bidang-bidang lain yang sarat dan padat dengan nilai-nilai murni kemanusiaan seperti
pendidikan Islam, sejarah dan kesusasteraan. Penyelesaian kepada persoalan ini bukan dengan
mengunggulkan yang satu dan memperlekeh yang lain, tetapi dengan pendekatan integratif --
penyepaduan disiplin-disiplin tersebut dan perapatan jurang antara sains dengan disiplin-disiplin
yang dikategorikan sebagai subjek-subjek artsitu.
Sesuai dengan tuntutan zaman kini sebagai zaman kreasi dan inovasi, sistem pendidikan kita
(termasuk orientasi peperiksaannya) harus memberikan penekanan pada usaha pengembangan
daya kreatif-inovatif anak didik. Tanpa menafikan bidang sains juga dapat merangsang daya
kreatif, tetapi dasar meremehkan bidang ilmu kemanusiaan yang sangat kaya dengan unsur
kreativiti adalah suatu kesilapan fatal. Dalam kaitan ini perlu dicatat bahawa kreativiti adalah
faktor penting daya maju bangsa, khususnya dalam bidang ekonomi. Kerana itu negara-negara
maju umumnya sangat prihatin terhadap gejala kemorosotan daya kreativiti anak bangsa. Dan
apabila gejala ini timbul, yang pertama dilihat adalah sistem persekolahannya. Apakah sekolah
mampu menjadi lahan yang subur bagi kegiatan-kegiatan kreatif-inovatif?
Di samping banyak mencipta kejayaan di pelbagai bidang, harus pula diakui bahawa sistem
persekolahan kita dari satu sisi dapat dinilai kurang berhasil membina generasi yang kuat dan
berdikari. Yang terhasil rata-rata adalah generasi yang lemah, generasi yang meminta-minta,
generasi yang mengharap belas kasihan agar diberikan pekerjaan. Pendidikan yang komited
terhadap misi pemberdayaan (empowerment) seharusnya mampu melahirkan generasi yang
berkompetensi tinggi. Untuk itu kita memerlukan sistem persekolahan yang berorientasi
pengupayaan pelajar mencipta pekerjaan, bukan menunggu peluang pekerjaan.
Tidak semua subjek dapat dinilai prestasinya melalui peperiksaan formal oleh sebuah lembaga
rasmi. Harus diakui hakikat bahawa tidak siapa pun yang tahu tentang kemampuan seorang
pelajar lebih daripada gurunya yang saban hari mendampinginya. Kerana itu ruang penilaian guru
(sekolah) perlu diperluas dan diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Dalam kaitan inilah
relevannya sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dipertimbangkan. Amalan pengijazahan
oleh guru dalam sistem pengajian (Islam) tradisional sebenarnya sangat beralasan.
Bagaimanapun untuk melaksanakan kaedah penilaian ini diperlukan tingkat kejujuran dan integriti
moral yang cukup tinggi. Untuk itu diperlukan pula suatu program intensif latihan pembinaan
integriti keguruan. Dengan demikian segala penilaian dan pentaksiran akan dapat dilaksanakan
berlandaskan nilai amanah dan ketaqwaan yang setinggi-tingginya.
Untuk membina generasi yang religious, berwatak dan berakhlak mulia, pendidikan Islam
memainkan peranan yang sangat menentukan. Kerana itu ia harus ditempatkan sebagai subjek
istimewa, bukan sekadar subjek pengetahuan, tetapi sebagai disiplin penghayatan. Sesuai
dengan posisi dan fungsinya yang sedemikian, ia memerlukan cara penilaian tersendiri. Tidak
cukup dinilai dari segi kefahamannya, tetapi juga dari segi internalisasi dan penghayatannya.
Selama ini sistem peperiksaan kita telah melahirkan golongan yang dianggap berprestasi
akademik. Bagaimanapun yang lebih penting dan lebih bererti daripada prestasi ialah semangat
cintakan ilmu. Tetapi isu inilah pula yang masih menjadi tanda tanya besar. Untuk menepati
makna pendidikan sebagai proses sosialisasi dan internalisasi nilai, sistem pendidikan kita harus
lebih memberikan penekanan pada usaha pemartabatan nilai ilmu, pembinaan sikap menyintai
ilmu, dan membangkitkan semangat ingin tahu (intellectual curiousity).
Pemansuhan jenis-jenis peperiksaan tertentu dalam sistem pendidikan kita memang ada
justifikasinya. Bagaimanapun ada kemungkinan langkah tersebut disalaherti dan disalahgunakan
untuk mengurangi komitmen sekolah terhadap tanggungjawab pencapaian prestasi akademik.
