You are on page 1of 19

Pendahuluan

Ahli-ahli fiqh mendahulukan perbincangan mengenai taharah sebelum dari perbincangan


mengenai sembahyang. Alasannya, taharah ialah anak kunci dan syarat sah sembahyang.
Syarat mestilah didahulukan dari mashrut (perkara yang perlu kepada syarat). Nabi
Muhammad s.a.w. bersabda maksudnya:
Anak kunci sembahyang ialah suci (tuhur), yang mengharamkan pelakuan yang
dihalalkan sebelum sembahyang ialah takbiratul-ihram dan yang menghalalkan
perkara yang diharamkan di dalam sembahyang ialah salam
.
Sabda Baginda juga bermaksud: Suci adalah sebahagian daripada iman. Antara topik
perbincangan dalam bab toharah ialah tayammum yang akan dibincangkan dalam
beberapa kriteria untuk memenuhi tugasan yang telah diberikan.

Definisi Tayammum

Bahasa

Tayammum dari segi bahasa ialah ‫( القصد‬sengaja). (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984: 560)
Pengertian ini diambil dari firman Allah S.W.T: (Al-Baqarah: 267) maksudnya:

" Dan janganlah kamu 'sengaja' memilih buruk daripadanya, lalu kamu dermakan
atau kamu jadikan pemberian zakat. "

Dengan pengertian ini juga, penyair berkata maksudnya:

" Aku 'menyengaja' kepada kamu jika tidak aku dapati orang yang mempunyai akal
fikiran. Dan barangsiapa tidak mendapati air bertayammumlah dengan tanah."

Istilah

Manakala dari segi istilah Syara', tayammum bermaksud 'menyengaja' atau menghendaki
pada tanah untuk menyapu muka dan dua tangan dengan niat yang mengharuskan solat.
(Al-Syeikh Hassan Ayub. 1422H/2002 : 61) Di dalam Kamus Istilah Fiqh pula
mendefinisikan tayammum iaitu menyapukan debu atau tanah ke wajah dan kedua tangan
hingga kedua siku dengan beberapa syarat, yang berfungsi sebagai pengganti wudhuk
atau mandi sebagai rukhsah (kemudahan) bagi mereka yang berhalangan atau tidak dapat
menggunakan air. (M. Abd. Mujieb, Mabruri Tholhah, Syafi'iyah Am. 1997: 382-383)

Tayammum dari segi istilah Syara' juga telah diberikan pelbagai pentakrifan oleh para
Fuqaha' dengan istilah yang seakan-akan hampir maksudnya. Imam Hanafi mentakrifkan
tayammum iaitu menyapu muka dan kedua-dua tangan dengan tanah yang bersih. Berkata
Imam Malik pula tayammum bererti bersuci menggunakan tanah atau debu yang meliputi
dengan menyapu muka dan kedua-dua tangan dengan niat. Manakala Imam Syafi'e pula
mentakrifkan tayammum iaitu menyampaikan atau menyapukan tanah kepada muka dan
dua tangan sebagai ganti kepada wudu' atau mandi janabah atau seumpamanya dengan
syarat-syarat yang tertentu. Mengikut pendapat Abu Hanifah pula tayammum ialah
menyapu muka dan dua tangan dengan tanah yang bersih di atas jalan yang tertentu.
(Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984 : 560-561)

Dalam terminologi fiqh tayammum diertikan dengan menyampaikan tanah ke muka dan
dua tangan sebagai ganti daripada wudhu dan mandi dengan syarat-syarat yang tertentu.
Tayammum merupakan spesifik umat Islam yang disyari'atkan pada peperangan Bani
Mustaliq tahun keenam hijrah. Ketika itu Aisyah kehilangan kalungnya, lalu Rasulullah
S.A.W mengutus orang mencarinya, kemudian waktu solat datang sedangkan air tidak
ada, maka turunlah ayat tayammum. (Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung.
1999: 79) Ini berdasarkan hadis: (Riwayat al-Bukhari, (b) 332: 200) maksudnya:

" Dari Aisyah bahawasanya ia meminjam kalung dari Asma', lalu kalung itu hilang.
Kemudian Rasulullah S.A.W mengutus seseorang (untuk mencarinya), akhirnya
kalung tadi dapat ditemukan. Lalu waktu solat tiba dan tidak ada air di sana. Mereka
solat (tanpa wudu') dan memberitahukan kepada Rasulullah S.A.W. Maka Allah
menurunkan ayat-ayat tayammum". Usaid bin Hudhair berkata kepada Aisyah:
" Semoga Allah melimpahkan pahala kebaikan bagimu. Demi Allah, apabila sesuatu
hal terjadi padamu padahal engkau tidak menyukainya, Allah menjadikan hal itu
mengandung kebaikan bagimu dan bagimu kaum muslimin."
Sejarah Pensyariatan Tayammum

Tayammum disyari'atkan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah serta Ijma'. Firman Allah
S.W.T: (An-Nisa': 43) Maksudnya:

" Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang dari tempat buang air
atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka
bertayammumlah kamu dengan tanah yang baik (suci): Sapulah mukamu dan
tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun."

