You are on page 1of 1

Apakah KESAN PEMBUANGAN BAYI??

Kesan-kesan kepada ibu bayi berkenaan atau lebih tepat lagi pesalah. Hal ini kerana, sewaktu pesalah
melahirkan anak, mereka tidak berada dalam keadaan dan situasi yang selesa dan mengizinkan. Tanpa
persediaan yang rapi, pesalah ini pastinya mengalami jangkitan kuman yang serius, kecederaan semasa
melahirkan anak, dan juga kehilangan darah yang banyak. Majoritinya, mereka melahirkan anak dengan
menggunakan cara sendiri tanpa pertolongan daripada pihak hospital atau pihak lain. Selain itu, pesalah
juga sudah semestinya mengalami pelbagai masalah dalam diri seperti kemurungan, hilang keyakinan
diri, dan juga masalah emosi. Hal ini akibat daripada perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah
dari segi undang-undang, agama, dan negara.

Di samping itu, akibat daripada pembuangan bayi juga, berlakunya keruntuhan institusi kekeluargaan.
Apabila institusi sesebuah keluarga itu runtuh, keharmoniaan dalam kekeluargaan juga turut terkena
tempiasnya. Hal ini disebabkan, ibu bapa berasa malu mempunyai anak yang sebegitu rupa tingkah
lakunya. Mereka menganggap anak seperti ini telah menconteng arang ke muka mereka. Apa yang
mereka bimbangkan adalah jiran sekeliling mereka yang pastinya memandang serong dan negatif
dengan keluarga mereka. Disebabkan masalah pembuangan bayi juga, masalah penceraian berlaku. Ibu
bapa remaja yang terlibat dengan perbuatan yang tidak bermoral ini bergaduh dan menyalahkan
sesama sendiri kerana tidak pandai mendidik dan memelihara anak sehingga anak-anak yang lain
terpaksa menanggung akibatnya. Sebagai ibu bapa, janganlah terus menyalahkan anak-anak mereka
tetapi membantu dengan memberi sokongan dan panduan untuk meneruskan hidup.

Kesan yang seterusnya adalah kepada masyarakat. Kes pembuangan bayi yang berlaku telah
menjejaskan imej masyarakat sekeliling. Mereka pastinya berasa malu dan kecewa dengan apa yang
berlaku. Sudah semestinya remaja dipersalahkan dalam kes ini kerana biasanya, remaja merupakan
golongan terbesar melibatkan diri dalam kegiatan ini. “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”.
Peribahasa ini bertepatan sekali dengan situasi ini. Masyarakat telah menerima akibatnya hasil daripada
kegiatan tidak bermoral ini dan secara tidak langsung telah menimbulkan persepsi orang luar tentang
kredibiliti masyarakat setempat dalam membendung kes-kes seperti daripada berlaku.

Tidak dapat dinafikan juga pembuangan bayi memberi kesan yang sangat besar kepada negara. Jatuh
dan bangun sesebuah negara itu bergantung sepenuhnya kepada akhlak remaja atau generasi pada
waktu sekarang. Antara kesan yang pastinya berlaku ialah kerancakan pembangunan terbantut serta
ekonomi negara sukar untuk berkembang disebabkan wujudnya gejala sosial ini. Tambahan lagi,
perbelanjaan kerajaan turut meningkat untuk menampung bayi yang diletakkan di rumah kebajikan
masyarakat. Hal ini kerana, bayi yang dijumpai biasanya ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat
sebagai penempatan sementara. Pada masa yang sama, ibu bapa bayi tersebut dicari dan sekiranya
tidak menjumpai, rumah kebajikan masyarakat pastinya menjadi penempatan kekal mereka. Perkara
seperti ini pastinya membebankan pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan dari segi kewangan.

You might also like