Pemansuhan dalam konteks ini bukan tanpa alternatif. Sistem pentaksiran alternatif PBS itulah
yang harus dilaksanakan sejaya-jayanya, tanpa mengurangi komitmen terhadap kecemerlangan
akademik. Semangat tersirat di sebalik langkah tersebut ialah untuk kembali ke falsafah
pendidikan bersepadu dan seimbang dengan matlamat membina insan seutuhnya sebagaimana
yang diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Keunggulan sistem pendidikan tidak hanya pada tahap dasar dan falsafahnya, tetapi juga harus
cukup berkesan dari segi operasi dan pelaksanaannya di semua peringkat. Dalam kaitan ini
peranan sekolah sebagai "hujung tombak" sistem pendidikan negara dalam erti sebagai institusi
akar rumput yang sentuhannya sampai dan langsung kepada sasaran terakhir (anak didik) harus
mencapai tahap kompetensi yang memungkinkannya melaksanakan misi kependidikan holistik,
menyeluruh, seimbang dan sekaligus bersepadu.
Mengambil kira perkara-perkara di atas, kami berpendapat bahawa UPSR perlu diteruskan,
sementara PMR boleh dimansuhkan dengan catatan-catatan berikut:
• Pengekalan UPSR atas rasional kepentingan fungsinya sebagai penilaian penamat bagi
persekolahan peringkat rendah.
• Peperiksaan UPSR tidak seharusnya digunakan sebagai sorting machine untuk pemilihan ke
Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Menggunakan peperiksaan sebagai asas pemilihan akan
menjadikannya tumpuan seluruh kekuatan kependidikan sehingga mengabaikan dimensi-dimensi
pendidikan lainnya. Untuk tujuan pemilihan ke SBP harus diwujudkan mekanisme alternatif
dengan mengambil kira penilaian-penilain selain prestasi akademik.
• UPSR harus berorientasi penilaian diagnostic dalam erti mengenalpasti titik-titik kelemahan
untuk seterusnya dicari jalan mengatasinya.
• Murid-murid yang gagal menguasai 3M/LINUS harus "ditahan" di tahap satu selama
setahun untuk tujuan korektif dan pemulihan.
• Pemansuhan PMR pula didasarkan pada rasional bahawa penilaian persekolahan pada tahap
menengah sudah memadai dengan peperiksaan SPM.
• Dengan pemansuhan PMR harus diwujudkan pula mekanisme alternatif untuk tujuan
penjurusan dengan penekanan pada potensi dan keupayaan (aptitude test).
• Pemansuhan PMR memerlukan cara penilaian alternatif yang dalam hal ini Penilaian
Berasaskan Sekolah (PBS) dirasakan paling sesuai. Untuk memastikan keberkesanannya PBS
perlu dilaksanakan dengan prosedur yang kemas berpandukan set aturan yang terperinci dan
baku. Oleh kerana PBS akan banyak melibatkan peranan guru, maka perlu dipastikan mereka
(guru-guru) mencapai tahap profesionalisme dan integriti yang setinggi-tingginya. Dengan
demikian penilaian mereka akan diterima umum sebagai penilaian yang berkredibiliti, berautoriti
dan tidak dipertikai.
Cadangan
• Untuk mempastikan pendidikan tidak akan kehilangan esensi hakikinya sebagai proses
pengutuhan manusia dan proses sosialisasi nilai Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu
difungsikan sepenuhnya sebagai landasan penggubalan kurikulum, proses pengajaran dan
pembelajaran, dan seluruh kegiatan persekolahan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu
dimartabatkan semula dan dihayati secara yang lebih bererti dalam penggubalan kurikulum dan
proses pengajaran dengan menekankan dimensi-dimensi penerapan nilai-nilai murni,
pengembangan potensi, kesepaduan, keseimbangan dan keharmonian.
• Pendidikan sebagai proses pembinaan generasi memang memerlukan masa yang panjang,
tidak boleh diringkas-ringkas atau disingkat-singkatkan. Kenyataannya hari ini "tidak cukup
masa" selalu dijadikan alasan untuk menjelaskan pelbagai kelemahan dan ketidakberkesanan
dalam pengajaran dan aspek-aspek pendidikan lainnya. Besar kemungkinan alasan tersebut
benar. Untuk mengatasinya kami sarankan agar kementerian mempertimbangkan semula
idea persekolahan satu sesi yang pada suatu ketika dahulu pernah dibincangkan. Persekolahan
satu sesi akan membolehkan penambahan masa untuk pengajaran dan pembelajaran, proses
pengukuhan dan interaksi guru-murid.
• Untuk menambah keberkesanan juga langkah segera perlu diambil untuk memperbaiki
kadar nisbah guru-murid. Jumlah murid yang terlalu ramai di bawah seorang guru seperti yang
berlaku ketika ini mengakibatkan kegagalan memberikan perhatian yang secukupnya kepada
murid-murid, dan seterusnya ini membawa pelbagai masalah yang sukar diatasi.