Berdasarkan hadis Abu 'Umamah al-Bahili, bahawa Nabi S.A.W bersabda: (Riwayat
Ahmad, (b) 22133: 313) Maksudnya:

"Seluruh bumi dijadikan bagiku dan bagi umatku sebagai masjid dan alat bersuci.
Maka di mana pun seseorang dari umatku harus mengerjakan solat, di situ pulalah
terdapat alat untuk bersuci."

Dari 'Imran Ibn Hussain r.a berkata: (Riwayat al-Bukhari, (b) 348: 161-162) maksudnya:

" Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah melihat seorang lelaki mengasingkan diri,
tidak bersembahyang bersama dengan satu kaum. Melihat itu, Rasulullah S.A.W
bertanya: 'Wahai fulan apakah yang menghalang kamu bersembahyang bersama-
sama dengan kaum itu?' Orang itu menjawab: 'Saya sedang janabah dan tidak
mendapat air'. Mendengar perkara itu, Rasulullah S.A.W. bersabda: 'Gunakanlah
tanah (bertayammum); sesungguhnya itu adalah cukup bagi engkau."

Manakala dalil Ijma' pula mengharuskan tayammum berdasarkan kesepakatan seluruh


umat Islam (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984 : 562)

Ibadat yang harus dikerjakan dengan bertayammum

Bersuci dengan bertayammum mengharuskan baginya tiga martabat ibadah yang berikut:

 Solat-solat fardhu dan tawaf fardhu serta khutbah solat jumaat.


 Solat-solat sunat dan tawaf sunat serta solat jenazah.

 Sujud Tilawah dan sujud Syukur, menyentuh musyhaf dan membaca


al-Quran bagi orang berjunub.

Maka sesiapa yang berniat salah satu daripada martabat yang pertama, harus baginya
mengerjakan ibadat yang satu itu dan harus juga baginya mengerjakan semua ibadat
dalam martabat yang kedua dan ketiga. Sesiapa yang berniat salah satu ibadat daripada
martabat yang kedua, harus baginya mengerjakan semua martabat itu dan semua ibadat
martabat ketiga tetapi tidak diharuskan samasekali baginya mengerjakan daripada
martabat yang pertama. Manakala sesiapa yang berniat untuk salah satu ibadat martabat
ketiga, harus untuknya mengerjakan semua ibadat dalam martabat ketiga tetapi tidak
harus samasekali mengerjakan ibadat dalam martabat kedua dan ketiga. (Al-Syeikh, Dr.
Abd. Fattah Hussin. 1411H/1991: 229)

Hadas yang dibolehkan bertayammum

Diharuskan bertayammum sebagai ganti wudu' bagi seseorang yang berhadas kecil,
mandi junub bagi seseorang yang berhadas besar samada disebabkan janabah, haid dan
nifas atau ketika ketiadaan air serta tidak mampu menggunakan air dengan apa jua sebab
sekalipun. Ini berpandukan kepada dalil-dalil al-Quran dan juga Hadis Nabi S.A.W
sepertimana berikut:

 Bertayammum Daripada Hadas Kecil

Firman Allah S.W.T: (Al-Maidah: 6) maksudnya:

" Jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau sudah buang air atau kamu menyentuh
perempuan, kemudian kamu tiada memperoleh air, maka bertayammumlah dengan
tanah yang suci, maka sapulah mukamu dan kedua belah tanganmu dengan tanah
itu."

Abu Sa'id al-Khudri r.a berkata: (Riwayat Abu Daud, (b) 338: 241) maksudnya:

" Dua orang lelaki telah keluar untuk bermusafir, kebetulan ketika datangnya waktu
sembahyang mereka tidak mendapati air, lalu bertayammumlah kedua-duanya dengan
tanah yang baik dan bersembahyang. Kemudian kedua-duanya mendapati air,
sedangkan waktu belum habis. Maka salah seorang mereka telah mengulangi
sembahyangnya dan seorang lagi tidak mengulangi. Kemudian mereka berjumpa
Rasulullah S.A.W. lalu menerangkan keadaan yang demikian. Setelah itu Rasul
bertanya kepada yang tidak mengulangi sembahyangnya: ' Pekerjaan engkau sesuai
dengan Sunnah dan sembahyang engkau mencukupi'. Kepada yang berwudhu dan
mengulangi pula baginda berkata: ' Engkau memperoleh dua pahala'."
 Bertayammum Daripada Hadas Besar

