Professional Documents
Culture Documents
Perdana Menteri
mengumumkan pra sekolah akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.
Langkah ini katanya bagi mencapai matlamat agar sekurang-kurangnya 80 peratus kanak-kanak mendapat akses
kepada pendidikan pra sekolah menjelang tahun 2012 berbanding 60 peratus sahaja buat masa ini.
Selain itu Perdana Menteri turut memberikan jaminan jaminan melalui NKRA pendidikan ini, bagi kanak-kanak yang
normal, mereka akan boleh membaca, menulis dan mengira apabila memasuki Tahun 4 sebelum hujung 2012.
Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan, Najib turut menawarkan ‘new deal’ kepada semua pengetua
atau guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.
Dalam meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan pula, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberi
keutamaan untuk menyediakan pendidikan terbaik bermula daripada peringkat asas, iaitu peringkat prasekolah.
Untuk itu, katanya, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran
perdana.
"Suka atau tidak, adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah dan masih tidak menguasai
kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian.
"Maka, bagi menangani kemelut ini, saya telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh
menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012,"
kata Najib.
Beliau berkata kerajaan juga akan menawarkan satu ganjaran atau satu Bai'ah baru kepada semua pengetua dan guru besar
sekolah rendah dan menengah dengan memberi ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.
Selain itu sebagai projek perintis, 100 sekolah jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, sekolah berpiagam dan sekolah
berasrama penuh, akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah
Berprestasi Tinggi.
"Dengan ini kita akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama
antara sektor awam dan swasta bagi memacu lagi pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh tiga
tahun sebelum penamat 2012," katanya.
Najib juga mengumumkan bahawa bermula Januari 2010, semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada setiap 1
haribulan bagi bulan berkenaan di bawah NKRA meningkatkan taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah.
Kerajaan juga telah menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan dalam kalangan wanita kepada seramai 4,000
orang menjelang 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia.
Sehingga Jun 2009, seramai 717 wanita telah dikenal pasti berpotensi untuk dibimbing menjadi usahawan dalam program itu,
katanya.
1Malaysia diwujudkan dengan tujuan untuk menyediakan satu forum yang bebas dan terbuka bagi membincangkan tentang
perkara yang benar-benar dekat di hati kita sebagai satu bangsa. Ia menyediakan peluang untuk meluahkan dan menerokai
kepelbagaian perspektif masyarakat kita. Apa yang menjadikan Malaysia unik adalah kepelbagaian rakyat kita. Matlamat
1Malaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian ini yang selama ini menjadi kekuatan
kita dan akan kekal sebagai bekalan terbaik kita untuk masa hadapan. Saya berharap agar laman web ini akan menjadi permulaan
kepada satu dialog yang penting dan terbuka bagi menerokai identiti, tujuan dan hala tuju kita sebagai rakyat Malaysia. Saya
menggalakkan setiap orang daripada anda menyertai saya dalam memberikan takrifan kepada Malaysia kita dan peranan yang
perlu kita mainkan untuk masa hadapannya. Setiap kita – di sebalik segala perbezaan kita – berkongsi impian untuk satu masa
hadapan yang lebih baik. Setiap kita mahukan peluang, dihormati, persahabatan dan saling memahami.
PENGENALAN
Yayasan 1Malaysia (Y1M) adalah sebuah yayasan bebas, bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan khusus untuk
membangun, menyokong dan menerajui kegiatan dan program yang akan melibatkan semua rakyat Malaysia dalam usaha ke
arah mencapai perpaduan nasional dan konsep 1Malaysia.
Yayasan ini ditubuhkan oleh sekumpulan rakyat Malaysia yang sealiran berminat untuk melihat konsep 1Malaysia, yang
dipandu oleh Perlembagaan Persekutuan menjadi tunjang kepada kehidupan semua rakyat Malaysia.
Guru Cemerlang
“Guru Cemerlang ialah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran
khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Guru Cemerlang juga sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam
melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan.” - Buku Terma Rujukan konsep Guru Cemerlang
Jawatan-jawatan yang dinyatakan tadi merupakan antara jawatan yang tertinggi dalam bidang perguruan. Kenaikan pangkat
dalam bidang perguruan cenderung untuk menjauhkan guru daripada melibatkan diri dalam pengajaran di bilik darjah.
Secara tidak langsung, bidang perguruan kehilangan guru-guru yang pakar dan berdedikasi dalam bidang masing-masing apabila
mereka dinaikkan pangkat.