• Antara yang sangat memprihatinkan ketika ini ialah tahap penguasaan tulisan jawi dalam
sistem persekolahan kita. Kelemahan penguasaan tulisan jawi akan mengakibatkan
pendangkalan agama, di samping kehilangan khazanah persuratan warisan, ilmu
dan wisdom kepujanggaan bangsa yang bertulisan jawi. Kerana itu kami menyarankan agar di
samping meneruskan pengajaran jawi dalam subjek bahasa Melayu, tulisan jawi juga hendaklah
digunakan seluas mungkin dalam pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan Islam.
Pengajaran agama Islam menerusi tulisan rumi dikhuatiri akan mengakibatkan pendangkalan dan
penyimpangan. Yang jelas ia adalah suatu keganjilan yang sangat menyolok.
• Agama seharusnya dilihat sebagai sumber kekuatan dan faktor kunci survival umat. oleh
itu pendidikan keagamaan harus menekankan keberkesanannya dari segi pemberdayaan dan
impak transformatifnya terhadap murid. Sesuai dengan tuntutan zaman the age of
wisdom pendidikan Islam harus mengakar pada falsafah dan prinsip pendidikan berhikmah
sebagaimana yang terumus dalam pesan-pesan kependidikan Luqman al-Hakim.
Demikianlah pernyataan sikap dan catatan keprihatinan kami tentang beberapa aspek pendidikan
negara ketika ini. Semoga mendapat perhatian YAB Menteri. Terima kasih.
www.wadah.org.my/kenyataan-media/56-info-wadah.html - Cached
Muhammad Faisal Abd Aziz Muhd Razak
Idris Dato' Dr. Siddiq Fadzil
Presiden PKPIM Presiden ABIM
Presiden Wadah
www.belia.org.my/v2/index.php?...id...isu...upsr... - Cached
PENDIRIAN MAJLIS BELIA MALAYSIA
(MBM) BERHUBUNG ISU
PEMANSUHAN UPSR DAN PMR
TUESDAY, 17 AUGUST 2010 08:37 ADMINISTRATOR
Majlis Belia Malaysia (MBM) meminta supaya kerajaan mengkaji semula cadangan Kementerian Pelajaran untuk
memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mencetuskan pelbagai
reaksi dan emosi dalam masyarakat terutamanya warga pendidik.
MBM beranggapan Peperiksaan UPSR merupakan peperiksaan penting yang perlu diteruskan kerana ia dapat menilai
keupayaan murid sepanjang berada di sekolah rendah sebelum memasuki alam sekolah menengah. Peperiksaan awam secara
standard ini mampu memperlihatkan kualiti sebenar pengurusan akademik dan ko-akademik sekolah untuk diberi pengiktirafan
pihak kementerian. Peperiksaan UPSR perlu dibuat penambahbaikkan dari segi penilaian yang bersifat holistik dan tidak
berorientasikan peperiksaan semata-mata. Dengan ini, pelajar berpeluang memasuki sekolah berasrama penuh atau institusi
lain yang bersesuaian dengan kelulusan yang diiktiraf kualiti dan standardnya. Penilaian berasaskan sekolah perlu dimantapkan
dan apabila sistem pendidikan negara sudah bersedia menerima perubahan, maka ia perlu dibuat secara berperingkat dan
bukannya pemansuhan secara ’ad-hoc’ seperti ini kerana dikhuatiri perubahan drastik akan mengakibatkan lebih banyak
kepincangan pendidikan daripada manfaat yang bakal diperolehi. Bagi peperiksaan PMR pula, MBM menyokong agar ianya
dimansuhkan kerana tidak ada keperluan mendesak atau relevannya keputusan PMR itu diguna pakai dalam mana-mana urusan
yang melibatkan pencapaian murid. Walau bagaimanapun, proses pemulihan, penggayaan, disiplin dan kaunseling perlu diberi
penekanan dan ditingkatkan di peringkat pertengahan sekolah menengah sebelum pelajar menduduki peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM).
MBM melihat wujud kecenderungan kerajaan dalam membuat keputusan terhadap sistem pendidikan yang sering mengalami
perubahan mengikut dasar-dasar pendidikan yang digubal dan dilihat mampu memberi dan meningkatkan prestasi dan
keupayaan pelajar dalam pelbagai bidang. Antaranya PIPP (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan), Sekolah Berprestasi
Tinggi, NKRA yang mana kebanyakan dasar ini menjurus kepada usaha meningkatkan tahap keupayaan dan kecemerlangan
sekolah. Sekolah dinilai dari segi pencapaian akademik, kokurikulum, kebestarian dan juga aspek lain yang bersesuaian
mengikut piawai yang ditetapkan.