Firman Allah S.W.T dalam surah an-Nisa': (An-Nisa': 43) maksudnya:

" Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengerjakan sembahyang


ketika kamu sedang mabuk, kecuali jika kamu telah mengetahui apa-apa yang kamu
katakan dan jangan pula sedang junub (sudah bercampur dengan isterimu), kecuali
melalui jalan (tempat sembahyang), sehingga kamu mandi lebih dahulu. Kalau kamu
sakit atau dalam perjalanan atau datang salah seorang diantara kamu dari tempat
buang air atau kamu menyentuh perempuan, sedang kamu tidak memperoleh air,
maka hendaklah kamu bertayammum…"

Kemudian, dalil hadis tentang janabah: (Riwayat al-Bukhari, (b) 344: 210) maksudnya:

" Dari 'Imran bin Hussain al-Khuza'iy bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W.
melihat seorang lelaki yang menyendiri, sedang dia sendiri tidak ikut mengerjakan
solat bersama-sama satu kaum. Baginda bertanya kepadanya: 'Apakah yang
menghalangi kamu untuk ikut bersembahyang bersama-sama kaum itu?' Kemudian
orang tadi menjawab: ' Wahai Rasulullah, saya sedang junub dan tidak ada air.'
Baginda lalu bersabda: " Lakukanlah tayammum dengan tanah yang bersih dan itu
sudah cukup bagimu. "
Rukun-Rukun Tayammum

1. Niat:

Rukun-rukun tayammum yang pertama ialah niat. Sabda Rasulullah S.A.W melalui hadis
yang sahih: (Riwayat al-Bukhari, (b) 1: 1) maksudnya:

" Sesungguhnya setiap amal atau ibadat itu hendaklah dikerjakan dengan niat".

Tayammum termasuk dalam kategori amal ibadat sebagaimana solat dan wudu' juga, iaitu
wajib dikerjakan dengan berniat. Berniat untuk bertayammum merupakan rukun
mengikut kesepakatan Ulama' yang empat, manakala menurut golongan Hanafiyyah dan
sebahagian Hanabilah, ianya merupakan syarat. (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984 : 582)
Beza antara syarat dan rukun ialah syarat itu mendahului perbuatan dengan jarak waktu
yang sedikit, sedangkan rukun tidak sah dilakukan sebelum sesuatu perbuatan tetapi ia
termasuk perbuatan itu sendiri. (Ar-Rahbawi, 'Abdul Qadir. 1994: 134) Ini bermakna,
seseorang yang hendak tayammum itu wajib berniat untuk membolehkan solat, dan tidak
memadai berniat melenyapkan hadas, kerana hadas seseorang tersebut tidak terangkat
kerana tayammum.

Ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W. kepada 'Amru bin al-'Ash yang sedang berjunub,
kerana 'Amru bin al-'Ash bertayammum dan solat bersama-sama sahabatnya, lalu Nabi
S.A.W. bertanya: (Riwayat Abu Daud, (b) 334: 238 ) maksudnya:

" Wahai 'Amru, Kenapakah engkau solat bersama-sama para sahabat engkau,
padahal engkau sedang berjunub?"

Dan hadis sebagaimana yang di kemukakan dari pendapat Malikiyyah dan Syafi'iyyah:
(Riwayat Abu Daud, (b) 314: 206-207) maksudnya:

"Wahai Abu Zarr, sesungguhnya tanah yang baik adalah suci selama tidak ada air,
sekalipun dengan sepuluh tahun. Apabila engkau mendapati air maka sentuhkanlah
air itu ke kulit engkau. Sesungguhnya hal itu lebih baik bagi engkau".
Kesimpulan yang dapat diambil dari hadis Nabi S.A.W tersebut memberi fahaman yang
jelas bahawa tayammum itu hanya untuk membolehkan solat, bukan untuk melenyapkan
hadas. Oleh itu dalam masalah ini, jika seseorang tersebut tayammum berniat untuk
membolehkan solat maka termasuk di bawah niatnya itu empat ahwal (kelakuan):

i. Berniat untuk membolehkan solat fardhu dan solat sunat kedua-duanya sekali. Maka
boleh ke atas seseorang mengerjakan kedua-dua solat tersebut (solat fardhu dan solat
sunat). Dan boleh juga bagi orang solat sunat sebelum solat fardhu dan sesudahnya di
dalam waktu dan di luarnya.

ii. Berniat untuk membolehkan solat fardhu, samada solat lima waktu atau solat nazar.
Maka boleh mereka menunaikan solat-solat fardhu tersebut, kerana mereka berniat
dengan niat fardhu. Dalam masalah ini pendapat yang kuat boleh juga mereka
menunaikan solat sunat sebelum solat fardhu atau sesudahnya, kerana hal-hal yang sunat
mengikut perkara yang fardhu.