Menyedari hakikat tersebut, kenaikan pangkat Guru Cemerlang diperkenalkan mulai 1993 sebagai peluang kenaikan pangkat
yang lebih baik bagi guru gemilang yang tidak meninggalkan bilik darjah.
Kementerian Pelajaran akan Menamatkan Kurikulum KBSR dan KBSM yang Ada Sekarang
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan memperkenalkan "Kurikulum Transformasi" bagi menggantikan Kurikulum Baru
Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang digunakan sekarang. Kenyataan itu
disampaikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimudddin, kepada para penerbit buku pada suatu majlis taklimat baru-
baru ini.
Perbezaan yang paling besar antara KBSR & KBSM dengan Kurikulum Transformasi adalah pada isu peperiksaan. Dalam
Kurikulum Transformasi, tekanan pada peperiksaan akan dikurangkan. Ini bermakna, bagi para penerbit, apabila Kurikulum
Transformasi dilaksanakan, mereka akan kehilangan bisnes menerbitkan buku-buku teks dan buku-buku ulangkaji peperiksaan.
Sebaliknya, permintaan bagi buku-buku pengkayaan pelbagai subjek akan meningkat. Maksudnya, sekolah akan memerlukan
buku-buku sains, matematik dan lain-lain, yang ditulis bukan sebagai buku teks, tetapi sebagai buku rujukan, buku bacaan umum
dan juga dalam bentuk buku-buku cerita.
Kelas 2020: Sekolah lemah dipantau
KERAJAAN akan membantu sekolah yang kurang berdaya maju untuk melaksanakan impian kelas 2020, melalui program
penambahbaikan pencapaian sekolah, dengan fokus memperbaiki pencapaian pelajar, dan menjadikan semua sekolah berprestasi
tinggi menjelang tarikh keramat itu.
Bagaimanapun, sekolah yang telah menjalankan program penambahbaikan diminta meneruskan inisiatif mereka. Dalam kes ini,
program penambahbaikan sekolah akan membantu memudahkan program sedia ada oleh pihak sekolah.
Ke arah itu, satu sistem pengumpulan data berpusat dan mekanisme bantu kendiri akan diperkenalkan bagi membolehkan guru
menjejak dan mencapai maklumat tentang pencapaian sekolah masing-masing, dan apakah langkah yang boleh dilakukan untuk
menambah baik.
Program itu yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan menangani isu kritikal tenaga kerja yang mampu berdaya saing -
khususnya dalam mengejar impian menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Program penambahbaikan sekolah ini akan menjadi asas kepada usaha untuk semua sekolah mencapai standard sekolah
berprestasi tinggi.
Semua pengetua dan guru besar akan diberi kuasa autonomi untuk mengurus tadbir sekolah, mengurus sumber yang sedia ada
dan menghasilkan pelajar seperti mana yang diharapkan.
Program penambahbaikan sekolah terdiri daripada tiga elemen, yang akan dilaksanakan mengikut urutan berikut:
1. Pengkelompokan - Sekolah akan diberi penarafan mengikut kelompok pencapaian. Antaranya mengikut Piawaian Gred Purata
Sekolah (GPS) dan Piawaian Kualiti Pendidikan Malaysia (SQEM). Status ranking ini akan dimaklumkan kepada sekolah pada
setiap tahun.
2. Perkakasan penambahbaikan sekolah - Data keperluan khusus sesebuah sekolah akan dikumpul, membantu pentadbir sekolah
membuat keutamaan dan perancangan, dan memudah cara; diskusi berterusan antara pihak sekolah dengan Jabatan Pelajaran
Negeri.
3. Talian khidmat - Mengenal pasti ruang yang perlu diperakui berdasarkan bukti yang telah dikumpulkan, akan disalurkan dari
Kementerian Pelajaran kepada sekolah, dengan sasarannya ialah para pengetua, pelajar dan ibu bapa - selain infrastruktur.
Sementara program sekolah berprestasi tinggi bertujuan meletakkan tahap sekolah pada satu kedudukan yang cemerlang,
program penambahbaikan sekolah ini pula bertujuan meningkatkan mutu semua sekolah, serta menghubungkan segala inisiatif
yang ada di KPM, seperti inisiatif baru kepada pentadbiran sekolah, program literasi dan numerasi (LINUS) serta transformasi
kurikulum.
Program penambahbaikan sekolah lebih bersifat berpusatkan sekolah. Hal ini bagi membolehkan pengetua atau guru besar
memiliki kuasa autonomi untuk melaksanakan program penambahbaikan - sama ada berkaitan hal pentadbiran sekolah atau
penambahbaikan program keguruan masing-masing.