Selain perancangan yang mantap, Kementerian Pelajaran juga perlu memberi penekanan dan keutamaan kepada proses
pelaksanaan dan pemantauan agar segala dasar yang dirancang itu dapat meninggalkan kesan yang besar dan bermakna kepada
matlamat kecemerlangan institusi pendidikan itu sendiri. Oleh itu, dengan ruang dan masa yang cukup ia mampu mengatasi
permasalahan yang timbul akibat dari perlaksanaan tersebut yang melibatkan keperluan dana, kemudahan infrastruktur
pendidikan dan lainnya. Di samping itu, urusan pemantauan yang berkala dalam membantu proses penambahanbaikan harus
ditingkatkan.
MBM melihat dalam usaha kementerian mengurangkan kos akibat daripada kegawatan ekonomi masa kini, cadangan
memansuhkan peperiksaan bukanlah satu jalan terbaik kerana sistem peperiksaan UPSR sedia ada ini telahpun mempunyai
pengurusan peperiksaan yang berkualiti dan mantap.
Antara cadangan dalam usaha mengurangkan penggunaan kos kewangan Kementerian Pelajaran ialah dengan memansuhkan
bayaran elaun kepada guru-guru yang mengajar Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang dilihat kurang relevan
memandangkan mata pelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris akan ditukar semula ke dalam Bahasa Melayu.
Berlaku diskriminasi di mana guru-guru Bahasa Melayu juga dilihat berperanan penting dalam memastikan tahap pendidikan
di Malaysia juga mencapai standard yang ditetapkan tetapi tidak mendapat apa-apa imbuhan. Dengan itu, adalah wajar elaun
ini ditarik balik dan digunakan oleh kementerian dalam urusan meningkatkan kemudahan dan kebajikan pelajar secara
keseluruhan dan bukan mengikut kehendak atau keperluan golongan tertentu sahaja.
Kesimpulannya, setiap dasar yang digubal perlu dilaksanakan secara berperingkat dan keputusan sesuatu dasar yang baru harus
memikirkan tentang kemungkinan berlakunya pertindihan dan menjejaskan kelancaran perjalanan proses dasar sedia ada.
skkd.info/xoops/modules/news/article.php?storyid=876
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata format baru itu antara lain
merangkumi pengurangan peperiksaan, penilaian berterusan pada peringkat sekolah, taksiran
psikometrik dan taksiran peringkat pusat terhadap aktiviti sukan serta kokurikulum.
“Sistem yang digunakan dalam UPSR kini mungkin akan dihapus setengah atau kurikulumnya
dirombak, tetapi ia banyak bergantung kepada kemampuan guru membuat penilaian serta
taksiran pada peringkat sekolah.
“Matlamatnya ialah penerapan nilai asas di mana murid mulai sekolah rendah mesti kreatif,
aktif serta berpemikiran kritikal. Mereka juga perlu menguasai bahasa Inggeris dan bahasa
lain seperti Mandarin dan Arab.
“Aktiviti luar seperti kokurikulum, sukan dan disiplin akan diserapkan daripada awal sebelum
memasuki sekolah menengah kerana apabila dewasa, kita tak mahu mereka lemah dan
akhirnya jadi graduan menganggur,” katanya.
Bercakap selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Tanah Merah di sini,
semalam, Hishammuddin berkata, jika cadangan itu dilaksanakan, format UPSR yang
berasaskan peperiksaan sejak 20 tahun lalu, akan berubah.
Beliau berkata, kajian mengenai cadangan itu dibuat sejak dua tahun lalu dan kini
diperluaskan bagi dilaksanakan menjelang 2010, sebaik tempoh pelaksanaan Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP) berakhir.
Hishammuddin berkata, kajian terperinci format itu dilakukan Bahagian Pendidikan Guru dan
Pusat Pembangunan Kokurikulum di kementeriannya yang menilai kemampuan guru
melaksanakannya serta tahap penerimaan murid.
“Saya harap, perubahan itu dilakukan menjelang 2010 iaitu sehingga tempoh pelaksanaan
PIPP dan kita mahu perubahan semua aspek termasuk persediaan guru, peperiksaan dan
kokurikulum dalam usaha melakukan reformasi pendidikan negara,” katanya.
Difahamkan, format baru itu akan dilaksanakan menerusi projek perintis membabitkan
beberapa sekolah kluster dan terpilih mulai tahun depan, sebelum diperluaskan kepada lebih
7,000 sekolah rendah seluruh negara.
Penilaian berterusan akan dibuat sepenuhnya oleh guru terhadap murid sebaik memasuki
Tahun Satu hingga Enam berdasarkan panduan piawaian yang ditetapkan Lembaga
Peperiksaan Malaysia (LPM).
Berdasarkan format baru itu, murid yang tidak menghadiri peperiksaan kerana sakit, tetap
diberi markah berdasarkan penilaian guru dan prestasi sepanjang persekolahan."