iii. Berniat hanya untuk membolehkan solat sunat, tidak berniat untuk membolehkan solat
fardhu. Dalam masalah ini, pendapat yang kuat tidak boleh tayammum tersebut
digunakan untuk solat fardhu, kerana niat sunat itu tidak termasuk di dalam niat fardhu.
Contohnya, jika seseorang itu berniat untuk memegang musyhaf, atau orang junub
berniat untuk i'tikaf, maka hukumnya sama dengan niat sunat dan tidak boleh
mengerjakan fardhu menurut mazhab yang kuat. (Al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abu
Bakar b. Muhammad. 1414H/1993: 123)

iv. Berniat untuk membolehkan solat sahaja, tanpa menentukan solat sunat atau
sembahyang fardhu. Mereka yang berniat seperti itu sebagai orang yang berniat untuk
membolehkan solat sunat. Maka dalam masalah ini, tidak boleh digunakan tayammum itu
untuk solat fardhu, tetapi hanya boleh tayammum tersebut untuk solat sunat sahaja.(Abu
Muhammad. t.th: 187)
2. Menyapu ke muka dan dua tangan:

Para pakar fiqh sepakat menetapkan menyapu muka dan tangan sebagai rukun
tayammum, berdasarkan firman Allah: (Al-Maidah: 6) Maksudnya:

" Maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (suci), sapulah mukamu dan
tanganmu dengan tanah itu".

Kesimpulan yang dapat diambil dari ayat tersebut memberi fahaman yang jelas, iaitu
seseorang yang bertayammum wajib meratakan muka dan kedua-dua tangan mereka
dengan tanah yang berdebu hingga sampai ke siku sebagaimana orang yang berwudu'
wajib meratakan muka dan tangan mereka dengan air hingga sampai ke siku. (Abu
Muhammad. t.th: 188)

3. Tertib (berurutan):

Menertibkan fardhu atau rukun adalah wajib menurut golongan Syafi'iyyah dan
Hanabilah. Jadi wajib mendahulukan muka daripada kedua tangan. Namun, golongan
Hanabilah mengkhaskan tertib pada hadas kecil. Sedangkan pada hadas besar tidak
diperlukan tertib. Kewajipan tertib pada tayammum untuk hadas kecil dilakukan
berdasarkan taharah dengan air (wudu'). Bilamana pada wudu' ditertibkan, maka
demikian juga halnya pada tayammum. Golongan Hanafiyyah dan Malikiyyah
menertibkan rukun, dalam hal ini muka dan kedua tangan, hukumnya sunat. (Dr. A.
Rahman Ringota, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 87)
Perkara-Perkara Yang Mengharuskan Tayammum

Para pakar fiqh telah menetapkan beberapa keadaan yang menyebabkan seseorang boleh
bertayammum sebagai berikut:

 Ketiadaan air

Para Fuqaha' menetapkan ketiadaan air sebagai salah satu penyebab diharuskan
bertayammum. Hal ini ditetapkan berdasarkan firman Allah: (An-Nisa': 43)
Maksudnya:" …lalu tidak kamu peroleh air, maka bertayammumlah dengan tanah
yang baik (suci)".

Ketiadaan air hendaklah dikira setelah dilakukan pencarian dan menyakini tiadanya air
yang membolehkannya untuk bertayammum. Selain itu, termasuk juga ke dalam
pengertian ini ada air dalam jumlah yang sedikit yang tidak cukup untuk wudu' atau
mandi, dan ada air tetapi harganya melebihi harga pasaran sehingga sulit membelinya.
Termasuk juga, adanya air tetapi berada di tempat yang cukup jauh dan untuk mencarinya
mengalami kesulitan.

Menurut Imam Syafi'ie air yang sedikit yang tidak memadai untuk berwudu' atau mandi
wajib dipergunakan untuk berwudu' atau mandi, kemudian diiringi dengan tayammum
pada bahagian anggota wudu' atau badan yang belum terkena air. Abu Hurairah r.a
berkata, bersabda Rasulullah S.A.W: (Riwayat Muslim (b) 6113: 1035-1036
maksudnya:

" Apabila aku menegah kamu dari sesuatu urusan, jauhilah ia, dan apabila aku
memerintahkan kamu sesuatu urusan, maka kerjakanlah seberapa yang kamu
sanggupi".