Program kali ini bukan lagi berfokus kepada kawasan atau sekolah tertentu. Program ini akan meliputi 10,000 buah sekolah di
seluruh negara.
Pengenalan kepada inisiatif pengkelompokan sekolah adalah sebahagian daripada kelancaran program inisiatif dan tawaran baru
kepada pengetua dan guru besar, dengan mutu perkhidmatan mereka menjadi pertaruhan.
Di bawah program penambahbaikan sekolah, pengkelompokan memberi gambaran kepada pencapaian sesebuah sekolah dan
memudahkan untuk dibantu.
Kerajaan kini menggalakkan Sekolah Berasrama 1Malaysia dengan menjadikan sekolah berasrama semasa lebih berciri pelbagai
kaum dalam komposisi pelajar dan menubuhkan sekolah asrama berkualiti tinggi yang terbuka kepada semua.
Selain itu, dokumen Program Transformasi Kerajaan juga mahu institusi latihan perguruan menyediakan guru yang mempunyai
pengetahuan, daya kesedaran dan kemahiran yang menjadikan mereka sensitif terhadap latar belakang pelajar yang berbeza-beza
dan menangani perhubungan antara kaum dalam kaedah yang positif dan proaktif.
FORMULA 10 + 2
BILANGAN MATA PELAJARAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
1. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Jun 2009 telah membuat keputusan bahawa mulai tahun 2010 calon yang menduduki
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihadkan untuk mengambil maksimum 10 mata pelajaran kecuali murid-murid
aliran agama sains yang boleh mengambil 11 mata pelajaran sehingga tahun 2010 sahaja.
2. Kerajaan telah menerima pandangan pelbagai pihak yang mendakwa keputusan itu menyebabkan murid Cina dan murid
India terhalang daripada mengambil mata pelajaran Bahasa Cina atau Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Cina atau Kesusasteraan
Tamil.
3. Sukacita saya maklumkan bahawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Disember 2009, kerajaan telah bersetuju
menerima rayuan pelbagai pihak agar murid dibenarkan mengambil dua lagi mata pelajaran tambahan dalam peperiksaan SPM
mulai tahun peperiksaan 2010. Dua mata pelajaran tambahan tersebut adalah Bahasa Cina atau Bahasa Tamil DAN
Kesusasteraan Cina atau Kesusasteraan Tamil. Sehubungan dengan keputusan ini, murid juga dibenarkan mengambil Bahasa
Arab sebagai salah satu mata pelajaran tambahan.
4. Formula 10 + 2 ini bermaksud dasar mengehadkan 10 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM yang diputuskan terdahulu,
adalah kekal tetapi kelonggaran diberi kepada murid untuk mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan
seperti dinyatakan di atas sahaja. Kelonggaran ini boleh diguna pakai untuk semua murid di semua aliran. Syarat-syarat lain
pengambilan mata pelajaran dalam peperiksaan SPM, termasuk syarat mata pelajaran teras dan mata pelajaran elektif
sedia ada, juga kekal.
5. Selain maksud yang dinyatakan dalam perenggan 4 di atas, Formula 10 + 2 diterima oleh kerajaan dengan syarat-syarat
berikut:
(i) mata pelajaran tambahan yang dinyatakan di atas akan hanya diambil kira dalam penganugerahan Biasiswa Nasional Tajaan
Kerajaan sekiranya ianya termasuk dalam 10 matapelajaran maksimum yang diambil oleh murid.
(ii) mata pelajaran tambahan yang dinyatakan di atas akan hanya diambil kira dalam pengiraan mata, bagi tujuan kemasukan ke
kursus-kursus Pengajian Bahasa Tamil atau Bahasa Cina atau Bahasa Arab atau kursus-kursus berkaitan di IPTA.
(iii) kedua-dua mata pelajaran tambahan itu boleh digunakan bagi menyertai latihan perguruan untuk menjadi guru bahasa Cina atau
bahasa Tamil atau bahasa Arab.
(iv) keputusan dalam peperiksaan SPM bagi kedua-dua mata pelajaran tambahan itu akan dicatatkan di atas sijil SPM yang sama.
6. Dengan formula 10 + 2 ini, tidak timbul lagi masalah murid yang tidak dibenarkan mengambil mata pelajaran Bahasa Cina,
Bahasa Tamil, Kesusasteraan Cina dan Kesusasteraan Tamil. Mereka boleh mengambil mana-mana satu atau dua mata pelajaran
tambahan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan di atas.
7. Murid aliran agama sains juga boleh mengambil mana-mana 10 mata pelajaran dan satu mata pelajaran tambahan iaitu
Bahasa Arab (lihat lampiran) walaupun selepas 2010. Kumpulan yang mewakili sekolah agama dalam beberapa pertemuan
dengan KPM menyatakan 11 mata pelajaran telah mencukupi.