Tayammum tidak boleh dilakukan bila ada air yang dapat dibeli dengan harga pasaran.
Maka wajib membelinya sekiranya harta itu tidak diperlukan untuk menjelaskan hutang
atau menanggung belanja musafir sekalipun memberi nafkah kepada binatang yang
dihormati dan sebagainya. (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984 : 572) Begitu juga halnya bila
ada orang yang berbaik hati untuk memberi air. Di samping itu bila seseorang dalam
perjalanan lupa bahawa dia membawa air, lantas dia bertayammum, kemudian dia ingat
setelah lewat waktu solat, maka menurut pendapat sebahagian golongan Syafi'iyyah, Abu
Yusuf dan Malikiyyah solatnya diqadha', kerana dia telah memperoleh air. Menurut Abu
Hanifah dan Muhammad bin Hasan dia tidak wajib mengqadha', kerana orang tersebut
dianggap tidak memperoleh air. Tetapi kalau dia sedang dalam keadaan solat, lalu
mengingat bahawa air ada, maka Ulama' sepakat untuk membatalkan solat dan
mengulanginya dengan wudu'. (Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999:
80-81)

Menurut golongan Syafi'iyah orang muqim (yang tidak sedang dalam perjalanan) yang
bertayammum kerana ketiadaan air wajib mengqadha' solatnya bila air sudah ada, kerana
tayammum bukan merupakan rukhsah bagi yang bermuqim. Begitu juga orang yang
melakukan perjalanan maksiat, kerana mereka tidak termasuk orang mendapat rukhsah.
Yang mendapat rukhsah tayammum adalah orang yang melakukan perjalanan mubah,
sunat atau wajib. Bagi Ulama'' lain dan pendapat yang lebih kuat dari golongan
Hanabilah solatnya tidak mesti diulang. (Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung.
1999: 81)

 Keuzuran untuk menggunakan air

Termasuk ke dalam pengertian ini orang yang dipenjara dalam rumah tahanan yang
terletak di pinggir sungai, dan dia tidak memperoleh izin keluar mendapatkan air untuk
wudu'. Demikian halnya orang yang diikat dipinggir kali dan orang yang tidak berani
keluar rumah mengambil air kerana menurut biasa ada bahaya yang mengancam jiwanya.
Demikian juga orang yang khawatir diganggu oleh binatang buas atau oleh musuh di
tempat yang terdapatnya air, (Al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad.
1414H/1993: 117-118) ataupun khuatir ditinggalkan oleh teman-temannya dalam suatu
perjalanan. (Ar-Rahbawi, 'Abdul Qadir. 1994: 137) Terhadap orang yang berada dalam
keadaan tersebut dibolehkan tayammum, meskipun air ada disekitarnya.
 Dalam keadaan sakit atau luka

Orang sakit bila khawatir memakai air dapat melakukan tayammum untuk
mengangkatkan hadas. Kekhawatiran itu ada 3 kemungkinan iaitu:

Kes Pertama

Seandainya dia berwudhuk dalam keadaan sakit seperti itu, khawatir akan kehilangan
nyawanya atau anggota tubuhnya atau kehilangan manfaat dari bahagian anggota
tubuhnya. Boleh disamakan dengan hal tersebut, iaitu manakala ia mempunyai penyakit
yang tidak mengkhawatirkan tetapi dia takut menggunakan air yang boleh
membahayakan penyakitnya. Orang seperti ini juga diperbolehkan bertayammum
menurut mazhab yang kuat. Ibnu 'Abbas r.a. berkata, bersabda Rasulullah S.A.W:
(Riwayat al-Daruqutni, (b) 666 : 413) Maksudnya:

" Apabila seseorang lelaki beroleh luka di dalam peperangan atau beroleh luka-luka
bisul, lalu berjunub, maka ia takut mati jika mandi, hendaklah ia bertayammum".

Kes Kedua

Khawatir sakitnya akan bertambah, meskipun tidak mempengaruhi masa sembuhnya.


Atau khawatir lambat sembuhnya, meskipun sakitnya tidak bertambah. Atau khawatir
sakitnya semakin parah, iaitu sakit yang terus menerus hingga membuatkan badannya
kurus. Atau khawatir akan menimbulkan cacat yang buruk, seperti kulit badan menjadi
hitam, seperti anggota bahagian wajah dan lain-lain.Dalam semua masalah ini ada khilaf
yang banyak di kalangan para Ulama'. Qaul yang rajih, membolehkan tayammum. Yang
dibuat alasan untuk cacat yang buruk, iaitu dapat membuat kelainan pada bentuk anggota
badan dan cacatnya (membekas) seumur hidup.
Kes Ketiga

Orang yang khawatir mendapat cacat sedikit, seperti ada bekas bintik-bintik atau ada
sedikit warna hitam, atau khawatir mendapat cacat yang buruk pada selain anggota yang
kelihatan (ketika bekerja); atau orang itu mempunyai penyakit yang dia sendiri tidak
takut akan mendapatkan sesuatu yang dikhawatirkan di belakang hari jika menggunakan
air, walaupun ketika itu ia merasa kesakitan, seperti ada lukanya atau kedinginan atau
kepanasan. Tidak boleh bertayammum kerana sakit-sakit yang seperti ini tanpa ada
khilaf. (Al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad. 1414H/1993: 113-114)