8. Keputusan kerajaan membenarkan dua mata pelajaran tambahan dalam peperiksaan SPM ini adalah selaras dengan
peruntukan Akta Pendidikan 1996 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin bin Hj. Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU,
MEMANTAPKAN BAHASA INGGERIS:
TAWARAN BARU SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA
8 JULAI 2009
Kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan
Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.
Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai
pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada
tahun 2003.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran ingin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah
kebangsaan akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia.
Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam
bahasa ibunda masing-masing.
Keputusan Kabinet untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan mula berkuatkuasa pada tahun 2012.
Pelaksanaan akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan
Tingkatan Empat di sekolah menengah bermula pada tahun 2012. Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan
Enam dan Matrikulasi.
Untuk memastikan pelaksanaan ini tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran
Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran ini akan
dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada tahun 2014.
Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang
menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan.
Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, iaitu guru-guru mengajar pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi bahasa, iaitu
bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Pemantauan Kementerian Pelajaran pada tahun 2008 mendapati:
Hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik.
Secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53–58 peratus daripada keseluruhan masa yang
diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
Hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap
Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun 2008 mencapai tahap profisiensi.
Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR) 2008 telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus
kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot
daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus
kepada 77 peratus.
Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar
semasa PPSMI dilaksanakan.
Selain daripada pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study
2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003
ke tangga ke-21 pada tahun 2007. Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-
10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007.
Kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu
tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. Tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar
bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.
Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh
murid, iaitu bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil SJK(T).
Kerajaan juga telah memutuskan agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat
persekolahan dimantapkan.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan langkah-langkah berikut untuk memantapkan penguasaan bahasa
Inggeris di kalangan murid.
Menambah bilangan guru bahasa Inggeris seramai 13,933 orang untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di
kalangan murid. Ini termasuklah 1000 orang guru luar negara, 600 orang guru bersara dan 12,333 guru tambahan
daripada IPGM, IPTA dan IPTS. Keutamaan akan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman untuk
mendapatkan guru terbaik. Pihak Kementerian juga akan menyediakan guru penolong bahasa Inggeris gred DG 41 bagi
kelas besar seperti kelas yang melebihi 35 murid di Tahun Satu dan Dua untuk meningkatkan ”contact time” antara
guru dan murid.
Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SK Tahap I ditambah sebanyak 90 minit daripada 240 minit menjadi 330 minit
seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 90 minit daripada 210 minit menjadi 300 minit seminggu.
Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SJKC/T Tahap I ditambah seratus peratus iaitu daripada 60 minit menjadi 120
minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 30 minit daripada 90 minit menjadi 120 minit seminggu.
Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Tingkatan Satu hingga Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 200 minit
menjadi 280 minit seminggu.
Peruntukan waktu bagi MUET untuk Tingkatan Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 320 minit menjadi 400
minit seminggu.
Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Matrikulasi ditambah seratus peratus iaitu daripada 3 jam menjadi 6 jam
seminggu.
Program Sastera Kontemporari Kanak-Kanak Bahasa Inggeris diperkenalkan kepada semua murid Tahap II untuk
mengukuhkan minat membaca di kalangan murid di samping memperkenalkan unsur-unsur sastera.
Makmal bahasa Inggeris akan diwujudkan di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa Inggeris
dengan lebih berkesan.
Teknologi maklumat akan dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan
perisian komputer yang sesuai.
Pelajaran tatabahasa Inggeris akan diberikan penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI.
Untuk mendedahkan murid dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, elemen sains dan teknologi
akan diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.
Selaras dengan hasrat untuk memartabatkan Bahasa Malaysia, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi
kurikulum Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran
berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik. Modul yang disediakan
meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Pendekatan
didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum BM sekolah rendah.
Di peringkat sekolah menengah, transformasi kurikulum Bahasa Malaysia akan memberikan penekanan kepada penghayatan dan
apresiasi aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta
penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Penekanan terhadap aspek Kesusasteraan Melayu bertujuan untuk memperkayakan
aspek kebahasaan di samping menonjolkan aspek pemikiran, nilai, budaya masyarakat Malaysia.
Dengan keputusan ini, kerajaan menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa
Malaysia. Kerajaan percaya bahawa dengan pendekatan baru ini kita akan dapat memartabatkan Bahasa Malaysia, memantapkan
penguasaan Bahasa Inggeris dan meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai ilmu sains dan teknologi yang amat penting
untuk masa depan negara.