Hal-hal seperti ini diketahui dengan kebiasaan atau melalui nasihat dari doktor yang
pakar sekalipun bukan muslim, demikian menurut pendapat golongan Malikiyyah dan
Syafi'iyyah. Tetapi bagi golongan Hanafiyyah dan Hanabilah doktornya di syaratkan
seorang muslim. (Dr. A. Rahman Ringota, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 82)

 Memerlukan air

Seseorang yang memiliki air dalam jumlah yang mencukupi sekadar untuk wudu' atau
mandi, tetapi dia sangat memerlukannya untuk keperluan lain yang akan menyelamatkan
jiwanya dari kemudaratan, maka ketika itu ia dibolehkan bertayammum, meskipun dia
memiliki air. Keperluan tersebut adalah keperluan yang tinggi, bilamana tidak ada air
dapat menimbulkan kebinasaan atau kesulitan, seperti kehausan yang diderita baik oleh
manusia mahupun oleh binatang ternak dan keperluan lainnya. Termasuk juga ke
dalamnya keperluan untuk minuman anjing pemburu atau penjaga kebun. Lain halnya
untuk keperluan orang kafir harbi dan anjing yang tidak dibolehkan Syara'
memeliharanya. Menurut Hanabilah (keperluan ini tidak menghalangi untuk memakai
air).

Sebagai contoh dalam keadaan ini seandainya terdapat seorang lelaki meninggal dunia.
Orang tersebut mempunyai air tetapi teman-temannya banyak yang kehausan. Maka
teman-temannya itu boleh minum air itu dan mentayammumkan mayat itu sebagai ganti
memandikannya. Dan teman-teman yang ikut minum itu wajib membayar harga air yang
diminumnya dan hasilnya dimasukkan pada harta warisan. (Al-Husaini, Imam
Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad. 1414H/1993: 118)

Bentuk-bentuk keperluan lain menurut pakar fiqh Syafi'iyyah adalah seperti keperluan
untuk memasak, untuk dimasak, dan untuk menghilangkan najis yang tidak dimaafkan
yang melekat di badan. (Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 82) Jika
najis terdapat di pakaian, hendaklah air itu digunakan untuk berwudu' dan solat dalam
keadaan tidak menutup aurat jika tidak ada penutup (yang suci) lain, dan solat tersebut
tidak perlu diulangi.

 Khawatir kehilangan harta jika mencari air

Menurut Malikiyah orang yang sanggup memakai air dan yakin bahawa air akan
diperoleh jika dicari, tetapi timbul kekhawatiran akan kehilangan harta jika pencarian
dilakukan, dibolehkan tayammum. Tidak dibezakan apakah orang tersebut dalam
perjalanan atau bermuqim, tidak dibezakan juga kekhawatiran terhadap harta sendiri atau
milik orang lain yang berada di tangannya. Menurut selain Malikiyyah kekhawatiran
terhadap musuh, pencuri atau kebakaran membolehkan tayammum lebih dahulu tanpa
mencari air. Kekhawatiran itu boleh terjadi atas diri sendiri, harta, keamanan atau
kekhawatiran terhadap orang berhutang yang hartanya sedang dalam keadaan yang
berkuasa.

 Keadaan sangat dingin

Dari 'Amru bin 'Ash r.a berkata: (Riwayat Abu Daud, (b) 334: 238) maksudnya:

" Pernah aku bermimpi (sehingga junub) pada suatu malam yang dingin ketika
peperangan Zatus Salasil, jika aku mandi maka aku khawatir binasa (mati), sebab itu
aku bertayammum, kemudian mengerjakan solat subuh bersama sahabat-sahabatku
(sebagai imam). Setelah para sahabatku menuturkan hal yang menimpaku itu kepada
nabi S.A.W, maka beliau bersabda: ' Wahai 'Amr, apakah kamu mengerjakan solat
bersama para sahabatmu dalam keadaan junub?' Maka aku sampaikan kepada
beliau, alasanku yang membuat aku tidak mandi, dan aku menjawab: Saya ketahui
Allah berfirman: " Dan janganlah kamu bunuh diri, sesungguhnya Allah Maha
Menyayangimu ". Maka Rasulullah S.A.W. tertawa tidak bersabda sesuatu pun."
Berdasarkan hadis ini terdapat iqrar atau persetujuan dari Nabi, dan iqrar adalah hujjah
(suatu dalil) kerana Nabi tidak akan menyetujui sesuatu yang salah. (Ar-Rahbawi, 'Abdul
Qadir. 1994: 139) Maka, jika seseorang khawatir akan berbahaya menggunakan air
kerana terlalu dingin dan air tersebut tidak dapat di panaskan, dibolehkan tayammum.
Golongan Hanafiyyah mensyaratkan boleh tayammum jika khawatir membawa kematian
atau lenyapnya sebahagian anggota badan. Hal ini hanya boleh dilakukan oleh orang
yang junub dan tidak dapat memanaskan air. Sedangkan bagi orang yang berhadas kecil
menurut Hanafiyah tidak boleh bertayammum dengan alasan sangat dingin.

Sebagaimana golongan Hanafiyyah, golongan Malikiyyah juga mengaitkan kebolehan


tayammum ini dengan keadaan yang dikhawatirkan membawa kematian. Sedangkan dari
golongan Syafi'iyyah dan Hanabilah membolehkan bertayammum dengan alasan dingin
jika sulit memanaskan air atau panasan air tidak memberikan manfaat (pengaruh). Orang
yang bertayammum kerana dingin ini menurut Syafi'iyyah mesti mengqadha' solatnya
sama halnya dengan tayammum kerana sakit. Ini berbeza dengan golongan Malikiyyah
dan Hanafiyyah yang mengatakan solat tidak mesti diqadha'.

 Tiada alat untuk mengambil air

Tayammum dibolehkan bagi orang yang sanggup memakai air tetapi tidak boleh
mendapatkannya. Misalnya ada air pada suatu tempat yang hanya didapatkan dengan
alat-alat tertentu, sementara alat itu tidak ada padanya, seperti ketiadaan timba pengambil
air dari sumur yang dalam, jika terus diusahakan waktu akan habis. Orang yang solat
dengan bertayammum dalam keadaan begini tidak wajib mengqadha' solatnya menurut
mazhab yang kuat. (Al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abu Bakar b. Muhammad.
1414H/1993: 113)

Menurut pandangan golongan Hanabilah, bila seseorang tidak memiliki alat, dia
diharuskan menanyanya dari orang lain supaya air boleh didapatkan. Kerana suatu yang
menyempurnakan yang wajib hukumnya juga wajib. Dalam hal ini mencari alat adalah
wajib.
 Khawatir Kehabisan Waktu Solat

Kalangan Syafi'iyyah tidak membolehkan bertayammum kerana takut akan habis waktu
solat jika dia mengambil air untuk berwudu', kerana tayammum ini dilakukan bersamaan
dengan adanya air. Lain halnya bagi orang yang musafir, dia tidak mesti mencari air
terlebih dahulu jika khawatir akan habis waktu solat dan dalam keadaan itu dia
dibolehkan tayammum.

Golongan Hanabilah juga tidak membolehkan bertayammum dengan alasan takut habis
waktu solat, baik untuk solat jenazah, solat 'id mahupun untuk solat lima waktu. Seperti
golongan Syafi'iyyah, mereka juga mengecualikan orang yang sedang musafir yang
mengetahui adanya air di tempat yang dekat, akan tetapi jika pemergiannya mencari air
itu akan menghabiskan waktu solat dibolehkan bertayammum dan solat yang dilakukan
dengan tayammum tersebut tidak diulang.

Berbeza pula dengan golongan di atas, golongan Hanafiyyah tidak membolehkan


bertayammum tanpa harus mencari air lebih dahulu, kerana takut habis waktu solat
kecuali dalam beberapa hal. Pertama, kerana takut habis waktu solat jenazah atau solat 'id
kerana berjemaah adalah syarat sah kedua solat tersebut. (Ar-Rahbawi, 'Abdul Qadir.
1994: 139) Kedua, kerana khawatir akan habis waktu solat gerhana (kusuf dan khusuf)
dan berbagai solat sunat yang mengikut solat fardhu. Tidak sah tayammum apabila takut
habis waktu solat Juma'at, solat wajib lima waktu dan solat witir.

Fuqaha' dari golongan Malikiyyah membolehkan tayammum kerana khawatir habis


waktu solat fardhu bila sulit mencari air, kerana memelihara pelaksanaan solat pada
waktunya lebih utama dari mencari kesempurnaan taharah dengan air. (Dr. A. Rahman
Ringota, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 80-84)
Langkah-langkah Pengajaran Tayammum

KAEDAH DEMONSTRASI

Sebelum demonstrasi

 Guru hendaklah menyediakan topik, objektif & kandungan demonstrasi terlebih


dahulu

 Guru membawa pelajar ke tempat demonstrasi yang disediakan untuk aktiviti


tayammum

 Sebelum memulakan demonstrasi, guru hendaklah memberitahu pelajar mengenai


tujuan serta aktiviti yang hendak dijalankan

Semasa demonstrasi

 Guru perlu memandang ke arah murid ketika memberi penerangan mengenai


aktiviti demonstrasi yang di jalankan

 Sekiranya pelajar menunjukkan keraguan, guru hendaklah menerangkan kembali


langkah tersebut

 Kaedah teknik menyoal juga di gunakan untuk menarik perhatian murid

 Guru perlu memastikan semua pelajar melihat demonstrasi yang dilakukan

 Guru meminta salah seorang pelajar melakukan demonstrasi itu

Selepas demonstrasi

 Guru meminta pelajar menyebut cara bertayammum. Ini bertujuan memastikan


bahawa mereka telah memerhatikan langkahlangkah demonstrasi yang telah
ditunjukkan dengan betul

 Membuat perbincangan keseluruhan berkaitan tayammum

Kesan demonstrasi

 Pelajar akan lebih memahami pembelajaran apabila berpeluang melakukan


aktiviti yang di jalankan

 Guru dapat menilai kefahaman pelajar melalui aktiviti yang telah dilakukan
Model Demonstrasi
Terbahagi kepada tiga bahagian :

Model hidup
Di laksanakan oleh guru dan pelajar yang telah menguasai kemahiran tayammum.

Model simbolik
Demonstrasi yang dilakukan berdasarkan arahan guru, bahan visual atau bahan-bahan
bertulis.

Model Persepsi
Menggunakan audio, video contohnya

KAEDAH BERMAIN

 Mengadakan aktiviti yang terkawal seperti simulasi, main peranan, penyelesaian


masalah dan demontrasi contoh : permainan bahasa, kuiz, tekateki, silangkata,
meneka, penyelesaian masalah dan memadan.

 Dilakukan dalam bentuk kumpulan atau individu


.
 Sebagai aktiviti pengukuhan, pengayaan dan pemulihan.

Cth Permainan dalam pengajaran Tayammum (kuiz)

 Guru membahagikan pelajar kepada empat kumpulan

 Setiap kumpulan perlu menjawab soalan kuiz yang diajukan oleh guru

 Soalan kuiz ini berkaitan dengan tajuk tayammum

 Kumpulan yang berjaya akan diberi imbuhan yang bersesuaian

 Guru dan pelajar dapat menguasai permainan tersebut

 Aktiviti permainan berdasarkan kepada tajuk tayammum

 Guru dapat mengawal disiplin dan membimbing pelajar memahami kaedah


tayammum

 Memberi keseronokan dan mengurangkan ketegangan kepada pelajar

 Wujud hubungan di antara pelajar dengan guru

 Melatih pelajar menggunakan pemikiran kritis dan analisis


Dalam bab Tayammum ini, guru boleh melakukan penilaian formal (ujian kertas-pensil
dalam masa singkat) secara individu pada akhir pengajaran.

Cara pelaksanaannya:

 Guru memberikan 2 soaalan ringkas kepada para pelajar

 Para pelajar dikehendaki menjawabnya di dalam buku latihan masing-masing


dalam tempoh waktu yang singkat

 Kemudian guru meminta murid membacakan jawapan mereka didalam kelas

 Akhir sekali guru memberikan jawapan yang tepat kepada para pelajar
BIBLIOGRAFI

Abu Muhammad. t.th. Panduan Lengkap Tentang Bersuci. t.tp: Jasmin Enterprise.

Al-'Asqalani, Al-Imam al-Hafiz Abi al-Fadhli Ahmad bin Ali bin Hajar. 1416H/1996.
Fathul Bari Bisyarhi Sahih al-Bukhari. Jil. 2: Dar Abi Hayan.

Al-Daruqutni, al-Imam al-Hafiz Ali bin Umar. 1417H/1996. Sunan al-Daruqutni. Jil.
1. Beirut: Darul Kutub al-Ilmiyyah.

Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999. Fiqh Ibadah. Kuala Lumpur:
Penerbit Edaran Kalam.

Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984. Al-Fiqhul Islamiy Wa Adillatuhu : Darul Fikr.

Al-Imam Abi 'Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari al-Ja'fi. 1419H/1999. Sahih
al-Bukhari: Darul Salam.

M. Abd. Mujieb, Mabruri Tholhah, Syafi'iyah Am (pnys). 1997. Kamus Istilah Fiqh,
Selangor: Advance Publication.

Ar-Rahbawi, 'Abdul Qadir. 1994. Salat Empat Mazhab. t.tp: Litera AntarNusa dan
Pustaka Islamiyah.

Ahmad Mohd Salleh. ( 2007 ). Pengajian Agama Islam & j-QAF Metodologi dan
Pedagogi Pendidikan. Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang. ( 2008 ). Nota Pengurusan Pengajaran-Pembelajaran. Selangor :


Multimedia-ES Resources Sdn.Bhd.

Mok Soon Sang. ( 2008 ). Pedagogi untuk Pengajaran dan Pembelajaran. Selangor :
Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd.

Zawawi Hj. Ahmad. ( 1984 ). Kaedah dan Teknik Pengajaran. Kuala Lumpur :
Percetakan Eskoh Sdn. Bhd.

You might also like